Saturday, February 13, 2010

15 lelaki Myanmar ditahan edar dadah

SABAK BERNAM: Polis menahan 15 lelaki rakyat Myanmar dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah yang berselindung di sebalik pekerjaan sebagai nelayan di Bagan Sungai Besar di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supt Noor Mushar Mohamad, berkata semua lelaki yang ditahan itu dipercayai menjalankan aktiviti mengedar dadar di pelantar ikan dan menjadikan penduduk tempatan sebagai pelanggan utama.

Beliau berkata, dalam Ops Tapis Khas membabitkan 20 anggota termasuk polis sukarela itu, tiga paket besar dan 15 paket kecil dipercayai mengandungi dadah jenis heroin ditemui.

"Pemeriksaan terhadap semua suspek menemui kira-kira 57.5 gram dadah jenis heroin bersama wang tunai berjumlah RM800 dan mereka juga didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Ketika serbuan pada pukul 7 pagi itu, lelaki terbabit sedang leka bermain judi dan cuba melarikan diri tetapi pasukan bot peronda polis mengepung kawasan perairan berhampiran dan berjaya menahan mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noor Mushar berkata, sindiket itu dipercayai mendapatkan bekalan dadah dari luar negara sebelum dibungkus dan dijual di kawasan berhampiran.

"Pemeriksaan air kencing juga mendapati 12 daripada mereka positif dadah," katanya.

Noor Mushar berkata, siasatan ke atas semua suspek itu dibuat mengikut Seksyen 39(B) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - Berita Harian

GTP sasar penurunan 20 peratus jenayah jalanan

KUALA LUMPUR 12 Feb. - Sasaran pengurangan kadar jenayah jalanan yang ditetapkan kerajaan dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) berjaya mencapai prestasi awal menggalakkan apabila merekodkan penurunan 13 peratus kes jenayah itu bulan lepas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, angka tersebut diperoleh pada Januari lalu berbanding bulan sebelumnya.

Beliau berkata, secara keseluruhan kadar jenayah jalanan yang dilaporkan dalam suku keempat tahun lalu mencatat penurunan sebanyak 7.6 peratus.

"Bagi indeks jenayah pula, sebanyak 3.7 peratus penurunan dicatatkan dalam suku terakhir (Disember) 2009," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pengurangan jenayah adalah penting dalam rancangan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya menjelang 2020.

"Jenayah dan perasaan takut terhadap jenayah mempengaruhi kualiti hidup rakyat dan melibatkan kesan yang sungguh memudaratkan.

"Oleh itu, kami (KDN) amat kagum dengan keputusan awal ini," katanya.

Tambah Hishammuddin, oleh kerana jenayah jalanan merupakan tumpuan utama, kerajaan menyasarkan keberhasilan yang lebih cepat iaitu pengurangan sebanyak 20 peratus dalam jenayah jalanan yang dilapor menjelang Disember 2010.

Katanya, inisiatif yang dikuatkuasakan antaranya memastikan kehadiran polis di 50 kawasan panas di empat buah negeri iaitu Kuala Lumpur, Johor, Selangor dan Pulau Pinang.

Beliau memberitahu, kehadiran anggota polis itu turut dibantu oleh 3,000 sukarelawan daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

"Kita turut meletakkan 500 kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan panas ini untuk menghalang aktiviti jenayah, membolehkan tindakan segera daripada pihak polis selain memudahkan pengecaman suspek," katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keselamatan negara, pegawai-pegawai kanan polis berpangkat inspektor dan ke atas bersama anggota polis lain terlibat secara langsung dalam rondaan di tempat-tempat awam.

Katanya, pegawai-pegawai kanan polis itu akan bertugas selama tiga hingga lima jam dalam seminggu.

"Kehadiran anggota polis berhenti dan berbual bersama orang awam selama 10 hingga 15 minit setiap jam ketika rondaan biasa akan memberi peluang untuk masyarakat meluahkan kebimbangan mereka selain merapatkan hubungan," katanya.

Selain itu, jelas beliau, kerajaan akan menggalakkan semangat sukarelawan melalui inisiatif Skim Rondaan Sukarela (SRS) seperti rondaan yang dilakukan sendiri oleh penduduk tempatan di kawasan tempat tinggal mereka.

Beliau berkata, sukarelawan itu boleh mendaftar sebagai ahli Rakan Cop dan menyalurkan maklumat jika berlaku sesuatu jenayah. - Utusan

Friday, February 12, 2010

Warga asing yang tiada permit : Pulang sebelum 16 Mei ini

PUTRAJAYA, 12 Feb (Bernama) -- Kerajaan sedang mengkaji penambahbaikan terhadap sistem maklumat sedia ada bagi membolehkan semakan status warga asing dibuat pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat sekalipun.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata matlamat sistem itu adalah untuk mewujudkan persekitaran di mana warga asing yang berada di negara ini tanpa status yang sah akan berasa takut dikesan pihak berkuasa dan bertindak meninggalkan Malaysia secepat mungkin.

"Kita melihat secara menyeluruh kaedah berhubung kait dengan visa, permit masuk, dokumen-dokumen seperti pasport kita sendiri supaya apa yang kita lakukan ini bukan sahaja dilihat dalam konteks memperkemaskan isu warga asing tetapi juga untuk melihat produk dan dokumen-dokumen yang ada yang dipertanggungjawabkan kepada kementerian dalam negeri," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat peringkat kementerian mengenai pemantauan warga asing, pada Jumaat.

Katanya mesyuarat itu memperincikan beberapa perkara yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 22 Februari ini.

"Selain isu pengurusan dan pemantauan warga asing, antara agenda yang akan dibincangkan adalah pertimbangan dan kajian dasar semasa berhubung pengambilan pekerja asing sebagai pembantu rumah asing, pengawal keselamatan dan pekerja urut refleksologi.

"Kita juga akan membincangkan prosedur pengambilan pekerja asing khususnya melalui ejen dan syarikat penyumberan luar," katanya.

Hishamuddin turut mengulangi amaran kepada warga asing yang telah tamat permit kerja atau berada di negara ini secara tidak sah agar meninggalkan Malaysia pada kadar segera.

Katanya mereka mempunyai masa sehingga 16 Mei ini untuk menyertai program penghantaran pulang secara sukarela yang akan dibiayai sendiri dengan bayaran kompaun minimum.

Sehingga 22 Januari lalu, seramai 63,673 warga asing telah menyertai program itu sejak ia mula diperkenalkan pada bulan April 2009. -- BERNAMA

Sentral: Pegawai MPAJ menyamar serbu rumah urut

Kegiatan mencurigakan berselindung di sebalik premis sentiasa bertutup

AMPANG: Tindakan kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melakukan penyamaran sebagai pelanggan di sebuah rumah urut di Pandan Indah, akhirnya berhasil memberikan jawapan berhubung aktiviti mencurigakan yang dilakukan premis yang bertutup selama ini.

Susulan itu, rumah urut yang beroperasi di Pusat Komersial Pandan Indah itu bukan saja diserbu MPAJ baru-baru ini, malah turut disita selepas didapati menjalankan perniagaan secara haram kerana tidak memiliki lesen perniagaan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan itu bagi tahun ini.

Operasi diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa MPAJ, Rosli Jaafar, bersama tujuh anggota penguat kuasanya turut menemui dua tukang urut warga Thailand.

Rosli berkata, tindakan penyamaran dilakukan pihaknya selepas menerima maklumat orang awam yang mendakwa ada aktiviti tidak bermoral dijalankan premis berkenaan kerana mendapati pintu depan premis itu sentiasa bertutup rapat tetapi ramai pengunjung menuju ke pintu belakangnya.

Beliau berkata, hasil siasatan itu, pihaknya mendapati rumah urut terbabit hanya membenarkan pelanggan biasa atau dikenali saja masuk menerusi pintu belakang untuk mendapatkan khidmat urut termasuk khidmat seks yang ditawarkan wanita terbabit.

Pintu premis itu sentiasa bertutup seolah tiada apa yang berlaku tetapi sebenarnya menjalankan perniagaan urut dan khidmat seks yang mendapat sambutan di kalangan pelanggan.

Ketika kakitangan MPAJ menyamar sebagai pelanggan untuk masuk ke rumah urut itu, mereka terkejut apabila pemilik premis itu meletakkan beberapa anjing mengawasi premis berkenaan, sekali gus dapat memberi amaran awal menerusi salakannya jika premis itu dikunjungi individu tidak dikenali termasuk anggota penguat kuasa, katanya.

Rosli berkata, pemilik premis itu dikenakan kompaun mengikut Seksyen 70(11), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana melakukan pengubahsuaian dalaman tanpa kelulusan daripada pihak majlis untuk melakukan kegiatan tidak bermoral itu.

Beliau berkata, MPAJ akan meneruskan operasi mengesan kegiatan tidak bermoral seperti itu dan mengalu-alukan maklumat daripada orang awam mengenai kegiatan berkenaan bagi memastikan kawasan Ampang Jaya bersih dan bebas daripada gejala sosial yang memberi imej negatif kepada MPAJ. - Berita Harian

Industri logam perlukan 15,000 pekerja asing baru

KUALA LUMPUR: Lebih 5,000 peniaga India seluruh negara yang terbabit dalam perniagaan logam berkemungkinan 'gulung tikar' kerana mereka kini berhadapan krisis kekurangan tenaga buruh.

Presiden Persatuan Peniaga dan Kitar Semula Logam India (Mimta), Datuk P Krishnamurthy, berkata bagi kembali memajukan industri itu, sekurang-kurangnya 15,000 pekerja asing baru terutama daripada Tamil Nadu diperlukan segera.

"Kita sudah banyak kali memohon kepada Jabatan Buruh di bawah Kementerian Sumber Manusia untuk mendapatkan khidmat tenaga tempatan namun rakyat tempatan tidak berminat bekerja dalam sektor ini.

"Ada yang datang bekerja satu hari, selepas itu terus 'hilang'... ada pula yang datang kerja selama dua hari dan paling lama mereka bekerja pun untuk tempoh seminggu saja.

"Ini kerana rakyat tempatan melihat perniagaan ini sebagai satu tugas berat dan kotor. Persatuan akui bahawa tugas ini memang mencabar walaupun gaji yang ditawarkan adalah sekitar RM800 hingga RM1,200.

"Bagaimanapun katanya, kebanyakan rakyat tempatan bekerja dalam bahagian pengurusan dengan segelintir lagi bertugas sebagai memandu lori. Kita dapati tenaga buruh dari Tamil Nadu amat sesuai bekerja sebagai pekerja am sektor ini," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Krishnamurthy berkata, sektor itu mula menghadapi kekurangan tenaga buruh secara berperingkat bermula tahun lalu apabila kerajaan tidak meluluskan permohonan baru pekerja asing. - Berita Harian

2 juta warga Indonesia di Malaysia

KUALA LUMPUR: Bilangan rakyat Indonesia di negara ini kini mencecah dua juta orang, sekali gus melebihi jumlah penduduk di provinsi tertentu di republik itu, kata Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Tan Sri Dai Bachtiar.

Beliau berkata, jumlah itu termasuk kira-kira 13,000 pelajar yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi, malah Malaysia semakin menjadi destinasi pendidikan pilihan rakyat republik itu berbanding negara barat sebelum ini.

Katanya, ini berikutan rakyat negara itu melihat Malaysia sebagai amat maju dalam bidang pendidikan, termasuk dari segi penyediaan kemudahan, manakala maklumat berkaitan peluang melanjutkan pelajaran ke sini pula disebarkan secara meluas di Indonesia.

Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) ketika dihubungi di sini menjelaskan jumlah itu merangkumi kira-kira 1.2 juta yang memasuki negara ini menerusi saluran sah.

Beliau berkata demikian pada majlis Ceramah Kepemimpinan: Pengekalan Paradigma Pemikiran Ke Arah Pembangunan Persepsi Nasional anjuran KBRI dengan kerjasama Persatuan Pelajar Indonesia Se-Malaysia di sini, semalam. - Berita Harian

Kerajaan mansuh VOA untuk rakyat India

KUALA LUMPUR: Kerajaan memansuhkan visa waktu ketibaan (VOA) untuk rakyat India memasuki negara ini, selepas kehilangan 40,000 warga negara itu sebelum ini apabila VOA mereka tamat tempoh.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN), Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata Afghanistan, Pakistan dan Sri Lanka antara negara yang turut dimansuhkan VOA atas dasar keselamatan.

Tanpa mendedahkan bila tindakan itu akan dilaksanakan, beliau berkata ia sejajar dengan usaha menangani masalah penyalahgunaan visa berkenaan dikalangan rakyat negara yang diberikan kemudahan itu.

Selepas kita memansuhkan VOA mereka boleh memasuki negara ini menggunakan visa, katanya yang ditemui selepas melawat Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields dan kawasan sekitar itu di sini, semalam.

Bulan lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendedahkan 39,046 rakyat India hilang di negara ini selepas VOA mereka tamat tempoh dan ia isu yang membimbangkan negara.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan meningkatkan tahap keselamatan terutama di pintu masuk negara menjelang sambutan Tahun Baru Cina, bagi mengekang sebarang kegiatan jenayah.
Kita akan menambah bilangan anggota keselamatan di pintu masuk negara kerana menjelang musim perayaan jenayah akan meningkat, namun sehingga kini kita berjaya mengurangkan kadar jenayah terutama di kawasan hotspot hasil maklumat orang awam.

Melalui Rakan Cops juga, dari 2004 hingga 2009 lebih satu juta maklumat disalurkan orang ramai dan ini dapat membantu pihak berkuasa, katanya.

Ditanya mengenai warga negara Iran yang dikaitkan dengan aktiviti penyeludupan dadah, beliau berkata, kerajaan memerangi kegiatan itu tanpa mengira warga negara. - Berita Harian

Peniaga Cina minta kaji semula permit pekerja 5 tahun

JOHOR BAHRU 11 Feb. - Para peniaga kaum Cina di bandar raya ini meminta kerajaan mengkaji semula pemberian permit pekerja asing yang telah berkhidmat selama lima tahun di negara ini.

Mereka turut memohon kerajaan memberi kelonggaran supaya pekerja asing yang digaji itu boleh melakukan pelbagai jenis pekerjaan biarpun tidak dinyatakan di dalam permit semasa permohonan.

Sejajar dengan itu, satu memorandum berkenaan perkara tersebut akan disediakan dan dihantar kepada pihak kerajaan melalui kementerian yang terbabit dalam masa terdekat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Mok Chek Hou berkata, peniaga di kawasan ini menghadapi masalah apabila tiada pekerja tempatan yang ingin bekerja dengan mereka.

Sehubungan itu, mereka lebih suka menggaji pekerja asing, namun apa yang dibimbangkan keputusan kerajaan tidak akan menyambung permit pekerja asing yang telah lima tahun berkhidmat dengan mereka.

"Salah satu faktor mereka mengambil pekerja asing adalah kerana keengganan warga tempatan untuk bekerja dengan mereka. Apatah lagi saingan dari negara jiran, Singapura yang mempunyai kadar mata wang yang jauh lebih tinggi membuatkan ramai yang ingin bekerja di sana.

"Lagipun, lokasi Johor yang paling hampir dengan republik itu membuatkan mereka memilih untuk berkhidmat di sana," katanya semasa mempengerusikan dialog antara penjaja kawasan ini dengan MCA Johor Bahru di sini baru-baru ini.

Kira-kira 30 peniaga dan penjaja kawasan Johor Bahru menghadiri sesi dialog yang diadakan bermula pukul 8.15 malam itu. - Utusan

20 GRO Filipina, Indonesia ditahan di kelab malam

JOHOR BAHRU 11 Feb. - Seramai 20 wanita warga asing dipercayai bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) ditahan Jabatan Imigresen dalam dua serbuan di kelab malam di Taman Johor Jaya di sini malam tadi.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Johor, Abdul Aziz Mat Sab berkata, kesemua wanita warga Filipina termasuk seorang warga Indonesia yang ditahan dalam 'Ops Sayang' itu disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral.

Menurutnya, dalam operasi pertama pukul 9.30 malam, pihaknya menahan 10 wanita warga Filipina dan seorang warga Indonesia berusia antara 24 hingga 36 tahun.

Setengah jam kemudian, kata beliau, pihaknya menyerbu sebuah lagi kelab malam dan menahan sembilan wanita warga Filipina berusia 23 hingga 30 tahun.

"Ketika serbuan, beberapa wanita itu cuba melarikan diri. Bagaimanapun, mereka berjaya ditahan oleh 15 anggota kita yang menyertai operasi berkenaan.

"Kita juga menahan beberapa orang pelanggan, namun mereka kemudian dibebaskan selepas diambil keterangan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Aziz memberitahu, pemeriksaan mendapati kesemua wanita itu menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral di negara ini.

Mereka kini masih ditahan di Depot Tahanan Imigresen Pekan Nanas, Pontian bagi membantu siasatan mengikut Peraturan 39 (b) Akta Imigresen 1959/1963 kerana melanggar syarat permit. - Utusan

Mantik gagal diselamatkan

SHAH ALAM 11 Feb. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu usaha untuk menyelamatkan nyawa Mantik Hani pada pagi 26 Oktober tahun lalu gagal kerana keadaan pembantu rumah warga Indonesia itu sudah terlalu nazak.


Pakar bius dari Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Dr. Noraini Sangit berkata, Mantik disahkan meninggal dunia pada pukul 10.10 pagi selepas bantuan pernafasan (CPR) diberi selama 30 minit.

Katanya, keseluruhan sistem organ dalaman Mantik tidak lagi berfungsi dan tidak dapat dipulihkan dan denyutan nadinya lemah sebelum terhenti pada pukul 9.30 pagi.

''Keadaan pesakit (Mantik) pada masa itu sudah terlalu tenat dan kritikal. Secara keseluruhan, sistem organ pesakit gagal berfungsi walaupun dengan bantuan ubat-ubatan.

''Tekanan darah pesakit adalah rendah dan tidak stabil walaupun sudah diberi ubat-ubatan yang maksimum. Sistem ginjalnya juga telah gagal, begitu juga sistem pernafasan pesakit yang dibantu dengan mesin bantuan pernafasan.

''Apabila denyutan nadi pesakit lemah dan terhenti kira-kira pukul 9.30 pagi, kami segera beri bantuan kecemasan iaitu CPR yang berterusan. Setelah berusaha selama 30 minit, pesakit tidak menunjukkan sebarang tindak balas positif dan gagal diselamatkan,'' jelasnya.

Noraini, 39, saksi pendakwa ke-40 berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abdul Ghani pada perbicaraan kes penjual air tebu, Murugan, 35, yang didakwa membunuh Mantik, 36.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di rumahnya di No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang dekat sini antara 18 hingga 20 Oktober 2009.

Mantik yang berasal dari Surabaya meninggal dunia di HTAR pada 26 Oktober tahun lalu setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Sementara itu, seorang lagi pakar bius, Dr. Faezah Shaari pula berkata, beliau memberi bantuan oksigen melalui topeng aliran tinggi dan morfin serta ubat penahan sakit kepada Mantik apabila wanita itu dirujuk kepadanya pada pukul 1.30 petang, 21 Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, keadaan Mantik merosot sehingga wanita itu terpaksa diberi bantuan pernafasan melalui mesin bantuan pernafasan pada pukul 2 pagi keesokan harinya.

''Tekanan darah Mantik semakin rendah walaupun diberi bantuan empat jenis inotropes dengan dos maksimum. Akibatnya buah pinggang pesakit tidak berfungsi tetapi tekanan darah terlalu rendah untuk menjalani dialisis.

''Pada 24 Oktober, Mantik mengalami masalah denyutan jantung yang tidak tetap sehingga fungsi mengepam darah terjejas. Rawatan cardioversion dibuat sebanyak 10 kali dan ubat-ubatan yang diperlukan telah diberi kepada pesakit,'' katanya.

Dalam usaha menyelamatkan Mantik, kata Faezah, beliau turut memberi cecair intravena untuk merawat kekurangan air, antibiotik bagi jangkitan kuman, transfusi darah dan komponen-komponen darah serta rawatan pada luka di kaki kanan.

Menjawab soalan peguam V. Rajehgopal, Faezah memberitahu dua mililiter morfin yang diberikan kepada Mantik tidak menyebabkan wanita itu berada dalam keadaan separuh sedar, sebaliknya hanya menyebabkan rasa mengantuk.

Terdahulu, Idham membantah tindakan Rajehgopal yang mempersoalkan universiti tempat pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan HTAR, Dr. R. Shujahtha memperoleh kelulusannya kerana ia diiktiraf oleh Akta Perubatan 1951.

Beliau turut menegur peguam tersebut yang kerap meninggikan suara semasa menyoal balas Shujahtha.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd. Yazid Mustafa bersambung esok. - Utusan

Gaji minimum: Kemampuan majikan Malaysia, kualiti tenaga asing dikaji

JAKARTA 11 Feb. - Kajian perlu dilakukan terlebih dahulu berhubung tahap kemampuan majikan di Malaysia sebelum menetapkan gaji minimum RM800 sebulan bagi rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia.

Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syeh Hassan berkata, kajian itu penting untuk memastikan adakah majikan di Malaysia bersedia dan mampu membayar gaji sebanyak itu.

Pada masa sama, ujar beliau, aspek kualiti tenaga kerja yang dihantar ke Malaysia juga perlu diberi perhatian sebelum keputusan dibuat.

"Dalam melindungi pekerja, kita juga harus lihat kepentingan majikan, apakah majikan itu berupaya membayar sebanyak itu kerana mereka adalah golongan pengguna," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR), Taufiq Kiemas di Dewan MPR di sini hari ini.

Menurut Syed Munshe Afdzaruddin, beliau membangkitkan perkara itu dan Taufiq berjanji memberi perhatian terhadap isu tersebut.

Selasa lalu Jakarta Post memetik Ketua Pengarah Kementerian Luar Indonesia, Arief Havas Oegroseno bahawa Malaysia bersetuju secara prinsip terhadap cadangan Indonesia melindungi pekerjanya di Malaysia.

Laporan itu turut memetik Duta Besar Indonesia di Malaysia, Tan Sri Da'i Bachtiar bahawa kedua-dua negara sedang berbincang tentang gaji minimum RM800 sebulan seperti yang dicadangkan Indonesia.

Jakarta sebelum ini menghentikan sementara penghantaran tenaga kerjanya ke Malaysia sehingga isu-isu berhubung masalah tenaga kerja dari negara berkenaan diselesaikan.

Dalam pertemuan itu, Syed Munshe Afdzaruddin berkata, beliau turut menarik perhatian tentang laporan berat sebelah media massa Indonesia tentang kes penderaan tenaga kerja negara berkenaan di Malaysia.

"Kes-kes penderaan itu adalah terpencil dan rakyat Malaysia yang terlibat telah dijatuhi hukuman setimpal.

"Tetapi media Indonesia hanya melaporkan secara berat sebelah iaitu hanya tentang penderaan tanpa disusuli tindakan yang telah diambil oleh pihak berkuasa di Malaysia," katanya.

Kata beliau, kedua-dua pihak perlu mengkaji sistem penghantaran tenaga kerja yang sedia ada supaya ia teratur dari segi pihak yang harus bertanggungjawab menguruskannya serta kos sebenar yang terbabit supaya ia tidak menjejaskan imej dan hubungan kedua-dua negara. - Utusan

Thursday, February 11, 2010

Rakyat asing ditahan edar wang palsu

KUALA LUMPUR: Kegiatan licik seorang warga asing dalam sindiket wang palsu tumpas selepas ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur di Persiaran Hamshire off Jalan Ampang, jam 12.30 pagi, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany, berkata penangkapan warga Afrika berkenaan adalah susulan laporan polis yang dibuat oleh seorang ahli perniagaan lelaki tempatan yang berumur lingkungan 50-an yang ditawarkan khidmat pertukaran wang oleh suspek.

Beliau berkata polis kemudiannya mengekori sebuah kereta Gen-2 warna biru yang menuju ke Ampang dan menahan kereta suspek dan hasil pemeriksaan telah menjumpai 1,778 keping wang dominasi RM50 pelbagai nombor siri yang disyaki palsu dalam sebuah beg hitam di bahagian tempat duduk sebelah pemandu.

Izany berkata suspek yang tinggal di Ampang dan mengaku memasuki negara ini menggunakan pas pelajar, akan disiasat memandangkan tidak terdapat dokumen pengenalan diri suspek ketika ditahan.

"Kami akan bekerjasama dengan pihak imigresen bagi mengetahui identiti sebenar warga asing tersebut dan sama ada suspek memasuki negara ini secara sah atau tidak.

"Suspek juga dipercayai menjalankan kegiatan ini dengan menelefon mangsa secara rawak dan menawarkan khidmat pertukaran wang mengikut nisbah dolar Singapura SD20,000:RM140,000 dan akan menetapkan waktu perjumpaan untuk transaksi pertukaran wang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata kes akan disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Beliau menasihati orang ramai agar melakukan pertukaran wang di institusi wang yang berlesen seperti bank dan pengurup wang berlesen untuk mengelakkan taktik sindiket penipuan wang palsu ini dan menghubungi talian Rakan Cop 03-21159999 atau SMS ke 32728 jika mempunyai maklumat institusi pertukaran wang tidak berlesen. - Berita Harian

12 pengemis asing diberkas

AMPANG 10 Feb. - Orang ramai kini sudah lali dengan taktik meraih simpati dengan membawa bayi kecil dan meminta sedekah oleh warga asing di pasar malam sekitar Ampang.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat, Nik Ahmad Ismadi Nik Ghazali berkata, pemantauan yang dibuat sebelum tangkapan mendapati taktik itu sudah tidak lagi laku dan orang ramai sudah tidak lagi melayan pengemis di pasar malam.

Selain menyifatkan pengemis warga asing mencemar dan mengganggu ketenteraman orang awam, mereka juga dilihat menjadi salah satu masalah masyarakat yang perlu dihapuskan sama sekali.
Ujarnya, operasi yang diadakan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jabatan Imigresen Selangor (JIS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kali ini berjaya menangkap 12 pengemis dan dua daripada mereka adalah bayi.

"Kita sudah memantau sebelum menangkap. Kita dapati orang ramai juga sudah tidak melayan pengemis terutama mereka yang membawa bayi kecil sebagai umpan.

"Kita mendapat kerjasama 30 anggota daripada beberapa badan berkuasa dan berjaya menangkap keseluruhan 12 pengemis di tiga lokasi pasar malam sekitar Ampang," katanya kepada pemberita selepas operasi pengemis (Ops Pengemis) di sini malam tadi.

Turut serta, Pegawai Tadbir MPAJ, Ismail Talib dan Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Negeri Selangor, Bahagian Penguat kuasa, Johari Supardi.

Operasi yang memakan masa kira-kira tiga jam itu meliputi kawasan pasar malam Bandar Baru Ampang, Kampung Pandan dan Pandan Jaya.

Tambah Ismadi, kesemua pengemis merupakan warga asing dan tidak termaktub di dalam Akta Orang Papa 1977 yang hanya menyelamat warganegara Malaysia sahaja.

Jelasnya, pengemis berkenaan telah diserahkan kepada pihak Imigresen untuk tindakan lanjut.

"Semuanya diserahkan ke Jabatan Imigresen untuk tindakan susulan namun pengemis yang ditangkap rata-rata daripada Indonesia dan Kemboja.

"Pihak berkenaan akan membawa pengemis ke depot tahanan KLIA, Sepang untuk siasatan dan tindakan lanjut," ujarnya. - Utusan

Salon di Jalan Badik disyaki tawar khidmat seks


Tiga wanita yang ditahan dalam serbuan di sebuah salon di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 10 Feb. - Sebuah salon rambut di Jalan Badik di sini bukan hanya menawarkan perkhidmatan mendandan, malah turut disyaki menawarkan khidmat seks kepada para pelanggannya.
 
Bagaimanapun, aktiviti tidak bermoral yang telah bergiat aktif sejak beberapa bulan lalu itu akhirnya terbongkar setelah diserbu Jabatan Imigresen Johor semalam.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen negeri, Gajendra Bahadur berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 4.30 petang itu, seramai tiga wanita warga China berusia dalam lingkungan 30-an dan seorang wanita berusia 50-an yang merupakan pemilik premis tersebut ditahan.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas premis itu membawa kepada penemuan beberapa bilik yang dilengkapi katil dipercayai digunakan untuk aktiviti tidak bermoral berkenaan.

"Ketika serbuan, dua wanita berkenaan melarikan diri dengan terjun ke tingkat bawah melalui tingkap, manakala seorang lagi menyembunyikan diri di dalam sebuah bilik.

"Bagaimanapun, cubaan ketiga-tiga wanita berkenaan gagal apabila kesemuanya berjaya dicekup," katanya.

Gajendra berkata, ketiga-tiga wanita tersebut kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan.

Sementara itu, majikan mereka ditahan mengikut Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pekerja asing tanpa permit.

Seramai 20 anggota Jabatan Imigresen negeri terlibat dalam 'Ops Sayang' tersebut. - Utusan

Kaji semula kemasukan pelajar Afrika

SEREMBAN 10 Feb. – Kemasukan pelajar asing terutama dari benua Afrika hendaklah dikaji semula kerana sebahagian daripada mereka terlibat dalam kes dadah dan juga bersikap biadab.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abd. Samad Ibrahim berkata, sikap para pelajar dari benua itu yang biadap terhadap pihak berkuasa dalam satu operasi awal pagi tadi sangat mengecewakan.

“Mereka sudah berada dalam negara ini, hormatilah undang-undang Malaysia. Jangan persoalkan jika identiti mereka diperiksa. Patuh dan jangan buat huru-hara,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abd. Samad yang turut serta dalam Ops Nilai pagi tadi bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen berkata, operasi dijalankan dari pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi.

“Sikap agresif ini boleh mengundang bahaya, bukan sahaja kepada penguatkuasa tetapi penduduk sekitar yang sama-sama mendiami kawasan perumahan di situ,” ujarnya.

Operasi ini turut disertai oleh Pengarah Bahagian Penguatkuasa dan Keselamatan (AADK), Dr. Sabri Zainudin Zainul, Pengarah AADK negeri, Abdul Rahman Hamid dan Ketua
Ketika serbuan dibuat dan penahanan dilakukan untuk tujuan pemeriksaan ke atas beberapa pelajar, sebahagiannya terjerit-jerit mengatakan tindakan itu tidak wajar sehingga menyebabkan rakan mereka mula mengerumuni anggota penguatkuasa AADK dan Imigresen.

Bagaimanapun, dalam gerakan di lokasi kedua di belakang sebuah institut pengajian tinggi swasta di Nilai, Abd. Samad memberitahu, anggota penguatkuasa menahan 18 orang selepas seorang lagi ditahan sebelumnya di Mantin.

“Seramai 11 warganegara Nigeria ditahan, dua rakyat Bangladesh, satu rakyat Indonesia dan seorang rakyat tempatan telah ditahan di Nilai, selain tiga lagi yang ditahan mengikut Akta Imigresen,” katanya.

Katanya, tiga rakyat Nigeria yang ditahan di satu blok pangsapuri itu telah mencampakkan ketulan kecil ganja mampat yang dipercayai bernilai RM2,500 mengikut pasaran gelap.

“Penguatkuasa juga menemui 19 paket ganja yang disembunyikan dalam kerusi di ruang tamu dan sembilan tiub mengandungi serbuk kristal dipercayai syabu di atas peti sejuk dalam, beberapa rumah yang diperiksa,” katanya.

Menurut Abd. Samad, hasil operasi ini memperlihatkan risiko penularan gejala dadah di kalangan warga asing semakim membimbangkan dan jika tidak dibendung, ia akan mempengaruhi anak muda. - Utusan

Wednesday, February 10, 2010

Doktor HTAR Saksi Keempat Dengar Pengakuan Muntik Dipukul Majikan

SHAH ALAM, 10 Feb (Bernama) -- Seorang doktor pada Rabu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa pembantu rumah warganegara Indonesia, Muntik Bani yang meninggal dunia akibat didera memberitahu beliau bahawa dia telah dipukul berulang kali dengan kayu, ditumbuk dan ditendang di bahagian perut, belakang serta muka oleh majikan lelakinya.

Dr M.Shujatha, 33, berkata Muntik memberitahu perkara itu ketika beliau merawat mangsa di wad kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, pada 20 Okt tahun lepas.

"Muntik memberitahu saya dia tinggal dengan majikan baru itu selama dua bulan dan telah dibotakkan oleh majikan lelakinya. Dia juga mengatakan bahawa majikan lelakinya telah memukul kakinya dengan besi dan disimbah air panas.

"Selain itu, dia mengatakan bahawa dia telah dikurung dalam tandas dan tidak makan selama dua hari. Saya juga ada tanya adakah dia dirogol oleh majikan lelaki dan dia beritahu tidak," katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokthar pada perbicaraan kes penjual air tebu, A. Murugan yang didakwa membunuh Muntik, 40.

Tertuduh, 35, didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di No.11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Okt tahun lepas dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Muntik, yang berasal dari Surabaya, meninggal dunia di HTAR pada 26 Okt lalu setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Shujatha merupakan saksi pendakwaan keempat yang mengesahkan bahawa Muntik ada membuat pengakuan bahawa dia telah dipukul oleh majikannya.

Sebelum ini, peguam Gerard Lazarus dan pegawai penyiasat Inspektor Mohd Azan Radzali dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang dalam keterangan mereka memberitahu mahkamah bahawa Muntik pernah mengadu bahawa dia telah dipukul oleh majikannya semasa mereka melawat mangsa yang menerima rawatan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) HTAR pada 21 Okt lepas.

Selain itu, Penolong Pegawai Perubatan HTAR, Muhamad Sahid Abdul Karim dalam keterangannya sebelum ini juga memberitahu mahkamah bahawa Muntik ada membuat pengakuan yang sama semasa mangsa dibawa ke HTAR dengan menaiki ambulans.

Ditanya Mohd Dusuki bagaimana keadaan Muntik semasa menceritakan perkara itu kepada beliau, Shujatha berkata mangsa sedar dengan keadaan sekelilingnya dan boleh menjawab soalan dengan baik.

Terdahulu, saksi ke-39 pendakwaan itu memberitahu mahkamah bahawa beliau dan pakar kecemasan Dr Che Ros Abdullah telah memeriksa dan merawat Muntik yang dibawa dengan ambulans dalam keadaan tenat di wad kecemasan HTAR pada pukul 8.40 malam, 20 Okt lepas.

"Keadaan pesakit (Muntik) pada masa itu masih sedar pada keadaan sekelilingnya dan boleh menjawab soalan dengan baik tetapi berada dalam keadaan lemah dan dehidrasi. Kedua-dua belah kakinya tidak boleh digerak dan tidak dirasa oleh pesakit berkemungkinan berpunca dari kecederaan di bahagian tulang belakangnya.

"Pesakit (Muntik) mengalami lebam di kedua-dua matanya, mata kiri tidak boleh dibuka dan mata kanan dalam keadaan bengkak masih boleh dibuka sedikit, lebam di seluruh tangan kiri, bahagian atas tangan kanan, di bahagian tepi kanan lutut kanan, tengah lutut kiri, di tapak kaki kiri, di bahagian punggung dan tepi peha kanan. Mangsa juga mengalami luka di siku kanan, luka terbuka di lutut kanan dan kaki kanan yang juga bernanah dan terdapat tisu mati," katanya.

Shujatha berkata beliau memberikan rawatan seperti bantuan oksigen dan memberi ubat tahan sakit selain menjalankan ujian x-ray ke atas tulang belakang, tangan dan kaki, dada, pelvis serta kepala mangsa.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa bersambung pada Khamis. -- BERNAMA

AADK Dan Imigresen Tahan 19 Lelaki Dan Rampas Dadah

SEREMBAN, 10 Feb (Bernama) -- Tujuh belas lelaki rakyat asing dan dua lelaki tempatan ditahan dalam Ops Nilai bagi membanteras penyalahgunaan dadah di negeri ini.

Operasi enam jam mulai 12 tengah malam Selasa oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan dan Jabatan Imigresen negeri itu dijalankan di sekitar Mantin dan Nilai.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Samad Ibrahim berkata lelaki rakyat asing itu terdiri daripada 14 rakyat Nigeria, dua Bangladesh dan seorang Indonesia.

"Kami turut merampas kira-kira 850 gram ganja termasuk dua ketul ganja mampat, 19 paket kecil plastik ganja dan sembilan tiub kecil syabu. Hasil ujian air kencing mendapati 16 daripada lelaki yang ditahan itu positif dadah," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Beliau berkata tiga lelaki Nigeria terbabit diserah kepada Jabatan Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Seramai 25 orang diperiksa dalam operasi yang membabitkan 100 pegawai AADK dan 29 pegawai Jabatan Imigresen itu. -- BERNAMA

Timbalan Menteri Puji Western Digital Naikkan Gaji Pekerja

PETALING JAYA, 10 Feb (Bernama) -- Sektor pembuatan dan perkilangan perlu menaikkan gaji serta imbuhan kepada pekerja bagi menarik lebih ramai rakyat tempatan bekerja dengan mereka, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan.

Beliau berkata faktor gaji yang rendah menyebabkan rakyat tempatan kurang berminat bekerja sebagai operator pengeluaran di kilang dan ini mendorong kepada kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

"Saya yakin jika peneraju sektor pembuatan dan perkilangan mengambil inisiatif dengan menawarkan gaji setimpal serta kemudahan lain ia dapat menggalakkan lebih ramai rakyat kita untuk bekerja di kilang," katanya kepada pemberita selepas melawat kilang Western Digital (Malaysia) Sdn Bhd di sini Rabu.

Beliau berkata syarikat-syarikat patut mengikut langkah Western Digital yang telah meningkatkan gaji pokok operator pengeluarannya daripada RM450 kepada RM700 sebulan tidak termasuk elaun dan kemudahan, yang membolehkan mereka mendapat gaji sehingga RM1,271 sebulan.

Katanya Western Digital, sebuah syarikat pengeluar semikonduktor, kini mempunyai 16,000 orang tenaga kerja di seluruh Malaysia, dan sedang dalam usaha menarik lebih ramai rakyat tempatan bagi mengisi kira-kira 4,000 jawatan kosong dalam pelbagai unit termasuk kejuruteraan dan teknikal. -- BERNAMA

PRESMA Tawar 25,000 Jawatan Kosong Kepada Rakyat Tempatan

BUTTERWORTH, 10 Feb (Bernama) -- Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) menawarkan 25,000 peluang pekerjaan di seluruh negara kepada penduduk tempatan dengan tawaran gaji yang menarik.

Presidennya Noorul Hassan Saul Hameed berkata pekerjaan berkenaan disediakan di lebih 2,000 restoran milik anggotanya di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Pekerjaan yang ditawarkan ahli kami adalah seperti pembantu kedai dengan kadar gaji antara RM800 hingga RM1,300, juruwang (RM1,000 hingga RM1,300), penyelia dan tukang masak (1,500 hingga RM2,500).

"Pekerja akan turut menikmati kemudahan termaktub dalam undang-undang buruh antaranya caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Jawatankuasa Baru PRESMA Wilayah Utara di sini Rabu.

Beliau berkata langkah menawarkan peluang pekerjaan kepada pekerja tempatan adalah selaras dengan usaha kerajaan mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.

"Sehingga sekarang kira-kira 70 peratus pekerja di restoran ahli PRESMA adalah rakyat asing dan kita sedang berusaha mengurangkan jumlah itu dengan menawarkan jawatan kosong kepada penduduk tempatan," kata Noorul Hassan.

Beliau berkata PRESMA juga akan menyerahkan memorandum mengenai maklumat diperlukan kerajaan berkaitan pekerja asing kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada akhir bulan ini.

Antara maklumat diperlukan kerajaan yang sedang kami kumpul adalah seperti jumlah pekerja asing dan tempoh mereka sepatutnya pulang, katanya. -- BERNAMA

Polis cedera bergelut suspek 'black money'

KUALA LUMPUR: Seorang Cif Inspektor cedera tangan kanannya selepas bergelut dengan seorang lelaki Cameroon, dipercayai anggota sindiket 'black money' di Persiaran Hampshire, Jalan Ampang kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), IPD Sentul mengekori sebuah kereta yang mencurigakan.

Menyedari pergerakannya diekori, suspek berusia 30-an bertindak melarikan diri menuju ke Jalan Ampang.

Difahamkan, suspek tidak mengendahkan arahan supaya menghentikan kenderaannya, sebaliknya cuba merempuh anggota polis bertugas.

Menurut sumber, kereta polis tidak berlogo yang dinaiki pegawai terbabit berjaya memintas kereta Proton Gen-2 milik suspek menyebabkan kenderaannya terhenti.

"Bagi mengelak suspek melarikan diri, pegawai terbabit memecahkan cermin kereta suspek di bahagian pemandu untuk mematikan enjin kereta terbabit. Suspek melawan dan berlaku pergelutan antara suspek dan pegawai terbabit," katanya. 

Katanya, hasil siasatan polis menemui 1,778 keping wang RM50 dipercayai palsu yang ditemui tersembunyi di dalam kereta berkenaan.

Beliau berkata, suspek memasuki negara ini menggunakan pas pelajar dan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk siasatan lanjut. - Berita Harian

Tuesday, February 9, 2010

Kemantian Muntik akibat pukulan, jangkitan kuman

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa kematian pembantu rumah warga Indonesia, Muntik Bani pada Oktober 2009 disebabkan kecederaan belakang kesan pukulan benda tumpul dengan jangkitan kuman daripada ulser di kaki kanannya.

Dr Norliza Ibrahim, 34, Pakar Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang hari ini berkata terdapat beberapa komplikasi apabila mangsa mengalami patah tulang belakang.

Keputusan Kerajaan Lulus Pekerja Asing Kerana Ekonomi Pulih - Subramaniam

NILAI, 9 Feb (Bernama) -- Keputusan kerajaan meluluskan permohonan 100,000 pekerja asing baru untuk bekerja di negara ini dalam tempoh lima bulan lepas adalah bagi memenuhi keperluan pelbagai syarikat pembuatan berikutan pemulihan ekonomi dunia hujung tahun lepas.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata ini kerana kebanyakan kilang berkenaan telah mengurangkan tenaga kerja mereka semasa krisis ekonomi dengan menghantar pulang pekerja asing ke negara asal masing-masing.

Kerani Dakwa Kerugian Akibat Ditipu Agensi Pembantu Rumah

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Seorang kerani mendakwa sebuah agensi yang membekalkan pembantu rumah di Taman Tun Dr Ismail di sini menyebabkannya kerugian kira-kira RM8,415 apabila pembantu rumah yang baru digajinya tidak sampai dua bulan melarikan diri.

Pelayan Restoran Warga Indonesia Ditemui Mati

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Seorang pelayan restoran wanita warga Indonesia ditemui mati di sebuah apartmen rumah kedai empat tingkat, di Jalan Pinggiran 1/4, Pinggiran Putra, Seri Kembangan, lewat Isnin malam.

Jumlah pekerja asing berdaftar menurun

PUTRAJAYA: Jumlah pekerja asing berdaftar di negara ini berjaya dikurangkan sebanyak 470,000, iaitu daripada 2.06 juta kepada 1.59 juta antara 2006 hingga 2009, hasil usaha berterusan kerajaan mengurangkan kebergantungan terhadap sumber tenaga asing.

Monday, February 8, 2010

Penangguhan Operasi Hanya Untuk Sektor Perkhidmatan

PUTRAJAYA, 8 Feb (Bernama) -- Keputusan kerajaan menangguhkan pelaksanaan operasi membanteras pekerja asing tanpa permit selepas sambutan Tahun Baru Cina hanya membabitkan sektor perkhidmatan sahaja, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Abdul Rahman Othman.

Beliau berkata penangguhan itu tidak termasuk untuk sektor lain seperti pembinaan dan pembuatan atau lain-lain sektor yang membabitkan pekerja asing.

Tauke gadis urut boleh dipenjara






PUTRAJAYA - Pihak-pihak yang didapati mengeksploitasi wanita asing untuk bekerja di rumah-rumah urut di seluruh negara bakal berdepan dengan hukuman berat termasuk penjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga RM50,000.

Hasil Analisis DNA Atas Cadar Padan Dengan Darah Muntik

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa profil Asid Deoksiribonukleik (DNA) yang diperoleh daripada kesan darah pada sehelai cadar adalah berpadanan dengan profil DNA darah pembantu rumah warganegara Indonesia, Muntik Bani yang meninggal dunia akibat didera, Oktober tahun lepas.

Ahli Kimia, P. Revathi, 30, berkata, beliau memperoleh keputusan itu melalui teknik Polymerase Chain Reaction-Short Tandem Repeat (PCR-STR) yang merupakan teknik utama digunakan oleh makmal DNA serata dunia dan mematuhi garis panduanantarabangsa.

Majikan Mula Komitmen Banteras Pendatang Tanpa Izin - Hishammuddin

PUTRAJAYA: Golongan majikan di negara ini mula menunjukkan komitmen dalam membantu kerajaan membanteras masalah pekerja asing tanpa izin dengan menggerakkan pelbagai usaha ke arah itu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata mereka juga telah berikrar untuk memberikan komitmen sepenuhnya bagi menyelesaikan masalah itu.

38 warga asing ditahan disyaki terbabit aktiviti perdagangan manusia

JOHOR BAHRU: Polis Johor menahan seorang lelaki warga Singapura dan 37 warga asing lain, termasuk dua kanak-kanak daripada Filipina dan Vietnam, dua hari lalu kerana disyaki terbabit dalam aktiviti perdagangan manusia.

Sunday, February 7, 2010

Jual manusia: Imigresen nafi

KUALA LUMPUR 6 Feb. - Jabatan Imigresen menafikan dakwaan bahawa wanita China yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di negara ini meloloskan diri dengan mudah di pintu masuk kawalan keselamatan negara.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...