Wednesday, January 11, 2012

PDAM Minta KDN Benar Pekerja Asing Laku Semua Kerja Di Stesen Minyak

KUALA LUMPUR, 11 Jan - Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi kebenaran kepada pekerja asing di stesen minyak melakukan semua kerja berkaitan operasi minyak.


Presidennya Datuk Hashim Othman berkata peraturan yang menghalang mereka bekerja sebagai atendan pam, jurujual dan juruwang di stesen minyak menyukarkan operasi sesebuah stesen minyak.

"Jabatan Imigresen hanya membenarkan pekerja asing bekerja sebagai pencuci dan pembersih sahaja. Jika ini berlaku, pengusaha akan dikenakan tindakan penguatkuasaan kerana melanggar syarat itu," katanya dalam kenyataan di sini.

Berikutan itu, katanya PDAM menerima banyak rungutan daripada pengusaha yang keliru dengan syarat dan kelulusan mengambil pekerja asing di negara ini.

Beliau berharap KDN memberi pertimbangan kepada jenis perniagaan stesen minyak yang kebanyakannya beroperasi 24 jam sehari sepanjang tahun.

Hashim berkata dalam Program 6P, pengusaha telah diarah untuk mendaftarkan pekerja mereka dengan Jabatan Imigresen namun apabila dipanggil untuk temuduga, pelbagai peraturan dan syarat baru dikenakan yang menyukarkan majikan mendapat kelulusan.

Beliau menjelaskan kesukaran mendapat pekerja tempatan merupakan faktor utama yang mendorong pengusaha menggunakan khidmat pekerja asing. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...