Saturday, March 13, 2010

30 khemah PATI dibongkar

KUALA LUMPUR 12 Mac - Polis berjaya membongkar 30 khemah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dijadikan sebagai tempat tidur selepas seharian bekerja di Bukit Segambut, di sini awal pagi semalam.

 WAN Abdul Bari menunjukkan gambar khemah yang dijadikan tempat tidur PATI di Bukit Segambut sewaktu sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. 

Seramai 30 PATI warga Indonesia dan Bangladesh itu ditahan dalam serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 3 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, antara yang ditahan termasuklah lapan lelaki Indonesia, seorang wanita Indonesia dan 21 lelaki Bangladesh.

Katanya, kesemua yang ditahan berusia antara 19 tahun dan 39 tahun serta didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

"Modus operandi PATI kali ini dilihat berbeza dengan sebelum ini kerana mereka menjadikan khemah-khemah terbabit sebagai tempat tidur pada waktu malam dan keluar bekerja pada waktu siang.

"Kesemua mereka bekerja di sektor pembinaan dan dipercayai tinggal di bukit berkenaan sejak bulan lalu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini hari ini.

Dalam pada itu, jelas Wan Abdul Bari, semua tahanan tersebut akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki ditahan selepas dipercayai terlibat dalam 17 kes pecah dan curi kenderaan melibatkan kerugian sebanyak RM15,000, di sekitar Lembah Klang dan Seremban.

Katanya, suspek yang berusia 25 tahun itu direman tiga hari bermula hari ini selepas ditahan di Flat Sri Pahang, di sini petang kelmarin.

"Polis turut merampas tiga buah motosikal yang dilaporkan hilang di Seremban, Dang Wangi dan Jinjang, seutas rantai emas dan cermin mata berjenama," katanya.

Dalam kes lain, kelmarin, polis merampas 100 unit komputer yang dijadikan mesin perjudian bernilai RM200,000 dalam serbuan berasingan di lima premis di sekitar Brickfields.

Wan Abdul Bari memberitahu, seramai 32 orang berusia antara 21 tahun dam 62 tahun ditahan dalam serbuan dari pukul 8 malam hingga 11 malam. - Utusan

Friday, March 12, 2010

Pendakwaan tutup kes bunuh Muntik selepas 23 hari perbicaraan

SHAH ALAM: Setelah 23 hari perbicaraan kes bunuh pembantu rumah warganegara Indonesia, Muntik Bani di Mahkamah Tinggi, di sini dengan seramai 50 saksi dipanggil memberi keterangan, pihak pendakwaan menutup kesnya hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa membenarkan permohonan pendakwaan untuk mengemukakan kenyataan Muntik yang dibuat mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah sebagai sebahagian daripada keterangan di mahkamah.

Pendakwaan yang juga diwakili Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya menawarkan seramai 40 saksi kepada pihak pembelaan yang diwakili peguam V Rajehgopal. Perbicaraan yang mengambil masa singkat sejak bermula pada 18 Januari lalu, akan disambung semula pada 12 dan 13 April depan bagi membolehkan kedua-dua pihak mengemukakan hujahan.

Mohd Yazid yang sentiasa tenang dan komited sepanjang prosiding turut menetapkan 25 Mac ini untuk sebutan bagi menentukan status nota prosiding.

Kes itu yang mendapat liputan meluas di dalam dan luar negara kerana membabitkan kes penderaan pembantu rumah, melibatkan penjual air tebu, A Murugan yang didakwa membunuh Muntik, 36, di rumahnya di No 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Okt tahun lepas.

Tertuduh, 36, yang pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini pada 3 November tahun lalu, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Muntik yang berasal dari Surabaya, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, pada 26 Okt lepas setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Terdahulu, Mohd Dusuki memanggil semula saksi ke-14 pendakwaan, pegawai penyiasat Inspektor Mohd Azan Radzali untuk mengesahkan bahawa beliau ialah pegawai polis yang merakam percakapan Muntik semasa mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, 21 Oktober tahun lalu.

Mohd Azan, 30, berkata beliau mengambil masa kira-kira satu setengah jam bermula 4.20 petang untuk merakamkan percakapan mangsa yang pada masa itu terbaring di atas katil dan diberikan bantuan pernafasan.

"Ketika saya rakam percakapan Muntik, doktor Norliza Ibrahim yang sedang merawat Muntik buka sedikit topeng bantuan pernafasan mangsa sehingga ke paras hidung.

"Saya kemudian maklumkan kepada Muntik bahawa saya perlu rakam percakapannya sebab saya nak tahu apa yang berlaku dan beliau jawab boleh. Muntik ketika itu sedar tetapi saya tengok keadaannya tenat.

"Saya kemudian catatkan percakapan Muntik yang dibuat dalam Bahasa Melayu dan kedudukan saya pada masa itu berdiri bersebelahan dengan katil Muntik. Apabila saya tanya Muntik dan beliau menjawab soalan saya, saya akan pergi dekat dengan mangsa kira-kira 5 sentimeter," katanya.

"Adakah jawapan yang kamu catat adalah ayat sebenar yang diberitahu oleh Muntik?" soal Mohd Dusuki.

"Ya jawapan sebenar, cuma saya hanya tukarkan perkataan "bapak" yang disebut Muntik kepada "majikan" di dalam catatan saya," kata Mohd Azan.

Saksi itu seterusnya memberitahu setelah selesai merakamkan percakapan Muntik, beliau membacakan semula catatannya kepada mangsa untuk memastikan bahawa segala yang dicatitkan adalah betul.

Ditanya Mohd Dusuki sama ada Muntik menandatangani rakaman percakapan itu, Mohd Azan berkata Muntik tidak menandatanganinya berikutan tangan kanan mangsa patah sementara tangan kirinya kelihatan sangat lemah dan tidak dapat diangkat. - Berita Harian

Dadah: Tiga Lelaki Iran Dan Seorang Wanita China Ditahan

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki warganegara Iran dan seorang wanita warganegara China yang dipercayai pengedar dadah jenis syabu ditahan dalam dua operasi berasingan di Brickfields dan Cheras baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata dalam kejadian pertama, seorang lelaki Iran berusia 57 tahun, yang juga peniaga barangan elektrik, ditahan di tepi jalan sekitar kawasan Pantai Hill Park, Pantai Dalam, Brickfields kira-kira pukul 4.40 petang Selasa lepas (9 Mac).

"Kami menahan suspek pertama itu yang dilihat dalam keadaan mencurigakan bersama-sama beg pakaian yang dibawanya.

"Hasil pemeriksaan ke atas beg itu, kami berjaya menemui lima plastik lutsinar berisi bahan serbuk dan ketulan disyaki syabu dengan anggaran berat 10kg," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan seterusnya membawa kepada penahanan rakannya, yang juga lelaki warganegara Iran berusia 27 tahun, di sebuah hotel mewah di Petaling Jaya pada hari yang sama.

Muhammad Sabtu berkata polis percaya suspek kedua itulah yang membawa masuk dadah jenis syabu dari Dubai yang ditemui dalam beg itu sebelum diserahkan kepada suspek pertama untuk diedarkan dalam negara ini.

Katanya nilai kesemua dadah itu berjumlah RM3 juta dan polis turut merampas wang tunai sebanyak RM1,730 dan mata wang Iran 378,000 riyal dalam serbuan hasil risikan dan maklumat orang awam itu.

Beliau berkata polis percaya modus operandi sindiket ini adalah dengan meletakkan dadah dalam beg pakaian dan mana-mana keldai dadah akan membawa dadah berkenaan dari negara mereka sebelum dibungkus ke dalam plastik kecil untuk diedarkan.

Siasatan lanjut ke atas suspek pertama mendapati lelaki itu turut membeli barangan di negara ini sebelum dibawa balik ke negaranya dan menggunakan peluang untuk menjalankan perniagaan itu dengan menyeludup dadah bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Suspek pertama telah sembilan kali memasuki negara ini manakala suspek kedua, enam kali dan dengan penahanan ini kami percaya dapat tumpaskan satu lagi sindiket pengedaran dadah membabitkan warga Iran," katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, Muhammad Sabtu berkata satu pasangan kekasih membabitkan seorang lelaki Iran berusia 42 tahun dan teman wanitanya, wanita warganegara China berusia 34 tahun, ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Villa Condo, Cheras dua hari lepas (10 Mac).

Katanya penahanan hasil risikan itu turut menemui dua bungkusan plastik lutsinar berisi bahan serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 1,698 gram dan lima paket plastik lutsinar berisi bahan yang sama dengan anggaran berat 206 gram yang ditemui dalam rumah terbabit.

Muhammad Sabtu berkata kesemua dadah yang dirampas itu bernilai RM571,200 mengikut harga pasaran dan polis turut merampas dua buah telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM14,900 serta wang Riyal Iran 1,500 selain sebuah kereta jenis Hyundai.

Katanya polis tidak menolak kemungkinan pasangan kekasih ini yang membungkus sendiri dadah ke dalam bungkusan dan plastik untuk diedarkan di sekitar Lembah Klang ini dan dipercayai kegiatan ini telah beroperasi sejak setahun yang lepas.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati lelaki Iran itu telah berkahwin dan telah memasuki negara ini sejak tiga tahun lepas dan pernah memasuki negara China manakala teman wanitanya itu pula merupakan seorang pelajar Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan mula memasuki negara ini pada tahun lepas dengan visa pelajar.

"Kesemua suspek dalam dua kes ini ditahan reman selama tujuh hari bermula 10 Mac hingga 17 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan," katanya. - mstar online

Ejen pekerja mati dipukul

SHAH ALAM: Seorang ejen pembawa masuk warga asing maut selepas dibelasah sekumpulan lelaki yang juga pendatang asing di sebuah rumah di Alam Megah di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari, mangsa berusia 30-an parah di kepala dan beberapa bahagian badan dipercayai dihentak menggunakan objek tumpul sebelum dia disahkan meninggal dunia jam 4 petang selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin, berkata siasatan awal mendapati si mati bersama empat rakannya pergi ke sebuah rumah yang dihuni 12 lelaki warga asing.

“Dia merampas pasport penghuni rumah itu dan meminta mereka menyerahkan RM1,000 jika mahu pasport itu kembali.

“Penghuni rumah itu berang dan berlaku pertengkaran sebelum mereka bergaduh,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kejadian berlaku tidak jauh daripada Balai Polis Komuniti Alam Megah.

Noor Azam berkata, mangsa tidak sedarkan diri dikejarkan ke HTAR sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.

“Susulan kejadian ini, kami menahan enam lelaki bagi membantu siasatan dan mengesan beberapa lagi suspek yang dipercayai boleh membantu siasatan.

“Dengan tertangkapnya beberapa suspek warga asing ini, kami anggap kes ini selesai,” katanya. - Harian Metro

APMM Tahan 93 Pendatang Tanpa Izin Di Langkawi

LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Langkawi berjaya menahan 93 orang pendatang tanpa izin (PATI), dipercayai warganegara Myanmar, yang cuba masuk ke negara menerusi jalan laut di 27 batu nautika barat daya Pulau Singa Besar di sini petang semalam.

 Gambar hiasan

Ketua Penguatkuasa Wilayah Utara APMM Laksamana Pertama Maritim Zulkifli Abu Bakar berkata kesemua lelaki berumur antara 16 hingga 50 tahun itu ditahan dalam sebuah bot kayu panjang.

"Kami menerima maklumat daripada APMM Pulau Pinang mengenai terdapatnya satu aduan oleh sebuah bot ikan tuna bahawa mereka tersempak dengan bot yang sarat membawa orang di perairan Langkawi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya sebuah bot peronda APMM yang diketuai Lt Maritim Hilmi Abdullah kemudiannya mengesan bot pendatamg tanpa izin itu kira-kira pukul 2 petang.

Beliau berkata setelah membuat pemeriksaan, bot yang dinaiki oleh 93 orang itu tidak mempunyai nombor pendaftaran dan kesemua penumpangnya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Katanya APMM turut menemui beberapa kampit beras dan dapur yang disimpan dalam bot itu dan mereka dipercayai telah belayar selama 40 hari.

Zulkifli berkata bot dan 93 orang penumpangnya itu dibawa ke pangkalan Bukit Malut di sini untuk siasatan lanjut dan mereka akan didakwa di bawah Akta Imigresen kerana cubaan memasuki negara ini secara haram. - mstar online

Wednesday, March 10, 2010

Migrasi: Kerjasama Malaysia-IOM

PUTRAJAYA 9 Mac - Malaysia bakal bekerjasama dengan Organisasi Antarabangsa Untuk Migrasi (IOM) khususnya dalam perkongsian kepakaran bagi membanteras jenayah pemerdagangan orang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, IOM yang akan menubuhkan cawangan tetapnya di Kuala Lumpur tidak lama lagi mampu membawa pembaharuan dalam isu keselamatan negara membabitkan jenayah merentasi sempadan.

 Hishammuddin Tun Hussein dan William Lacy Swing pada sidang akhbar di Putrajaya, semalam. 

"Kementerian tidak ada halangan untuk IOM menubuhkan cawangan tetap itu, kertas cadangan mengenainya akan dibentangkan kepada Kabinet minggu depan selepas mendapat persetujuan Wisma Putra," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah IOM, William Lacy Swing, di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, kerjasama itu juga dapat membantu melatih pegawai penyiasat dan pendakwa berhubung kes-kes melibatkan pemerdagangan manusia.

"Saya percaya kewujudan pejabat cawangan IOM akan membantu KDN menangani isu pemerdagangan manusia, penyeludupan orang serta masalah berkaitan dengan migrasi.

''Perkongsian kepakaran itu juga dapat memendekkan tempoh proses pembelajaran dan melaluinya kepakaran pihak-pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi-agensi berkaitan lain seperti polis marin dapat dipertingkatkan," katanya.

IOM adalah badan bebas yang berpusat di Geneva dan berperanan dalam soal-soal berhubung kait dengan migrasi seperti aspek pengurusan, pembangunan dan penempatan semula sejak 12 tahun lalu.

Pada masa ini, pejabat cawangan IOM di Kuala Lumpur menumpang sementara di bangunan UNHCR di Jalan Bellamy.

IOM mempunyai 127 negara anggota, 17 negara pemerhati dengan 440 pejabat cawangan di seluruh negara serta 7,500 kakitangan. Setakat ini, IOM sudah mengendalikan 2,000 projek melibatkan migrasi penduduk dunia.

Sementara itu, Swing berkata, IOM berminat memperluaskan jaringan kerjasama keselamatan dengan Malaysia bagi mencari jalan penyelesaian terbaik mengenai isu pemerdagangan orang.

"Kami bersedia memberi perkhidmatan kepada kerajaan dan rakyat Malaysia sebagaimana dilaksanakan kepada kebanyakan negara di seluruh dunia," katanya.

Malaysia mencatatkan sebanyak 186 kes pemerdagangan manusia dalam tempoh dua tahun iaitu bermula 28 Februari 2008 sehingga 7 Februari tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 154 mangsa adalah wanita, termasuk 60 lelaki dan 17 kanak-kanak membabitkan sebanyak 262 tangkapan direkodkan dalam tempoh sama. - Utusan

Tuesday, March 9, 2010

Enam Warga Myanmar Bebas Tuduhan Bunuh

KUALA LUMPUR: Enam warga Myanmar dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini daripada tuduhan membunuh seorang rakan senegara mereka tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dalam penghakimannya berkata, pengecaman kesemua tertuduh yang didakwa terlibat dalam pembunuhan itu amat tidak memuaskan.

Mohamad Zabidin menjelaskan adalah tidak selamat untuk memanggil Van Duh Chung, 26; Hassan Ali Juhar, 21; Mohd Abbas Mohd Hussain, 22; Nur Alan Hussain, 24; Yusof, 36 (tiada nama penuh); dan Kokoo Ibrahim, 22, daripada membela diri terhadap pertuduhan membunuh.

"Pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh dan dengan ini mereka dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri," jelas Mohamad Zabidin.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di rumah No.28, Jalan Batu Hampar, Taman Batu View, Jalan Ipoh, jam lebih kurang 5 pagi, pada 25 Disember 2007.

Timbalan Pendakwa Raya Yaacob Cik mewakili pihak pendakwaan, sementara Peguam K. Vikneswaran dan Ameenuddin Ibrahim mewakili kesemua tertuduh. - mstar online

Warga Vietnam dipenjara

SHAH ALAM 8 Mac - Dua tahun lalu, seorang pekerja stesen minyak warga Vietnam yang melakukan rompakan sanggup memukul pengawal keselamatan sehingga pengsan sebelum memecah masuk ke asrama pekerja kilang wanita.

Tidak cukup dengan perbuatan itu, Pham Anh Dung, 24, mengheret dan menghumban Taib Kassim, 54, ke dalam longkang di hadapan asrama tersebut sehingga mangsa yang tidak berdosa itu menemui ajal kerana lemas.

Lelaki itu kemudiannya bukan sahaja bertindak ganas dengan mengikat empat wanita dan merompak mereka malah membakar asrama tersebut apabila dikepung oleh pihak polis.

Meskipun terlepas daripada hukuman mati, Anh Dung hari ini menerima balasan atas perbuatan tersebut apabila dihukum penjara 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian Taib.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd. Yazid Mustafa turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan merompak empat pekerja kilang wanita yang merupakan rakan senegaranya.

Kedua-dua hukuman itu bagaimanapun diperintahkan berjalan serentak berkuat kuasa dari tarikh Anh Dung ditangkap pada 18 Januari 2008 iaitu pada hari kejadian.

Beliau dalam penghakimannya berkata, hukuman tersebut setimpal dengan perbuatan tertuduh kerana menyebabkan nyawa mangsa, seorang lelaki yang mempunyai keluarga serta sedang berkerja mencari rezeki halal telah melayang.

Katanya, tertuduh bukan sahaja menyebabkan kematian dan merompak, malah bertindak agresif dengan membakar asrama semasa cuba melarikan diri daripada pihak polis.

''Kalau hendak mencuri, mengapa perlu humbankan mangsa ke dalam longkang yang ada lumpur bertakung sehingga menyebabkan mangsa lemas dan meninggal dunia. Semua itu berpunca daripada pukulan yang menyebabkan mangsa pengsan.

''Tertuduh datang ke Malaysia untuk bekerja dan mempunyai fizikal yang sihat, mengapa perlu melakukan kerja-kerja yang tidak sepatutnya sehingga menyebabkan kematian.

''Berdasarkan fakta, sejak kebelakangan ini juga warga asing didapati sering melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang apabila berlaku sedikit provokasi seolah-olah negara kita tidak ada undang-undang,'' katanya.

Anh Dung mengaku menyebabkan kematian Taib di No. 53A, Jalan Dendang 9, Taman Telok, Teluk Panglima Garang, Kuala Langat dekat sini antara pukul 1 dan 1.30 pagi, 18 Januari 2008.

Dia yang sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagaimanapun ditawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh juga mengaku merompak empat wanita Vietnam itu dengan melarikan wang tunai dan telefon bimbit milik mereka pada masa serta tempat yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Erwani Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Ghazali Taib.

Mengikut fakta kes, selepas memukul Taib dan menghumban mangsa ke dalam parit, tertuduh telah mengambil sebilah pisau di dapur asrama untuk merompak dan mengancam beberapa wanita Vietnam yang menginap di situ.

Dalam kejadian tersebut, dua wanita berjaya melarikan diri dengan terjun melalui tingkap manakala empat lagi telah diikat dan dirompak oleh tertuduh.

Apabila menyedari kehadiran pihak polis, Anh Dung telah mengacukan pisau ke leher seorang wanita dan meminta agar disediakan sebuah motosikal dan sepucuk pistol.

Setelah permintaannya tidak dilayan, dia mengarahkan wanita tersebut membuka lima tong gas dan menyalakan api dengan menggunakan wang kertas serta dokumen-dokumen lain sehingga memaksa pihak polis mendapatkan bantuan pasukan bomba.

Bagaimanapun, kebakaran berjaya dipadamkan dan tertuduh telah ditahan. - Utusan

MTUC cadang restoran diberi insentif, cukai galak ambil pekerja tempatan

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkn agar kerajaan memberi insentif cukai kepada pemilik kedai kopi dan restoran sebagai galakan kepada mereka untuk mengambil pekerja tempatan.

Naib Presidennya, A Balasubramanim, berkata insentif boleh berupa potongan atau bayaran cukai yang lebih rendah, sekiranya ramai pekerja tempatan yang diambil bekerja.

"Dengan hanya menyaran kepada mereka supaya mengambil pekerja tempatan, ia kurang berkesan," katanya.

Masih terdapat lebih 150,000 warga asing yang bekerja di sektor restoran di negara ini, walaupun kerajaan sedang berusaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, termasuk di sektor lain.

Kepada pemilik restoran pula, Balasubramaniam mencadangkan agar diperkenalkan perkhidmatan layan diri bagi mengurangkan penggunaan pekerja.

"Sistem seperti ini boleh dilaksanakan misalnya seperti yang diamalkan di stesen minyak," katanya. - Berita Harian

Melancong untuk merompak

 
POLIS mengiringi seorang wanita warga Sepanyol yang ditahan bersama tiga lagi lelaki (gambar bawah) berasal dari negara sama selepas merompak sebuah rumah di Taman Tun Abdul Razak, dekat Ampang, semalam.

4 warga Sepanyol ditahan pecah rumah

AMPANG: Empat pelancong Sepanyol termasuk seorang wanita yang dikatakan menginap di hotel mewah sekitar Lembah Klang, ditahan polis kira-kira setengah jam selepas memecah masuk sebuah rumah di Taman Tun Abdul Razak di sini, semalam.

Penahanan empat warga Sepanyol itu hasil tindakan pantas seorang jiran menghubungi pemilik rumah berkenaan selepas melihat tiga lelaki dan seorang wanita warga asing memasuki kediaman terbabit, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata mangsa yang ketika itu keluar bekerja, segera pulang ke rumah dan terkejut apabila mendapati empat suspek menggeledah kediamannya.

"Mangsa kemudian ditahan dan diacukan pisau di leher oleh seorang suspek sebelum kumpulan itu melarikan diri dengan menaiki kereta bersama barangan berharga milik mangsa.

"Atas maklumat mangsa, sebuah kereta peronda polis yang membuat rondaan di kawasan itu berjaya menahan kereta suspek, kira-kira 100 meter dari tempat kejadian dalam masa kurang 30 minit," katanya.

Beliau berkata, seorang suspek cuba melarikan diri dengan bersembunyi dalam longkang berhampiran, tetapi berjaya ditahan polis.

Abdul Jalil berkata, keempat-empat suspek berusia 25 hingga 45 tahun itu ditahan bersama sebuah komputer riba, barang kemas bernilai RM7,000, wang tunai RM1,000 dan beberapa mata wang asing yang semuanya dianggar bernilai RM25,000.

Katanya, semua suspek memasuki negara ini secara berasingan dengan tujuan melancong dan menginap di beberapa hotel mewah sekitar Lembah Klang.

"Kumpulan itu dikatakan berkumpul di sebuah kelab malam di Petaling Jaya bagi merancang rompakan di kawasan perumahan mewah dan sunyi selepas membuat rondaan di kawasan perumahan yang sudah dikenal pasti," katanya. - Berita Harian

Monday, March 8, 2010

Pangkalan Data Nasional Warga Asing Perlu Diwujudkan, Kata Hishammuddin

PUTRAJAYA, 8 Mac (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) Isnin memutuskan perlunya diwujudkan pangkalan data nasional berhubung warga asing bagi memastikan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap warga asing dilakukan secara berkesan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Penambahbaikan Pengurusan dan Pemantauan Warga Asing yang dipengerusikannya hari ini dan ia antara perkara utama bakal dibincangkan dalam mesyuarat Makmal Pengurusan Warga Asing.

"Kita mengutarakan cadangan itu berasaskan kepada tinjauan daripada kaedah dan amalan terbaik pengurusan warga asing yang dilaksanakan oleh beberapa buah negara.

"Pangkalan data itu dapat memastikan proses pemantauan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara berkesan kerana aktiviti warga asing sepanjang berada di negara ini dapat direkodkan dengan cepat dan boleh digunakan oleh agensi penguatkuasa pada bila-bila masa untuk rujukan," katanya dalam kenyataan di sini Isnin.

Hishammuddin berkata menerusi pangkalan data nasional itu, rekod keluar masuk dan aktiviti dalam negara semua kategori warga asing akan dapat disepadukan dengan sistem pemantauan.

Daripada aspek penguatkuasaan pula, katanya pangkalan data itu akan dapat menyediakan keperluan maklumat berhubung status semasa setiap warga asing termasuk jenis permit dan pas dan tempoh sah laku pada bila-bila masa operasi dilaksanakan oleh semua agensi penguatkuasa seperti pihak imigresen, polis, RELA dan pihak berkuasa tempatan.

"Dengan wujudnya pangkalan data itu, semua pihak yang berurusan dengan warga asing di negara ini seperti pihak hotel, pengusaha rumah sewa, pusat pengajian tinggi, hospital dan majikan diwajibkan menghantar maklumat kepada pihak berkuasa yang akan bertanggungjawab menguruskan pangkalan data tersebut kelak," katanya.

Hishammuddin berkata penyediaan pangkalan data itu turut memerlukan kepada penggubalan undang-undang bagi membolehkan pelaksanaannya secara menyeluruh dan melibatkan semua pihak berkaitan.

Mengenai penubuhan Makmal Pengurusan Warga Asing yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, Hishammuddin berkata kementeriannya telah membuat persiapan yang diperlukan dan bersedia untuk memulakan pelaksanaan makmal dalam masa terdekat.

"Butiran lanjut seperti tarikh, tempoh dan keanggotaan makmal ini akan diputuskan dalam Mesyuarat Peringkat Menteri Berhubung Pelaksanaan Makmal Warga Asing yang akan saya pengerusikan pada 17 Mac 2010," katanya.

Penubuhan makmal itu bertujuan mencari kaedah penyelesaian secara holistik untuk menangani isu-isu berhubung warga asing khususnya mengelakkan lambakan Pendatang Asing Tanpa Izin daripada terus berleluasa.

Dalam kenyataan media yang sama Hishammuddin memaklumkan bahawa Ketua Pengarah International Organization for Migration (IOM) William Lacy Swing akan bertemu dengannya esok, bagi membincangkan beberapa perkara berhubung kait dengan isu pemerdagangan orang.

"Antara perkara yang akan dibincangkan dalam pertemuan itu ialah berhubung cadangan mewujudkan pejabat cawangan IOM di Kuala Lumpur sebagaimana yang telah diwujudkan di Jakarta, Bangkok, Manila, Yangon serta di beberapa negara Asean yang lain," katanya.

IOM adalah sebuah badan bebas yang berpusat di Geneva dan berperanan dalam soal-soal berhubung kait dengan migrasi seperti aspek pengurusan, pembangunan dan penempatan semula. -- BERNAMA

MOHR half-day course : Maids like it, but not employers

PUSPA is an Indonesian maid who got pregnant working in Malaysia during her first stint. This is, of course, prohibited by the Human Resources Ministry.

It has now drawn up guidelines containing dos and don'ts that will be drummed into maids at half-day courses starting at the end of this month.

The first trial course was held on Feb 21 and attended by 300 maids and their employers.

Puspa was one of them. She tells the New Straits Times that the course is an eye-opener.

"If I had known this earlier, I would not have got pregnant.

"I would have taken precautions," says the 32-year-old.

Another maid, Kartika, 42, from the interior of Java, says could not make out most Malay words.

She wishes the trainers had spoken slower for the benefit of those who were new in the country.

"But it has helped me. I will no longer sign an agreement without asking the maid agency to explain to me so that I know my rights," she says in Indonesian.

However, employers sing a different tune.

One of them, Chang of Petaling Jaya, says the course is a waste of time.

"Some maids run away so often and we will have to go through this every time we take in a new maid. It's very troublesome," says the mother of two. She has had three maids in four years.

Another employer, Jayanti Kumar, 46, of Puchong likes the ruling against maids marrying locals.

"My previous maid had a secret relationship and she ran away.

"After three days, she called me and said she was married. My blood pressure went up because there was no one to look after my aged father."


Some of the other requirements are that the maids should only work at the address stated in the work agreement and their salary should be paid before the end of the first week of the month. - NST

Amah bermasalah boleh dikesan ketika jalani latihan

KUALA LUMPUR: Pembantu rumah asing yang ada masalah kesihatan, mental atau menghadapi kemurungan boleh dikesan ketika menjalani latihan beberapa bulan di negara sendiri, sebelum dibawa masuk ke Malaysia. Masalah dihadapi mereka juga boleh dikesan ketika mereka menjalani latihan atau ketika menunggu keputusan pemeriksaan kesihatan di negara ini.

Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa), Alwi Bavutty berkata, setiap pembantu rumah dikendalikan agensi berdaftar dan bertauliah di bawah Papa perlu menjalani latihan antara sebulan sehingga tiga bulan di negara asal sebelum dibawa masuk ke Malaysia.

Malah katanya, mereka juga perlu menjalani latihan di Malaysia sementara menunggu keputusan pemeriksaan kesihatan jika pembantu rumah itu di bawah agensi berdaftar di negara ini.

“Ketika pembantu rumah menjalani latihan di negara sendiri atau di Malaysia masa itu segala perangai pelik atau jika mempunyai masalah kesihatan, mental atau kemurungan boleh dikesan dan tidak layak bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia kerana dibimbangi menjejaskan keselamatan majikan,” katanya.

Namun katanya, masalah seperti dialami pelakon Siti Shahrizah Saifuddin, 38, atau lebih popular dengan panggilan Eja yang mendakwa anaknya berusia enam bulan didera pembantu rumah, selain kerugian RM50,000 kerana warga Indonesia itu merosakkan perabot dan kelengkapan rumah sebelum melarikan diri jarang berlaku membabitkan amah diambil dengan agensi berdaftar.

Menurutnya, setakat ini, pihaknya tidak pasti sama ada pembantu rumah Eja yang dikenali Mona atau panggilan Susie, 29 dari Medan, Indonesia yang menghilangkan diri pada 18 Februari lalu diambil daripada agensi yang berdaftar.

Pelakon itu mendakwa anaknya Nur Eishal turut didapati berdarah di bibir dan luka pada tangan ketika meninggalkannya bersama pembantu berkenaan. Dia kemudian membuat dua laporan polis di Balai Polis Mont Kiara dan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Rabu lalu. - Harian Metro

Sunday, March 7, 2010

Amah warga Indonesia diarah ke pusat perlindungan kedutaan

KUALA TERENGGANU 7 Mac – Mahkamah Juvana di sini hari ini mengarahkan seorang pembantu rumah warga Indonesia bawah umur yang dituduh mencuri beberapa barangan milik majikannya pada 6 Januari lalu dihantar ke Pusat Perlindungan di Kedutaan Indonesia, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, bagi tempoh antara setahun hingga tiga tahun.

Majistret Wan Nor Aklima Wan Salleh membuat keputusan itu setelah tertuduh yang berumur 13 tahun sembilan bulan, dari Palembang, Indonesia, mengaku bersalah mencuri dua buah komputer riba, sebuah modem jalur lebar, satu unit tetikus dan sebuah beg milik majikannya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu antara pukul 10 pagi hingga 10.30 pagi pada 6 Januari lalu dan didakwa mengikut Seksyen 380, Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Tertuduh yang sebelum ini dikaitkan dengan kejadian membakar rumah majikannya di Taman Murni Indah, Seberang Takir, Kuala Terengganu, mengaku bersalah di mahkamah yang sama pada 13 Januari atas tuduhan mencuri beberapa barangan milik majikannya. - Utusan

Foreigners linked to gangsters

GEORGE TOWN: Members of secret societies in Penang now include foreign workers, state police chief Datuk Ayub Yaakob said yesterday.

He said police are aware that secret societies were recruiting foreigners.

"Many foreign labourers in the state have resorted to using force to intimidate their fellow countrymen.

"We will go all out to curb gangsterism involving a diversified mix of nationalities," he said after a community policing walkabout in the Pulau Tikus wet market.

Ayub said police would intensify their efforts to maintain public order in suburbs with a high concentration of foreign workers.

He was commenting on the parang attack by a Myanmar man on two locals in a fight between members of two secret societies outside a shoplot in Bandar Baru Air Itam on Friday night.


The two suffered serious slash wounds on the neck and hands and have been warded at the Penang Hospital.

Ayub said police rounded up 15 people, including the Myanmar man, shortly after the incident. - NST

15 penempatan warga asing diroboh


BUKIT JELUTONG – Bertindak atas maklumat dan aduan orang ramai, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengadakan operasi meroboh struktur tanpa kebenaran di bawah pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB), Seksyen U8, Shah Alam.

Struktur tanpa kebenaran itu dirobohkan berikutan aduan orang ramai, terutamanya penduduk tempatan sekitar Bukit Jelutong mengenai masalah pencemaran bau dan kewujudan penempatan asing tanpa kebenaran.

Ketua Operasi itu, Dr Daroyah Alwi berkata, operasi diadakan bagi menangani masalah pencemaran bau dan juga kewujudan penempatan asing tanpa kebenaran yang didakwa penduduk didirikan oleh warga asing bagi menjalankan aktiviti pertanian dan penternakan di kawasan tersebut.

”Masalah ini diadukan oleh masyarakat setempat di kawasan sekitar Bukit Jelutong, Seksyen U8 yang menghadapi pencemaran bau daripada penggunaan baja organik kerana aktiviti pertanian tanpa kebenaran yang mencemar udara di kawasan tersebut sejak beberapa tahun lalu oleh warga tempatan.

”Tindakan merobohkan struktur bangunan diambil bagi mengatasi masalah pencemaran dan juga isu keselamatan akibat kehadiran pendatang tanpa izin di kawasan tersebut,” katanya.

Menurutnya, dalam operasi tersebut, 15 struktur rumah kayu yang didirikan oleh pendatang asing secara tanpa kebenaran dirobohkan.

"Empat stor turut dirobohkan dan struktur nurseri yang dibina tanpa kebenaran oleh petani dan hanya sebuah stor sahaja tidak dirobohkan bagi menempatkan kelengkapan mereka di kawasan itu seperti baja,” katanya.

Daroyah berkata, selain daripada aktiviti pertanian yang dijalankan secara tanpa kebenaran, dipercayai pihak yang terlibat juga melakukan aktiviti pembakaran secara terbuka yang menyebabkan berlakunya pencemaran udara yang mengganggu kehidupan dan keselesaan penduduk di kawasan sekitar.

"MBSA juga turut memberikan notis kepada lapan pengusaha pertanian dan tiga penternak lembu yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, antara aktiviti pertanian yang dijalankan adalah penanaman buah, sayur, limau nipis, betik, tanaman orkid yang dilakukan secara bertukar di atas tanah berkeluasan empat hektar.

”Semasa operasi diadakan, tidak terdapat sebarang halangan kerana penghuni di kawasan tersebut dipercayai warga asing mengosongkan kawasan tersebut dan struktur tersebut telah dirobohkan dengan menggunakan jentolak,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 19 berkata, operasi itu melibatkan penyertaan beberapa agensi kerajaan lain seperti Pejabat Tanah dan Daerah Petaling, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Perhutanan, Jabatan Pertanian Negeri Selangor serta jabatan dalaman MBSA.

”MPP juga turut mengatur pertemuan antara petani dan penternak bersama Persatuan Penduduk Bukit Jelutong iaitu pada 26 Februari lalu, sebelum tindakan diambil bertujuan untuk memberikan peluang kepada kedua pihak mendengar masalah yang dihadapi antara satu sama lain.

”Dalam pertemuan itu, petani dan penternak dapat mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh penduduk berikutan aktiviti ekonomi yang dilakukan oleh mereka menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk,” katanya.

Daroyah berkata, dalam pertemuan itu, petani dapat menjelaskan aktiviti pertanian yang diusahakan sejak 15 tahun lalu dan penternakan yang dilakukan sejak 20 tahun lalu tanpa menggunakan perkhidmatan warga asing.

”Bagaimanapun, petani berjanji tidak akan menggunakan baja organik dan tidak akan mengganggu penduduk dengan aktiviti pembakaran dan sebagainya untuk memberikan keselesaan kepada penduduk.

”Sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) MBSA dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Yaakob Sapari mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh kedua pihak,” katanya.

Menurutnya, kini masalah itu sedang dalam proses untuk tindakan dan menunggu rayuan yang dibuat oleh petani dan penternak, malah MBSA akan melakukan penambahbaikan aktiviti pertanian yang dilakukan kerana kawasan itu sangat subur.

”Sebagai MPP, saya akan sentiasa bekerjasama dengan MBS dan ADUN Kota Anggerik untuk membantu dan menyelesaikan masalah yang dihadapi sejak beberapa tahun lalu,” katanya. - Sinar Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...