Saturday, February 6, 2010

100,000 Permohonan Pekerja Baru Diluluskan

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) - Kerajaan meluluskan permohonan 100,000 pekerja asing baru untuk bekerja di negara ini dalam tempoh lima bulan lepas bagi memenuhi keperluan pelbagai syarikat pembuatan, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam pada Sabtu.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan tetap komited untuk mengurangkan jumlah pekerja asing di negara ini dan langkah berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat.

Jumlah pekerja asing di negara ini menurun daripada 2.2 juta kepada kira-kira 1.6 juta sejak awal tahun lepas, katanya kepada pemberita selepas melancarkan penjenamaan semula Q-Performance Consultant Sdn Bhd di sini.

"Kami perlu lakukannya secara beransur-ansur kerana permintaan syarikat untuk mengambil pekerja asing semakin meningkat apabila mereka perlu meningkatkan pengeluaran berikutan pemulihan ekonomi," kata beliau apabila ditanya sama ada sasaran kerajaan untuk mengurangkan jumlah pekerja asing dapat dicapai menjelang akhir tahun ini.

Dr Subramaniam berkata 100,000 permohonan baru itu diluluskan dalam tempoh Oktober tahun lepas hingga bulan ini bagi memenuhi permintaan empat industri -- elektronik, plastik, perabot dan sarung tangan.

Katanya kerajaan meluluskan permohonan itu sebagai langkah jangka pendek bagi mengatasi kekurangan pekerja apabila rakyat tempatan masih tidak berminat menerima tawaran yang dibuat syarikat terbabit.

Bulan lepas, kementerian berkenaan meminta syarikat di negara ini menawarkan gaji lebih tinggi bagi menarik minat rakyat tempatan, tetapi menurut laporan, tidak banyak syarikat yang sanggup berbuat demikian.

Dr Subramaniam berkata kementerian berkenaan bersedia meminda undang-undang tertentu berkaitan guna tenaga, kesatuan sekerja, keselamatan sosial, hubungan industri dan kurikulum serta skop latihan institut latihan industri supaya sejajar dengan model ekonomi baru yang akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lama lagi.

Kementerian itu menetapkan sasaran melahirkan 50 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi daripada 60 peratus tenaga kerja berkemahiran rendah atau tidak berkemahiran yang ada sekarang.

"Daripada 60 peratus ini, antara 10 dan 15 peratus tidak mempunyai sebarang kemahiran. Oleh itu, kami perlu mengkaji semula modul dan struktur latihan kami bagi memastikan lebih banyak rakyat Malaysia dapat dilatih menjadi tenaga kerja berkemahiran tinggi pada masa akan datang, katanya.

Beliau berkata pada 1970-an, kerajaan memberi tumpuan terhadap usaha melatih pekerja bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap tenaga kerja oleh sektor pembuatan, terutama industri elektronik.

"Kini, keadaan itu berubah apabila sektor perkhidmatan pula menjadi fokusnya. Sekarang, kami perlu latih pekerja bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam sektor ini agar kami mampu melahirkan tenaga kerja berpendapatan tinggi, sejajar dengan sasaran model ekonomi baru," katanya.

Dr Subramniam juga berkata Kabinet telah bersetuju pada dasarnya untuk mewujudkan satu mekanisme bagi memberi bantuan kewangan kepada wanita bukan Islam yang dalam proses penceraian dan tidak mendapat nafkah daripada suami masing-masing.

Naib Presiden MIC itu berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diberi tanggungjawab merangka mekanisme itu dalam tempoh terdekat.

Minggu lepas, Dr Subramaniam berkata beliau memohon kelulusan Kabinet dan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi mendapatkan peruntukan untuk membantu golongan tersebut.

Awal bulan ini, Kabinet meluluskan peruntukan RM15 juta sebagai bayaran nafkah pendahuluan kepada wanita Islam yang bekas suami mereka melanggar perintah mahkamah Syariah dan bayaran itu akan dituntut semula daripada bekas suami terbabit. -- BERNAMA

Polis tahan 4 wanita warga China

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki dan empat wanita rakyat China kerana disyaki terbabit dalam sindiket pemerdagangan manusia dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Klang Lama, malam kelmarin.

Dalam serbuan jam 9.30 malam itu, polis menyelamatkan seorang wanita juga rakyat China 39 tahun dipercayai mangsa sindiket berkenaan dan merampas 11 keping pasport negara terbabit.

Ketua Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), Deputi Superintendan Razali Abu Samah, berkata semua suspek berusia 35 hingga 40 tahun itu ditahan hasil risikan.

“Siasatan mendapati sindiket terbabit berpura-pura menawarkan pekerjaan kepada wanita asing sebelum menyimpan pasport mereka untuk urusan imigresen,” katanya. - Berita Harian

Sindiket jual manusia

KUALA LUMPUR 5 Feb. - Seorang wanita warga China sanggup datang beribu-ribu kilometer ke negara ini semata-mata untuk merealisasikan impiannya bekerja sebagai pakar kecantikan.

Malah dia juga membelanjakan wang kira-kira RM28,000 untuk tujuan itu termasuk bayaran bagi mendapatkan permit kerja di sini.

Malangnya segala-galanya berkecai apabila dia menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang didalangi lima rakan senegaranya.

Sejurus sampai ke negara ini, Mac lalu, dia dikurung di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama, selama 10 bulan.

Mujurlah mangsa berjaya meloloskan diri lalu meminta bantuan daripada seorang lelaki warga tempatan.

Lelaki tersebut membawa mangsa ke sebuah balai polis berhampiran untuk membuat laporan.
Ekoran laporan itu, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur telah melancarkan serbuan di kondominium tersebut dan menahan lima suspek terbabit.

Pegawai Turus Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Razali Abu Samah berkata, empat wanita itu ditahan mengikut Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Katanya, suspek lelaki itu pula disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.
"Dalam serbuan ini juga kita merampas 11 pasport antarabangsa.

"Kita sedang menyiasat kemungkinan pasport itu milik mangsa sindiket itu atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ditanya tentang modus operandi sindiket itu, Razali berkata, lelaki berusia 40-an tersebut akan mengumpan wanita dari China dengan menjanjikan peluang pekerjaan cerah di Malaysia.

Dalam 'proses' itu, kata beliau, mangsa dikehendaki membayar sejumlah wang yang selalunya mencecah puluhan ribu ringgit bagi mendapatkan pekerjaan serta permit kerja.

Namun sebaik sahaja tiba di Malaysia, beliau berkata, mangsa akan dikurung dan dibiarkan tanpa diberi permit serta pekerjaan yang dijanjikan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan banyak lagi wanita yang menjadi sindiket itu.

"Kita dalam proses untuk mengesan kesemua mereka," jelasnya. - Utusan

Operasi banteras PATI ditangguh

PUTRAJAYA 5 Feb. – Kerajaan memutuskan menangguhkan pelaksanaan operasi membanteras pekerja asing tanpa permit (PATI) selepas Tahun Baru Cina.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ini berikutan komitmen daripada para majikan untuk memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa membersihkan pekerja asing terbabit sebelum penguatkuasaan dijalankan.

‘‘Usaha menangani isu pekerja asing melibatkan semua berkepentingan.

‘‘Mereka telah mengakui ini satu perkara yang perlu ditangani dan ia tidak boleh diserahkan kepada pihak berkuasa sahaja tanpa kerjasama daripada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan 11 persatuan pengusaha restoran Cina termasuk persatuan peniaga dan penjaja kecil di sini hari ini.

Sehubungan itu, Hishammuddin berkata, mereka diarahkan untuk mengenal pasti jumlah pekerja asing terlibat termasuk mereka yang masih sah atau telah tamat tempoh.

‘‘Saya nak lihat komitmen mereka untuk mengenal pasti dan mengesahkan jumlah mereka kerana saya mempunyai data yang lengkap, jadi mereka tidak boleh sembunyi.

‘‘Semua mengakui terlibat dan ini merupakan satu masalah terutama dalam konteks keselamatan dalam usaha membina negara bangsa yang bersatu,” katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) berusaha mengurangkan kadar jenayah dalam negara dengan menambah jumlah anggota pihak berkuasa dan balai polis bergerak penghujung bulan ini.

‘‘Saya gembira indeks jenayah setakat ini didapati menurun dan kita akan bekerjasama dengan beberapa agensi dan kementerian untuk bersama-sama dalam hal ini,” katanya.

Mengenai kes-kes tertangguh, Hishammuddin berkata, KDN akan berbincang dengan Peguam Negara termasuk pihak mahkamah bagi menyelesaikan perkara itu termasuk isu dadah.

‘‘Semua kes tertangguh tidak boleh diletakkan atas bahu KDN sahaja kerana ia melibatkan kementerian dan agensi berkaitan,” katanya. - Utusan

Friday, February 5, 2010

Lagi GRO Warga Asing : 7 GRO warga China ditahan

GEORGETOWN: Tujuh wanita warga China yang menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di Jalan Argyll, ditahan dalam operasi, kelmarin.

Operasi yang dijalankan sepasukan anggota polis dari cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut itu menahan tujuh wanita warga China.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Gan Kong Meng, berkata dalam operasi jam 10 malam, semua wanita itu ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja di negeri ini dan hasil pemeriksaan seorang lelaki berusia 65 tahun yang juga pengusaha pusat hiburan berkenaan turut ditahan untuk siasatan lanjut.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Peraturan Imigresen 1959/1963 atas kesalahan melanggar syarat pas dan permit manakala pengusaha pusat hiburan berkenaan didakwa kerana menggajikan pekerja warga asing di bawah Seksyen 55B peraturan sama,” katanya. - Harian Metro

Hukuman amah culik anak majikan ditambah 2 tahun

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pagi ini mengarahkan seorang pembantu rumah Indonesia yang menculik anak majikannya November tahun lalu menjalani hukuman penjara lima tahun selepas membenarkan permohonan rayuan pihak pendakwaan terhadap hukuman penjara tiga tahun yang dijatuhkan Mahkamah Majistret, Disember lalu.

Hakim Datuk Wira Mokhtarudin Baki mengarahkan Suparmi Lamidi, 50, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh beliau ditangkap.

Suparmi sebelum ini mengaku bersalah terhadap pertuduhan menculik anak majikannya yang berusia dua setengah tahun dari rumah majikannya pada 17 November tahun lalu ketika mereka tiada di rumah. - Berita Harian

Thursday, February 4, 2010

Kerajaan Diharap Meneruskan Pembanterasan Pekerja Asing

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Kesatuan Pekerja Malaysian Airlines System (MASEU) menggesa Kementerian Dalam Negeri meneruskan operasi membanteras pekerja asing seperti yang dijadualkan pada 15 Feb.

Setiausaha eksekutifnya Mustafar Maarof berkata kementerian itu hendaklah meneruskan rancangan asalnya itu dan tidak berkompromi dengan majikan serta industri yang meminta agar oeprasi itu ditangguhkan.

"Kerajaan telah memberikan masa yang mencukupi sejak tahun 2008 untuk mereka (majikan) menggantikan pekerja asing dengan orang tempatan, tetapi tidak berhasil," katanya dalam kenyataan pada hari Rabu.

Beliau berkata permintaan majikan, industri dan pengusaha janganlah dilayan dan tidak ada perkara seperti keputusan tidak wajar dan tidak mesra oleh Jabatan Imigresen untuk melancarkan pembanterasan itu sebagai yang didakwa oleh mereka," tambah beliau. -- BERNAMA

Wednesday, February 3, 2010

Pembantu rumah Mindanao untuk majikan Islam

KUALA LUMPUR: Masyarakat Islam Malaysia akan dapat menggaji pembantu rumah beragama Islam dari Mindanao, Filipina, tidak lama lagi.

Ini berikutan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara pihak berkuasa Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM) dan sekumpulan 20 agensi pembantu rumah asing dari Malaysia (G20) di sini hari ini.

Pengerusi G20, Datuk Raja Zulkeply Dahalan, berkata kerjasama itu akan membolehkan mereka membekalkan pembantu rumah berkualiti dengan bayaran yang munasabah, selain memenuhi permintaan daripada majikan beragama Islam.

"Kami berdepan kesukaran untuk mendapatkan pembantu rumah beragama Islam dari negara seperti Vietnam dan Kemboja. Menerusi program ini, ramai pembantu rumah beragama Islam dapat dibawa ke Malaysia untuk bekerja dengan majikan beragama Islam," katanya kepada selepas majlis menandatangani MoU itu.

Sementara itu, Setiausaha Jabatan Buruh dan Pekerjaan ARMM, Myra Mangkabung Alih, berkata program itu akan membantu banyak keluarga dalam wilayah ini untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

"Berdasarkan statistik pada 2006, 55 daripada 100 keluarga di Mindanao adalah miskin dan jumlah itu semakin meningkat setiap tahun. Melalui program ini, kami berharap dapat menyediakan pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik kepada lebih ramai orang," katanya. 

Beliau berkata, sejumlah 6,000 pembantu rumah terlatih akan diambil bekerja di Malaysia setiap tahun dan pengambilan akan bermula penghujung bulan depan dan kedua-dua pihak masih membincangkan kadar gaji yang bersesuaian. - Berita Harian

Wanita Dan Anak Dituduh Bunuh Pembantu Rumah

MELAKA, 3 Feb (Bernama) -- Seorang wanita dan anak lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini Rabu kerana dituduh membunuh pembantu rumah mereka, seorang warganegara Indonesia di Taman Peringgit Jaya di sini pada 21 Jan lepas.

K. Letchmy, 55, seorang pengusaha kantin di sebuah kolej perubatan di sini dan anak lelakinya, K.Kannan, 26, pelajar sebuah universiti di Australia dalam jurusan masakan, didakwa telah menyebabkan kematian Nurul Afidah M Nur, 31, berasal dari Bokak, Indonesia, pada 5.30 pagi.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Ssksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Letchmy, yang berpakaian sari, dan Kannan yang memakai kemeja-T, masing-masing kelihatan tenang semasa pertuduhan dibaca dalam bahasa Tamil dan mengangguk faham.

Tiada pengakuan dicatatkan daripada kedua-duanya yang diwakili peguambela, Shashi M.Kannan.

Majistret Muhanmmad Faizal Ismail menetapkan 6 April ini sebagai tarikh sebutan kes untuk pihak pendakwaan melengkapkan laporan kimia dan bedah siasat.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Haslinda Abu Bakar. -- BERNAMA

PGM Sandakan Tahan Tekong Laut Bersama 15 PATI

SANDAKAN, 3 Feb (Bernama) -- Polis Gerakan Marin (PGM) di sini berjaya menahan seorang tekong laut warga asing bersama 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Operasi Tayang yang dijalankan di perairan Pulau Berhala di sini pada Selasa malam.

Pegawai Pemerintah PGM Sandakan ASP Muhammad Sallam Spawi berkata tekong laut dan PATI berkenaan ditahan kira-kira pukul 3 pagi selepas dipercayai cuba memasuki negara ini secara tidak sah dengan menaiki sebuah kapal dari Filipina.

Katanya pemeriksaan ke atas kapal atau kumpit tersebut mendapati seramai 15 penumpang daripada 22 orang warga Filipina yang berada di kapal itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

"Kesemua PATI yang ditahan itu berusia tiga bulan hingga 70 tahun dan turut ditahan adalah juragan kapal berkenaan iaitu seorang lelaki warga Filipina berusia 20 tahun yang dipercayai bertindak sebagai tekong laut," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau kesemua PATI berkenaan diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya. -- BERNAMA

Imigresen serbu pusat urut




JOHOR BAHRU 2 Feb. - "Nak urut biasa atau spesial. Kalau spesial RM130".

Itu jawapan seorang pelanggan ketika ditanya kakitangan Jabatan Imigresen yang melakukan penyamaran sewaktu menyerbu sebuah pusat urut di Taman Daya, kira-kira pukul 1 petang di sini hari ini.

Dipercayai, tukang urut warga Thailand di pusat itu turut menawarkan khidmat seks dengan bayaran istimewa.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa, Jabatan Imigresen Johor, Masri Adul berkata, seramai sembilan wanita warga Thailand yang bekerja sebagai tukang urut di pusat itu ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan.

"Tukang urut yang ditahan itu berusia antara 21 hingga 43 tahun dan kita turut menahan seorang lelaki berusia 33 tahun yang merupakan majikan mereka.

"Kita tidak menolak kemungkinan tukang urut menawarkan perkhidmatan tidak bermoral berdasarkan perbualan dengan pelanggan," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Masri berkata, ketika serbuan, beberapa tukang urut bersembunyi di dalam tandas dan ada juga yang bertindak melarikan diri keluar dari pusat itu.

Bagaimanapun kata beliau, kesemua mereka berjaya ditahan dengan dua daripada mereka ketika itu sedang asyik mengurut pelanggan.

Menurut Masri, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan.

Sementara itu dalam serbuan berasingan, beliau berkata, seramai 13 warga Indonesia dan Bangladesh ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen di sebuah restoran di Pasir Gudang, dekat sini.

Katanya, mereka yang ditahan dalam serbuan pukul 4 petang itu berusia antara 25 hingga 53 tahun.

"Lima lelaki dan lapan wanita warga asing itu ditahan kerana ada yang tinggal melebihi masa, ada juga yang menyalahgunakan pas lawatan, malah ada yang langsung tiada dokumen," katanya. - Utusan

9 ditahan disyaki dalang seludup pendatang asing

JOHOR BAHRU: Sembilan ditahan, termasuk seorang lelaki tempatan dipercayai dalang kegiatan penyeludupan pendatang tanpa izin selepas Polis Marin mengejar sebuah van selama 20 minit di Pengerang, dekat sini, awal pagi semalam. - Berita Harian

Tuesday, February 2, 2010

JIPP Warga Asing - Portal iKDN


Isu lambakan warga asing telah menjadi fokus gerak kerja utama KDN bagi tahun 2010. Sehubungan itu KDN telah menubuhkan Jawatankuasa Induk Penambahbaikan Pengurusan dan Pemantauan Warga Asing atau JIPP Warga Asing. Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein adalah pengerusi kepada jawatankuasa itu.

"Saya melihat perkara ini (lambakan warga asing) secara serius dan terperinci kerana sekiranya ia tidak dibendung, ia akan menjadi masalah besar kepada negara. Bahkan ia akan membawa kesan negatif kepada rakyat," katanya ketika menemui media pada 27 Januari lalu.

Mesyuarat pertama JIPP Warga Asing telahpun diadakan pada 12 Januari 2010. Mesyuarat pertama itu telah memutuskan untuk memberi keutamaan kepada usaha mengkai penambahbaikan empat aspek utama; iaitu prosidur kemasukan, mekanisma pemantauan dan penyediaan sistem maklumat, strategi penguatkuasaan dan semakan perundangan.

"Empat buah jawatankuasa kerja telah ditubuhkan susulan dari mesyuarat itu yang kini sedang meneliti setiap aspek yang telah dinyatakan tadi. Isu-isu yang berbangkit berkait dengannya akan dibentangkan dalam mesyuarat JIPP Warga Asing kali ke-2 pada 11 Februari ini," katanya lagi.

Cadangan penambahbaikan dan strategi yang dicapai akan dibentangkan di Jawatankuasa Kabinet mengenai Pekerja Asing dan PATI (JKKPA/PATI) yang dipengerusikan pula oleh Timbalan Perdana Menteri. - Portal iKDN

Lambakan Warga Asing - Portal iKDN

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (TPM) telah mengarahkan KDN agar mengambil tindakan tegas dalam menangani isu lambakan warga asing. Tindakan itu juga wajar dalam keadaan segera. Arahan dan harapan TPM itu disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein kepada kumpulan wartawan ketika sidang akhbar di KDN pada 27 Januari.

"YAB TPM mahu setiap warga asing yang memasuki negara ini secara sah dalam apa jua kapasiti dipantau sehinggalah mereka meninggalkan negara ini," ulasnya. Menurut MDN itu lagi TPM juga menyarankan agar KDN memantapkan lagi mekanisma pemantauan dan gerakan penguatkuasaan perlu dimantapkan untuk menghalang dan mengusir warga asing yang berada di negara ini secara haram.

Sebelum itu TPM telah diberi taklimat berhubung isu warga asing. Taklimat pada 19 Januari itu meliputi gambaran keseluruhan kategori warga asing yang berada di negara ini dan prosidur kemasukan yang digunapakai. Selain itu turut disentuh ialah agensi-agensi kerajaan yang terlibat memproses kemasukan tersebut.

"Selain itu taklimat berkenaan juga membentangkan cadangan gerak kerja KDN dalam menangani isu lambakan warga asing yang tidak mempunyai status semasa yang sah mengikut undang-undang negara," katanya.

Secara keseluruhannya terdapat 13 kategori warga asing yang terdapat di Malaysia. Sementara itu lebih dari 20 kementerian dan agensi terlibat dalam proses kemasukan dan pemantauan warga asing. - Portal iKDN

PGM Sandakan Tahan 12 Pati Cuba Masuk Ke Sabah

SANDAKAN, 2 Feb (Bernama) -- Polis Gerakan Marin (PGM) di sini berjaya mematahkan cubaan 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup masuk ke daerah ini apabila mereka berjaya ditahan di pesisir Sungai Lombong di Batu 7 di sini Isnin.

Pegawai PGM Sandakan ASP Muhammad Sallam Spawi berkata turut ditahan adalah dua lelaki rakyat tempatan berusia 24 dan 33 tahun yang bertindak sebagai tekong darat dan pemandu kenderaan membawa masuk PATI warga Filipina berkenaan.

Katanya kesemua PATI yang berusia lima hingga 57 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan pada pukul 7.40 malam dan ketika itu mereka dipercayai baru sampai dari negara jiran.

"PATI berkenaan yang terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita dewasa serta tiga kanak-kanak dipercayai hendak dihantar ke Kampung Bahagia di sini sebelum dibawa ke Kota Kinabalu," katanya pada sidang akhbar di sini Selasa.

Menurut beliau operasi tersebut merupakan operasi rutin yang dijalankan oleh pihaknya dalam membanteras kemasukan PATI ke Sabah melalui daerah ini dan ditumpukan di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti sebagai tempat mereka mendarat.

Beliau meminta kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat dalam usaha membanteras kemasukan PATI dan jenayah dengan menghubungi talian 089-221423, 089-221424 atau 089-221453. -- BERNAMA

Polis Marin Selangor Tahan Kapten Feri Dan 48 Pendatang Tanpa Izin

PELABUHAN KLANG, 2 Feb (Bernama) -- Polis Marin Selangor berjaya menahan 48 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba menyusup keluar dari negara ini di perairan Bagan Hailam, dekat Pulau Ketam, hari Selasa.


Dalam kejadian pukul 9.30 pagi tadi itu, sembilan krew feri termasuk kaptennya yang juga warga Indonesia berusia 40-an turut ditahan.

Pegawai Pemerintah Polis Marin Pelabuhan Klang, DSP Norzaid Muhammad Said, berkata kesemua PATI berkenaan ditahan dalam feri penumpang berkenaan yang dalam perjalanan ke Tanjung Balai Asahan, Indonesia.

"Ketika pemeriksaan, pihak kami mendapati kesemua PATI berkenaan bersembunyi di dalam sebuah ruang khas yang diletakkan di bawah bilik enjin feri tersebut bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

"Hasil siasatan mendapati kesemuanya tidak mempunyai dokumen yang sah atau tamat tempoh," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Pangkalan Polis Marin Klang di sini.

Beliau berkata siasatan juga mendapati setiap PATI berkenaan membayar kira-kira RM1,000 kepada sindiket terbabit untuk membawa mereka keluar.

Katanya, kesemua PATI berkenaan, yang terdiri daripada 28 lelaki dan 20 perempuan dan berumur antara 21 hingga 42 tahun diserahkan kepada polis di Balai Polis Pelabuhan Klang sebelum dikenakan tindakan lanjut mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002).

Menurutnya kapten feri pula ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) di bawah akta yang sama manakala feri terbabit akan diserahkan kepada Jabatan Laut untuk siasatan lanjut. --BERNAMA

Pelajar Warga China Dakwa Ditipu RM9,000, Visa Tidak Diperbaharui

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Hasrat seorang pelajar wanita warga China untuk pulang menyambut Tahun Baru China bersama keluarganya terbantut selepas visanya tidak diperbaharui walaupun telah menyerahkan wang sebanyak RM9,000 kepada seorang ejen tempatan.

Pengerusi Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata kejadian berlaku apabila mangsa, 23, pelajar jurusan muzik di sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dekat sini meluahkan hasrat kepada ejen berkenaan untuk pulang ke China menyambut perayaan itu pada akhir bulan lepas.

"Visanya tamat tempoh pada Nov lepas dan sebelum tempoh itu mangsa bersama tiga lagi rakannya telah menjelaskan bayaran kepada ejen berkenaan untuk menyambung visa."

"Mangsa kemudian menempah tiket secara online dengan harapan visanya telah diperbaharui dan membolehkannya menyambut Tahun Baru China bersama keluarga," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Chong berkata mangsa mendakwa menghubungi ejen terbabit yang hanya dikenali sebagai Wong, 40-an untuk mendapatkan kepastian mengenai perbaharuan visanya dan ejen terbabit berjanji akan menyerahkan pasport bersama visanya.

Namun selepas beberapa hari, ejen berkenaan tidak menghubungi mangsa terbabit yang kemudiannya bertindak menghubungi Jabatan Imigresen untuk mengetahui status visanya, katanya.

Mangsa diberitahu bahawa pasportnya ada bersama jabatan terbabit namun mangsa perlu menyerahkan membayar denda kerana tinggal melebihi masa yang ditetapkan.

Chong berkata mangsa yang mensyaki dirinya dan rakannya ditipu kemudian cuba menghubungi ejen terbabit untuk mendapatkan penjelasan namun gagal sehinggalah tarikh penerbangannya terlepas.

Dua daripada rakan mangsa yang lain membayar denda untuk pulang ke kampung halaman manakala mangsa dan seorang lagi rakannya kini terbantut untuk pulang kerana semua wang telah diserahkan kepada ejen itu.

Chong berkata beliau telah menghubungi sendiri ejen itu namun ejen berkenaan menafikan terlibat dalam penipuan itu.

Katanya kes ini akan dirujuk kepada peguam Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA untuk tindakan selanjutnya selain dibawa kepada pengetahuan Kementerian Pengajian Tinggi untuk mendapatkan bantuan kepada mangsa terlibat. -- BERNAMA

Kelonggaran pemegang kad UNHCR

PADANG BESAR: “Jika tidak bekerja mereka hendak makan apa di negara ini, jadi kita beri kelonggaran mereka bekerja tetapi secara sambilan atau tidak tetap,” kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Mahmood Adam, mengulas kedudukan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

BASMI...(dari kiri) Mahmood, Ghazali dan Hasbullah menunjukkan banting Pemerdagangan Orang.
BASMI...(dari kiri) Mahmood, Ghazali dan Hasbullah menunjukkan banting Pemerdagangan Orang. 
 
Katanya, kerajaan tidak mengiktiraf status UNHCR tetapi atas dasar ihsan dan perikemanusiaan, kelonggaran diberikan kepada pemegang kad terbabit untuk menetap dan mendapat pembelaan di negara ini.

“Mereka boleh bekerja secara sambilan untuk menyara kehidupan di negara ini,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Taklimat Anti Pemerdagangan Orang kepada barisan pegawai dan anggota badan penguat kuasa sempadan terutama di bawah bidang kuasa KDN di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Perlis, Datuk Ghazali Mohd Amin dan Timbalan Pengarah Imigresen negeri, Hasbullah Abdul Rashid. - Harian Metro

Sunday, January 31, 2010

Akta Anti-Pemerdagangan 2007 boleh dipinda walaupun baru dikuatkuasa: Mahmood

PADANG BESAR: Meskipun baru diwujudkan Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 (AAO 2007),ia boleh dipinda dari semasa ke semasa bagi memantapkannya, kata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mahmood Adam.

Pada 28 Februari ini, katanya, akta itu akan genap dua tahun dikuatkuasakan namun sudah ada pindaan yang dilakukan bagi memastikan pelaksanaannya berkesan.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan taklimat kepada anggota di bawah jabatan dan agensi kementerian itu di sini, malam tadi.

Katanya, setakat ini sebanyak 180 orang sudah didakwa mengikut akta itu.

Bagaimanapun, hanya 10 individu disabitkan kesalahan, manakala kes selebihnya masih belum diselesaikan.

Di bawah akta itu, mereka yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga RM500,000 atau keduanya sekali. 

"Saya sudah arahkan semua jabatan dan agensi di bawah kementerian menggunakan akta ini," katanya.

Mengulas sama ada masih mempunyai ruang untuk dieksploitasi oleh pendatang asing tanpa izin, Mahmood berkata, setiap ruang dan peluang akan ditutup melalui pindaan-pindaan dalam akta itu.

"Kita tidak mahu ada orang teraniaya kerana akta itu dan kita akan siasat secara menyeluruh dan terperinci sebelum melakukan pendakwaan," katanya.

Mengenai kebanjiran warga asing yang memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), beliau berkata, perkara itu akan ditangani dengan bijak.
Katanya, Jabatan Imigresen dan UNHCR sudah berbincang supaya satu kad khas dikeluarkan kepada mereka yang disahkan sebagai pelarian itu.

Bagaimanapun, menurutnya, Malaysia hanya menghulurkan simpati tetapi tidak mengiktiraf pelarian yang kini berjumlah lebih 45,000 orang itu.

"Mereka tidak boleh bekerja secara tetap di negara ini tetapi diberi kelonggaran bekerja sambilan," katanya.

Ditanya kemungkinan wujud pemegang kad UNHCR palsu, beliau berkata, perkara itu sedang ditangani termasuk cadangan mengeluarkan kad khas kepada mereka.

Mengenai taklimat AAO 2007, Mahmood berkata, kesemua petugas di 126 pintu sempadan negara ini telah diberi taklimat mengenai akta itu.

Katanya, masih ada kakitangan jabatan dan agensi di bawah kementerian itu yang belum jelas mengenai akta itu dan yang demikian mereka perlu didedahkan dengannya melalui taklimat seumpama itu. - Berita Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...