Saturday, April 10, 2010

Pemilik restoran enggan benarkan pekerja asing pulang: MTUC

KUALA LUMPUR: Lebih 150,000 pekerja asing yang bekerja di restoran dan kedai kopi tidak dapat pulang ke tanah air selepas visa mereka tamat tempoh kerana majikan mereka memegang pasport mereka, dakwa Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini.

Naib Presiden MTUC, A Balasubramaniam, berkata pekerja berkenaan tidak berniat untuk tinggal melebihi tempoh tetapi mereka telah dieksploitasi oleh majikan yang memegang pasport mereka dan enggan memperbaharui visa mereka yang telah tamat tempoh.

 Gambar hiasan

“Sehubungan itu, MTUC mencadangkan kerajaan memberikan pengampunan khusus kepada kumpulan itu untuk kembali ke negara asal mereka," katanya.

Balasubramaniam mendakwa pemilik restoran tidak serius untuk menggaji pekerja tempatan dan ini dicerminkan melalui tindakan mereka yang menawarkan gaji rendah dengan keadaan tempat kerja yang tidak selesa.

"Sebagai contoh, walaupun majikan mendakwa mereka menawarkan RM850 sebulan, ini bagi hampir 12 jam waktu bekerja dan bukannya lapan jam seperti termaktub dalam undang-undang buruh Malaysia," katanya. - Berita Harian

Lelaki main cinta isteri orang dibunuh

SUNGAI BULOH: Seorang lelaki warga Indonesia ditemui mati dengan kesan tetakan di leher dan hampir putus dipercayai dibunuh suami teman wanitanya, dalam kejadian di Kampung Kuang di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata dalam kejadian jam 8.40 malam itu, mangsa dikenali sebagai Makrus, 40, ditemui dalam tandas dengan kesan kelar di leher manakala beberapa bahagian tubuh mangsa berlumuran darah.

“Pada malam kejadian, penduduk yang curiga melihat suspek sedang membersihkan kesan darah di sekitar rumahnya bertindak menghampiri rumah terbabit,” katanya.

Beliau berkata, suspek cuba untuk mengaburi perbuatannya dengan memasang radio dengan kuat dan melarikan diri apabila mengesan kehadiran penduduk di sekitar tempat kejadian. - Berita Harian

Warga asing bolot tapak pasar

PETALING JAYA: “Masalah sama sejak bertahun-tahun, tapi tak pernah ada jalan penyelesaian,” luah peniaga, Mohd Yusof Muslim, 50, mengenai isu pemilikan gerai perniagaan di Pasar Besar Jalan Othman di sini, yang didominasi peniaga warga asing sejak beberapa tahun lalu.

“Kami sudah buat aduan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) beberapa kali dan tindakan sudah diambil, tetapi selang beberapa hari, masalah sama berulang kembali,” katanya.

Gambar hiasan

Menurutnya, 80 peratus daripada peniaga yang mencari rezeki di pasar itu terdiri warga asing, kebanyakannya dari Bangladesh, India, Myanmar, China dan Indonesia. “Bukan kita menafikan hak orang lain mencari rezeki, kita cuma mahukan keadilan, terutama kepada peniaga tempatan.

“Bayangkan pekerja warga asing ini boleh duduk di gerai mereka selama berjam-jam tanpa rehat, macam mana kita nak bersaing dengan cara mereka berniaga, kita pun ada tanggungjawab lain,” katanya yang sudah 22 tahun menjual sayur di pasar itu.

Menurutnya, ada juga penguat kuasa MBPJ membuat pemeriksaan, tetapi warga asing yang bekerja di situ segera menghubungi pemilik gerai untuk datang dan mengaku sebagai pemilik gerai.

“Kadangkala pemilik sebenar pun turut bersubahat,” katanya dengan nada kesal. Menurutnya lagi, masalah terbaru di pasar itu membabitkan kemunculan warga asing dari China yang menjual ubat-ubatan dan barangan aksesori kecantikan tanpa permit.

“Kalau nak diikutkan, banyak lagi masalah dan isu yang belum selesai di pasar ini. Saya merayu penguat kuasa MBPJ membuat pemantauan serius dan mengambil tindakan terutama terhadap pemilik asal yang menyewakan gerai mereka,” katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati hampir semua gerai di pasar itu dijaga warga asing. Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MBPJ, Zainun Zakaria, ketika dihubungi memberi jaminan pihaknya akan meneliti aduan yang dibuat peniaga di pasar itu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut. - Harian Metro

Spa aksi kamar mandi diserbu


Pusat pelacuran sedia khidmat istimewa berselindung perniagaan salun

KUALA LUMPUR: Pakej mandi bersama antara perkhidmatan tambahan ditawarkan kepada pelanggan di sebuah pusat pelacuran di Taman Sri Petaling, Sungai Besi di sini yang berselindung di sebalik perniagaan salun kecantikan.

Ia terbongkar dalam serbuan malam kelmarin oleh sepasukan anggota dari Cawangan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontingen Kuala Lumpur (IPPKL) hasil maklumat awam. 
 Gambar hiasan

Dalam serbuan itu, polis menahan tujuh wanita warga asing dari China, Vietnam dan Indonesia berusia antara 22 hingga 36 tahun, selain seorang wanita tempatan berusia 40 tahun dipercayai ibu ayam.

Cif Inspektor Badrul Hisham Bakri yang mengetuai operasi itu, berkata ketika serbuan, semua pelacur terbabit tidak sempat melarikan diri kerana sedang tawar-menawar dengan pelanggan.

“Siasatan awal mendapati pelacur terbabit mengenakan bayaran antara RM100 hingga RM150 bergantung kepada perkhidmatan diinginkan pelanggan, termasuk khidmat tambahan iaitu mandi bersama dalam tab mandi yang disediakan di situ.

“Turut ditemui beberapa kondom yang berselerak dan rekod pelanggan di premis terbabit. Berdasarkan lapan bilik yang dibina dari papan lapis, kita tidak menolak kemungkinan kegiatan ini baru aktif beberapa bulan lalu,” katanya.

Semua pelacur dan ibu ayam yang ditahan, termasuk beberapa lelaki tempatan berusia 52 hingga 59 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields untuk disoal siasat. - Berita Harian

Friday, April 9, 2010

38,316 warga asing kerja tanpa permit

KUALA LUMPUR: Seramai 38,316 warga asing kebanyakannya dari India dan Sri Lanka serta tidak mempunyai permit kerja kini bekerja sebagai tukang masak atau pekerja am di restoran Cina dan India di seluruh Semenanjung Malaysia.

Kajian Gabungan Persatuan dan Pengusaha Restoran Malaysia mendapati daripada jumlah itu, 29,437 bekerja di restoran dan kedai kopi Cina, manakala 8,879 lagi di restoran India. Perkara ini didedahkan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India, Datuk R Ramalingam di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam. Hadir sama Ketua Biro itu, Datuk Michael Chong.

Ramalingam bimbang sekiranya Jabatan Imigresen membuat serbuan ke atas restoran dan menghantar pulang pekerja yang tidak mempunyai permit, pengusaha restoran berdepan masalah kekurangan pekerja yang serius, sekali gus mungkin terpaksa gulung tikar.

“Pengusaha restoran bukan mengutamakan pekerja asing, masalah kita ialah rakyat tempatan enggan bekerja di sektor pemakanan dengan menjadi tukang masak atau pekerja restoran.

“Pada 1999, kami pernah ke Sabah dan Sarawak untuk mencari pekerja dan berjaya merekrut 630 lelaki menganggur dan yang berminat untuk bekerja.

“Kami turut menanggung kos pengangkutan sebanyak RM1,500 untuk seorang, bagaimanapun pelaburan itu tidak berbaloi kerana mereka hanya bertahan selama enam bulan dan beralih ke pekerjaan lain,” katanya.

Berikutan itu, Ramalingam bersama enam persatuan pengusaha restoran termasuk pengusaha kedai dobi dan landskap menghantar memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya satu kajian berhubung penghantaran pulang pekerja asing terbabit diperincikan semula.

Ramalingam tidak menafikan pelbagai kes jenayah dilaporkan kebelakangan ini mengenai salah laku warga asing, bagaimanapun bukan semuanya bermasalah, malah ada yang bekerja semata-mata mencari rezeki untuk keluarga mereka di negara asal.

“Sektor ini sebenarnya memberi pendapatan lumayan, sekiranya bekerja dengan rajin, tukang masak restoran mampu meraih antara RM1,500 hingga RM4,500 sebulan manakala pekerja am sehingga RM1,000,” katanya. - Berita Harian

Thursday, April 8, 2010

Majikan Masih Potong Yuran Levi, Dakwa MTUC

PETALING JAYA, 8 April (Bernama) -- Majikan masih mengenakan potongan bayaran levi dari gaji pekerja asing walaupun kerajaan telah meminta mereka supaya menghentikan amalan itu, dakwa Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada hari Khamis.

Naib Presidennya A. Balasubramaniam berkata sebagai langkah mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing, kerajaan telah menaikkan bayaran levi pekerja asing sebanyak dua kali ganda bagi semua bidang kecuali pembinaan, perladangan dan pembantu rumah.

Katanya kerajaan juga mewajibkan yuran levi itu dibayar oleh majikan dan bukan oleh pekerja berkenaan berkuatkuasa April tahun lepas.

Bagaimanapun, katanya, pengumuman kerajaan itu tidak dilaksanakan kerana wujud kekeliruan sama ada Jabatan Imigresen atau Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang bertanggungjawab melaksanakannya.

Balasubramaniam berkata MTUC telah banyak menerima aduan dari golongan pekerja asing yang mengadu majikan mereka masih mengenakan potongan gaji sebagai yuran levi.

Sebelum syarat ini, levi, yang berjumlah antara RM360 untuk pembantu rumah hingga RM1,400 untuk pekerja asing dalam sektor pembuataan, dibayar oleh pekerja berkenaan secara ansuran bulanan.

Balasubramaniam meminta JTK meningkatkan langkah penguatkuasaan dan memastikan majikan memulangkan wang potongan yuran levi yang dikenakan terhadap pekerja mereka.

Sementara itu, Ketua Pengarah JTK, Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohamad, berkata pekerja yang dikenakan potongan gaji sebagai yuran levi perlu melaporkan kepada pejabat JTK berdekatan untuk bantuan.

"Langkah itu adalah bertentangan dengan undang-undang bagi majikan meneruskan potongan gaji pekerja kerana kami sudah memaklumkan kepada majikan terlebih dahulu menerusi pelbagai surat pekeliling," katanya. -- BERNAMA

Pengemis asing cemar Klang

KLANG - Menggunakan modus operandi dengan membawa anak kecil untuk meraih simpati masyarakat untuk meminta sedekah, pengemis warga asing dilihat semakin berleluasa di bandar ini.

Walaupun taktik itu sudah tidak lagi laku dan orang ramai sudah tidak lagi melayan pengemis berkenaan, namun kehadiran mereka menggugat ketenteraman awam dan mencemar imej bandar diraja ini.

Sebahagian pengemis itu dipercayai berasal daripada Bangladesh dan Myanmar berdasarkan rupa paras dan fizikal mereka.

Tinjauan Sinar Harian ke beberapa lokasi antaranya Jalan Pasar dan sekitar Hentian Jalan Kepayang menunjukkan masalah ini jika tidak diatasi bakal menjadi satu lagi identiti negatif bandar Klang.

Justeru, pihak yang bertanggungjawab diminta segera menangani masalah tersebut dengan mengambil tindakan sepatutnya agar bandar ini bersih daripada golongan pengemis warga asing ini. - Sinar Harian

17 'Awang Hitam' antara 48 ditahan penguat kuasa

KUALA LUMPUR 7 April - Tujuh belas 'Awang Hitam' adalah antara 48 warga asing yang ditahan pihak penguat kuasa kerana kesalahan Imigresen dalam operasi bersepadu fasa pertama di sekitar kawasan Metro Prima Kepong di sini hari ini.

 Gambar hiasan
 
Metro Prima Kepong yang dikenali sebagai port warga asing itu diserbu pihak penguat kuasa kira-kira pukul 6 petang ini selepas menerima aduan daripada orang ramai yang kurang selesa dengan kehadiran mereka.

Aduan itu turut mengaitkan kelakuan 'Awang Hitam' yang gemar mengusik gadis-gadis tempatan.

Kesemua mereka termasuk lima wanita warga Myanmar dan Indonesia ditahan ketika sedang berlegar-legar dan ada di antara mereka yang bekerja di restoran dan kedai kopi tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Ketika serbuan dilakukan, ada di antara mereka bertempiaran lari, menyelamatkan diri dan mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, operasi bersepadu yang dilakukan dengan kerjasama Jabatan Imigresen, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) itu dibahagikan kepada dua fasa utama.

Fasa pertama, katanya, bermula kira-kira pukul 6 petang dan berakhir pada pukul 7.30 malam.

"Dalam fasa ini operasi kita hanya bertumpu di kawasan-kawsan tumpuan warga asing, restoran dan kedai kopi manakala fasa kedua yang bermula pada pukul 10 malam ini dijangka berakhir kira-kira pukul 8 pagi esok," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menjelaskannya, operasi fasa kedua akan bertumpu di kawasan perumahan yang sering dikaitkan sebagai port warga asing.

Kebanyakan yang ditahan, kata Khairi, adalah membabitkan kesalahan Imigresen kerana tidak memiliki permit, memiliki permit tamat tempoh atau dokumen palsu. - Utusan

Awas Sindiket Penipuan Warganegara China

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Dengan bermodalkan air mata dan rintihan kata-kata simpati, satu sindiket didalangi pelancong asing warganegara China berjaya menipu orang awam yang seperti terpaksa memberikan mereka wang supaya mereka dapat pulang ke negara asal mereka.

Kejadian ini telah berlaku lima tahun lepas (2005) namun kini kembali bermaharajelala di sekitar hotel terkenal, rumah penginapan dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT).

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Datuk Michael Chong berkata dalam kejadian yang terbaru, beliau dan rakan-rakannya sendiri telah dihubungi anggota sindiket ini yang dipercayai terdiri daripada dua kumpulan yang dipisahkan bagi menjalankan kegiatan mereka.

"Saya terima dua panggilan manakala rakan saya turut terserempak dengan mereka ini di KLIA."

"Mereka merayu dan menangis mahukan wang untuk pulang semula ke negara mereka kerana dakwa ditipu orang kita (Malaysia)," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Beliau berkata sindiket ini akan menghampiri mana-mana mangsa khasnya kaum Cina dengan berpakaian segak dan cantik, dengan ada antara mereka datang seperti suami isteri dan ada juga yang bersendirian.

Chong berkata mereka ini kemudian akan memulakan lakonan mereka dengan menangis, merayu dan mengeluarkan dialog bahawa mereka datang ke sini untuk berjumpa dengan kenalan dari negara ini untuk berniaga namun telah ditipu.

Katanya sindiket ini seterusnya merayu kepada mangsa supaya memberikan wang tunai untuk pulang ke negara mereka.

"Ada kes di mana kita dapat tangkap mereka dan mempertikaikan kenapa datang ke negara ini tanpa tiket pergi balik. Ada juga mangsa yang mahu membelikan tiket menggunakan kad kredit namun ditolak sindiket ini."

"Kerana faktor-faktor inilah kita sedar wujudnya penipuan yang telah menjerat ramai mangsa," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah tertipu dengan lakonan sindiket ini dan memberanikan diri untuk memberitahu pihak berkuasa jika terserempak dengan mereka bagi dibawa ke muka pengadilan. -- BERNAMA

Tuesday, April 6, 2010

India nasihat pekerja ke Malaysia berhati-hati

NEW DELHI: India memberikan amaran kepada pekerjanya yang akan ke Malaysia supaya berhati-hati dan tidak terpedaya dengan agensi pekerja asing yang tidak bertanggungjawab di kedua-dua negara India dan Malaysia.

Menurut Kementerian Hal Ehwal Rakyat India di Luar Negara, sejumlah besar pekerja terpedaya dengan warga India tidak bertanggungjawab, serta rakyat Malaysia yang menjadi ejen pekerja asing, yang pergi ke Malaysia tanpa pengetahuan yang cukup mengenai majikan mereka, bentuk kerja dan kontrak pekerjaan.
 
"Akibatnya, pekerja India berkenaan menjadi bahan eksploitasi oleh majikan mereka di Malaysia dan sering kali terkandas di Malaysia tanpa pekerjaan dan kemudiannya mengadu ke Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur," menurut satu kenyataan kementerian itu di sini.

Kementerian itu menasihatkan para pekerja yang ingin mencari pekerjaan secara sah di Malaysia supaya memahami undang-undang dan situasi pekerjaan di negara itu.

Pada masa ini, terdapat kira-kira 150,000 pekerja India, kebanyakannya dari India Selatan bekerja di Malaysia, sebahagian besarnya dalam sektor perkhidmatan.

Kementerian itu menasihatkan para pekerja sentiasa membawa salinan pasport dan permit kerja mereka serta tidak melanggar undang-undang buruh Malaysia. - Berita Harian

3 perompak warga asing ditembak mati selepas menyamun

TEMERLOH - Tiga penyamun warga asing ditembak mati oleh polis selepas mereka menyamun sebuah rumah di Bukit Keramat, Mentakab dekat sini semalam.
 ANGGOTA polis mengangkat mayat salah seorang penjenayah yang mati ditembak di Bukit Keramat, Mentakab semalam. 

Ketua Jabatan Siasatan Pahang, Asisten Komisioner T. Narenasagaran berkata, polis bertindak menembak ke arah kumpulan penjenayah itu selepas mereka cuba menyerang anggota polis menggunakan parang setelah kereta curi yang dinaiki terbabas.

273 bilik dimusnah

KUALA LUMPUR: Selepas bergelumang dengan noda sejak sekian lama, puluhan rumah pelacuran ‘cinta lima minit’ yang menjadi sarang ratusan pelacur asing dan tempatan mencari pelanggan akhirnya musnah selepas digempur penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pagi semalam.
 Gambar hiasan

Dalam operasi khas membasmi kegiatan pelacuran itu, lebih 100 anggota penguat kuasa DBKL menghancurkan deretan lebih 20 rumah pelacuran yang terletak di Jalan Petaling, di sini.
Dalam operasi besar-besaran berkenaan turut disertai Jabatan Kesihatan dan anggota Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) itu, beberapa rumah pelacuran dibina dengan papan lapis dipecah masuk satu persatu.

Wartawan Harian Metro yang berada di lokasi kejadian mendapati kehadiran ratusan anggota penguat kuasa seolah-olah disedari lebih awal oleh kumpulan ‘bapa ayam’ yang menguruskan rumah pelacuran terbabit berikutan kebanyakan harta benda berharga sudah dipindahkan terlebih dulu.

Malah, ratusan pelacur warga asing dari Filipina dan Indonesia yang biasanya sudah menawarkan perkhidmatan seawal jam 9 pagi didapati ‘ghaib’ dipercayai disembunyikan sindiket pelacuran yang mengawal kawasan terbabit.

Dalam operasi memusnahkan sarang pelacuran terbabit, anggota penguat kuasa DBKL menggunakan kuku kambing, tukul besi termasuk gergaji elektrik untuk memusnah struktur kebanyakan rumah pelacuran dua tingkat berkenaan.

Tinjauan mendapati setiap rumah pelacuran berkenaan dibina menggunakan bahan asas kayu yang mempunyai puluhan bilik khas bagi digunakan untuk tujuan pelacur melakukan hubungan seks dengan pelanggan.

Setiap bilik tidur kecil berkenaan turut dilengkap dengan katil, tilam dan sinki kecil yang digunakan pelacur saban hari untuk melayani puluhan pelanggan dengan bayaran antara RM20 hingga RM30 bagi setiap perkhidmatan diberikan.

Menyedari sindiket pelacuran berkenaan sering kali berupaya untuk membangunkan semula aktiviti rumah pelacuran itu, anggota penguat kuasa DBKL memusnahkan sepenuhnya semula bilik kecil dan dinding kayu dibina dalam rumah pelacuran berkenaan.

Dalam operasi hampir dua jam itu, 273 bilik kecil digunakan untuk melampias nafsu dimusnahkan bagi memastikan aktiviti pelacuran terbabit tidak dibangunkan semula selepas ini. - Harian Metro

Sunday, April 4, 2010

PGM Tahan Seorang Tekong Dan 22 Pendatang Asing

JOHOR BAHARU 4 April (Bernama) -- Pasukan Gerakan Marin (PGM) menahan 22 pendatang tanpa izin dari Indonesia dan seorang tekong pemastautin tetap yang cuba menysup masuk ke negara ini di Tanjung Balau, Kota Tinggi, Ahad malam.

Komander Markas PGM Wilayah 2, ACP Mohd Khamsani Abd Rahman berkata hasil maklumat risikan, pihaknya mengesan sebuah bot laju gentian kaca dalam keadaan mencurigakan di 1.5 batu nautika di perairan Tanjung Balau.

Katanya sebaik sahaja dihampiri, bot tersebut tiba-tiba memecut laju ke arah pantai tetapi bagaimanapun mereka dapat ditahan pada kira-kira 11 malam.

Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut membawa 13 pendatang tanpa izin lelaki berusia 21 hingga 50 tahun dan sembilan wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun serta tekong berusia 46 tahun, katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Bagaimanapun, Mohd Khamsani berkata sebuah lagi bot laju yang membawa pendatang tanpa izin berjaya melarikan diri dalam keadaan cuaca gelap dan hujan lebat.

Katanya kes itu disiasat mengikut mengikut Seksyen 6(1) dan Seksyen 5(2) Akta Imigresen (Pindaan) 2002 kerana tiada dokumen perjalanan sah selain memasuki negara ini melalui pangkalan yang tidak diwartakan.

Katanya tekong berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 55(A)(1) akta yang sama kerana membawa masuk pendatang tanpa izin ke negara ini secara haram.

PGM turut merampas bot berukuran 8.23 x 1.98 meter dengan enjin sangkut jenis Yamaha 200 kuasa kuda itu. -- BERNAMA

PATI Guna Kaedah Baharu Untuk Sembunyi

KOTA BAHARU, 4 April (Bernama) -- Dahulunya kawasan pedalaman di hulu Kelantan menjadi lokasi pendatang asing tanpa izin (PATI) menyembunyikan diri, tetapi kini mereka memilih kawasan yang dipenuhi orang ramai untuk berbuat demikian.

Mereka kini lebih gemar bekerja misalnya di pasar borong dan bengkel mencuci kereta agar mudah memboloskan diri.

"Kedua-dua lokasi ini sering dikunjungi orang awam dan secara tidak langsung memudahkan mereka meloloskan diri sekiranya operasi tangkapan dilakukan pihak berkuasa".

"Misalnya semasa serbuan di pasar borong, mereka mudah melarikan diri di celah-celah orang ramai sehingga menyebabkan pihak kita agar sukar menangkap mereka," kata Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan, Che Bahrom Hamzah.

Beliau berkata PATI juga meletakkan anjing, zink dan tong di sepanjang laluan ke tempat kerja atau kediaman mereka bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa.

"Mereka berharap menerusi salakan anjing dan bunyi zink yang dipijak oleh anggota kita, memberi isyarat kepada mereka untuk segera melarikan diri," katanya. -- BERNAMA

16 warga asing ditahan ketika nyenyak tidur

ALOR GAJAH: Seramai 16 pekerja warga asing sebuah kilang yang tidak memiliki dokumen perjalanan dicekup ketika nyenyak tidur dalam Ops Sapu di Taman Seri Pelangi, Rembia, dekat sini, awal pagi semalam.

Kebanyakan warga asing berkenaan yang nyenyak tidur atau berehat di luar rumah tergamam apabila disergah pihak berkuasa yang berjaya mengelirukan mereka.

Pengarah Bahagian Pekerja dan Pelajar Antarabangsa Melaka, Shadan Othman, berkata serbuan dilakukan hasil maklumat awam mengenai kebanjiran warga asing sekitar taman perumahan terbabit sebelum pihaknya melakukan risikan sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, beberapa anggota dibahagi dalam kumpulan dan menjalankan serbuan serentak sebelum menahan 16 pekerja lelaki iaitu enam warga Indonesia dan 10 warga Bangladesh berusia 20 hingga 39 tahun kerana didapati tiada dokumen sah.

“Mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963 (Pindaan 2002) dan ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) akta sama bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.
“Warga asing terbabit dibawa ke balai polis untuk siasatan, di mana jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya dan boleh disebat tidak melebihi enam kali,” katanya.

Shadan berkata, tindakan undang-undang mengikut akta sama juga boleh dikenakan kepada rakyat tempatan jika menggaji, melindungi atau membenarkan pendatang tanpa izin (Pati) bekerja atau tinggal di premis mereka.

“Rakyat tempatan yang bersubahat boleh ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) kerana melindungi Pati boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda di antara RM10,000 hingga RM50,000 dan sebatan tidak lebih enam kali.

“Operasi seumpama itu akan diteruskan bagi membendung kebanjiran warga asing ke negara ini.

“Orang ramai diminta memberi kerjasama dan melaporkan kepada jabatan kami bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Turut serta dalam operasi itu ialah polis, Jabatan Imigresen negeri, Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka. - Harian Metro

220 warga asing ditahan

SHAH ALAM – Seramai 220 warga asing ditahan untuk pemeriksaan lanjut dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan polis bersama dua agensi penguat kuasa di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Fadeson di Jinjang, Sentul, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, dalam operasi bermula jam 11 malam itu, pihaknya membuat pemeriksaan lanjut ke atas kira-kira 39 warga Indonesia, Bangladesh (61), Afrika (31), Myanmar (76), Pakistan (8), Vietnam (1), Filipina (1) dan India (3) yang menyewa di kawasan PPR terbabit.

“Daripada jumlah yang diperiksa, kita kenal pasti seramai 60 pendatang asing tanpa izin (Pati), termasuk lapan wanita pelbagai warga negara melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

“Ada antara mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri termasuk tinggal di negara ini melebihi tempoh yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Zakaria berkata, ujian saringan awal air kencing turut dijalankan, namun mereka didapati negatif dadah dan dibawa ke balai untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, operasi yang dijalankan 12 pegawainya dan 169 anggota termasuk polis, Imigresen dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan objektif sebenar operasi tercapai.

“Kita mahu sekat kebanjiran Pati termasuk mengekang kejadian jenayah membabitkan mereka di negara ini,” katanya pada operasi itu yang berakhir kira-kira jam 6 pagi, semalam.

Beliau berkata, operasi sebegini juga bertujuan mewujudkan kembali keadaan selamat kepada penduduk tempatan. - Sinar harian

Ramai pekerja asing sektor perabot 'hilang'

 Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempertimbangkan permohonan pengusaha industri perabot membawa masuk lebih ramai pekerja asing sekiranya mereka boleh memastikan setiap pekerja yang diambil, tidak menghilangkan diri atau lari daripada perkhidmatan.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, berkata langkah itu wajar kerana terlalu ramai pekerja asing yang dibawa masuk, bertindak lari dari majikan tanpa dapat dikesan.

Pengusaha industri perabot perlu telus mengambil pekerja asing. Kalau pekerja asing mereka hilang, cari semula selain pastikan tidak berhenti kerja dan berkhidmat dalam sektor lain pula, katanya pada sidang akhbar Pameran Perabot Malaysia Ketiga, di sini semalam.


Pameran itu akan berlangsung pada 22 hingga 25 Julai ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dengan sasaran jualan lebih RM50 juta
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...