Saturday, January 8, 2011

Tujuh GRO Rakyat China Diberkas

Jabatan Imigresen Perak menahan tujuh wanita pelayan pelanggan (GRO) rakyat China dalam serbuan di dua restoran di sini Khamis.

Ketua Imigresen Lumut Zaidi Dali berkata kesemua mereka yang berusia antara 32 dan 44 tahun itu diberkas dalam serbuan berasingan di Kampung Selamat dan Segari.


"Dalam operasi pertama kira-kira 6 petang semalam, kami menahan enam orang wanita warga negara China di sebuah restoran di Kampung Selamat, Sitiawan semasa mereka sedang leka melayan pelanggan," katanya kepada Bernama Jumaat.

Dalam serbuan kedua di sebuah restoran yang beroperasi di ladang kelapa sawit pada kira-kira 7.30 malam, hanya seorang wanita diberkas kerana beberapa rakannya sempat melarikan diri, katanya.

"Mereka ditahan mengikut Seksyen 39B Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahguna pas lawatan sosial serta pas kerja. Kesemua mereka ditahan reman selama 14 hari untuk membantu siasatan sebelum didakwa di mahkamah," katanya.

Beliau berkata operasi yang disertai 15 anggota penguatkuasa Imigresen Cawangan Lumut itu adalah hasil maklumat dan aduan orang ramai termasuk suri rumah yang mengadu suami mereka kerap berkunjung ke restoran terbabit bagi melanggan GRO. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...