Monday, December 26, 2011

Lelaki Myanmar Maut Ditikam Rakan Senegara


KUALA LUMPUR 25 Dis. - Episod pertikaman lidah antara lima warga asing akhirnya berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka mati ditikam di Pasar Borong Selayang dekat sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi, mangsa, Omar Yunus, 19, meninggal dunia di hospital setelah cedera parah di perut, manakala seorang lagi lelaki yang tidak dikenali parah akibat ditikam.



Lelaki yang cedera parah itu berusia 30 tahun dan kini difahamkan dalam keadaan kritikal selepas terkena tikaman di rusuk kanan.

Sebelum itu, lima warga asing yang merupakan pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) itu telah bergaduh dipercayai akibat pengedaran dadah jenis ganja.

Bagaimanapun, pertengkaran mulut pekerja pasar borong itu mula bertambah serius apabila mereka mula mengasari sesama sendiri dan ada di antara suspek mengeluarkan senjata tajam dipercayai pisau.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu, pihaknya telah memberkas dua lelaki Myanmar berusia lingkungan 20-an sejurus selepas kejadian.

"Kita percaya dua lelaki asing itu mempunyai kaitan dengan kes tersebut namun kita masih menyiasat motif pergaduhan tersebut.

"Kami juga tidak menemui sebarang dadah bersama kedua-dua suspek yang ditahan malah kita juga sedang mengesan senjata yang digunakan untuk menikam mangsa," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya kini sedang memantau warga asing yang bekerja di pasar borong berkenaan sebagai usaha membendung penyalahgunaan dadah di kalangan warga terbabit.

"Kita telah menjalankan pemeriksaan terhadap 106 orang warga asing di situ dan 56 daripada mereka didapati positif mengambil dadah.

"Usaha membendung gejala ini masih dijalankan dan pemeriksaan serta pemantau akan sentiasa dilakukan," katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...