Saturday, August 7, 2010

Gaji Minimum RM800 Untuk Pembantu Rumah Ditolak

PORT DICKSON 7 Ogos - Malaysia menolak permintaan Indonesia untuk menetapkan gaji minimum RM800 bagi pembantu rumahnya kerana negara ini sendiri tidak mempunyai struktur gaji minimum.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam berkata perkara itu antara penyebab Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia mengenai pembantu rumah belum dapat dimuktamadkan.

"Di Malaysia, kita belum mengamalkan konsep gaji minimum ini. Kita punya pendirian memang dari dahulu, gaji diasaskan oleh kuasa pasaran dan itulah dasar kerajaan pada masa sekarang," katanya.

"Susahlah kita nak amalkan pada bidang yang satu ini sahaja, iaitu pembantu rumah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Motivasi dan Latihan Kerjaya untuk belia kaum India anjuran Pertubuhan Perpaduan Hindu Thamizar Negeri Sembilan di Pasir Panjang pada hari Sabtu.

Beliau berkata jika tuntutan Indonesia berhubung penetapan gaji minimum itu dilayan, amaun yang sama juga mungkin terpaksa dibayar kepada pekerja di sektor lain.

Bagaimanapun, Dr Subramaniam bersetuju sekiranya gaji tinggi ditawarkan kepada pembantu rumah Indonesia yang berkemahiran serta dilatih khusus untuk bekerja di negara ini.

"Tetapi apa yang kita setuju ialah gaji boleh diasaskan kepada kemahiran, kalau ada orang yang dikursuskan untuk satu tahun dam mereka mempunyai kemahiran yang lebih tinggi maka mereka boleh diberi gaji yang lebih tinggi daripada seorang yang tidak mempunyai kemahiran," katanya.

Beliau berkata tuntutan Indonesia berhubung perkara itu boleh dilaksanakan sekiranya Malaysia telah menetapkan gaji minimum di semua sektor pekerjaan, dan kedua-dua negara masih berbincang mengenai perkara itu dalam jawatankuasa bersama yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.

Indonesia membekukan pembekalan pembantu rumah ke Malaysia pada Jun 2009, berikutan beberapa kes penderaan pembantu rumah selain ketiadaan faedah pekerjaan seperti gaji minimum bulanan dan cuti rehat mingguan.

Kuala Lumpur dan Jakarta menandatangani Surat Hasrat pada Jun lepas bagi memberi dimensi baru terhadap pengambilan pembantu rumah di Malaysia dan kedua-dua negara bersetuju terhadap terma-terma yang dikaji semula. - BERNAMA

Dua Lelaki Warga Asing Ditahan Bersama Ganja Mampat Bernilai RM80,000

SHAH ALAM 6 Ogos - Polis Selangor merampas 30.9kg ketulan ganja mampat bernilai kira-kira RM80,000 yang disorok di dalam but sebuah kereta di Jalan Damansara Utama, Petaling Jaya, Khamis.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata polis turut menahan dua lelaki warga Indonesia berusia 29 dan 31 tahun, di dalam kereta itu yang didapati dalam keadaan mencurigakan pada pukul 12.15 tengah malam.

"Siasatan awal mendapati bekalan dadah tersebut datang dari arah utara Semenanjung dan pihak kami sudahpun mengenal pasti punca bekalan itu dan sedang mengambil tindakan susulan.

"Kami percaya suspek aktif sejak sebulan lalu mengedar ganja di sekitar Lembah Klang. Mengikut rekod pasport, suspek keluar masuk Malaysia sejak dua tahun lepas," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini Jumaat.

Khalid berkata seorang daripada suspek dipercayai memiliki pasport palsu dan polis sedang berhubung dengan kedutaan Indonesia di sini bagi mendapat pengesahan, manakala suspek berusia 29 didapati positif dadah jenis ganja.

Kedua-dua lelaki itu ditahan reman sehingga 15 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. - BERNAMA

Mangsa Pemerdagangan Orang Di Depot Tahanan KLIA Dipindah

PUTRAJAYA 6 Ogos - Semua mangsa pemerdagangan orang yang kini ditempatkan di Depot Tahanan Warga Asing Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dipindahkan ke Rumah Perlindungan di Tanjong Kling, Melaka mulai 15 Ogos ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong berkata keputusan itu diambil dalam Mesyuarat Pengurusan Tertinggi kementerian serta Mesyuarat Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Pengurusan Depot Jabatan Imigresen Malaysia yang bersidang hari ini, bagi memberikan perlindungan yang lebih sempurna kepada mangsa pemerdagangan orang itu.

"Rumah perlindungan ini diuruskan oleh Jabatan Pengurusan Depot kementerian yang dianggotai oleh para pegawai dari Jabatan Penjara, Jabatan Imigresen Malaysia, Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya dalam kenyataan dua perenggan yang dikeluarkan di sini Jumaat.

Persoalan mengenai kawalan keselamatan di Depot Tahanan KLIA itu timbul selepas dua kejadian tahanan berjaya melepaskan diri dari pusat tahanan itu disiarkan media baru-baru ini.

Dalam kejadian pada 3 pagi Ahad lalu, 20 tahanan Afghanistan berusia 25 hingga 40 tahun disyaki memotong jeriji dua pintu halangan sebelum menyusup keluar.

Sebelum ini, pada 27 April lepas, 12 warga Afghanistan dan empat warga Myanmar berusia 22 hingga 48 tahun menyusup keluar melalui ruang jeriji yang dipotong sebelum melarikan diri dengan memanjat pagar pusat tahanan sama. - BERNAMA

Friday, August 6, 2010

Flat Koloni Warga Asing

CHERAS: Sikap tamak pemilik rumah menyewakan rumah mereka kepada pendatang asing tanpa izin untuk mendapatkan sewa tinggi menyebabkan Flat Sri Penara, Bandar Sri Permaisuri, di sini menjadi koloni terbaru warga asing. Ini terbukti apabila seramai 41 warga asing dan dua warga tempatan dipercayai menyewa rumah mereka kepada pendatang terbabit ditahan dalam Ops Sapu, awal pagi semalam.

Dalam ops bermula kira-kira jam 12 tengah malam itu, anggota penguat kuasa Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) disertai 40 orang terpaksa memecah beberapa pintu rumah pendatang terbabit yang enggan memberi kerjasama dengan mengurung diri dalam rumah serta bilik.

Hasilnya, seramai tujuh lelaki dan 20 wanita warga Indonesia, seorang lelaki warga Bangladesh serta 10 lelaki warga India diberkas.

Ketua Unit Operasi Imigresen Malaysia WPKL, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata, dua warga tempatan yang berusia 35 dan 50 tahun dipercayai menjadi pelindung kepada warga asing terbabit turut ditahan.

“Semua warga asing berusia 20 hingga 50 tahun itu ditahan kerana tiada dokumen pengenalan diri dan sebahagiannya mempunyai pas lawatan kerja sementara tetapi sudah tamat tempoh,” katanya ketika ditemui selepas operasi itu.

Menurutnya, serbuan itu dilakukan hasil maklumat orang awam dan risikan pihaknya mendapati ramai warga asing tinggal di flat berkenaan.

Difahamkan, ada antara warga Indonesia ditahan didapati menyewa bilik daripada pemilik warga tempatan manakala warga India dan Bangladesh pula tinggal dalam kelompok yang ramai dengan kadar sewa serendah RM300 hingga RM400 sebulan.

Mohamed Yusoff berkata, dua warga tempatan itu dipercayai menjadi dalang menyediakan tempat tinggal kepada warga asing dan menyifatkan tindakan itu mengkhianati negara. - Harian Metro

Thursday, August 5, 2010

Polis Negeri Sembilan Tahan Lapan Pelacur Warga Thailand

SEREMBAN 5 Ogos - Lapan wanita warga Thailand ditahan di sebuah rumah teres di Taman Bukit Kelisa di sini Rabu malam, kerana didapati menyalah gunakan pas lawatan sosial untuk menjadi pelacur.

ANTARA lapan warga Thailand yang dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran ditahan polis cawangan Pencegahan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat Negeri di sebuah rumah di Taman Bukit Kelisa, Seremban. 5 Ogos 2010. - Gambar: Utusan

Ketua Operasi dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan Insp Boo Khooi Fong berkata kesemua mereka yang berusia antara 30 dan 38 tahun ditahan dalam satu serbuan kira-kira pukul 9.30 malam.

"Serbuan adalah hasil risikan selama dua minggu selepas menerima aduan orang ramai. Selain itu kita turut merampas wang tunai RM3,050, dua tiub pelincir dan enam kondom," katanya, di sini Khamis.

Beliau berkata ketika serbuan terdapat tiga lelaki berusia antara 25 dan 32 tahun di rumah itu dipercayai pelanggan.

Siasatan awal mendapati kegiatan tidak bermoral tersebut yang bertujuan mencari duit belanja disebarkan 'dari mulut ke mulut', katanya. - BERNAMA

Imigresen Kedah Tahan 13 Pendatang Asing Tanpa Izin

ALOR SETAR 5 Ogos - Jabatan Imigresen Kedah menahan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua majikan warga Malaysia dalam serbuan berasingan di tiga lokasi di sekitar Kulim dan Lunas, dekat sini sejak petang Rabu.

Timbalan Pengarah Imigresen Kedah Hasreena Hashim berkata tiga lelaki warga Bangladesh dan 10 wanita Thailand itu ditahan dalam serbuan di tiga premis di sekitar Kulim dan Lunas.

Beliau berkata operasi membabitkan 14 pegawai dan anggota yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Penguatkuasa Imigresen negeri Saiful Rizam Hamzah itu bermula sejak pukul 4 petang semalam.

Katanya tiga lelaki Bangladesh itu ditahan dalam serbuan pertama di bawah Ops Mahir yang dijalankan di tempat mencuci kereta di Kulim, dan ketiga-tiga mereka akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

"Melalui Ops Sayang pula kami menahan 10 wanita Thailand di dua lokasi berbeza," katanya pada satu persidangan media di sini Khamis.

Hasreena berkata semua pendatang asing itu ditahan di depoh Tahanan Belantik sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing manakala dua majikan yang dipercayai melindungi semua pendatang itu akan didakwa mengikut Seksyen 56 (1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002). - BERNAMA

Beri Kelonggaran Ambil Pekerja Asing

PUTRAJAYA: Rungutan sesetengah majikan berkaitan keengganan pekerja tempatan mengisi kekosongan pekerja asing yang sudah pulang ke negara asal memberi ruang kepada pihak berkuasa memberi kelonggaran kepada majikan terbabit bagi mendapatkan pekerja asing semula.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong, berkata kementerian bersedia mempertimbangkan permohonan majikan yang mahu mengambil pekerja baru bagi menggantikan pekerja asing yang sudah berhenti dan pulang ke negara asal.

Beliau berkata, langkah itu perlu kerana kementerian menerima banyak aduan dan rungutan majikan yang mereka menghadapi masalah kekurangan tenaga buruh kerana rakyat tempatan enggan mengisi kekosongan yang ditinggalkan warga asing yang sudah pulang ke negara asal.

“Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pembekuan pengambilan pekerja asing bagi sektor tertentu terutama perkhidmatan dan perkilangan bagi memberi peluang kepada rakyat tempatan mendapat pekerjaan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil Persatuan Pemborong Beras Malaysia, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, majikan yang mahu mendapatkan tenaga kerja asing semula perlu mengemukakan bukti mereka pernah mengupah pekerja asing dan mahu menggantikan mereka berdasarkan faktor tertentu. - Harian Metro

Jabatan Penjara, Imigresen Dan Rela Urus Depot Jabatan Imigresen

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Mulai hari ini, 13 Depot Jabatan Imigresen akan diuruskan oleh Jabatan Penjara, Imigresen dan Rela bagi memperkemas dan memantapkan pengurusan depot tersebut di seluruh negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong dalam satu kenyataan berkata Jabatan penjara akan menguruskan bahagian keselamatan dan kepenjaraan, Imigresen bahagian dokumentasi dan imigresen dan Rela bahagian kawalan keselamatan luar.

Keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas bagi Penambahbaikan Pengurusan Depot Jabatan Imigresen Malaysia yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Mahmood Adam petang tadi.

"Jawatankuasa siasatan ini juga mengenal pasti terdapat kelemahan dari segi disiplin dan kepimpinan yang ada di Depot Tahanan Imigresen KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur)," katanya

Sementara itu, tiga pegawai kanan dari Jabatan Penjara Malaysia, dari gred 44 (penguasa penjara) akan ditugaskan untuk mengetuai tiga depot tahanan yang dikenal pasti menghadapi masalah.

Ketiga-tiga pegawai yang disenaraikan bermula hari ini akan ditugaskan di Depot Tahanan Imigresen KLIA di Sepang, Juru, Pulau Pinang dan Lenggeng, Negeri Sembilan.

Keputusan ini juga diambil ekoran kes 20 tahanan warga Afghanistan meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen KLIA pada 1 Ogos lepas.

Dalam kejadian 3 pagi itu, kesemua tahanan itu dipercayai melarikan diri selepas memotong dua batang besi jeriji pagar di depot tahanan tersebut.

Kejadian sama pernah berlaku Jun lepas apabila 16 mangsa pemerdagangan manusia dari Afghanistan dan Myanmar berjaya meloloskan diri. - BERNAMA

KDN Jangka Statistik Tangkapan Pemerdagangan Orang Meningkat Tahun Ini

PUTRAJAYA 4 Ogos - Kementerian Dalam Negeri menjangka statistik kes pemerdagangan orang di negara ini termasuk tangkapan dan jumlah mangsa meningkat tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Setiausaha Bahagian Antarabangsa kementerian itu Muhd Khair Razman Mohamed Annuar berkata anggaran itu berdasarkan jumlah kes yang dilaporkan sepanjang tahun ini yang telah mencatat 78 kes sehingga Julai lepas.

"Pada tahun 2008 hanya 28 kes dilaporkan dengan 20 tangkapan, 87 mangsa IPO (perintah perlindungan sementara) dan 31 mangsa PO (perintah perlindungan).

"Bagi tahun lepas 151 kes dilaporkan dengan 217 tangkapan, 951 mangsa IPO dan 205 mangsa PO. Pada tahun ini sehingga Julai sahaja kita telah menerima 78 kes, 126 tangkapan, 618 mangsa IPO dan 248 mangsa PO," katanya, di sini Rabu.

Beliau berkata penguatkuasaan juga akan diperhebat selepas ini memandangkan pindaan terhadap Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 telah diluluskan di Dewan Negara semalam.

"Pindaan ini lebih terperinci dan menyeluruh dengan menyenaraikan aktiviti penyeludupan manusia sebagai satu jenayah yang membolehkan mana-mana individu terbabit boleh didakwa secara berasingan untuk kesalahan itu.

"Kadar penalti juga dinaikkan, iaitu RM500,000 hingga RM1 juta berbanding hanya RM50,000 hingga RM500,000 sebelum ini," katanya.

Katanya kegiatan pemerdagangan orang adalah jenayah ketiga terbesar di dunia selepas senjata dan dadah, dengan anggaran nilai US$3 bilion setiap tahun.

"Negara kita antara negara yang paling diminati, khususnya untuk penyeludupan manusia, bahkan pemerdagangan orang juga semakin berleluasa dan ini dapat dibuktikan dengan tertangkapnya rakyat-rakyat asing yang menjadi pekerja haram di negara ini," katanya. - BERNAMA

PBS Mahu Kerajaan Persekutuan Atasi Segera Masalah PATI Di Sabah

KOTA KINABALU 4 Ogos - Kerajaan persekutuan mesti bertindak segera untuk menyelesaikan isu pendatang asing tanpa izin jika kerajaan Barisan Nasional (BN) mahu meredakan kekecewaan dan ketidakpuasan hati rakyat Sabah, kata Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Henrynus Amin.

Beliau berkata kemasukan isu mengenai PATI dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) adalah perlu untuk memastikan agensi penguatkuasa dapat menghasilkan keputusan yang positif.

Gambar hiasan


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala baru-baru ini berkata isu PATI bukanlah satu daripada enam keutamaan negara dan oleh itu tidak termasuk dalam NKRA.

Henrynus berkata PBS khuatir isu PATI yang tidak dimasukkan ke dalam NKRA akan mengukuhkan pendapat umum bahawa kerajaan pusat kurang atau tiada kemahuan politik untuk bertindak.

Beliau berkata pembangkang menggunakan propaganda berhubung isu itu untuk menakutkan warga Sabah dan memutarbelitkan fakta dan niat baik kerajaan. - BERNAMA

Polis Tahan Sembilan Tukang Urut Rakyat Thailand

SEREMBAN 4 Ogos - Polis menahan sembilan wanita rakyat Thailand yang bekerja sebagai tukang urut kerana didapati tiada permit kerja dalam serbuan di sebuah premis pusat urut di Taman Cattleya, Senawang di sini Selasa malam.
Gambar hiasan

Kesemua mereka yang berusia antara 29 dan 53 tahun ditahan dalam serbuan yang dijalankan dua pegawai dan enam anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri pada pukul 9.30 malam.

Ketua Operasi D7 IPK negeri C/Insp Raidah Abidin berkata turut ditahan seorang rakyat tempatan berusia 25 tahun yang merupakan penjaga premis itu.

"Dalam serbuan itu, terdapat tujuh pelanggan lelaki warga tempatan berusia antara 26 hingga 50 tahun. Kami turut merampas wang tunai berjumlah RM2,035 dan dua botol minyak urut.

"Siasatan awal mendapati pusat urut itu telah sebulan beroperasi di situ dan mengenakan bayaran RM37 sejam untuk khidmat urutan badan," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau berkata kesemua wanita itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban mengikut Seksyen 56 (1)(d) Akta Imigresen. - BERNAMA

Wednesday, August 4, 2010

39 PATI Ditahan Dalam Dua Serbuan

KOTA BHARU 3 Ogos - Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh cedera di tangan setelah cuba mengopak zink rumahnya di Kampung Kebakat, Tumpat ketika cuba melarikan diri daripada ditahan pihak berkuasa, semalam.

Bagaimanapun, lelaki terbabit tidak bernasib baik apabila dia bersama 23 lagi PATI berusia antara 25 hingga 35 tahun, berjaya diberkas oleh Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen negeri yang menjalankan serbuan ke atas penempatan mereka.

Penolong Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Amran Abdul Aziz berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 10.30 pagi di tapak projek pembinaan sebuah rumah teres di kampung berkenaan.

Beliau berkata, dalam operasi itu, seramai 24 PATI yang terdiri daripada warga Bangladesh dan Indonesia ditahan.

"Bagaimanapun, selepas pemeriksaan dibuat, seramai 15 orang daripada mereka telah dibebaskan kerana memiliki dokumen perjalanan yang sah," katanya kepada pemberita di sini.

Amran berkata, PATI terbabit akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, katanya, dalam serbuan berasingan di tapak projek sekolah di Kilometer 3.2, di sini pihaknya menahan seramai 15 warga Bangladesh.

"Ketika serbuan, kesemua warga Bangladesh itu bertempiaran lari tetapi tindakan pantas anggota penguat kuasa berjaya menahan mereka," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua warga Bangladesh itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan akan ditahan mengikut Seksyen 6(1) akta yang sama.

Menurutnya, kesemua PATI itu dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah untuk tindakan lanjut sebelum diusir pulang ke negara asal mereka. - UTUSAN

19 PATI Ditahan Dalam Ops Sapu

ALOR SETAR 3 Ogos - Tak serik-serik. Biarpun pernah ditahan dan dihantar pulang ke negara asalnya kira-kira empat bulan lalu, seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia masih tetap menyeludup masuk ke negara ini.

Bagaimanapun, wanita berusia 20-an itu berjaya ditahan dalam Ops Sapu yang dijalankan Imigresen negeri di sekitar bandar raya ini semalam.

Tidak pernah serik dan mencabar pihak berwajib. - Gambar hiasan.

Timbalan Pengarahnya, Hasreena Hashim berkata, seramai 33 pegawai Imigresen telah melakukan pemeriksaan di rumah sewa di sembilan lokasi berbeza sekitar Alor Setar dan Felda Sungai Tiang, Pendang, dekat sini.

"Wanita tersebut telah berkahwin dengan warga Myanmar dan dipercayai masuk semula ke negara ini tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"Pihak kami percaya ramai antara PATI masuk semula ke negara ini dengan menggunakan jalan laut," ujarnya di sini hari ini.

Menurutnya, operasi selama enam jam itu dan berakhir kira-kira pukul 4 pagi berjaya menahan seramai 19 PATI.

"Tujuh yang ditahan ialah warga Kemboja, Myanmar (lima), Bangladesh (empat) dan Indonesia (tiga).

"Pasukan kami terpaksa memecahkan pintu rumah selepas mereka enggan memberikan kerjasama," katanya.

Katanya, kesemua mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan lapan bulan hingga 40 tahun dan dipercayai melakukan kesalahan seperti tiada pas perjalanan, tinggal lebih masa dan memiliki pas perjalanan palsu.

"11 tertuduh akan didakwa di bawah Seksyen 6(3), Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa permit yang sah.

"Lima lagi akan didakwa di bawah Seksyen 56(1)(l), Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Hasreena menambah, mereka akan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen di Belantik, Sik untuk siasatan lanjut. - UTUSAN

34 GRO Ditahan Dalam Ops Noda

Gambar hiasan

PULAU PINANG 3 Ogos - Seramai 34 pegawai perhubungan pelanggan (GRO) rakyat China termasuk seorang penjaga lelaki tempatan bertempiaran lari apabila pusat hiburan yang menjadi 'sarang' kegiatan tidak bermoral mereka diserbu polis tengah malam tadi.

Namun, cubaan GRO wanita yang berpakaian menjolok mata termasuk salah seorang yang cuba menyorok di sebalik timbunan kertas upacara keagamaan, tidak berhasil apabila mereka semua berjaya dicekup oleh pihak berkuasa.

Dalam operasi 'Ops Noda' selama empat jam bermula pukul 12.30 tengah malam di sebuah premis hiburan di Pulau tikus di sini, 15 daripada GRO itu cuba melarikan diri menggunakan laluan rahsia di tempat itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, serbuan yang dijalankan Cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) itu adalah hasil intipan pihaknya dan maklumat orang awam.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, semua GRO wanita warga China itu sedang sibuk melayan pelanggan masing-masing.

"Kita berjaya mengepung dan menahan mereka yang cuba melarikan diri, bagaimanapun kita percaya ada antara mereka yang sempat meloloskan diri dipercayai dengan bantuan tonto," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, hasil siasatan awal, semua GRO berusia 20 hingga 30 tahun itu bukan sahaja menjalankan aktiviti tidak bermoral malah menetap di sini walaupun melebihi tempoh yang ditetapkan.

Polis juga percaya wanita-wanita yang ditahan itu turut menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan berdasarkan keadaan di bilik berhibur di premis berkenaan.

Kata beliau, semua wanita terbabit kini ditahan mengikut Seksyen 39 (b) Akta Imigresen 1959/1963 dan Seksyen 55 (b) akta yang sama kerana melanggar syarat pas lawatan sosial serta melanggar syarat permit.

"Pemilik premis pula akan disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen kerana menggaji dan melindungi warga asing bekerja tanpa permit," ujarnya. - UTUSAN

Tuesday, August 3, 2010

Pengeluaran VOA Kepada Pelancong Asing Dibatalkan - TPM

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kabinet mengenai pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin (JKKPA-PATI) kali ke-4 di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, hari ini. Bersamanya ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein (kiri).

PUTRAJAYA 2 Ogos - Kerajaan Isnin memutuskan untuk tidak lagi memperkenalkan semula visa sewaktu ketibaan (VOA) kepada pelancong asing di pintu masuk di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata langkah membatalkan pelaksanaan VOA itu adalah kerana didapati kemudahan tersebut banyak disalahgunakan, sebelum ini.


"Pada masa lepas, kita beri kelonggaran kepada beberapa buah negara di mana kalau pelawat itu datang dari negara itu, mereka tiada visa... visa boleh dikeluarkan waktu mereka sampai di pintu masuk ke Malaysia.

"Ini (VOA), kita lihat berlaku kes-kes penyalahgunaan dan sebagainya. Kita bersetuju VOA dibatalkan atau tidak lagi diadakan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin di sini.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata mesyuarat hari ini memutuskan bahawa 29 daripada 50 syor dan inisiatif yang dikemukakan dalam makmal pengurusan warga asing sebelum ini, boleh dilaksanakan tidak lama lagi.

Beliau berkata 19 lagi inisiatif tersebut memerlukan kajian lanjut manakala dua lagi digugurkan kerana ia tidak wajar dilaksanakan.

"Bagi 29 inisiatif yang telah dipersetujui, kita akan teliti perkara ini. Saya sudah minta setiap agensi dan kementerian terlibat, yang dipertanggungjawabkan untuk laksanakan inisiatif ini untuk menentukan bila waktu yang paling sesuai untuk dikuatkuasakan.

"Saya juga minta mereka membawa balik (laporan) kepada jawatankuasa Kabinet ini pada mesyuarat akan datang," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata mesyuarat juga bersetuju supaya sebuah sekretariat tetap ditubuhkan sebagai mekanisme untuk menyusul pelaksanaan inisiatif makmal pengurusan warga asing tersebut.

Katanya 12 pegawai daripada pelbagai agensi dan kementerian akan ditempatkan di sekretariat itu, yang diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri bagi memantau pelaksanaan inisiatif-inisiatif itu yang melibatkan pelbagai bidang.

Sementara itu, Muhyiddin berkata kerajaan bersetuju agar langkah-langkah untuk menangani pekerja asing tanpa izin dikuatkuasakan dengan lebih berkesan lagi.

Katanya penguatkuasaannya akan melibatkan 'total solution' iaitu mulai di peringkat awal iaitu semasa pendaftaran sehinggalah ke peringkat akhir melibatkan penguatkuasaan.

"Maka, setiap peringkat kita akan perkukuhkan peraturan dan tindakan supaya masalah pekerja asing tanpa izin dapat diatasi secara lebih berkesan.

"Angka pekerja asing tanpa izin di negara ini besar dan ini menimbulkan masalah kepada negara," katanya. - BERNAMA

Tahanan Afghan Lari: KSU KDN Dan KP Imigresen Diberi Kata Dua - Hishammuddin

PUTRAJAYA 2 Ogos - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Isnin memberi kata dua kepada Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Mahmood Adam dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, berhubung insiden membabitkan 20 tahanan warga Afghanistan melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen KLIA Ahad.

"Saya langsung tidak puas hati. Apa jua sistem yang kita wujudkan, apa jua penekanan yang kita berikan, apa jua undang-undang yang kita pinda, kalau kerja pegawai saya di KDN dan Jabatan Imigresen tidak sampai kepada tahap yang memuaskan, maka isu-isu sebegini akan berterusan.


"Kalau satu kes, mungkin kita kata ada kesilapan, kita boleh maafkan. Dua tiga kes kita mungkin kata kecuaian. Tetapi kalau berulang kali, saya tidak boleh dengar lagi alasan terlalu ramai sangat orang di pusat tahanan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Beliau mahu Mahmood dan Abdul Rahman mengambil tindakan terhadap pegawai yang bertugas ketika kejadian itu selain memastikan sistem pemantauan dan penguatkuasaan dilaksanakan dengan berkesan di depot berkenaan.

Dalam kejadian pada 3 pagi semalam, tahanan berusia 25 hingga 40 tahun itu disyaki memotong jeriji dua pintu halangan sebelum menyusup keluar.

Sebelum ini, pada 27 April lepas, 12 warga Afghanistan dan empat warga Myanmar berusia 22 hingga 48 tahun menyusup keluar melalui ruang jeriji yang dipotong sebelum melarikan diri dengan memanjat pagar pusat tahanan sama.

Mengulas lanjut, Hishammuddin mahu tindakan tegas diambil bagi menyelesaikan masalah itu supaya ianya tidak berulang.

Beliau berkata jika ada kekurangan atau kelemahan di depot berkenaan, perkara itu perlu dimaklumkan kepadanya supaya tindakan susulan dapat diambil.

"Saya penat buat pindaan terhadap akta berhubung kait pemerdagangan manusia. Tetapi bila mereka (pesalah) dibawa ke pusat tahanan, kita dengar berulang kali mereka dapat larikan diri.

"Kalau perkara ini tidak dibendung dan diambil serius sama ada di KDN atau Jabatan Imigresen, maka isu ini tidak akan selesai. Maklumkan kepada saya kalau ada kekurangan. Tetapi kalau mendiamkan diri dan perkara seumpama ini berlaku, mereka kena jawab kepada saya," katanya.

Hishammuddin tidak menafikan depot tahanan tersebut mempunyai kekurangan namun itu bukannya lagi alasan sehingga tahanan di situ boleh melarikan diri. - BERNAMA

Monday, August 2, 2010

Mangsa Korban Tiada Dokumen

Orang ramai melihat keadaan kereta Chevrolet yang terbabas mengakibatkan tiga mangsa terkorban di Lebuh Raya Persekutuan, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Malang bagi sekumpulan lima warga asing dari Asia Barat apabila kereta Chevrolet yang mereka naiki terbabas melanggar tiang papan tanda mengakibatkan tiga terkorban di Lebuh Raya Persekutuan berhampiran susur keluar Jalan Klang Lama di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 3.55 pagi itu, dua mangsa termasuk seorang wanita dipercayai warga Iran mati di tempat kejadian akibat cedera parah di beberapa bahagian badan.

Seorang lagi mangsa wanita mati sejam kemudian selepas dibawa menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini.

Sehingga petang semalam, tiga mangsa yang terkorban belum diketahui identiti masing-masing kerana polis tidak menemui apa-apa dokumen pengenalan diri pada mangsa-mangsa itu.

Difahamkan, kesemua mereka yang berusia awal 20-an itu merupakan pelajar di sebuah kolej di Damansara di sini.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, sebelum tragedi itu, kereta yang dipandu lelaki asing itu dalam perjalanan dari pusat bandar menghala ke Petaling Jaya.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta itu yang dipercayai dipandu laju terbabas ke kanan jalan dan melanggar papan tanda.

"Akibat rempuhan kuat itu, kereta berwarna biru tersebut remuk teruk menyebabkan dua penumpang belakang dan seorang lelaki yang berada di tempat duduk hadapan maut," kata beliau ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selepas kemalangan itu, menurut beliau, dua lagi penumpang lelaki termasuk pemandu kereta tersebut yang cedera ringan menghilangkan diri. - KOSMO

Sembilan Tukang Urut Ditahan

SEREMBAN 1 Ogos - Seramai sembilan wanita warga asing yang bekerja sebagai tukang urut ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka dalam serbuan polis di sebuah pusat urut tradisional di Taman Datuk Raja Hanifah, Jalan Rasah di sini, petang semalam.

Wanita warga asing dipercayai tukang urut ditahan di Taman Dato' Raja Hanifah, Seremban, semalam. 

Kesemua mereka yang berusia antara 29 hingga 42 tahun ditahan dalam serbuan yang dijalankan anggota dan pegawai Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) negeri kira-kira pukul 3.10 petang.

Dalam serbuan itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun yang dipercayai menguruskan pusat urut berkenaan turut ditahan.

Ketua Operasi D7 negeri, Cif Inspektor Raidah Abiddin berkata, serbuan ke atas premis itu dijalankan berdasarkan maklumat yang diterima daripada orang ramai serta risikan polis.

"Kesemua yang ditahan terdiri daripada lapan orang warga Thailand dan seorang dari China.

"Hasil pemeriksaan awal, kami mendapati premis ini mempunyai lesen perniagaan yang sah dan kesemua wanita ini mempunyai dokumen perjalanan yang sah, tetapi mereka telah menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja di pusat ini," katanya kepada pemberita selepas menjalankan serbuan di sini, petang semalam.

Menurutnya, kesemua wanita itu ditahan di bawah Seksyen 56 (1) (d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat kemasukan.

"Mereka kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban sebelum dikenakan tindakan lanjut," jelasnya. - UTUSAN

Sunday, August 1, 2010

Mini Afrika merisaukan

KEPONG: Kawasan sekitar Metro Prima dan Pusat Perindustrian Kepong, di sini, kini seolah-olah perkampungan ‘Mini Afrika’ berikutan kehadiran warga benua itu yang seakan tiada penghujung.

Ini berikutan tinjauan Metro Ahad di kawasan berkenaan kelmarin mendapati, kumpulan ‘Awang hitam’ itu dilihat memakai pakaian berjenama sambil ada yang mampu memandu kereta mewah sedangkan hanya berstatus ‘penumpang’ di negara ini.

Gambar hiasan

Mereka ini didapati berpeleseran tanpa diketahui hala tujuannya, ada yang melepak, berhibur dan melakukan aksi kurang sopan menyebabkan rakyat tempatan kurang selesa mengunjungi pusat beli-belah berkenaan.

Seorang penduduk kawasan berhampiran, Mohd Helmi Mat, 38, berkata kebanyakan mereka bekerja di bengkel dan kilang berhampiran selain ada yang berani membuka kedai makanan tanpa diketahui sah ataupun tidak.

“Saya khuatir mereka datang ke negara ini dengan niat tidak baik seperti menganggotai sindiket pengedaran dadah mahupun memperdaya golongan wanita menggunakan wang untuk kepentingan sendiri.

“Banyak laporan sudah dibuat namun tiada sebarang tindakan diambil sampaikan penduduk tempatan sendiri berasakan seperti berada di perkampungan ‘Mini Afrika’.

“Paling merisaukan, pihak berkuasa seakan-akan tidak peduli kehadiran mereka kerana jika pendatang asing seperti warga Bangladesh, Myanmar dan Indonesia ditangkap, namun bukan warga Afrika ini,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, mereka sering buat bising dan mabuk hingga mengganggu ketenteraman penduduk kawasan sekitar lain.

Mohd Sukri Sulong, 28, berkata jika situasi itu berterusan, tidak mustahil pusat beli-belah itu akan mendapat sambutan dingin daripada orang ramai yang mengenangkan faktor keselamatan dan rasa tidak selesa terhadap golongan itu.

“Mereka terlalu sukar dikawal. Diharap pihak berkuasa segera mengambil tindakan sebelum perkara tidak diingini berlaku,” katanya. - Harian Metro

Pelacur gagal lari

SHAH ALAM: Tindakan pelacur yang melarikan diri dalam keadaan separuh bogel sebelum cuba memasuki satu lubang rahsia tidak berhasil apabila dikejar sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Selangor di pusat urut di Seri Kembangan, Serdang, dekat sini, kelmarin.

Difahamkan ketika serbuan, pelacur warga China itu dipercayai melakukan hubungan seks bersama pasangannya sebelum diserbu penguat kuasa. - Harian Metro

20 PATI warga Afghanistan lari dari pusat tahanan

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Seramai 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Afghanistan melarikan diri dari Pusat Tahanan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang awal pagi ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, kesemua pendatang asing itu dipercayai melarikan diri pada pukul 3 pagi selepas memotong dua batang besi jeriji pagar di pusat tahanan tersebut.
Katanya, usaha memburu kini giat dijalankan. - Flowersofnation

44 GRO Vietnam ditahan dalam 'Ops Noda'

Gambar hiasan

IPOH 31 Julai - Polis menahan seramai 44 wanita Vietnam yang bekerja sebagai Pegawai Perhubungan Pelanggan (GRO) dan dua rakyat tempatan dalam dua serbuan 'Ops Noda' di Sitiawan baru-baru ini.

Serbuan pada tengah malam Ahad dan Selasa lalu itu diketuai oleh Cif Inspektor Asbudi Tarawi bersama-sama 21 anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, serbuan itu hasil maklumat orang ramai setelah mendapati kedua-dua pusat hiburan itu beroperasi tanpa lesen selain melebihi waktu yang ditetapkan.

Katanya, ketika serbuan, wanita berusia antara 17 hingga 24 tahun cuba melarikan diri tetapi polis berjaya memberkas mereka.

"Siasatan mendapati lima daripada 44 GRO terbabit didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah manakala 39 lagi menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja sebagai GRO," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Mohd. Dzuraidi berkata, dua lelaki tempatan yang ditahan itu kerana kesalahan membenarkan warga asing bekerja tanpa permit kerja yang sah, menjalankan perniagaan tanpa lesen hiburan dan melanggar syarat lesen kerana beroperasi lebih masa.

Menurutnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Peraturan Imigresen 1959/63.

Tambahnya, pihaknya akan terus melakukan serbuan di pusat-pusat hiburan yang menyediakan khidmat GRO warga asing.

Sehubungan itu, polis memberi amaran supaya pengusaha pusat hiburan tidak membenarkan GRO warga asing bekerja di pusat hiburan milik mereka. - Utusan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...