Saturday, April 24, 2010

Tiga wanita Vietnam diselamatkan


PUTRAJAYA 23 April - Tindakan nekad tiga wanita warga Vietnam mendapatkan bantuan seorang pemandu teksi supaya membawa mereka ke Ibu Pejabat Imigresen di sini semalam, berjaya membongkar satu sindiket kegiatan pemerdagangan manusia.

Penolong Pengarah Penguat Kuasa Imigresen, James Musa Singa berkata, ketiga-tiga mangsa berusia dalam lingkungan 19 hingga 30 tahun itu melaporkan diperangkap oleh satu sindiket yang memaksa mereka melacur.
Rasidah Ismail (kanan), bertanyakan sesuatu kepada wanita warga Vietnam yang dijadikan mangsa kes pemerdagangan manusia di Putrajaya, semalam.

Susulan laporan itu, kata beliau, pihaknya menyerbu sebuah rumah murah dan kondominium di sekitar Cheras sebelum menahan tiga suspek iaitu dua wanita warga Vietnam berumur 20 dan 28 tahun serta seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun.

"Kira-kira pukul 3.30 petang semalam, kami didatangi tiga mangsa terbabit yang mendakwa mereka pada mulanya dijanjikan kerja sebagai pelayan di sebuah pusat karaoke tetapi kemudian dipaksa menjadi pelacur.

"Kami tidak menolak sindiket ini ada kaitan dengan satu sindiket lebih besar di peringkat antarabangsa. Kesemua suspek akan didakwa di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda RM150,000," kata beliau pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen, Rasidah Ismail.

James berkata, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, pihaknya berjaya menyelamatkan 13 orang mangsa yang diperdaya dalam kes pemerdagangan manusia, kebanyakannya berlaku di Johor dan Negeri Sembilan.

"Seramai 11 suspek masing-masing lapan rakyat tempatan, dua Vietnam dan seorang warga Singapura berjaya ditahan. Semua kes masih dalam siasatan," katanya. - Utusan

Bookmark and Share

Friday, April 23, 2010

Amah perdaya amah


SHAH ALAM: Dia sepatutnya pulang ke negara asalnya, Indonesia bersama wang berjumlah RM20,000 selepas 14 tahun bekerja sebagai pembantu rumah di negara ini, namun hasratnya itu tidak tercapai selepas wang terbabit habis dikebas rakannya juga pembantu rumah dari Indonesia.

Lily Setiawati Selenur, 40, dijangka kembali ke kampung halamannya, Lombok pada 29 April ini selepas sekian lama berkhidmat di rumah majikannya di Bukit Jelutong, di sini, malah segala persiapan temasuk tiket penerbangan sudah ditempah majikan.
Namun, Lily yang masih bujang itu terpaksa melupakan hasratnya selepas segala ‘kekayaan’ yang dikumpulkan di negara ini hilang sekelip mata selepas dilarikan seorang lagi pembantu rumah yang tinggal bersamanya, dikenali sebagai Nia, 22.

Antara barang berharga dilarikan dalam kejadian jam 11.30 pagi kelmarin itu, termasuk barang kemas dianggarkan berjumlah RM15,000, tiga telefon bimbit berjumlah RM2,000 dan selebihnya wang tunai dalam Ringgit Malaysia (RM) dan Rupiah.

Sementara itu, majikan mangsa, Norila Shaari, 41, berkata dia mempunyai dua pembantu rumah warga Indonesia iaitu, Lily dan Rohani Tahir, 38, manakala Nia baru sebulan bekerja di kediamannya bagi menggantikan Lily.

“Sejurus kejadian, saya dihubungi Rohani mengatakan Nia lari dari rumah dan menuju ke arah sebuah pasar raya yang terletak kira-kira dua kilometer dari kediaman saya.

“Sebaik menerima panggilan, saya yang ketika itu berada di pejabat, di Seksyen 13, bergegas pulang sebelum cuba mengesannya di sekitar Bukit Jelutong, namun gagal,” katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini, semalam.

Sebelum melarikan diri, Nia yang berketurunan Madura dan berasal dari Jawa Timur memberi alasan kononnya mahu mencuci tingkap belakang rumah, bagaimanapun, kesempatan itu digunakannya untuk melarikan diri sebelum ia diketahui pembantu rumah lain.

Norila berkata, dua juga cuba menghubungi telefon milik mangsa yang dicuri itu dan mendapati semuanya masih berfungsi dengan baik, bagaimanapun, tidak dijawab.

“SMS yang dihantar dia, jawab dan mendakwa akan pulang, tetapi itu semua helah dia kerana sehingga sekarang, dia gagal dikesan.


“Suami saya kemudian membuat semakan panggilan dan mendapati ia dibuat di Mentakab, Pahang,” katanya.

Norila berkata, Nia memasuki negara ini pada 24 Mac lalu menggunakan pas pelancong dan bekerja sebagai pembantu di rumahnya bagi menggantikan seorang lagi yang akan menamatkan kontrak.

Katanya, ketika melarikan diri, Nia yang mempunyai ketinggian 143 sentimeter memakai baju biru, seluar track gelap dan berselipar.

“Walaupun barang berharga di rumah saya tidak diusik, tetapi saya kasihan dengan nasib yang menimpa Lily, bagaimanapun dia seorang yang tabah.

“Saya juga berharap orang ramai yang melihat Nia supaya menghubungi balai polis berhampiran,” katanya yang membuat satu laporan polis di Balai Polis Bukit Jelutong, sejurus kejadian.

Susulan itu, dia terpaksa membuat pembatalan dengan Jabatan Imigresen bagi membolehkan Lily bekerja di negara ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu. - Harian Metro

Bookmark and Share

Gadis Indonesia dipaksa jadi pekerja seks di Limbang

JAKARTA 23 April – Seorang gadis warga Indonesia berusia 18 tahun mangsa pemerdagangan manusia yang dipaksa menjadi pekerja seks di Limbang, Sarawak, diselamatkan oleh pejabat Konsulat Jeneral Indonesia dan diserahkan kepada keluarganya di sini semalam.

MARY mengesat air mata sambil menceritakan pengalaman menakutkan dipaksa menjadi pelacur. 

Gadis itu yang dijanjikan pekerjaan kononnya di pasar raya atau restoran di Malaysia dengan gaji RM5,000 sebulan oleh anggota sindiket penipuan, dibawa ke Limbang September tahun lepas.

Dia sebaliknya dipaksa bekerja sebagai pelayan di sebuah kelab malam dan harus melayani sekurang-kurangnya dua lelaki.

"Tanggal 12 September saya tiba di kelab malam itu, malamnya langsung kena booking. Kemudian sampai berturut-turut setiap hari,” katanya dalam linangan air mata di pejabat Kementerian Luar Negeri dan di depan para wartawan.

Bapa saudaranya yang turut berada di pejabat itu berkata, dua agen mengaku orang Jakarta yang mengambil gadis itu untuk dihantar sebagai pekerja di Malaysia, kemudiannya disedari merupakan penipu yang turut memperdayakan ramai gadis lain.

Petugas pejabat Konsulat Jeneral Indonesia di Kuching, Hendra Wirawan yang telah mengambil dan menghantar mangsa hingga ke Jakarta memberitahu pemberita bahawa modus operandi kes seperti yang dialami gadis itu ialah menggunakan pola pindah tangan iaitu dijual dari satu tangan ke tangan lain. - Utusan

Bookmark and Share

MDN Tinjau Kemudahan Dan Kebajikan Warga Polis Bukit Sentosa

Cakap serupa bikin itu yang dapat dikatakan kepada Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan program turun padang beliau ke Balai Polis Bukit Sentosa, Bukit Beruntung yang telah berlangsung pada 15 April 2010. Semasa ketibaan Dato’Sri beliau turut disambut oleh Ketua Polis Selangor Dato Khalid bin Abu Bakar.

Beliau dibawa melawat sekitar balai polis dan memeriksa kuaters polis yang terletak tidak jauh dari balai berkenaan. Satu taklimat juga turut diberikan yang menyentuh mengenai kemudahan dan prasarana yang sedia ada di Balai Polis Bukit Sentosa. Taklimat disampaikan oleh Ketua Balai C/Insp Rashid bin Abu Bakar

Menurut beliau,kemudahan prasarana yang stabil merupakan sebahagian dari NKRA dan beliau mengucapkan tahniah kepada pihak polis kerana NKRA banyak bergantung kepada PDRM secara kesuluruhannya.

We are the best among the best… this is not me, this is your own effort,” katanya.


Program turun padang ini juga membolehkan Dato’ Seri Hishammuddin mengadakan tinjauan keselamatan menjelang penamaan calon bagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen P.094. Beliau berpuas hati dengan persiapan PDRM menjelang pilihanraya kecil itu.

”Jangan khuatir keadaan adalah selamat dan polis kita akan memastikan perkara buruk tidak berlaku. Jumlah keanggotaan bagi keseluruhan operasi pada hari penamaan calon Hulu Selangor nanti adalah seramai 1,000 orang. Keadaan terkawal,” katanya.

--team berita ikdn

Bookmark and Share

MDN Dan MSM Lawat Makmal Pengurusan Warga Asing

Makmal Pengurusan Warga Asing yang sedang berlangsung sejak dimulakan pada 23 Mac lalu telah menerima lawatan dari Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hishammuddin (MDN) dan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr. S. Subramaniam (MSM). Lawatan berkenaan bertujuan untuk meninjau perkembangan terkini perjalanan makmal berkenaan dan khabar peserta-peserta makmal yang terlibat.

Lawatan ini yang yang turut dihadiri oleh kedua-dua Ketua Setiausaha Kementerian iaitu Dato’ Sri Mahmood B. Adam (KSU KDN) dan Dato' R. Segarajah (KSU KSM) telah diberikan taklimat oleh Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen Dato’ Paduka Alias B. Ahmad. Taklimat selama 40 minit itu menyentuh mengenai perkembangan dan hasil yang telah dikumpul setelah hampir sebulan mereka ‘dikurung’ dalam makmal itu.

Lawatan yang berlangsung selama lebih satu jam ini juga bertujuan untuk mendapatkan maklum balas dari semua ahli makmal dijangka akan berakhir pada 23 April 2010 nanti. Ahli makmal terdiri dari wakil 14 Kemeterian, 11 Jabatan dan agensi. Bahkan 30 syarikat berkepentingan memberikan maklum balas yang sangat baik terhadap perjalanan makmal ini.

Dato’ Seri Hishammuddin dan Datuk Dr. S. Subramaniam kelihatannya berpuas hati dengan halatuju, analisa dan maklum balas yang dikumpul setakat ini. Makmal ini diharap akan memberikan impak yang besar terhadap kerajaan.

Hasil dari penemuan makmal ini akan di bawa ke Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing kelak dan apabila telah diluluskan ianya akan diselaraskan ke kesemua kementerian dan pihak-pihak yang terlibat.

--team berita ikdn

Bookmark and Share

150,000 Pengawal Keselamatan Nikmati Kenaikan Gaji Sehingga 75 Peratus

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Mulai 1 Julai, kira-kira 150,000 pengawal keselamatan dalam industri kawalan keselamatan akan menikmati kenaikan gaji antara 67 dan 75 peratus.

Mengumumkan perkara itu Khamis, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata dengan kenaikan gaji itu, gaji bersih pekerja dalam sektor kawalan keselamatan akan berada dalam lingkungan antara RM1,100 dan RM1,450 sebulan.

Gaji minimum pekerja sektor kawalan keselamatan masa ini adalah dalam lingkungan antara RM300 dan RM400 sebulan.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Subramaniam berkata keputusan menaikkan gaji itu dilakukan mengikut Akta Majlis Penetapan Gaji 1947.

"Kami akan menaikkan gaji berasaskan kepada pelbagai zon geografi dan butiran mengenainya akan diumumkan kemudian," kata beliau.

Menteri Sumber Manusia itu berkata proses sama akan dilakukan bagi para pekerja dalam industri tekstil, elektronik dan hospitaliti.

Dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata kementerian sedang menyemak semula perundangan buruh bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi selaras dengan Model Ekonomi Baru, yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada akhir Mac lepas.

Dalam proses kajian semula itu, kementerian akan menggunakan pendekatan perbincangan terbuka dan telus seperti mengadakan taklimat dan perbincangan dengan wakil-wakil majikan seperti Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan wakil-wakil pekerja iaitu Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang (NUPW) dan Cuepacs, katanya. -- BERNAMA

Bookmark and Share

Wednesday, April 21, 2010

Johor: Kampung pekerja asing

PENGERANG: Kehadiran lebih 1,000 pekerja luar termasuk dari Filipina di Kampung Teluk Ramunia serta dua kampung berhampiran membuatkan penduduk tempatan tidak senang duduk berikutan bimbang akan wujud gejala sosial di kalangan golongan belia dan remaja di kawasan berkenaan.

Ketua Kampung, Abdul Hapida Petalentak, 62, berkata pihaknya kesal dengan syarikat gas dan minyak tempatan yang lebih mengutamakan pekerja asing daripada mengambil masyarakat setempat hingga boleh menyebabkan berlakunya gejala sosial.

 Gambar hiasan

Beliau berkata, dalam operasi di kawasan kampung berkenaan, 200 pekerja asing milik syarikat terbabit, yang sebahagian besarnya warga Filipina diperiksa dan kebanyakan mereka mempunyai dokumen perjalanan yang meragukan. Katanya, selain latar belakang mereka meragukan, sikap mereka yang sering bergaduh sesama sendiri dan minum minuman keras sesuka hati juga menimbulkan kegusaran di kalangan penduduk setempat.

“Buat masa ini, selain Kampung Teluk Ramunia yang menjadi tumpuan pekerja asing itu tinggal dan menyewa rumah, Kampung Sungai Rengit dan Kampung Baru juga didiami pendatang asing berkenaan,” katanya.

Ketua Umno cawangan berkenaan, Othman Yan, 60, berkata beliau dan penduduk kampung juga mempunyai banyak maklumat mengenai tindakan tidak adil dilakukan pihak syarikat terhadap pekerja tempatan mahupun pekerja luar itu.

Katanya, berdasarkan maklumat daripada kira-kira 200 orang pekerja tempatan, mereka mempersoalkan mengenai cara pembayaran gaji yang tidak menentu.

“Bukan soal gaji saja, apabila mereka mahu ambil pekerja baru, mereka akan utamakan pekerja luar walaupun ada pekerja tempatan yang sama-sama datang temu duga.

“Sedangkan mereka sudah maklum, ramai pekerja tempatan antara pekerja yang mempunyai pengalaman dan kepakaran bekerja dengan syarikat gas dan minyak yang pernah beroperasi di situ sebelum ini,” katanya.

Berikutan, aduan daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Teluk Ramunia, satu sesi dialog dijalankan antara wakil penduduk dengan pengurusan tertinggi syarikat awal April lalu dengan dihadiri wakil pekerja, penghulu mukim, ketua kampung, polis dan pasukan Rela.

Wakil syarikat berkenaan, Patrick Lee, berkata semua aduan yang diterima penduduk dan wakil pekerja tempatan itu sudah diterima dan pihaknya akan memastikan perkara yang dibangkitkan penduduk diberi perhatian. Berita Harian

Tuesday, April 20, 2010

Ministry seeks to raise cost of hiring foreigners

KUALA LUMPUR: The Human Resources Ministry is devising a system to raise the cost of employing foreign workers in efforts to reduce the foreign work force in the country.

Minister Datuk Dr S. Subramaniam said the Government wanted to limit the recruitment of foreign workers to 1.5 million in three years as proposed by the Cabinet Commit­tee on Foreign Workers laboratory and changes would be made to the recruitment system to achieve this.

By increasing the recruitment costs, the Government hoped to resolve the issue of unskilled foreign workers with very low pay, he said after presenting certificates to graduates of the Beaubelle Cosmetology Management Academy here yesterday. - The Star

Amah dakwa didera 6 bulan

KUALA LUMPUR: Dia bukan saja ditampar, dipijak, ditendang, malah turut ‘disebat’ menggunakan paip getah, penyangkut baju dan tali pinggang saban hari.

Tidak cukup dengan itu, mangsa tidak dibenarkan keluar dari kawasan rumah dipercayai mengelakkan kekejaman majikan dan ahli keluarganya itu diketahui umum.
Itu penderitaan seorang pembantu rumah berusia 30-an yang didera lebih enam bulan lalu oleh majikannya.

Namun, penderitaan pembantu rumah itu berakhir Khamis lalu apabila dia meloloskan diri kira-kira jam 12 tengah hari selepas dibelasah majikannya lebih 20 minit.

“Sebelum ini mangsa mendakwa sering dimarahi, namun sejak enam bulan lalu majikannya mula menggunakan kekerasan terhadapnya,” katanya.

Sumber berkata, mangsa melarikan diri melalui pintu belakang rumah sebelum menahan sebuah teksi dan memintanya membawa ke balai polis berhampiran.

Difahamkan, majikannya yang menyedari kehilangan pembantu rumahnya itu keluar mencari mangsa, namun gagal.

Sumber berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan di sini dan sebaik menerima laporan berkenaan, sekumpulan anggota polis ke rumah suspek dan menahannya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan memberitahu kes berkenaan dirujuk kepada Balai Tun H S Lee bagi siasatan lanjut. - Harian Metro

Sunday, April 18, 2010

Komtar dikepung dua jam

 Sebahagian pendatang asing tanpa izin yang ditahan di Komtar, George Town semalam. 

GEORGE TOWN – Hanya dalam tempoh dua jam, Jabatan Imigresen negeri menahan 220 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk 67 wanita dan dua kanak-kanak dalam satu operasi besar-besaran dikenali sebagai 'Ops Komtar' di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini semalam.

Operasi bermula pada pukul 3 petang itu berjaya menahan PATI yang kebanyakan berasal dari negara Indonesia, Myanmar, Filipina, India, China dan Bangladesh.

Pengarahnya, Abdul Qadir Siddiq Ahmad berkata, operasi dibuat berikutan aduan orang awam yang menyifatkan kompleks itu sebagai lubuk pendatang haram. - Kosmo
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...