Wednesday, December 21, 2011

KDN Akan Perkenal Visa Peringkat Satu Untuk Pelajar Asing - Mahmood Adam

PUTRAJAYA, 21 Dis - Kementerian Dalam Negeri akan memperkenalkan visa peringkat satu bagi pelajar asing yang melanjutkan pengajian di negara ini dalam usaha mengawal kemasukan mereka.

Ketua Setiausaha kementerian Tan Sri Mahmood Adam berkata menerusi kaedah itu, visa hanya dikeluarkan selepas pelajar terbabit menerima tawaran daripada institusi pengajian berkenaan.
"Sebelum ini mereka menggunakan visa lawatan sosial dan baru cari universiti atau kolej mana mereka nak belajar.

"Tapi selepas ini kita akan perkenalkan 'one tier' visa. Dia mesti dapat universiti mana yang nak belajar, baru visa ini keluar sebelum dia datang ke sini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Halatuju Kawalan dan Penapisan Filem di Malaysia, di sini Rabu.

Katanya isu berkaitan pelajar warga asing sentiasa diberi perhatian, dan usaha menanganinya turut dilaksanakan melalui penubuhan unit khas pas pelajar dengan kerjasama kementerian itu dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Mahmood berkata pihak kolej dan universiti juga boleh memaklumkan kepada kerajaan terutamanya Jabatan Imigresen mengenai isu-isu membabitkan pelajar asing termasuk yang tidak hadir ke kelas.

"Contohnya dia tidak hadir kelas sebanyak 20 peratus...kita boleh tamatkan pas dan kita boleh usir. Tapi jangan lupa matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hub kecemerlangan pendidikan," kata beliau.

Katanya pelajar asing juga disaran mempelajari adat budaya di negara ini sebelum datang ke Malaysia supaya dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat di sini.

Pihak universiti dan kolej juga boleh mengadakan minggu suai kenal kepada pelajar berkenaan untuk mereka mengetahui mengenai adat resam masyarakat Malaysia, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...