Wednesday, January 25, 2012

Tarikh Akhir Pemutihan Program 6P 15 Feb - KDN

PUTRAJAYA, 25 Jan - Kerajaan menetapkan 15 Feb depan sebagai tarikh akhir proses pemutihan Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P), kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam.

Dalam satu kenyataan Rabu, beliau berkata sebelum ini proses pemutihan itu diteruskan secara pentadbiran selepas tamat pada 10 Jan lepas.

Sehubungan itu, beliau berkata majikan yang belum mengemukakan permohonan bagi pemutihan pekerja asing tanpa izin masing-masing digesa berbuat demikian dalam kadar segera kerana tiada lanjutan tambahan akan dibuat bagi proses tersebut.

"Bagaimanapun, kepada majikan yang telah mengemukakan permohonan dan telah beroleh tarikh temujanji bagi proses temuduga, prosedur akan diteruskan sehingga April ini," katanya.

Mahmood berkata kementerian yakin tempoh yang diberikan adalah mencukupi dan menggesa majikan menguruskan permohonan pekerja mereka tanpa menunggu sehingga saat akhir. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...