Saturday, December 31, 2011

Sindiket Pengedaran Dadah Antarabangsa Didalangi Pelajar Asing

GEORGE TOWN, 30 Dis - Sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang mengupah ibu tunggal yang ditahan bersama 3.9 kilogram syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini Rabu lepas, didalangi pelajar warga asing di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata dua pelajar warga Nigeria yang mendalangi sindiket itu telah diberkas di Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) pada hari yang sama wanita berkenaan ditahan.

"Selepas polis menahan wanita berusia 42 tahun itu di LTAPP pada pukul 10.40 pagi, sepasukan pegawai dan anggota polis bahagian narkotik Pulau Pinang telah melancarkan operasi dan berjaya menjejak dua pelajar terbabit," katanya pada sidang akhbar di sini Jumaat.

Beliau berkata polis menahan dua pelajar berusia 26 dan 37 tahun itu di KL Sentral dan mereka dipercayai sedang menunggu wanita berkenaan yang sepatutnya menaiki bas dari Pulau Pinang ke situ.

"Mengikut perancangan sindiket itu, ibu tunggal yang tiba di LTAPP sepatutnya menaiki bas ekspres dari Pulau Pinang ke KL Sentral bagi mengelak pihak berkuasa mengesan dia membawa dadah terbabit.

"Sindiket itu juga cuba mengguna taktik baru iaitu tidak masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana penguatkuasaan yang makin ketat di situ," katanya.

Ayub berkata bagaimanapun taktik mereka tidak berhasil kerana hasil maklumat dan risikan polis Pulau Pinang berjaya mengesan wanita yang bekerja di sebuah spa di Kuala Lumpur itu membawa dadah yang disembunyikan dalam beg pakaiannya.

Beliau berkata siasatan juga mendapati wanita yang berasal dari Pulau Pinang itu merupakan kekasih kepada salah seorang daripada pelajar yang ditahan dan dia turut dibayar upah untuk membawa dadah terbabit.

Katanya selain mendapat upah yang lumayan, wanita terbabit juga mendapat pakej pelancongan percuma untuk membawa dadah bernilai RM750,000 itu.

"Wanita berkenaan menaiki penerbangan dari KLIA ke Mumbai, India dan ke Adis Ababa (Ethiopia) dan Bamako, ibu negara Mali iaitu sebuah negara di Afrika Barat untuk mengambil dadah sebelum berpatah balik mengikut laluan yang sama," katanya, sambil menambah perjalanan itu bermula 21 Dis lepas.

Ayub berkata hasil penahanan mereka, polis turut merampas wang tunai sebanyak RM29,634.

Katanya ketiga-tiga mereka kini direman sehingga 4 Jan bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata pihaknya sedang mengesan anggota sindiket berkenaan bagi mengelak lebih ramai wanita tempatan dijadikan keldai dadah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...