Saturday, September 4, 2010

Pasar Dibolot Warga Asing

Pendapatan peniaga-peniaga tempatan di pasar besar di sini dikatakan terjejas ekoran kehadiran warga asing yang didakwa 'membolot' sehingga kira-kira 40 lot perniagaan premis itu sejak enam tahun lalu.

Kebanyakan peniaga warga asing itu adalah rakyat Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan Thailand yang pada awalnya memberi alasan mahu menumpang berniaga sementara setelah tapak niaga di situ dikosongkan oleh peniaga asal.

Namun, Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Pasar Besar Klang, Mohd. Khairuddin Abdul Latiff berkata, hakikatnya ialah warga asing itu terus kekal berniaga di situ.

Lebih menyakitkan hati ialah peniaga itu seperti mendapat keistimewaan apabila tidak perlu membayar sewa berbanding peniaga-peniaga tempatan.

Beliau berkata, pihaknya juga telah beberapa kali membangkitkan isu itu kepada pihak berkuasa untuk meminta masalah itu diselesaikan dengan baik tetapi sehingga kini tiada jalan penyelesaian dicapai.

"Isu warga asing ini telah lama dibangkitkan, namun pihak Majlis Perbandaran Klang (MPK) dilihat tidak mengambil tindakan yang berkesan terhadap pihak-pihak ini.

"Bagi kami, ini perkara serius kerana kebanjiran warga asing merampas hak peniaga tempatan yang benar-benar ingin berniaga.

"Mereka (warga asing) bebas berniaga di situ sebagai tuan punya perniagaan dan bukannya pekerja," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di pasar besar tersebut menunjukkan fenomena kebanjiran warga asing di kalangan peniaga memang berleluasa dan suatu tindakan segera perlu diambil bagi membendung keadaan daripada terus berleluasa.

Setiausaha persatuan, Abdul Rahim Abdul Razak juga melahirkan rasa kecewa dengan keadaan yang berlaku dan berharap MPK tidak lepas tangan dalam isu berkenaan.

Tambahnya, sudah banyak aduan bertulis dikemukakan kepada MPK serta salinannya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Dr. Rani Osman dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud namun warga asing dilihat masih terus berniaga di situ.

"Kita pun tak faham mengapa keadaan itu boleh dibenarkan berlaku. Orang tempatan kalau tidak ada lesen dikenakan denda dan sebagainya tetapi warga asing, tidak kena apa-apa," jelas beliau.

Selain itu, Abdul Rahim mendakwa, warga asing itu sering menjadi tumpuan pembeli kerana mereka sanggup menjual sayur-sayuran dan ikan dengan lebih rendah berbanding peniaga tempatan.

"Keuntungan sikit bagi mereka sudah memadai kerana tidak perlu membayar sewa, gaji pekerja dan sebagainya," katanya.

Keadaan itu diakui seorang peniaga tempatan Rahmat Jamil, 45, kerana peniaga warga asing itu tidak perlu menanggung pelbagai kos sara hidup seperti bil utiliti.

"Warga asing sanggup duduk beramai-ramai serumah dan makan ala kadar tetapi kami peniaga tempatan perlu menanggung keluarga, tambahan pula kos hidup semakin melambung.

"Cara berniaga tidak sihat warga asing yang berniaga di ruang pejalan kaki dan mengenakan harga rendah untuk setiap barangan jualan menggugat pendapatan peniaga-peniaga tempatan," tegasnya.

Seorang lagi peniaga, Jimmy Khoo, 45, berkata, pihak berkuasa pernah mengambil tindakan tetapi warga asing itu terselamat kerana pemilik-pemilik tapak itu mengaku perniagaan itu adalah milik mereka.

Sikap pemilik tapak itu juga, ujar beliau, amat dikesali kerana seolah-olah cuba melindungi perbuatan warga asing yang telah mengugat periuk nasi peniaga-peniaga tempatan.

Kerugian yang teruk dialami oleh peniaga-peniaga ini akibat cara berniaga warga-warga asing ini memerlukan pihak berkuasa melakukan operasi pemutihan secara berkala, katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi dan Pengaduan Awam MPK, Norfiza Mahfiz ketika dihubungi memberitahu, isu warga asing itu sudah diselesaikan dengan kerjasama Jabatan Imigresen.

Katanya, pekerja asing itu dikenal pasti hanya sebagai pekerja dan bukannya pemilik tapak perniagaan tersebut.

Namun, katanya, pihaknya akan membuat siasatan lanjut bagi memastikan tiada warga asing berniaga di pasar tersebut kerana ia sememangnya merupakan satu kesalahan. - Utusan

Tujuh anggota sindiket palsu dokumen ditahan

Warga Indonesia jadi ejen tiket feri di Jeti Pulau Ketam

KUALA LUMPUR: Tujuh warga Indonesia ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan sindiket pemalsuan dokumen dan cop imigresen untuk membawa pendatang haram keluar masuk di Jeti Pulau Ketam, Pelabuhan Klang, semalam.

Operasi itu susulan laporan muka depan akhbar ini minggu lalu mengenai ada anggota penguatkuasa jabatan itu dipercayai dibayar sehingga RM2,000 sehari untuk upah mereka memudahkan urusan keluar masuk pendatang haram terbabit, termasuk melepaskan warga asing yang pasportnya mempunyai cap palsu atau tiada dokumen.

Habuan yang diterima anggota penguatkuasa itu dibiayai sekurang-kurangnya empat sindiket yang dianggotai kira-kira 80 ejen warga Indonesia atau dipanggil ‘chalo’ yang dikatakan beroperasi di jeti itu, selain berpuluh-puluh ribu pendatang tanpa izin yang menggunakan khidmat chalo setiap hari.

Ketua Penguatkuasa Imigresen, Zamberi Abdul Aziz, berkata semua yang ditahan didapati masuk ke negara ini menggunakan pas sosial dan bekerja sebagai ejen penjualan tiket feri di jeti berkenaan.

“Semua terbabit ditahan untuk siasatan lanjut dalam operasi oleh Imigresen Selangor,” katanya ketika dihubungi semalam.

Chalo terbabit menawarkan khidmat dikenali sebagai ‘bawah pokok’ bagi urusan cop palsu imigresen untuk warga Indonesia yang tiada dokumen keluar masuk dan tinggal melebihi tempoh, tetapi ingin pulang ke kampung masing-masing dengan bayaran antara RM50 hingga RM1,800.

Zamberi berkata, warga asing yang ditahan dalam operasi jam 11 pagi itu dibawa ke depoh tahanan imigresen sebelum dikenakan tindakan lanjut.

Beliau berkata, maklumat yang diperoleh daripada tujuh warga Indonesia itu akan digunakan untuk mendapatkan gambaran lebih jelas kegiatan sindiket berkenaan. - Berita Harian

Friday, September 3, 2010

Amah diburu kes kematian bayi berjaya ditangkap

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang diburu polis bagi membantu siasatan kes dera bayi berusia 15 bulan di Puchong, berjaya ditahan di hadapan sebuah rumah di Jalan Permata 1, Taman Permata, Ampang, hari ini.

Polis berjaya menjejaki dan menahan suspek, Rita Rohayati, 25, pada pukul 12.54 tengah hari, selepas menerima maklumat orang ramai yang mengatakan suspek sedang berkeliaran di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, penduduk di kawasan itu yang kebetulan baru saja menonton berita tengah hari di televisyen, mengecam wajah wanita itu lalu memaklumkan kepada polis.

"Polis akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian itu dan sama ada pembantu rumah tersebut terlibat dalam kematian bayi itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Pada 27 Ogos lalu, bayi malang itu, Tan Jin Yong dikejarkan ke Pusat Perubatan Colombia Asia di Bandar Putri Puchong setelah tidak sedarkan diri namun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia.

Rita sendiri sempat memaklumkan kepada Meng Kiang mengenai kejadian yang menimpa anak tunggal majikannya itu, sebelum dia menghilangkan diri.

Ahli patologi Hospital Serdang mengesahkan kematian Jin Yong mempunyai unsur jenayah berdasarkan kesan-kesan lebam pada leher mangsa dipercayai akibat dicekik.

Turut ditemui adalah kesan keretakan di tulang kaki kanan mangsa yang menunjukkan mangsa mungkin pernah didera sebelum ini.

Berikutan perkembangan itu, polis yang pada mulanya mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut, menukar kertas siasatan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Utusan

Polis temui 24 warga India dikurung

IPOH 2 Sept. - Polis menemui seramai 24 lelaki warga India yang dikurung dalam sebuah rumah dipercayai mangsa pemerdagangan orang dalam satu serbuan di Sungai Siput, dekat sini, kelmarin.

Dalam serbuan itu, polis turut menahan dua lelaki rakyat Pakistan dipercayai terlibat menguruskan kegiatan haram itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, kesemua warga India berusia antara 20 hingga lingkungan 30-an itu ditemui hasil maklumat awam.

"Dalam serbuan pukul 12.45 tengah hari Selasa lalu, rumah itu didapati berkunci. Sebaik sahaja kita membukanya, polis menemui 24 lelaki yang berasal dari Uttar Pradesh, India, terkurung dalam rumah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, dua lelaki Pakistan yang ditahan masing-masing berusia 34 dan 25 tahun.

Kata Mohd. Dzuraidi, siasatan mendapati, kesemua lelaki India itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak empat bulan lalu.

Polis percaya kesemua lelaki itu dikurung di rumah berkenaan buat sementara waktu sebelum dihantar ke Pulau Pinang untuk bekerja di sebuah kilang yang dijanjikan gaji lebih lumayan.

"Sebaik tiba, mereka dibawa oleh dua lelaki Pakistan ke Johor untuk bekerja di sebuah kilang.

"Mereka kemudiannya diminta membayar sebanyak RM300 seorang untuk membolehkan mereka bekerja di Pulau Pinang dengan gaji lebih lumayan," jelas beliau.

Katanya, kedua-dua lelaki warga Pakistan itu direman selama seminggu mulai semalam dan salah seorang daripadanya sedang disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Pemerdagangan Orang 2007.

Sementara itu, kesemua lelaki India terbabit dihantar ke Depot Tahanan Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut sebelum dihantar pulang ke negara asal. - Utusan

Tuesday, August 31, 2010

PATI bawah jambatan dicekup Imigresen

KOTA KINABALU 30 Ogos - Seramai 30 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tinggal di bawah jambatan di Tanjung Lipat, di sini sejak empat bulan lalu ditahan Jabatan Imigresen dalam serbuan semalam.

Pengarah Imigresen Negeri, Mohammad Mentek berkata, kesemua PATI yang berusia satu hingga 58 tahun itu ditahan dengan bantuan Pasukan Gerakan Marin (PGM) kira-kira pukul 9 pagi.

"Pihak jabatan telah menerima aduan berhubung penempatan ini sejak empat bulan lalu. Golongan PATI tanpa rumah ini mendakwa mereka adalah berbangsa Pala'u dari selatan Filipina dan tidak tahu bertutur dalam bahasa Malaysia.

"Ekoran daripada permasalahan tersebut, ia menyebabkan pegawai kita sukar untuk berkomunikasi dengan mereka bagi mendapatkan maklumat lanjut," katanya di sini hari ini.

Menurut Mohammad, kumpulan PATI itu telah datang ke negeri ini setelah dijanjikan pekerjaan sebagai nelayan.

Katanya, kumpulan berkenaan juga mendakwa bahawa mereka dibawa ke sini dengan menggunakan bot oleh seorang lelaki tempatan.

"Pada tahun lepas, pihak kami pernah menahan mereka yang tinggal di bawah jambatan dan ini adalah kumpulan baru," katanya.

Beliau menambah, pihaknya sudah mengesan dalang yang membawa masuk PATI berkenaan.

Katanya, kumpulan PATI itu kini ditahan di pusat tahanan sementara Papar, sebelum dihantar pulang ke Filipina dalam masa terdekat.

Mohammad berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959 kerana memasuki negara secara haram. - Utusan

Monday, August 30, 2010

Cari ulat tiket, PATI pula ditahan

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Lain dicari, lain pula yang dapat. Itu yang berlaku dalam operasi bersepadu yang pada awalnya diadakan untuk membanteras kegiatan ulat tiket yang semakin berleluasa di Hentian Bas Sementara Bukit Jalil di sini petang semalam.

Walaupun hanya dua orang ulat tiket yang berjaya ditahan dalam operasi bermula pukul 3 hingga 7 petang, seramai 12 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) turut ditahan.

Operasi melibatkan lebih 50 anggota dan pegawai pelbagai agensi antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Pegawai Operasi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, Inspektor Mohamad Sukri Ishak berkata, operasi itu berjaya kerana pihaknya turut memberkas pendatang asing walaupun hanya dua ulat sahaja yang berjaya ditangkap.

"Kita dapati semakin kerap operasi seperti ini diadakan, sindiket ulat tiket tidak lagi berani beroperasi. Malah, ramai di antara ulat yang menghentikan kegiatan mereka setelah menyedari operasi yang dijalankan," katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi itu petang semalam.

Tambah beliau, pihaknya akan terus mengadakan operasi seperti itu bagi membanteras kegiatan ulat tiket setiap kali menjelang musim perayaan.

Katanya, usaha untuk menangani masalah ulat ini telah dilakukan sejak tiga bulan lalu oleh pihak JPJ namun, tindakan agresif mula dilakukan sejak kelmarin.

"Sepanjang tahun ini, JPJ telah menahan seramai 112 ulat dan kita yakin operasi ulat ini mampu menghadirkan rasa gerun mereka," katanya lagi.

Mohamad Sukri memberitahu, walaupun ada ulat-ulat pernah ditangkap beberapa kali sebelum ini namun, mereka masih berani melakukan perkara yang sama.

"Terdapat beberapa ulat yang sudah dijatuhkan hukuman namun, mereka masih lagi giat menjalankan kegiatan menjual tiket," katanya lagi.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak terpedaya dengan penjual-penjual tiket haram ini semata-mata ingin balik ke kampung halaman kerana dikhuatiri tiket bas yang dibeli tidak sah untuk mana-mana bas beroperasi. - Utusan

46 GRO ditahan di kelab malam

SEBAHAGIAN daripada 46 GRO eksklusif dibawa keluar dari sebuah kelab malam di Batu Pahat, semalam.

BATU PAHAT 29 Ogos – Seramai 46 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga China dan Vietnam yang menawarkan khidmat seks kepada pelanggan ditahan dalam serbuan di sebuah kelab malam di sini, malam tadi.

GRO tersebut dipercayai menawarkan khidmat seks kepada pelanggan kelas atasan pada kadar antara RM300 hingga RM500 di kelab malam tersebut.

Timbalan Ketua Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Deputi Supritendan Tan Hiap Seng berkata, daripada jumlah itu, hanya seorang GRO tersebut warga Vietnam manakala selebihnya adalah warga China.

“Kesemua mereka berusia antara 20 hingga 30 tahun ditahan ketika sibuk melayan pelanggan masing-masing.

“Tiga lelaki warga China turut ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai pengurus dan pelayan bar. Mereka berusia lingkungan 30-an,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Hiap Seng berkata, GRO tersebut bekerja di kelab malam itu sejak sebulan lalu dan dipercayai menyediakan khidmat kepada pelanggan kelas atasan berdasarkan pakaian mahal dan seksi yang digunakan mereka.

“Mereka berkhidmat untuk kelas atasan berbanding khidmat GRO di kelab-kelab lain. Mereka akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana menyalahgunakan permit kerja,” katanya.

Beliau berkata, seramai 38 pegawai dan anggota D7 teribat dalam serbuan itu dan pihaknya akan menjalankan operasi berterusan bagi membanteras kegiatan tidak bermoral di daerah ini.

“Kita mahu mereka tahu bahawa kegiatan tidak bermoral seperti GRO ini tidak dialu-alukan di sini,” katanya.

Turut ditahan dalam serbuan itu ialah empat pelanggan ekoran ujian air kencing menunjukkan mereka positif dadah. - Utusan

Sunday, August 29, 2010

Pasukan khas kekang PATI musim perayaan

KOTA KINABALU 28 Ogos - Jabatan Imigresen Sabah menubuhkan sebuah pasukan khas bagi memantau pergerakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di semua pintu masuk dan keluar negeri ini sempena musim perayaan.

Pengarahnya, Mohammad Mentek berkata, siasatan jabatan itu mendapati ramai PATI mengambil kesempatan musim perayaan khususnya Hari Raya Aidilfitri untuk menyusup masuk ke negara ini.

"Kita mahu memperluaskan lagi pemantauan dan oleh sebab itu, satu pasukan khas ditubuhkan bagi mengekang sebarang kemasukan atau keluar secara haram," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohammad memberitahu, seramai 22,850 PATI telah ditahan oleh jabatan itu sepanjang 2008 hingga 2009.

Katanya, angka tersebut tidak termasuk PATI yang ditahan oleh agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Untuk tempoh Januari hingga Julai tahun ini, kita telah menahan 4,270 PATI, manakala 4,677 PATI lagi ditahan oleh PDRM," katanya.

Mohammad menjelaskan, selain berperanan menangani isu PATI, jabatan itu turut memainkan peranan yang penting dalam mengutip hasil untuk pendapatan negara.

"Tahun lepas, jabatan ini telah mengutip sebanyak RM254.7 juta hasil dan merupakan antara yang tertinggi di Malaysia," katanya.

Beliau menambah, sepanjang enam bulan pertama tahun ini jabatan itu telah memperoleh kutipan sebanyak RM61.5 juta. - Utusan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...