Saturday, May 1, 2010

Polis KL Akan Tingkatkan Operasi Kesan Pendatang Di Kawasan Hutan

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Pihak polis akan meningkatkan operasi mengesan pendatang tanpa izin yang tinggal di kawasan hutan di bandaraya ini bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata ini berikutan terdapatnya kes pendatang asing tanpa izin yang bekerja di tapak pembinaan menjadikan kawasan hutan berhampiran sebagai tempat bersembunyi di waktu malam agar tidak dikesan.

Awal pagi ini, polis telah menahan 13 lelaki pendatang asing tanpa izin, yang terdiri daripada enam warga Bangladesh dan tujuh warga Indonesia dalam operasi di kawasan hutan di sekitar Bukit Kiara, kata Wan Abdul Bari.

Dalam serbuan pada kira-kira pukul 3 pagi itu, pendatang asing itu sedang nyenyak tidur dengan hanya berlapikkan plastik di atas tanah di dalam hutan itu, katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Terbuka Polis Kuala Lumpur di Balai Polis Wangsa Maju di sini pada Sabtu.

Wan Abdul Bari berkata daripada pemerhatian yang dibuat, pendatang tanpa izin berkenaan bekerja, makan dan mandi di tapak pembinaan sebelum berjalan kaki ke kawasan hutan untuk tidur.

Sementara itu, katanya di tapak pembinaan dekat kawasan Pantai Dalam di sini awal pagi ini, dua pendatang tanpa izin warga Bangladesh yang berumur dalam lingkungan 20-an, cedera parah apabila terlibat dalam pergaduhan merebut tempat tidur di dalam kawasan hutan berhampiran kawasan itu, dengan dua pendatang tanpa izin dari Indonesia.

"Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, seorang pengawal keselamatan terlihat dua mangsa itu berlari masuk ke dalam kawasan tapak pembinaan dengan seorang mangsa cedera akibat dikelar di leher, manakala seorang lagi cedera di perut dipercayai diserang menggunakan senjata tajam," katanya.

Beliau berkata kedua-dua mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan, dan polis turut menahan mereka kerana tidak mempunyai permit dan dokumen perjalanan yang sah.

Katanya polis sedang memburu dua suspek yang terlibat dalam pergaduhan itu. -- BERNAMA

Bookmark and Share

Friday, April 30, 2010

18 GRO China ditahan

Gambar hiasan

JOHOR BAHRU 29 April - Seramai 18 wanita warga China yang dipercayai bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) bersama 30 pelanggan ditahan dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Pelangi, di sini malam tadi.

Kesemua wanita berusia 20 hingga 35 tahun itu ditahan dalam operasi yang disertai 10 anggota polis kira-kira pukul 11 malam.

Pegawai Turus Cawangan Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Johor, Deputi Supritendan Tan Hiap Seng berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat awam.

"Ketika serbuan, wanita warga asing tersebut cuba menyembunyikan diri di dalam setor dan tandas namun tindakan mereka berjaya dikesan.

"Kita juga menahan 30 pelanggan berusia 25 hingga 55 tahun termasuk pengurus premis berusia 30-an bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya percaya wanita-wanita itu turut terlibat dalam aktiviti pelacuran dengan membawa pelanggan ke hotel-hotel bajet atau lokasi lain.

Katanya, pemeriksaan mendapati premis terbabit telah beroperasi sejak tiga bulan lalu dengan menggunakan lesen pusat latihan nyanyian.

"Polis sedang memburu pemilik premis berkenaan dan juga dalang di sebalik sindiket tersebut," ujarnya.

Kesemua wanita terbabit katanya, ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial. - Utusan

Bookmark and Share

Nasib Tertuduh Kes Pembunuhan Muntik - 7 Mei

SHAH ALAM, 29 April (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini menetapkan Jumaat depan untuk keputusan kes pembunuhan pembantu rumah warga Indonesia, Muntik Bani selepas perbicaraan, yang bermula 18 Jan lalu, berakhir Khamis.

Hakim Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas kedua-dua pihak selesai mengemukakan hujah masing-masing sejak semalam.

Pendakwaan menutup kes mereka pada 12 Mac lepas selepas 50 saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan selepas tertuduh A.Murugan, 35, mengaku tidak bersalah membunuh pembantu rumah berusia 36 tahun itu.

Murugan, seorang penjual air tebu, didakwa membunuh Muntik, di rumahnya di No 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Okt tahun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Muntik, yang berasal dari Surabaya, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, pada 26 Okt lepas setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani sementara tertuduh diwakili peguam V.Rajehgopal.

Terdahulu itu, dalam hujahannya, Idham berkata sekiranya tertuduh bukan orang yang membunuh Muntik, dia tidak akan mengurung mangsa, yang dalam kesakitan akibat kecederaan teruk, di dalam tandas yang berkunci dari luar atas alasan apa sekalipun.

"Kalau bukan tertuduh yang lakukan perbuatan itu kenapa dia tidak bawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Seandainya tertuduh tiada niat untuk membunuh mangsa, dia tidak akan melakukan perbuatan itu.

"Justeru itu, memang tertuduh yang melakukan perbuatan itu terhadap mangsa sehingga menyebabkan kematiannya," katanya.

Mengenai akuan nazak mangsa, Idham berkata terdapat enam saksi mendengar sendiri pengakuan mangsa (mengenai perbuatan tertuduh) dan mangsa juga berada dalam keadaan sedar semasa membuat pengakuan itu.

"Sekiranya mahkamah sukar menerima kenyataan mangsa yang dibuat mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah, adalah selamat untuk mahkamah terima kenyataan bertulis daripada doktor yang merawat mangsa berhubung pengakuan itu," katanya.

Ketika membalas hujahan itu, Rajehgopal mempersoalkan kegagalan pendakwaan memanggil ibu tertuduh, M. Vasantha Rani sebagai saksi memandangkan wanita itu turut tinggal bersama tertuduh dan keluarganya.

Katanya sekiranya ibu tertuduh dipanggil sebagai saksi maka keterangannya selaras dengan keterangan isteri tertuduh D Vanitha.

Katanya mahkamah juga perlu meneliti keterangan seorang lagi saksi, Puah Hooi Sueew, kerana dia merupakan bekas majikan mangsa.

Rajehgopal berkata tiada bukti menunjukkan tertuduh membunuh mangsa selain daripada pendakwaan bergantung kepada bukti mengikut keadaan sahaja.

Katanya saksi yang dikemukakan oleh pendakwaan hanya menyatakan mereka melihat tertuduh menendang dan memukul mangsa dengan penyapu.

"Tiada bukti menunjukkan semua perbuatan itu menyebabkan kematian mangsa dan tiada bukti menunjukkan perbuatan itu dilaklukan antara 18 dan 20 Okt," katanya.

Katanya anak guamnnya sepatutnya dibebaskan daripada pertuduhan itu selepas pendakwaan gagal membuktikan prima facie dalam kes itu. -- BERNAMA

Bookmark and Share

Thursday, April 29, 2010

Lebih 70,000 pekerja asing di Pahang

KUANTAN 28 April - Sebanyak 70,301 warga asing didapati memegang pas lawatan kerja sementara dan bekerja dalam pelbagai sektor di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, terdapat 207 warga asing berada di negeri ini atas pas pengajian dan 679 lagi merupakan suami atau isteri warga tempatan yang diberikan pas lawatan sosial.


Beliau berkata, warga asing terbabit bekerja dalam pelbagai sektor antaranya perkilangan, perladangan, pembinaan, perkhidmatan dan pembantu rumah.

"Pekerja-pekerja dari Indonesia seramai 4,218 orang, Kemboja (108), Thailand (352), Bangladesh (lima) dan Pakistan (sembilan)," katanya ketika menjawab soalan Syed Mohammed Tuan Lonnik (Pas-Beserah) pada sidang Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Adnan bagaimanapun memberitahu, setakat ini, tiada rekod mengenai jumlah pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.

Mengenai jumlah warga asing di negeri ini yang memohon untuk mendapatkan kerakyatan pula, beliau memberitahu, seramai 2,015 warga asing mengemukakan permohonan dalam tempoh 10 tahun lalu. - Utusan


Bookmark and Share

Sentral: Spa sedia pakej seks


Wanita tukang urut warga asing dihantar depan rumah 

KUALA LUMPUR: Berselindung di sebalik nama pusat spa dan kesihatan, satu sindiket dikesan menawarkan perkhidmatan penghantaran gadis tukang urut sampai depan pintu rumah kepada pelanggan dipercayai untuk tujuan pelacuran.



Difahamkan, perkhidmatan itu bagaimanapun terpulang atas permintaan pelanggan yang inginkan pakej urut dan seks tetapi tidak mahu mengunjungi spa terbabit untuk mengelak diserbu pihak berkuasa.


SEBAHAGIAN wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan di Pusat Spa di Jalan Raja Chulan

Malah, sindiket terbabit hanya mengenakan bayaran antara RM148 hingga RM228 mengikut pakej dikehendaki pelanggan. 

Difahamkan, pelanggan yang ingin melanggan gadis terbabit akan berurusan dengan seorang ejen yang menjadi orang tengah sebelum menghantar gadis berkenaan kepada pelanggan mereka berdasarkan lokasi ditentukan. 

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar selepas sepasukan anggota dari Cawangan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontingen Kuala Lumpur (IPPKL) menyerbu pusat spa terbabit di bangunan Wisma MPL di Jalan Raja Chulan di sini, malam kelmarin. 

Dalam serbuan jam 11 malam itu, polis menahan 12 wanita warga asing dari China, Indonesia dan Thailand berusia antara 21 hingga 37 tahun, selain seorang lelaki berusia 30-an dipercayai penjaga spa terbabit hasil maklumat awam dan risikan. 


Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Razali Abu Samah yang mengetuai operasi itu, berkata ketika serbuan dilakukan, semua gadis warga asing itu cuba melarikan diri dengan bersembunyi di sebuah bilik stor kira-kira 30 meter dari pusat spa berkenaan. 

“Polis terpaksa mengejar mereka dan hasil kecekapan anggota, berjaya memberkas semua gadis itu. Mereka yang ditahan terdiri daripada lapan gadis warga Indonesia, dua warga Thailand dan dua lagi warga China. 

“Turut ditahan ialah seorang lelaki tempatan dipercayai ‘penjaga’ gadis terbabit,” katanya kepada pemberita di sini. 

Katanya, siasatan awal mendapati semua gadis itu menyalah guna pas lawatan sosial mereka dengan bekerja sebagai tukang urut. 

“Berdasarkan pemerhatian ke atas pasport gadis berkenaan, mereka beberapa kali memasuki negara ini dan ada antara mereka datang ke negara ini lebih daripada enam kali. 

“Kita (polis) percaya mereka datang ke sini untuk bekerja selain menawarkan khidmat seks kepada pelanggan,” katanya. 

Beliau berkata, semua gadis itu ditahan untuk membantu siasatan mengikut Peraturan 11(7) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala lelaki terbabit disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1963. 

“Saya mohon kerjasama orang ramai mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara ini supaya melaporkannya kepada polis. Polis juga akan meneruskan operasi sebegini untuk membanteras gejala maksiat dan kegiatan pelacuran,” katanya.  - Berita Harian



Bookmark and Share

Tiada Bukti Jelas Untuk Kaitkan Tertuduh Dengan Kematian Muntik - Peguam


SHAH ALAM, 28 April (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu diberitahu tiada bukti secara langsung untuk mengaitkan seorang penjual air tebu dengan kecederaan belakang dan jangkitan kuman di kaki kanan pembantu rumah warganegara Indonesia, Muntik Bani yang menjadi penyebab kematiannya.

Peguam V.Rajehgopal yang mewakili tertuduh. A.Murugan juga berkata tiada keterangan di mahkamah yang menunjukkan bahawa kedua-dua kecederaan itu disebabkan oleh anak guamnya di antara 18 Okt dan 20 Okt tahun lepas.

"Keterangan di mahkamah adalah saksi melihat tertuduh menampar dan menendang (mangsa) dan tiada bukti jelas untuk mengaitkan tertuduh dengan kecederaan belakang mangsa.

"Sama juga terhadap jangkitan kuman akibat ulser kaki kanan mangsa. Ada keterangan di mahkamah menunjukkan mangsa ketika datang ke rumah tertuduh mempunyai bisul pada kaki kanannya. Pihak pendakwaan hanya bergantung kepada keterangan mengikut keadaan," katanya.

Rajehgopal memberikan hujahannya dalam perbicaraan terhadap Murugan, 36, yang didakwa membunuh Muntik, 36, di rumahnya di No 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Okt tahun lepas dan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Muntik, dari Surabaya, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, pada 26 Okt lalu setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan.

Rajehgopal berkata laporan bedah siasat juga menunjukkan bahawa kematian mangsa disebabkan oleh kesan tidak langsung iaitu mangsa mengalami kecederaan saraf tunjang yang menyebabkan beliau lumpuh sehingga ke bawah dan komplikasi berkaitan seperti luka lambat sembuh, jangkitan kuman dan masalah pendarahan.

Selain itu beliau berhujah, laporan bedah siasat menunjukkan bahawa mangsa mempunyai penyakit salur darah jantung (ateroma koronari) yang teruk walaupun punca kematiannya disebabkan kecederaan belakang akibat trauma benda tumpul dan jangkitan kuman akibat ulser di kaki kanannya.

"Kesimpulannya, apa yang mahkamah perbicaraan perlu putuskan pada penutup kes pendakwaan ini ialah persoalan mengenai undang-undang sahaja. Tetapi dalam membuat kesimpulan itu, mahkamah perlu meneliti bukti yang ada didepannya. Jika bukti itu memang hebat atau jika pendakwaan gagal membuktikan satu atau lebih bahan-bahannya dalam tuduhan itu, mahkamah mempunyai alasan untuk tidak memanggil tertuduh untuk membela diri.

"Dalam kes ini, bukan sahaja bukti yang dibawa di depan mahkamah ini memang hebat tetapi bahan-bahan tuduhan tidak dibuktikan dan oleh itu pendakwaan gagal untuk membuktikan kes prima facie. Sebenarnya pembelaan berhujah bahawa tuduhan ke atas tertuduh adalah tidak benar dan sama ada remeh atau menyusahkan," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani pula berhujah berdasarkan keterangan yang ada, pendakwaan telah berjaya membuktikan bahawa perbuatan tertuduh yang menyebabkan kematian mangsa dan tiada orang lain yang menyebabkan kematian mangsa melainkan tertuduh sendiri.

Beliau berkata walaupun tiada keterangan secara langsung yang melihat tertuduh membunuh mangsa, melalui keterangan mengikut keadaan terbukti bahawa tertuduh telah menyebabkan atau telah melakukan perbuatan sehingga menyebabkan kecederaan yang membawa kepada kematian mangsa.

"Ini dapat dilihat melalui keterangan saksi-saksi pendakwaan seperti jiran-jiran tertuduh bahawa tertuduh adalah orang yang melakukan perbuatan itu terhadap mangsa. Keterangan isteri tertuduh sendiri, D.Vanitha yang mengesahkan perbuatan suaminya (tertuduh) terhadap mangsa. Tertuduh juga adalah orang yang mengurung mangsa di dalam tandas selama dua hari sebelum mangsa dijumpai," katanya.

Idham berkata selain daripada keterangan mengikut keadaan, pendakwaan juga bergantung kepada akuan nazak mangsa yang dibuat kepada pegawai penyiasat dan doktor-doktor yang merawatnya berhubung kecederaan yang beliau alami.

"Mangsa memberitahu bahawa tertuduh adalah orang yang melakukan perbuatan tersebut ke atasnya. Mangsa juga ada menyatakan senjata yang digunakan oleh tertuduh semasa memukulnya sehingga membawa kepada kecederaan-kecederaan itu dan memberitahu bahawa beliau telah dikurung di dalam tandas selama dua hari tanpa diberi makan dan minum. Perbuatan-perbuatan ini yang membawa kepada kematian mangsa selepas enam hari dimasukkan ke hospital," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Yazid Mustafa bersambung paad Khamis. -- BERNAMA


Bookmark and Share

Wednesday, April 28, 2010

Tidak malu lari bogel

SUBANG JAYA: Dua wanita warga asing dari China sanggup lari berbogel tanpa menghiraukan orang ramai melihat tubuh mereka untuk mengelak ditahan penguat kuasa Jabatan Imigresen Putrajaya yang menjalankan operasi di Plaza Puchong di sini, malam kelmarin.

Gambar Hiasan

Wanita berusia lingkungan 20 hingga 30-an dan bekerja sebagai tukang urut itu melarikan diri ke kawasan belakang premis kedai yang terbuka, sebaik beberapa anggota penguat kuasa memasuki premis itu.
Ketua Unit Tindakan jabatan itu, Mohd Azmi Mohd Isa berkata dua wanita berkenaan bagaimanapun ditahan selepas berlaku pergelutan dan dipakaikan baju oleh penguat kuasa yang menahannya.

“Dalam operasi jam 10 malam itu, seramai 10 wanita dari China ditahan termasuk beberapa orang yang sedang beraksi bersama pasangan masing-masing di ranjang dalam premis itu.

“Pihak kami juga sukar memasuki premis berkenaan dari depan kerana mereka menggunakan alat keselamatan terkini bagi mengunci pintu daripada dimasuki mereka yang meragukan. “Kami terpaksa menggunakan jalan rahsia di belakang premis menyebabkan wanita bogel berkenaan bertempiaran ke kawasan belakang premis.

“Di premis itu juga terdapat beberapa kamera litar tertutup (CCTV) digunakan bagi memantau pergerakan luar premis berkenaan termasuk mengelak diserbu pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mohd Azmi berkata, turut ditemui di premis berkenan ialah beberapa kondom dan krim pelincir dipercayai digunakan untuk khidmat seks.

“Dua pelanggan yang berada di premis berkenaan ketika itu turut ditahan untuk urusan dokumentasi,” kata Mohd Azmi. - Harian Metro


Bookmark and Share

11 PATI ditahan di Kg. Sentosa

KUALA LUMPUR 27 April - Keresahan penduduk Kampung Sentosa, Semenyih dekat sini sejak beberapa bulan lalu berikutan gangguan dan kejadian jenayah yang berpunca daripada warga asing kini berakhir.

Ini kerana 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan Jabatan Imigresen Selangor yang melakukan serbuan di kampung tersebut kira-kira pukul 2 pagi tadi.

Timbalan Penolong Pengarahnya, Johari Sucardi berkata, mereka yang ditahan merupakan warga Indonesia, terdiri daripada tujuh lelaki dan empat perempuan.

Katanya, kesalahan dilakukan adalah tidak mempunyai dokumen selain terdapat yang tinggal lebih masa.

"PATI terbabit yang bekerja di sekitar bandar Kajang, cuba melepaskan diri dengan pelbagai helah ketika serbuan dilakukan, namun gagal," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Johari memberitahu, serbuan itu dilakukan selepasnya pihaknya mendapat aduan daripada penduduk kampung ekoran kehadiran PATI terbabit.

"Penduduk tidak dapat tahan lagi apabila mereka sering diganggu dengan pelbagai aksi PATI dan warga asing di situ.

"Malah penduduk juga mendakwa, kejadian jenayah kerap berlaku selepas warga asing tinggal di kampung mereka," ujarnya.

Menurutnya, kesemua PATI yang ditahan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan.


Bookmark and Share

Tuesday, April 27, 2010

22 wanita warga asing ditahan dalam Ops Noda

IPOH 26 April - Hampir setiap hari, ada sahaja berita wanita warga asing yang ditahan kerana menjalankan kegiatan maksiat disiarkan di akhbar.

Terbaru, seramai 22 wanita golongan berkenaan ditahan di tiga buah pusat hiburan dalam serbuan 'Ops Noda' di sekitar negeri ini malam tadi dan kelmarin.

Daripada jumlah tersebut, 14 orang terdiri daripada rakyat Thailand, empat China dan juga empat Vietnam.

 Gambar hiasan

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Mohd. Dzuraidi Ibrahim berkata, mereka ditahan kerana menyalahgunakan visa lawatan dengan melakukan aktiviti tidak bermoral di negara ini.

"Hasil pemeriksaan, mereka didapati menyalahgunakan visa lawatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, serbuan pertama yang diketuai Asisten Supritendan Mohamad Sani Mat Ali di sebuah pusat karaoke di Simpang, Taiping, kelmarin, polis menahan 14 wanita warga Thailand.

"Semasa serbuan dijalankan, semua mereka yang bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) sedang leka melayan pelanggan," katanya.

Kata Mohd. Dzuraidi, pasukan itu kemudian menahan empat lagi wanita yang berasal dari China, dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran di sebuah hotel di Jalan Yang Kalsom, dekat sini.

Tambahnya, turut dirampas sejumlah kondom serta alat pelincir, KY Jelly.

Beliau berkata, warga negara asing tersebut dipercayai menyewa bilik di hotel berkenaan sebelum keluar mencari pelanggan dan dibawa pulang untuk melakukan aktiviti tidak bermoral.

Katanya, dalam serbuan ketiga, seramai empat GRO warga Vietnam ditahan dalam serbuan yang dilakukan di sebuah pusat hiburan di Taman kawasan, Parit Buntar. - Utusan


Bookmark and Share

Monday, April 26, 2010

Terpikat godaan ‘janda’ asing

KUALA LUMPUR: Sekumpulan wanita warga asing yang berlakon sebagai janda yang kematian suami bergiat aktif menipu lelaki terutama yang sudah berkeluarga bagi menyara kehidupan mereka di sini serta keluarga di kampung halaman.

Kumpulan yang menipu menggunakan pujuk rayu bagi menagih simpati dengan menjaja cerita sedih mereka sebagai janda, mengharapkan golongan suami berkenaan ‘lentok’ di pangkuan mereka.

 Gambar hiasan

Tindakan licik dengan modus operandi mereka yang meminta wang dalam jumlah tertentu dipindahkan terus ke dalam akaun melalui Internet, ternyata memudahkan mereka melarikan diri tanpa dikesan.

Penipuan mereka bagaimanapun disedari dua isteri yang mendapati suami mereka menjadi mangsa kumpulan wanita rakus itu sebelum seorang daripada mereka membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Seorang dari mereka ialah ibu enam orang anak yang hanya mahu dikenali sebagai Salihah, 52.

Salihah berkata, sudah lima tahun dia diherdik dan diganggu kumpulan mengaku janda terbabit. Katanya, walaupun perkara itu sudah lama berlarutan, suami mereka tidak pernah serik walaupun sedar ditipu puluhan ribu ringgit.

Ketika ditemui di sini, dia berkata, pada awalnya aktiviti wanita mengaku janda itu tidak disedarinya walaupun suaminya jarang pulang ke rumah.

Bukan itu saja, katanya, suaminya juga sering tidak mempunyai wang apabila diminta sebaliknya meminta wang darinya.

Kata Salihah, perkara itu terbongkar selepas diberitahu rakannya bahawa suaminya selalu dilihat bersama seorang perempuan dari negara jiran di sebuah kedai makan di Pekan Subang di sini.


“Sejak terkena penangan janda ini, suami saya sentiasa panas baran, pantang ditanya, dia akan melenting malah melontarkan kata-kata kesat, malah pernah mencabar maruah saya dengan mempelawa rakannya untuk berasmara dengan saya,” katanya. - Harian Metro


Bookmark and Share

Sanggup lari berbogel elak dicekup

KLANG - Akibat takut dicekup polis, seorang wanita bersama pasangannya sanggup lari berbogel ketika polis menyerbu sebuah pusat rawatan kecantikan di sebuah hotel di Jalan Pelabuhan Klang di sini malam kelmarin.

DUA daripada wanita yang ditahan dalam operasi menangkap pelacur warga asing di Klang kelmarin.
 
Ketika serbuan dilakukan kira-kira pukul 10 malam itu, pasangan terbabit yang sedang asyik berasmara di dalam sebuah bilik terkejut dengan kehadiran sepasukan polis yang menyerbu bilik mereka.

Tanpa sempat memakai semula pakaian masing-masing, wanita dan lelaki tersebut cuba lari keluar dari bilik berkenaan tanpa seurat benang namun akhirnya ditahan pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, wanita terbabit antara lima warga Indonesia berusia 20-an yang ditahan pada malam itu kerana disyaki menawarkan khidmat seks kepada pelanggan.

Menurutnya, hasil siasatan, polis percaya kelima-lima wanita berkenaan tidak mempunyai permit kerja yang sah berikutan kegagalan mereka menunjukkan dokumen perjalanan dan pengenalan diri. - Kosmo


Bookmark and Share

Sunday, April 25, 2010

75 Orang Pelarian Sri Lanka Ditahan Di Perairan Piandang

PULAU PINANG, 25 April (Bernama) -- Seramai 75 pelarian Sri Lanka yang menaiki sebuah bot ditahan di perairan Tanjung Piandang, Kerian dua hari lepas.

Mereka yang terdiri daripada 61 lelaki, enam wanita dan enam orang kanak-kanak yang kesemuanya berusia antara 5 hingga 60 tahun ditahan kira-kira 3 pagi oleh polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim.

Sebahagian dari 75 pelarian Sri Lanka menjamah makanan yang diberikan selepas ditahan di jeti Polis Marin Batu Uban, Pulau Pinang, baru-baru ini. 

Mereka dipercayai dalam perjalanan ke negara ketiga iaitu Australia.

"Difahamkan bahawa pendatang asing tanpa izin ini melarikan diri daripada negara mereka dan mahu menyeludup masuk ke negara ketiga iaitu Australia.

"Antara tuntutan mereka ialah jaminan bahawa mereka boleh pergi ke mana-mana negara dengan selamat serta diterima oleh negara yang ingin mereka pergi, dan mereka meminta untuk dihantar ke Australia," kata Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob.

Beliau berkata bot yang mereka naiki didapati mengalami kerosakan.

"Mereka kemudiannya dibawa ke Pangkalan Jeti Marin Batu Uban di sini pada pukul 6.40 petang. Namun pada mulanya mereka enggan turun daripada bot apabila sampai di jeti dan mereka turut mengugut untuk terjun ke laut sekiranya dipaksa berbuat demikian," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Ayub berkata mereka enggan turun kerana pihak berkuasa di sini tidak dapat memenuhi tuntuan mereka untuk ke negara ketiga.

Pihak polis terpaksa mendapatkan bantuan daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Pelarian untuk membuat rundingan dengan pelarian tersebut, katanya.

Belia berkata para pelarian akhirnya dikeluarkan dari dalam bot ke darat kira-kira 11.40 pagi tadi.

Ayub berkata mereka kemudiannya ditahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah dan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen, Juru selama 14 hari untuk tindakan lanjut.

Katanya polis turut menyiasat sekiranya pelarian didalangi oleh pihak lain.

"Jika sekiranya mereka didapati didalangi oleh mana-mana tekong, kes ini akan disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007," katanya. -- BERNAMA

Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...