Saturday, February 27, 2010

Ancaman warga asing

KUALA LUMPUR: Kehadiran warga asing yang semakin ramai di sekitar kawasan Kampung Pandan di sini, menimbulkan rasa kurang selesa di kalangan penduduk setempat.

Penduduk mendakwa isu lambakan warga asing bukan sesuatu yang baru di kawasan terbabit dan paling memeranjatkan jumlah mereka bertambah dari tahun ke tahun.
Penduduk, Iqbal Mohsin, 31, berkata kebanjiran warga asing menyebabkan sosioekonomi penduduk tempatan terjejas kerana kebanyakan mereka mempunyai pekerjaan dan perniagaan sendiri.

“Kalau mereka datang dengan permit sah serta bermastautin di negara ini saya tidak begitu kisah, tetapi yang menghairankan bagaimana mereka yang tidak mempunyai permit boleh menjalankan perniagaan.

“Malah, jumlah warga asing yang menetap di sini semakin hari semakin ramai dan kehadiran mereka mengakibatkan penduduk setempat berasa terancam tambahan pula jenayah banyak berlaku membabitkan warga ini,” katanya.

Sementara itu, penjual bunga, T Murugan, 32, berkata disebabkan kebanjiran warga asing yang semakin ramai kadar jenayah juga meningkat.


“Banyak berlaku kes membabitkan jenayah di kalangan mereka ini seperti curi kenderaan, samun serta ragut dan dalam seminggu kes seperti ini akan berlaku tiga ataupun empat kali.

“Selain suka mencuri serta samun, mereka gemar mengganggu anak gadis yang lalu lalang dan lagak warga asing ini juga sudah seperti penduduk tempatan selain menyamar sebagai orang tempatan untuk menutup identiti sebenar mereka,” katanya.

Murugan juga berharap tindakan yang tegas diambil oleh kerajaan kerana tindakan sekarang dilihat kurang berkesan.

Manakala Muhamad Abd Rahman, 28, berkata tindakan yang diambil kerajaan dalam menjalankan operasi besar-besaran menggempur pendatang asing tanpa izin di negara ini adalah wajar sebagai menunjukkan ketegasan. - Harian Metro

'Bomoh duit' Nigeria kebas wang pesara RM280,000

KUALA LUMPUR: Mereka mendakwa mampu mendapatkan semula wang milik mangsa yang pernah ‘dilarikan’ peminjam.

Malah, kumpulan dua lelaki itu juga mendakwa boleh melipat gandakan wang berkenaan selain mampu menjadikan mangsa individu terkaya di dunia dalam masa singkat.

Namun, setiap mangsa disyaratkan mengikuti satu upacara khas bagi mendapatkan semula wang mereka yang enggan dibayar peminjam.

Difahamkan, untuk mengikuti upacara berkenaan, setiap mangsa diwajibkan membayar wang ‘pengeras’ antara RM4,000 hingga RM60,000 mengikut jumlah wang yang mahu ‘diambil’ semula daripada semua peminjamnya. Itulah taktik digunakan dua ‘bomoh duit’ lelaki warga asing dipercayai berasal dari Nigeria dalam memperdaya mangsa yang tersepit kerana keengganan peminjam melunaskan hutang mereka.

Dalam kejadian terbaru, seorang pesara terpaksa berputih mata apabila mendapatkan khidmat dua ‘bomoh’ itu sebelum wang lebih RM280,000 miliknya lesap. Menurut sumber, lelaki berusia lewat 40-an yang tinggal di Petaling Jaya itu diperkenalkan kepada dua lelaki warga asing itu melalui rakannya pada awal tahun ini. “Rakan mangsa dikatakan memaklumkan lelaki terbabit mengenali dua ‘bomoh duit’ itu yang didakwa boleh membantunya menyelesaikan masalah untuk mendapatkan semula wang yang dipinjam rakan sebelum ini.

“Disebabkan terdesak, lelaki terbabit mula mempercayai dengan cadangan rakannya sebelum bersetuju untuk bertemu dengan dua ‘bomoh’ itu,” katanya di sini, semalam.

Mangsa kemudiannya bertemu dengan dua lelaki warga asing itu pada 23 Januari lalu di sebuah hotel di Damansara, dekat sini.

Sumber terbabit berkata, dalam perjumpaan itu, kedua-dua lelaki warga asing terbabit yang mengaku bomoh dikatakan bersikap sopan selain berlagak alim. “Dua ‘bomoh’ terbabit dikatakan meyakinkan mangsa bahawa mereka berupaya membantu mangsa mendapatkan semula wang yang sudah dipinjam rakan.

“Dalam pertemuan itu, bomoh terbabit menekankan kepada mangsa supaya mematuhi kesemua syarat ditetapkan,” katanya.

Syaratnya, termasuklah upacara solat untuk ‘menarik duit’ yang mewajibkan mangsa membayar sejumlah wang.

Katanya, mangsa yang sudah ‘termakan’ pujuk kedua-dua bomoh penipu berkenaan akhirnya bersetuju untuk mengikut ritual khas terbabit.

“Lelaki terbabit kemudian diminta membayar wang berjumlah RM56,000 termasuk membeli minyak wangi daripada bomoh terbabit,” katanya.

Selepas wang diambil dua lelaki warga asing itu, upacara ‘sesat’ itu kemudian dijalankan bomoh terbabit sambil disaksikan mangsa.

Menurut sumber, mangsa kemudian memasukkan lagi wang berjumlah RM226,000 ke dalam beg yang sebelum ianya dikunci.

“Selepas upacara ‘tarik duit’ itu selesai, beg berkunci itu diserahkan semula kepada mangsa dan mengarahkannya tidak melanggar pantang larang apabila keduanya mendakwa beg terbabit hanya boleh dibuka selepas tiga minggu,” katanya.

Mangsa yang mematuhi pantang larang itu dikatakan membuka beg berisi wang berkenaan pada 13 Februari lalu.

Dia bagaimanapun terperanjat apabila mendapati tiada wang di dalamnya, cuma ada keratan kertas hitam dan surat khabar.

Menyedari ditipu, mangsa kemudian membuat laporan polis. - Harian Metro

45,000 Kerja Kosong di Restoran Mamak Tidak Diisi - Presma

BUTTERWORTH: Kempen untuk mengrekrut rakyat tempatan sebagai pelayan, chef dan juruwang di restoran nasi kandar serta makanan India bukan sahaja tiada sambutan malah boleh dilabelkan sebagai 'gagal'.


Daripada 45,000 jawatan kosong di 2,000 restoran nasi kandar dan 1,100 restoran mamak di seluruh negara, tidak sampai 100 pertanyaan diterima untuk mengisi kekosongan tersebut daripada masyarakat tempatan.

Perkara ini didedahkan oleh Presiden Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia (Presma) Noorul Hassan Saul Hameed.

Katanya, respon yang sedikit itu adalah disebabkan di pasaran sekarang terdapat terlalu banyak kerja kosong yang jauh lebih menarik daripada imbuhan yang ditawarkan oleh restoran.

"Walaubagaimana pun kami akan terus bekerjasama dengan Jabatan Sumber Manusia dan beberapa NGO untuk bantu mengatasi masalah ini," ujarnya.

Pada 10 Februari lalu, Presma mengumumkan pengusaha restoran nasi kandar di seluruh negara akan menawarkan pakej gaji yang menarik untuk rakyat tempatan.

Restoran nasi kandar sahaja menawarkan lebih kuran 25,000 kerja kosong tetapi sehingga sekarang tidak dapat diisi oleh rakyat tempatan.

Kata Noorul Hassan lagi, gaji bulanan untuk pembantu restoran (pelayan) ialah antara RM800 hingga RM1,300 sebulan bergantung kepada pengalaman sementara juruwang ditawarkan gaji antara RM1,000 hingga RM1,300.

Penyelia dan tukang masak pula ditawarkan gaji antara RM1,500 hingga RM2,500 sebulan. - mstar online

Friday, February 26, 2010

Fungsi Rela diperluas jaga sempadan

PUTRAJAYA: Fungsi Ikatan Relawan Rakyat (Rela) Malaysia akan diperluaskan bukan hanya bertanggungjawab menahan pendatang asing tanpa izin, malah turut diberi peranan lebih mencabar termasuk mengawal perairan negara.

Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ahmad Fuad Abdul Aziz, berkata pihaknya mahu memperluaskan peranan Rela bagi membantu membanteras jenayah.
Bukan itu saja, beliau berkata, jika dibenarkan, pihaknya mahu tenaga Rela diguna dan diperluaskan bagi menjaga sempadan darat negara.

“Kita mampunyai hasrat bagi memperluaskan peranan Rela termasuk bagi mengawal sempadan negara, khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Pendekatan ini mampu membantu pihak berkuasa mengawal sempadan negara termasuk menangani kegiatan penyeludupan manusia dan balak terutama di Sabah dan Sarawak yang memiliki sempadan darat yang luas,” katanya ketika mempengerusikan sesi diskusi antara media dengan KDN, di sini, semalam.

Mengulas lanjut isu itu, Ahmad Fuad berkata, pihaknya mahu menggunakan konsep ‘Border Scout’ (Pengakap Sempadan) di Sarawak yang menggunakan penduduk tempatan seperti kaum Iban dan Murut bagi menjaga kawasan sempadan darat kerana mereka lebih mengetahui selok belok kawasan berkenaan.


“Jadi, kita harap boleh mengambil ahli Rela di kalangan penduduk tempatan sendiri,” katanya.

“Bagaimanapun, perkara ini masih di peringkat perbincangan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan beberapa agensi kerajaan berkaitan,” katanya.

Apa yang pasti, Ahmad Fuad berkata, pihaknya masih berbincang di peringkat pegawai yang dipengerusikannya bagi melihat boleh membabitkan anggota Rela bagi membantu mengawal keselamatan negara di sempadan darat. - Harian Metro

Thursday, February 25, 2010

Pasangan Warga Indonesia Disyaki Dalang Sindiket Palsu Dokumen Ditahan

ALOR SETAR, 25 Feb (Bernama) -- Bahagian Penguatkuasa Imigresen Negeri Kedah menahan sepasang suami isteri warga Indonesia yang disyaki dalang sindiket pemalsuan dokumen rasmi kerajaan Malaysia dalam serbuan di sebuah rumah di Subang Jaya, Selangor pada Rabu.

Pengarah Imigresen Negeri Kedah, Mohd Zulfikar Ahmad berkata serbuan itu dilakukan berdasarkan maklumat diberikan dua lelaki warga Indonesia, masing-masing ditahan di Sungai Petani dan Seberang Perai, Pulau Pinang pada 22 dan 23 Februari lepas kerana memiliki beberapa dokumen palsu.

Pasangan suami isteri itu disyaki memperoses Mykad, I-kad (Kad Imigresen), pelekat pas lawatan kerja sementara, lesen memandu, MyPr (Kad pengenalan penduduk tetap) dan pasport Indonesia palsu, katanya kepada pemberita di sini.

Katanya turut ditahan dalam serbuan kira-kira 12.10 malam itu ialah anak perempuan pasangan itu yang berumur enam tahun.

Zulfikar berkata pihaknya merampas beberapa peralatan yang digunakan bagi memproses dan menghasilkan dokumen palsu itu iaitu komputer riba, empat unit kad kosong bercip, tujuh pasport Indonesia dan beberapa dokumen rasmi kerajaan Malaysia.

Beliau berkata sindiket itu dipercayai telah beroperasi kira-kira setahun lepas. -- BERNAMA

Agensi Malaysia Dan Indonesia Cari Jalan Kurangkan Kos Pengambilan Pekerja

JAKARTA, 25 Feb (Bernama) -- Agensi-agensi pekerja asing Indonesia dan Malaysia sepakat untuk mencari jalan bagi mengurangkan kos pengambilan pekerja Indonesia ke Malaysia dalam usaha mengurangkan beban kepada pekerja dan majikan.

Kesepakatan ini dicapai dalam satu perjumpaan di Kedutaan Besar Malaysia di sini selepas kedua-dua pihak membentangkan struktur kos bagi pengambilan tenaga kerja Indonesia untuk dihantar ke Malaysia, yang didapati melibatkan perbelanjaan berjumlah RM6,100.

Perjumpaan yang diatur atas inisiatif Kedutaan Besar Malaysia di sini, membabitkan penyertaan 55 orang, yang mewakili Assosiasi Perusahaan Jasa Tenaga Kerja Indonesia (Apjati), Perusahaan Jasa Tenaga Kerja Indonesia (PJTKI), Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) serta agensi-agensi pekerja asing di Indonesia.

Dalam perbincangan yang dipengerusikan oleh Duta Besar Malaysia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan itu, agensi pekerja asing di kedua-dua belah pihak menyatakan kesediaan untuk melihat bagaimana kos itu dapat dikurangkan.

Selain kos tetap yang dikenakan oleh kerajaan Indonesia dan Malaysia mengikut keperluan undang-undang dan peraturan, kos-kos lain seperti kos latihan dan kos penajaan didapati terlalu tinggi sehingga menyebabkan kos pengambilan pekerja itu menjadi besar.

Usaha menurunkan kos pengambilan pekerja itu dianggap penting kerana kos yang terlalu tinggi akan menyebabkan pembantu rumah terpaksa menanggung potongan gaji yang lebih besar dan akan berlarutan sehingga berbulan-bulan oleh majikan mereka yang perlu menanggung dahulu kos itu.

Sementara itu di pihak majikan di Malaysia pula, mereka juga berasa kurang senang dengan keadaan itu kerana ia sering menjadi punca pembantu rumah lari apabila ada di antara mereka merasakan tertipu kerana terpaksa bekerja tanpa gaji untuk tempoh tertentu.

Ketika ini komponen kos RM6,100 itu terdiri daripada kos di pihak agensi pekerjaaan di Indonesia yang berjumlah RM4,200 manakala RM1,900 merupakan kos di pihak agensi pekerjaan di Malaysia.

Kedua-dua belah pihak turut membincangkan soal gaji minimum dan hak untuk memegang pasport oleh pembantu rumah Indonesia namun tidak ada sebarang cadangan konkrit dicapai berhubung perkara itu.

Pihak Papa menyatakan bahawa di Malaysia tidak ada peraturan mengenai gaji minimum dan gaji untuk pembantu rumah adalah ditentukan oleh kuasa pasaran iaitu berdasarkan kemampuan kewangan majikan selain kemahiran yang dimiliki oleh seseorang pembantu rumah itu.

Indonesia meminta agar Malaysia menetapkan gaji minimum RM800 kepada pembantu rumah Indonesia manakala Malaysia pula mencadangkan hanya RM550.

Syed Munshe Afdzaruddin yang ditemui selepas pertemuan itu berkata, Kedutaan Besar Malaysia hanya bertindak sebagai fasilitator dalam perbincangan itu bagi mencari penyelesaian kepada usaha menyiapkan Memorandum Persefahaman (MoU) baru berhubung pembantu rumah Indonesia.

Indonesia menggantung sementara penghantaran rakyatnya untuk bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia dan kedua-dua kerajaan sedang berbincang untuk menandatangani MoU baru bagi memperkemaskan kaedah penghantaran dan menjamin perlindungan bagi pekerja dan majikan. -- BERNAMA

Tiga lelaki Vietnam proses samsu ditahan

MUAR: Polis menahan tiga lelaki warga Vietnam ketika sedang memproses samsu haram "istimewa" yang dicampur dengan air bangkai biawak yang diperam, di sebuah rumah teres dua tingkat yang dijadikan asrama pekerja kilang perabot di Jalan Bakri, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 12.30 pagi itu, ketiga-tiga lelaki berusia 20-an itu dipercayai menjadikan rumah teres itu sebagai pusat pemprosesan dan jualan samsu haram yang dipasarkan kepada pekerja asing dan tempatan di sekitar Bakri. - Berita Harian

Wednesday, February 24, 2010

7 kementerian kongsi tugas

PUTRAJAYA: Peranan tujuh kementerian berkaitan digerakkan bagi menjayakan usaha kerajaan terhadap pemantauan dan pengurusan rakyat warga asing di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata pengagihan peranan itu berdasarkan kepada sektor masing-masing.
Beliau berkata, bagi sektor perladangan, ia dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, manakala Kementerian Sumber Manusia diberi peranan terhadap sektor perkhidmatan.

“Tidak ketinggalan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berurusan terus dengan sektor perkilangan dan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi bertanggungjawab terhadap sektor pendidikan.

“Selain itu, Kementerian Pelancongan bertanggungjawab terhadap sektor pelancongan, manakala Kementerian Dalam Negeri (KDN) berperanan dan bertanggungjawab dalam sektor keselamatan,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dalam semua sektor, KDN melaksanakan kaedah terbabit dengan menyediakan tenaga kerja tempatan bagi sub sektor pengawal keselamatan di bawah sektor perkhidmatan.

Malah, katanya, makmal khusus bagi mengkaji pengurusan pengambilan pekerja asing yang diumumkan kelmarin, bakal menarik penyertaan pihak berkepentingan termasuk persatuan perniagaan dan majikan bagi memberi ruang kepada mereka menyumbang fikiran dan cadangan. Menurutnya, ia bagi memastikan agenda penambahbaikan pengurusan dan pemantauan rakyat asing di negara ini dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin, kelmarin, berkata kerajaan bakal menubuhkan satu makmal khusus bagi meneliti secara keseluruhan isu pekerja asing dan pendatang asing tanpa izin termasuk kedudukan agensi penyumberan luar yang bertanggungjawab membawa masuk golongan itu ke negara ini.

Makmal berkenaan diterajui KDN yang dijangka mengemukakan laporan dan cadangan kepada kerajaan dalam tempoh antara sebulan dan hingga dua bulan Hishammuddin berkata, KDN pada bulan lalu, memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia bagi memacu kerjasama dalam pengambilan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebagai pengawal keselamatan.

Menurutnya, makmal itu bakal memberi tumpuan kepada empat isu utama iaitu prosedur kemasukan, perundangan, sistem pemantauan dan penguatkuasaan “Kerajaan sentiasa menghargai peranan warga asing yang berkhidmat secara sah dan turut menyumbang kepada negara serta sentiasa menghormati undang-undang negara,” katanya.

Tanpa berselindung, katanya, apa yang dibimbangi kewujudan trend warga asing yang bukan saja berada di negara ini secara haram, tetapi dilihat mempunyai niat tinggal di negara ini tanpa mematuhi tuntutan undang-undang ditetapkan. - Harian Metro

Polis Tahan Lelaki Kudung Palsukan Pasport Indonesia

KUALA LUMPUR: Polis membongkar satu kegiatan sindiket pemalsuan dokumen perjalanan dan kad pekerja warga Indonesia serta menahan seorang lelaki dalam serbuan di premis rumah kedai di Jalan Mewah 4, Ampang Mewah di sini malam tadi.

Dalam serbuan hasil maklumat orang ramai kira-kira pukul 10 malam itu, lelaki warga Indonesia yang kudung tangan kiri itu ditahan di sebuah rumah sewa di tingkat empat bangunan tersebut.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Abdul Jalil Hassan berkata sindiket yang dipercayai terbesar di Lembah Klang itu telah beroperasi sejak setahun lepas dengan mengenakan caj yang murah.

"Hasil maklumat orang awam, kita menyerbu rumah berkenaan setelah membuat pantauan selama empat jam sebelum menahan lelaki berusia 40-an tersebut dalam rumah berkenaan.

"Siasatan awal terhadap lelaki itu mendapati sindiket tersebut mengenakan bayaran sebanyak RM150 bagi setiap pasport dan RM25 untuk satu kad pekerja palsu," katanya kepada pemberita di lokasi serbuan di sini malam tadi.

Abdul Jalil berkata siasatan awal juga mendapati sindiket itu mengeluarkan kira-kira empat atau lima pasport setiap hari dan dianggarkan sebanyak 1,500 pasport termasuk kad pekerja berjaya dipalsukan dan diperbaharui oleh sindiket itu.

Katanya sindiket tersebut menggunakan peralatan canggih termasuk mesin pengimbas dan komputer serta alat lain bagi memastikan setiap pasport dan kad pekerja yang dihasilkan nampak asli dan dapat mengaburi mata pihak berkuasa.

"Pelanggan mereka yang terdiri daripada warga Indonesia datang ke rumah ini atau mereka sendiri akan berjumpa pelanggan bagi proses mengambil gambar dan menyiapkan dokumen palsu.

"Kita juga percaya suspek tidak bergerak seorang diri, melalui pemantauan suspek mempunyai kawan yang aktif bersama, kita akan buru saki baki anggota sindiket ini," katanya.

Beliau juga menyeru orang ramai yang mencurigai ketulenan pasport dan pas pekerja-pekerja mereka supaya terus datang ke Jabatan Imigresen bagi mengesahkan ketulenannya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 iaitu membuat atau memalsukan atau meminda sesuatu endorsmen atau dokumen untuk digunakan sebagai visa, permit, pas atau sijil. - mStar online

Majikan elak kursus amah patut kena tindakan tegas

Papa syor larang ambil pembantu rumah baru, baharui permit

KUALA LUMPUR: Majikan yang gagal menghadiri kursus khas dikelolakan Kementerian Sumber Manusia dalam tempoh enam bulan selepas pembantu rumah mula bekerja dengan mereka dicadangkan tidak dibenar mengambil pembantu rumah baru selepas tempoh khidmat pekerja asing itu tamat.

Cadangan itu dikemukakan Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa) dalam usaha memastikan semua majikan termasuk golongan kenamaan yang menggunakan khidmat pembantu rumah asing menghadiri kursus wajib berkenaan bagi memastikan mereka mengetahui syarat dan tugas sebenar pembantu rumah seperti terkandung dalam perjanjian.

Kursus seumpama itu sudah dilaksanakan di Singapura dan pelepasan daripada menghadiri kursus itu hanya dibenar jika majikan mendapat surat kelulusan daripada menteri.

Berikutan itu, Presidennya, Alwi Bavutty berkata, majikan yang menghadiri kursus berkenaan akan diberi sijil sebagai bukti kehadiran dan sijil itu juga menjadi syarat bagi membolehkan mereka memperbaharui permit atau mengambil pembantu rumah baru.

Katanya, walaupun banyak pihak tidak bersetuju dengan pelaksanaan kursus khas yang diwajibkan terhadap majikan dan pembantu rumah di negara ini, pro-gram itu bakal memberi impak positif bagi mengurangkan kes penderaan pembantu rumah, selain membantu golongan berkenaan memahami tanggungjawab mereka kepada majikan. 

Katanya, pada masa ini 216,000 majikan menggunakan khidmat pembantu rumah secara sah di negara ini dan pelaksanaan kursus wajib itu bermula akhir Mac ini khusus untuk pengambilan pembantu rumah baru.

"Kursus wajib ini bukan menjatuhkan moral majikan di negara ini, tetapi ia sebagai penjelasan terhadap tanggungjawab masing-masing kerana ada majikan menyalahgunakan khidmat pembantu rumah melangkaui apa yang terkandung dalam perjanjian.

"Contohnya, pembantu rumah diarah mencuci kereta majikan sedangkan ia bukan tugas mereka, selain majikan membawa pembantu rumah ke premis perniagaan mereka dan bekerja di situ," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam sebelum ini berkata, kursus khas yang diwajibkan kepada majikan dan pembantu rumah bermula bulan depan itu bertujuan mendedahkan mereka dengan tanggungjawab masing-masing serta dibekalkan Buku Panduan Penggajian Pembantu Rumah Asing.

Alwi berkata, Papa juga sudah mengemukakan permohonan kepada kementerian supaya menawarkan agensi itu menjalankan kursus berkenaan di seluruh negara.

"Kita yakin, apabila majikan dan pembantu rumah mengetahui tanggungjawab mereka, tiada lagi kes penyalahgunaan membabitkan khidmat warga asing berlaku di negara ini.

"Levi pembantu rumah hanya RM360 setahun berbanding RM1,800 levi dikenakan jika mengambil warga asing bekerja di sektor perkhidmatan. Jadi, majikan cuba mengeksploitasi khidmat pembantu rumah itu bagi mengaut keuntungan," katanya. - Berita Harian

Tuesday, February 23, 2010

Jangan layan - Papa

KUALA LUMPUR - Tuntutan gaji minimum pembantu rumah dari Indonesia sebanyak RM800 sebulan tidak perlu dilayan dan diperbesarkan, tegas Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa).

Presiden persatuan itu, Alwi Bavutty berkata, isu gaji amah hanya perlu dirunding antara majikan dan pekerja sahaja sebagaimana yang termaktub dalam kontrak perkhidmatan.

Menurut Alwi, selain Indonesia, beberapa negara lain turut membekalkan amah bekerja di sini seperti Filipina, Thailand serta Myanmar dan mereka menghormati peraturan yang ditetapkan oleh negara ini.

"Gaji minimum dalam pasaran kerja pembantu rumah di Malaysia sekarang antara RM500 hingga RM700 adalah sangat berpatutan dan mereka sepatutnya bersyukur dapat bekerja di sini.

"Ada amah dari Filipina yang berkelulusan ijazah dan diploma sanggup bekerja di negara ini dengan paras gaji sekarang tanpa sebarang masalah," kata Alwi ketika dihubungi Kosmo! semalam. - Kosmo online

Wilayah Persekutuan Tidak Akan Beri Lesen Penjaja Kepada Warga Asing

PUTRAJAYA, 23 Feb (Bernama) -- Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata warga asing tidak akan diberi lesen untuk menjalankan perniagaan di Wilayah Persekutuan bagi menjamin sumber pendapatan penjaja tempatan.

"Sekira diberikan, saya yakin pusat penjajaan 100 peratus akan dikuasai oleh mereka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Antarabangsa "Green Cities: Putrajaya Urban Conference Series 2010 di sini pada Selasa.

Katanya tidak seperti yang berlaku di Selangor yang begitu terbuka di mana pemegang kad pengenalan merah juga diberikan lesen penjaja.

"Kita sama sekali tidak akan memberi mana-mana ruang kepada warga asing yang bukan rakyat Malaysia untuk menjaja," katanya.

Katanya ketika ini jumlah warga asing yang diambil bekerja di pusat penjajaan dan menjaja sama ada secara haram atau menggunakan lesen penjaja tempatan, adalah seimbang.

Beliau diminta mengulas saranan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil tindakan tegas terhadap warga asing yang didapati menjalankan perniagaan.

Raja Nong Chik berkata semua penjaja di Wilayah Persekutuan akan dilesenkan dalam tempoh tertentu dan ia dapat diselaraskan apabila pelesenan dibuat secara menyeluruh kelak.

"Buat masa sekarang ia tidak dapat dilakukan kerana akan berlaku banyak protes sebab ramai rakyat Kuala Lumpur bergantung pada kegiatan penjajaan sebagai sumber pendapatan mereka dengan ada yang menjaja di kawasan berhampiran rumah," katanya.

Beliau turut meminta kerjasama penjaja tempatan supaya tidak "menjaja" lesen mereka kepada warga asing.

"Ia bukan saja berlaku di kalangan penjaja di Chow Kit (penjaja Melayu) tetapi di Petaling Street (penjaja Cina) juga. Ini bukan AliBaba lagi tapi BabaRahman."

Namun, Raja Nong Chik berkata terdapat juga permintaan daripada peniaga tempatan di pasar-pasar yang menggunakan pekerja asing bagi membuat kerja-kerja yang lebih berat.

Katanya satu konsortium munkin akan ditubuhkan bagi menguruskan pekerja warga asing di pasar-pasar itu kelak seperti yang diamalkan di pasar-pasar borong ketika ini. -- BERNAMA

Perak Mahu Tindakan Terhadap Peniaga Asing Pasar Malam

IPOH, 23 Feb (Bernama)-- Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Perak Selasa diarah mengambil tindakan segera "membersih" pasar-pasar malam di seluruh negeri itu daripada aktiviti perniagaan oleh warga asing.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata tindakan itu perlu diambil kerana banyak aduan diterima mengenai perkara berkenaan.

"Perkara ini jika tidak ditangani segera akan memberi kesan terhadap mata pencarian peniaga tempatan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat cadangan pembangunan dan penambahbaikan tapak Bazar Bulat atau Bazar Yau Tet Shin, di sini Selasa.

Beliau berkata pasukan penguatkuasa PBT boleh menjalankan operasi bersama dengan polis dan agensi lain bagi menangani masalah itu.

Dr Mah berkata masalah itu dipercayai berpunca daripada tindakan segelintir peniaga tempatan yang menjual atau memajak lesen perniagaan mereka kepada orang lain termasuk warga asing.

"Saya menyeru peniaga tempatan agar tidak lagi memberi atau menjual lesen perniagaan yang telah diperolehi kepada kumpulan warga asing ini kerana ianya mengakibatkan bertambahnya bilangan mereka di pasar-pasar malam," katanya. -- BERNAMA

MTUC mahu cadangkan gaji amah warga asing ditetapkan

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan kerajaan menetapkan kadar gaji yang lebih jelas bagi pembantu rumah warga asing supaya ia dapat diseragamkan.

Presidennya, Syed Shahir Syed Mohamud berkata, perbincangan perlu diadakan antara pihak-pihak yang terlibat dalam menentukan kadar gaji asas pembantu rumah di negara ini.

"Terlalu umum jika kerajaan mengatakan pembayaran gaji pembantu rumah dibuat mengikut pasaran pada masa ini.

"Jika gaji ditentukan melalui kuasa pasaran, ia akan menimbulkan tanda tanya di kalangan majikan dan pekerja tentang kadar gaji yang sebenar mengikut pasaran semasa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam menyatakan pembantu rumah warga asing akan menerima gaji mengikut kadar pasaran semasa ekoran kerajaan tidak menandatangani sebarang syarat berhubung gaji minimum dalam memorandum persefahaman (MoU) bersama negara lain termasuk Indonesia.

Syed Shahir berkata, walaupun kebanyakan majikan membayar gaji yang lebih kepada pembantu rumah, perlu ada satu mekanisme yang diperkenalkan pihak bertanggungjawab dalam menentukan keseragaman gaji mereka.

"Jika ada kadar gaji tetap untuk pembantu rumah ini, maka saya rasa tidak mungkin wujud masalah dan seandainya terdapat bayaran lebih oleh pihak majikan, itu adalah atas dasar timbang rasa," katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Pekerja Malaysia Airlines System (MASEU), Alias Aziz berkata, gaji minimum yang dicadangkan kepada pembantu rumah warga asing adalah antara RM300 hingga RM600.

Katanya, kerajaan tidak perlu mengikut kehendak Indonesia agar gaji minimum pembantu rumahnya ditetapkan pada kadar RM800 sebulan.

"Kadar tersebut terlalu tinggi dan tidak wajar untuk dituruti kerana ia akan menimbulkan beban kepada mereka yang benar-benar memerlukan pembantu rumah tetapi kurang berkemampuan," kata beliau.

Alias berkata, pada masa ini keperluan pembantu rumah di kalangan mereka yang berpendapatan rendah kian meningkat bagi menjaga anak-anak sewaktu mereka keluar bekerja.

Justeru katanya, perlu ada penetapan gaji yang bersesuaian bagi pembantu rumah tersebut supaya tidak mendatangkan beban kepada majikan. - Utusan

Spa: Hati-hati ambil pekerja asing

PUTRAJAYA 22 Feb. - Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta lebih berhati-hati dalam meluluskan permohonan kemasukan pekerja asing terutama bagi perkhidmatan spa. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (gambar) menegaskan, ini bagi mengelakkan pihak tertentu menyalahgunakan kelulusan kemasukan pekerja asing tersebut.

"Kita meminta supaya kementerian yang diberikan kuasa menimbang dan meluluskan pekerja asing harus lebih hati-hati supaya ia tidak disalah gunakan pihak tertentu.

"Sebagai contohnya bagi perkhidmatan spa, kita dapat maklumat sebahagian daripada mereka tidak bekerja di spa tetapi bekerja di tepi-tepi jalan sebagai tukang urut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin (JKK-PATI) di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, pekerja asing tersebut didapati telah melanggar syarat kelulusan kemasukan di negara ini dan tindakan akan diambil ke atas mereka.

Beliau berkata, kerajaan juga mahu sektor yang menggambarkan ciri Malaysia seperti pelancongan mematuhi keputusan yang dibuat sebelum ini iaitu hanya mengambil pekerja tempatan bagi perkhidmatan barisan hadapan.

"Bagaimanapun, kita lihat sebahagian hotel menggunakan pekerja asing untuk perkhidmatan barisan hadapan.

"Kita patut berikan kepada orang tempatan supaya mereka dapat menunjukkan adat resam kita sebagai daya tarikan, kalau pekerja asing ada yang tidak faham bahasa kita," katanya.

Timbalan Perdana Menteri juga mahu KDN membuat kajian tentang kos sebenar yang perlu dikeluarkan oleh majikan dan kerajaan bagi pengambilan pekerja asing.

Katanya, kos tersebut antaranya membabitkan pembayaran levi, rawatan di hospital kerajaan dan minyak bersubsidi dibeli oleh pendatang asing.

"Buat satu anggaran apakah kos sebenar dan kos yang patut ditanggung majikan bagi mengambil pekerja asing berbanding jika ambil pekerja tempatan," jelasnya. - Utusan

Majikan buka pusat asuhan diberi insentif

Majikan buka pusat asuhan diberi insentif



MAZNAH (dua dari kanan) bersama (dari kiri) Gruber, Mohd Sabri dan Westerhausen melayan keletah kanak-kanak Taska Elektrisola ketika menghadiri majlis ramah mesra dengan warga taska itu, di Janda Baik, semalam.
BENTONG: Kementerian Sumber Manusia bercadang untuk memberi insentif dan geran pembiayaan kepada majikan yang komited menubuhkan Pusat Asuhan Kanak-kanak (PAKK) di syarikat masing-masing.

Timbalan Menterinya, Datuk Maznah Mazlan, berkata pekerja pula diberikan pengurangan cukai pendapatan sebanyak dua kali ganda bagi membantu meringankan beban mereka yang menghantar anak ke pusat asuhan itu.

Beliau berkata, ketika ini, pihaknya mengadakan perbincangan dengan Persatuan Majikan Malaysia (MEF) dalam usaha merealisasikan penubuhan PAKK itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra bersama warga Taska Elektrisola (M) Sdn Bhd, Janda Baik, dekat sini, semalam.

Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Jerman, Dr Gunter Gruber; Pengarah Urusan Elektrisola (M) Sdn Bhd, Thilo J Westerhausen dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Mohd Sabri Karmani. 

Maznah berkata, berdasarkan statistik kementerian itu, sebanyak 93 PAKK ditubuhkan di sektor swasta sejak 1992, bagaimanapun hanya 16 pusat terus beroperasi berikutan ketiadaan insentif dan bantuan lain.

Sehingga kini, katanya, kerajaan sudah memperuntukkan RM3.45 juta bagi pembelian peralatan permainan dan juga pembelajaran khususnya PAKK dalam sektor peladangan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Sementara itu, di KLANG, Maznah berkata, kementerian akan menaik taraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) ke tahap Doktor Falsafah (PhD) bagi memadam stigma masyarakat yang menganggap kemahiran sebagai pilihan kelas kedua berbanding bidang akademik lain di bawah kementerian itu, tidak lama lagi.

Katanya, proses menaik taraf itu bagaimanapun perlu melalui banyak proses seperti mendapatkan peralatan kemahiran yang lengkap dan tenaga pengajar bertauliah. - Berita Harian

Kerajaan beri jaminan kursus majikan, pembantu rumah tidak diswastakan


NIBONG TEBAL, 23 Feb (Bernama) -- Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata kursus penyesuaian diri bagi majikan dan pembantu rumah warga asing akan dikendalikan oleh Jabatan Tenaga Kerja dan bukannya oleh pihak swasta.

"Kursus penyesuaian diri ini penting bagi majikan, pembantu rumah warga asing dan juga agen," katanya kepada pemberita selepas melawat Institut Latihan Perindustrian Arumugam Pillai di sini Selasa.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) telah melahirkan kebimbangan bahawa jika kursus itu dikendalikan oleh pihak swasta, ia boleh membebankan pekerja.

Mulai bulan depan semua majikan dan pembantu rumah warga asing diwajibkan menghadiri kursus separuh hari yang bertujuan meningkatkan perhubungan dan persefahaman antara majikan dan pekerja.

Subramaniam berkata kerajaan tidak boleh menetapkan gaji minimum bagi pembantu rumah warga asing kerana bayaran gaji dibuat mengikut pasaran.

"Kita telah membuat keputusan supaya pasaran yang tentukan gaji setiap pekerja. Kebanyakan gaji yang dibayar antara RM500 dan RM600 ikut pasaran," katanya.

Beliau berkata setakat ini tidak ada apa-apa perjanjian persefahaman ditandatangani dengan negara sumber bagi menetapkan bayaran gaji minimum untuk pekerja.

"Kita ada 12 negara sumber, jika ada bayaran gaji tertentu yang ditetapkan ia akan menimbulkan masalah, kita perlu berhati-hati dalam perkara ini," katanya.

Subramaniam juga berkata rombakan silibus Institut Latihan Perindustrian akan dimulakan pada Rancangan Malaysia Ke-11 dan akan memberi tumpuan utama kepada sektor perkhidmatan.

"Jika dahulu latihan banyak dilakukan untuk bidang pembuatan tetapi dalam model ekonomi yang baru ini tumpuan akan diberikan dalam bidang perkhidmatan untuk melahirkan ramai pekerja mahir yang setaraf dengan pekerja di peringkat antarabangsa," katanya. -- BERNAMA

KENYATAAN AKHBAR PATREE


PERTUBUHAN Malaysia Bebas-PATI @ PATREE menyambut baik kenyataan YAB Timbalan Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing & PATI (JKKPA & PATI) untuk mengkaji semula peranan Syarikat Penyumberan Luar & Ejen Pekerja Asing.
Dengan pengumuman semalam, bererti, JKKPA & PATI amat peka serta maklum bahawa sudah masanya untuk ‘transformasi penuh’, yakni audit penuh kepada semua Syarikat Penyumberan Luar.
Sejak Kerajaan meluluskan Lesen kepada Syarikat Penyumberan Luar pada tahun 2005, telah banyak kelulusan diberikan kepada kesemua Syarikat ini. Dan sejak dari itu juga, ‘rekod pekerja’ di dalam semua Syarikat ini tidak dikawalselia dengan baik (kawalselia seperti yang digariskan dalam kelulusan awal Sekretariat Penyumberan Luar), terutama selepas tiadanya Sekretariat Syarikat Penyumberan Luar pada 2006.
Dengan 277 syarikat, beroperasi tanpa kawalselia yang baik, kemungkinan ramai PATI yang telah ‘dilahirkan’ oleh Syarikat Penyumberan Luar ini tidak boleh dinafikan.
Selain dari itu, pada 2007, semasa Kementerian (ketika itu Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri), membenarkan kemasukan semula Pekerja Warga Bangladesh, kebanyakan Syarikat ini telah diberikan Kelulusan Khas untuk membawa masuk Pekerja tersebut.
Sebagai sebuah NGO Bebas-PATI, adalah wajar untuk PATREE bekerjasama dengan Agensi Kerajaan bagi memastikan PROGRAM TRANSFORMASI KERAJAAN terutama yang melibatkan Pekerja Asing dapat dicapai.
Kajian Semula ini, boleh diumpamakan seperti ‘pemutihan’ kepada Syarikat-syarikat berkenaan.
PATREE yakin bahawa JKKPA & PATI mungkin telah menyediakan garis panduan khusus untuk kajian semula peranan Syarikat ini, namun PATREE tetap merasakan bahawa factor banyaknya PATI yang dihasilkan oleh sesuatu Syarikat Penyumberan Luar, boleh dijadikan kriteria untuk dikenakan tindakan sekaligus membatalkan Lesen Syarikat berkenaan.
Matematiknya amat mudah iaitu : CONTOH
Bilangan Pekerja Keseluruhan (yg diluluskan)
1000
Bilangan keluar/pulang (check-out) secara SAH (TOLAK)
(200)
Bilangan Lari/Hilang (yang dilapurkan)
(TOLAK)
(100)
JUMLAH
700






Jika JUMLAH yang terhasil di atas, BERBEZA dengan JUMLAH yang MASIH SAH PERMIT (di dalam Rekod Jabatan Imigresen), maka setiap perbezaan itu, adalah jumlah PATI yang dihasilkan oleh Syarikat Penyumberan Luar berkenaan.
Jika ini diambilkira, tindakan tegas seperti mengenakan denda atau membatalkan Lesen Syarikat berkenaan amatlah WAJAR.
PATREE mengalu-alukan Langkah yang diumumkan dan Keputusan JKKPA & PATI untuk mewujudkan ‘Makmal Khas’ adalah bijak serta tepat pada masanya, di saat Kerajaan sedang tercari-cari kaedah sesuai membendung PATI dan lambakan Pekerja Asing.

‘1MALAYSIA Bebas-PATI’
PATREE Malaysia
Zul Azhar Cha
Presden

Mesyuarat Pertama Makmal Pekerja Asing Akan Diadakan Segera - Hishammuddin

PUTRAJAYA, 22 Feb (Bernama) -- Mesyuarat pertama makmal kajian pengambilan pekerja asing akan diadakan segera dengan melibatkan lapan kementerian, 15 agensi dan beberapa kerajaan negeri, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata kementeriannya akan menjadi sekretariat kepada mesyuarat tersebut yang akan turut disertai oleh pihak majikan dan syarikat penyumberan luar yang membekal tenaga pekerja asing.

"Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin di sini hari ini, telah menyatakan komitmen jawatankuasa tersebut untuk mengadakan kajian dan pendekatan menyeluruh mengenai urusan pengambilan pekerja asing," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat tersebut.

Ia dipengerusikan oleh Muhyiddin yang mengumumkan tentang penubuhan makmal tersebut. -- BERNAMA

Monday, February 22, 2010

Ambil tindakan tegas terhadap rakyat asing berniaga

PUTRAJAYA 22 Feb. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan tegas terhadap rakyat asing yang didapati menjalankan perniagaan.

Beliau turut memberi amaran akan mengenakan tindakan terhadap peniaga tempatan yang memajak atau menyewa lesen perniagaan mereka kepada rakyat asing kerana tindakan itu akan menjejaskan sumber pendapatan peniaga tempatan lain.


"Ini kerana ada maklumat yang diterima mengatakan rakyat asing mengambil tempat perniagaan rakyat tempatan di pasar malam, di pasar seperti di Chow Kit dan tempat-tempat lain di seluruh negara.

"Rakyat asing yang datang ke negara ini adalah untuk bekerja bukan berniaga, lebih-lebih lagi kalau mereka itu pendatang asing tanpa izin (PATI) lagilah tidak boleh,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pekerja Asing Tanpa Izin (PATI).

Beliau meminta PBT untuk bekerjasama dengan polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan perkara itu dapat dibanteras. - Utusan

Makmal khas ditubuhkan perkemas pengambilan pekerja asing: Muhyiddin

 
 TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah), hadir pada 
Mesyuarat Jawatankuasa Kebinet mengenai pekerja dan pendatang asing tanpa izin di 
Bangunan Putra, di Putrajaya, hari ini. Hadir sama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (kiri) serta Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri 
Datuk Mahmood Adam (kanan). - Foto Izhari Ariffin.

PUTRAJAYA, 22 Feb (Bernama) -- Kerajaan akan menubuhkan makmal bagi mengkaji pengurusan pengambilan pekerja asing termasuk peranan syarikat penyumberan luar yang membawa masuk pekerja ke negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata penubuhan makmal itu yang dipersetujui pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di sini Isnin, akan diterajui Kementerian Dalam Negeri dengan wakil daripada kementerian dan agensi yang berkaitan dan diberi masa dua bulan untuk memberikan maklum balas kepada kerajaan.

Katanya makmal tersebut akan mengkaji daripada segi dasar dan prosedur pengambilan pekerja asing, peranan syarikat penyumberan luar dan ejen pekerja asing, meneliti undang-undang sedia ada dan memberi cadangan mengenai langkah wajar yang perlu diambil agar pengambilan pekerja asing adalah mengikut keperluan.

"Kita mahu pastikan peraturan lebih ketat dikenakan. Ini bermakna, sesebuah syarikat yang mahukan pekerja, maka pihak kementerian akan meneliti sama ada permohonan untuk menambah pekerja itu wajar diluluskan.

"Makmal juga akan memperkemas sistem sedia ada bagi memantau dan memastikan kepulangan pekerja asing ke negara asal selepas tamat tempoh bekerja di negara ini mengikut waktu yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu Isnin.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam.

Muhyiddin berkata mengikut rekod Jabatan Imigresen, sehingga penghujung tahun lalu terdapat kira-kira 1.59 juta pekerja asing yang sah di negara ini berbanding 2.06 juta pada akhir tahun 2008.

"Penurunan sebanyak 470,000 orang itu berikutan situasi ekonomi pada tahun lalu menurun dan majikan mengambil langkah mengurangkan jumlah pekerja asing termasuk pekerja (ekspatriat) dari luar negara," katanya.

Beliau berkata keperluan untuk mengkaji semula peranan syarikat penyumberan luar dan ejen pekerja asing perlu dilakukan berikutan terdapat kesamaran dari segi status majikan.

"Mengikut situasi sekarang, syarikat penyumberan luar dianggap juga sebagai majikan. Bagi saya, ia tidak seharusnya begitu, majikan adalah syarikat yang memerlukan pekerja untuk menjalankan urusniaga mereka," katanya.

Muhyiddin berkata makmal itu akan meneliti peranan sebenar mereka bagi memastikan mereka bertanggungjawab menguruskan pengambilan dan membekalkan pekerja kepada syarikat yang memerlukannya.

"Ini kerana pada masa ini, tidak ada seorang pun majikan melanggar undang-undang dan majikan dibawa ke muka pengadilan kerana tidak melaksanakan peraturan yang sewajarnya berikutan ada kesamaran dari segi status majikan dan syarikat penyumberan luar".

Beliau berkata syarikat penyumberan luar yang tidak berfungsi dengan cekap dan tidak mematuhi peraturan akan menghadapi kemungkinan lesen mereka ditamatkan bagi memastikan syarikat yang berupaya sahaja dibenarkan menguruskan pengambilan pekerja asing.

"Kita minta agar kementerian yang berkenaan meneliti kembali kedudukan syarikat itu dari segi keupayaan sebenar, modal, sumber manusia, logistik untuk membawa masuk pekerja dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata pada masa ini terdapat kira-kira 277,000 syarikat penyumberan luar di negara ini dan hanya sebahagian daripadanya aktif.

Muhyiddin berkata kementerian yang diberi kuasa untuk menimbang dan meluluskan pekerja asing perlu berhati-hati bagi memastikan tidak wujud penyalahgunaan oleh pihak-pihak tertentu berikutan terdapat pekerja asing bekerja di sektor yang berbeza daripada dipohon majikan.

Katanya makmal itu juga akan meneliti penggunaan pekerja asing di barisan hadapan seperti pelayan di restoran hotel yang tidak memberikan gambaran sebenar daripada segi sektor pelancongan negara.

"Bidang seperti itu perlu memberi keutamaan kepada rakyat tempatan agar mereka boleh menunjukkan adat resam, budaya dan bahasa yang kita semua banggakan. Ini sebagai faktor jualan untuk Malaysia," katanya.

Muhyiddin berkata KDN juga diminta membuat kajian daripada segi kos bagi pengambilan pekerja asing daripada segi bayaran levi dan kos perubatan berbanding kos gaji dan imbuhan yang dibayar kepada pekerja tempatan kerana terdapat majikan yang cenderung menggaji pekerja asing.

Makmal juga akan mengkaji galakan dan insentif bagi syarikat tempatan yang mengambil pekerja tempatan sebagai dorongan kepada pihak terbabit mengambil langkah sedemikian, katanya.

Beliau menjelaskan keputusan yang akan diambil kelak daripada cadangan yang akan dikemukakan oleh makmal itu akan mengambil kira pelbagai aspek seperti situasi semasa, pihak yang berkepentingan bagi memastikan ia tidak menjejaskan ekonomi negara. -- BERNAMA

Papua New Guinea, Myanmar Dan Timor Leste Sumber Baru Pembantu Rumah ?

Oleh Syed Azwan Syed Ali

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (PAPA) mencadangkan pembantu rumah dari Papua New Guinea, Myanmar dan Timor Leste dibawa masuk ke negara ini bagi memenuhi permintaan semasa majikan yang semakin meningkat.

Presidennya, Alwi Bavutty berkata langkah itu bertujuan mempelbagaikan negara sumber pembantu rumah dan mengurangkan kebergantungan kepada beberapa negara termasuk Indonesia, Kemboja serta Filipina.

"Kita cadangkan perkara ini kepada Kementerian Sumber Manusia. Terdapat permintaan yang tinggi tetapi jumlah pembantu rumah sebenarnya masih tidak cukup," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Isnin.

Beliau mengulas mengenai perkembangan semasa sektor itu pada ketika ini.

Alwi berkata ekoran tindakan pembekuan pembantu rumah dari Indonesia sejak pertengahan tahun lepas, PAPA membawa masuk pembantu rumah dari Kemboja dan Filipina bagi memenuhi permintaan majikan.

"Terdapat limitasi dalam perkara ini terutama peruntukan undang-undang yang tidak membenarkan majikan Islam mengambil pembantu rumah bukan beragama Islam," katanya.

Semalam selepas melancarkan buku Garis panduan Penggajian Pembantu Rumah Asing, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam berkata Malaysia dan Indonesia masih berbincang untuk mencari "jalan tengah" bagi menyelesaikan isu gaji pembantu rumah selepas perbincangan sebelum ini menemui jalan buntu.

Indonesia mencadangkan untuk menetapkan gaji minimum RM800, manakala Malaysia tetap berpendirian gaji perlu berdasarkan pasaran selain perbincangan antara majikan dan pembantu rumah terbabit.

Menyokong keputusan gaji berasaskan faktor pasaran, Alwi berkata penetapan gaji perlu menguntungkan kedua-dua pihak, majikan dan pembantu rumah, dan berdasarkan kualiti perkhidmatan dan juga kelayakan pendidikan pembantu rumah terbabit.

"Secara purata gaji pembantu rumah ialah RM500 ke atas. Namun jika pembantu rumah mempunyai kualiti kerja yang baik, majikan boleh menimbangkan gaji lebih tinggi," kata Alwi.

Subramaniam semalam mengumumkan, bermula bulan depan, semua pembantu rumah asing yang baru dan majikan mereka diwajibkan mengikuti seminar bagi memberi pendedahan tentang hak dan tanggungjawab mereka.

Dalam seminar itu, setiap pembantu rumah akan diberikan buku Garis Panduan Penggajian Pembantu Rumah Asing yang akan menjelaskan mengenai tanggungjawab majikan, agensi pekerja dan perkara lain yang berkaitan.

Menyambut positif penganjuran seminar bertujuan menambahbaik kualiti pembantu rumah itu, Pengerusi Persatuan Bocehe Dewe, Ambar Setiowibowo mahu penekanan diberikan terhadap hak pihak terbabit dan undang-undang berkaitan dalam seminar itu.

"Harus juga ada bantuan daripada kedua-dua pemerintah bagi menyelesaikan isu berbangkit seperti masalah gaji, penderaan dan pelanggaran hukum supaya tidak berterusan," kata pengerusi kepada persatuan yang dianggotai lebih 32,000 pekerja Indonesia dalam pelbagai sektor di Malaysia itu.

Mengenai keputusan tiada penetapan gaji minimum, Ambar berkata," kena ada persefahaman antara majikan dan pembantu rumah. Jika pembantu rumah itu kualitasnya baik, mungkin gaji lebih boleh pertimbangkan."

Ketika ini, terdapat lebih 200,000 pembantu rumah asing bekerja di negara ini dengan purata kira-kira 2,000 pembantu rumah baru dibawa masuk pada setiap bulan. -- BERNAMA

Jangan swastakan kursus pembantu rumah: MTUC

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini meminta kerajaan agar tidak menswastakan kursus 'menyesuaikan diri' bagi majikan dan pembantu rumah warga asing kerana langkah itu boleh membebankan pekerja.

"Entiti swasta akan mengenakan kos kepada majikan dan majikan akan mengenakannya kepada pekerja mereka," kata Setiausaha Agungnya, G Rajasegaran.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam bahawa mulai bulan depan semua majikan dan pembantu rumah warga asing mereka diwajibkan menghadiri kursus separuh hari itu bertujuan meningkatkan perhubungan dan persefahaman antara majikan dan pekerja.


“Kursus itu sepatutnya dijalankan oleh pegawai tenaga kerja dan secara percuma. Apa juga kos yang ada patut ditanggung kerajaan yang boleh menggunakan sebahagian daripada levi yang dibayar pekerja asing berkenaan," katanya.

Rajasegaran berkata MTUC juga kecewa kerana menteri berkenaan tidak menyentuh mengenai aspek kontrak dalam perhubungan antara majikan dan pekerja.

“Kami sedang berusaha mendapatkan kontrak yang terikat dengan undang-undang, justeru kalau ada permasalahan pihak terbabit akan termaktub di bawah kontrak berkenaan.

"Apa yang diperkenalkan kerajaan hanya peraturan yang tidak mempunyai impak perundangan dan sukar untuk dilaksana," katanya.

MTUC juga kesal kerana cadangan pembantu rumah diberi cuti sehari dalam seminggu seperti yang dipersetujui tahun lalu tidak dilaksanakan.

Beliau berharap kerajaan akan menunjukkan komitmen yang lebih dalam menjaga kepentingan pembantu rumah di negara ini.

Sementara itu difahamkan Kedutaan Indonesia di sini telah mewajibkan semua majikan menandatangani kontrak dengan pekerja mereka sebelum boleh memperbaharui pasport pembantu rumah masing-masing.

Kontrak itu meletakkan gaji minimum RM600 sebulan bersama beberapa syarat lain bagi memastikan layanan yang wajar terhadap pembantu rumah mereka. - Berita Harian

Sunday, February 21, 2010

Pembantu Rumah, Majikan Wajib Hadir Seminar Mulai Bulan Depan

KUALA LUMPUR: Bermula bulan depan, semua pembantu rumah asing yang baru masuk ke negara ini dan majikan mereka diwajibkan menghadiri satu seminar bagi memberi pendedahan tentang hak dan tanggungjawab mereka.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata seminar itu diharapkan dapat mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini seperti kes penderaan dan kecurian di kalangan pembantu rumah asing.

"Diharap melalui program ini, kes-kes seperti penderaan, seksaan akan dikurangkan. Pada masa yang sama ia juga boleh mewujudkan golongan pembantu rumah yang bertanggungjawab, bilangan yang melarikan diri dan terlibat dalam insiden kecurian akan kurang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Buku Garis Panduan Penggajian Pembantu Rumah Asing di sini hari ini.

Beliau berkata seminar separuh hari yang dinamakan Seminar dan Sesi Dialog Pembantu Rumah Asing anjuran kementerian menerusi Jabatan Tenaga Kerja (JTK)yang akan diadakan di seluruh negara itu wajib dihadiri oleh pembantu rumah dalam tempoh enam bulan selepas kemasukan mereka ke negara ini, bermula tahun ini.

"Kita akan dapatkan senarai mereka yang dapat pas masuk daripada Jabatan Imigresen dan guna senarai itu untuk minta pekerja dan majikan hadiri kursus (seminar) ini," katanya.

Subramaniam berkata selain itu, agensi pekerjaan yang bertanggungjawab membawa masuk pekerja asing ini juga akan diwajibkan menghadiri seminar itu supaya mereka dapat memainkan peranan yang lebih positif.

"Agensi pekerjaan pun diminta hadir untuk pastikan mereka juga mainkan peranan positif dan bertanggungjawab, ini kerana kadang-kadang ada aduan terhadap agensi oleh majikan," katanya.

 Beliau berkata buku Garis Panduan Penggajian Pembantu Rumah Asing juga akan diberi kepada pembantu rumah ketika seminar tersebut yang menerangkan mengenai tanggungjawab majikan, agensi pekerja dan perkara-perkara yang perlu dimasukkan dalam kontrak perkhidmatan mereka.

"Buku ini mengandungi beberapa kandungan, salah satunya ia menerangkan peranan agensi kerajaan seperti Jabatan Imigresen, JTK dan polis serta bagaimana menangani isu-isu salah laku, selain mengandungi talian hotline, laman web dan alamat jabatan-jabatan kerajaan untuk memudahkan mereka membuat aduan," katanya.

Sementara itu, Subramaniam berkata Malaysia dan Indonesia kini berbincang untuk mencari " jalan tengah" bagi menyelesaikan isu gaji pembantu rumah selepas perbincangan sebelum ini menemui jalan buntu.

Malaysia mempertahankan pendirian bahawa gaji perlu berdasarkan faktor pasaran selain perbincangan antara majikan dan pembantu rumah manakala Indonesia mencadangkan untuk menetapkan gaji minimum RM800.

Subramaniam berkata kedua-dua negara negara mahu menyelesaikan perkara itu secepat mungkin.
"Isu kini ialah kita letakkan beberapa syarat, mereka letakkan beberapa syarat, jadi kami akan mencari jalan tengah yang kita boleh mendapat persefahaman.

"Ada keinginan daripada kedua-dua pihak supaya ia diselesaikan. Saya sudah bertemu dengan pegawai-pegawai Kedutaan Indonesia dan mereka mahu menyelesaikannya secepat mungkin, kami juga mahukan perkara yang sama," katanya. - mStar online

Maids and their employers must attend half-day course

KUALA LUMPUR: From next month, all new foreign maids and their employers must attend a half-day course aimed at improving working relations between them.

 The course that is being organised by the Human Resource Ministry is also aimed at reducing the number of runaway maids and physical abuse by employers.

Human Resource Minister Datuk Dr S Subramaniam said the maids will attend the course within six months of employment.

He said the ministry found most Malaysian employers to be responsible and supportive but “there is this one per cent who tarnish the country’s image”.

At present, there are some 216,000 foreign maids in Malaysia with some 2,000 new maids entering the country every month.

Subramaniam, who was speaking after launching a 30-page booklet on foreign maids here yesterday, said the ministry was also hoping to engage the maid employment agencies to do more than just to bring the maids to their employer.

“We want them to act as a middle person and look into the management of the employer and the maid. They should also be able to counsel both the parties,” he said.

At present, the agency is obliged to replace a maid if the employer finds the helper unsuitable or to replace a runaway maid.

The course, which will be held during weekends, will also look into the contract’s terms and conditions for salaries, working conditions, tips and how to end a contract.

Those attending the course will also receive the book of guidelines with hotline numbers, government address and phone numbers.

Officials from the maid agencies, police, Immigration and Labour department will also attend the course to know more about their role in issuing permits and to look into enforcement issues.

Asked if the ministry agrees with the recent call by Indonesia for a minimum payment of RM800 a month for an Indonesian maid, Subramaniam said the ministry has rejected the demand.

“Our stand is clear. We will allow the market to decide on the pay because if we allow one country to decide on the pay, we will also have to entertain others,” he added.

The majority of maids working here from Indonesia, followed by maids from Philippines, Cambodia, India, Pakistan, Nepal and Myanmar. - NST

Polis patah cubaan seludup warga Afghanistan ke Australia

KUALA LUMPUR: Polis berjaya mematahkan cubaan menyeludup manusia apabila menahan 21 warga Afghanistan yang dipercayai membayar AS$1,300 (RM4,420) setiap seorang untuk masuk secara haram ke Australia menerusi negara ini menggunakan bot.

Semua warga Afghanistan serta seorang juragan bot ditahan untuk disoal siasat selepas serbuan di kuala sungai di kawasan tengah Selangor, Rabu lalu.

Perkara itu dinyatakan seorang pegawai polis tetapi enggan menyebut namanya.

Tangkapan dibuat apabila penduduk kampung memberi maklumat kepada polis mengenai kehadiran warga asing yang mencurigakan di kuala sungai berkenaan.

Warga Afghanistan berkenaan yang tiba di negara ini baru-baru ini, kebanyakannya tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Polis masih menjalankan operasi memburu beberapa lagi rakan mereka yang dipercayai melarikan diri.
Juragan bot berkenaan kini ditahan untuk siasatan mengikut kesalahan memperdagangkan manusia yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun. - Berita Harian

Ops Sapu: 41 pendatang tanpa izin kena tangkap

JOHOR BAHRU: Seramai 41 pendatang asing tanpa izin ditahan Jabatan Imigresen Johor dalam lima serbuan menerusi operasi Ops Sapu yang dijalankan di sekitar Kulaijaya dan Tampoi, di sini awal pagi semalam.

Penolong Pengarah Imigresen Johor, Masri Adol, berkata ketika serbuan, kebanyakan warga asing sedang asyik bekerja dan ada antara mereka leka menunggu majikan masing-masing tiba.

Beliau berkata, seorang daripada mereka iaitu lelaki warga Indonesia berusia 30-an sempat memegang pisau dan seolah-olah bersedia untuk melawan dan mempertahankan dirinya, daripada dicekup pihak berkuasa itu ketika serbuan di Pasar Awam Kulai di sini, kira-kira jam jam 5.45 pagi.

Bagaimanapun, katanya apabila ditegur anggota penguat kuasa berkenaan, badan lelaki itu mulai berpeluh dan menggeletar serta wajah bertukar menjadi pucat lesi.

"Melihat keadaan suspek, anggota Imigresen terus merampas pisau dan menjalankan pemeriksaan ke tubuhnya sebelum mendapati lelaki ini tidak mempunyai sebarang pas kerja atau dokumen perjalanan yang sah.

"Lelaki ini ditahan bagi siasatan lanjut bersama 15 warga asing dipercayai menjadi pekerja am di pasar itu secara haram termasuk warga India, Vietnam, Bangladesh dan Indonesia," katanya.

Masri menyatakan keadaan turut menjadi kecoh seketika apabila ada antara majikan bersikap lepas tangan dengan menafikan warga asing terbabit pekerja mereka walaupun pekerja mengakui menerima upah daripada mereka.

"Berikutan itu, kami sudah mengeluarkan arahan kepada majikan ini supaya hadir ke Ibu Pejabat Imigresen pada Isnin ini (esok) bagi siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, terdahulu, pihaknya menyerbu dua unit rumah di Blok 18, Taman Cempaka Tampoi, di sini yang dipercayai dijadikan tempat tinggal sementara oleh 24 warga asing.

Menerusi serbuan di kediaman terbabit, pihaknya menahan 22 wanita dewasa warga Indonesia, seorang wanita warga India dan seorang lelaki warga Bangladesh.

"Dua lagi warga asing ditahan menerusi serbuan di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu, di sini, selepas didapati tidak miliki dokumen perjalanan sah," katanya.

"Semua 41 warga asing yang ditahan kini direman kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002), serta Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963 iaitu tinggal lebih masa, tidak memiliki dokumen yang sah dan melanggar syarat pas, sebelum dibawa ke depoh Tahanan Imigresen Pekan Nenas bagi siasatan lanjut," katanya. - Berita Harian

Tujuh warga Indonesia diberkas

MUAR 20 Feb. - Kecekapan polis berjaya menumpaskan satu kumpulan samun pekerja asing dengan penahanan tujuh lelaki warga Indonesia dalam beberapa serbuan di sekitar Bakri di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd. Nasir Ramli berkata, kesemua mereka yang berusia 20-an hingga 30-an itu disyaki terlibat dalam lima kes samun sejak akhir tahun lalu.

Beliau berkata, Isnin lalu, 100 pekerja di sebuah asrama di Bukit Pasir, Isnin lalu, kerugian kira-kira RM3,000 setelah disamun oleh kumpulan itu.

"Operasi yang dinamakan Ops Rantau Perabot Bakri ini dijalankan dari pukul 12.30 tengah malam hingga 4.30 pagi bermula dengan penangkapan dua suspek di sebuah rumah di Bakri sebelum lima lagi ditahan di lokasi berasingan.

"Hasil pemeriksaan mendapati enam daripada suspek itu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan seorang lagi permit kerja tamat tempoh," katanya pada sidang akhbar di sini.

Mohd. Nasir berkata, penahanan suspek terbabit turut membawa kepada penemuan empat parang panjang, masing-masing satu topeng muka dan sapu tangan yang digunakan dalam jenayah berkenaan.

Menurutnya, antara hasil rampasan dalam operasi itu adalah enam telefon bimbit, sebuah radio, sebuah pemain cakera video digital (DVD) dan wang tunai Bangladesh 40 Taka.

"Modus operandi kumpulan itu adalah dengan melakukan samun pada waktu malam dan kemudian menghilangkan diri di kawasan belukar tanpa menggunakan sebarang kenderaan.

"Mereka menyasarkan asrama pekerja asing warga Bangladesh dan Nepal selain orang perseorangan di tepi jalan di sekitar Bakri," katanya sambil memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, polis percaya dapat menyelesaikan 15 kes ragut dengan tertangkapnya dua beradik dan seorang wanita di sini Selasa lalu.

"Dua lelaki itu masing-masing berusia 24 dan 27 tahun dan wanita yang berumur 31 tahun itu merupakan teman wanita salah seorang mereka," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek yang berasal dari Tangkak turut positif dadah dan pihaknya juga menemui sejumlah barangan kemas yang telah dilebur. - Utusan

GRO China pura-pura 'gila' ketika diserbu


SEBAHAGIAN 13 GRO yang dipercayai warga asing ditahan dalam serbuan di sebuah pusat karaoke di Persiaran Gurney, pulau pinang,semalam.


PULAU PINANG 20 Feb. - Pelbagai taktik digunakan oleh warga asing apabila diserbu pihak berkuasa, namun kejadian di Pesiaran Gurney di sini, malam tadi berlainan sama sekali.

Apa tidaknya, seorang wanita rakyat China yang disyaki bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) di sebuah pusat karaoke tiba-tiba menjadi 'gila' apabila premis itu diserbu polis.

Malah dalam serbuan pada pukul 12.15 tengah malam itu, wanita yang berusia 20-an itu cuba mencederakan dirinya dengan menghentak kepalanya beberapa kali ke dinding kaca.

Suspek juga melemparkan kata-kata kesat kepada sekumpulan wakil media yang membuat liputan dalam operasi itu.

Difahamkan, suspek pernah ditahan sebelum ini kerana terlibat dalam kegiatan tidak bermoral.

Suspek adalah antara 13 wanita rakyat asing dari China termasuk seorang rakyat Uzbekistan yang ditahan kerana menyalahgunakan pas pelawat mereka.

Semua mereka berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun itu dipercayai bekerja sebagai GRO di premis yang baru mendapat kelulusan lesen perniagaan tiga hari lalu.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas sejumlah pil ekstasi dan Eramin 5 di beberapa bilik di pusat tersebut dan menahan empat pengunjung setelah positif dadah.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nasir Salleh berkata, pihaknya melakukan serbuan di premis itu hasil maklumat daripada orang awam.

"Siasatan sedang giat dijalankan termasuk untuk memastikan sama ada wanita-wanita itu bekerja sebagai GRO di sini dan menggunakan pasport palsu untuk memasuki negara ini.

"Kita juga akan meminta kerjasama Kedutaan China dan pihak Imigresen dalam siasatan itu nanti," katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai operasi tersebut di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Lesen Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Rafiah Mohd. Radzi berkata, pihaknya difahamkan lesen pusat hiburan tersebut telah diluluskan tetapi belum dikeluarkan kepada operator premis terbabit.

Ekoran kejadian itu, beliau berkata, pihaknya terpaksa menyemak semula permohonan lesen berkenaan berikutan penemuan sejumlah dadah. - Utusan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...