Saturday, February 20, 2010

Undang-undang tegas elak lambakan warga asing

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Lambakan warga asing boleh menyebabkan kecelaruan budaya di kalangan masyarakat majmuk di negara ini dan perlu dikawal melalui penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menegaskan, tindakan sebilangan pendatang asing yang terus menetap di Malaysia tanpa dokumen sah boleh membawa bersama budaya yang menjejaskan kehidupan rakyat tempatan.

"Kehadiran berjuta-juta pendatang asing membawa bersama cara hidup mereka dan boleh menyebabkan taraf kehidupan rakyat Malaysia menurun.

"Ini berikutan ada pendatang yang membawa nilai atau cara hidup yang tidak sesuai dengan keperluan dan tata susila sosial di sini. Mereka juga akan berkembang biak (bersama budaya dan cara hidup yang dibawa)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang kesan kebanjiran warga asing terhadap budaya rakyat Malaysia selepas melancarkan logo teater Kita - The Musical di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani.

Tegasnya, jika undang-undang negara dikuatkuasakan sebaik mungkin dan dipatuhi warga asing, mereka terpaksa pulang ke negara asal selepas satu tempoh tertentu.

Rais berkata, tanpa lambakan warga asing terutama yang masuk secara haram, masalah kecelaruan budaya tidak akan timbul. - Utusan

Muntik Tidak Dibawa Ke Zon Merah Kerana Masih Sedar Walaupun Tenat

SHAH ALAM, 19 Feb (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat diberitahu pembantu rumah warga Indonesia, Muntik Bani yang meninggal dunia kerana didera, tidak dimasukkan terus ke wad kecemasan zon merah (zon kritikal) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang kerana mangsa masih sedar, boleh bercakap dan bernafas dengan normal walaupun dalam keadaan tenat.

Pembantu pegawai perubatan Mohd Azhan Abdul Wahab, 29, yang bertugas di Jabatan Kecemasan HTAR, berkata sebaliknya beliau dan seorang lagi pembantu pegawai perubatan Muhamad Sahid Abdul Karim (saksi pendakwaan) yang membawa Muntik ke hospital menaiki ambulans, menghantar mangsa ke wad kecemasan zon kuning (zon separa kritikal) bagi mendapatkan rawatan.

"Ketika pesakit (Muntik) sampai di hospital, saya lihat pesakit sudah diberi rawatan awal dengan adanya surgical collar untuk menyokong leher dan spinal board untuk menyokong tulang belakang. Muhamad Sahid maklumkan kepada saya supaya pesakit (Muntik) dimasukkan ke zon kuning.

"Pesakit (Muntik) dibawa ke zon kuning dengan cermat dan berhati-hati dan tiba di sana (zon kuning) Dr M.Shujatha (saksi ke-39 pendakwaan) terus memberikan rawatan kepada pesakit," katanya menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar pada perbicaraan kes penjual air tebu, A.Murugan yang didakwa membunuh Muntik, 40.

Tertuduh, 35, didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di No.11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Okt tahun lepas dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Muntik, dari Surabaya, meninggal dunia di HTAR pada 26 Okt lalu setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan.

Mohd Azhan yang juga saksi ke-44 pendakwaan seterusnya berkata selain melihat Muntik berada dalam keadaan tenat, beliau juga ternampak kesan lebam di kedua-dua belah mata mangsa.

"Setelah membawa pesakit (Muntik) ke zon kuning, saya kemudian mendaftarkan pesakit itu bawah kategori kes serangan setelah dimaklumkan oleh Muhamad Sahid," katanya.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa bersambung 1 Mac depan. -- BERNAMA

Friday, February 19, 2010

25,000 kerja kosong, 60 pemohon


PEKERJA asing menjadi pilihan pengusaha restoran mamak disebabkan sikap 
rakyat tempatan yang memilih kerja. - Gambar Hiasan.


KUALA LUMPUR - Rakyat tempatan tidak sepatutnya menyalahkan pengusaha restoran mamak jika mereka terpaksa menggaji ramai warga asing untuk bekerja di situ.

Ini kerana daripada 25,000 tawaran kerja kosong yang diiklankan oleh rangkaian restoran mamak yang menjadi ahli Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), hanya kira-kira 60 rakyat tempahan mengemukakan permohonan.

Presiden Presma, Noorul Hassan Saul Hameed berkata, jumlah permohonan yang amat rendah itu diperoleh selepas tiga minggu kekosongan itu diiklankan dalam media massa.

"Kita telah adakan pameran bergerak di seluruh negara dan kami juga telah membuat kempen iklan dalam media.

"Namun sambutannya mengecewakan kerana hanya 60 permohonan diterima, itupun hanya melalui panggilan telefon,'' katanya sewaktu ditemui pemberita pada majlis dialog Presma bersama ahli-ahlinya di sini semalam. - Utusan

Spa mewah di Pudu diserbu, 12 pelacur ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menyerbu sebuah spa mewah dan menahan 12 wanita warganegara asing yang dipercayai menawarkan khidmat seks di sebuah pangsapuri servis di Pudu di sini awal pagi ini.

Dalam serbuan jam 1 pagi oleh Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Kuala Lumpur itu, wanita terbabit sedang menanti pelanggan untuk memberikan khidmat seks dalam premis berkenaan.

Pegawai Turus D7 Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, DSP Razali Abu Samah, berkata wanita yang ditahan berumur dalam lingkungan 20-an hingga 30-an dan terdiri daripada lima orang warga Thailand, empat warga Indonesia dan tiga warga China.

"Semua pelacur terbabit ditahan ketika menyembunyikan diri di tiga bilik berasingan di premis tersebut dan mereka dipercayai sedang bersiap sedia untuk dibawa menemui pelanggan," katanya ketika dihubungi di sini.

Katanya, pengurus spa berkenaan yang berumur 34 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua wanita berkenaan datang ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial.

"Semua mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana kesalahan menawarkan perkhidmatan seks," katanya. - Berita Harian

Dua anggota Imigresen jatuh bumbung kejar pendatang

KUALA LUMPUR: Dua anggota Jabatan Imigresen cedera terjatuh dari bumbung ketika cuba menahan dua pendatang asing tanpa izin warga Indonesia yang mahu melarikan diri dengan meniti titi sebatang kayu daripada bumbung rumah sewa mereka ke rumah lain.

Ketua Unit Tindakan Imigresen Putrajaya, Mohd Azmi Mohd Isa, berkata ia berlaku kira-kira 1 pagi ini ketika mereka membuat operasi di Kampung Pasir Pantai, di sini.

Katanya, kedua-dua lelaki itu bertindak demikian setelah dua jam duduk di atas bumbung rumah tersebut apabila gagal melarikan diri setelah dikepung.

Mohd Azmi berkata, setelah usaha memujuk kedua-dua lelaki itu gagal, dua anggota Imigresen cuba untuk naik ke bumbung tetapi pendatang asing itu cuba melarikan diri dengan meniti titi kayu itu.

"Dua orang pegawai Imigresen cedera setelah jatuh dari bumbung. Bagaimanapun, mereka hanya cedera ringan," katanya ketika dihubungi.

Kedua-dua lelaki itu akhirnya dapat ditangkap bersama tujuh lagi pendatang wanita dari Indonesia yang semuanya berumur dalam lingkungan 30an.

Mohd Azmi berkata, selain Kampung Pasir Pantai, Imigresen turut membuat operasi di sekitar Bukit Kemuning, Shah Alam kira-kira jam 3.30 pagi dan menahan 10 warga Indonesia, termasuk lima wanita yang tiada dokumen perjalanan yang sah.

Mereka kini ditahan di Depot Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 6(3)Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imegresen 1956/63 kerana tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah. - Berita Harian

Hantar balik PATI secepat mungkin

PUTRAJAYA 18 Feb. – Jabatan Imigresen akan memastikan 47,310 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dikenal pasti berada dalam negara perlu dihantar balik secepat mungkin bagi mengelak menimbulkan kebimbangan rakyat negara ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, ia sekali gus mengatasi masalah lambakan warga asing sedia ada daripada kalangan 1.6 juta mereka yang bekerja secara sah.

‘‘PATI yang dikenal pasti ini adalah mereka yang melakukan kesalahan tinggal melebihi tempoh masa, tidak mempunyai dokumen perjalanan, memiliki dokumen palsu dan menyalahgunakan pas lawatan.

‘‘Mereka ditangkap sepanjang tahun lalu menerusi operasi penguatkuasaan di seluruh negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, seramai 45,925 PATI telah pun dihantar pulang ke negara asal masing-masing mengikut rekod sehingga 31 Disember tahun lalu.

‘‘Pengusiran PATI ke negara asal terpaksa mengambil masa terlalu lama atau singkat bergantung kepada pengurusan sesebuah negara.

‘‘Sehingga kini masih terdapat 7,812 PATI di 13 depot seluruh negara sementara menunggu untuk dihantar pulang,” katanya.

Abdul Rahman berkata, operasi memburu PATI akan terus diperhebatkan selaras dengan usaha kerajaan membanteras PATI dan membendung kegiatan jenayah.

‘‘Kita telah pun mendakwa 23,644 PATI atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen, Akta Pasport dan Peraturan-Peraturan Imigresen.

‘‘Sebanyak RM40.4 juta kompaun pula telah berjaya dikutip,” katanya. - Utusan

Pendedahan mengejutkan PATI

Lambakan warga asing ada di mana-mana. Ia bukan luar biasa tetapi sudah semakin biasa.Isunya kenapa kehadiran warga asing ini semakin berleluasa. Adakah mereka datang ke negara ini secara sah atau masuk sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI).

Mungkinkah tiada sekatan ke atas mereka, atau pun istilah 'sindrom selamat' yang dilabelkan warga asing mengenai Malaysia telah menjadikan golongan itu terus tertawan untuk mendiami negara hebat ini.

Operasi yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Negeri Sembilan baru-baru ini menunjukkan, dalam tempoh tiga jam sahaja seramai 114 orang PATI telah ditahan dan mereka juga adalah warga asing yang tidak diundang.

Mereka ditahan mengikut Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tidak memiliki dokumen sah memasuki negara ini, selain Seksyen 15(4) akta yang sama iaitu tinggal lebih masa serta Seksyen 56(1)(l) akta sama kerana memiliki permit palsu.

Fenomena warga asing sama ada yang mempunyai permit sah atau PATI bukan sahaja dibimbangi di Kuala Lumpur tetapi juga di sekitar bandar ini.

Kawasan tumpuan seperti stesen bas dan pusat membeli belah Terminal 1, KM Plaza, Taman Tuanku Ja'afar (TTJ), Dataran Senawang, pusat industri di Sungai Gadut, Seremban Selatan, Nilai, pekan Tampin dan pusat hiburan di bandar ini.

Antara warga asing yang paling ramai di bandar ini ialah dari Indonesia, India, Nepal, Afrika, Kemboja, Myanmar, Vietnam, Pakistan, Bangladesh dan China.

Dalam konteks ini, pihak berkuasa seperti imigresen, polis dan Angkatan Relawan Rakyat (Rela) telah melaksanakan pelbagai operasi mengekang kebanjiran PATI dan memeriksa ketulenan pas masuk warga asing ke negara ini.

Ini semua bertujuan memastikan mereka yang berada dalam negara ini benar-benar kumpulan yang layak dan mendapat 'lampu hijau' dari kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun, pendedahan yang dibuat oleh PATI ketika ditemui baru-baru ini dalam Ops Kutip di sini cukup menggemparkan apabila membongkar modus operandi memasuki negara ini.

Kata PATI itu, mereka menceroboh masuk ke Malaysia melalui sempadan jalan darat atau sungai selepas menyelinap masuk ke negara jiran seperti Thailand dan wilayah yang mempunyai kepulauan kecil.

PATI itu juga memasuki negara melalui perairan selepas menaiki kapal dan berlabuh di pesisir pantai sebelum berenang masuk ke negara ini ketika malam, subuh dan senja.

Satu lagi fenomena biasa yang dilakukan oleh PATI ialah memasuki Malaysia sebagai pelancong di pintu masuk negara tetapi bertekad tinggal di negara ini secara sembunyi tanpa mempunyai visa dan lebih masa.

Lebih mengejutkan, golongan PATI lebih berani apabila mengadakan hubungan cinta dan berkahwin dengan rakyat Malaysia untuk mendapatkan 'kelebihan' berada di Malaysia.

Apa yang didedahkan itu merupakan satu kebimbangan dan boleh menyebabkan keselamatan negara terancam.

Kes jenayah membabitkan warga asing juga kian meningkat khususnya rompakan, pembunuhan dan rogol, selain pelacur, pegawai perhubungan pelanggan (GRO), pekerja rumah urut dan pondan.

Selain itu, faktor kesihatan yang melibatkan PATI juga meningkat biarpun warga negara asing yang datang ke negara ini secara sah diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan.

Ramai PATI yang menceroboh masuk ke negara ini datang dari kawasan mundur di negara asal mereka mengakibatkan merebaknya penyakit seperti AIDS, tibi dan penyakit kelamin.

Maka, sebagai rakyat Malaysia, kita menghormati kehadiran warga asing yang sah ke negara ini tetapi mereka hendaklah menghormati budaya masyarakat di sini.

Fenomena selesa warga asing dan PATI ini yang tidak menghormati undang-undang negara wajar disingkir kerana rakyat Malaysia hanya menerima mereka yang tahu adab dan kehidupan bersopan sebagaimana rakyat di negara ini cintakan keamanan dan keharmonian. - Utusan

Tak tahan diusik Awang Hitam

KUALA LUMPUR: “Penduduk terutama gadis tempatan sering diraba dan diganggu terutama ketika pulang bekerja waktu malam.

“Rakan saya, baru-baru ini terpaksa berhenti kerja kerana tidak tahan asyik dikacau sekumpulan Awang Hitam,” kata seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Leya.

Leya, 20-an, berkata isu kebanjiran warga asing terutama dari Afrika semakin meruncing apabila kondominium berhadapan Stadium Bukit Jalil di sini menjadi tumpuan penempatan kumpulan berkenaan yang mengancam keselamatan penduduk terutama wanita tempatan.

“Saya sering diganggu, mujur tidak diperkosa beramai-ramai kerana pada ketika itu mereka mabuk. 

Walaupun tangan saya dikasari mereka, tetapi dapat ditepis dan melarikan diri.

“Kami takut untuk membuat laporan polis, bimbang diperhatikan atau dikesan.

“Menakutkan kerana mereka menjadikan kaki lima kondominium serta bawah blok sebagai tempat lepak untuk mabuk beramai-ramai dan pantang melihat gadis lalu terutama yang keseorangan pasti akan diganggu atau diraba,” katanya ketika ditemui Harian Metro di kondominium berkenaan di sini, semalam.

Tinjauan Harian Metro mendapati kawasan kondominium berkenaan majoritinya dihuni warga asing berkulit hitam serta Arab dan mereka akan bersiul ke arah gadis yang didapati berseorangan.

Bagaimanapun, berdasarkan aduan penduduk sekitar, warga asing itu ‘aktif’ pada waktu malam dan akan berjalan secara berkumpulan berbanding pada siang hari yang kebanyakan mereka bergerak secara solo.

Seorang lagi penduduk yang juga mahu dikenali sebagai Dayah, 28, berkata disebabkan tugasan kerja yang sering menghalangnya pulang pada siang hari, dia sering bertembung warga asing berkenaan dan menjadi mangsa gangguan.

“Saya takut pulang pada waktu malam tetapi apakan daya kerana disebabkan tugas saya terpaksa menempuh kawasan mereka terutama ketika ingin menaiki lif,” katanya. - Harian Metro

Saluran bantu pekerja, majikan

PUTRAJAYA: Majikan kepada pembantu rumah dan pekerja asing yang teraniaya, kini mempunyai saluran khas mendapatkan khidmat nasihat bagi menyelesaikan masalah supaya semua pihak berkaitan diberikan perlindungan sewajarnya.

Usaha penyelesaian itu muncul selepas penubuhan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali Pertubuhan Malaysia Bebas-Pati (Patree) sejak tahun lalu yang bermatlamat melindungi majikan khususnya kepada pembantu rumah dan pekerja asing teraniaya yang bekerja di negara ini.

Presidennya, Zul Azhar Cha, berkata sebelum ini, majikan atau pekerja teraniaya tidak mempunyai tempat khas untuk mengadu sehingga kebanyakan mereka terpaksa menanggung kerugian akibat tindakan tidak bertanggungjawab agensi dan ejen mengambil pekerja asing.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan kerajaan dan mana-mana agensi terbabit bagi membantu menangani masalah membabitkan pekerja asing di Malaysia.

“Usaha ini bagi mengelakkan kejadian seperti pembantu rumah didera, majikan ditipu dan pembantu rumah lari meninggalkan majikan tidak terus berleluasa.

“Jika ada kes pekerja asing yang dibawa masuk ke negara ini tidak mendapat pekerjaan yang dijanjikan, mereka boleh membuat aduan bagi memastikan gejala seumpama ini tidak berlaku pada masa depan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, semalam.



Zul Azhar berkata, beliau tidak mahu isu pekerja asing tidur di bawah jambatan, pembantu rumah didera, majikan ditipu terus berleluasa. Beliau berkata, pihaknya akan memastikan gejala itu tidak berlarutan kerana ia akan merosakkan nama baik Malaysia di kalangan pembekal pekerja asing termasuk Indonesia, Bangladesh dan India. “Sekiranya negara ini menghentikan pembekalan tenaga kerja asing ke negara ini, apa yang akan terjadi pada industri. “Apa yang penting di sini, kita dapat menjaga hubungan baik dua hala antara negara berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, Zul Azhar berkata, khidmat nasihat dan runding cara yang disediakan bukan hanya khas untuk pembantu rumah dan majikan, tetapi turut membabitkan pekerja di sektor lain seperti perladangan, perkilangan atau perkhidmatan.

“Sekiranya ada pekerja asing dalam bidang perladangan yang ditipu majikan atau agensi seperti tidak mendapat gaji dijanjikan seperti yang termaktub dalam perjanjian, mereka juga boleh membuat aduan kepada Patree, kita akan bantu dan lindungi mereka.

“Patree akan menjadi orang tengah bagi menyelesaikan masalah berkaitan golongan ini,” katanya.

Katanya, mengikut pelan induk penubuhan Patree, pertubuhan itu akan menyediakan satu pangkalan data khusus mengenai majikan dan pekerja asing di negara ini bagi membolehkan mereka melakukan pemantauan dengan lebih terperinci terhadap majikan dan pekerja.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai masalah dengan pekerja asing khususnya pembantu rumah boleh merujuk kepada Patree dengan menghantar SMS atau menelefon di talian 012-7777548 serta menghantar e-mel ke zulazharcha@ymail.com. - Harian Metro

Thursday, February 18, 2010

Perbicaraan kes bunuh Muntik ditangguh esok

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan sehingga esok perbicaraan kes penjual air tebu yang didakwa membunuh pembantu rumah warganegara Indonesia, Muntik Bani, Oktober tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Yazid Mustafa, membuat keputusan itu selepas peguam V Rajehgopal yang mewakili tertuduh, A Murugan memohon penangguhan berikutan anaknya dimasukkan ke hospital.

Seramai 43 saksi pendakwaan termasuk isteri tertuduh, D Vanitha, 29, dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula sejak 18 Januari lalu.

Murugan, 35, didakwa membunuh Muntik, 40, di rumahnya di No 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Oktober tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Muntik yang berasal dari Surabaya meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang pada 26 Oktober lalu setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd. Ghani dan Mohd Dusuki Mokhtar. - Berita Harian

Empat ditahan kes seludup pendatang

KOTA TINGGI: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Dua menahan tiga pendatang tanpa izin serta empat lelaki warga tempatan ketika mereka cuba menyeludup keluar pendatang terbabit melalui perairan Tanjung Pengelih di sini, pagi semalam.

Timbalan Komander Markas PGM Wilayah Dua, Superintendan N Kalai Chelvan, berkata bertindak atas maklumat, dua pasukan masing-masing, menaiki bot laju RH dan PC yang menjalankan Ops Octopus, mengesan dua bot pancung gentian kaca yang mencurigakan di perairan itu, kira-kira jam 7 pagi.

Beliau berkata, apabila kedua-dua pasukannya daripada lapan anggota menghampiri kedua-dua bot pancung berkenaan, ia terus memecut laju cuba melarikan diri sebelum dipintas dan ditahan 15 minit kemudian.

Katanya, hasil pemeriksaan rapi dalam salah sebuah bot, pihaknya menemui dan menahan dua lelaki warga tempatan iaitu tekong bot dan pembantunya, masing-masing berusia 20 dan 27 tahun. - Berita Harian

NGO pantau agensi pekerja asing ditubuh

Patree pastikan isu segera diselesai elak jejas imej Malaysia

PUTRAJAYA: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali Pertubuhan Malaysia Bebas-Pati (Patree), ditubuhkan bagi membantu orang ramai, majikan dan pekerja asing di negara ini yang berasakan diri mereka teraniaya.

Presidennya, Zul Azhar Cha, berkata tujuan utama penubuhan Patree adalah untuk melindungi orang ramai yang sering menjadi mangsa penipuan apabila agensi pekerja asing enggan bertanggungjawab selepas pembantu rumah melarikan diri dari rumah majikannya.

Zul Azhar berkata, pihaknya akan meningkatkan kerjasama dengan agensi kerajaan bagi menangani pelbagai masalah membabitkan pekerja asing di Malaysia termasuk isu penderaan pembantu rumah.

"Kita tidak mahu lagi mendengar isu pekerja asing tidur bawah jambatan, pembantu rumah didera dan majikan ditipu daripada terus berleluasa.

"Kita akan pastikan gejala ini tidak terus berlaku kerana ia boleh menjejaskan nama baik Malaysia di kalangan pembekal pekerja asing termasuk Indonesia, Bangladesh dan India. Apa yang penting kita mahu menjaga hubungan baik dua hala dengan negara berkenaan," katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, semalam.

Zul Azhar, berkata khidmat nasihat dan runding cara yang disediakan bukan hanya khas untuk pembantu rumah dan majikan, tetapi turut membabitkan pekerja di sektor lain seperti perladangan, perkilangan atau perkhidmatan.

"Sekiranya ada pekerja asing dalam bidang perladangan yang ditipu majikan atau agensi seperti tidak mendapat gaji yang dijanjikan seperti yang termaktub dalam perjanjian, mereka juga boleh membuat aduan kepada Patree, kita akan bantu dan lindungi mereka.

"Patree akan menjadi orang tengah untuk menyelesaikan masalah berkaitan golongan ini," katanya.

Katanya, mengikut pelan penubuhan Patree, pertubuhan itu akan menyediakan satu pangkalan data khusus mengenai majikan dan pekerja asing di negara ini bagi membolehkan mereka melakukan pemantauan dengan lebih terperinci setiap majikan dan pekerja.

"Orang ramai yang mempunyai masalah dengan pekerja asing khususnya pembantu rumah boleh merujuk kepada Patree dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) atau menelefon di talian 012-7777548 dan menghantar e-mel ke zulazharcha@ymail.com," katanya. - Berita Harian

Negara terlalu bergantung kepada pekerja asing - Penganalisis

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Kebanjiran warga asing yang dapat dilihat di sekitar ibu kota ketika cuti perayaan Tahun Baru Cina baru-baru ini menunjukkan betapa serius negara ini bergantung kepada pekerja asing.

Penganalisis sosial, Kamal Affendi Hashim berkata, jumlah pekerja asing yang ramai menunjukkan kebergantungan negara terhadap mereka kerana rakyat tempatan tidak berminat untuk mengisi kekosongan bagi pekerjaan tertentu.

Bagaimanapun, katanya, perbuatan mereka keluar beramai-ramai memenuhi ibu kota ketika cuti panjang sejak Ahad lalu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana mereka mendapat pelepasan cuti dari majikan.

"Apa lagi yang mereka hendak buat, mereka bukan seperti kita yang menggunakan kesempatan cuti panjang untuk pulang ke kampung halaman," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun beliau menegaskan, jika lambakan pekerja asing tidak dikawal, keadaan itu boleh membawa kepada masalah sosial dan semua pihak harus memandang serius kesan daripadanya.

Beliau merujuk beberapa kes jenayah yang melibatkan pekerja asing seperti pergaduhan dan kecurian.
"Kerajaan perlu memberi perhatian pada perkara ini khususnya aspek perdagangan manusia yang melibatkan agensi-agensi pekerjaan yang mengambil kesempatan ke atas keperluan tenaga manusia di dalam negara," kata Kamal Afendi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang berasa terkejut dengan lambakan warga asing semasa cuti panjang sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Sementara itu Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (PAPA), Alwi Bavutty menjelaskan, kebanjiran warga asing tidak sepatutnya dilihat daripada sudut negatif.

"Sudah menjadi perkara biasa untuk siapa pun sahaja menggunakan musim cuti dengan keluar melakukan pelbagai aktiviti seperti berjumpa rakan-rakan," katanya.

Bagaimanapun, Alwi berkata, pihak berkuasa masih boleh meletakkan anggotanya untuk membuat pemantauan di sekitar kawasan yang menjadi tumpuan bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

Sementara itu, Ketua Pengarah Rela, Datuk Zaidon Asmuni berkata, kebanjiran pekerja asing itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan, malah turut berlaku ketika perayaan utama yang lain atau pada cuti hujung minggu.

"Malah ia turut berlaku di beberapa bandar besar yang lain di Malaysia," katanya.

Ditanya sama ada kebanjiran mereka dikaitkan dengan masalah pendatang tanpa izin (PATI), beliau menjelaskan, perkara tersebut lebih berkait dengan persepsi masyarakat.

"Kebanyakan kita menggambarkan mereka sebagai PATI, tetapi mereka mempunyai permit yang sah dan bekerja dalam sektor yang penting," katanya.

Bagaimanapun, katanya, jumlah mereka yang terlalu ramai akan diberi perhatian bagi memastikan ia sesuai mengikut keperluan supaya tidak menjadi bebanan kepada negara kelak.

Justeru, beliau yakin, kerajaan akan terus berusaha menangani masalah itu termasuk mengambil tindakan kepada majikan yang menggunakan kesempatan untuk mengambil pekerja asing tanpa permit. - Utusan

Punca kebanjiran warga asing

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyifatkan kebanjiran terlalu ramai warga asing ke Malaysia berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab agensi pekerja asing yang membawa masuk mereka ke negara ini.

Pengarah Eksekutifnya, Shamsuddin Bardan berkata, lesen yang diberikan kepada 262 agensi pekerja asing telah digunakan sepenuhnya oleh mereka tanpa melihat keperluan sebenar peluang pekerjaan di negara ini.

Menurutnya, keadaan itu berlaku apabila agensi yang terlibat melihat kemasukan pekerja asing sebagai satu bentuk perniagaan dan kuota yang diberi oleh kerajaan diguna sebaik mungkin bagi menjana lebih banyak keuntungan.

''Kita telah sarankan supaya dihentikan pemberian lesen kepada agensi terlibat bagi mengelak lambakan pekerja asing dan jika terdapat permintaan terhadap mereka, kita gunakan saluran perhubungan antara kerajaan ke kerajaan.

''Apabila terlalu banyak yang dibawa masuk, kadang-kadang mereka diletakkan di premis yang tidak sepatutnya malahan ada yang langsung tidak bekerja," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kebimbangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berhubung kebanjiran warga asing di beberapa kawasan tumpuan di ibu negara setiap kali cuti umum.

Hishammuddin berkata, fenomena tersebut semakin ketara apabila kumpulan warga asing itu dilihat keluar beramai-ramai di sekitar ibu negara setiap kali musim cuti umum yang agak panjang.

Menurutnya, realiti lambakan itu tidak bertepatan dengan rekod warga asing di negara ini termasuk yang berdaftar dengan agensi pengambilan pekerja asing.

Shamsuddin berkata, usaha bersungguh-sungguh perlu dilakukan oleh kerajaan bagi memantau penambahan warga asing di negara ini.

''Sebelum ini kita tidak bersungguh-sungguh dalam mengurangkan pekerja asing, contohnya semasa kegawatan ekonomi, seramai 300,000 telah dihantar pulang namun apabila ekonomi pulih, kira-kira 100,000 pula dibawa masuk.

''Tenaga kerja tempatan perlu digunakan bagi mengurangkan pergantungan terhadap pekerja asing dan jika perlu, kita tubuhkan satu pusat sehenti penjagaan kanak-kanak untuk membolehkan suri rumah keluar bekerja,'' katanya.

Dalam pada itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud pula berkata, kebimbangan Hishammuddin itu bukanlah perkara yang luar biasa dan mengejutkan.

Sebaliknya bagi beliau, kebanjiran mereka adalah disebabkan kelemahan pelaksanaan polisi yang tidak konsisten oleh kerajaan.

''Kerajaan perlu merangka polisi yang jelas tentang keperluan tenaga asing seperti menghentikan pemberian lesen kepada agensi-agensi sebaliknya kerajaan sendiri yang mengawal pengambilan tenaga asing.

''Kerajaan perlu mengkaji sedalam-dalamnya mengapa keadaan ini terus berlaku walaupun ia bukanlah suatu perkara yang baru,'' katanya. - Utusan

'Bukan lambakan, mereka pekerja sah'

MANA-mana pihak yang berkunjung ke ibu kota pada cuti umum, pasti terkejut melihat kelibat warga asing yang memenuhi setiap ceruk Kuala Lumpur.
 
Barangkali, kerana tiada warga tempatan yang lebih gemar pulang ke kampung halaman, kelibat mereka, antaranya warga Bangladesh, Myanmar dan Indonesia mendominasi suasana sehinggakan timbul andaian berlaku lambakan luar biasa.

Bagi Jabatan Imigresen, agensi itu mempunyai data yang tepat sama ada pengamatan mata kasar tadi benar-benar mempunyai fakta bahawa wujudnya lambakan luar biasa warga asing di negara ini.

Wartawan, SITI MAISARAH SHEIKH ABDUL RAHIM menemubual Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman semalam bagi mendapatkan gambaran sebenar senario itu.
UTUSAN Malaysia: Benarkah berlaku lambakan warga asing yang luar biasa di negara ini?

ABDUL RAHMAN: Sebenarnya bukan begitu. Mereka ini tiba di negara ini kerana keperluan industri yang mahukan mereka seperti sektor perkilangan yang mahukan pekerja atau institusi pengajian tinggi (IPT) yang mahukan pelajar termasuk pelancong.

Adakah mereka ini pekerja asing tanpa izin (PATI) atau pekerja yang sah?

ABDUL RAHMAN: Mereka ini adalah pekerja yang mempunyai pas sehingga disahkan sebaliknya. Saya jangkakan hanya 10 peratus daripada mereka tinggal melebihi masa. Ini kerana bukan senang mereka nak datang ke negara ini seperti warga Nepal dan India. Mereka perlu naik dua atau tiga kapal terbang. Selain itu mereka perlu melalui penguatkuasaan yang ketat di pintu-pintu masuk, lainlah kalau warga Indonesia, mereka boleh menyelinap masuk di 'jalan-jalan tikus'.

Walaupun mereka bekerja secara sah, adakah jumlah mereka membimbangkan?

ABDUL RAHMAN: Memang jumlah mereka menakutkan tetapi mereka hadir atas sebab dan tujuan. Namun kekhuatiran kita adalah mereka yang tinggal melebihi masa. Jadi, kita harap semua agensi bertanggungjawab seperti pengusaha kolej dan kilang memastikan mereka memiliki permit yang sah.

Mengikut rekod Imigresen, berapakah jumlah sebenar warga asing di negara ini?

ABDUL RAHMAN: Berdasarkan rekod Jabatan Imigresen pada ketika ini terdapat 1.6 juta warga asing yang bekerja secara sah di negara ini. Ia meliputi 1.5 juta orang pemegang pas lawatan kerja sementara, 32,000 pemegang pas penggajian dan 22,000 pemegang pas iktisas.
Ini tidak termasuk jumlah pelancong dan mereka yang bukan dikategorikan sebagai pekerja seperti pemegang pas pelajar seramai 60,000 dan tanggungan keluarga mereka seramai 98,000.

Bagaimana penguatkuasaan Imigresen bagi memburu mereka yang datang secara tidak sah?

ABDUL RAHMAN: Operasi memburu warga asing tidak pernah berhenti terutama mereka yang terlibat dengan jenayah dan maksiat seperti pelacuran termasuk pembantu rumah. Cuma, tumpuan operasi besar-besaran melibatkan mereka yang bekerja di barisan hadapan seperti pelayan restoran dan sebagainya. - Utusan

Utusan : Lapor kepada Patree masalah PATI

PUTRAJAYA 17 Feb. - Orang ramai yang berdepan masalah pendatang asing khususnya yang berkhidmat sebagai pembantu rumah boleh mendapatkan bantuan daripada Pertubuhan Malaysia Bebas PATI (Patree).

Presidennya, Zul Azhar Cha (gambar) berkata, Patree ditubuhkan tahun lepas untuk memberi khidmat nasihat dan runding cara kepada majikan, pekerja serta orang ramai yang berdepan dengan masalah pekerja asing.

"Patree ditubuhkan untuk melindungi hak majikan terutamanya mereka yang menggunakan khidmat pembantu rumah asing dan ia boleh dihubungi melalui talian 012-7777548.

"Kita akan berperanan sebagai orang tengah dengan merujuk kes berkenaan kepada agensi yang sesuai untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pendatang tanpa izin di negara ini. Zul Azhar berkata, Patree akan bekerjasama dengan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk membanteras kemasukan PATI ke negara ini.

"Kerjasama daripada orang ramai amat penting untuk membanteras kebanjiran PATI ke negara ini.
"Setiap orang perlu melaporkan kepada pihak berkuasa jika jiran mereka menggunakan pembantu rumah asing tanpa izin," katanya.

Menurutnya, Patree pada masa yang sama turut memberi bantuan kepada pekerja asing yang tertipu atau teraniaya di negara ini.

"Kita akan pastikan gejala penipuan pekerja asing tidak akan berterusan sehingga menjejaskan imej baik negara.

"Kita tidak mahu negara lain berhenti membekalkan pekerja kepada kita kerana tidak puas hati dengan kebajikan rakyat mereka di negara ini," katanya. - Utusan

Wednesday, February 17, 2010

Penyelesaian Isu Pembantu Rumah Indonesia Harus Untungkan Malaysia - Indonesia

Oleh Ahmad Fuad Yahya

JAKARTA, 17 Feb (Bernama) -- Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan berkata penyelesaian kepada kajian semula memorandum persefahaman (MoU) mengenai penghantaran pembantu rumah Indonesia ke Malaysia harus menguntungkan kedua-dua belah pihak di Malaysia dan Indonesia.

Katanya di satu pihak, tenaga kerja Indonesia membantu Malaysia dalam pembangunan ekonominya manakala di pihak lain pula Malaysia memberi peluang pekerjaan kepada warga Indonesia, yang kemudian menyumbang kepada ekonomi Indonesia.

Sebagai negara sahabat yang berasal daripada saudara serumpun dan mempunyai banyak persamaan dalam budaya dan bahasa, Malaysia dan Indonesia seharusnya sentiasa menangani apa juga permasalahan yang dihadapi dengan matlamat akhir penyelesaiannya ialah kemakmuran dan kesejahteraan kepada negara dan rakyatnya, katanya kepada Bernama selepas mengunjungi Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia Marzuki Alie di sini Rabu.

Sehubungan itu, Syed Munshe Afdzaruddin berkata cadangan Indonesia supaya gaji minimum RM800 (Rp2.2 juta) sebulan ditetapkan bagi pembantu rumah Indonesia yang bekerja di Malaysia harus dikaji kewajarannya dengan mengambilkira keupayaan majikan di Malaysia untuk membayar upah sebanyak itu dan sama ada upah itu setimpal pula dengan produk yang mereka perolehi.

Indonesia telah menggantung sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia sejak pertengahan tahun lepas dan kedua-dua belah pihak masih berunding untuk menandatangani MoU baru bagi penghantaran pekerja domestik itu agar ia lebih teratur dan menjamin perlindungan kepada pekerja dan majikan.

Gaji minimum bagi pembantu rumah di Jakarta turut menjadi isu apabila pihak berkuasa kotaraya ini merancang untuk menetapkan kadar RP1.1 juta (kira-kira RM400) sebagai gaji minimum sebulan.

Sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris melaporkan hari ini bahawa ramai majikan mengeluh tidak mampu membayar gaji sebanyak itu, walaupun cadangan itu disambut baik oleh kumpulan aktivis buruh.

Beberapa majikan yang ditemuramah akhbar berkenaan menyatakan bahawa kadar itu terlalu tinggi sedangkan pada masa ini mereka kebanyakannya membayar antara Rp400,000 (kira-kira RM160) hingga Rp500,000 (kira-kira RM200) sebulan kepada pembantu rumah masing-masing.

Cadangan pindaan terhadap memorandum persefahaman yang akan ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia antara lain menetapkan gaji minimum RM550, dengan satu hari bercuti, majikan membuka akaun bank atas nama pekerja mereka dan membenarkan pekerja itu memegang pasport sendiri.

Indonesia bagaimanapun meminta agar gaji minimum itu ditetapkan pada RM800. -- BERNAMA

Mat Afrika buta undang-undang

KUALA LUMPUR: Biadab. Itulah boleh dikatakan terhadap segelintir warga asing terutamanya pemandu golongan Mat Afrika apabila buat tidak endah terhadap peraturan lalu-lintas sehingga tindakan mereka turut menyusahkan pengguna lain.

Tinjauan Harian Metro di Medan Idaman, Batu 5, Jalan Gombak, dekat sini, semalam, mendapati golongan berkenaan seperti ‘buta’ undang-undang apabila meletak kenderaan di bahu jalan yang mempunyai garisan kuning. Mereka kelihatan seperti tidak rasa bersalah apabila meninggalkan kenderaan hampir 30 minit tanpa menghiraukan pengguna lain.

Pemandu teksi, Ali Taib, 39, mendakwa kebanyakan warga Afrika di kawasan itu menggunakan kenderaan ‘uzur’ berumur lebih 10 tahun yang boleh dibeli dengan secara tunai.

“Akibat menggunakan kenderaan uzur itu, mereka tidak mengambil kisah badan kereta sekiranya dilanggar pemandu lain.

“Mereka seperti kebal dengan undang-undang.

Kadangkala tindakan mereka yang meletak kenderaan secara ‘double parking’ (bertindan) turut menyebabkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Dia mendakwa golongan itu turut memandu secara melulu dan tidak menghiraukan keselamatan kanak-kanak yang berjalan di bahu jalan.

Pengawal keselamatan, Tahir Rudin, 46, mendakwa golongan itu turut memandu secara berbahaya dan boleh mengundang kemalangan terutamanya pengguna pejalan kaki. “Saya tidak yakin mereka (Mat Afrika) mempunyai lesen memandu.

Jika mempunyai lesen memandu di negara ini, pasti mereka akan mematuhi peraturan,” katanya. - Harian Metro

2 warga Pakistan, 1 warga Iran ditahan bawa dadah

SHAH ALAM: Tiga lagi warga asing, dua rakyat Pakistan dan seorang rakyat Iran ditahan dalam tiga kes berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana didapati membawa dadah yang keseluruhan seberat 10 kilogram dan bernilai kira-kira RM1.5 juta.

Ketiga-tiga mereka yang masuk ke Malaysia sebagai pelancong kini ditahan reman dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dijatuhi hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.

Seorang lelaki Pakistan berumur 30 tahun ditahan kira-kira 9.50 malam pada Khamis minggu lalu setibanya dia dengan penerbangan dari Doha, Qatar.

"Setelah diperiksa begnya, didapati 101 paket plastik yang disyaki berisi heroin gred tinggi seberat dua kilogram bernilai RM160,000 disembunyikan di dalam sehelai jaket kulit.

"Pada esok harinya pula, seorang warga Iran berusia 36 tahun turut ditahan setibanya dengan penerbangan dari Dubai pada 8.00 malam.

"Pemeriksaan ke atas ruangan bahagian bawah beg pakaiannya oleh polis, mendapati empat plastik lutsinar disyaki berisi syabu seberat 4 kilogram bernilai RM1 juta," kata Ketua Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Nordin Kadir kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, warga Iran ini telah datang ke Malaysia sebanyak empat kali dan polis sedang menyiasat sama ada sebelum ini dia masuk ke Malaysia dengan turut membawa dadah bersamanya.

Semalam pula, seorang lagi warga Pakistan yang berumur 36 tahun ditahan kira-kira 10.20 pagi setibanya dari Tehran.

Dia didapati turut singgah di Bahrain sebelum itu.

Nordin berkata, empat paket plastik yang disyaki mengandungi heroin gred tinggi seberat 4 kilogram bernilai RM320,000 dijumpai di dalam begnya.

Lelaki ini telah dua kali datang ke Malaysia.

Nordin berkata, polis sedang menyiasat sama ada ketiga-tiga warga asing ini mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa yang sejak kebelakangan ini menggunakan warga asing seperti Iran dan Pakistan untuk membawa dadah ke Malaysia melalui KLIA. "Sejak awal tahun ini sehingga semalam, polis telah menahan 44 warga asing yang cuba menyeludup masuk dadah melalui KLIA," katanya. - Berita Harian

Doktor sukar fahami pertuturan Muntik

SHAH ALAM: Seorang doktor memberitahu perbicaraan kes bunuh pembantu rumah warganegara Indonesia Muntik Bani di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, bahawa beliau sukar memahami bahasa pertuturan Muntik semasa mencatitkan pengakuan pembantu rumah itu bahawa dia didera oleh majikan lelakinya.

Pegawai Perubatan Siswazah Dr Urscilla Jaya, 27, yang bertugas di Jabatan Ortopedik Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) berkata, penyelianya, Dr M Shujatha terpaksa mengulangi soalan kepada Muntik kerana sukar memahami apa yang dituturkan walaupun pembantu rumah itu menggunakan Bahasa Melayu.

"Bila ditanyakan soalan, pesakit (Muntik) juga mengalami kesukaran untuk memahami soalan kami, jadi kami terpaksa ulangi soalan untuk mendapatkan jawapan daripadanya," katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar pada perbicaraan kes penjual air tebu, A Murugan yang didakwa membunuh Muntik, 40.

A Murugan, 35, dituduh melakukan kesalahan itu di rumahnya di No 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Oktober tahun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Muntik yang berasal dari Surabaya, meninggal dunia di HTAR pada 26 Oktober lalu setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Ditanya Mohd Dusuki sama ada mereka memperolehi jawapan selepas mengulangi soalan kepada Muntik, Dr Urscilla menjawab:“Ya”.

“Saya dengar Muntik beritahu Dr Shujatha bahawa dia dipukul berulang kali oleh majikan lelakinya dengan penyapu dan kayu, dia ditendang dan ditumbuk di bahagian muka, perut dan belakang. Dia juga beritahu bahawa dia dipukul dengan rod besi dan disimbah dengan air panas selain beritahu bahawa majikan lelakinya juga membotakkannya serta dikunci dalam tandas selama dua hari tanpa makanan.

“Dr Shujatha juga ada tanya sama ada dia dirogol oleh majikannya tetapi pesakit (Muntik) menjawab tidak. Saya mencatitkan semua keterangannya dalam nota perubatan sebelum Dr Shujatha kemudian menyemak nota saya sepintas lalu,” katanya.

Saksi ke-43 pendakwaan itu berkata, beliau berada berdekatan dengan Muntik ketika pembantu rumah itu menceritakan mengenai perkara berkenaan kepada Dr Shujatha dan mengakui bahawa pendengarannya jelas ketika mencatitkan pengakuan Muntik dalam nota perubatan.

Dr Urscilla, bagaimanapun, tidak bersetuju dengan cadangan peguambela tertuduh, V Rajehgopal bahawa segala keterangannya di mahkamah berhubung pengakuan Muntik adalah keterangan yang ditokok tambah.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa bersambung esok. - Berita Harian

Patree sedia bantu majikan - Zul Azhar Cha

PUTRAJAYA: Pertubuhan Malaysia Bebas PATI (Patree) sedia membantu majikan yang mempunyai masalah dengan pekerja asing mereka, terutama membabitkan pembantu rumah yang lari atau tidak berkualiti, kata Presidennya, Zul Azhar Cha.

"Bukan saja pembantu rumah, malah semua sektor termasuk perladangan dan perkilangan. Sekiranya apa yang dijanjikan dalam perjanjian tidak ditepati, anda boleh bawa perjanjian tersebut kepada kami, dan kami akan kaji dan bincang dengan agensi yang terbabit," katanya di sini, hari ini.

Zul Azhar berkata, pertubuhan yang ditubuhkan tahun lalu itu bertujuan membantu kerajaan membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin di negara ini.

Beliau berkata, rakyat juga perlu bekerjasama membanteras gejala itu dengan membuat laporan sekiranya mereka mempunyai maklumat mengenainya.

Patree juga sedia membantu mana-mana pekerja asing yang dianiaya dan sebarang maklumat hubungi melalui talian 012-777 7548. - Berita Harian

Lambakan warga asing luar biasa


WAJAH warga asing begitu menyerlah di kawasan kaki lima berhampiran sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur, semalam.


PUTRAJAYA 16 Feb. – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein terkejut dengan lambakan warga asing yang disifatkan beliau luar biasa.

Fenomena tersebut, katanya, semakin ketara apabila kumpulan warga asing itu dilihat keluar beramai-ramai di sekitar ibu negara setiap kali musim cuti umum yang agak panjang.

Menurut beliau, realiti lambakan itu tidak bertepatan dengan rekod warga asing berada di negara ini termasuk yang berdaftar dengan agensi pengambilan pekerja asing.

“Dalam tempoh cuti umum sempena sambutan Tahun Baru Cina, saya berkesempatan meninjau sendiri suasana di ibu negara.

“Sememangnya amat jelas setiap kali cuti umum yang panjang khususnya apabila rakyat tempatan balik ke kampung, ibu negara akan dibanjiri oleh warga asing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Hishammuddin, hasil tinjauan mendapati sebahagian besar daripada mereka bukan pelancong asing tetapi mendakwa bekerja di negara ini secara sah.

“Saya mendapati keadaan ini sebagai luar biasa dan membimbangkan.

“Berdasarkan pemerhatian rambang, kita dapat melihat sebahagian besar warga asing yang membanjiri ibu negara ini adalah daripada beberapa negara tertentu,” katanya.

Beliau berkata, selain dikhuatiri mendatangkan kesan sosial, isu keselamatan serta ketenteraman awam, keadaan itu boleh menjejaskan imej negara termasuk menyebabkan pelancong asing yang tulen berasa tidak selesa.

Dalam hal ini, beliau berkata, kementeriannya telah menyediakan cadangan awal strategi menangani lambakan warga asing yang akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) pada 22 Februari ini.

Jawatankuasa Kabinet itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hishammuddin berkata, cadangan itu menumpukan kepada empat fokus penambahbaikan iaitu kajian undang-undang, semakan prosedur kemasukan, penambahbaikan mekanisme pemantauan dan sistem maklumat serta pemantapan strategi penguatkuasaan.

Jelas beliau, cadangan tersebut akan membabitkan 13 kementerian berkaitan.

“Penambahbaikan pengurusan dan pemantauan warga asing melalui strategi dan pendekatan yang baru perlu dilaksanakan sejajar dengan senario semasa seperti kaedah terkini pergerakan masuk dan keluar serta mobiliti pekerja asing dalam negara yang sukar dikesan melalui pendekatan konvensional.

“Sebagai contoh, sungguhpun operasi penguatkuasaan melibatkan pelbagai agensi dijalankan dari semasa ke semasa, namun ia masih belum dapat menangani lambakan pendatang asing tanpa izin di negara ini,” katanya.

Berdasarkan perkembangan semasa, tambahnya, pemantauan komprehensif hanya boleh dijalankan sekiranya kerajaan memiliki sistem maklumat yang bersepadu.

“Kita sedang mengkaji penambahbaikan sistem maklumat sedia ada yang membolehkan semakan status warga asing dibuat pada bila-bila masa dan di mana-mana sekalipun.

“Kita akan membina mekanisme dan sistem yang boleh memantau setiap seorang warga asing yang memasuki negara ini sehingga mereka keluar semula.

“Matlamat kita adalah untuk mewujudkan persekitaran di mana warga asing yang berada di negara ini tanpa status yang sah berasa takut dan terancam sehingga bersedia untuk meninggalkan negara ini pada kadar segera,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, majikan juga memainkan peranan penting bagi memastikan penambahbaikan pengurusan dan pemantauan warga asing dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Justeru, semua pihak perlu memberikan kerjasama dan memahami ketegasan kerajaan untuk keselamatan negara dan ketenteraman awam,” katanya. - Utusan

Tuesday, February 16, 2010

KDN bina mekanisme pantau warga asing sepanjang berada di Malaysia

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Satu mekanisme dan sistem bagi memantau status setiap warga asing yang memasuki negara ini sehingga mereka keluar semula akan dibangunkan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.


Beliau berkata, kekerapan penguatkuasaan perlu dimantapkan dengan mekanisme pemantauan yang komprehensif, yang hanya boleh diwujudkan sekiranya mempunyai sistem maklumat yang bersepadu dan berintegrasi.

"Kita sedang mengkaji penambahbaikan sistem maklumat sedia ada yang membolehkan semakan status warga asing boleh dibuat pada bila-bila masa dan di mana-mana.

"Matlamat kita adalah untuk mewujudkan persekitaran di mana warga asing yang berada di negara ini tanpa status yang sah akan berasa takut dan terancam sehingga bersedia untuk meninggalkan negara ini pada kadar segera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin yang meninjau sendiri kebanjiran warga asing di ibu negara pada cuti umum sempena Tahun Baru Cina, berkata cadangan mewujudkan mekanisme tersebut akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI), yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 22 Februari ini.

Beliau berkata, isu warga asing ini melibatkan bidang tanggungjawab pelbagai kementerian dan agensi, maka adalah perlu cadangan pembinaan mekanisme itu diperhalusi di peringkat JKKPA-PATI yang melibatkan 13 kementerian berkaitan.

Tambahnya, penambahbaikan dalam pengurusan dan pemantauan warga asing melalui pembentukan strategi yang baru perlu dilaksanakan sejajar dengan senario semasa.

Sebanyak 7,099 kali operasi telah dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen di seluruh negara sepanjang tahun lepas, yang melibatkan sebanyak 47,310 tangkapan.

Jelasnya, jumlah itu meliputi 26,545 kes masuk ke negara ini secara tidak sah, 8,655 kes tinggal di negara ini selepas pas atau permit tamat atau dibatalkan.

Sebanyak 6,836 kes melanggar syarat pas atau permit yang dikeluarkan, 669 kes menggunakan atau memiliki pas atau permit palsu atau dipinda dan selebihnya 4,605 melibatkan lain-lain kesalahan.

Katanya lagi, para majikan yang mengambil pekerja asing juga akan dilibatkan dalam usaha membendung permasalahan ini kerana majikan memainkan peranan yang penting dalam memastikan agenda penambahbaikan pengurusan dan pemantauan warga asing dapat dilaksanakan dengan berkesan. - Utusan

Buruh asing mati dikelar


KUALA LUMPUR – Seorang buruh warga Indonesia ditemui mati dikelar di leher dan perut terburai dalam kejadian di tingkat 4, bangunan pembinaan pangsapuri 19 tingkat di Batu Muda, Sentul di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, pihaknya dimaklumkan oleh beberapa pekerja di tapak pembinaan berhubung penemuan mayat mangsa, Mat Aspaim, 33, dalam stor tingkat terbabit.

Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan awal, mendapati kejadian berlaku dipercayai dalam tempoh empat jam sebelum mayat yang masih lengkap berpakaian itu ditemui.

“Pemeriksaan ke atas mayat menunjukkan mangsa mati kerana cedera parah akibat dikelar dengan senjata tajam di perut dan leher.

“Selain itu, polis turut menjumpai sebilah pisau pemotong sayur berhampiran mayat dipercayai senjata yang digunakan suspek untuk mencederakan mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Zakaria berkata, pihaknya sudah memperoleh maklumat berhubung suspek yang terbabit dalam kejadian, disyaki rakan sekerja kepada mangsa.

“Polis percaya mangsa dan suspek saling mengenali selain motif awal dikenal pasti, akibat perbalahan kerana mangsa dipercayai kerap mengganggu isteri suspek,” katanya.

Beliau berkata, polis sedang giat memburu suspek dan isterinya, termasuk beberapa rakan mereka yang turut menghilangkan diri selepas kejadian.

Menurutnya, setakat ini, polis menahan lima pekerja di tapak pembinaan itu bagi membantu siasatan.

Menurutnya, mayat mangsa berasal dari Jawa timur itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat dan siasatan dijalankan menjurus mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Difahamkan mangsa sudah berkahwin dan memiliki seorang cahaya mata di Indonesia. - Sinar Harian

Pendatang asing mula serah diri

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen berpuas hati dengan jumlah pendatang tanpa izin dan majikan yang 'menyerah diri' sebelum operasi besar-besaran dilakukan bagi menangkap dan mengusir pendatang asing tanpa izin, termasuk yang tinggal melebihi tempoh di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Rahman Othman, berkata sambutan menggalakkan itu berikutan 'tempoh pendidikan yang diwujudkan untuk mempertimbangkan hukuman yang lebih ringan kepada pendatang dan majikan yang menyerah diri sebelum operasi besar-besaran dilaksanakan.

"Kita harap lebih ramai yang tampil menyerah diri dan kita akan pertimbang untuk beri hukuman yang ringan sebelum kita mengadakan operasi besar-besaran.

"Jabatan Imigresen serius dalam menangani masalah ini, kalau boleh kita mahu negara bebas daripada pendatang tanpa izin ini dan ini adalah antara usaha kita membanteras isu ini," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Jabatan Imigresen melancarkan operasi besar-besaran di seluruh negara mulai semalam bagi menangkap dan mengusir pendatang tanpa izin termasuk yang tinggal melebihi tempoh di negara ini.

Pendatang asing yang ditahan boleh dikompaun RM30 bagi setiap hari tinggal melebihi tempoh atau maksimum RM3,000, manakala yang memasuki Malaysia tanpa dokumen boleh juga dikenakan sebat.


Majikan yang didapati melindungi pendatang pula akan didakwa mengikut Akta Anti Memperdagangkan Orang 2007, selain Akta Imigresen 1959/63.

Bagaimanapun, operasi itu ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak berikutan rayuan daripada pelbagai pihak kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Abdul Rahman berkata, usaha membanteras pendatang asing dan membendung kegiatan jenayah serta maksiat membabitkan mereka yang semakin berleluasa tetap akan diteruskan seperti biasa.

"Walaupun operasi besar-besaran ini ditangguhkan, tidak bermakna kita tidak membuat operasi langsung.

"Operasi penguatkuasaan tetap diteruskan seperti biasa sehingga kita mendapat keputusan Menteri untuk melaksanakan operasi besar-besaran itu," katanya. - Berita Harian

Amah Indonesia dihadkan

Usaha elak pembantu rumah bekerja dengan majikan bukan Islam

KUALA LUMPUR: Pengambilan pembantu rumah dari Indonesia akan dihadkan secara berperingkat kerana jumlah mereka yang berkhidmat dengan majikan beragama Islam di negara ini sudah mencukupi, kata Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa), Alwi Bavutty.

Beliau berkata, langkah itu bagi menghentikan amalan pembantu rumah beragama Islam berkhidmat dengan majikan bukan Islam seperti dilaksanakan sekarang kerana ia menimbulkan banyak masalah berikutan berbeza budaya dan agama sehingga berlaku penderaan.

Berikutan itu, katanya, Papa akan menampung kemasukan pembantu rumah dari beberapa negara lain termasuk Timur Leste, Kemboja, Myanmar dan Vietnam bagi memenuhi permintaan majikan bukan Islam.

"Sebenarnya, kita sudah mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Indonesia supaya membekalkan hanya pembantu rumah Islam untuk majikan Islam di Malaysia, tetapi mereka mengatakan rakyatnya sanggup bekerja dengan majikan bukan Islam.

"Bagaimanapun, disebabkan timbul banyak masalah, termasuk berlaku kes penderaan membabitkan pembantu rumah, kita mengesyorkan kepada kerajaan supaya melaksanakan peraturan pembantu rumah Islam hanya untuk majikan beragama Islam.

"Perkara itu dipersetujui, tetapi perlu dilakukan secara berperingkat kerana 80 peratus bekalan pembantu rumah sekarang diterima dari republik itu," katanya di sini.

Pada masa ini, lebih 280,000 pembantu rumah berdaftar di negara ini, termasuk kira-kira 10,000 pembantu rumah Kemboja dan kira-kira 5,000 dari Filipina yang berkhidmat dengan majikan bukan Islam di sini.

Alwi berkata, maklum balas diterima pihaknya juga menunjukkan majikan bukan Islam lebih berminat menggunakan pembantu rumah bukan Islam, tetapi pada masa ini, mereka tiada pilihan.

"Kira-kira 160 ahli Papa bersedia memenuhi permintaan majikan terbabit, tetapi pada masa ini, bekalan pembantu rumah tidak mencukupi sehingga perlu bergantung kepada Indonesia sepenuhnya," katanya.

Mengulas usaha membawa masuk pembantu rumah dari India atau Bangladesh, Alwi berkata, amalan di negara itu tidak membenarkan golongan wanitanya bekerja di negara ini, kecuali jika mengikut majikan mereka di India berhijrah ke sini.

Sementara itu, Alwi berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada majikan yang tidak berpuas hati dengan mutu kerja pembantu rumah Indonesia.

"Kita sedar jumlah wanita Islam Kepulauan Solo untuk menjadi pembantu rumah tidak ramai, tetapi kita berusaha meneroka pasaran di situ selepas usaha menarik wanita Islam selatan Thailand datang ke sini dilihat kurang berhasil," katanya. - Utusan

10 warga Myanmar nyaris maut

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Sempena cuti panjang sempena Tahun Baru Cina, 10 sahabat warga Myanmar mengambil kesempatan untuk berkelah di kawasan rekreasi Taman Templer, Rawang.

Namun percutian mereka berkesudahan dengan tragedi apabila van yang mereka naiki ditimpa kemalangan di Jalan Ipoh-Selayang, ketika dalam perjalanan pulang pada pukul 2.30 petang.

Akibat kejadian itu, kesemua mangsa termasuk seorang wanita parah selepas tercampak keluar dari kenderaan tersebut. Tiga daripada mereka dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang.

Ketua Bahagian Keselamatan Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Che Hussin Omar berkata, kesemua mangsa berusia lingkungan 30-an dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kuchai Lama di sini selepas berkelah di Templer Park.

Beliau berkata, sejurus tiba di tempat kejadian, van dinaiki mereka hilang kawalan selepas salah satu daripada tayarnya meletup.

"Van itu terbalik beberapa kali menyebabkan kesemua mangsa di dalamnya tercampak keluar.

"Akibatnya, tiga daripada mangsa mengalami kecederaan parah dan dimasukkan ke ICU Hospital Selayang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - Utusan

Majikan perlu beri kerjasama

PUTRAJAYA 15 Feb. - Semua pihak terutamanya majikan perlu tampil memberi kerjasama dengan Jabatan Imigresen berhubung pengambilan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai pekerja.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, sudah menjadi tanggungjawab majikan untuk tampil membawa pekerja mereka yang tinggal melebihi tempoh di negara ini berjumpa dengan pihak imigresen.

Bagaimanapun, katanya, beliau berpuas hati dengan jumlah PATI dan majikan yang datang ke jabatan itu sebelum operasi besar-besaran dilakukan bagi menangkap dan mengusir mereka.

"Kita harap lebih ramai akan tampil menyerah diri supaya hukuman yang lebih ringan dapat dipertimbangkan sebelum kita mengadakan operasi besar-besaran.

"Semua pihak termasuk orang awam perlu memberikan kerjasama dan tidak boleh mengharapkan imigresen semata-mata untuk menangani masalah ini jika kita mahu negara bebas daripada PATI," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Operasi besar-besaran itu yang sepatutnya diadakan hari ini telah ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Penangguhan itu disebabkan rayuan daripada pelbagai pihak yang memohon Kementerian Dalam Negeri (KDN) menangguhkan seketika operasi berkenaan.

PATI yang ditahan boleh dikompaun RM30 bagi setiap hari tinggal melebihi tempoh atau maksimum RM3,000, manakala yang memasuki Malaysia tanpa dokumen boleh disebat.

Majikan yang didapati melindungi PATI pula akan didakwa mengikut Akta Anti Memperdagangkan Orang 2007 selain Akta Imigresen 1959/63.

Abdul Rahman berkata, usaha membanteras PATI dan membendung kegiatan jenayah serta maksiat membabitkan pendatang asing tetap diteruskan seperti biasa.

"Operasi penguatkuasaan seluruh negara tetap diteruskan cuma operasi besar-besaran itu sahaja yang ditangguhkan sehingga kita memperoleh keputusan daripada menteri untuk melakukannya," katanya.

Ditanya mengenai pelajar asing yang tinggal melebihi tempoh yang ditetapkan, beliau berkata, pihak imigresen akan mengambil tindakan yang sama terhadap mereka.

Sementara itu, beliau memberitahu, depot tahanan di seluruh negara tidak mempunyai masalah kepadatan PATI kerana proses penghantaran berjalan seperti biasa. - Utusan

Sunday, February 14, 2010

Imigresen Negeri Sembilan Tahan 116 Warga Asing

SEREMBAN, 14 Feb (Bernama) -- Jabatan Imigresen Negeri Sembilan menahan 116 warga asing atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen dalam 'Ops Kutip' di sekitar bandar ini dan Nilai, pada Sabtu.

Pengarahnya Pisal Mustafa berkata sebahagian besar warga asing yang ditahan itu terdiri daripada 68 warga Indonesia dan 13 warga Myanmar dan selebihnya warga India, Kemboja, Pakistan, Vietnam, Nigeria dan Nepal.

"Mereka yang ditahan berumur antara 22 dan 38 tahun. Antara kesalahan ialah tiada dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan Imigresen," katanya di sini, pada Ahad.

Katanya kesemua mereka yang ditahan dihantar ke Depot Imigresen Lenggeng.

Katanya 'Ops Kutip' dijalankan di beberapa lokasi tumpuan orang ramai seperti perhentian bas dan teksi serta pusat membeli-belah bertujuan mengekang kehadiran pendatang asing tanpa izin.

"Ini berikutan aduan orang ramai yang tidak selesa ekoran kehadiran warga asing yang terlalu ramai di kawasan tersebut," katanya. -- BERNAMA

Jangan terperdaya dengan 'lakonan' PATI

SEREMBAN 13 Feb. - Mendengar kisah pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini, anda akan cepat rasa tersentuh dan melahirkan perkataan kasihan.

Tetapi awas, jangan sampai tertipu dengan 'lakonan' mereka kerana itulah lumrah PATI sewaktu ditahan dan ditanya dokumen perjalanan.

Dalam Ops Kutip hari ini, mereka mendakwa tidak cukup wang untuk memperbaharui pasport, selain dokumen itu berada dalam genggaman majikan.

Salah seorang mereka, Guspendi Amir, 29, berkata, dia perlu mengumpulkan wang untuk memperbaharui pasport miliknya.

"Pasport isteri, Leni Baidar, 22, juga sudah tamat tempoh dan surat lahir anak berusia lapan tahun berada di Indonesia," katanya menagih simpati sewaktu di Wisma Persekutuan di sini hari ini.

Guspendi yang berasal dari Padang, Indonesia, gagal mengemukakan dokumen itu selepas pasport miliknya didapati tamat bulan lalu.

"Saya datang ke Malaysia pada 2007, kerja di salah sebuah kilang di Seremban," katanya.

Seorang warganegara Bangladesh yang mahu dikenali sebagai Mahabur, 35, mendakwa pasport miliknya berada dalam simpanan majikannya.

"Mana saya ada simpan dokumen. Majikan yang simpan. Saya mana tahu. Tolong lepaskan saya," katanya.

Abd. Kadir Safami, 37 yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia memberitahu, dia datang ke Malaysia kerana di sini 'lubuk rezeki' bagi rakyat negaranya.

"Saya hidup susah di Indonesia. Orang kata datang ke Malaysia, boleh jadi senang.

"Saya bekerja sebagai buruh, datang menaiki kapal pada 2008. Kalau ikutkan hati, saya tidak mahu balik ke Indonesia. Di sini boleh cari wang untuk menampung keluarga di Jawa Timur," ujarnya.

Selain mereka, 11 rakyat India, Bangladesh dan Pakistan yang turut ditahan juga mendakwa pasport mereka berada dalam simpanan majikan. - Utusan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...