Saturday, August 14, 2010

Pulang Berhari Raya Ikut Saluran Sah - Imigresen

Program Penghantaran Pulang PATI adalah Program yang diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri untuk membolehkan PATI pulang secara sah.

MELAKA, 14 Ogos (Bernama) -- Pendatang tanpa izin, terutama rakyat Indonesia yang ingin pulang berhari raya dinasihat supaya keluar dari negara ini mengikut saluran yang sah.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Abdul Rahman Othman berkata pendatang berkenaan boleh mendapatkan pengesahan kerakyatan menerusi kedutaan masing-masing dan pihak Imigresen akan melakukan proses dokumentasi untuk mereka pulang setelah dikenakan kompaun.

"Kompaun yang dikenakan antara RM1,000 hingga maksima RM3,000 berdasarkan kesalahan dilakukan dan proses dokumentasi boleh siap dalam tempoh satu hari jika surat pengesahan kedutaan itu didapati sahih," katanya kepada pemberita di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini.

Beliau berkata adalah lebih baik bagi pendatang tanpa izin untuk pulang berhari raya mengikut pintu keluar yang sah, bukannya keluar mengikut jalan haram seperti menaiki bot menyeberangi Selat Melaka yang boleh mengundang bahaya.

Selain itu, mereka juga menghadapi risiko ditahan pihak berkuasa yang sentiasa menjalankan operasi membanteras pendatang yang cuba keluar dari negara ini secara haram, katanya.

Abdul Rahman berkata dalam tempoh Januari higga Jun tahun ini seramai 7,418 pendatang diusir dari negara ini berbanding 46,187 orang pada 2009. - BERNAMA

14 GRO Asing Ditahan Di George Town

Gambar hiasan

GEORGE TOWN 14 Ogos - Seramai 14 wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing berusia antara 20 hingga 30 tahun ditahan di sebuah pusat hiburan di Persiaran Gurney Sabtu awal pagi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata ketika serbuan pada 1.30 pagi itu kesemua GRO berkenaan bertindak melarikan diri dan dua orang daripadanya cuba bersembunyi di belakang mesin basuh yang terletak di bahagian dapur premis berkenaan.

"Kesemua GRO itu berjaya diberkas dan pemeriksaan awal mendapati mereka telah menyalahgunakan pas lawatan sosial serta tidak memiliki pas perjalanan yang sah.

"Polis mendapati premis itu juga telah memasang lampu isyarat amaran di setiap bilik bagi memudahkan GRO melarikan diri ketika serbuan," katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

Gan berkata 12 GRO warga China dan dua GRO warga Vietnam itu kini ditahan di Depoh Tahanan Juru bagi membantu siasatan.

Beliau berkata serbuan dilakukan oleh pasukan D7, Ibu Pejabat Polis Timur Laut selepas polis membuat intipan selama beberapa hari selain mendapat maklumat orang awam.

"Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial serta permit yang jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Selain itu katanya pemilik premis akan di siasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen iaitu menggaji dan melindungi warga asing bekerja tanpa permit. - BERNAMA

Polis Serbu Sarang Pelacur

SEREMBAN 13 Ogos - Seramai 22 wanita asing yang menawarkan khidmat seks di sebuah pusat hiburan di Rasah Jaya gagal melepaskan diri daripada tangkapan polis Operasi Noda di sini Khamis malam.

Serbuan itu dibuat pada 10 malam tadi oleh tiga pegawai dan 12 anggota Cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dengan kerjasama polis negeri.

Jurucakap polis ketika dihubungi Bernama berkata wanita-wanita terbabit, yang berusia antara 20 dan 40 tahun, mengenakan caj RM50 kepada setiap pelanggan sebagai teman berbual manakala untuk hubungan seks, mereka mengenakan bayaran di antara RM300 dan RM350 sejam.

"Ada antara mereka yang menyamar sebagai pelajar," katanya.

Pusat hiburan itu terletak di empat lot kedai dua tingkat dan pemiliknya mengubahsuai premis itu dengan membina bilik-bilik kecil.

Premis itu turut dipasang kamera litar tertutup untuk memantau kedatangan pihak berkuasa selain mempunyai pintu-pintu rahsia ke satu bilik persembunyian.

Seramai 18 pekerja pusat itu turut ditahan, tiga daripadanya positif dadah dan seorang lagi disyaki menjadi "ibu ayam". - BERNAMA

10,000 Warga Indonesia Tiada Dokumen Dijangka Pulang Berhari Raya Guna SPLP

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Lebih 10,000 pencari nafkah warga Indonesia tanpa dokumen perjalanan dijangka pulang ke tanah air mereka secara beransur-ansur bagi menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Anggaran tersebut dibuat berdasarkan permohonan Sijil Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) yang diterima Kedutaan Indonesia di Malaysia sejak kebelakangan ini, kata Kaunselor Penerangan, Sosial dan Budaya Kedutaan Indonesia Widyarka Ryananta.

Secara purata, kedutaan menerima antara 200 dan 300 permohonan sehari sejak akhir-akhir ini dan jumlah ini dijangka meningkat menjelang Aidilfitri, katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Bulan lepas, beliau berkata kedutaan menerima sebanyak 4,753 permohonan untuk sijil tersebut manakala pada Jun pula 2,708.

SPLP adalah sijil yang dipohon oleh rakyat Indonesia yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan untuk pulang melalui saluran sah dan ia dilihat bermanfaat bagi mereka untuk mengelak ditahan pihak berkuasa negara ini.

"Sijil itu akan dikeluarkan atas jumlah permintaan yang diterima kedutaan dari seluruh cawangan di negara ini seperti di sini (Jalan Tun Razak), Johor Baharu, Pulau Pinang dan Miri (Sarawak)," kata Widyarka.

Beliau berkata rakyat republik itu yang telah mendapat sijil tersebut akan dihantar pulang melalui laluan udara dan laut menerusi Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dan perkhidmatan feri seperti di Pelabuhan Klang dan Johor Bahru.

Bagi warga Indonedia yang mempunyai dokumen perjalanan sah, katanya mereka boleh terus membeli tiket untuk pulang sebelum melaporkan diri di pintu keluar kepada pegawai Imigresen.

Beliau berkata mereka yang ingin memohon SPLP itu hanya perlu membayar kompaun, tambang perjalanan pulang sama ada melalui laluan laut atau udara, selain RM15 untuk mendapatkan sijil berkenaan.

Widyarka dalam pada itu melahirkan rasa kecewanya kerana masih terdapat rakyat republik itu yang menempah nahas dengan menggunakan laluan tikus (laut) untuk pulang ke negara mereka walaupun sedar bakal berdepan risiko yang tinggi.

"Mereka sepatutnya sedar sudah banyak kali kejadian seperti ditahan ketika cuba keluar tanpa sijil serta kejadian bot karam yang melebihi muatan sehingga ada yang menyebabkan berlakunya kemalangan jiwa," katanya. - BERNAMA

Pemansuhan VOA Berkuat Kuasa 16 Ogos

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Kemudahan visa waktu ketibaan (VOA) yang sebelum ini dinikmati pelawat dari beberapa negara akan dimansuhkan berkuat kuasa Isnin ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Abdul Rahman Othman berkata sehubungan itu semua warganegara asing yang memerlukan visa untuk memasuki negara ini harus memohon dokumen tersebut terlebih dahulu di Pejabat Perwakilan Malaysia di negara masing-masing.

"Pemansuhan VOA itu dilakukan kerana kemudahan tersebut telah disalah gunakan dan memberi kesan negatif kepada Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Jumaat.

Beliau berkata keputusan pemansuhan VOA itu dibuat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asiang Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPAPATI).

Pemansuhan VOA itu sebelum ini diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas kerajaan mendapati terdapat banyak kes penyalahgunaan oleh mereka yang berkenaan. - BERNAMA

Warga Mnyanmar Ditemui Mati Di Shah Alam

SHAH ALAM 13 Ogos - Seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati di sebuah rumah teres tiga tingkat di Jalan Cerdas 1, Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini tengah hari Jumaat.

Lelaki itu yang masih tidak dikenal pasti identitinya dipercayai mati disebabkan kecederaan parah di belakang kepala kesan pukulan benda tumpul.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Noor Azam Jamaluddin berkata tiada kesan pergelutan pada tempat kejadian namun polis menemui sebatang besi yang dipercayai senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu.

"Polis menerima satu panggilan pada pukul 12.15 tengah hari tadi daripada seorang pemanggil yang mengadu terhidu sesuatu daripada rumah jirannya.

Selepas diperiksa, kami menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di ruang tamu rumah itu," katanya.

Beliau berkata luka di belakang kepala mangsa masih baru dan dipercayai lelaki yang berusia lewat 20-an itu telah dibunuh 24 jam sebelum mayatnya ditemui.

Polis menemui satu kad pengenalan dalam tulisan Myanmar beserta satu salinan fotokopi pasport.

"Kami juga tidak pasti sama ada salinan fotokopi pasport itu dimiliki oleh si mati kerana terdapat 10 hingga 12 orang yang menghuni rumah itu," katanya.

Noor Azam berkata kesemua teman serumah lelaki itu telah melarikan diri.

Mangsa difahamkan bekerja di sebuah bengkel berdekatan sebelum berhenti baru-baru ini. - BERNAMA

Wanita Indonesia Ditahan Bersama Mayat Bayinya

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Polis hari Jumaat menahan seorang wanita Indonesia yang cuba mendapatkan pertolongan rakan senegara mengkebumikan mayat bayi perempuan yang baru dilahirkannya, berhampiran rumah kongsi di Wangsa Maju di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul CAP Zakaria Pagan berkata wanita berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.40 pagi selepas pihaknya menerima maklumat orang awam.

"Wanita itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri. Semasa ditahan dia ada membawa bersama sebuah beg yang di dalamnya mengandungi mayat bayi perempuan terbabit," katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya ketika ditanya wanita itu mendakwa mayat bayi tersebut adalah anak majikannya.

"Bagaimanapun selepas disoal siasat, wanita itu akhirnya mengaku bayi itu adalah anaknya yang dilahirkan di sebuah rumah kongsi di Ampang Ulu kira-kira pukul 6 pagi semalam," katanya.

Zakaria berkata wanita itu juga mendakwa bayi berkenaan meninggal dunia sejurus selepas dilahirkan.

Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Thursday, August 12, 2010

21 Wanita Warga Asing Disyaki Pelacur Ditahan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 12 Ogos - Polis menahan lima wanita Thailand dan 16 wanita China berumur antara 25 dan 30 tahun yang disyaki pelacur dalam serbuan berasingan "Ops Noda" di Bandar Puteri 5 dan Seri Kembangan dekat sini Rabu.

Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abd Razak Elias berkata dalam serbuan pertama pada kira-kira pukul 5.30 petang ke atas sebuah premis makanan di Bandar Puteri 5, polis memberkas lima wanita Thailand dan enam wanita China.

"Kami percaya premis itu juga menawarkan khidmat seks, dan pemilik premis itu seorang lelaki Cina berumur 25 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini Khamis.

Beliau berkata dalam serbuan kedua di sebuah restoran di Seri Kembangan pada kira-kira pukul 2 pagi ini pula selain 10 wanita China, 10 lelaki tempatan berumur sekitar 40-an yang disyaki pelanggan turut ditahan.

Katanya kesemua mereka ditahan reman seminggu bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 55B, Akta Imigresen 1959 kerana menggaji dan melindungi warga asing bekerja tanpa permit. - BERNAMA

Wednesday, August 11, 2010

Operasi Banteras PATI Balik Raya

JOHOR BAHRU 11 Ogos - Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Dua akan meningkatkan operasi bagi membanteras pendatang tanpa izin (PATI) yang akan balik ke kampung halaman masing-masing melalui jalan laut pada bulan Ramadan ini.

Komandernya, ACP Mohd Khamsani Abdul Rahman dalam satu kenyataan hari ini berkata, Pati dari negara jiran Indonesia sudah mulai bergerak keluar negara bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri pada bulan depan.

Dalam 'Ops Octopus' awal hari ini, pihaknya telah menahan lapan warga Indonesia termasuk seorang tekong di perairan Tanjung Piai, dipercayai cuba keluar ke perairan negara tersebut.

"Bot yang mereka naiki dikesan pada lebih kurang 4 pagi dalam keadaan mencurigakan dan apabila dihampiri ianya memecut untuk melarikan diri," katanya.

Selepas dikejar bot peronda PGM selama 10 minit, bot tersebut berjaya dipintas dan didapati lima lelaki dan tiga wanita berada di dalamnya.

Kesemua mereka telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian untuk disiasat di bawah Seksyen 5(2) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 pindaan 2002 masing-masing kerana keluar atau memasuki negara melalui pangkalan yang tidak diwartakan dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Selain itu, tekong yang terbabit turut disiasat di bawah Seksyen 55(a) akta tersebut kerana membawa PATI keluar atau masuk negara ini secara haram.

Mohd Khamsani menyeru orang ramai menghubungi talian 07-2372222 atau 07-2376122 sekiranya mempunyai maklumat mengenai kegiatan rompakan di laut, penyeludupan dan kesalahan maritim yang lain. - BERNAMA

Warga Asing Jadi Pengawal Guna MyKad Palsu

Hanya warga asing dari Nepal yang dibenarkan bekerja di sektor ini. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 10 Ogos – Sekumpulan pengawal keselamatan warga asing dikesan menggunakan MyKad palsu milik rakyat negara ini untuk mendapatkan pekerjaan dan menerima gaji setaraf dengan warga tempatan.

Tindakan mereka bagaimanapun terbongkar selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen menyerbu dua buah kediaman di tingkat tiga sebuah bangunan rumah kedai di Pandan Perdana di sini awal pagi ini.

Dalam serbuan pukul 2 pagi itu, warga asing itu bukan sahaja dikesan menggunakan kemudahan pengenalan diri yang disediakan khusus buat rakyat tempatan, malah mereka mampu memiliki lesen memandu dan surat beranak untuk anak mereka.

Lebih mengejutkan, salah seorang wanita yang ditahan didapati bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah stor syarikat keselamatan yang menyimpan 30 laras senjata api.

Wanita berusia lingkungan 30-an itu yang dikenali sebagai Ana juga memiliki lesen senjata api yang dikeluarkan oleh ketua polis daerah.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JPN, Wan Zakaria Wan Awang berkata, dalam pemeriksaan itu, pihaknya menahan dua pasang suami isteri dan juga dua lelaki yang memiliki MyKad palsu.

“Dalam pemeriksaan di rumah pertama, seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dan isterinya iaitu Ana mendakwa mereka berasal dari Sabah, namun pemeriksaan lanjut mendapati MyKad mereka adalah palsu.

“Dengan menggunakan MyKad palsu itu, mereka mampu memperoleh lesen memandu dan senjata api, membuat surat beranak anak dan memperoleh gaji sebanyak RM1,200 sebulan sebagai pengawal keselamatan,” katanya selepas mengetuai serbuan itu awal pagi ini.

Beliau menambah, dalam pemeriksaan di rumah bersebelahan, pihaknya menahan sepasang lagi suami isteri dan dua lelaki.

Katanya, MyKad yang digunakan suami kepada pasangan itu merupakan milik seorang lelaki dari Kedah dan pengawal keselamatan terbabit juga telah membuat surat beranak anaknya menggunakan MyKad tersebut.

Menurut beliau, selain itu, empat kanak-kanak dan dua lelaki yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri turut ditahan.

Katanya, jumlah kesemua yang ditahan ialah 12 orang yang dipercayai merupakan warganegara Indonesia.

Wan Zakaria memberitahu, JPN turut menyarankan pihak berkuasa dan syarikat pengawal keselamatan agar membuat pemeriksaan lanjut mengenai status MyKad pemohon lesen senjata api khususnya yang membabitkan pengawal keselamatan. - UTUSAN

Tuesday, August 10, 2010

MTUC Minta Kerajaan Kurangkan Kos Pengambilan Amah

PETALING JAYA 9 Ogos - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan kepada kerajaan agar membincangkan pengurangan kos pengambilan pembantu rumah dari Indonesia yang disifatkan terlalu tinggi.

Naib Presidennya A Balasubramaniam berkata sebelum Indonesia menggantung penghantaran pembantu rumahnya ke negara ini kos pengambilan adalah sekitar RM8,000 dan ianya ditanggung oleh amah terbabit.

"Keadaan itu berlaku apabilan majikan yang terpaksa membayar kos tinggi kepada ejen bertindak memotong gaji pembantu mereka menyebabkan ada yang bekerja tanpa gaji selama enam bulan," katanya kepada Bernama, di sini Isnin.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam yang dilapor berkata Malaysia tidak bersetuju dengan permintaan Indonesia yang menetapkan gaji minimum pembantu rumah mereka pada RM800.

Mengulas kadar gaji itu, Balasubramaniam berkata kajian menunjukkan kebanyakan majikan sanggup membayar gaji yang lebih tinggi kepada pembantu rumah mereka asalkan tidak perlu menanggung kos pengambilan yang keterlaluan.

Pada masa yang sama, beliau berkata kerajaan juga wajar mengambil langkah mengurangkan kebergantungan rakyat Malaysia terhadap pembantu rumah.

Ianya boleh dilakukan menerusi penubuhan lebih banyak pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja, katanya. - BERNAMA

Filipina Komited Tangani Isu Keselamatan Perairan Dan PATI

MANILA 9 Ogos - Filipina dilihat komited untuk bersama-sama menangani isu-isu berkaitan keselamatan di perairan sempadan Malaysia-Filipina dan menangani isu pendatang tanpa izin negara itu ke Malaysia.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara berkenaan dinyatakan Setiausaha Pertahanan Filipina, Voltaire T Gazmin semasa beliau mengunjunginya sempena lawatan kerja beliau ke Filipina selama dua hari mulai Isnin.

"Akan ada lawatan susulan Menteri Luar (Malaysia) dan Menteri Dalam Negeri (Malaysia) bagi menentukan ia tidak hanya pertemuan (ini) retorik semata-mata tapi memperlihatkan komitmen Malaysia untuk bersama Filipina bagi mewujudkan kestabilan di perairan sempadan," katanya kepada pemberita Malaysia di sini.

Beliau berkata pada prinsipnya Malaysia tidak pernah mencampuri urusan keselamatan di negara berkenaan terutamanya membabitkan wilayah Mindanao.

Katanya, apa yang penting isu keselamatan perairan sempadan melibatkan Sabah dan Mindanao dan kedatangan pendatang tanpa izin dari kawasan berkenaan ke Malaysia dapat ditangani bersama.

"Kunjungan ini adalah untuk memperkukuhkan hubungan sedia ada dan membuka babak baru dalam tirai kerjasama serantau bagi mewujudkan keamanan di Mindanao, kita tidak berhajat campur tangan dalam hal ehwal dalam negara (Filipina), dan ia diterima baik rakan sejawat saya (Voltaire)," kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata ketika ini perairan sempadan Malaysia-Filipina masih terkawal.

"Menerusi operasi yang dikenali sebagai Ops Pasir, kita memantau perairan bersempadanan Fiipina, dan ia juga mendapat kerjasama dengan pihak polis bagi menangani isu kedatangan pendatang tanpa izin dari Filipina," katanya.

Ops Pasir dilancarkan sejak 18 Sept 2000 dalam usaha menangani isu pencerobohan dan penculikan di pulau-pulau peranginan di Sabah.

Selain itu, Ahmad Zahir berkata dalam pertemuan itu juga kedua-dua pihak sepakat untuk meningkatkan lagi hubungan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk latihan bersama.

Pada Selasa, Ahmad Zahid akan berlepas ke Mindanao dalam misi menyerahkan bantuan sumbangan kemanusiaan Malaysia untuk masyarakat setempat.

Sumbangan itu sebahagian besar berbentuk makanan kering yang akan diagih-agihkan kepada masyarakat setempat yang memerlukan.

Beliau juga akan diberi taklimat berhubung Pasukan Pemantauan Antarabangsa-Mindanao.

Penglibatan Angkatan Tentera Malaysia sebagai Pasukan Pemantau Antarabangsa-Mindanao bermula pada 9 Dis 2004 bertujuan memantau genjatan senjata dan perjanjian damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MNLF) yang dimeterai pada 22 Jun 2001. - BERNAMA

Perbincangan Mengenai Pembantu Rumah Indonesia Masih Diteruskan

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Perbincangan untuk memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia mengenai pembantu rumah akan diteruskan walaupun Malaysia menolak permintaan berhubung penetapan gaji minimum RM800 bagi pembantu rumah Indonesia.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam berkata perbincangan itu akan diadakan secepat mungkin bagi membolehkan pembekuan pembantu rumah Indonesia ditarik balik.

"Perbincangan masih diteruskan, saya sudah minta kedua-dua pihak supaya mengadakan perbincangan secepat mungkin dan menetapkan masa yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang Biro Pengajian Tinggi MIC kepada graduan Universiti Sains Malaysia (USM) T.Ramanathan, di sini pada Isnin.

Sabtu lepas media melaporkan Malaysia menolak permintaan Indonesia untuk menetapkan gaji minimum RM800 bagi pembantu rumah dari Indonesia kerana Malaysia sendiri tidak mempunyai struktur gaji minimum.

Subramaniam dilaporkan berkata bahawa perkara itu antara penyebab MoU antara Malaysia dan Indonesia mengenai pembantu rumah belum dapat dimuktamadkan.

Indonesia membekukan pembekalan pembantu rumah ke Malaysia pada Jun 2009, berikutan beberapa kes penderaan pembantu rumah selain ketiadaan faedah pekerjaan seperti gaji minimum bulanan dan cuti rehat mingguan.

Kuala Lumpur dan Jakarta menandatangani Surat Hasrat pada Jun lepas bagi memberi dimensi baru terhadap pengambilan pembantu rumah di Malaysia dan kedua-dua negara bersetuju terhadap terma-terma yang dikaji semula. - BERNAMA

Banyak Majikan Menentang Penetapan Gaji Minimum - Chandra Muzaffar

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Kebanyakan majikan swasta di negara ini nampaknya menentang usaha untuk membela nasib golongan miskin melalui penetapan gaji asas minimum, kata pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Dr Chandra Muzaffar.

Begitu pun, kata beliau kerajaan perlu terus menangani cabaran berhubung pendapatan rendah dan pelebaran jurang ketidaksamaan dalam masyarakat, tanpa menghiraukan kerenah kumpulan kecil yang lebih mengutamakan kepentingan peribadi masing-masing dan terlalu taksub dengan tanggapan dangkal bahawa "kuasa pasaranlah yang menentukan kadar gaji".

Ketidaksamaan pendapatan yang semakin melebar dalam kalangan anggota masyarakat di negara ini menjadi penghalang utama kepada perpaduan dan kesepakatan yang ingin dicapai di bawah Gagasan 1Malaysia, katanya dalam kenyataan Isnin.

Sekiranya 1Malaysia dibina berasaskan premis keterangkuman, maka ia bukan sahaja perlu memastikan 40 peratus rakyat yang tergolong dalam kelompok bawahan menerima pendapatan mencukupi untuk menyara kehidupan mereka, tetapi juga merapatkan perbezaan begitu ketara dalam bidang ekonomi dan sosial, yang mencemari maruah manusia, kata Dr Chandra.

Yayasan 1Malaysia adalah sebuah badan bukan mencari keuntungan, yang bermatlamat menggerakkan seluruh rakyat Malaysia berusaha ke arah mencapai perpaduan nasional dan menjayakan gagasan 1Malaysia.

Dr Chandra berkata arah aliran gaji di Malaysia hanya mencatat pertumbuhan tahunan 2.6 peratus dalam tempoh 10 tahun lepas, berbanding peningkatan besar kos sara hidup dalam tempoh yang sama dan inilah sebabnya kenapa hampir 34 peratus daripada 1.3 juta pekerja memperoleh pendapatan kurang daripada RM700 sebulan.

Beliau berkata tidak sukar untuk mencari sebab kenapa pekerja di negara ini memperoleh pendapatan serendah itu dan kenapa jurang pendapatan dalam kalangan rakyat begitu ketara.

"Kebanjiran masuk tenaga kerja tidak mahir dan bergaji rendah ke negara ini sejak penghujung 1980-an memainkan peranan besar dalam merendahkan kadar upah bagi sekelompok rakyat.

"Pada waktu sama, peliberalan sektor kewangan dan penswastaan syarikat awam di Malaysia, seperti yang dilakukan di kebanyakan negara, telah meningkatkan pendapatan kelompok yang lain pula dan seterusnya melebarkan jurang ketidaksamaan," kata beliau.

Dr Chandra berkata kerajaan cuba memberi respons terhadap cabaran itu dengan mengurangkan pergantungan terhadap pekerja asing dan dengan menaikkan kadar upah serta memperbaiki keadaan bekerja dalam sektor ekonomi tertentu.

Katanya 90 peratus negara memiliki undang-undang yang memperuntukkan gaji minimum mengikut cara masing-masing.

Bagaimanapun, kata beliau banyak ahli ekonomi dan sosiologi hari ini berpendapat bahawa istilah "gaji minimum", yang merupakan produk era sebelum ini, perlu digantikan dengan istilah "pendapatan untuk menyara kehidupan" yang mempunyai kaitan dengan maruah manusia.

"Pendapatan untuk menyara kehidupan" adalah paras pendapatan minimum yang mampu memenuhi lima keperluan asas setiap manusia serta tanggungan mereka -- makanan, tempat kediaman, pakaian, penjagaan kesihatan dan pendidikan. Keperluan ini amat perlu dipenuhi untuk melindungi maruah manusia," katanya.

Dr Chandra mendakwa kerajaan, pemilik modal dan anasir-anasir lain yang berkuasa di peringkat atasan dalam masyarakat, sering gagal melindungi maruah orang ramai, yang mengakibatkan meningkatnya jumlah mereka yang terpinggir dan tidak berpuas hati di kebanyakan tempat di dunia.

China adalah contoh sebuah negara di mana kadar pertumbuhannya yang mencapai kadar luar biasa sejak awal 1990-an, hanya memberi manfaat kepada golongan minoriti, bukan golongan majoriti serta menjadi punca meningkatnya kekacauan sosial. Perkara ini diakui oleh Akademi Sains Sosial China, sebuah badan yng begitu dihormati.

Demikian juga halnya bagi India di mana kejayaan ekonominya yang amat membanggakan, tidak membawa perubahan kepada berjuta-juta penduduknya. Kajian terbaru Pertubuhan Bangsa Bersatu mendapati bahawa sepertiga daripada golongan miskin di dunia boleh dikatakan hidup dalam keadaan melarat.

Bantahan oleh pergerakan "baju merah" di Thailand, yang mewakili sebahagian besar penduduk miskin luar bandar di negara itu, disifatkan oleh sesetengah penganalis sebagai luahan perasaan marah dan kecewa golongan yang terpinggir.

Dr Chandra berkata nasib 40 peratus daripada rakyat Malaysia yang merupakan golongan berpendapatan rendah tidaklah seteruk mana jika dibandingkan dengan keadaan golongan miskin di China, India atau Thailand.

"Bagaimanapun, peminggiran tetap berlaku. Sebahagian daripada perasaan terpinggir ini diluahkan melalui peti undi dalam Pilihan Raya Umum Mac 2008. Peningkatan kadar jenayah yang begitu ketara dan pelbagai kes pengabaian sosial yang muncul antara 2006 dan 2008 juga, mungkin berpunca daripada pemencilan dan peminggiran ini.

"Terdapat juga kemungkinan bahawa sebahagian daripada mereka yang termasuk dalam golongan ini -- terutama belia -- berasa mereka dipinggirkan oleh masyarakat, yang lebih memberi perhatian terhadap selera golongan elit, daripada memenuhi tuntutan naluri mereka agar mereka dihormati dan diberi pengiktirafan.

Dr Chandra berkata tiada siapa yang pasti bagaimana peminggiran golongan miskin ini dan mereka yang terpaksa berhempas pulas untuk memenuhi keperluan hidup, akan menampakkan kesannya dalam beberapa tahun akan datang.

Oleh itu, kata beliau kerajaan perlu menangani isu berkaitan pendapatan rendah dan pelebaran jurang ketidaksamaan ini dengan sebaik-baiknya. - BERNAMA

Dua Lelaki Dipenjara Dan Didenda Kerana Perdagang Manusia

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Pemandu teksi dan seorang peniaga masing-masing dikenakan penjara lima tahun dan didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan memperdagangkan manusia, pada 2009.

Hakim Fathiyah Idris mengarahkan Mohd Nazeri Mat Hussein, 51, dan Azhar Yusof, 33, menjalani hukuman itu secara serentak bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 7 Julai 2009.

Beliau membuat keputusan itu selepas tertuduh menukar pengakuan bersalah Isnin. Fathiyah juga mengarahkan mereka dipenjara 60 bulan lagi jika gagal membayar denda itu.

Bagi pertuduhan pertama, mereka dikenakan penjara tiga tahun dan denda RM5,000 dan jika gagal bayar denda, dikenakan penjara enam bulan lagi, manakala bagi pertuduhan kedua mereka dikenakan penjara lima tahun dan denda RM50,000 dan jika gagal dikenakan penjara 60 bulan.

Mohd Nazeri, didakwa memperdagangkan seorang lelaki warga Myanmar, 29, bagi tujuan eksploitasi mengikut Seksyen 13 Akta Antipermerdagangan Orang 2007 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mendapatkan keuntungan RM1,500 hasil daripada dagangan itu, mengikut Seksyen 15 akta yang sama, yang mana boleh dikenakan penjara sehingga 15 tahun dan denda RM500,000 jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di belakang Kompleks Pasar , Jalan Ipoh, Sentul pada 11.30 pagi, 7 Julai 2009.

Manakala tertuduh kedua, Azhar Yusof, pula didakwa atas dua pertuduhan yang sama dan mengikut Seksyen 13 dan 15 akta yang sama, di Kompleks Maybank Jalan Ipoh, Sentul, di sini pada 1.30 petang.

Mereka tidak diwakili peguam bela.

Seorang lagi rakannya yang mengaku bersalah Ayub Jehmi@Ayub Che Mik, 50, dikenakan penjara lima tahun dan didenda RM50,000 atau dipenjara 60 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Ayub yang diwakili peguam bela Amiruddin Mohd Rosli, didakwa menerima hasil keuntungan itu sebanyak RM1,000 di Malayan Banking Kulai Jaya, Jalan Besar Johor, pada 11.55 pagi pada 9 April 2009, mengikut Seksyen 15 akta yang sama.

Sementara seorang lagi tertuduh iaitu petugas dari Jabatan Imigresen Johor, Rahman Selamat, 45, masih mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya terhadap dua pertuduhan yang sama mengikut seksyen yang sama, di Pengkalan Haram Kertas, Kampung Guah Tok Deh, Rantau Panjang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 12.30 pagi hingga 1 pagi, 9 April 2009.

Sehubungan dengan itu, mahkamah menetapkan Rabu depan untuk sambung bicara untuk tertuduh, Rahman.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dasuki Mokhtar.

Ketiga-tiga tertuduh masih gagal membayar denda itu. - BERNAMA

Sunday, August 8, 2010

10 Pelacur Warga Asing Ditahan

KUALA LUMPUR - Seramai 10 wanita asing yang menjalankan aktiviti pelacuran ditahan di sebuah premis yang berselindung di sebalik pusat kecantikan di Jalan Kuchai Lama di sini kelmarin.

Ketua Operasi Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, ASP Khairi Anuar Rusli berkata, dalam serbuan kira-kira jam 10 malam, yang disertai dua pegawai dan 11 anggota itu, polis turut menahan sembilan pelanggan dan seorang penjaga premis warga China.

“Hasil risikan selama dua hari itu, kita dapati premis berkenaan bukan sahaja menjalankan rawatan kecantikan dan spa tetapi turut menawarkan khidmat seks,” katanya kepada media selepas serbuan itu.

Khairi Anuar berkata, semua wanita yang ditahan itu berumur antara 20 dan 30 tahun, manakala pelanggan premis terdiri daripada lelaki tempatan, berumur antara 20 dan 40 tahun.

“Wanita asing dari beberapa negara ini menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka dan dua daripada mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya.

Menurutnya, premis yang beroperasi selama setahun itu juga tidak mempunyai lesen perniagaan dan operasinya bermula jam 12 tengah hari sehingga jam 1 pagi.

“Caj RM80 dikenakan kepada setiap pelanggan yang menginginkan oral seks dan RM150 untuk khidmat seks. Pelacur-pelacur ini juga perlu berbogel ketika menjalankan rawatan urutan kepada pelanggan premis,” katanya. - Bernama

20,000 Pendatang Minta 'ampun' Melalui PPP-PATI


Cari peluang sambut hari raya di Indonesia Dengan Pulang Secara Sah Melalui Program Penghantaran Pulang PATI
KUALA LUMPUR: Menjelang Ramadan dan Aidilfitri, kira-kira 20,000 Indonesia yang mencari rezeki di negara ini tanpa sebarang dokumen membanjiri kedutaan republik itu untuk mendapatkan ‘pengampunan’ dengan memohon Sijil Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) bagi membolehkan mereka pulang ke kampung halaman masing-masing.

Dalam masa dua bulan, bermula Jun 2010, kira-kira 12,000 rakyat Indonesia memohon SPLP, berbanding lima bulan pertama tahun ini apabila kira-kira 8,000 rakyat republik itu menyerah diri untuk tujuan sama.

Kaunselor Penerangan, Sosial dan Budaya, Kedutaan Besar Indonesia, Widyarka Ryananta, berkata jumlah rakyat Indonesia memohon SPLP meningkat secara mendadak kerana masing-masing berhasrat menjalani ibadat puasa dan menyambut 1 Syawal bersama keluarga.

“SPLP adalah langkah terbaik untuk membolehkan rakyat Indonesia yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan pulang melalui saluran sah, selain mengelak ditahan pihak berkua-sa negara ini.

“Majoriti rakyat Indonesia tidak memiliki dokumen adalah mereka yang masuk sebagai pelancong dan tinggal melebihi tempoh ditetapkan atau pekerja melarikan diri daripada majikan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mei lalu, seramai 8,000 warga Indonesia menyerah diri dengan lebih 7,000 berbuat demikian dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini. Dalam tempoh itu juga, antara 30 hingga 50 orang memohon SPLP setiap hari.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengumumkan akan melancarkan operasi besar-besaran di seluruh negara bagi menangkap pendatang tanpa izin termasuk yang tinggal melebihi tempoh di negara ini. Bagaimanapun, operasi itu ditangguhkan berikutan rayuan pelbagai pihak.

Widyarka berkata, rekod kedutaan Indonesia menunjukkan, dalam masa dua bulan sehingga akhir Julai lalu, sebanyak 19,727 SPLP dikeluarkan dan kira-kira 200 orang tampil setiap hari.

Beliau berkata, warga Indonesia yang menyerah diri perlu membayar kompaun, tambang perjalanan pulang sama ada melalui laluan laut atau udara, selain RM15 untuk mendapatkan sijil berkenaan.

Katanya, walaupun menyediakan saluran mudah untuk rakyat republik itu pulang ke tanah air tetapi masih ada yang menggunakan ‘jalan belakang’ terutama menerusi laluan laut. - Berita Harian

Dagang orang: Segera hubungi kedutaan

KUALA LUMPUR 7 Ogos – Rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di luar negara dinasihatkan agar mendapatkan bantuan segera daripada pihak kedutaan di negara berkenaan.

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, tanpa laporan, kerajaan tidak mengetahui kes-kes melibatkan rakyat negaranya.

Katanya, dalam sesetengah kes, kerajaan hanya mengetahui kes rakyat negara ini yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia apabila dimaklumkan pihak berkuasa negara tersebut.

“Jika tiada laporan, kita tidak tahu ada kes pemerdagangan membabitkan rakyat Malaysia di luar negara kerana kita hanya tahu di dalam negara sahaja.

“Sebab itu, kita minta rakyat kita yang menjadi mangsa pemerdagangan supaya membuat laporan kepada kedutaan Malaysia di luar negara untuk membolehkan mereka dibantu,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Menghentikan Pemerdagangan Seks Kanak-Kanak anjuran syarikat kosmetik terkenal, The Body Shop di pekarangan kompleks beli-belah The Pavillion di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan The Body Shop Malaysia, Mina Cheah Foong; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Noorul Ainul Mohd. Nur dan Ketua Pengarah Pengurusan The Body Shop Malaysia, Datuk Simon Foong.

Menurut Abu Seman, aktiviti pemerdagangan manusia merupakan sindiket yang beroperasi secara teratur dan terancang.

Beliau berkata, kurangnya kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat kegiatan tersebut menjadi punca pihak berkuasa sukar menangani jenayah terbabit.

“Mangsa pemerdagangan manusia memang sukar dikenal pasti sebab mereka memasuki negara ini secara sah menggunakan pas pelawat. - Utusan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...