Saturday, January 8, 2011

Pekerja Asing Dilindungi Insurans SPIKPA Boleh Masuk Hospital Kerajaan Tanpa Deposit

Pekerja asing yang dilindungi polisi insurans Skim Kemasukan Hospital dan Pembedahan Pekerja Asing (SKHPPA) boleh dimasukkan ke hospital kerajaan tanpa perlu membayar deposit atau mengemukakan surat jaminan daripada syarikat insurans.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata SKHPPA, yang wajib diambil semua pekerja asing berikutan penguatkuasaan Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (Spikpa) pada 1 Jan lepas, membolehkan pelaksanaan "tanpa tunai" dibuat.


"Pekerja asing hanya perlu mengemukakan dokumen pengenalan diri iaitu pasport bagi proses pengesahan di kaunter daftar masuk hospital Kementerian Kesihatan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

SKHPPA memberikan jumlah perlindungan insurans kesihatan sebanyak RM10,000 dengan bayaran premium insurans sebanyak RM120 setahun.

Liow berkata majikan diwajibkan menanggung polisi insurans bagi sektor perladangan dan pembantu rumah manakala bagi sektor-sektor lain pekerja asing sendiri yang menanggung polisi insurans itu.

Beliau berkata pekerja asing yang sedang bekerja di Malaysia pada masa ini juga diwajibkan dan diberikan tempoh selama tiga bulan untuk membeli polisi insurans tersebut.

"Bagi kumpulan ini, bayaran premium yang akan dikenakan oleh syarikat insurans yang terlibat adalah berdasarkan perkiraan baki hari bagi tempoh sah laku permit kerja.

"Bagi pekerja asing yang gagal untuk berbuat demikian, mereka tidak akan dibenarkan untuk memperbaharui permit kerja apabila permit tersebut tamat tempoh kelak," katanya.

Katanya majikan yang telah mendahulukan bayaran premium polisi insurans tersebut hendaklah memohon kebenaran Ketua Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia bagi tujuan membuat pemotongan gaji pekerja asing.

Liow berkata pekerja asing yang dikesan mempunyai bil tertunggak di hospital Kementerian Kesihatan, pekerja asing atau majikan bertanggungjawab untuk menjelaskan bil itu sebelum memohon pembaharuan permit kerja.

Pekerja asing yang gagal menjelaskan bil tertunggak tersebut tidak akan dibenarkan memperbaharui permit kerja manakala majikan pula akan disenaraihitamkan oleh Jabatan Imigresen serta tidak dibenarkan mengambil pekerja asing baru, katanya.

Liow berkata sebanyak 17 buah syarikat insurans bersetuju untuk menyertai Spikpa dengan 11 syarikat insurans bersedia memasarkan polisi insurans tersebut mulai 1 Jan lepas.

"Manakala empat syarikat insurans bersedia memasarkan polisi mereka mulai 1 Feb dan selebihnya bermula 15 Feb," katanya.

Senarai syarikat insurans tersebut adalah AXA Affin General Insurance Bhd, Berjaya Sompo Insurance Bhd, Jerneh Insurance Bhd, Kurnia Insurans (Malaysia) Bhd, Malaysian Assurance Alliance Bhd, MUI Continental Insurance Bhd, Progressive Insurance Bhd, RHB Insurance Bhd, The Pacific Insurance Bhd dan Tokio Marine Insurance (Malaysia) Bhd.

Sementara empat syarikat yang bersedia memasarkan mulai 1 Feb ialah Allianz General Insurance Company (Malaysia) Bhd, QBE Insurance (Malaysia) Bhd, Oversea Assurance Corporation (M) Bhd dan Syarikat Takaful Malaysia Bhd manakala Oriental Capital Assurance Bhd dan Takaful Ikhlas Sdn Bhd pula pada 15 Feb. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...