Saturday, April 17, 2010

Jaga kebajikan pekerja asing elak jenayah

KUALA LIPIS 16 April - Golongan majikan digesa menjaga kebajikan pekerja asing terutamanya dari aspek gaji untuk mengelak pekerja terbabit terlibat dalam kejadian jenayah.

Ketua Polis daerah, Supritendan Abdul Razak Hassan berkata, kes jenayah terutamanya membabitkan kes pecah rumah berpunca daripada pekerja asing terbabit tidak mendapat gaji atau upah seperti yang dijanjikan.

Menurut beliau, pekerja terbabit juga tidak diberi penjelasan sebenar mengenai upah atau gaji, sistem waktu kerja dan faedah kebajikan lain.

"Kebanyakan kes jenayah warga asing turut berpunca daripada pekerja keliru dan terpedaya apabila upah yang tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan.

"Masalah ini menyebabkan rasa tidak puas hati, tertekan dan akhirnya tercetus perkara negatif akibat tidak ada tempat bagi pekerja berkenaan untuk mengadu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis ramah mesra Polis daerah Lipis dengan masyarakat Orang Asli sempena Sambutan Ulang Tahun Peringatan Hari Polis ke-203 di Ulu Kenip, Pos Betau dekat sini semalam.

Abdul Razak berkata, majikan daerah ini perlu bijak mengurus pekerja asing masing-masing tanpa mengeksploitasi mereka untuk meraih keuntungan.

Katanya, segelintir majikan membawa masuk pekerja berkenaan tidak jujur termasuk menggunakan kekerasan dalam menguruskan pekerja mereka.

"Ramai pekerja asing yang datang ke sini tertipu dengan perkhabaran mengenai senario lokasi dan sistem kerja yang baik di negara ini, namun berlaku sebaliknya hingga menyebabkan harapan pekerja berkenaan musnah ketika menjejakkan kaki ke sini," katanya. - Utusan

RM25 bagi kami lumayan - PATI

KUALA LUMPUR 16 April - Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) wanita mengakui, upah menjual kuih sebanyak RM25 yang diperoleh setiap hari, amat tinggi dibandingkan dengan pendapatan penduduk di negaranya.

Atas sebab itu, wanita Indonesia itu yang hanya mahu dikenali sebagai Misuyanti, 21, sanggup bergadai nyawa datang secara haram ke negara ini tiga tahun lalu bagi mencari rezeki di sini.

 Sebahagian pendatang asing tanpa izin yang ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen dan Rela di Kuala Lumpur, semalam.

"Di Malaysia, suami saya bekerja sebagai buruh binaan manakala saya pula bekerja membuat kuih di sebuah pasar pagi dengan pendapatan RM25 sehari.

"Mungkin bagi orang Malaysia pendapatan RM25 itu sedikit tetapi ia cukup besar bagi kami yang berasal dari Indonesia. Wang ini jika dikirim ke negara kami amat tinggi nilainya," katanya yang hanya membayar RM200 sebulan bagi rumah sewa di Kampung Sri Makmur, Sri Gombak di sini.

Misuyanti bersama bayi lelaki berusia 42 hari dan suaminya adalah antara 52 orang PATI yang ditahan Jabatan Imigresen dalam operasi di kampung tersebut, kira-kira pukul 2.45 pagi ini.

Ketika ditemui pemberita, wanita itu mengaku kehidupan yang sukar di negara mereka menyebabkan rakyat Indonesia tidak serik-serik untuk ke Malaysia mencari rezeki, biarpun masuk melalui cara yang tidak sah.

"Di kampung saya di Jawa Timur, pendapatan keluarga saya sebagai nelayan memang tidak cukup untuk menampung hidup. Jadi hanya dengan bekerja di Malaysia sahaja, kami boleh hidup senang.

"Rezeki lumayan menanti di Malaysia mendorong saya sanggup mengambil risiko datang secara haram ke negara ini dengan menaiki feri meskipun terpaksa duduk berhimpit dengan penumpang lain sepanjang beberapa jam perjalanan," katanya.

Kehadiran mengejut 80 anggota penguat kuasa Imigresen bersama 30 anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) turut menyaksikan pelbagai gelagat lucu pendatang asing yang panik cuba melepaskan diri daripada diberkas.

Antaranya, sekumpulan wanita dilihat berlari naik ke atas bumbung rumah malah ada yang segera bersembunyi di atas pokok.

Sementara itu, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Mohd. Radzi Ain ketika ditemui selepas operasi berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan di perkampungan setinggan itu selepas menerima maklumat tentang kehadiran ramai PATI.

Dalam serbuan itu, katanya, seramai 52 PATI iaitu 23 wanita dan 13 lelaki warga Indonesia, sembilan lelaki Bangladesh serta seorang lelaki Thailand diberkas.

Beliau berkata, kesemua mereka yang berusia antara 42 hari hingga 50 tahun kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 56(1)(l), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Antara kesalahan yang dilakukan adalah tinggal melebihi tempoh dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya. - Utusan

Kadar levi pekerja asing ikut tempoh kontrak

Usaha kurangkan pergantungan kepada tenaga kerja luar

PUTRAJAYA: Majikan yang berhasrat menggaji lebih ramai pekerja asing atau mahu memanjangkan tempoh kontrak mereka mungkin perlu membayar kadar levi lebih tinggi bagi memastikan rakyat asing berkenaan hanya digunakan dalam sektor memerlukannya.


Kedi - Gambar hiasan
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata penstrukturan semula kadar levi yang sedang dikaji, antara lain mempertimbangkan cadangan menetapkan kadar levi mengikut jumlah pekerja asing dan tempoh mereka bekerja di sini.

“Hakikatnya, majikan menggaji ramai pekerja asing untuk tempoh lama perlu membayar levi lebih tinggi berbanding mereka yang mempunyai kontrak kerja lebih singkat.

“Ini secara tidak langsung mendorong majikan hanya mengambil pekerja asing apabila benar-benar perlu,” katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam.

Levi pekerja asing kini ditetapkan mengikut sektor iaitu RM1,200 bagi perkilangan dan pembinaan; RM1,800 bagi pekerja restoran, pencucian dan pembersihan, pengendalian kargo, dobi, tukang gunting rambut, perniagaan runcit dan borong, perniagaan tekstil, barangan logam, lusuh dan terpakai, spa dan urut refleksologi, hotel serta kedi.

Sementara itu, pekerja asing di sektor pulau peranginan perlu membayar levi RM1,200; RM600 bagi pekerja rumah kebajikan; RM540 bagi pembantu rumah kedua, dan RM360 bagi pekerja asing di sektor perladangan serta pembantu rumah pertama.

Menyusuli keputusan itu, kementerian bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia bagi mengemas kini pangkalan data majikan dan pekerja asing untuk diguna pakai dalam usaha membanteras kemasukan pekerja asing tanpa izin dan mengurangkan jumlah pekerja asing sah sedia ada.

Kedi di Malaysia gajinya tidak setimpal levi yang dikenakan Kerajaan.

Hishammuddin berkata pendekatan itu lebih berkesan bagi mengenal pasti majikan yang mendera pekerja asing, melakukan kesalahan berkaitan Akta Imigresen atau terbabit dalam jenayah pemerdagangan manusia.

Katanya, statistik Jabatan Imigresen antara 2007 hingga 2009 menunjukkan 269 majikan didakwa atas kesalahan berkaitan Akta Imigresen 1963, manakala 137 orang didakwa mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 bagi tempoh dua tahun bermula Februari 2008.

Beliau yakin dengan adanya pangkalan data itu, rekod kemasukan dan kepulangan pekerja asing dan majikan yang menggaji mereka dapat dikawal selia dengan lebih berkesan.

“Kita mahu majikan lebih bertanggungjawab terhadap pekerja asing mereka, terutama mengawal selia bagi memastikan mereka memenuhi tempoh kontrak dan benar-benar pulang selepas ia tamat, tanpa terus tinggal di negara ini sebagai pendatang asing tanpa izin,” katanya.

Hishammuddin berkata, kementeriannya juga sudah menyiapkan laporan berhubung prestasi syarikat memperoleh bekalan pekerja asing sejak sistem membekal dan mengurus pekerja asing dilaksanakan pada 2005.

Katanya, semua syarikat akan dinilai jika mematuhi prosedur sedia ada yang menggariskan pengambilan pekerja asing perlu berdasarkan permintaan serta keperluan guna tenaga dan bukannya untuk mengaut keuntungan semata-mata. - Berita Harian

APMM Tahan Empat Pendatang Asing, Seorang Ejen

KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak menahan empat pendatang asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah selepas memeriksa sebuah feri yang dalam perjalanan ke Sibu, di sini hari ini.

Pegawai Pemerintah KM Bijak, Leftenan Maritim Muhammad Nazry Zubir berkata, keempat-empat lelaki berumur antara 20 dan 30 tahun itu ditahan selepas pihaknya memeriksa feri berkenaan pada kira-kira pukul 8.45 pagi.

"Kami turut menahan seorang lelaki rakyat tempatan berusia 55 tahun yang merupakan ejen yang bertanggungjawab membawa keempat-empat pendatang itu untuk bekerja di sebuah ladang kelapa sawit di Kuala Igan, Mukah," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, lelaki tempatan itu ditahan mengikut Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil pekerja tanpa dokumen sah manakala keempat-empat pendatang itu tersebut ditahan di bawah Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63. - mstar online

Thursday, April 15, 2010

Kod nombor pilih GRO

KUALA LUMPUR: Aktiviti pusat karaoke di sebuah menara di Jalan Pudu Ulu, Cheras di sini, lumpuh setelah diserbu pihak berkuasa lewat malam kelmarin.

TAHAN...antara wanita warga asing yang ditahan ketika operasi di sebuah pusat karaoke di Cheras, malam kelmarin. 

Premis yang menawarkan karaoke dan bar ini menggaji perempuan warga asing sebagai pemanis dengan pakej istimewa layanan ‘seks ringan’.

Difahamkan, pelanggan yang datang boleh memilih perempuan yang diingini dengan kod nombor bagi menemani mereka sepanjang berhibur, malah dijadikan tempat melampiaskan nafsu.

Pegawai Turus Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPPKL) Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Razali Abu Samah berkata, operasi diadakan susulan maklumat orang awam yang mendapati premis terbabit menjalankan aktiviti berkenaan tanpa lesen.

“Serbuan dilakukan jam 1.20 pagi oleh sepasukan anggota D7 Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras mengesahkan premis terbabit tidak mempunyai lesen hiburan, malah turut menjalankan aktiviti tidak bermoral.

“Ketika serbuan, GRO terbabit cuba meloloskan diri melalui jalan tikus di tandas, namun gagal dan kami menahan semua GRO berkenaan serta 15 pelanggan yang asyik berhibur ketika serbuan,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut Razali, seramai 11 gadis dipercayai pelayan pelanggan (GRO) dari Vietnam serta seorang wanita Indonesia ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan serta permit. “Turut ditahan, dua wanita tempatan serta seorang pekerja lelaki di premis terbabit kerana menggaji serta melindungi pekerja warga asing.

“Semua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 55(B) dan 11(7) Akta Imigresen kerana menyalahgunakan pas lawatan serta melindung dan menggaji pekerja warga asing,” katanya. - Harian Metro

Agensi Pekerja Asing Sumatera Bincang Kos Pengambilan Amah Ke Malaysia

MEDAN, 14 April (Bernama) -- Agensi-agensi pekerja asing di Sumatera akan membincangkan aspek kos pengambilan pembantu rumah yang bakal bekerja di Malaysia.

Jurucakap agensi-agensi berkenaan Asa Binsar berkata antara kemungkinan yang akan dipertimbangkan ialah menetapkan satu struktur kos seragam dengan mengambil kira persekitaran perniagaan dan kedudukan tenaga kerja di dalam dan di luar Sumatera.

"Jika tenaga kerja diambil dari Sumatera, kos itu boleh menjadi lebih rendah daripada Jakarta, tapi jika kami terpaksa ambil mereka dari Pulau Jawa kosnya mungkin menjadi serupa dengan yang di Jakarta," katanya kepada Bernama, di sini Rabu.

Pengusaha agensi pekerja asing PT Bina Kridatama Lestari itu berkata perbincangan mungkin mencadangkan agar kos tambahan dikenakan jika tenaga kerja diambil dari Pulau Jawa.

Beliau ditemui selepas majlis pertemuan 35 wakil agensi-agensi pekerja asing di sini dengan Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan.

Sementara itu Ketua Jabatan Buruh Sumatera Utara Sumadi ketika ditemui berharap satu sistem dapat diwujudkan bagi memastikan pembantu rumah dari Indonesia hanya perlu melalui satu pemeriksaan perubatan.

"Sekarang calon tenaga kerja perlu melalui tiga pemeriksaan perubatan iaitu dua di Indonesia dan satu di Malaysia," katanya yang berpandangan sistem talian yang boleh diakses kedua-dua pihak berkuasa Indonesia dan Malaysia akan menyelesaikan masalah itu.

Beliau juga berpandangan agar kedua-dua kerajaan menetapkan penghantaran pembantu rumah hanya dilakukan menerusi agensi pekerja asing bagi memudahkan pemantauan.

Langkah itu juga katanya mengelakkan bakal-bakal pembantu rumah menjalani pemeriksaan perubatan yang tidak sah seperti yang berlaku sebelum ini.

Indonesia kini menggantung sementara penghantaran rakyatnya untuk bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia dan kerajaan kedua-dua negara sedang berbincang untuk menandatangani memorandum persefahaman baru mengenai perkara itu. -- BERNAMA

Wednesday, April 14, 2010

Pendatang Tanpa Izin Tawar RM500 Untuk Lepaskan Diri

KUALA LUMPUR: Barangkali menyangka semua pihak penguatkuasa di negara ini mudah 'dibeli' seorang lelaki warga Bangladesh menawarkan wang tunai RM500 kepada seorang pegawai Imigresen agar membebaskannya ketika diperiksa dalam satu operasi di Batu 9, Cheras hari ini.

 Gambar hiasan

Namun ternyata tanggapannya salah apabila Ketua Unit Tindakan Imigresen Putrajaya, Mohd Azmi Mohd Isa bukan saja menolak tawaran itu tetapi turut menahannya selepas mendapati lelaki tersebut tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"Saya nasihatkan dia agar memberi kerjasama kepada pegawai yang sedang melakukan pemeriksaan," katanya kepada pemberita selepas operasi di sebuah kilang kayu itu.

Warga Bangladesh itu adalah antara 29 warga asing yang ditahan pihaknya dalam operasi tersebut.

"Daripada 100 orang yang diperiksa, 26 orang tidak mempunyai dokumen yang sah. Mereka ini terdiri daripada 26 warga Bangladesh, dua dari Myanmar dan seorang dari India. Kesemuanya berumur dalam lingkungan 20an dan 50an," katanya.

Beliau berkata, serbuan yang melibatkan 80 anggota dan pegawai Imigresen itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan penduduk setempat berkenaan kehadiran ramai warga asing di kawasan tersebut. - mstar online

42 Pati, 7 GRO ditahan




KOTA BHARU - Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Kelantan menahan 42 warganegara asing termasuk tujuh wanita yang dipercayai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) dalam tiga serbuan berasingan di Kota Bharu dan Pasir Puteh.

Kesemua mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun terdiri daripada warganegara Myanmar, Bangladesh, Indonesia dan Thailand.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Ke-lantan, Mohammad Zaidi Che Morad berkata, kesemua mereka yang ditahan itu dihantar ke Depot Tahan Imigresen di Tanah Merah sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing.

Beliau berkata, baru-baru ini pihaknya melakukan serbuan di sebuah premis di Jalan Zainal Abidin dekat Kota Bharu, kira-kira jam 1.25 pagi yang dipercayai menjalankan khidmat seks dan beroperasi tanpa kebenaran.

“Kita dapati tujuh wanita terbabit yang berusia 26 hingga 31 tahun. Warga negara Thailand ini asyik melayan beberapa lelaki bukan Melayu di premis ini.

“Dalam serbuan yang sama juga beberapa teman lelaki kepada GRO berkenaan merayu kepada pegawai penguat kuasa supaya melepaskan mereka tetapi kami tetap menahannya dan tidak menghiraukan rengekan itu,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap wanita terbabit, kesemua mereka menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) dan ditahan untuk siasatan di bawah Peraturan Imigresen 1963.

Mohammad Zaidi berkata, sebelum ini premis terbabit sudah diserbu beberapa kali tetapi mereka tetap menjalankan perniagaan dan operasi sama.

Sementara itu, dalam operasi lain kelmarin, Mohammad Zaidi berkata, pihaknya melakukan serbuan di sebuah tapak projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Su-ngai Petai, dekat Pasir Puteh dan menahan 23 pendatang asing tanpa izin (Pati) menerusi Ops Bina.

Beliau berkata, semua mereka berusia antara 20 hingga 40-an ditahan dalam operasi yang dijalankan kira-kira jam 2 petang hingga 5 petang dan diketuai Pegawai Tinggi Imigresen, Sanusi Zakaria bersama 10 pegawai lain.

Antara mereka yang ditahan terdiri daripada Myanmar (8), Bangladesh (7) dan Indonesia (10).

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap PatiI itu, pihaknya mendapati mereka melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(3) dan Seksyen 15(1) kerana tinggal lebih masa selain melanggar syarat di bawah peraturan 39(B).

Menurutnya, jika disabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga 10,000 atau lima tahun penjara.
Katanya, pihaknya kini mengesan majikan terbabit untuk diambil tindakan.

Beliau berkata, dalam operasi itu juga ada beberapa Pati yang sempat meloloskan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Sementara itu, dalam serbuan di tapak projek Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) kira-kira jam 4.30 petang, Mohammad Zaidi berkata, pasukannya juga menahan 12 Pati warganegara Bangladesh dan Indonesia berusia antara 25 hingga 40 tahun dan ketika serbuan mereka sedang menjalankan kerja-kerja menyiapkan dinding konkrit.

Katanya, hasil pemerik-saan juga mendapati, Pati itu telah melanggar Akta Imigresen dan Peraturan Imigresen 39(B). - Sinar Harian

Hujahan kes bunuh Mantik ditangguh 28 April

SHAH ALAM 13 April – Penggulungan hujah bagi kes peniaga air tebu, A. Murugan yang didakwa membunuh pembantu rumah warga Indonesia, Mantik Hani di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan pada 28 dan 29 April ini.


Pesuruhjaya Kehakiman Mohd. Yazid Mustafa menetapkan tarikh tersebut selepas membenarkan permohonan peguam yang mewakili tertuduh dalam kes itu, V. Rajehgopal yang memerlukan tempoh masa tambahan untuk menyediakan hujahan bertulis.

Terdahulu, hujahan pada akhir kes pendakwaan itu tertangguh selepas Rajehgopal yang sempat berhujah ringkas secara lisan memohon diberi tempoh untuk mengemas kini dan menyediakan hujahan bertulis.

Permohonan itu dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd. Ghani atas alasan mahkamah telah memberi masa yang mencukupi bagi pihak pendakwaan dan pembelaan menyediakan hujahan bertulis selain pihaknya telah bersedia meneruskan prosiding.

Murugan, 36, didakwa membunuh Mantik, 36, di rumahnya di No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbuddin 6, Taman Sentosa, Klang dekat sini antara 18 dan 20 Oktober tahun lalu.

Dia dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Sepanjang perbicaraan, 50 saksi pendakwaan termasuk isteri tertuduh dipanggil memberi keterangan. - Utusan

18 rumah setinggan diroboh, 34 PATI ditahan

KOTA KINABALU 13 April – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) merobohkan 18 buah rumah setinggan dalam operasi bersepadu di kawasan paya bakau di kampung Likas, semalam.

Pengarah Penguat Kuasa DBKK, Abdul Mukti Muchlish berkata, dalam operasi selama lima jam bermula 8 pagi itu, pihaknya turut menahan 34 orang pendatang asing tanpa izin (PATI).
 Gambar hiasan

“Semasa operasi dijalankan tiada perkara yang tidak diingini berlaku dan operasi ini berjaya mencapai matlamat.

“Kita telah menyerahkan kesemua PATI kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya
Menurutnya, operasi tersebut disertai lapan anggota Jabatan Imigresen, 30 penguat kuasa DBKK, 32 anggota Rela, dua anggota Sabah Electricity Sdn. Bhd, dua kakitangan Jabatan Air dan enam anggota polis.

Katanya, tindakan merobohkan rumah setinggan tersebut dilakukan di bawah Undang-Undang Kecil Bangunan 1951.

Dalam pada itu, kata beliau, pihaknya akan terus melakukan operasi bersepadu berkenaan di kawasan yang dikenal pasti bagi merealisasikan setinggan sifar di negeri ini.

Tambahnya, pihaknya juga akan terus memantau kawasan yang telah dirobohkan bagi memastikan tiada pembinaan haram baru.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya bekerjasama dengan DBKK dan tidak membina rumah-rumah setinggan.

“Saya juga berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama dengan melaporkan mengenai pembinaan rumah setinggan kepada DBKK,” ujarnya. - Utusan

Majikan pekerja asing diberi lebih tanggungjawab

PUTRAJAYA 13 April – Majikan yang mengambil pekerja asing selepas ini akan diberikan tanggungjawab yang lebih terperinci bagi memastikan tidak timbul lagi isu negatif membabitkan warganegara asing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada perkara yang dikaji oleh makmal pengurusan pekerja asing yang ditubuhkan 23 Mac lalu.
 Gambar hiasan

Menurutnya, makmal tersebut yang operasinya akan berakhir 23 April, setakat ini berjaya menggariskan beberapa cadangan untuk mewujudkan sistem pengurusan dan pemantauan warganegara asing yang komprehensif serta berkesan.

“Dalam tempoh dua minggu terakhir, makmal tersebut akan memperinci dan memperkemaskan laporan bagi dibentangkan kepada Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Selepas cadangan itu diperakui oleh jawatankuasa tersebut, ia akan dibawa ke Kabinet,” katanya pada sidang akhbar selepas mendengar taklimat mengenai perkembangan makmal berkenaan di sini hari ini.

Menurut Hishammuddin, perbincangan dalam makmal berkenaan meliputi aspek-aspek iaitu sistem dan proses; penawaran dan permintaan; penguatkuasaan dan perundangan.

“Dalam aspek perundangan, kita telah meminta makmal untuk meneliti keperluan bagi memperincikan tugas dan tanggungjawab majikan dalam keseluruhan proses pengambilan pekerja asing.

“Tanggungjawab tersebut merangkumi peringkat kemasukan pekerja, sepanjang tempoh keberadaan di negara ini dan ketika pekerja tamat tempoh permit dan perlu keluar dari negara ini,” katanya.

Sementara itu Hishammuddin berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk menstruktur semula kadar levi yang antara lain menimbangkan cadangan penetapan kadar levi mengikut jumlah pekerja asing dan tempoh bekerja. - Utusan

Tuesday, April 13, 2010

Bilangan Pekerja Asing Mungkin Dihadkan Kepada 1.5 Juta Orang

PUTRAJAYA, 13 April (Bernama) -- Bilangan pekerja asing di negara ini akan dikawal dan mungkin dihadkan kepada 1.5 juta sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga tahun akan datang, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya ia merupakan satu daripada 55 cadangan awal daripada Makmal Pengurusan Warga Asing yang akan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing yang dijadual penghujung bulan ini.

Angka itu dicadangkan hasil analisis yang mengambil kira kos dan keuntungan kepada ekonomi negara, katanya kepada pemberita di sini selepas melawat Makmal Pengurusan Warga Asing itu. Turut sama Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam.

Hishammuddin berkata bahawa pada masa ini terdapat 1.8 juta pekerja asing di Malaysia, 39 peratus daripadanya di sektor pembuatan, 19 peratus pembinaan, 14 peratus perladangan, 12 peratus pembantu rumah, 10 peratus perkhidmatan, dan selebihnya di sektor pertanian.

Mengikut pecahan negara pula, rakyat Indonesia meliputi 50.9 peratus, Bangladesh 17.4 peratus, Nepal 9.7 peratus, Myanmar 7.8 peratus, India 6.3 peratus dan selebihnya Vietnam.

Hishammuddin berkata makmal itu turut membincangkan impak pekerja asing terhadap dasar kerajaan termasuk Model Ekonomi Baru di mana sektor-sektor tertentu yang menjadi fokus negara masih memerlukan pekerja asing.

"Isu keselamatan, keganasan dan layanan majikan kepada pekerja juga diambil kira," katanya.

Makmal itu melibatkan perbincangan selama sebulan bermula 23 Mac lalu, antara 14 kementerian, 11 jabatan dan agensi, 30 organisasi, majikan-majikan dan pertubuhan-pertubuhan yang berkepentingan.

Subramaniam pula berkata makmal itu mendapati Malaysia masih memerlukan pekerja asing tetapi ia harus dikurangkan kepada suatu tahap yang boleh diuruskan dengan lebih baik.

"Kadar itu boleh dihadkan kepada 1.5 juta orang untuk memenuhi keperluan di dalam beberapa sektor di mana kita tidak boleh elak penggunaan pekerja asing.

"Kita harap ia dapat dilaksanakan dalam tiga tahun akan datang," katanya.

Subramaniam berharap makmal itu dapat menghasilkan satu kaedah pengurusan supaya pekerja asing akan dibawa masuk melalui satu sistem yang sah dan akan pulang apabila tempoh pekerjaan mereka tamat.

"Isu berkaitan mereka ketika ini adalah cara untuk menguruskan mereka (kerana) ada yang datang tetapi tidak balik. Isu ini diharapkan dapat diselesaikan oleh makmal nanti," katanya. -- BERNAMA

Kos Pengambilan Pembantu Rumah Lebih Rendah Akan Dicadang

MEDAN, 13 April (Bernama) -- Kos pengambilan pembantu rumah yang lebih rendah adalah antara cadangan yang akan dikemukakan untuk perbincangan antara Malaysia dan Indonesia bagi memperkemaskan kaedah pengurusan penghantaran tenaga kerja Indonesia dalam sektor tidak formal ke Malaysia.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sudah memperoleh satu angka kos yang lebih rendah bagi penghantaran tenaga kerja itu dan sedang mendapatkan maklumat perbandingan dengan kos dari Medan, Pekan Baru dan Pontianak.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan berkata perkara itu akan menjadi antara cadangan yang akan dibawa ke perbincangan tahunan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono nanti.

Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah untuk perbincangan tahunan itu kali ini.

Syed Mushe Afdzaruddin berada di sini untuk lawatan kerja selama tiga hari setelah dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia tiga setengah bulan yang lalu.

Pada 25 Feb lepas, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah mengambil inisiatif mengaturkan perbincangan antara agensi pekerja asing Malaysia dan Indonesia, yang menghasilkan kesepakatan kedua-dua belah pihak mencari jalan bagi menurunkan kos pengambilan pembantu rumah Indonesia, yang kini dianggap terlalu tinggi.

Penelitian terhadap struktur kos pada perbincangan oleh agensi pekerja asing kedua-dua negara itu mendapati bahawa kos yang dikenakan ialah RM6,100 dan ia dianggap tinggi.

Dalam keadaan sebenar, ada majikan Malaysia yang terpaksa membayar sehingga RM8,000 untuk mendapatkan pembantu rumah Indonesia.

Selain kos tetap yang dikenakan kerajaan Indonesia dan Malaysia mengikut keperluan undang-undang dan peraturan, kos lain seperti kos latihan dan penajaan didapati terlalu tinggi hingga menyebabkan kos pengambilan pekerja itu bertambah besar.

Syed Munshe Afdzaruddin berkata kos yang tinggi itu bukan sahaja membebankan majikan yang perlu mendahulukan bayaran tersebut, malah juga kepada pembantu rumah yang akan menanggung potongan gaji bulanan yang lebih tinggi.

Majikan Malaysia juga kurang senang dengan keadaan ini kerana ia sering menjadi punca pembantu rumah lari apabila mereka berasa seperti ditipu kerana terpaksa bekerja tanpa gaji untuk suatu tempoh tertentu.

Duta Besar Malaysia itu berkata bagi melindungi kepentingan majikan Malaysia, satu jaminan seperti dalam bentuk kontrak mungkin dicadangkan juga bagi memastikan majikan tidak kerugian jika pembantu rumah mereka lari setelah pekerja itu dibenarkan memegang sendiri pasport masing-masing.

Indonesia menggantung sementara penghantaran rakyatnya untuk bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia dan kerajaan kedua-dua negara sedang berbincang bagi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) baru dalam memperkemaskan pengurusan penghantaran mereka.

Malaysia berharap MoU baru yang bakal ditandatangani mengenai pembantu rumah Indonesia itu akan menguntungkan kedua-dua pihak Malaysia dan Indonesia dan sekaligus dapat menjamin hak dan perlindungan kepada pekerja dan majikan.

Penghantaran pembantu rumah Indonesia telah banyak membantu pembangunan ekonomi Malaysia kerana ia membolehkan sebahagian besar golongan wanita keluar bekerja dan pada masa yang sama ia juga membantu ekonomi Indonesia kerana memberi peluang kerja kepada rakyatnya yang mengirim pulang wang ke negara asal.

Pagi ini, Syed Munshe Afdzaruddin dan rombongan mengunjungi Gabenor Sumatera Utara Datuk Seri Samsul Aripin di kediaman rasminya di sini untuk membincangkan usaha digiatkan lagi mengenai hubungan dua hala khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan. -- BERNAMA

Lelaki Warga Bangladesh Dalang Sindiket Pasport Palsu RM1,000

SHAH ALAM: Jabatan Imigresen Selangor hari ini menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai menjadi dalang sindiket membuat dan menjual pasport palsu Malaysia kepada warga asing lain.

Pengarahnya, Johari Yusof berkata, dalam serbuan awal pagi di sebuah unit pangsapuri di Puchong dekat sini, polis turut merampas peralatan dipercayai digunakan lelaki berusia 30an itu untuk menjalankan kegiatannya.
 Gambar hiasan

"Antaranya tiga pasport dengan gambar individu lain, cop getah keselamatan Kedutaan Bangladesh dan gam serta wang tunai dalam Ringgit Malaysia dan beberapa mata wang asing bernilai RM500," katanya pada sidang media di sini.

Selain itu, pihaknya juga menemui 'pen drive' mengandungi senarai pelanggan yang sedang menunggu untuk mendapatkan pasport palsu daripada lelaki yang bekerja sebagai buruh binaan itu.

"Pasport palsu berkenaan kebanyakannya dijual kepada rakan senegaranya dan rakyat Myanmar. Setiap satu dijual pada harga RM1,000," katanya.

Mengulas lanjut, Johari berkata, lelaki itu yang telah berada di negara ini sejak tiga tahun lepas juga menggunakan pasport palsu berdasarkan keadaan pasport yang telah lusuh tetapi ditampal dengan gambarnya yang masih baru.

Beliau berkata, pihaknya belum dapat memastikan sejak bila lelaki itu melakukan kegiatan tersebut dan sedang menjejaki beberapa individu lain yang dipercayai turut terlibat.

Lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 12B Akta Pasport 1966 yang membawa hukuman denda minimum RM15,000 dan maksimum RM100,000, atau penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 10 tahun, atau sebatan tidak melebihi enam kali jika sabit kesalahan. - mstar online

Kerajaan siasat dakwaan MTUC - Hishammuddin

KUALA LUMPUR 12 April - Jabatan Imigresen dan polis telah diminta menghantar laporan berhubung dakwaan terdapat lebih 150,000 pekerja asing tidak dapat pulang ke tanah air selepas visa tamat tempoh kerana pasport mereka dipegang oleh majikan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, selepas menerima laporan berkenaan barulah beliau dapat mengesahkan kesahihan dakwaan berkenaan.

''Sebenarnya memang majikan tidak boleh memegang pasport mana-mana individu dan ia juga tidak boleh dibuat dengan alasan mengelak pekerja lari.

''Saya difahamkan bahawa dengan memegang pasport ini, masih ada pekerja asing yang lari daripada majikan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), A. Balasubramaniam pada Sabtu lalu bahawa lebih 150,000 pekerja asing yang bekerja di restoran dan kedai kopi tidak dapat pulang ke tanah air selepas visa tamat tempoh kerana pasport mereka dipegang oleh majikan.

Menurut Balasubramaniam, pekerja berkenaan tidak berniat untuk tinggal melebihi tempoh tetapi telah dieksploitasi oleh majikan yang memegang pasport mereka dan enggan memperbaharui visa yang telah tamat tempoh.

Sehubungan itu, MTUC mencadangkan kerajaan memberikan pengampunan khusus kepada kumpulan itu untuk kembali ke negara asal mereka.

Menurut Hishammuddin, adalah sukar untuk menyatakan secara tepat jumlah pekerja yang pasport mereka dipegang oleh majikan dan bilangan sebenar pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.

''Ini kerana ada dua kategori pekerja asing sedemikian di Malaysia iaitu yang datang ke sini secara sah dan selepas itu menjadi tidak sah kerana tinggal lebih masa serta mereka yang sejak awal-awal lagi tiba di negara ini tanpa dokumen sah.

''Jumlah sebenar hanya dapat disahkan setelah Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing mendapat laporan penuh daripada lapan kementerian dan 15 agensi yang ditugaskan memantau isu ini," katanya.

Menurut beliau, angka tepat jumlah PATI itu akan memudahkan kerajaan melakukan pemantauan dan tapisan bagi mengenal pasti pekerja yang tinggal lebih masa kerana pasport dipegang majikan dan menghantar mereka yang masuk tanpa dokumen sah pulang ke negara asal.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, ahli patologi Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand perlu mengemuka bukti lengkap berhubung dakwaan beliau tidak dapat menyertai inkues Teoh Beng Hock kerana bimbang keselamatan dirinya berikutan terdapat 'tekanan politik' daripada kerajaan Malaysia.

''Isu ini sepatutnya tidak berbangkit kerana kerajaan menjamin keselamatan semua orang termasuk bukan warganegara Malaysia dan pelancong yang berada di negara ini.

''Sekiranya terdapat pihak yang bimbang dengan keselamatan diri masing-masing, mereka sepatutnya melaporkan kepada polis dengan menyertakan maklumat lengkap," katanya.

Tegas beliau, dakwaan Pornthip itu setakat ini hanya bersifat umum dan ia menyukarkan kerajaan untuk melakukan siasatan.

''Saya menyeru kepada beliau untuk memberikan maklumat yang lebih jelas bagi membolehkan kita melakukan siasatan menyeluruh kerana kita tiada apa-apa yang hendak disembunyikan," ujarnya. - Utusan

205 PATI Warga Indonesia Ditahan Cuba Melarikan Diri

TAWAU, 12 April (Bernama) -- Seramai 205 pendatang tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan dalam sebuah feri penumpang kerana cuba meninggalkan negara ini melalui Tawau secara haram lewat petang Isnin.

Jurucakap Jabatan Imigresen Tawau Surend Jayshee Praser berkata kesemua PATI berkenaan termasuk 55 wanita dan 31 kanak-kanak yang berumur antara tiga dan 58 tahun itu, ditahan ketika feri yang mereka naiki cuba berlepas ke Nunukan, Indonesia kira-kira pukul 5.15 petang.

"Kesemua penumpang berkenaan menaiki perahu pete-pete (sejenis perahu kecil berinjin sangkut) dari pantai ke feri penumpang yang menunggu mereka di tengah laut," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Katanya selepas diperiksa didapati kesemua penumpang dalam feri berkenaan tidak mempunyai dokumen sah yang membolehkan mereka meninggalkan negara ini.

Menurutnya mereka dihantar ke Pusat Tahanan Sementara PATI di Jalan Utara bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (c) Akta yang sama.

Beliau berkata juragan feri berkenaan turut ditahan dalam operasi yang disertai 25 anggota yang diketuai Ketua Imigresen Tawau Syamil Chelvam Shah Abdullah bagi membantu sisatan kerana disyaki melanggar Akta Imigresen. --BERNAMA

Monday, April 12, 2010

Empat GRO China diberkas


TAHAN...empat wanita warga China yang ditahan dalam serbuan, semalam

KLANG 11 April - Kelab malam yang menawarkan perkhidmatan seks kini bukan sahaja wujud di pusat-pusat bandar tetapi semakin popular di ladang kelapa sawit.

Awal pagi ini, sebuah bangunan usang di ladang kelapa sawit di Teluk Gong, Pandamaran di sini yang menyediakan kemudahan kelab malam dan hiburan, diserbu.

Berperanan sebagai mini kelab malam, pelanggan akan duduk dan minum dalam bangunan itu sebelum memilih pasangan yang rata-ratanya wanita warga China.

Selepas bersetuju dengan harga yang ditawarkan, pelanggan akan mencari tempat lain termasuk pusat-pusat hiburan di pusat bandar bersama wanita warga asing tersebut.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, pihaknya menahan empat wanita warga China berusia lingkungan 20-an yang bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) di premis itu.

Kata beliau, operasi hasil maklumat orang ramai itu diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Klang, Deputi Supritendan Roslan Ibrahim bersama 18 orang anggota polis mulai pukul 12 tengah malam hingga 2 pagi.

"Ketika serbuan, wanita warga asing itu sedang duduk di meja-meja yang disediakan bagi melayan tetamu.

"Polis percaya premis itu sebagai transit sebelum GRO dan pengunjungnya pergi berhibur di pusat-pusat hiburan lain di bandar ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohamad menambah, keempat-empat wanita itu kini ditahan mengikut Akta Imigresen dan seorang lelaki tempatan berusia 50-an selaku penjaga premis turut ditahan empat hari bagi membantu siasatan.

Katanya, premis itu didapati beroperasi tanpa lesen daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK). - Utusan

Majikan Simpan Pekerja Asing Tamat Tempoh Visa Boleh Kena Tindakan

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Kerajaan memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap mana-mana majikan yang didapati masih membenarkan pekerja asing untuk terus bekerja dengan mereka walaupun selepas visa pekerja berkenaan tamat tempoh, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.

Dalam satu kenyataannya di sini , beliau berkata sebaik sahaja tempoh visa pekerja terbabit tamat, majikan mereka seharusnya memohon untuk melanjutkan tempoh tersebut, atau menghantar pekerja berkenaan kembali ke negara asal.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas satu leporan berita hari ini yang memetik Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebagai mendakwa lebih 150,000 pekerja asing di reatoran dan kedai-kedai makan tidak dapat kembali ke negara asal apabila tempoh visa mereka tamat kerana pasport mereka dipegang oleh majikan masing-masing.

Naib Presiden MTUC A.Balasubramaniam dilaporkan berkata pekerja itu tidak berniat untuk tinggal lebih daripada tempoh yang dibenarkan, tetapi mereka dieksploitasi oleh majikan yang memegang pasport mereka dan enggan memperbaharui visa mereka yang tamat tempoh.

Subramaniam berkata jumlah pekerja asing yang terlibat sebagaimana yang didakwa oleh MTUC agak besar, dan beliau meminta supaya MTUC membekalkan maklumat lebih terperinci mengenai perkara itu kepada Jabatan Tenaga Kerja. -- BERNAMA

Sunday, April 11, 2010

16 warga asing ditahan ketika nyenyak tidur

ALOR GAJAH: Seramai 16 pekerja warga asing sebuah kilang yang tidak memiliki dokumen perjalanan dicekup ketika nyenyak tidur dalam Ops Sapu di Taman Seri Pelangi, Rembia, dekat sini, awal pagi semalam.

Kebanyakan warga asing berkenaan yang nyenyak tidur atau berehat di luar rumah tergamam apabila disergah pihak berkuasa yang berjaya mengelirukan mereka.


Pengarah Bahagian Pekerja dan Pelajar Antarabangsa Melaka, Shadan Othman, berkata serbuan dilakukan hasil maklumat awam mengenai kebanjiran warga asing sekitar taman perumahan terbabit sebelum pihaknya melakukan risikan sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, beberapa anggota dibahagi dalam kumpulan dan menjalankan serbuan serentak sebelum menahan 16 pekerja lelaki iaitu enam warga Indonesia dan 10 warga Bangladesh berusia 20 hingga 39 tahun kerana didapati tiada dokumen sah.

“Mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002) dan ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) akta sama bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

“Warga asing terbabit dibawa ke balai polis untuk siasatan, di mana jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya dan boleh disebat tidak melebihi enam kali,” katanya.

Shadan berkata, tindakan undang-undang mengikut akta sama juga boleh dikenakan kepada rakyat tempatan jika menggaji, melindungi atau membenarkan pendatang tanpa izin (Pati) bekerja atau tinggal di premis mereka.

“Rakyat tempatan yang bersubahat boleh ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) kerana melindungi Pati boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda di antara RM10,000 hingga RM50,000 dan sebatan tidak lebih enam kali.

“Operasi seumpama itu akan diteruskan bagi membendung kebanjiran warga asing ke negara ini.

“Orang ramai diminta memberi kerjasama dan melaporkan kepada jabatan kami bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Turut serta dalam operasi itu ialah polis, Jabatan Imigresen negeri, Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka. - Berita Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...