Friday, February 3, 2012

Satu Lagi Mayat Mangsa Bot Karam Di Perairan Kota Tinggi Ditemui

JOHOR BAHARU, 2 Feb - Satu mayat mangsa kejadian bot pancung karam di Teluk Semayong, Sedili Besar, dekat Kota Tinggi ditemui pada Khamis, menjadikanjumlah kematian akibat tragedi itu meningkat kepada sembilan orang, setakat ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Che Mahazan Che Aik berkata mayat lelaki berkenaan ditemui oleh pasukan Gerkan Marin yang melakukan operasi mencari dan menyelamat di pantai Teluk Semayong kira-kira pukul 2.20 petang.

Katanya mayat itu dihantar ke Hospital Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

Che Mahazan berkata pihaknya dalam pada itu menahan enam lelaki rakyat asing yang mengaku sebagai rakyat Afghanistan di pantai Kuala Sedili, malam Rabu.

Beliau berkata kesemua mereka yang berusia 20 hingga 35 tahun itu ditemui berkeliaran di kawasan berkenaan tanpa dokumen pengenalan diri, kira-kira pukul 10 malam.

"Polis tidak tahu jumlah sebenar rakyat asing yang menaiki bot dalam kejadian terbabit. Jadi, kita masih menyiasat jumlah mereka dan buat masa ini usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan," katanya.

Pada Rabu, lapan lelaki rakyat asing mati lemas, lima hilang, manakala 12 lagi selamat apabila bot pancung yang mereka naiki karam di kedudukan tujuh batu nautika dari perairan Teluk Semayong, Sedili Besar.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi ketika kesemua lelaki dipercayai rakyat Afghanistan dan Iraq berusia antara 20 hingga 35 tahun itu cuba menyeludup keluar dari negara ini untuk ke negara jiran sebelum menuju ke negara ketiga. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...