Monday, May 10, 2010

Polis jamin kawal jenayah warga asing

BANDARAYA MELAKA - Sebanyak 72 kes jenayah melibatkan warga asing di sekitar negeri ini dikesan pada tahun 2009 menurut Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Melaka.

Manakala pada Januari hingga Mac tahun ini, 33 kes dikenal pasti dan semua kes kini sedang dalam siasatan dan pendakwaan di mahkamah.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Deputi Superintendan Hamdan Majid berkata dari jumlah kes pada tahun lalu, 35 penjenayah adalah warga Indonesia, enam Bangladesh, 13 Vietnam, enam dari Pakistan, empat dari Myanmar, dua masing-masing dari Peru dan India, manakala dari Nepal, Singapura, Kemboja dan Cina masing-masing melibatkan seorang penjenayah.

“Manakala dari segi pecahan kes pula pada 2009, lapan kes melibatkan pembunuhan, samun berkawan tanpa senjata, 5 kes, dua kes rogol, mencabul kehormatan 7 kes, mendatangkan kecederaan 8 kes, ugutan jenayah sebanyak 4 kes, lain-lain kecurian/pecah rumah 37 kes, dan curi di malam hari dua kes,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Menurut Hamdan, bagi tahun 2010 pula iaitu dari Januari hingga Mac sahaja, IPK merekodkan 33 kes iaitu tiga kes bunuh, enam kes samun berkawan tanpa senjata, 1 kes cabul kehormatan, lapan kes ugutan jenayah, 18 kes lain-lain kecurian/pecah rumah dan curi malam hari melibatkan 5 kes.

Manakala pada tahun dan tempoh sama, seramai 12 penjenayah adalah warga Indonesia, enam Pakistan, empat Vietnam, dua Myanmar, dua dari India, tiga dari Nepal, satu Nigeria, satu Amerika dan satu lagi dari Kemboja.

“Selain dari jenayah di atas kita juga memantau warga asing yang terlibat dengan jenayah seks seperti pelacuran.

“Mereka ini kita pantau melalui operasi bersepadu yang kita kerap adakan dengan agensi-agensi lain seperti Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan lain-lain agensi,” katanya.

Menurutnya, pada tahun 2009, sebanyak 29 warga asing ditahan kerana terlibat dalam kes pelacuran di negeri ini.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 15 orang warga republik China, lima dari Thailand, lima Vietnam, dua dari Kazakhstan dan masing-masing seorang dari Indonesia dan Uzbekistan.

Manakala bagi Januari hingga April 2010 pula, 34 kes dikenal pasti melibatkan 19 orang dari republik China, 10 dari Thailand, empat dari Indonesia dan seorang dari Vietnam.

“Kita sebagai pasukan keselamatan yang menjaga keamanan negeri, akan terus menjalankan gerak kerja mengesan dan menyelesaikan kes-kes yang melibatkan warga asing yang kita lihat agak serius.

“Dari statistik kita dapat lihat terdapat peningkatan kes jenayah di kalangan mereka, namun dengan kerjasama erat dari egensi dan masyarakat yang menjadi mata dan telinga kita, kita yakin kegiatan jenayah mereka dapat dikawal,” katanya. - Sinar Harian

Bookmark and Share

Wahid Terima RM60,000 Di Rumahnya - Saksi

KUALA LUMPUR: Saksi dalam kes rasuah bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md Don memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa Wahid menerima wang berjumlah RM60,000 sebagai upah mempercepatkan kelulusan visa pekerja Bangladesh.

Saksi ke-29, Datuk Seri Low Chang Hian berkata wang yang itu beliau serahkan kepada Wahid di hadapan pintu rumahnya pada 10 Julai 2008, pukul 9.30 malam selepas menghubungi Wahid.

Katanya bayaran itu berkaitan dengan kelulusan sebanyak 4,377 calling visa pekerja terbabit dan ketika menerima wang tersebut, Wahid sempat menyatakan bahawa beliau akan keluar awal pagi esok.

Low adalah antara yang ditahan Badan Pencegah Rasuah (BPR), kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, pada 9 Julai 2008 ketika menerima wang daripada seorang ahli perniagaan Datuk Zulkafli Maulud sebanyak RM350,000 bagi tujuan yang sama.

Tambah Low, ketika ke rumah Wahid beliau telah ditemani oleh dua anggota BPR yang menyamar, seorang sebagai pemandunya dan seorang lagi sebagai anak saudaranya.

Sebelum itu katanya ketika di pejabat BPR, beliau telah memberitahu bahawa Wahid adalah orang yang terlibat dalam transaksi kes ini, setelah diminta bekerjasama dan memberitahu siapa yang bertanggungjawab.

"Saya telah hubungi Wahid hari itu (10 Julai) pukul 7 malam untuk beritahu dia yang saya mahu berjumpa dengannya dan saya mempunyai bungkusan untuk diberi kepadanya," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Low, 66, memberikan keterangan pada perbicaraan kes Wahid, 57, yang didakwa menerima rasuah sebanyak RM60,000 daripada Low, juga seorang ahli perniagaan, pada 19 Ogos tahun lepas sebagai bayaran upah bagi mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh.

Wahid didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, off Jalan Duta, pada 10.15 malam, 10 Julai 2008.

Pada perbicaraan lepas, Low telah memberitahu bahawa Wahid turut menerima RM50,000 ketika beliau berkunjung ke rumah Wahid bersama-sama dengan rakannya 'Mr Sim', iaitu orang yang turut terlibat dalam mendapatkan pekerja asing.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosbiahanim Ariffin bersambung esok.

Pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nik Azrin Zairin Nik Abdullah manakala Wahid diwakili peguam Datuk V. Sithambaram. - mstar online

Bookmark and Share

MPAJ sentiasa pantau warga asing

AMPANG: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menegaskan pihaknya sentiasa memantau warga asing dengan mengadakan operasi berkala di kawasan berkenaan bagi membendung kebanjiran golongan terbabit. Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad, berkata mereka kerap mengadakan operasi bersama polis dan Jabatan Imigresen bagi memastikan penduduk tempatan berasa selamat dan tidak terancam dengan kewujudan koloni warga asing di kawasan mereka.

“Pandan Mewah, Kampung Pandan, Tasik Permai, Bukit Permai dan Bandar Baru Ampang adalah sasaran kami mengadakan operasi kerana menjadi tumpuan warga asing untuk menetap di sana.

“Pecahan warga asing pula berbeza-beza di mana Pandan Mewah dan Bukit Permai dibanjiri pelbagai warga asing. Kampung Pandan hanya warga Indonesia, kawasan Ampang Point warga Korea serta Arab dan Bandar Baru Ampang pula warga Afrika,” katanya ketika ditemui di bangunan MPAJ, di sini, semalam.

Katanya, sikap masyarakat negara ini yang suka menyewakan rumah kepada warga asing menjadi masalah utama yang mendorong warga asing untuk menetap di sini.

Menurutnya, kewujudan mereka yang suka tinggal beramai-ramai menggerunkan masyarakat tempatan untuk bergerak bebas berikutan bimbangkan keselamatan diri.

Beliau berkata, operasi bersepadu selalunya dijalankan pada waktu malam kerana siangnya warga asing ini bekerja. “Peranan MPAJ hanya membabitkan soal kebersihan kawasan kediaman yang sering diabaikan mereka dan perkara berkaitan lesen perniagaan,” katanya.

Mengulas mengenai restoran yang dikatakan meletakkan kerusi meja di atas padang permainan yang menjadi ‘port’ warga asing meminum minuman keras dan kewujudan restoran milik warga Myanmar di Pandan Mewah, Norhayati berkata, pihaknya akan segera menyiasat perkara itu.

“Kami akan buat pemantauan dan semak lesen restoran tersebut. Pemilik restoran boleh berbuat demikian, asalkan ada permit. Kami akan buat tindakan penguat kuasaan jika perlu.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata pihaknya sudah banyak kali melakukan operasi di kawasan yang terdapat warga asing termasuk di Pandan Mewah.

“Daripada statistik yang saya ada, kawasan ini kerap digempur oleh kami dan Jabatan Imigresen. Malah operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa terutamanya apabila menerima maklumat daripada orang ramai.

“Berkaitan isu minuman keras yang dikatakan itu, kita kena tengok daripada mana mereka membelinya. Perlu merujuk kepada Kastam dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sama ada restoran atau premis yang menjualnya memiliki lesen. Jika berlesen, ia tidak menjadi kesalahan,” katanya.

Beliau juga menegaskan tidak boleh mengambil tindakan terhadap warga asing jika mereka sekadar berbual-bual tanpa mengganggu ketenteraman orang lain. “Kalau mereka main judi, buat tarian bogel, bergaduh ataupun lakukan perkara yang menyalahi undang-undang barulah kami boleh ambil tindakan.

“Saya minta penduduk yang merasakan warga asing mengganggu ketenteraman mereka dan melanggar peraturan, buatlah aduan secara rasmi kepada polis,” katanya. - Harian Metro

Bookmark and Share

Flet pendatang

AMPANG: “Kalau campak seketul batu dari tingkat atas, sudah pasti akan terkena kepada warga asing”, begitulah dakwaan penduduk flet Pandan Mewah bagi menggambarkan kebanjiran warga asing di kawasan kediaman mereka, berdekatan Hospital Ampang di sini.
Kawasan itu yang bersebelahan kawasan industri Pandan Mewah Commercial Park menjadi penempatan ramai warga asing dari Myanmar, Indonesia, Vietnam, Bangladesh dan Nepal.

Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Pandan Mewah, Rosli Omar, 52, berkata dia kesal kerana budaya yang dibawa warga asing ini tidak sesuai dengan penduduk tempatan. “Mereka mendominasi hampir 70 peratus kawasan ini hingga ramai masyarakat tempatan mengambil keputusan meninggalkan flet itu kerana bimbangkan keselamatan diri.

“Mereka menimbulkan pelbagai masalah terutamanya sosial. Mereka menguasai kawasan ini hinggakan ada warga Myanmar yang berani membuka kedai makan. Saya hairan bagaimana mereka boleh bebas berniaga tanpa tindakan daripada pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ). “Yang saya kesalkan juga, majoriti anak-anak warga Myanmar tidak bersekolah menyebabkan mereka bersikap agak liar.

Seringkali kelihatan mereka mengunjungi pusat video yang menganjurkan perjudian haram. Perkara ini perlu dibendung sebelum menjadi wabak yang merebak,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang ditemui, Mohd Nazir Abdul Hashim, 28, pula memberitahu warga Vietnam seringkali akan berkumpul beramai-ramai di sebuah restoran di kawasan itu sambil membuat bising pada sebelah malam. “Restoran itu seperti ‘port’ mereka kerana ada skrin TV besar untuk menarik pelanggan.

“Jika ada perlawanan bolasepak luar negara, mereka akan menonton sambil berbual dan membuat bising. Keadaan mereka tidak terkawal kerana dipengaruhi arak. “Kelakuan mereka menyakitkan mata penduduk tempatan. Saya kecewa mengapa perkara ini dibiarkan begitu saja tanpa tindakan pihak berwajib,” katanya yang turut pernah melihat warga Vietnam minum arak di tangga flet kawasan itu.

Terdapat juga kes warga asing yang membuang air kecil merata-rata, termasuk di tepi tangga hingga menimbulkan bau yang tidak menyenangkan. “Mereka juga tidak segan silu bergaduh di tangga hingga menyukarkan penduduk tempatan menggunakannya. Ada juga yang apabila sudah mabuk tidak peduli tidur di merata-rata tempat di situ,” katanya. - Harian Metro

Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...