Saturday, January 15, 2011

Tiga Warga Asing Dalang Sindiket Pemalsuan Pasport Ditahan

Tiga bersaudara warga asing yang dipercayai dalang sindiket pemalsuan dokumen pasport dan visa dengan pendapatan mencecah RM100,000 sebulan, ditahan dalam satu operasi di sekitar bandar raya ini Khamis.

Timbalan Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kuala Lumpur Mohamed Yusof Khan Mohd Hassan berkata mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun.

"Hasil risikan selama sebulan, kami berjaya menahan mereka dan kini mencari saki-baki sindiket itu.

"Ketika ditahan, mereka cuba melawan dan melarikan diri sehingga pihak kami terpaksa menggunakan serbuk lada," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Imigresen di sini.

Antara barangan yang dirampas ialah pasport palsu, surat permohonan visa palsu, kad ketibaan dan cop.

Mohamed Yusof Khan berkata modus operandi kumpulan itu ialah mencari warga asing yang terdesak untuk mendapatkan dokumen, dan mengenakan bayaran sehingga RM2,500 seorang.

Mereka ditahan reman selama 14 hari dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...