Saturday, August 21, 2010

15 GRO Warga China Diberkas

Sebahagian daripada 15 wanita warganegara China yang dipercayai GRO ditahan Polis Cawangan Pencegahan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, di Pusat Hiburan Karaoke Taman AST, Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

SEREMBAN 20 Ogos - Meskipun sebuah pusat hiburan di Taman AST, dekat ini sudah empat kali diserbu polis, namun pemiliknya langsung tidak gentar malah berlagak kebal.

Apa tidaknya, ketika 'anak ayam belaan' diangkut pihak berkuasa, pemiliknya hanya tersenyum sinis tanpa langsung menunjukkan rasa insaf.

Dalam serbuan itu, seramai 15 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga China ditahan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dalam Ops Noda di sini malam tadi.

Menurut Pegawai Turus D7, Asisten Supritendan Habibi Majinji, serbuan itu bermula pukul 9.20 malam tadi, melibatkan dua pegawai serta 12 anggota.

"Ketika serbuan, kesemua GRO berusia antara 18 dan 46 tahun itu dikatakan cuba menyembunyikan diri dengan memasuki dinding terowong yang disediakan pemilik premis," katanya ketika ditemui di sini malam tadi.

Habibi menjelaskan, dalam serbuan itu juga, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 43 tahun warga tempatan yang merupakan penjaga pusat hiburan berkenaan.

Jelas beliau, ketika serbuan dilancarkan seramai 17 pelanggan dikatakan sedang berhibur di dalam premis itu.

"Kita juga menjalankan pemeriksaan terhadap pengunjung bagaimanapun kesemua mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah," katanya.

Tambah beliau, polis akan mengadakan pemeriksaan lebih kerap di pusat-pusat hiburan di negeri ini yang dikenal pasti menjadi tumpuan golongan itu.

"Kita mengalu-alukan orang ramai supaya bekerjasama dengan memberikan maklumat mengenai kegiatan tersebut atau kehadiran GRO warga asing di sekitar negeri ini," katanya.

Kesemua GRO yang ditahan itu dibawa ke IPD Seremban untuk disoal siasat sebelum dikenakan tindakan susulan. - UTUSAN

Friday, August 20, 2010

Sembilan Laluan Haram PATI Dikesan

PULAU PINANG 19 Ogos - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah 1 mengesan sembilan laluan yang sering dijadikan jalan keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk pulang ke kampung masing-masing sepanjang Ramadan ini.

Komandernya, Asisten Komisioner Zainul Abidin Hasan berkata, laluan itu dipercayai akan digunakan sindiket tertentu untuk membawa keluar PATI secara haram dari perairan negara ini.

Menurutnya, antara kawasan yang dikenal pasti pihaknya adalah di perairan Pelabuhan Kelang, Selangor dan di utara Perak.

Beliau menjelaskan, berdasarkan maklumat orang awam dan risikan, PATI beragama Islam terutama dari negara jiran Indonesia akan mula bergerak ke luar negara bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

"Kita difahamkan, pada waktu umat Islam sedang sibuk berbuka puasa, kumpulan ini bergerak aktif dan cuba mengambil kesempatan kerana beranggapan ia 'waktu selamat' dan tiada rondaan.

"Justeru, ingin ditegaskan di sini walaupun pada bulan Ramadan, unit risikan dan rondaan kita akan terus beroperasi sepanjang masa siang dan malam," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, Zainul Abidin mengetuai rondaan cegah jenayah bersama 12 pegawai dan anggotanya di sekitar perairan Pulau Pinang dengan menaiki bot peronda PA 43.

Tambahnya, tumpuan akan diberikan kepada sindiket yang cuba membawa masuk rakyat asing ke negara ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi memastikan perkara itu tidak berlaku, pihaknya akan menggandakan operasi dan rondaan terutama di kawasan pesisir pantai dan laut bagi mengesan PATI yang cuba keluar secara haram.

Jelasnya, rondaan 24 jam setiap hari itu membabitkan 11 bot peronda mengikut giliran di kawasan tanggungjawab PGM Wilayah 1 iaitu Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Perak dan Selangor.

"Selain itu, kita juga akan membuat rondaan melibatkan operasi cegah jenayah di laut dengan memberi tumpuan kepada kegiatan penyeludupan barangan kawalan seperti gula dan minyak masak," ujarnya. - Utusan

23 Wanita Warga Asing Tawar Khidmat Seks Diberkas

TIGA anggota polis termasuk seorang anggota wanita memeriksa dua wanita warga asing yang mengalami kecederaan dan hanya mampu terbaring selepas terjun dari tingkap sebuah pusat kesihatan di hotel tiga bintang di Klang, malam kelmarin.

KLANG 19 Ogos – Walaupun pernah diserbu awal tahun ini kerana menawarkan perkhidmatan seks, pemilik spa yang beroperasi di sebuah hotel tiga bintang di sini masih belum serik dan terus menjalankan aktiviti tidak bermoral itu secara sembunyi-sembunyi.

Bagaimanapun kegiatan itu berjaya dihidu pihak polis dan seramai 23 wanita warga asing Indonesia dan China berusia antara 20 tahun hingga 30 tahun dipercayai tukang urut yang menawarkan khidmat seks diberkas di pusat tersebut dalam serbuan kira-kira pukul 10 malam tadi.

Semasa serbuan, enam daripada wanita yang cuba melarikan diri mengalami kecederaan akibat terjatuh di atas tempat letak kereta di tingkat lima hotel tersebut.

Sementara seorang lagi wanita ditemui dalam keadaan berbogel bersama seorang pelanggan di atas katil di dalam spa.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof berkata, turut diberkas dalam serbuan itu ialah dua lelaki tempatan yang bertugas sebagai penjaga spa tersebut, masing-masing berusia 20 dan 46 tahun serta empat pelanggan.

“Akibat cuba melarikan diri, enam daripada wanita yang diberkas cedera di kaki dan bahagian punggung.

“Polis menemui banyak kondom yang sudah digunakan berselerak dalam beberapa bilik khas dipercayai digunakan untuk khidmat seks kepada pelanggan spa ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kata beliau, kesemua mereka yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Ujar beliau, siasatan awal polis mendapati, pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat seks di situ akan meminta pakej urut dalam bilik dan dikenakan bayaran antara RM150 hingga RM200 untuk sesi sejam.

Tambahnya, kesemua wanita warga asing yang diberkas di spa tersebut disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63. - Utusan

Thursday, August 19, 2010

19 Warga Asing Ditahan Dalam Dua Operasi Berasingan

Warga asing dipercayai bekerja sebagai pelacur yang ditahan Polis di sebuah Hotel di Pelabuhan Klang. Kelihatan sebahagian mengalami kecederaan kerana cuba terjun dari tingkat 6 Hotel berkenaan.

ALOR SETAR 19 Ogos - Seramai 19 warganegara asing dari Thailand, Indonesia dan Bangladesh ditahan dalam dua operasi berasingan oleh Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Negeri Kedah sejak Rabu malam.

Timbalan Pengarah Imigresen Kedah Hasreena Hashim berkata operasi yang bermula dari pukul 11 malam dan berakhir kira-kira pukul 3 pagi ini dilakukan di lapan lokasi di sekitar bandar Alor Setar dan tangkapan dibuat di dua lokasi iaitu Kuala Kedah dan Kampung Mempelam di sini.

"Dalam Ops Selera yang mensasarkan sekitar restoran, 13 lelaki dan dua wanita rakyat Thailand ditahan atas kesalahan melanggar syarat pas yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen, di Kuala Kedah," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau berkata mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

"Dalam Ops Sapu pula, empat lelaki terdiri daripada rakyat Indonesia dan Bangladesh ditahan di Kampung Mempelam, Mergong. Tiga daripada mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana masuk dan tinggal di Malaysia tanpa sebarang pas atau permit yang sah," katanya.

Hasreena berkata jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali, dan tidak lebih enam sebatan.

"Seorang lelaki yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) kerana tinggal di Malaysia melebihi tempoh pas yang ditetapkan pula boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.

Beliau berkata semua yang ditangkap dibawa ke Pejabat Imigresen Alor Setar sebelum dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik. - BERNAMA

Timbang Semula Cadangan Tidak Benar Pekerja Asing Bawa Tanggungan

SANDAKAN 19 Ogos - Kerajaan diminta menimbang semula cadangan pekerja asing khususnya warga Indonesia di Sabah tidak dibenarkan membawa tanggungan.

Anggota Dewan Undangan Negeri Elopura Au Kam Wah berkata langkah itu dibimbangi akan menjejaskan sektor perladangan kelapa sawit di negeri ini yang banyak bergantung kepada pekerja asing.

Katanya sekiranya cadangan itu diteruskan, kemungkinan masalah kekurangan tenaga kerja pekerja asing di sektor itu yang dihadapi sejak dua tahun lepas akan bertambah kritikal.

"Kita bimbang ia akan menyebabkan pekerja asing pulang ke negara asal mereka dan situasi ini akan menyebabkan masalah kekurangan pekerja dalam sektor itu," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Pada Rabu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pekerja asing khususnya warga Indonesia di Sabah tidak dibenarkan membawa tanggungan dan ia merupakan satu daripada 20 cadangan yang dikemukakan Makmal Khas Pengurusan Warga Asing di negeri ini.

Au bagaimanapun berkata beliau mengalu-alukan tindakan tegas ke atas pendatang tanpa izin yang menjadi ancaman terhadap keselamatan, kesihatan dan masalah sosial. - BERNAMA

Persekutuan Majikan Malaysia Bantah Kenaikan Kadar Caruman Perkeso

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) pada Khamis membantah keras sebarang kenaikan kadar caruman oleh majikan dan pekerja kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso).

Pengarah Eksekutifnya Shamsuddin Bardan dalam satu kenyataan berkata Perkeso sepatutnya mengawal dan mengurangkan kos pengurusan, bukan menaikkan kadar caruman.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan baru-baru ini, yang antara lain menyebut Perkeso telah melaksanakan kajian menaikkan caruman bagi mengatasi peningkatan kos bayaran pampasan dan rawatan golongan pekerja yang semakin meningkat setiap tahun.

Shamsuddin juga mempertikaikan cara Perkeso mengurus caruman kerana sehingga kini amat sedikit maklumat yang didedahkan pertubuhan itu kepada mereka yang terlibat.

"Difahamkan sebanyak RM1.8 bilion dikutip daripada majikan dan pekerja tahun lepas, tetapi tidak banyak maklumat didedahkan mengenai perbelanjaan operasi dan pentadbiran pertubuhan," katanya.

Beliau berkata Perkeso wajar menjelaskan kepada pihak terbabit mengenai kos menguruskan caruman terutamanya peratusan yang diguna untuk pentadbiran pertubuhan.

Shamsuddin juga menyifatkan kenyataan Maznah bahawa kadar caruman Perkeso tidak berubah sejak 1971 sebagai mengelirukan dan tidak tepat kerana skop liputan bagi caruman wajib telah dinaikkan daripada RM2,00 kepada RM3,000 pada 2007.

Beliau berkata pendapatan hasil pelaburan juga merosot berasaskan Laporan Tahunan Perkeso 2008 yang menunjukkan pembinaan bangunan di seluruh negara tidak memberi pulangan kerana kebanyakan bangunan tersebut masih kosong.

"Perkeso sepatutnya menumpukan kepada perniagaan asasnya iaitu menyediakan insurans sosial, bukan membina lebih banyak bangunan pejabat," katanya. - BERNAMA

19 Warga Asing Ditahan Dalam Dua Operasi Berasingan

ALOR SETAR 19 Ogos - Seramai 19 warganegara asing dari Thailand, Indonesia dan Bangladesh ditahan dalam dua operasi berasingan oleh Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Negeri Kedah sejak Rabu malam.

Timbalan Pengarah Imigresen Kedah Hasreena Hashim berkata operasi yang bermula dari pukul 11 malam dan berakhir kira-kira pukul 3 pagi ini dilakukan di lapan lokasi di sekitar bandar Alor Setar dan tangkapan dibuat di dua lokasi iaitu Kuala Kedah dan Kampung Mempelam di sini.

"Dalam Ops Selera yang mensasarkan sekitar restoran, 13 lelaki dan dua wanita rakyat Thailand ditahan atas kesalahan melanggar syarat pas yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen, di Kuala Kedah," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau berkata mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

"Dalam Ops Sapu pula, empat lelaki terdiri daripada rakyat Indonesia dan Bangladesh ditahan di Kampung Mempelam, Mergong. Tiga daripada mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana masuk dan tinggal di Malaysia tanpa sebarang pas atau permit yang sah," katanya.

Hasreena berkata jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali, dan tidak lebih enam sebatan.

"Seorang lelaki yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) kerana tinggal di Malaysia melebihi tempoh pas yang ditetapkan pula boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.

Beliau berkata semua yang ditangkap dibawa ke Pejabat Imigresen Alor Setar sebelum dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik. - BERNAMA

Wednesday, August 18, 2010

Pekerja Asing Di Sabah Mungkin Tidak Dibenar Lagi Bawa Tanggungan

PUTRAJAYA 18 Ogos - Pekerja asing khususnya warga Indonesia di Sabah mungkin tidak lagi dibenarkan membawa tanggungan, sebaliknya perlu menghantar keluarga mereka pulang ke negara asal selepas ini.


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perkara itu merupakan satu daripada 20 cadangan yang dikemukakan Makmal Khas Pengurusan Warga Asing di Sabah.

"Serentak itu pas tanggungan mereka tidak akan diperbaharui atau dikeluarkan lagi," katanya dalam satu kenyataan, di sini Rabu.

Pas tanggungan itu dikeluarkan ketika pelaksanaan program pemutihan pendatang tanpa izin sebelum ini, yang membenarkan pekerja asing tinggal bersama isteri dan anak mereka di negeri tersebut.

Hishammuddin berkata 20 syor itu adalah tambahan kepada 48 inisiatif yang telah dikemukakan Makmal Pengurusan Warga Asing peringkat nasional.

Syor itu telah dibentang kepada kerajaan negeri Sabah dan akan dibincang pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin akan datang yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ianya juga akan dimaklumkan kepada semua menteri Kabinet dari Sabah menerusi Mesyuarat Khas Berhubung Strategi Pelaksanaan Inisiatif Makmal Pengurusan Warga Asing yang dipengerusikan bersama olehnya dan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam.

Hishammuddin berkata kerajaan Sabah juga akan menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing bagi memastikan pengurusan pekerja asing dan pendatang tanpa izin di negeri itu dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

Makmal Khas Pengurusan Warga Asing Sabah yang dianggotai 27 wakil pelbagai agensi negeri dan persekutuan dilaksana selama empat minggu pada Mei lepas, bertujuan menangani serta menambah baik pengurusan pekerja asing dan pendatang tanpa izin di negeri tersebut. - BERNAMA

Isu Pendatang Tanpa Izin Tidak Mudah Untuk Diselesaikan - Musa Aman

KOTA KINABALU 18 Ogos - Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata isu pendatang tanpa izin di Sabah tidak mudah untuk diselesaikan kerana ianya memerlukan kerjasama negara asal pendatang.

Gambar hiasan

Justeru katanya, adalah tidak wajar untuk menggambarkan kerajaan negeri seolah-olah tidak serius dalam menangani isu tersebut khususnya dalam penghantaran balik pendatang tanpa izin terbabit.

"Kita tak boleh letak mereka dalam bot dan hantar mereka balik tanpa persetujuan daripada pihak berkenaan atau pihak kerajaan Filipina atau Indonesia.

"Saya ingin terangkan di sini, bahawa Indonesia kita tidak ada masalah kerana selain mempunyai konsulat sendiri, mereka juga memberi kerjasama sebaik boleh untuk memastikan warganegara mereka yang ditahan dapat mereka ambil balik semula, tapi berbeza dengan kerajaan Filipina," katanya.

Mengulas lanjut, Musa yang ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet negeri, di sini Rabu berkata sehingga kini belum ada maklum balas berhubung permintaan Sabah agar Filipina menubuhkan konsulatnya di negeri itu.

Katanya, kerajaan telah berbelanja jutaan ringgit untuk menghantar balik pendatang tanpa izin ke negara masing-masing dan pada masa yang sama harus memastikan hak asasi pendatang tidak terabai selain mengelakkan konfrontasi dengan negara jiran.

"Kita terima hakikat bahawa di Sabah kita perlukan pekerja. Dan bagi Filipina kita juga tahu mereka ini datang dari selatan Filipina yang dilanda pelbagai masalah besar.

"Bagaimanapun kita mahu mereka datang ke sini secara sah," katanya.

Beliau juga menegur sesetengah parti komponen Barisan Nasional (BN) yang kerap kali mengeluarkan kenyataan menyalahkan parti komponen lain di atas masalah yang dihadapi Sabah.

"Saya minta kepada rakan-rakan dalam BN, dalam membuat kenyataan kita mesti sama-sama bertanggungjawab, jangan seolah-olah Umno tidak ambil berat, rakan-rakan parti BN saja yang ambil berat, kerana kita adalah kerajaan BN bukan kerajaan Umno," katanya. - BERNAMA

JPJ, Imigresen banteras ulat dan pemandu teksi warga asing

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk membanteras operasi ulat tiket dan pemandu teksi warga asing yang mula menjalankan operasi mereka di sekitar Lembah Klang sejak kebelakangan ini.

Ini berikutan penahanan 12 pemandu teksi warga asing dalam operasi bersama Jabatan Imigresen yang diadakan mulai 6 hingga 10 Ogos lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan berkata, kesemua pemandu terbabit ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana menyalahi peraturan bekerja di negara ini.

Katanya, JPJ bimbang pengambilan pekerja asing sebagai pemandu teksi serta pemalsuan dokumen peribadi menjadi trend yang membimbangkan.

"Pemandu teksi warga asing terbabit memiliki lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV) dan hanya menyewa permit teksi pemilik tempatan. Situasi ini bukan sahaja salah di sisi undang-undang malah membahayakan keselamatan penumpang.

"JPJ telah menyerahkan kesemua senarai permit teksi yang telah disalah guna kepada pihak Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah LPKP, Datin Naimah Ramli berkata, pihaknya sedang menyemak kes salah guna permit teksi terbabit sebelum tindakan diambil.

"Sekiranya terbukti pihak pemilik permit menyewakan permit teksi mereka kepada warga asing, pembatalan lesen akan dikenakan ke atas mereka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. - Utusan

30 Wanita Tempatan Dan Asing Ditahan Dalam Ops Noda

IPOH 17 Ogos - Polis menahan 30 wanita tempatan dan asing kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pelacuran dan menyalahguna pas lawatan dalam Ops Noda di Teluk Intan dan Kerian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata dalam serbuan Jumaat lepas, polis menahan 15 wanita tempatan di sebuah hotel di Teluk Intan, yang menjalankan kegiatan pelacuran.

Polis turut menahan tiga pelanggan lelaki berusia 30-an untuk siasatan, katanya dalam kenyataan di sini Selasa.

Dzuraidi berkata dalam serbuan kedua di pusat hiburan karaoke di Kerian Ahad lepas, polis menahan 15 wanita rakyat China yang bekerja sebagai pelayan perhubungan pelanggan (GRO) kerana menyalahguna pas lawatan sosial.

Turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 40-an kerana membenarkan rakyat asing itu bekerja tanpa permit kerja yang sah, katanya. - BERNAMA

Majikan Di Sabah : Daftar Pekerja Asing Sehingga Oktober

KOTA KINABALU 17 Ogos - Majikan di Sabah diberikan tempoh sehingga akhir Oktober ini untuk mendaftarkan pekerja rakyat Indonesianya yang tidak sah, kata Konsul Jeneralnya di sini Hadi Santuso.


Beliau berkata tempoh itu bagi membolehkan pejabat konsul tersebut membuat urusan untuk pekerjanya memohon pasport bagi terus bekerja di negeri ini.

"Kita telah mendaftarkan lebih 217,367 permohonan sejak 2008 sehingga akhir bulan lepas. Awal bulan ini, kita telah menghantar surat kepada syarikat yang difikirkan belum lagi mendaftarkan pekerja (haram) Indonesianya, untuk mendaftar dengan kita akhir Oktober ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perayaan Kemerdekaan ke-65 di sini Selasa.

Menurut Hadi, lebih 168,000 pasport telah diserahkan, kebanyakkannya kepada penduduknya di Ladang Kelapa Sawit, sementara selebihnya dijangka disampaikan pada akhir Oktober.

Beliau juga menasihatkan rakyat Indonesia yang tiba di Sabah, agar menghubungi pejabat konsulat itu di sini dengan menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada 012-8208555 atau e-mel keikk@tm.net.my This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it bagi membolehkan pejabat konsulat berkenaan menghubungi mereka untuk memberikan bantuan semasa tinggal di sini.

Kira-kira 1,500 orang hadir pada perayaan itu di pejabat konsulat tersebut sementara cawangannya di Tawau juga mengadakan acara yang sama. - BERNAMA

Tuesday, August 17, 2010

Syarat gaji RM600 amah kerja 2 tahun - Kedutaan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Gaji minimum RM600 sebulan ditetapkan Kerajaan Indonesia dibayar majikan kepada pembantu rumah rakyat negara itu hanya diberi kepada mereka yang berkhidmat dua tahun dengan majikan berkenaan.

Kaunselor Penerangan, Sosial dan Budaya, Kedutaan Besar Indonesia, Widyarka Ryananta, berkata penetapan itu sudah dilaksanakan awal tahun lalu yang menjadi antara syarat memperbaharui pasport pembantu rumah.

Beliau berkata, syarat itu dipersetujui antara pihaknya dan pembantu rumah sebelum datang ke negara ini

“Itu adalah kesepakatan antara amah dengan kita (Indonesia) saja, tanpa membabitkan Kementerian Sumber Manusia kerana peranan itu tidak dimainkan agensi pembantu rumah,” katanya kepada Berita Harian ketika mengulas aduan majikan membayar gaji minimum RM600 sebagai syarat memperbaharui pasport. - Berita Harian

PATI: Nilai, Mantin dipantau

SEREMBAN 16 Ogos – Kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) akan terus dibanteras di negeri ini khususnya di kawasan sasaran iaitu di Nilai dan Mantin dekat sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kawasan terbabit merupakan tempat tumpuan warga asing yang bekerja dalam pelbagai sektor mahupun untuk belajar.

‘‘Kerajaan akan memantau pergerakan PATI di negeri ini dan tidak mahu mereka menjadikan kawasan Nilai dan Mantin sebagai ‘lubuk kehidupan’. Kita akan banteras mereka yang memasuki negara ini secara tidak sah serta tinggal lebih masa,” katanya di sini hari ini.

Mohamad memberitahu, Jabatan Imigresen negeri sentiasa menjalankan penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran PATI dan pada tahun lalu sebanyak 129 operasi dilakukan di dua kawasan itu.

‘‘Di Mantin sebanyak 23 operasi dilakukan, tujuh lagi di Lenggeng dan paling banyak ialah di Nilai iaitu sebanyak 99 operasi penguatkuasaan,” katanya.

Tambahnya, dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 37 operasi dijalankan oleh Jabatan Imigresen negeri dengan lima operasi di Mantin, satu di Lenggeng dan 31 lagi di Nilai.

‘‘Hasil operasi berkenaan, Jabatan Imigresen negeri menahan 505 orang PATI pada tahun lalu. Dari Januari hingga Jun tahun lalu sahaja seramai 104 orang PATI berjaya ditahan,” tegasnya.

Mohamad menjelaskan, seramai 152 orang daripada PATI yang ditahan pada tahun lalu telah dihukum penjara manakala 134 orang lagi telah diusir manakala baki 115 orang yang ditahan dan diperiksa telah dibebaskan kerana mereka mempunyai dokumen.

Pada tahun ini pula seramai 104 orang PATI telah ditahan di mana 19 orang telah diusir, 40 orang lagi dipenjara dan selebihnya iaitu 45 orang dibebaskan.

‘‘Kerajaan memandang serius kemasukan PATI ke negeri ini dan kawalan sempadan akan terus diperketatkan selain mengenal pasti ‘laluan tikus’ yang digunakan mereka.

‘‘Kita akan memastikan laluan darat yang digunakan oleh PATI ini disekat dan berharap orang ramai dapat menyalurkan maklumat segera supaya aktiviti pencerobohan dapat dibanteras,” katanya.

Dalam perkembangan lain Mohamad memberitahu, untuk menuju ke arah bandar selamat, kerajaan melakukan pelbagai pendekatan terutama sekali membanteras kegiatan jenayah di negeri ini.

Katanya, ini termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan ‘panas’, pemasangan lampu selain penglibatan serius anggota polis, pihak berkuasa tempatan, pertubuhan bukan kerajaan, parti politik dan sebagainya dalam sebarang aktiviti pencegahan jenayah.

‘‘Pihak berkuasa akan mengadakan rondaan berterusan selain meningkatkan lagi peranan Rukun Tetangga melalui Skim Rondaan Sukarela (SRS),” katanya. - UTUSAN

Warga Afrika Menyamar Jadi Pelajar Kolej Tipu RM10 Juta

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya seramai 200 warga kota di sini ditipu hampir RM10 juta pada tahun lepas oleh warga Afrika yang memasuki ke negara ini yang menggunakan pas pelajar, tetapi tidak pernah menyertai mana-mana pengajian.

Walaupun ‘pelajar’ terbabit didaftarkan di kolej-kolej terkemuka menggunakan biasiswa palsu, namun mereka sering kelihatan dengan kereta mewah dan kerap ke kelab malam.

Warga Afrika terbabit dipercayai menipu di sebalik perdagangan luar negara sebelum menyalurkan pendapatan haram itu ke dalam bank tempatan dan ‘berehat’ di negara ini.

Bagaimanapun, mereka kembali melakukan aktiviti berkenaan setibanya di sini dengan menipu menggunakan akaun bank rakyat tempatan bagi memperdayakan mangsa, kebanyakan di kalangan wanita bujang yang berjaya seperti janda.

Antara penipuan yang sering memperdayakan rakyat tempatan adalah membuat bayaran untuk hadiah yang tidak wujud, membeli air sebagai ‘vaksin’ bagi memastikan lembu sihat bebas daripada penyakit dan kes ‘black money’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany yang mendedahkan perkara itu berkata, ia amat membimbangkan dan merupakan amaran kepada rakyat tempatan supaya tidak terpedaya dengan perangkap mereka.

Beliau berkata, penipuan yang dikendalikan warga Afrika merupakan kes jenayah yang tertinggi di ibu negara sekaligus merupakan jumlah penipuan wang paling banyak.

“Jumlah itu meningkat. Warga kota sahaja ditipu sejumlah RM10 juta antara Januari tahun lalu dan jun tahun. Jumlah itu mungkin lebih tinggi kerana sesetengah mangsa tidak menyedari mereka telah ditipu.

“Penipuan sering berlaku di seluruh negara, namun pertukaran wang kebiasaannya dilakukan di Kuala Lumpur,” katanya yang mendedahkan lebih 100 wanita dan 80 lelaki ditipu sejak awal tahun lepas.

Izany berkata, siasatan menunjukkan warga Afrika telah melakukan penipuan seumpamanya di negara lain sebelum memasuki Malaysia.

”Mereka datang ke Malaysia apabila sindiket di negara lain terbongkar dengan menggunakan biasiswa palsu seolah-olah diberikan oleh negara asal mereka.

“Setibanya mereka di sini, mereka tidak meneruskan pengajian kerana melakukan aktiviti penipuan,” ujarnya.

Beliau berkata, ramai wanita yang ditipu sewenang-wenangnya memberikan wang mereka apabila terpedaya dengan kata-kata dan janji-janji manis warga Afrika.

“Mereka mensasarkan wanita bujang yang berumur dalam lingkungan 30 dan 40 tahun. Doktor dan pensyarah universiti merupakan antara mangsa yang ditipu,” katanya yang turut mendesak supaya institusi pengajian tinggi lebih berhati-hati terhadap permohonan daripada pelajar asing.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd Kamarudin Md Din berkata, sebahagian kes mendapati mangsa mengenali penipu terbabit menerusi laman rangkaian sosial. Mereka akan memaparkan gambar orang lain antaranya menggunakan wajah model terkenal bagi mendekati mangsa.

“Mereka melakukan kesalahan kerana menyalahgunakan identiti dengan menggunakan wajah orang lain,” katanya mengenai rakyat tempatan masih mangsa penipuan meskipun banyak amaran diberitahu mengenai penggunaan identiti palsu di internet.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, jumlah pelajar asing yang terlibat dengan jenayah di negara ini adalah kecil dan kebanyakannya memasuki negara ini secara haram.

Beliau menggesa polis menyediakan maklumat berkaitan kepada kementerian supaya tindakan tegas boleh diambil. - mStar

Monday, August 16, 2010

Tiga jenis visa saring kemasukan warga asing

PUTRAJAYA 15 Ogos - Semua warganegara asing yang memasuki negara ini akan disaring melalui tiga jenis visa yang perlu dimiliki setelah kemudahan visa sewaktu ketibaan (VOA) dimansuhkan mulai esok.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, tiga jenis visa itu adalah visa dengan rujukan, tanpa rujukan dan tanpa visa.

Katanya, melalui tiga jenis visa tersebut, ia akan memudahkan Imigresen membuat penyaringan lebih teliti melalui syarat-syarat visa berbanding VOA yang dikeluarkan sewaktu mereka tiba di pintu masuk.

''Sistem tiga jenis visa ini sudah dipraktikkan sebelum VOA diperkenalkan, jadi kita kembali kepada sistem asal kerana ia lebih menjamin keselamatan bagi mengelak mereka menyalahgunakan visa itu.

''Visa dengan rujukan diberikan kepada mereka yang ditaja oleh seseorang seperti majikan, visa tanpa rujukan pula adalah mereka yang perlu membuat permohonan dengan Pejabat Perwakilan Malaysia di negara masing-masing.

''Tanpa visa pula hanya diberikan kepada negara anggota ASEAN. Bagaimanapun mereka tidak dibenarkan untuk melanjutkan tempoh tinggal di negara ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Abdul Rahman, tempoh tinggal visa dengan rujukan boleh dilanjutkan sebulan demi sebulan sehingga tiga kali berbanding visa tanpa rujukan yang hanya boleh dilanjutkan sekali sahaja.

''Kita percaya dengan sistem tiga visa ini, negara dapat membendung penyalahgunaan visa dan kemudahan kawalan pintu masuk.

''Ini kerana masa saringan VOA terlalu pendek, tidak sampai setengah jam sahaja mereka boleh memilikinya tanpa kita dapat memeriksa rekod mereka terlebih dahulu sekiranya pernah tinggal melebihi masa," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman tidak mahu masyarakat keliru dengan istilah visa dengan pas masuk.

''Visa berbeza dengan pas yang dikeluarkan kepada golongan tertentu seperti pas pelajar, pas lawatan sosial, pas lawatan kerja sementara, pas iktisas, pas penggajian, pas tanggungan dan pas transit.

''Tempoh yang dibenarkan tinggal di negara ini adalah berbeza mengikut pas-pas tersebut dan mereka juga ramai yang membuat kesalahan tinggal lebih masa," katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, Jabatan Imigresen akan membangunkan sistem terbaru yang dikenali MYIMMS yang mampu mengenal pasti jumlah warganegara asing yang tinggal melebihi tempoh di negara ini mulai 1 Disember ini.

''Keseluruhan sistem Jabatan Imigresen selepas ini akan menggunakan MYIMMS seperti sistem permit masuk, keselamatan dokumen dan penguatkuasaan selain dokumen keselamatan dan sistem kawalan pintu masuk," katanya. - UTUSAN

Empat Wanita Thailand Ditahan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Polis menahan 54 individu termasuk empat wanita warga Thailand dalam dua serbuan cegah jenayah dan pelacuran di daerah Serdang dekat sini awal pagi semalam.

Kesemua mereka berusia antara 25 hingga 30 tahun ditahan dalam serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pada pukul 1 pagi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah pusat hiburan di Bandar Puchong 14.

"Dalam serbuan itu, sebanyak 50 pengunjung pusat hiburan itu ditahan. Lima daripada mereka positif mengambil dadah hasil ujian saringan air kencing.

"Kesemua lima yang ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya 1983," katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, serbuan kedua dilakukan di sebuah rumah urut yang berselindung di sebalik pusat refleksologi di Bandar Puteri.

Menurutnya, pusat urut refleksologi itu menawarkan harga serendah RM120 sejam untuk khidmat urutan badan termasuk khidmat urutan seks.

"Empat wanita warga Thailand yang mempunyai pas lawatan sosial telah ditahan kerana dipercayai melakukan khidmat urutan seks.

"Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat kemasukan," katanya.

Abd. Razak menambah, pemilik premis yang turut ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 55B akta yang sama kerana menggaji dan melindungi warga asing bekerja tanpa permit. - UTUSAN

Sunday, August 15, 2010

Gaji Minimum RM600 Amah Indonesia Belum Diputuskan

KUALA SELANGOR 15 Ogos - Kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung penetapan gaji minimum pembantu rumah warga Indonesia sebanyak RM600 oleh kedutaan negara itu.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam berkata penetapan gaji minimum itu tidak dilakukan dengan persetujuan kementeriannya atau Kementerian Dalam Negeri.

"Saya tidak tahu adakah pihak kedutaan Indonesia menetapkan perkara itu mengikut pentadbiran sendiri, tetapi pada apa yang dipersetujui oleh kita sehingga kini, semua isu gaji pekerja asing diputuskan mengikut kuasa pasaran, iaitu berdasarkan permintaan dan pembekalan.

"Oleh itu, apa yang dilakukan oleh pihak kedutaan adalah di luar pandangan kita dan kita akan siasat apa yang sebenarnya berlaku," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Mesra Rakyat 1Malaysia 2010 anjuran Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India di Dewan Harmoni Simpang Tiga, Ijok di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aduan beberapa majikan bahawa mereka terpaksa bersetuju membayar gaji minimum sebanyak RM600 sebagai syarat memperbaharui pasport pembantu rumah mereka.

Mereka mendakwa perkara itu diumumkan oleh pihak kedutaan Indonesia melalui sistem pembesar suara semasa pembantu rumah memperbaharui pasport.

Dakwa mereka lagi, pihak kedutaan juga memaklumkan bahawa perjanjian berhubung penetapan gaji minimum pembantu rumah itu telah ditandatangani oleh Malaysia dan berkuat kuasa Julai lepas.

Subramaniam berkata kedua-dua pihak sedang mengadakan rundingan secara berterusan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung isu tersebut.

Sebelum ini, beliau mengumumkan bahawa Malaysia menolak cadangan Indonesia bagi menetapkan gaji minimum pembantu rumah negara itu sebanyak RM800 sebulan kerana negara ini tidak mempunyai struktur gaji minimum. - BERNAMA

Pekerja Asing Bertindak Agresif Rakan Mati

SEBAHAGIAN daripada pekerja kilang yang berkumpul di balkoni asrama kerana tidak puas hati dengan kematian pekerja Nepal di Kawasan Perindustrian Tebrau, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU 15 Ogos - Lebih 5,000 pekerja asing sebuah kilang elektronik di Kawasan Perindustrian Tebrau, di sini, pada Ahad berkumpul dan bertindak agresif termasuk membaling kerusi selepas menyangkakan kematian seorang rakan mereka disebabkan kelewatan majikan menghantarnya ke hospital.

Dalam kejadian selama tujuh jam mulai pukul 7 pagi di asrama pekerja itu, kumpulan pekerja asing rakyat Myanmar, Bangladesh, Nepal dan India berkenaan turut membaling sampah sarap sebagai tanda protes terhadap majikan mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Amer Awal yang ditemui di tempat kejadian berkata siasatan mendapati kesemua pekerja asing itu tersalah faham mengenai kematian rakan mereka.

"Sebenarnya rakan mereka yang berumur 20 tahun itu telah merahsiakan mengenai demam panas yang dialaminya dari majikan dan pihak pengurusan sebelum akhirnya bersetuju untuk ke hospital pagi tadi.

"Bagaimanapun, akibat lewat ke hospital, lelaki rakyat Nepal itu meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail kira-kira pukul 7 pagi," katanya.

Beliau berkata kematian itu menyebabkan rakan-rakannya menyangkakan dia mati akibat kelewatan majikan memabawanya ke hopital lalu berkumpul dan membuat bising di asrama itu bagi menyatakan ketidakpuasan hati.

Amer berkata kesemua pekerja berkenaan berjaya disuraikan kira-kira pukul 2 petang tanpa sebarang kecederaan dan dikawal sepenuhnya oleh polis dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Beliau berkata polis tidak membuat sebarang penahanan dalam kejadian itu dan telah menghubungi Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur berhubung tuntutan mayat pekerja itu. - BERNAMA

Lagi Amah Didera Dan Disorok Dalam Tandas

SIBU 14 Ogos – Polis berjaya menyelamatkan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang dipercayai didera dengan kejam oleh majikannya sejak tiga bulan lalu selepas menyerbu sebuah rumah kedai di sini petang semalam.

Dalam serbuan pukul 1 petang di Jalan Kapua di sini, mangsa yang dikenali sebagai Sulasti dari Jakarta ditemui dalam tandas, dipercayai cuba disembunyikan majikannya yang ketakutan berikutan kehadiran polis.

MAJIKAN Sulasti ditahan dipercayai mendera pembantu rumahnya di Sibu, kelmarin.

Agak menyedihkan, ketika ditemui, wanita itu dalam keadaan lemah dan tidak mampu berjalan akibat kecederaan yang dialaminya.

Terdapat kesan kecederaan di kepala dan mukanya, dipercayai akibat ditampar manakala di badan wanita itu terdapat kesan luka dan melecur.

Polis kemudian menahan seorang suri rumah berusia 35 tahun yang dipercayai majikan pembantu rumah berkenaan kerana disyaki terlibat mencederakan mangsa.

Timbalan Ketua Polis daerah, Supritendan Zamani Hamdan berkata, bertindak atas maklumat Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Kuching, pihaknya menyerbu rumah kedai itu.

Beliau berkata, polis pada mulanya sukar untuk memasuki rumah itu berikutan keengganan pemilik rumah bekerjasama dengan polis.

Katanya, berikutan itu, polis terpaksa memotong pintu jeriji rumah kedai berkenaan untuk masuk sebelum menemui pembantu rumah berusia 21 tahun dalam tandas.

“Ketika ditemui, keadaannya tidak terurus. Dia kelihatan kurus dan tidak mampu berjalan berikutan kecederaan yang dialami malah kita mengesyaki dia tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Zamani, ketika ditemui, mulut pembantu rumah itu berdarah dan tidak diberi makan dan minum. Pihaknya percaya mangsa telah didera sejak tiga bulan berkhidmat bersama majikan.

Beliau memberitahu, susulan penahanan suri rumah itu, polis bertindak menahan suaminya, seorang mekanik berusia 47 tahun kira-kira pukul 10 pagi ini.

Katanya, wanita itu dan suaminya kini ditahan reman selama enam hari mengikut Seksyen 326 Kanan Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

“Kita juga sedang menimbang untuk mendakwa pasangan itu mengikut Seksyen 55B (1) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing tanpa permit yang sah,” jelas beliau.

Sementara itu, Sulasti mendakwa majikannya pernah memukulnya dengan menggunakan tangan, kaki, kayu, rotan dan besi sepanjang tiga bulan dia bekerja dengan mereka.

Wanita itu kemudian dibawa ke Hospital Sibu pada pukul 1.30 petang semalam untuk menerima rawatan lanjut. - Utusan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...