Saturday, January 15, 2011

Kerajaan Sedia Tambah Negara Sumber Pembantu Rumah Asing

Kerajaan sedang menimbang kemungkinan untuk menambah negara sumber pembantu rumah asing bagi menampung kekurangan pembantu rumah semasa, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada isu berkaitan kekurangan pembantu rumah warga asing ekoran keputusan kerajaan Indonesia membeku penghantaran mereka sejak 2009.
"Kerajaan masih meneruskan perbincangan mengenai pembekuan penghantaran pembantu rumah dengan Indonesia," katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya ketika ini kerajaan hanya membenarkan pengambilan pembantu rumah asing dari Thailand, Kemboja, Filipina, Sri Lanka, India, Laos, Vietnam dan Indonesia sahaja.

Dr Subramaniam juga berkata para majikan bebas membuat pilihan untuk mengambil pembantu rumah asing berdasarkan negara sumber yang dibenarkan, mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

Berdasarkan statistik sehingga 30 November lepas 264,591 pembantu rumah asing bekerja di Malaysia, dan daripada jumlah itu seramai 242,815 atau 92 peratus adalah warga Indonesia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...