Sunday, January 2, 2011

Imigresen Tahan 65 PATI Kemboja

SEORANG wanita warga Kemboja cuba sembunyi di bawah katil ketika pegawai Imigresen menyerbu Kampung Mulis, Sungai Tiram, Johor Bahru, semalam.

Seramai 65 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Kemboja ditahan Jabatan Imigresen negeri dalam serbuan di Kampung Mulia, Sungai Tiram, di sini awal pagi ini.

Timbalan Penolong Pengarah II Jabatan Imigresen negeri, Amzari Abdul Jalil berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada 33 wanita, 13 lelaki dan 15 kanak-kanak yang kesemuanya berusia dalam lingkungan tiga bulan hingga 45 tahun.

Beliau berkata, mereka ditahan dalam Ops Sapu yang diadakan selama dua jam bermula pukul 2.30 pagi dengan disertai 80 anggota penguat kuasa termasuk pegawai Imigresen.

"Semasa serbuan, mereka dipercayai sedang tidur kerana lambat membuka pintu. Menyedari kawasan rumah diserbu, kesemuanya melarikan diri sehingga ada yang meninggalkan anak-anak di rumah.

"Malah ada segelintir mereka menyorok di bawah katil dan kebun getah berhampiran bagi mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa.

"Taktik tersebut bagaimanapun gagal apabila mereka berjaya diberkas tidak lama selepas itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Amzari, kesemua mereka mendakwa mempunyai surat kebenaran yang diibaratkan sebagai 'pasport' untuk bekerja dan tinggal secara sah di negara ini.

Katanya, mereka menunjukkan sekeping kertas tertera cop dan tandatangan rasmi Setiausaha Jawatankuasa Khas Penyelesaian Masyarakat Kemboja kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya, Parlimen Pekan, Pahang.

"Semasa disoal siasat, mereka menunjukkan surat sokongan yang sama dan kami percaya wujud sindiket penipuan serta pemalsuan dokumen tersebut.

"Ekoran dakwaan tersebut, satu siasatan akan dijalankan secara menyeluruh untuk mengetahui kebenarannya," katanya lagi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...