Saturday, August 28, 2010

Tindakan Tegas Terhadap Anggota Penguatkuasa Ambil Rasuah

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap anggota penguat kuasa di pintu-pintu masuk negara yang sanggup menggadaikan maruah pasukan dengan mengambil rasuah daripada pendatang tanpa izin (PATI).

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sehubungan itu beliau yang bimbang dengan gejala rasuah tersebut juga telah mengeluarkan arahan siasatan berhubung kejadian di jeti Pulau Ketam, Klang dilakukan secepat mungkin

"Kita akan menyiasat perkara tersebut dan mereka yang bersalah akan dikenakan tindakan tegas supaya ia menjadi pengajaran kepada anggota lain.

"Kita juga akan pantau semua pihak, bukan setakat Jabatan Imigresen malah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang menjaga di pintu-pintu masuk negara," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebuah akhbar hari ini melaporkan segelintir anggota dan pegawai Imigresen mampu meraih sehingga RM60,000 sebulan hasil daripada rasuah yang diperoleh pendatang tanpa izin dari Indonesia.

Setiap anggota penguat kuasa itu dipercayai dibayar kira-kira RM2,000 sehari untuk memudahkan urusan keluar dan masuk pendatang haram terbabit, termasuk melepaskan warga asing yang pasportnya mempunyai cop palsu atau tiada dokumen.

Sehubungan itu, Hishammuddin memberitahu, pihaknya secara serius sedang mengenalpasti mereka yang terlibat dalam kegiatan rasuah ini.

"Beri saya sedikit masa lagi untuk mengenalpasti semua mereka yang terlibat untuk diheret ke muka keadilan," tegas beliau.

Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, pihaknya akan melakukan siasatan menyeluruh bagi mengenalpasti kebenaran laporan tersebut. - Utusan

14 GRO Filipina ditahan

Sebahagian daripada 14 GRO warga Filipina yang ditahan polis kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka dengan bekerja di pusat hiburan dalam satu serbuan yang dilakukan sepasukan anggota D7 di Kuching, semalam.

KUCHING 27 Ogos - Seramai 14 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Filipina ditahan polis kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka dengan bekerja di pusat hiburan.

Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Deputi Supritendan Abang Junaidi Abang Anwar berkata, semua mereka ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Mendu malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira pukul 10 malam, seramai 23 GRO warga Filipina diperiksa dan 14 daripada mereka yang berusia antara 20 hingga lingkungan 30-an ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka.

"Hasil pemeriksaan ke atas 23 wanita GRO itu, kita dapati seramai 14 wanita menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka dan sembilan lagi dibebaskan kerana mempunyai permit," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, ketika serbuan, kesemua mereka didapati sedang berhibur dan tiada insiden cuba melarikan diri dilaporkan berlaku.

Abang Junaidi memberitahu, kesemua mereka kini disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial serta permit.

Beliau menambah, seorang lelaki yang dipercayai pemilik premis hiburan tersebut turut ditahan bagi membantu siasatan. - Utusan

Wednesday, August 25, 2010

Depoh Sesak

WARGA asing yang ditahan di Depoh Belantik, Kedah terpaksa bersesak berikutan bangunan yang tidak pernah dinaik taraf sejak 1970-an.

Imigresen dedah 10 pusat tahanan daif di seluruh negara


PUTRAJAYA: Daif dan sesak. Itulah keadaan 10 depoh tahanan Imigresen di seluruh negara hingga menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan pusat berkenaan yang mewarisi bangunan tinggalan pangkalan Unit Kawalan Kawasan (UKK) sejak awal 1970-an.

Depoh berkenaan bukan saja tidak dilengkapi lampu limpah untuk kawalan pada waktu malam serta kamera litar tertutup (CCTV), malah sistem pendawaian elektriknya sudah lama dan ada yang rosak, pagarnya pula tidak pernah diganti sejak 1970-an sebaliknya hanya diperbaiki mengikut keperluan atau kerosakan, manakala tiang sesetengah menara kawalan berkarat dan reput. Kuarters kakitangannya juga amat menyedihkan serta tiada kemudahan.

Keadaan itu berlaku di depoh tahanan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang; Belantek, Kedah; Lenggeng, Negeri Sembilan; Machap Umboo, Melaka; Tanah Merah, Kelantan; Semuja, Sarawak; Kemayan, Pahang; Langkap, Perak; Juru, Pulau Pinang dan Pekan Nenas, Johor.

Pendedahan itu dibuat Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, semalam, menyusul beberapa kejadian membabitkan tahanan warga asing melarikan diri dari depoh Imigresen.

Terbaru, 20 tahanan warga Afghanistan melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen KLIA, kira-kira jam 3 pagi 2 Ogos lalu selepas memotong jeriji dua pintu halangan sebelum menyusup keluar. Sebelum ini, pada 27 Mac lalu, 16 warga Afghanistan dan empat Myanmar yang ditahan di depoh yang sama turut melarikan diri.

Abdul Rahman berkata, Imigresen mempunyai 13 depoh tahanan dengan di Semenyih, Negeri Sembilan sedang dalam pembaikan dan dijangka siap pada Disember ini, manakala Bekenu dan Ajil adalah bangunan baru serta memiliki kemudahan tahanan dan tempat tinggal kakitangan yang lebih baik.

Beliau berkata, 10 depoh yang uzur itu menempatkan kira-kira 7,000 tahanan warga asing dengan sesetengahnya mengalami kesesakan, seperti di Lenggeng yang menempatkan antara 1,400 hingga 1,600 tahanan sepanjang masa berbanding kapasitinya 1,200 tahanan.

Malah, depoh itu turut menempatkan banduan dagang, iaitu pesalah yang selesai menjalani hukuman jenayah dan menunggu untuk dihantar pulang, selain yang menunggu ditahan reman atau untuk siasatan sebelum dibawa ke mahkamah serta warga asing yang melanggar peraturan Imigresen.

Daripada jumlah tahanan itu, sekitar 4,000 adalah kategori banduan dagang dan kumpulan menunggu ditahan reman - kumpulan yang dianggap berisiko tinggi melarikan diri.

Abdul Rahman berkata, setiap depoh mempunyai 120 petugas yang mana setiap syif memerlukan 20 kakitangan untuk berkawal.

Mereka menghadapi tugas berat sama ada dari segi keselamatan tahanan serta diri sendiri apabila terpaksa bergantung kepada keadaan infrastruktur yang uzur, katanya.

Bagaimanapun, katanya, keadaan itu tidak menjejaskan piawaian minimum Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam mengendalikan tahanan termasuk berkaitan "penahanan selamat" iaitu tahanan tidak boleh mencederakan diri sendiri.

Beliau berkata, Imigresen memerlukan sekitar RM100 juta bagi meningkatkan taraf infrastruktur di semua depoh terbabit.

Katanya, kira-kira RM10 juta diperlukan bagi setiap depoh untuk meningkatkan tahap infrastrukturnya, jumlah yang dilihat wajar kerana pendapatan daripada Imigresen berjumlah sekitar RM3 bilion setahun.

"Akibat infrastruktur yang tidak sempurna, kita juga terpaksa mengehadkan pergerakan tahanan menyebabkan aktiviti pengisian kepada mereka terlalu berkurangan kerana kita tidak mahu mengambil risiko dan ini menyebabkan tekanan kepada tahanan terus bertambah," katanya.

Pengisian kepada tahanan termasuk kegiatan sosial serta kawasan lapang untuk mereka ambil angin, tetapi ia memerlukan infrastruktur keselamatan yang baik terutama pagar dan menara kawalan.

Abdul Rahman berkata, jika ada yang menganggap pusat tahanan warga asing tidak perlu terlalu baik, mereka juga perlu memikirkan risiko kakitangan Imigresen yang bertugas di setiap depoh berkenaan.

Mengenai Depoh Tahanan KLIA, Abdul Rahman berkata, bangunan itu sepatutnya menempatkan warga asing yang transit sementara menunggu pesawat, tetapi bertukar menjadi pusat tahanan kekal selepas Depoh Semenyih ditutup.

Sehingga 31 Mac lalu, Depoh KLIA mempunyai 542 tahanan termasuk mangsa pemerdagangan orang yang diberi perlindungan di blok khas di situ. - Berita Harian

Sunday, August 22, 2010

Pengemis Asing Di Bazar Ramadan Kaut RM300 Sehari


KUALA LUMPUR: Pengemis jalanan di ibu negara terutama di kawasan elit mampu mengutip sehingga RM300 sehari hanya berbekalkan kotak sebagai alas tempat duduk dan bekas kecil di hadapan mereka.

Di merata tempat, pengemis menyasarkan bazar Ramadan sebagai lubuk rezeki dengan pendapatan lebih lumayan berbanding hari biasa.

Sepanjang tinjauan selama tiga jam di bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini mendapati, kebanyakan pengemis ialah mereka yang kurang upaya walaupun secara luarannya kelihatan sihat.

Lebih memeranjatkan mereka ialah warga asing yang tidak diketahui statusnya dan tidak fasih berbahasa Melayu atau Inggeris.

Setiap lima orang yang melintasi pengemis itu akan menghulur sumbangan wang tunai dan ada juga yang memberi makanan. Tidak disangkal pilihan mengemis di bazar Ramadan berbaloi bagi mereka.

Kebanyakan orang ramai menghulurkan RM1 hingga RM10, tetapi tidak kurang juga yang menghulurkan RM50 menyebabkan pendapatan pengemis mencecah ratusan ringgit sehari.

Ketika ditanya kepada pengunjung yang memberi sumbangan, kebanyakan mengatakan demi keberkatan Ramadan dan simpati.

Kegiatan pengemis itu seolah-olah tidak dipedulikan pihak berkuasa dan mereka semakin bebas meminta sedekah di mana saja. Pihak berkuasa sentiasa memantau bazar Ramadan tetapi kehadiran pengemis tidak diendahkan.

Sumber memberitahu Berita Minggu, ada ketikanya pihak berkuasa sekadar menegur dan menghalau pengemis, tetapi mereka tetap berlegar di kawasan sama. - Berita Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...