Saturday, December 31, 2011

KDN Yakin 1.2 Juta Lagi PATI Dapat Didaftar Dalam Masa 10 Hari

PUTRAJAYA, 30 Dis - Kerajaan yakin 1.2 juta lagi pekerja asing tanpa izin (PATI) dapat didaftarkan di bawah Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja dan Pendatang Asing Tanpa Izin (6P) dalam masa 10 hari, kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Mahmood Adam.

Beliau berkata selain membuka empat lagi cawangan pusat setempat (OSC) yang beroperasi 24 jam, 336 syarikat pengurus turut diberi kebenaran mendaftar PATI yang belum lagi berbuat demikian.

"Kita berurusan dengan majikan tidak lagi dengan PATI individu. Jumlah itu tidak masalah sebab sudah ada pengalaman. Harap dalam tempoh 10 hari kita dapat selesaikan pendaftaran mereka dengan kerjasama semua pihak.

"Di Kuala Lumpur sahaja tambah tiga lagi pusat kerana hampir 90 peratus PATI dan majikan berada di KL," katanya pada sidang akhbar pada majlis penghargaan media dalam menjayakan Kempen Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran di sini hari ini.

Empat OSC baru adalah di Dewan Balora Perdana, Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) (Presint 2), Pejabat Imigresen Malaysia (Cawangan Pasport) Presint Diplomatik (Presint 15) di Putrajaya; Kompleks Kementerian Dalam Negeri Jalan Duta, Kuala Lumpur, dan Pejabat Imigresen cawangan Pelabuhan Klang.

OSC yang sedia ada iaitu di Pusat Pemutihan di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, Kompleks KDN Johor Baharu dan Bandar Seberang Jaya, Pulau Pinang akan dibuka 24 jam sehingga 10 Jan ini.

Mahmood berkata KDN memberi kebenaran kepada syarikat pengurus mendaftar PATI bagi pihak majikan, dengan syarat mereka membawa surat kebenaran menyatakan mereka menjadi wakil kepada majikan terbabit untuk mendaftar PATI masing-masing.

Ditanya kemungkinan tarikh pendaftaran itu dilanjutkan lagi, beliau berkata ia bergantung kepada keputusan kerajaan.

"Kita sudah melaksanakan semua insiatif membantu majikan dan orang ramai dengan membolehkan mereka mendaftar PATI masing-masing, malah ramai pegawai dan anggota Jabatan Imigresen yang bengkak mata kerana tidak cukup tidur," katanya.

Beliau menyeru semua majikan supaya tidak menunggu hingga saat akhir bagi mengelak berlaku kesesakan di semua OSC yang menguruskan pendaftaran ini.

Mahmood berkata bahawa selepas tamat tempoh pendaftaran proses pemutihan, Jabatan Imigresen dengan kerjasama beberapa agensi akan melaksanakan pula program penguatkuasaan.

"Operasi secara besar-besaran akan dibuat sekiranya kerajaan tidak menyambung memberi pengampunan selepas 10 Jan nanti," katanya.

Beliau berkata KDN sentiasa bekerjasama dengan kedutaan asing bagi mempercepatkan proses pengeluaran dokumen.

Mahmood berkata bahawa sehingga semalam, 70,000 PATI sudah memberitahu ingin pulang ke negara asal masing-masing secara sukarela. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...