Wednesday, January 4, 2012

Persatuan Pemborong Binaan Gesa Majikan Guna CLAB Utk Pemutihan Pekerja Haram

KUALA LUMPUR, 3 Jan - Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) Selasa menggesa majikan agar menggunakan khidmat Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB) bagi mengelak dari ditipu oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab dalam mendaftar pekerja asing dan untuk proses 'Pemutihan' lebih lancar.

Presidennya Kwan Foh Kwai dalam satu kenyataan berkata ini kerana terdapat syarikat-syarikat pengurusan yang telah disenaraihitam dan sijil pelantikan mereka bagi mendaftar dan mengesahkan pekerja asing tanpa izin telah dibatalkan.

"Sehubungan ini, senarai terbaru syarikat-syarikat pengurusan yang dikemaskini boleh disemak di laman web Kementerian Dalam Negeri," katanya.

Pada 30 Dis, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam berkata Jabatan Imigresen telah menambah beberapa buah lagi Pusat Sehenti bertujuan melicinkan lagi urusan mendaftar 1.2 juta pekerja asing tanpa izin di bawah program 6P (pengesahan dan pengampunan).

Mahmood berkata kementerian itu telah juga membenarkan syarikat-syarikat pengurusan mendaftar pekerja asing tanpa izin bagi pihak majikan dengan syarat mereka membawa surat kebenaran daripada majikan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...