Saturday, January 21, 2012

416 Kes Pemerdagangan Orang Sejak 2008 Hingga 2011

PUTRAJAYA, 21 Jan - Sejumlah 416 kes dan 591 tangkapan telah dilaksanakan bahagian penguatkuasaan bagi pemerdagangan orang dari tahun 2008 sehingga 2011, demikian menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ia berkata bagi kes pendakwaan pula, sebanyak 383 kes telah dituduh di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 sementara 243 kes sedang di peringkat perbicaraan, 59 kes telah selesai dan 60 kes berjaya disabitkan.

Menurut kenyataan KDN, mangsa yang telah diselamatkan dan mendapat Perintah Perlindungan Tetap (PO) pula terdiri daripada 261 lelaki, 545 wanita dan 118 kanak-kanak.

Statistik diumumkan dalam mesyuarat pertama Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) 2012 yang dipengerusikan Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Mahmood Adam.

Mesyuarat pertama itu juga memutuskan untuk menjemput Jabatan Audit Negara bagi melaksanakan pengauditan ke atas aktivitinya dan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain, dalam usaha membanteras pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

Selain itu, mesyuarat tersebut bersetuju untuk menandatangani persefahaman bersama dengan agensi kerajaan berkaitan serta rakan strategik antarabangsa bagi meneruskan komitmen memerangi jenayah tersebut.

Turut dilaporkan, MAPO telah membuat tinjauan di Kukup Pontian, Johor, memandangkan kawasan itu merupakan laluan keluar masuk bot-bot kecil yang membawa penumpang dari negara ini ke Tanjung Balai, Indonesia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...