Saturday, January 15, 2011

Warga Iran Cuba Seludup Dadah Dalam Badan Meninggal Dunia

Seorang lelaki warga Iran yang cuba menyeludup masuk 137 kapsul syabu ke negara ini dengan menggunakan badannya, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya pada Jumaat 9.14 pagi.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Abdul Razak Abdul Majid yang mengesahkan kematian itu berkata mangsa gagal diselamatkan akibat pendarahan yang teruk apabila kapsul syabu itu pecah dalam perut beliau.

"Berdasarkan dokumen perjalanan yang ditemui lelaki berkenaan dikenali sebagai Fathollah Mahadi dan berusia 52 tahun.

"Bagaimanapun kita masih belum mendapat maklumat terperinci mengenai lelaki berkenaan dan kita masih menyiasat bagaimana beliau boleh berada di negara ini," katanya ketika dihubungi di sini.

Abdul Razak berkata mayat lelaki berkenaan masih berada di Bilik Mayat Hospital Putrajaya sementara siasatan lanjut dijalankan dan Kedutaan Iran akan dihubungi nanti untuk menguruskan mayat tersebut.

Bernama semalam melaporkan warga Iran tersebut mengadu sakit perut ketika berada di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) sebelum dihantar ke Pusat Rawatan Islam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Beliau kemudian dirujuk ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut di mana selepas dibedah sebanyak 137 ketulan mampat seberat 765 gram berbentuk kapsul, iaitu dadah jenis syabu ditemui dalam perut beliau. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...