Saturday, January 8, 2011

Jabatan Imigresen Cadang Perkenal Sistem APPS Kesan Warga Asing Dikehendaki

Jabatan Imigresen Malaysia bercadang untuk memperkenalkan sistem "Advance Passengers Processing System" (APPS) bagi menyemak dan mengesan warga asing yang dikehendaki atau disenarai hitam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Alias Ahmad berkata pihaknya akan memohon pertimbangan Kementerian Dalam Negeri berhubung cadangan berkenaan memandangkan ia telah diaplikasikan di beberapa buah negara maju.
Sistem itu dapat membantu mengelakkan jenayah rentas sempadan seperti penggubahan wang haram, pengedaran dadah, pemerdagangan manusia dan lain-lain, katanya dalam satu kenyataan Jumaat.

Alias juga berkata Jabatan Imigresen akan meningkatkan fungsi dan ciri-ciri keselamatan pada dokumen-dokumen berkaitan pengenalan diri dengan menggunakan teknologi baru seperti "polycarbonate" pada pasport Malaysia.

"Dengan memperkenalkan e-visa juga akan dapat membasmi masalah pemalsuan pelekat visa," katanya.

Selain itu, Jabatan Imigresen turut bercadang menjadi ahli pertubuhan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk memperkemaskan lagi kerjasama dengan banyak negara daripada aspek pengesanan pemalsuan pasport atau dokumen perjalanan yang lain, katanya.

Terdapat lima juta warga asing di Malaysia. Dianggarkan seramai dua juta pekerja asing yang sah, dua juta pelancong asing dan selebihnya pelajar asing, penduduk tetap, golongan profesional dan ahli keluarga yang menetap dalam negara.

Alias berkata Jabatan Imigresen akan melaksanakan penggunaan sistem biometrik untuk memantau dan merekodkan pergerakan keluar dan masuk pelawat asing yang datang ke negara ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...