Friday, October 8, 2010

Pegawai SPRM tidak cukup pantau pegawai Imigresen

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memiliki jumlah kakitangan mencukupi untuk ditempatkan di setiap pintu masuk utama di negara ini seperti dicadangkan Jabatan Imigresen sebelum ini.

Bagaimanapun, cadangan itu dilihat amat baik untuk menangani penyelewengan kuasa di kalangan kakitangan agensi penguat kuasa itu.

Pengarah Siasatan SPRM, Mustafar Ali berkata, pihaknya akan tetap membincangkan cadangan itu dengan Jabatan Imigresen untuk mencari jalan terbaik bagi mengatasi masalah salah laku kakitangan agensi berkenaan.

“Kedua-dua pihak telah memberi kenyataan dalam media dan kita akan duduk bersama membincangkan perkara itu dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, beliau menyatakan SPRM menyambut baik cadangan Jabatan Imigresen agar pegawai-pegawainya ditempatkan di pintu-pintu masuk ke negara ini bagi mengekang amalan rasuah.

Isu ini timbul apabila beberapa pegawai Imigresen ditahan SPRM kerana dipercayai menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk ke negara ini melalui beberapa pintu pelabuhan antaranya di Jeti Pulau Ketam, Selangor dan Jeti Port Dickson, Negeri Sembilan.

Apa yang mengejutkan, dua daripada pegawai Imigresen yang ditahan di Negeri Sembilan itu dikatakan meraih pendapatan sehingga RM33,600 seminggu.

Menurut Mustafar, pihaknya juga bersedia menempatkan kakitangan mereka di pintu-pintu masuk lapangan terbang sekiranya mempunyai jumlah anggota yang mencukupi.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, pengawasan dan penyeliaan dalaman di setiap jabatan itu lebih penting.

“Kita mungkin tidak mampu menempatkan anggota di setiap pintu masuk sama ada di sempadan mahupun di lapangan terbang sekiranya bilangan anggota tidak mencukupi walaupun cadangan tersebut sebenarnya sangat baik,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Pemaju tidak serik diserbu Imigresen guna PATI

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Walaupun tapak pembinaan di Jalan Genting Klang di sini pernah diserbu oleh Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan tiga bulan lalu, namun pihak pemaju di situ tidak serik mengulangi kesalahan menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Sebelum ini, penguat kuasa jabatan itu pernah memberkas 140 PATI di tapak pembinaan terbabit namun pemaju sama dikesan masih mengambil pekerja asing secara haram selepas itu.

Perbuatan tidak bertanggungjawab pemaju terbabit menyebabkan penguat kuasa yang sama, sekali lagi menyerbu tapak pembinaan berkenaan pada hari ini dan hasilnya seramai 63 PATI diberkas.

Serbuan itu turut disertai anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Timbalan Pengarah Imigresen Wilayah Persekutuan, Mohamed Yusoff Khan Mohamed Hassan berkata, risikan pihaknya mendapati masih terdapat PATI bekerja di tapak pembinaan berkenaan meskipun sudah diserbu sebelum ini.

“Kita sudah melakukan operasi di kawasan ini tiga bulan lalu dan menahan 140 PATI namun baru-baru ini risikan mendapati majikan di tapak pembinaan terbabit masih mengambil pekerja asing tanpa permit.

“Mungkin dia berbuat demikian kerana mahu menjimatkan kos tetapi perbuatannya itu telah melanggar undang-undang,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Thursday, October 7, 2010

46 GRO Warga Asing Ditahan Dalam Ops Noda

GEORGE TOWN 6 Okt - Seramai 46 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga China dan Vietnam yang dipercayai menawarkan khidmat seks kepada pelanggan ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Lebuh Farquhar di sini Selasa malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Wan Abdullah Tunku Said berkata dalam serbuan kira-kira pukul 11.40 malam itu polis turut menahan 2 wanita warga tempatan yang bekerja sebagai GRO di situ.

"Daripada jumlah itu, 31 adalah dari China dan 15 warga Vietnam manakala dua rakyat tempatan. Semua mereka berusia antara 20 hingga 30 tahun ditahan ketika sibuk melayan pelanggan masing-masing," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Katanya ada di antara mereka yang ditahan itu tidak memiliki pas perjalanan, melanggar syarat pas lawatan sosial dan syarat premit pekerja.

Beliau berkata dalam Ops Noda itu, polis turut menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai penjaga di premis itu dan empat wanita warga tempatan yang bertindak sebagai 'ibu ayam' kepada kesemua gro berkenaan.

"Polis turut memeriksa dan mengambil keterangan 28 pelanggan yang berada di premis hiburan berkenaan," katanya.

Wan Abdullah berkata siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap pemilik premis hiburan berkenaan kerana menggaji dan melindungi warganegara asing. - BERNAMA

Tuesday, October 5, 2010

SPRM Pasang 'spy'

Jabatan Imigresen minta SPRM letak pegawai di ‘kawasan panas’

PUTRAJAYA: Dalam usaha membanteras gejala rasuah di semua pintu masuk sempadan negara, Jabatan Imigresen akan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menempatkan pegawainya sebagai pengintip di ‘kawasan panas’ yang dikenal pasti.

Selain di Pulau Ketam dan Port Dickson, Jabatan Imigresen juga mahu anggota SPRM ditempatkan di pintu sempadan di Kukup, Stulang Laut, Batu Pahat, Pasir Gudang di Johor; Padang Besar, Perlis; Rantau Panjang, Kelantan dan Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, berkata siasatan awal mendapati gejala rasuah banyak berlaku di lokasi yang mengendalikan urusan keluar dan masuk melalui laut, kebanyakannya dari dan ke Indonesia di kawasan tengah dan selatan Semenanjung.

Bagaimanapun, katanya, pintu sempadan darat seperti Padang Besar, Bukit Kayu Hitam dan Rantau Panjang, yang bersempadan dengan Thailand akan tetap dipantau.

“Saya akan berbincang dengan SPRM segera untuk menempatkan anggota suruhanjaya itu di lokasi berkenaan, terutama yang dikategorikan sebagai ‘panas’.

“Langkah itu juga bertujuan memberi ingatan kepada semua kakitangan imigresen agar tidak terbabit dengan rasuah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Bagaimanapun, beliau tidak menamakan lokasi panas berkenaan.

Abdul Rahman juga menegaskan operasi tangkapan pegawainya oleh SPRM kerana disyaki menerima rasuah di Jeti Pulau Ketam, Selangor dan Port Dickson, Negeri Sembilan, sejak minggu lalu adalah permulaan kepada pemantauan dan gerakan lebih ketat di semua pintu masuk sempadan negara.

Semalam, Berita Harian melaporkan tujuh kakitangan imigresen ditahan SPRM setakat ini, termasuk dua pegawainya di Jeti Port Dickson, Rabu lalu, ketika melakukan transaksi wang tunai RM26,000 dengan sindiket membawa keluar masuk pendatang tanpa izin. Lima lagi ditahan di Jeti Penumpang Pulau Ketam.

Abdul Rahman juga mengingatkan pegawai kanan imigresen di negeri dan penyelia pusat pemeriksaan di pintu masuk sempadan supaya sentiasa memantau anak buah mereka.

“Mereka perlu bertanggungjawab dan peka jika ada anak buah yang hidup mewah di luar kemampuan dan disyaki terbabit dengan rasuah.

“Misalnya, mereka boleh melihat daripada penampilan, cara hidup dan kereta yang dipakai anggota. Jika mereka menggunakan kereta mewah berbanding dengan pendapatan sebenar mereka, mungkin ada sesuatu yang berlaku,” katanya.

Abdul Rahman berkata, selain bekerjasama dengan SPRM, pihaknya juga akan meningkatkan program pendidikan kakitangannya terutama mereka yang kurang lima tahun berkhidmat dan yang lima tahun lagi untuk bersara.

“Ujian pertama terhadap tawaran rasuah adalah lima tahun pertama bekerja, manakala mereka yang lima tahun lagi mahu bersara pula terdorong kepada rasa mahu mengumpul harta sebelum pencen.

“Kedua-dua kumpulan inilah akan menjadi fokus program pendidikan kita,” katanya mengesahkan empat daripada lima pegawai yang ditahan di Pulau Ketam berkhidmat dengan Jabatan Imigresen kurang dua tahun, manakala seorang kakitangan yang ditangkap di Port Dickson berusia dalam lingkungan 50-an.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Rahman juga mengesahkan sudah meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menukar seorang pengarah Jabatan Imigresen negeri. Berita Harian

Monday, October 4, 2010

PAGAR MAKAN PADI : 7 Lagi Ditahan SPRM

Kakitangan imigresen ditangkap ketika lakukan transaksi wang tunai RM26,000 di Port Dickson

KUALA LUMPUR: Tujuh lagi kakitangan imigresen ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk dua pegawainya ketika melakukan transaksi wang tunai sebanyak RM26,000 dengan sindiket membawa keluar masuk pendatang asing tanpa izin, di Jeti Port Dickson.

Dengan penahanan terbaru itu, jumlah keseluruhan kakitangan imigresen yang ditahan setakat ini ialah lapan orang, termasuk enam di Jeti Penumpang Pulau Ketam, Pelabuhan Klang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah membabitkan sindiket berkenaan.

Daripada jumlah itu, lima anggota jabatan berkenaan yang bertugas di Jeti Penumpang Pulau Ketam, ditahan semalam, manakala seorang ditahan Jumaat lalu kerana disyaki menerima rasuah dan bersubahat dengan sindiket yang menjalankan kegiatan sama.

Sumber memberitahu Berita Harian, semua anggota yang berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan suruhanjaya berkenaan antara jam 3 petang hingga 6 petang di jeti berkenaan serta di sekitar Klang, berikutan siasatan dan intipan lebih setahun SPRM.

Selain itu, dua lagi berusia dalam lingkungan 40 dan 50-an yang ditahan SPRM dengan wang transaksi itu adalah mereka yang bertanggungjawab menyelia operasi di Jeti Port Dickson, Negeri Sembilan.

Kedua-duanya ditahan di sekitar Seremban antara jam 6 petang hingga 9 malam, Rabu lalu bersama seorang individu lain yang bertindak sebagai ‘runner’ untuk transaksi membabitkan sindiket menggunakan jeti yang mengendalikan perjalanan feri ke Dumai tiga kali seminggu.

Sumber itu berkata, pegawai terbabit disyaki mengenakan bayaran RM80 bagi setiap pendatang asing tanpa izin yang keluar masuk dan dipercayai mendapat bayaran mencecah RM20,000 seminggu.

“Siasatan mendapati suspek menugaskan anggota menaiki feri dan melepaskan pendatang yang tidak mempunyai dokumen lengkap turun sedangkan mengikut prosedur, mereka tidak boleh memberi kebenaran mendarat kepada pendatang terbabit.

“SPRM akan membongkar kegiatan rasuah di jeti berkenaan termasuk menyiasat semua anggota. Setakat ini kita sudah merekodkan kenyataan beberapa orang yang mengaku menerima bayaran untuk ‘menutup mulut’,” katanya.

Sumber itu berkata, tempoh reman ketiga-tiga suspek yang tamat hari ini akan disambung bagi melengkapkan siasatan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Hishamuddin Hashim, yang mengesahkan perkara itu ketika dihubungi berkata, beliau akan bertemu Ketua Pengarah Imigresen untuk berbincang mengenai tindakan selanjutnya.

Difahamkan, SPRM akan mencadangkan anggota yang terbabit dalam kegiatan itu dikenakan tindakan tatatertib dan seluruh pasukan imigresen di Jeti Port Dickson dirombak.

Jumaat lalu, SPRM menahan seorang anggota imigresen dan tujuh individu lain bersama wang tunai RM100,000 disyaki rasuah yang diterima daripada pendatang asing di Jeti Penumpang Pulau Ketam, dan beberapa lokasi lain di sekitar Klang. - Berita Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...