Saturday, May 8, 2010

'Remboo jejas rezeki kami'

BERLELUASA...peniaga warga asing di Jalan Masjid India.

KUALA LUMPUR: ‘Remboo atau bunjut’. Itu gelaran yang diberikan kepada peniaga warga asing terutama Indonesia yang tumbuh bagai cendawan berhampiran Masjid India kini menyebabkan rasa tidak puas hati peniaga berlesen Bazar Moden Masjid India (BMMI).

Lambakan peniaga warga asing terbabit menjejaskan pendapatan 143 peniaga berlesen di Jalan Melayu dan Jalan Masjid India memandangkan mereka menjual barang sama dengan harga lebih murah disebabkan tidak perlu menanggung sewa bulanan dan lesen tapak kerana beroperasi secara haram.

Antara barang yang dijual di BMMI ialah beg, tudung, kasut, minyak wangi dan jam tangan dengan perniagaan bermula seawal jam 9 pagi dan berakhir kira-kira jam 10 malam.

Difahamkan, hampir 30 peniaga warga asing mula beroperasi seawal jam 2 petang hingga 10 malam pada hari bekerja dan memulakan perniagaan seawal jam 9 pagi hingga 10 malam pada hari minggu di depan Masjid India walaupun perniagaan dilarang di kawasan berkenaan.

Sebelum projek menaik taraf BMMI pada 2006, seramai 22 orang peniaga berlesen BMMI pernah beroperasi di depan Masjid India.

Bagaimanapun, semua mereka berpindah ke bahagian dalam atas permintaan ahli jawatankuasa Masjid India yang mahu kawasan masjid berkenaan dikosongkan demi keselesaan jemaah.

Wakil peniaga BMMI, Syed Yusof Abdullah, berkata kehadiran peniaga warga asing terbabit bukan hanya menjejaskan pendapatan mereka, malah menyebabkan peniaga BMMI dipersoalkan pengunjung apabila harga yang ditawarkan peniaga warga asing lebih rendah.

“Pelanggan kami dirampas dan peniaga asing terbabit mudah meraih keuntungan sedangkan kami perlu membayar sewa tapak RM200 sebulan dan lesen RM168 bagi tempoh setahun,” katanya.

Beliau berkata, bayaran sewa dan lesen menyebabkan mereka terpaksa meletakkan harga barangan lebih tinggi berbanding yang dijual peniaga asing terbabit.

Syed Yusof mendakwa peniaga asing terbabit juga semakin berani dan seolah-olah tidak takut pihak berkuasa. Walaupun pelbagai tindakan sudah diambil pihak berkuasa, ia seolah-olah tiada kesudahan.

“Malah, ada yang memulakan perniagaan seperti biasa pada keesokan harinya walaupun barang mereka dirampas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya yang enam tahun beroperasi di BMMI. - Harian Metro

Bookmark and Share

Sembilan GRO China Ditahan Di Premis Yang Pernah Diserbu Dua Hari Lalu

Gambar hiasan

PULAU PINANG, 8 Mei (Bernama) -- Sembilan pelayan pelanggan (GRO) warga China ditahan dalam satu operasi polis di sebuah pusat hiburan di tingkat satu sebuah hotel di Jalan Anson di sini pada Jumaat tengah malam.

Ketua Polis negeri Datuk Ayub Yaakob berkata pusat hiburan itu baru sahaja diserbu Khamis lepas oleh Jabatan Imigresen Pulau Pinang yang membawa kepada penangkapan 25 wanita warga China yang berkerja sebagai GRO.

Beliau berkata serbuan malam tadi dilakukan selepas polis membuat intipan selama beberapa hari, selain mendapat maklumat orang awam mengenai aktiviti di premis yang dijadikan sebagai disko, karaoke dan bar itu, yang sering mengambil wanita warga asing sebagai GRO.

"Serbuan dilakukan oleh Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Timur Laut kira-kira pukul 12 tengah malam," katanya kepada pemberita di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata semua wanita yang berumur antara 20-an dan 30-an itu akan disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan sosial serta melanggar syarat permit, dan sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-duanya sekali. -- BERNAMA

Bookmark and Share

Friday, May 7, 2010

Bunuh Mantik Hani : Mahkamah arahkan penjual air tebu bela diri

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mengarahkan penjual air tebu A. Murugan yang didakwa membunuh pembantu rumah warga Indonesia, Muntik Bani untuk membela diri.

Hakim Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan ke atas tertuduh mempunyai prima facie setelah meneliti hujah-hujah pihak pendakwaan dan hujahan balas daripada peguambela tertuduh.

Murugan

Beliau kemudian menetapkan 2 hingga 4 Jun ini untuk Murugan, 35, membela diri.

Peguambela Murugan, V. Rajehgopal memberitahu mahkamah bahawa dia belum dapat memastikan saksi-saksi pembelaan yang akan dipanggil kerana beliau perlu mewawancara mereka terlebih dahulu.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwaraya Idham Abd Ghani dan Siti Fatimah Yahya.

Pada 30 Oktober 2009, Murugan didakwa pertama kali di Mahkamah Majistret Klang atas tuduhan membunuh Muntik, 36, yang berasal dari Surabaya.

Murugan didakwa melakukan perbuatan itu antara 18 dan 20 Oktober lalu di rumahnya di No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa di sini.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Kes itu mendapat perhatian umum apabila Muntik meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah pukul 10 pagi, 26 Oktober lalu setelah dirawat di unit rawatan rapi. - Berita Harian

Bookmark and Share

Polis Perak tahan 10 GRO asing di kedai makan dalam kebun getah

Gambar hiasan

IPOH: Polis menahan 10 pelayan (GRO) warga China dalam serbuan di sebuah kedai makan yang terletak di kawasan kebun getah di Pekan Gurney, Manjung, kira-kira 80 kilometer dari sini, petang semalam.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Perak, SAC Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim, berkata serbuan itu dilakukan berikutan aduan daripada isteri dan anggota keluarga mengenai suami dan bapa mereka menjadikan GRO warga asing sebagai teman sehingga mengabaikan tanggungjawab.

Sambil menggesa masyarakat supaya terus memberikan maklumat mengenai kegiatan tidak bermoral yang mencetuskan penyakit sosial serta menjejaskan institusi kekeluargaan, beliau berkata 10 GRO itu yang ditahan dalam serbuan kira-kira 6.30 petang itu berusia antara 32 dan 44 tahun.

"Selepas menerima maklumat tentang kegiatan maksiat di kawasan itu, pasukan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak telah membuat intipan ke atas premis yang terletak satu kilometer dari jalan besar itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Seramai 16 pelanggan turut diperiksa dalam serbuan itu.

Sementara itu, di PARIT, seorang lelaki warga Indonesia dijumpai mati selepas dipercayai dibunuh di sebuah rumah sewa di Batu 27, Jalan Tronoh-Bota malam tadi.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Muhammad Fakri Che Sulaiman, berkata mangsa yang dikenali sebagai Rofik Rahman, 23, berasal dari Kepulauan Madura cedera parah di bahagian muka kiri dan lengan kiri akibat dipercayai ditetak dengan parang.

Beliau berkata, mangsa yang bekerja sebagai buruh binaan itu dijumpai berlumuran darah di dalam stor bawah rumah sewa berkenaan.

"Mangsa disyaki diserang lebih daripada seorang berdasarkan kesan pergelutan dan petunjuk yang ditemui di tempat kejadian. Kita menerima maklumat daripada rakan cop yang menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kira-kira jam 9.30 malam dan kita percaya mangsa meninggal dunia antara pukul 4 petang dan 7 malam tadi," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah di sini hari ini.

Muhammad Fakri berkata, sepasukan unit forensik polis turut menemui beberapa senjata di kawasan kejadian. - Berita Harian

Bookmark and Share

Wednesday, May 5, 2010

Makmal khas urus warga asing

KOTA KINABALU 4 Mei - Makmal pengurusan khas yang ditubuhkan bagi meneliti secara terperinci permasalahan warga asing di Sabah secara rasmi beroperasi hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, makmal yang dianggotai 30 pegawai mewakili pelbagai agensi kerajaan berkaitan pengurusan warga asing, mempunyai tempoh empat minggu untuk menyiapkan laporan berkaitan isu tersebut.

''Tujuannya adalah untuk memperkemaskan pengurusan dan sistem kemasukan, pemantauan dan pengesanan warga asing yang berada di Sabah.

''Selain itu, kita juga mahu mendapatkan data terkini warga asing yang berada di Sabah mengikut kategori seperti kewarganegaraan, jenis pekerjaan, sektor dan industri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Sabah di sini hari ini.

Musa berkata, penubuhan makmal tersebut diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Katanya, kumpulan 30 pegawai itu akan dibantu oleh tiga pegawai pemudah cara masing-masing dua dari Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) Jabatan Perdana Menteri dan seorang daripada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) cawangan Sabah.

Beliau menambah, makmal khas itu juga akan menilai semula kos faedah warga asing dalam sub sektor pasaran seperti pembinaan, pembuatan, perladangan dan pelancongan.

Selain itu, tambahnya, makmal tersebut akan menilai opsyen dan proses yang boleh diperkemaskan bagi pengurusan kemasukan warga asing serta membuat cadangan penyelesaian yang baik dan kos efektif.

Sementara itu, Musa berkata, operasi bersepadu fasa tiga mengesan PATI bermula hari ini membabitkan seluruh daerah.

Katanya, pasukan penguat kuasa tidak mempunyai masalah untuk mengadakan operasi secara besar-besaran kerana mempunyai pusat tahanan yang mencukupi dan mampu menampung sehingga 12,000 tahanan. - Utusan

Bookmark and Share

Letak pekerja asing di penempatan khas IIB

JOHOR BAHRU 4 Mei - Kerajaan negeri mahu pihak pemaju memastikan kontraktor yang terlibat dalam kerja pembinaan di Iskandar Malaysia menempatkan pekerja asing mereka di lokasi penempatan khas Iskandar Investment Berhad (IIB).

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, langkah itu penting bagi mengurangkan kos sosial yang mungkin ditanggung oleh masyarakat tempatan.

Selain itu, katanya, cara itu juga dapat mengelak masyarakat daripada terdedah kepada pekerja asing secara berterusan.

"Kita takut jika pekerja asing menetap secara berselerak di taman perumahan, rakyat tempatan pula yang terpaksa tanggung kos sosial.

"Begitu juga kalau pekerja asing ini menetap di rumah kongsi yang serba kekurangan tentulah mereka tidak selesa. Kehidupan mereka akan lebih selesa jika ditempatkan di lokasi khas untuk mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat penempatan pekerja asing yang didirikan oleh IIB di Kampung Sungai Melayu, Gelang Patah dekat sini hari ini.

Menurut Abdul Ghani, contoh terbaik untuk menempatkan pekerja asing di negeri ini adalah seperti yang dilakukan oleh IIB.

Katanya, pihak IIB telah membina satu lokasi penempatan di kawasan seluas empat hektar yang mampu menempatkan 5,000 penghuni dan setakat ini kira-kira 264 pekerja asing daripada pelbagai negara sudah ditempatkan di situ.

Beliau berkata, oleh kerana kawasan itu akan melalui satu proses pembinaan yang mempunyai implikasi pertambahan pekerja asing, maka penyediaan penempatan itu amat tepat.

"Contohnya di Nusajaya, di sekitar lima kilometer tapak kerja yang mempunyai pekerja asing kita akan minta pekerja ditempatkan di pusat yang dibangunkan.

"Saya harap persetujuan dapat diwujudkan antara pemaju, kontraktor dan sub-kontraktor di kawasan Nusajaya. Setakat ini kita tidak bercadang untuk menubuhkan penempatan baru," katanya. - Utusan

Bookmark and Share

Muhyiddin Dengar Taklimat Berhubung Operasi Makmal Pengurusan Warga Asing


PUTRAJAYA, 5 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Rabu mendengar taklimat berhubung operasi Makmal Pengurusan Warga Asing di pejabatnya di sini.

Taklimat itu disampaikan oleh Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Alias Ahmad yang juga Ketua Makmal tersebut.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu) Datuk Seri Idris Jala dan Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Mahmood Adam.

Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing yang lepas telah memutuskan agar makmal diwujudkan untuk melihat dengan teliti isu-isu berhubung pekerja asing.

Pada 23 Mac lalu, makmal itu mula membincangkan secara terperinci isu tersebut yang berlangsung selama sebulan bagi mencari mekanisme terbaik serta mendapatkan maklumat tepat dan terkini jumlah sebenar warga asing yang diperlukan dalam industri. -- BERNAMA

Bookmark and Share

Tuesday, May 4, 2010

43 tangkapan, 17 kes jenayah pelajar asing

KUALA LUMPUR - Sebanyak 17 kes jenayah dan 43 tangkapan melibatkan penuntut asing dicatat di negara ini sepanjang tahun lepas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini pula terdapat 14 kes yang melibatkan 22 tangkapan.

“Jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan indeks jenayah pada tahun lepas yang berjumlah 209,417, kes yang melibatkan pelajar asing adalah sebanyak 0.008 peratus sahaja. Manakala bagi tempoh yang sama tahun ini, jumlah indeks jenayah adalah 45,805 kes dengan 0.03 peratus melibatkan pelajar asing,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Tan Sri Jins Shamsudin yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah statistik kes jenayah di negara ini yang melibatkan penuntut antarabangsa dan apakah tindakan kerajaan terhadap penuntut yang terlibat.

Abu Seman berkata, polis sentiasa melakukan pemantauan terhadap penuntut asing di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Imigresen.

“Pihak IPT juga diminta memberi penerangan kepada pelajar khususnya pelajar asing mengenai peraturan dan undang-undang selama mereka mengikuti pengajian di negara ini selain mengenai tatasusila dan budaya yang perlu diamalkan,” katanya. - Sinar Harian

Bookmark and Share

Pelacur warga Uzbekistan menggigil ketakutan

KUALA LUMPUR: Seorang wanita dipercayai pelacur warga Uzbekistan yang terlalu takut selepas ditahan sepasukan anggota Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sebuah hotel Jalan Alor, menggeletar seluruh badan, malam kelmarin.

Gambar hiasan

Wanita itu ditahan dalam sebuah bilik di hotel berkenaan bersama seorang lagi rakannya yang juga warga Uzbekistan.

Ketika serbuan kira-kira jam 11 malam itu, kedua-dua warga Uzbekistan ini sedang melayan pelanggan masing-masing. Difahamkan, mereka yang menjalankan kegiatan itu secara bersendirian mengenakan bayaran sebanyak RM500 untuk sekali perkhidmatan.

Sasaran mereka adalah pelancong lelaki dari Timur Tengah yang bersiar-siar sekitar Bukit Bintang bagi mengelak dicekup polis.

Dalam operasi yang diketuai Asisten Superintendan Azlihan Ishak itu, polis turut menemui beberapa kondom dipercayai sudah digunakan.

Kedua-dua mereka yang berusia 31 dan 32 tahun itu akan disiasat mengikut Seksyen 39 (b) Akta Imigresen kerana menyalah gunakan pas lawatan sosial.

Dalam serbuan berasingan, aktiviti pelacuran di Jalan Thambilpillay lumpuh selepas D7 IPKKL menyerbu lokasi berkenaan jam 7 malam kelmarin.

Lima wanita berusia lingkungan 28 hingga 46 tahun yang juga warga tempatan ditahan bersama empat pelanggan dan seorang lelaki dipercayai bapa ayam mereka. - Harian Metro



Bookmark and Share

Peniaga asing tidak peduli

KUALA LUMPUR: Warga asing di Lebuh Pudu di sini, tidak bimbang pihak berkuasa negara ini, apabila masih berani menolak kereta sorong dengan pelbagai barangan untuk pelanggan mereka yang berkunjung ke kawasan itu.


JUAL...peniaga wanita asing menjual sirih di Lebuh Pudu.
JUAL...peniaga wanita asing menjual sirih di Lebuh Pudu.


















Mereka menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen dengan menjual barangan keperluan warga asing seperti minuman, makanan dan sirih.
Tinjauan Harian Metro kelmarin, mendapati peniaga terbabit bergerak dari satu tempat ke satu tempat dengan menolak kereta sorong bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Kawasan terbabit sentiasa sesak dengan pekerja warga asing yang mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk berehat dan berkumpul bersama kawan-kawan, malah ada segelintir warga asing menonton filem asing di sebuah kedai cakera video digital (DVD) di sini.

Peniaga tempatan yang dikenali sebagai Amir, 45, berkata kawasan di sini sentiasa sibuk dengan warga asing pada hujung minggu. Menurutnya yang menjalankan perniagaan kedai runcit, berniaga di kawasan itu menjanjikan pendapatan berlipat ganda, tetapi dia masih risau keselamatan dan perniagaannya kerana kawasan itu dipenuhi warga asing.

“Saya boleh mendapat keuntungan berlipat ganda setiap hujung minggu kerana pelanggan memang ramai terdiri daripada warga asing dan tempatan.

RAMAI...pendatang asing berkumpul di Lebuh Pudu. 

“Bagaimanapun, saya berasa tidak selamat kerana dikelilingi terlalu ramai warga asing dan risau jika berlaku kecurian,” katanya.

Menurutnya, kawasan itu turut menjadi persinggahan popular kumpulan warga asing yang datang secara berkumpulan dan berpakaian tidak senonoh.

Sementara itu, Ketua Unit Tindakan Imigresen Putrajaya, Mohd Azmi Mohd Isa, berkata pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan berkala di kawasan terbabit.


“Orang ramai dan peniaga tidak perlu gusar dan risau keselamatan mereka kerana pihak berkuasa termasuk polis dan imigresen sentiasa menjalankan pemantau di kawasan berkenaan.

“Mereka yang tidak mempunyai dokumen akan ditahan dan diambil tindakan sejurus ditangkap,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Bookmark and Share

Gaduh: 16 Lelaki Indonesia Ditahan

KUALA LUMPUR: Enam belas lelaki rakyat Indonesia dari dua kumpulan ditahan bagi membantu siasatan berhubung satu kes pergaduhan di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil di sini, Ahad lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Abdul Rahim Hamzah Osman berkata hasil maklumat orang awam pihaknya berjaya menumpaskan kumpulan itu yang menimbulkan pergaduhan antara pukul 5.30 hingga 6.30 petang itu.

"Ketika operasi mengesan mereka dilakukan, anggota kumpulan itu dilihat memakai lilitan kain putih di kepala sambil memegang senjata tajam.

"Terkejut melihat kehadiran kami kesemua anggota kumpulan itu melarikan diri sambil mencampak beg yang berisi senjata tajam di tepi jalan kawasan terbabit," katanya.

Abdul Rahim berkata dalam kejadian itu pihaknya turut merampas 28 bilah parang panjang, empat bilah sabit, lima tukul besi, 11 kepala tali pinggang dan 16 batang besi.

"Kami masih menyiasat jumlah sebenar kesemua anggota kumpulan itu...ada dua lelaki (bukan daripada 16 orang itu) telah mengalami kecederaan ketika kejadian dengan seorang kini berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, manakala seorang lagi anggota kumpulan itu sedang dikesan," katanya. - mstar online


Bookmark and Share

Monday, May 3, 2010

Empat pelacur warga asing dicekup polis

Gambar hiasan

BATU PAHAT: Polis menahan empat wanita warga Indonesia, Rabu lalu, yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pelacuran di sebuah rumah di pinggir bandar ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris, berkata mereka ditangkap dalam serbuan sepasukan anggota polis Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat dari Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat yang diketuai Cif Inspektor Mohd Ismail Syed Merah.

Katanya, semua wanita warga Indonesia yang berusia antara 22 hingga 37 tahun itu dicekup dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Taman Megah, kira-kira jam 12.15 pagi.

Beliau berkata, ketika serbuan, polis percaya mereka sedang melayan beberapa pelanggan, termasuk dua warga Bangladesh yang mahu mendapatkan khidmat seks ditawarkan.

Pemeriksaan lanjut di dalam rumah tersebut, polis turut menemui satu kotak mengandungi 48 kondom, termasuk yang sudah digunakan daripada salah seorang wanita berkenaan.

“Selain menahan penganjur kegiatan pelacuran itu, selain menahan dua lelaki penduduk tempatan serta dua warga Bangladesh, berusia antara 30 hingga 35 tahun yang disyaki melanggani pelacur terbabit untuk siasatan.

“Lelaki berusia 40-an yang dipercayai menjadi penganjur rumah pelacuran berkenaan turut ditahan dan bakal berdepan tindakan mengikut Seksyen 373 Kanun Keseksaan.

“Bagi wanita yang ditahan, semua mereka akan didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Ibrahim mengingatkan semua pemilik rumah supaya tidak menjadikan atau membiarkan kediaman mereka diguna untuk kegiatan pelacuran dan polis tidak teragak-agak mengambil tindakan.

Polis juga mengalu-alukan maklumat daripada orang awam dalam menangani kegiatan tidak bermoral itu. - Berita Harian

Bookmark and Share

Sunday, May 2, 2010

Pelacur rebutan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Gadis Uzbekistan yang persis model Barat menjadi rebutan sekelompok pelancong asing dari Timur Tengah yang sanggup membayar sehingga RM500 bagi mendapatkan khidmat ranjang mereka.

Bagaimanapun, sumber polis berkata, kehadiran pelacur atasan dari Uzbekistan terbabit lebih gemar berurus niaga dengan pelanggan di kalangan lelaki warga Timur Tengah yang tidak kedekut dan sanggup membayar sebarang harga perkhidmatan.

“Oleh itu mereka jarang melayan sapaan lelaki tempatan, sebaliknya mengutamakan pelancong asing dari Timur Tengah yang membanjiri ibu kota ketika ini.

“Malah, berbanding pelacur dari China atau Thailand yang mempunyai kadar harga sekitar RM200 bagi sekali perkhidmatan, gadis Uzbekistan dianggap terlalu ‘demand’ (meletak harga tinggi) apabila meminta sehingga RM500 bagi sekali perkhidmatan,” katanya.

Menurutnya, gadis Uzbekistan tidak gemar melayan lelaki tempatan kerana bimbang aktiviti mereka dihidu anggota polis yang menyamar sebagai pelanggan.

“Hanya selepas yakin mereka orang biasa, baru gadis berambut perang atau coklat gelap ini setuju untuk berunding soal harga sebelum pelanggan dibawa ke bilik sewa di beberapa hotel sekitar ibu kota,” katanya.

Aktiviti berkumpulan kumpulan pelacur Uzbekistan terbabit berjaya ditumpaskan selepas sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) menggempur beberapa lokasi, terutama di kawasan Bukit Bintang yang menjadi sarang kegiatan mereka.

“Hasil risikan hampir 15 minit, polis mendapati lima gadis Uzbekistan berbual dengan beberapa lelaki warga asing yang dipercayai dipujuk untuk melanggan mereka.

“Selepas yakin dengan aktiviti maksiat dilakukan, polis menghampiri lima gadis Uzbekistan dan dua lelaki warga asing berkenaan sebelum memperkenalkan diri sebagai anggota polis,” katanya.

Tindakan polis terbabit menyebabkan semua pelacur berkenaan cuba melarikan diri sebelum dikejar dan dikepung.

“Semua gadis itu berjaya ditahan bersama dua lelaki warga Timur Tengah yang berada di lokasi kejadian. Hasil soal siasat, ada antara gadis terbabit memberi alasan kononnya berada di negara ini sebagai pelancong dan pelajar kolej,” katanya. - Harian Metro

Bookmark and Share

27 pelayan wanita warga asing ditahan

SHAH ALAM – Seramai 27 wanita warga asing dipercayai bekerja sebagai pelayan perhubungan pelanggan bersama sembilan lelaki ditahan dalam dua serbuan berasingan yang dijalankan polis di Pandan Jaya dan Hartamas, malam kelmarin.

Dalam serbuan yang dibuat kira-kira jam 10.40 malam di sebuah pusat hiburan di Pandan Jaya itu, seramai 15 wanita warga China berusia lingkungan 20-an dilihat sibuk melayan pengunjung ke premis terbabit.

Difahamkan, premis berkenaan yang sudah empat kali diserbu pihak berkuasa bagi tempoh tahun ini, menjadikan semua wanita itu sebagai tarikan istimewa untuk melayan pengunjung yang datang berhibur di situ.

Dalam serbuan yang diketuai Asisten Superintendan Khairi Anuar Rusli dari Jabatan Anti Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Ampang Jaya itu, pemilik premis turut dikesan menggaji semua pelayan terbabit dengan bayaran serendah RM800 sehingga RM1,000 untuk satu kali perkhidmatan.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas 15 wanita itu mendapati mereka menyalahgunakan pas pelawat serta permit kerja yang dimiliki.

“Kita (polis) akan serahkan mereka kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya selepas didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi berasingan pada jam 10 malam di sebuah pusat karaoke di Hartamas, polis menahan 12 wanita warga asing termasuk 4 warga Myanmar dipercayai bekerja sebagai pelayan di premis terbabit.

Pegawai Turus D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Razali Abu Samah berkata, siasatan lanjut pihaknya mendapati pusat tersebut menyalahgunakan lesen perniagaan dimiliki dan percaya turut menyediakan perkhidmatan tidak bermoral kepada pelanggan yang datang berhibur di situ.

“Polis turut menahan 9 pelanggan lelaki warga asing dan 12 wanita itu untuk siasatan di bawah Akta Imigresen selepas didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial,” katanya seramai 21 pengunjung berada dalam premis yang mengandungi lima bilik yang disediakan khas untuk berhibur. - Sinar Harian

Bookmark and Share

15 wanita GRO asing diberkas di dua pusat hiburan

KUALA LUMPUR 1 Mei - Tidak serik-serik. Meskipun pernah diserbu sebanyak tiga kali, sebuah pusat hiburan di Pandan Jaya di sini, tetap berdegil menggunakan khidmat pegawai perhubungan pelanggan (GRO) warga asing dari China untuk menarik pelanggan mereka.

Buktinya, seramai 15 wanita warga China ditahan dalam serbuan oleh 10 anggota Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman yang diketuai oleh Asisten Supritendan Khairi Anuar Rusli.

Dua pegawai perhubungan pelanggan asing bertengkar dengan anggota polis wanita (kanan) ketika ditahan dalam satu operasi di Seri Hartamas, Kuala Lumpur, semalam. 

Katanya, siasatan mendapati semua wanita berusia 20-an hingga 30-an itu ditahan setelah menyalahgunakan pas pelawat dan dokumen perjalanan.

"Mereka akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya untuk disiasat mengikut Akta Imigresen," katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi terbabit di sini malam tadi.

Katanya, siasatan mendapati premis tersebut pernah diserbu polis sebanyak tiga kali pada tahun lalu kerana kesalahan sama, namun dikesan kembali menggunakan khidmat GRO warga asing.

Sementara itu dalam satu lagi serbuan berasingan di sebuah pusat hiburan di Seri Hartamas, seorang GRO warga Korea mencuri perhatian pihak penguat kuasa apabila cuba menyerang seorang jurugambar ketika merakam gambarnya.

Wanita yang berskirt mini tiba-tiba bertindak terjun keluar dari trak polis dan meluru ke arah jurugambar itu untuk menamparnya.

Wanita yang juga kelihatan mabuk itu menolak polis dan kemudian enggan menaiki trak tersebut.

Dia antara 12 wanita warga asing yang ditahan pasukan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Razali Abu Samah berkata, premis tersebut beroperasi secara haram dan hanya dikhususkan kepada pelanggan Korea.

Katanya, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati premis itu berselindung di sebalik tiga lapisan pintu berkunci bagi mengaburi pihak penguat kuasa.

"Kesemua wanita berusia antara 21 dan 23 tahun itu juga dikatakan datang sendiri ke premis berkenaan bagi menjadi GRO kepada sembilan pelanggan di premis itu," katanya. - Utusan


Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...