Saturday, January 30, 2010

Tambah reman lima hari

MELAKA: Polis mendapat perintah reman tambahan selama lima hari ke atas enam individu termasuk tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pembantu rumah warga Indonesia daripada Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata keenam-enam suspek berkenaan kini akan ditahan sehingga 3 Februari depan.

Akhbar sebelum ini melaporkan pembantu rumah berusia 31 tahun itu yang bekerja di rumah majikannya Taman Peringgit Jaya, dekat sini, meninggal dunia ketika dibawa ejen pembantu rumah ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan pada 21 Januari lalu.

Laporan bedah siasat terhadap mayat mangsa terbabit mendapati sebab kematiannya berpunca daripada kesan kecederaan akibat 'blunt trauma' atau kecederaan objek tumpul dan keras pada bahagian abdomen dan dada mangsa.

Berikutan itu, enam suspek ditahan bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Harian Metro

Warga India digantung

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman gantung terhadap seorang lelaki warga India, selepas didapati bersalah atas tuduhan mengedar ketamin seberat 25 kilogram, dua tahun lalu.

Tertuduh, Athiseshan Singaram, 48, didakwaan mengedar ketamin di kaunter pemeriksaan Kastam D, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), jam 3.30 petang, 26 Julai 2008. - Harian Metro

3 warga Iran seludup dadah RM500,000 diberkas

SHAH ALAM 29 Jan. - Tiga warga Iran ditahan setelah cuba menyeludup 266 biji kapsul dadah dipercayai syabu bernilai RM500,000 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Isnin lalu.

Lebih memeranjatkan, mereka sanggup menelan semua dadah itu dan juga berjaya melepasi pemeriksaan keselamatan pihak Kastam dan Imigresen di pintu keluar KLIA.

Mereka bagaimanapun ditahan polis di kaunter teksi lapangan terbang itu setelah dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga lelaki yang berusia dalam lingkungan 40-an itu masing-masing menelan 100 biji, 60 biji dan 106 biji kapsul.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, semua kapsul tersebut dipercayai ditelan dalam tempoh lebih daripada 24 jam sebelum mereka ditahan.

Katanya, polis terpaksa mengambil masa selama empat hari untuk mengeluarkan semua kapsul itu daripada tubuh suspek-suspek dengan bantuan pengamal perubatan di Hospital Serdang.

Beliau berkata, berat keseluruhan kapsul-kapsul dadah bersaiz sebesar belimbing buluh itu ialah 1.9 kilogram.

"Suspek-suspek ini tiba ke negara ini dari Dubai, Isnin lalu pada pukul 6 petang dan berjaya melepasi pemeriksaan keselamatan di KLIA.

"Bagaimanapun, setelah mendapati keadaan suspek mencurigakan, mereka dibawa ke hospital untuk menjalani ujian X-ray dan kita mendapati terdapat objek pelik di dalam badan mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Nordin, penahanan tiga suspek berkenaan adalah antara kejayaan pihak keselamatan negara dalam menghalang penyeludupan dadah antarabangsa menggunakan kaedah 'kurier manusia.'

"Selain dadah, kita turut menemui wang tunai RM1,250, 81,000 riyal Iran (RM28) dan AS$785 (RM2,681) bersama-sama mereka," jelasnya.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, dadah itu dihasilkan di sebuah makmal haram di Afghanistan atau Pakistan untuk diseludup masuk bagi pasaran di negara ini.

Malah tambah beliau, siasatan turut merangkumi pihak yang akan ditemui oleh suspek-suspek di Kuala Lumpur untuk menyerahkan kapsul syabu tersebut.

Nordin berkata, ketiga-tiga suspek kini ditahan reman sehingga Isnin depan untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, Nordin memberitahu Jabatan Narkotik Selangor telah mencatatkan 14,096 kes tangkapan dan seramai 18,077 orang ditahan atas kesalahan dadah sepanjang tahun lalu.

Beliau berkata, jumlah tersebut meningkat berbanding pada 2008 iaitu 11,907 kes tangkapan dengan 15,084 orang yang ditahan.

"Tahun lalu juga menyaksikan sebanyak 502.25 kilogram dadah dirampas berbanding rampasan pada tahun sebelumnya 23.52 kilogram.

"Jenis dadah yang paling banyak dirampas ialah ganja. Kesemua dadah yang dirampas pada tahun lalu bernilai sebanyak RM20 juta," ujarnya. - Utusan

Anasir jahat guna dokumen palsu mohon VOA, visa pelajar

KUALA LUMPUR: Pengeluaran visa waktu ketibaan (VOA) dan visa pelajar yang tidak dikawal, khususnya kepada warga Afrika dan Asia Barat, dipercayai antara punca negara ini mudah ‘ditembusi’ rakyat asing, termasuk anasir jahat.

Difahamkan, ada antara mereka sanggup mengambil risiko menggunakan dokumen perjalanan palsu ketika memohon VOA semata-mata untuk memudahkan mereka keluar masuk negara ini, selain menyembunyikan tujuan sebenar kunjungan mereka.

Sumber memberitahu Berita Harian, dalam proses permohonan kedua-dua visa itu, memang sukar untuk dipastikan sama ada ia dimohon oleh pelancong dan pelajar yang sah, atau sekadar mengaburi identiti sebenar untuk kegiatan haram mereka.

“Ini yang menjadi masalah, sebab tiada kawalan terhadap pengeluaran kedua-dua visa itu, selain kelemahan dari segi pemantauan. Kita memang tidak tahu dalam ramai-ramai yang memohon itu, siapa sebenarnya pelancong dan pelajar sah. 

“Kita percaya kesempatan ini yang digunakan rangkaian pengganas antarabangsa untuk keluar masuk Malaysia,” kata sumber itu.

Pada 21 Januari lalu, 42 lelaki dipercayai suspek pengganas ditahan di dua rumah di Kampung Sungai Chincin, Gombak dalam serbuan Pasukan Khas (Operasi/Antipengganas) Bukit Aman hasil maklumat risikan.

Bagaimanapun, 32 daripadanya dibebaskan tanpa syarat selepas disoal siasat, manakala 10 lagi, termasuk seorang rakyat tempatan ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menurut sumber, kumpulan terbabit dipercayai menyalahgunakan visa masing-masing untuk memasuki negara ini secara sah, sekali gus memastikan pergerakan mereka tidak menimbulkan syak kepada pihak berkuasa.

“Kita percaya mereka sengaja memilih kampung itu kerana lokasinya agak terpencil, selain mempunyai komuniti Arab dan Afrika di situ. Ini satu kelebihan kepada mereka untuk melindungi kegiatan pengganas yang dilakukan,” katanya.

Sumber berkata, tidak semua suspek pengganas atau penjenayah antarabangsa boleh dikesan atau ditahan.

“Biasanya, Interpol akan memaklumkan kepada kita jika ada senarai individu dikehendaki mereka untuk pelbagai kes jenayah, termasuk kegiatan pengganas. Ia selalunya dimaklumkan kepada Interpol Malaysia di Bukit Aman.

“Namun, bagaimana kita mahu mengesan penjenayah atau pengganas jika mereka memalsukan identiti dan mengubah imej. Mereka pun bijak dan sentiasa mempunyai helah untuk mengelak dari ditangkap,” katanya.

Sementara itu, Kedutaan Syria di sini dalam satu kenyataan, semalam, mengesahkan sudah dimaklumkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penahanan warganya dalam serbuan, Khamis minggu lalu lalu.

Kenyataan itu menyebut: “Kerajaan Syria memandang serius perkara ini dan akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa di Malaysia dalam menjamin keselamatan dan kestabilan negara ini.”

Dalam kenyataan itu, Syria turut mengulangi pendiriannya menentang keganasan global. - Berita Harian

Friday, January 29, 2010

Geng Peru kembali ligat

KUALA LUMPUR: Geng seluk saku dipercayai didalangi warga Peru dikesan aktif semula menjalankan kegiatan selepas beberapa ketika 'berehat' dan kini menjadikan sebuah kompleks beli-belah terkemuka sebagai operasi baru geng itu.

Dalam kejadian terbaru kira-kira jam 7.20 malam kelmarin, geng berkenaan terdiri daripada lima orang termasuk seorang wanita berlegar-legar di sebuah kompleks beli-belah di ibu kota, di sini, untuk mencari mangsa sebelum seorang daripada mereka iaitu seorang wanita berusia lingkungan 40-an ditahan detektif dalaman kompleks itu.

Difahamkan, wanita berkenaan bersama empat lagi rakannya berlagak ala pelancong dikesan berlegar dalam kompleks berkenaan sebelum menemui mangsa ketika itu sedang menjamu selera bersama dua lagi rakan di sebuah restoran. Tindakan mangsa meletakkan beg tangan di bawah kerusi menarik perhatian geng berkenaan yang kemudian memulakan rancangan meragut beg mangsa.

Detektif dalaman kompleks beli-belah berkenaan, Ridzuan Mahadi berkata, ketika kejadian dia dan beberapa rakannya mula mengekori geng berkenaan selepas mendapati gelagat mereka agak mencurigakan.

“Berdasar pemerhatian, selepas geng itu mengenal pasti mangsa, suspek wanita berkenaan kemudian berlagak seperti melihat barangan dipamerkan di kedai berhampiran, sebelum rakan lain datang.

Dengan lagak sedang berbual telefon, dia kemudian berpura-pura terlanggar susunan kotak mengisi kek di kedai bersebelahan. “Sambil berbual di telefon, suspek kemudian menguis kotak jatuh di lantai ke bawah kerusi diduduki mangsa, manakala rakan wanitanya mula menghampiri meja mangsa perlahan-lahan, sebelum berlakon seperti mahu mengambil kotak berkenaan.

Bagaimanapun tujuannya adalah mencapai beg tangan mangsa. “Lakonan dan modus operandi digunakan menggambarkan mereka sebagai penjenayah profesional apabila mangsa serta dua lagi rakannya langsung tidak sedar beg tangan miliknya dilarikan,” katanya.

Bagaimanapun, tindakan pantas detektif dalaman pusat beli-belah itu berjaya mematahkan cubaan suspek wanita mencapai beg tangan mangsa yang ketika itu leka berbual. Kejayaan itu, turut dibantu seorang lagi anggota bertugas di bilik kawalan, yang memerhatikan semua perancangan dilakukan suspek menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

“Suspek yang panik cuba mencampak semula beg diragut itu ke bawah kerusi dan berlakon seolah-olah dia tidak melakukan kesalahan malah menuduh kami memfitnahnya menyebabkan berlaku sedikit kekecohan,” katanya. - Harian Metro

Thursday, January 28, 2010

'Bos syak saya'

KUALA LUMPUR: “Saya kena buang kerja tanpa notis sebab bos syak saya buat aduan pada Imigresen sehingga diserbu tiga minggu lalu,” luah satu-satunya pekerja wanita Malaysia di sebuah restoran.

Enggan identitinya dikenali, dia yang kini sarat hamil tujuh bulan bengang tindakan bekas majikannya itu kerana bersikap tidak adil terhadapnya. “Pada malam serbuan itu, saya sudah balik rumah dan pada keesokan harinya baru saya tahu mengenainya. Apabila saya masuk kerja, bos marah-marah dan tuduh saya yang bukan-bukan.

“Banyak kali saya cakap pada dia bukan saya yang mengadu tapi dia tak percaya dengan alasan jika bukan saya siapa lagi yang berani buat sebab semua operasi dalam restoran itu saya tahu,” katanya sebak. Harian Metro pada 14 Januari lalu melaporkan dua wanita warga Filipina yang leka menyambut panggilan pelanggan terkedu apabila restoran tempat mereka bertugas di Bangsar Baru di sini, diserbu pihak berkuasa.

Malah, wanita berusia 20 hingga 30-an itu yang bertugas sebagai telefonis di restoran terbabit turut menangis apabila mengetahui mereka bakal ditahan.

Dalam operasi khas dilakukan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Kuala Lumpur kira-kira jam 9.40 malam, pada 13 Januari lalu, dua wanita itu berada dalam bilik sistem pesanan dan sedang bekerja. Menurutnya, dia hanya mahukan keadilan kerana sudah banyak membantu bekas majikannya itu, tetapi selepas kes ini, dia dibuang seperti sampah.


“Dia pecat dan hanya membayar saya RM1,150 iaitu kurang daripada gaji asal yang sepatutnya saya dapat iaitu RM1,500,” katanya yang pernah diugut bekas majikannya. Khuatir dirinya diancam bekas majikannya, dia nekad membuat laporan di Balai Polis Bangsar, dua hari selepas serbuan terbabit dan turut melaporkan masalahnya ini kepada Jabatan Buruh dan imigresen. - Harian Metro

Kesan darah dalam tandas tempat Muntik dikurung

SHAH ALAM: Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini beberapa kesan darah ditemui di dalam tandas tempat pembantu rumah warganegara Indonesia, Muntik Bani, dikurung selama dua hari dua malam.

Juruanalisis Tempat Kejadian Jenayah, ASP Zainol Hisham Abu, yang bertugas di Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia, Cheras, berkata kesan darah itu ditemui ketika beliau dan pasukannya menjalankan siasatan di rumah tertuduh, A Murugan, pada 26 Oktober lalu.

"Beberapa tempat di dalam tandas itu diuji kehadiran darah dengan ujian Hemocult Sensa dan ujian adalah positif pada lubang saluran air keluar dari bilik tandas itu.

"Ujian dengan menggunakan Lighting Luminol juga dilakukan di tandas itu dan beberapa kesan biru dipercayai darah didapati di lantai bilik tandas di celah jubin dan sekitar mangkuk tandas dan sekeliling kerangka pintu bilik tandas itu," katanya semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar pada hari kesembilan perbicaraan kes Murugan, 35, yang didakwa membunuh Muntik, 40.

Tertuduh, penjual air tebu, didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di No 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Oktober tahun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Muntik yang berasal dari Surabaya, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, pada 26 Oktober lalu setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan. 

Zainol Hisham, 49, berkata semasa pemeriksaan di rumah tertuduh, beliau turut mengambil beberapa barang kes seperti gumpalan rambut yang ditemui di dalam bakul sampah, seutas gelang, sebatang mop, sebatang pemukul gendang, salur getah berwarna hitam dan pengelap kaki.

Ditanya Mohd Dusuki mengapa beliau tidak mengambil bakul sampah sebagai barang kes, saksi ke-25 pendakwaan itu berkata hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas bakul sampah menggunakan alat bantuan forensik tidak menemui sebarang kesan darah.

"Saya ada suluh di dalam tong sampah menggunakan lampu crimelite dan didapati hanya nampak gumpalan rambut, sebab itu saya ambil rambut sahaja. Alat itu (crimelite) boleh kesan cap jari, air liur, darah dan kesan air mani tetapi ia tidak tunjuk sebarang kesan darah di bakul sampah itu," katanya.

Saksi itu berkata, beliau juga tidak membuat pendebuan cap jari untuk menimbulkan kesan cap jari di bahagian dapur dan tandas rumah tertuduh berikutan kawasan itu telah dibersihkan sebelum pasukan forensik tiba.
Zainol Hisham berkata, pada 28 Oktober lalu dua hari selepas kematian Muntik, beliau dan pasukannya menjalankan siasatan di rumah bekas majikan Muntik, Puah Hooi Sueew di No 2, Jalan Datuk Shahbudin 5, Taman Sentosa, dan pemeriksaan ke atas beberapa perkakas berkebun serta bilik air yang berada di rumah berkenaan tidak menemui sebarang kesan darah.

Saksi itu berkata dalam pemeriksaan berkenaan beliau juga mengambil beberapa barang kes yang berkaitan dengan mangsa seperti sarung bantal, cadar dan selimut.

Ditanya Mohd Dusuki mengapa beliau tidak merampas sekali tilam yang digunakan Muntik di rumah bekas majikannya, Zainol Hisham berkata pemeriksaan ke atas tilam itu tidak menemui sebarang kesan darah.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa bersambung esok. - Berita Harian

Nirmala fail saman ganti rugi terhadap bekas majikan

KUALA LUMPUR 28 Jan. – Bekas pembantu rumah, Nirmala Bonat memfailkan saman ganti rugi terhadap kedua-dua bekas majikannya, Yim Pek Ha dan Hii Ik Ting bagi kesakitan dan penderitaan yang ditanggungnya sepanjang bekerja dengan pasangan tersebut.


Mahkamah Tinggi di sini pada 3 Disember lalu mengurangkan hukuman penjara daripada 18 tahun kepada 12 tahun ke atas Pek Ha yang disabitkan atas tiga tuduhan mencederakan Nirmala lima tahun lalu.

Pek Ha sebelum ini didakwa atas tiga tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Nirmala menggunakan seterika dan air panas pada Januari, Mac dan April 2004 di rumahnya di 22B-25-6, Villa Putera, Jalan Tun Ismail di sini. – Utusan

Wednesday, January 27, 2010

Penghargaan buat TKI : Kerajaan Indonesia Beri Pasport Percuma Kepada TKI

JAKARTA, 27 Jan (Bernama) -- Kerajaan Indonesia memberikan pasport percuma kepada para calon Tenaga Kerja Indonesia (TKI) yang akan bekerja di luar negeri, termasuk di Malaysia.

Langkah itu merupakan perubahan dasar pentadbiran Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang dilaksanakan melalui Menteri Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Patrialis Akbar.

Patrialis berkata pemberian pasport percuma kepada para calon tenaga kerja Indonesia yang pertama kali bekerja di luar negeri bertujuan meringankan pembiayaan mereka, yang umumnya merupakan golongan tidak berkemampuan.

"Maka negara harus memberikan subsidi dan keutamaan kepada mereka," katanya dalam laman web Direktorat Jenderal Imigresen kementerian itu.

Dianggarkan bahawa 350,000 TKI akan menikmati faedah pasport percuma itu dalam masa setahun.

"Jika biaya pasport Rp50,000, maka dalam satu tahun beban TKI secara nasional yang ditanggung oleh negara ialah sebesar Rp17.5 bilion", katanya. -- BERNAMA

Kes Amah Indonesia Curi Barang Majikan Disebut Semula 7 Mac


KUALA TERENGGANU, 27 Jan (Bernama) -- Mahkamah Juvana di sini Rabu menetapkan 7 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes seorang pembantu rumah warga Indonesia yang menghadapi tuduhan mencuri beberapa barangan milik majikannya pada 6 Jan lalu.

Majistret Wan Nor Aklima Wan Salleh membuat keputusan itu setelah peguam bela tertuduh yang dilantik oleh Kedutaan Indonesia, Raftfizi Zainal Abidin mengemukakan salinan surat beranak tertuduh yang menunjukkan nama dalam kertas pertuduhan sebelum ini tidak tepat dengan identiti sebenar tertuduh .

Berikutan itu, Wan Nor Aklima mengarahkan pihak pendakwa menyediakan kertas pertuduhan baru dengan menggunakan identiti sebenar tertuduh sepertimana dalam salinan surat beranak tersebut.

Sepatutnya hari ini ditetapkan untuk keputusan kes itu setelah tertuduh yang sebelum ini dikaitkan dengan kejadian membakar rumah majikannya di Taman Murni Indah, Seberang Takir, Kuala Terengganu, mengaku bersalah di mahkamah yang sama pada 13 Jan atas tuduhan mencuri beberapa barangan milik majikannya.

Tertuduh yang berumur 14 tahun dari Palembang, Indonesia dituduh mencuri dua buah komputer riba, sebuah modem jalur lebar, satu unit tetikus dan sebuah beg milik majikannya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu antara pukul 10 pagi hingga 10.30 pagi pada 6 Jan lalu dan didakwa mengikut Seksyen 380, Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh.

Mahkamah mengarahkan tertuduh ditempatkan di Sekolah Tunas Bakti Perempuan, Marang sementara menunggu sebutan semula kes itu.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah kemudiannya, Raftfizi berkata siasatan yang dibuat oleh pihak kedutaan mendapati, nama dan umur yang digunakan oleh tertuduh dalam pasportnya adalah berlainan dengan nama dan umurnya di dalam surat beranak.

"Kita telah menghubungi ibu bapanya di Palembang, Indonesia yang mengesahkan perkara tersebut dan dengan percanggahan fakta itu pertuduhan dan pengakuan sebelum ini tidak boleh diterima," katanya. -- BERNAMA

Saksi Nampak Tertuduh Pukul Muntik Guna Penyapu


SHAH ALAM, 27 Jan (Bernama) -- Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini Rabu bahawa beliau ternampak tertuduh kes bunuh pembantu rumah warganegara Indonesia, Muntik Bani, memukul mangsa beberapa kali menggunakan sebatang penyapu di hadapan rumahnya.

Pembantu rumah warganegara Indonesia, Suryanti, 22, yang bekerja di rumah berhadapan dengan rumah tertuduh, A Murugan, berkata beliau juga nampak tertuduh mengangkat Muntik masuk ke dalam rumah selepas kejadian itu.

"Semasa dia (tertuduh) pukul pembantu rumah itu, saya dengar pembantu rumah itu menjerit 'Aaahhh' dua hingga tiga kali, tetapi saya tidak nampak lelaki itu pukul di bahagian mana dan tidak dengar lelaki itu cakap apa-apa semasa memukul pembantu rumah itu," katanya semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani pada hari kelapan perbicaraan kes Murugan, 35, yang didakwa membunuh Muntik, 40.

Tertuduh, penjual air tebu, didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di No.11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Okt tahun lepas dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Muntik, yang berasal dari Surabaya, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, pada 26 Okt lepas setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Ketika ditanya Idham mengenai individu lain yang turut berada di rumah Murugan semasa tertuduh memukul Muntik, Suryanti berkata beliau nampak ibu tertuduh keluar dari dalam rumah semasa kejadian itu.

Terdahulu, saksi ke-23 itu memberitahu mahkamah beliau pertama kali melihat Muntik sebelum bulan Ramadan lepas ketika mangsa sedang menyapu sampah di halaman rumah dan ketika itu Muntik dilihat berambut pendek serta dalam keadaan baik.

Seorang lagi jiran tertuduh, Stella Maria a/p Thomas, 53, dalam keterangannya berkata beliau pernah mendengar suara Muntik meminta tolong dan suara tertuduh dalam keadaan marah semasa beliau sedang menyiram pokok bunga di hadapan rumahnya, beberapa hari sebelum perayaan Deepavali Oktober lepas.

"Saya dengar Muntik kata 'tolong jangan, jangan" dan selepas itu saya dengar tertuduh cakap 'you sudah tua, tidak payah kerja sini, balik ke Indonesia'. Saya dengar suara Muntik perlahan sahaja, tidak jerit-jerit tetapi suara tertuduh tinggi," kata suri rumah itu yang tinggal selang sebuah rumah dari rumah tertuduh.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar berapa kali beliau mendengar perkara itu, Stella Maria yang merupakan saksi ke-22 pendakwaan berkata beliau mendengarnya banyak kali.

Saksi itu juga berkata beliau pernah melihat wajah Muntik lebam dan kehitaman ketika pembantu rumah itu keluar membuang sampah di depan rumah tertuduh selain melihat mangsa berjalan terhenjut-henjut dan kepalanya botak.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa bersambung esok. -- BERNAMA

Restoran India Muslim tawar gaji RM2,500


NOORUL Hassan (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Ibrahim 
pada majlis Makan Malam Presma Bersama Media di ibu negara, malam tadi.


KUALA LUMPUR: Restoran India Muslim seluruh negara menawar 25,000 kerja kosong dengan gaji mencecah RM2,500 sebulan kepada rakyat tempatan bagi mengurangkan pengambilan pekerja asing dalam sektor berkenaan.

Kekosongan jawatan pengurus restoran, tukang masak, juruwang dan pelayan itu akan diiklankan dalam akhbar tempatan dan Restoran India Muslim minggu depan.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Noorul Hassan Saul Hameed berkata, langkah itu sebagai menyokong dasar kerajaan untuk menangani masalah pekerja asing di negara ini sama ada yang mempunyai permit atau tidak.

Katanya, keputusan Presma itu sudah dimaklumkan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam pertemuan kelmarin dan beliau menggalakkan tindakan yang diambil Presma.

“Gaji ditawarkan kepada rakyat tempatan lebih tinggi berbanding pekerja asing yang kini mendapat gaji RM1,000 hingga RM500 sebulan.

“Melalui skim ini, gaji yang lebih menarik ditawarkan iaitu bagi pengurus restoran RM1,500 hingga RM2,500; tukang masak RM1,500 hingga RM2,500; juru wang RM1,000 hingga RM1,300 dan pelayan RM800 hingga RM1,200, ” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Majlis Makan Malam Presma Bersama Media di sini semalam. Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya dan Pengarang Kumpulan Harian Metro Mustapa Omar. - Berita Harian

KDN sedia timbang lanjut tempoh daftar pekerja asing

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri bersedia mempertimbangkan permintaan pihak industri untuk memberikan masa tambahan untuk mereka mendaftarkan pekerja asing sebelum kerajaan melancarkan operasi besar-besaran menahan pekerja asing tanpa izin.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata beliau bersedia berbuat demikian dengan syarat pihak industri benar-benar ikhlas dan jujur dengan permintaan mereka itu.

Malah, katanya beliau telah mengadakan perjumpaan dengan segelintir pihak berkenaan.


"Jika anda (pihak industri) mahu masa tambahan, bertindak segera dengan tampil dan bantu kami menangani masalah ini atau jika tidak bom jangka hanya menunggu masa untuk meletup.

"Hanya jika mereka bersikap jujur dengan saya, bersedia untuk berterus terang dan mengesahkan jumlahnya kepada pihak kementerian," katanya kepada pemberita ketika ditanya sama ada kementerian akan mempertimbangkan permintaan itu, di sini hari ini.

Jabatan Imigresen sebelum ini dilaporkan akan mengadakan operasi besar-besaran bagi membanteras pekerja asing tanpa izin pada 15 Februari ini, namun beberapa pihak meminta ia ditangguhkan kerana masa singkat diberikan untuk mendaftarkan pekerja asing.
Hishammuddin berkata, tindakan itu bukan bertujuan untuk menghukum, tetapi adalah sesuatu yang perlu dilakukan dan mendapatkan sokongan pihak industri.

Beliau sebelum itu menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara kementerian dengan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia mengenai pengambilan ahli-ahli Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebagai pengawal keselamatan.

Beliau berkata, usaha itu dapat mengurangkan penggantungan terhadap pekerja asing, serta menggerakkan usaha ke arah penglibatan orang ramai untuk turut sama dalam mengurangkan kadar jenayah.

Ditanya sama ada kementerian akan mewajibkan syarikat keselamatan untuk menggaji anggota Rela dan JPAM sebagai pengawal keselamatan, Hishammuddin berkata ia bergantung kepada hasil kerjasama tersebut.
Ditanya sama ada kerajaan akan mengambil langkah mengehadkan jumlah pekerja asing bagi sesebuah syarikat untuk mengurangkan kemasukan pekerja asing ke negara ini, beliau berkata tiada cadangan sebegitu setakat ini. - Berita Harian

Tujuh GRO pusat karaoke ditahan

SEREMBAN 26 Jan. - Tujuh pegawai perhubungan pelanggan (GRO) warganegara China yang disyaki menjalankan kegiatan tidak bermoral ditahan dalam serbuan di sebuah pusat karaoke di Taman AST, di sini malam tadi.

Dalam serbuan pada pukul 10.15 malam, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun, dipercayai menjadi pelindung wanita terbabit yang berusia antara 33 dan 39 tahun.

Operasi hasil maklumat awam itu dijalankan oleh empat anggota dan dua pegawai dari Cawangan Anti Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) negeri.

Pegawai Turus D7 negeri, Asisten Supritendan Habibi Majinji berkata, hasil pemeriksaan, semua wanita warga asing itu menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk menjalankan aktiviti tidak bermoral.

"Oleh itu, kita akan adakan pemeriksaan lebih kerap di Taman AST serta lokasi-lokasi lain yang telah dikenal pasti menjadi 'sarang' GRO," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Habibi, mereka yang ditahan akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk soal siasat sebelum diserahkan kepada Imigresen. - Utusan

Enam warga asing ditahan

MELAKA 26 Jan. – Cubaan seorang warganegara Indonesia untuk menipu dengan menampal gambarnya pada pasport milik orang lain gagal apabila dia ditahan penguat kuasa Imigresen.

Suspek adalah antara enam warga asing yang ditahan dalam satu operasi bersepadu di Jalan Tun Ali, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman (gambar) berkata, kesemua mereka ditahan kerana tiada pasport dan cuba memalsukan dokumen perjalanan diri.

“Pekerja asing yang ditahan ialah dua lelaki Bangladesh, seorang wanita dan lelaki Indonesia serta dua lelaki Nepal.

“Kita akan terus menjalankan operasi dengan lebih kerap bagi membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negeri ini,” katanya di sini semalam.

Dalam operasi kira-kira tiga jam yang bermula pukul 2 petang itu, seramai 190 pekerja asing telah diperiksa.

Operasi disertai seramai 63 anggota dan pegawai daripada polis, Imigresen dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

Salehhudin berkata, mereka yang ditahan tidak mempunyai dokumen sah dan bekerja sebagai tukang cuci dan pekerja binaan di tapak-tapak projek berhampiran.

Katanya, mereka yang ditahan dihantar ke Kem Tahanan Machap Umboo, Alor Gajah untuk tindakan lanjut. - Utusan

Adik Ipar Bekas Menteri Terima Wang Cepatkan Visa - Saksi


KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Seorang saksi kes perbicaraan rasuah bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Wahid Md Don hari Selasa memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa adik ipar kepada seorang bekas menteri pernah menerima wang daripadanya sebagai upah mempercepatkan permohonan 'calling visa' untuk pekerja asing.

Burugabudeen Mohamed Ismail, 50, berkata pembayaran dibuat dalam bentuk tunai dan deposit ke dalam akaun adik ipar bekas menteri, Syed Abdullah, pada 2008.

"Saya berurusan dengan adik ipar menteri. Bayaran kepada Syed Abdullah berbeza-beza dari RM180 hingga RM280," katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk V. Sithambaram yang mewakili Wahid.

Sithambaram: "Adakah dalam keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) kamu memberi fakta ini (bayaran kepada Syed Abdullah)?."

Burugabudeen: " Ya dan mereka (BPR) telah mempastikan benda ini betul."

Sithambaram: "Syed Abdullah tu kamu jumpa di mana?"

Burugabudeen: "Di pejabat saya."

Sithambaram: "Berapa pekerja kamu boleh lulus dengan Syed Abdullah?"

Burugabudeen: "Dalam 200 kerana masa kami kenal itu singkat."

Pada 19 Ogos tahun lepas, Wahid, 57, didakwa menerima rasuah RM60,000 daripada ahli perniagaan Datuk Low Chang Hian sebagai bayaran upah bagi mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, off Jalan Duta, pada 10.15 malam 10 Julai 2008.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama iaitu penjara tidak kurang dari 14 hari dan tidak lebih 20 tahun, dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi.

Sebelum itu Burugabudeen, seorang broker, berkata urusan 'calling visa' itu dibuat sebelum 12 Jun, 2008 dan pembayaran RM180 hingga RM280 itu adalah untuk Syed Abdullah sebagai cukai perkhidmatan.

Ditanya adakah Syed Abdullah ada memberitahunya bahawa wang itu untuk satu dana politik, Burugabudeen berkata: "Secara terus terang tiada tetapi dia kata ada orang-orang yang akan terima habuannya."

Ketika prosiding, Burugabudeen mengakui bahawa beliau telah ditahan oleh pegawai PR ketika sedang berurusan dengan Mohamad Hasnan Hassan (pengadu) melibatkan urusan yang sama (calling visa) tetapi dibebaskan setelah direman selama lima hari atas tuduhan merasuah.

Turut ditahan bersama beliau adalah rakannya yang juga seorang broker Abdul Jabbar Abdullah, 49 dan isteri Abdul Jabbar, Rusalwati Husin, 31.

Dalam urusan bersama Mohamad, beliau memberitahu mahkamah bahawa bayaran sebanyak RM350 dikenakan bagi proses visa dan daripada RM350 itu beliau akan mengambil RM50 untuk dana politik tetapi tidak tahu siapa yang terlibat.

Beliau, yang sentiasa tenang sepanjang memberi keterangan, turut memberitahu Hakim Rosbiahanin Arifin bahawa beliau tidak pernah berurusan dengan Wahid tetapi mengetahui Ketua Pengarah Imigresen ketika itu adalah Wahid.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nik Azrin Zairin Nik Abdullah dan Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Perbicaraan ditangguhkan sehingga 17 Mac ini. -- BERNAMA

19 GRO Ditahan Dalam Ops Noda Di Jalan Imbi

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Polis menahan 19 wanita warga asing yang bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO) di sebuah pub di Jalan Imbi hari Selasa kerana disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Dalam serbuan pukul 6 petang itu, kesemua wanita itu yang berada dalam premis itu cuba melarikan diri mengikut pintu belakang pub itu tetapi gagal apabila pasukan polis bertindak pantas menahan mereka.

Wanita yang ditahan dalam operasi Ops Noda itu melibatkan 18 warga China dan seorang warga Indonesia berumur antara 31 tahun hingga 45 tahun.

Pegawai Turus Cawangan Anti-Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian Kuala Lumpur DSP Razali Abu Samah berkata tiada pelanggan yang ditahan dalam operasi itu kerana pub itu masih belum membuka perniagaannya.

"Kami menahan mereka (wanita warga asing itu) kerana yakin sebilangannya mungkin terbabit dalam aktiviti haram atau maksiat.

"Kesemua mereka mempunyai pasport sah tetapi menyalahgunakan pas lawatan sosial dan mereka ditahan di Balai Polis Dang Wangi untuk siasatan lanjut," katanya pada pemberita selepas operasi itu.
-- BERNAMA

Tuesday, January 26, 2010

Kes Muntik: Saksi pendakwa 'paling tadah'

SHAH ALAM: Seorang saksi pendakwaan hari ini "berpaling tadah" kepada pihak pendakwaan apabila memberikan dua keterangan bercanggah pada perbicaraan kes bunuh pembantu rumah warganegara Indonesia, Muntik Bani di Mahkamah Tinggi di sini.

Tindakan saksi ke-21 pendakwaan, D Vanitha, 29, menyebabkan Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani, mengemukakan permohonan kepada mahkamah mengikut Seksyen 154 Akta Keterangan untuk menyoal balas saksi itu.

Vanitha, seorang peniaga bunga hiasan adalah isteri kepada tertuduh, A Murugan, 35, yang didakwa membunuh Muntik, 40.

"Saya buat permohonan untuk guna pakai Seksyen 154 Akta Keterangan untuk mahkamah beri kebenaran kepada saya untuk soal balas saksi berhubung dua keterangan beliau yang didapati bercanggah dengan keterangan yang dia beri kepada polis kerana saksi ini dilihat telah berpaling tadah semasa beri keterangan di mahkamah.

"Mengenai isu mengapa bisul Muntik pecah, saya bacakan keterangannya (Vanitha) kepada polis: 'Kemudian saya nampak suami saya telah keluar dari bilik air dengan pegang kepala pancur dan saya tanya kenapa dia berbuat demikian, suami saya beritahu dia nak baiki kepala pancur itu.

"'Suami saya kemudian masuk ke bilik tidurnya (Muntik) dan beberapa minit kemudian saya dengar jeritan Muntik dan saya pun terus masuk ke dalam bilik tidur itu dan nampak kaki perempuan Indonesia itu (Muntik) yang ada bisul berdarah.

"'Bila saya tanya suami saya dia beritahu yang dia pukul perempuan Indonesia itu kerana tidak buat kerja seperti yang disuruh'," kata Idham.

Dalam keterangannya di mahkamah sebelum ini, Vanitha memberitahu apabila terdengar jeritan Muntik, beliau kemudian pergi ke bahagian depan rumah dan mendapati bahawa bisul di kaki Muntik telah pecah serta mengeluarkan darah serta nanah.

Saksi ke-21 pendakwaan itu berkata ketika beliau bertanyakan kepada suaminya apa yang terjadi, Murugan menjawab bahawa kepala pancur telah jatuh ke atas kaki Muntik dan ketika ditanya kepada Muntik, pembantu rumah itu juga memberitahu perkara yang sama kepada beliau.

Seterusnya Idham berkata, Vanitha juga memberi keterangan bercanggah apabila ditanya apa sebenarnya terjadi kepada Muntik ketika berada di hadapan rumah bersama tertuduh, beliau menjawab Murugan memberitahu beliau bahawa Muntik dan tertuduh telah jatuh tergelincir.
"Sedangkan dalam kenyataannya kepada polis Vanitha memberitahu 'saya terdengar jeritan perempuan Indonesia itu (Muntik) dalam keadaan jatuh terlentang di atas lantai dan oleh kerana suami saya sedang duduk dan mandi di tepi perempuan Indonesia itu, saya kemudian tanya kepada suami saya apa yang terjadi dan suami saya beritahu yang dia telah tendang perempuan Indonesia itu (Muntik) menyebabkan dia jatuh.

"'Saya tanya kenapa dia buat demikian dan dia beritahu yang perempuan Indonesia itu tidak buat kerja seperti yang disuruh. Saya cuba bantu perempuan Indonesia itu tetapi dia tidak boleh bangun dan mengadu dia sakit di bahagian pinggang'," kata Idham sebelum mahkamah kemudian membenarkan beliau menyoal balas saksi itu.

Saksi itu bersetuju dengan cadangan Idham bahawa beliau tidak tahu apa yang berlaku antara suaminya dan Muntik di rumah sepanjang beliau keluar untuk berniaga.

Vanitha seterusnya tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar, bahawa beliau hanya mereka-reka kenyataannya berhubung dua isu terbabit bertujuan untuk menyelamatkan suaminya.

Ketika ditanya Mohd Dusuki adakah beliau masih sayangkan suaminya, Vanitha dalam tangisan menjawab: "Saya tidak tahu macam mana beritahu."

Dalam keterangannya, Vanitha turut memberitahu mahkamah bahawa polis ada mengugut untuk mendakwa beliau dan ibu mertuanya di mahkamah sekiranya beliau tidak memberi keterangan bahawa suaminya yang memukul Muntik.

Ketika ditanya Idham mengapa beliau tidak membuat laporan polis berhubung ugutan yang diterimanya, Vanitha berkata beliau tidak sempat berbuat demikian kerana telah dihantar ke Rumah Kenangan di Melaka.

Murugan, penjual air tebu, didakwa membunuh Muntik di rumahnya di nombor 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Oktober tahun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Muntik yang berasal dari Surabaya, Indonesia meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, pada 26 Oktober tahun lalu.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa bersambung esok. - Berita Harian

Angkara dendam, lelaki Indonesia dikelar sampai mati

PETALING JAYA 26 Jan. – Mayat seorang warga Indonesia yang dalam keadaan ngeri dengan lehernya dikelar dan halkumnya terkeluar ditemui di tapak pembinaan kuarters guru berhampiran Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara, di sini hari ini.

Mayat Mohd Said, 34, ditemui adiknya pagi ini setelah mangsa tidak pulang ke rumah sejak semalam, yang kemudian melaporkan kejadian itu kepada polis.

Ketika polis tiba di tempat kejadian kira-kira 9.50 pagi, mayat itu dalam keadaan keadaan terbaring dan berlumuran darah terutama di bahagian leher.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed percaya mangsa dibunuh di tempat yang sama malam semalam dan ia bermotifkan dendam.

"Kita tidak menemui unsur pergelutan di tempat kejadian. Tidak ada unsur samun kerana dokumen mangsa tidak hilang,” katanya.

Polis juga tidak menemui senjata yang digunakan di tempat kejadian.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat. - Utusan

Imigresen Diharap Tunda Operasi Banteras Pekerja Asing Haram

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berharap Jabatan Imigresen mengkaji semula tindakan penguatkuasaan terhadap pekerja asing haram memandangkan menjelang Tahun Baru Cina.

Beliau berkata, rancangan Jabatan Imigresen untuk melaksanaka operasi membanteras pekerja asing haram pada 15 Februari akan membebankan sektor perkhidmatan kerana ia akan menimbulkan isu dan masalah kepada pengusaha restoran, dobi, peniaga kecil dan penjaja.

"Masa itu tidak tepat dan tidak mesra industri," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil sektor perkhidmatan termasuk pengusaha restoran, dobi, peniaga kecil dan penjaja di Wisma MCA di sini hari ini.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan imigresen akan menyebabkan pengusaha berkaitan rugi kerana biasanya mereka memperoleh banyak untung semasa Tahun Baru Cina.

Dr Chua mencadangkan tindakan penguatkuasaan imigresen ditunda selepas Tahun Baru Cina.

Beliau berkata, rakyat Malaysia tidak berminat dalam sesetengah bidang terutama sektor restoran, dobi dan penjaja.

"Pihak pengusaha sektor perkhidmatan merayu tempoh perkhidmatan pekerja dipanjangkan dari lima tahun kepada lapan tahun," kata Dr Chua.

Katanya, seorang pekerja asing memerlukan tiga hingga lima tahun untuk menjadi pekerja separuh mahir tetapi selepas itu dia terpaksa balik ke negara asal.

Pengusaha sektor perkhidmatan berharap ada penyelarasan antara agensi berkaitan seperti Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Imigresen.

"Mereka juga berharap polisi yang ditentukan tidak harus diubah-ubah. Jika mereka tidak faham, mereka tidak tahu mematuhi," katanya.

Dr Chua juga berharap kementerian dan agensi berkaitan harus memahami keperluan setiap sektor termasuk mengadakan dialog dengan wakil-wakil sektor perkhidmatan supaya dasar-dasar yang ditentukan memenuhi keperluan mereka. - mStar online

Pak Arab samseng

KUALA LUMPUR: Tunjuk lagak tidak ubah bagaikan di tanah air sendiri apabila dua kumpulan samseng Timur Tengah cuba mencetuskan pergaduhan ala kongsi gelap dengan bersenjatakan pisau pemotong daging, pisau Rambo dan pistol.

Kumpulan lebih 30 lelaki warga Timur Tengah terbabit didakwa bertindak ganas dengan cuba mencetuskan huru-hara antara dua kumpulan berasingan di pusat hiburan terkemuka di ibu kota, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, tindakan pantas beberapa pengawal keselamatan berjaya menghalang pergaduhan terbabit daripada melarat menjadi kes bunuh.

Sumber polis berkata, pergaduhan antara dua kumpulan warga Timur Tengah itu dikesan berlaku di satu pusat hiburan terkemuka di Jalan Doraisamy lewat pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.45 pagi itu, kedua-dua kumpulan membabitkan lebih 30 pengunjung pusat hiburan terbabit bertengkar selepas dipercayai dalam pengaruh alkohol.
“Keadaan tegang itu menyebabkan pengunjung pusat hiburan berkenaan segera memaklumkan kejadian terbabit kepada pengawal keselamatan yang bertugas di premis itu.

“Bimbang sesuatu tidak diingini berlaku, beberapa pengawal keselamatan yang juga ‘bouncer’ pusat hiburan terbabit segera masuk campur selepas suspek mula bertumbuk di bahagian atas pusat hiburan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, suspek dihalau keluar beberapa pengawal keselamatan dari premis berkenaan selepas bimbang keadaan menjadi tidak terkawal.

“Malangnya, kumpulan samseng warga asing berkenaan yang masih tidak berpuas hati terus menyambung pergaduhan di luar premis hiburan itu.

“Pada masa sama, seorang pengawal keselamatan di pusat hiburan terbabit ternampak seorang daripada kumpulan samseng terbabit mengeluarkan pisau Rambo dari dalam pakaian,” katanya.

Menurutnya, suspek yang sedang bergaduh itu kemudian menikam seorang daripada anggota kumpulan lawan.

“Lebih memburukkan keadaan apabila seorang lagi anggota kumpulan yang ditikam itu mengeluarkan pistol sebelum cuba melepaskan tembakan.
“Berikutan itu, pengawal keselamatan pusat hiburan terbabit sekali lagi masuk campur dan cuba meleraikan pergaduhan berkenaan berikutan bimbang ia bertukar menjadi kes bunuh,” katanya.

Menurutnya, kumpulan samseng berkenaan yang digertak akan dipanggil polis kemudian bertempiaran melarikan diri dari lokasi kejadian dengan menaiki kereta.

“Bagaimanapun, pengawal keselamatan yang berada di lokasi kejadian tidak pasti sama ada seorang lelaki Timur tengah yang ditikam itu cedera parah berikutan mangsa turut hilang bersama rakan lain.

“Susulan kejadian itu, pengawal keselamatan pusat hiburan terbabit yang mengecam nombor pendaftaran kereta seorang suspek membuat laporan di balai polis berhampiran.

Menurutnya, susulan itu polis menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemilik kenderaan pacuan empat roda terbabit sebelum mengesyaki ia disewa suspek dari rakyat tempatan. - Harian Metro

Monday, January 25, 2010

Isteri Tertuduh Anggap Suami Baik Walaupun Pernah Mengadu Dipukul

SHAH ALAM: Isteri tertuduh kes bunuh pembantu rumah warga negara Indonesia, Muntik Bani, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa tertuduh, A.Murugan, menjaga beliau dengan baik sepanjang sembilan tahun perkahwinan mereka.

Bagaimanapun, D.Vanitha, 29, mengaku pernah membuat tiga laporan polis terhadap suaminya berhubung kes penderaan rumah tangga.


Saksi ke-21 pendakwaan itu membuat pengakuan demikian ketika Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abdul Ghani menunjukkan tiga salinan laporan polis bertarikh 27 dan 28 Jun 2009 serta 10 Julai 2009 kepada beliau untuk pengecaman.

Ketika dirujuk kepada satu lagi salinan laporan polis bertarikh 11 Oktober 2007, Vanitha memberitahu mahkamah beliau tidak ingat sama ada beliau pernah membuat laporan itu.

"Bolehkah kamu camkan laporan polis yang kamu pernah buat pada 11 Oktober 2007 berbunyi "suami saya telah ambil anak saya dan telah cekik dan pukul saya. Saya cuba larikan diri, suami saya beritahu dia nak bunuh saya?" kata Idham.

"Saya tidak ingat mengenai laporan ini," kata Vanitha pada hari keenam perbicaraan kes Murugan, 35, yang didakwa membunuh Muntik, 40.

Tertuduh, penjual air tebu, didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di nombor 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Oktober tahun lepas dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Muntik, yang berasal dari Surabaya, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, pada 26 Oktober tahun lepas.

Terdahulu, Vanitha memberitahu mahkamah beliau pernah membuat laporan polis terhadap Murugan kerana tidak bersetuju dengan tindakan suaminya menjalin hubungan sulit dengan seorang wanita warga negara Indonesia.

"Oleh itu, saya buat laporan polis untuk keluar dari rumah bersama anak saya tetapi selepas itu suami saya datang cari saya dan minta maaf serta membawa saya kembali ke rumah," katanya.

Idham: "Pernah bergaduh dan pernah dipukul oleh suami awak?"

Vanitha: "Pernah bergaduh dan dipukul tetapi tidak teruk. Saya dipukul kerana suami saya sakit jiwa.
 Kadang-kadang masa dia tengah marah kalau saya cakap dengan dia, dia akan pukul saya."

Ketika ditanya mengenai Muntik, Vanitha berkata pembantu rumah itu datang ke rumahnya seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun lepas dan memberitahu bahawa dia lari dari rumah majikan lama kerana didera.

Beliau berkata Muntik kelihatan tidak bermaya serta mempunyai bisul di kaki, luka-luka di badan dan tangan serta bengkak di kepala.

Ditanya oleh Idham mengapa Muntik berada dalam tandas semasa polis hadir di rumahnya pada 20 Oktober tahun lepas, saksi itu berkata: "Bisul di kaki Muntik pecah, kakinya dah berlubang dan ada air keluar. Oleh itu suami saya minta dia masuk ke dalam tandas dan bersihkan air yang keluar dari kakinya."

Terdahulu, seorang kerani, R.Hemavithya, 19, yang merupakan jiran tertuduh, memberitahu mahkamah beliau pernah ternampak Muntik dalam keadaan merangkak di bahagian dapur rumah tertuduh.

"Rumah saya terletak selang tiga rumah di belakang rumah Murugan dan saya ikut jalan belakang untuk ke rumah ibu saudara saya. Ketika lalu di belakang rumah Murugan saya nampak melalui pintu dapur yang terbuka, wanita itu merangkak dan saya dengar dia cakap 'tolong' dengan perlahan. Muka wanita itu juga kelihatan bengkak," katanya.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa disambung esok. - mStar online

Awang Hitam lagak raja


PERIKSA...anggota polis memeriksa warga Afrika di Ampang Point.
PERIKSA...anggota polis memeriksa warga Afrika di Ampang Point. 
 


KUALA LUMPUR: Biarpun mereka orang asing, kelibat ‘Awang Hitam’ dari Afrika bukan saja memeningkan kepala pihak berkuasa, malah perlakuan kumpulan terbabit yang bagaikan raja di sesuatu penempatan didiami turut mengundang kebimbangan penduduk tempatan sejak beberapa bulan lalu.

TAHAN...seorang warga Afrika yang ditahan di Ampang Point.
TAHAN...seorang warga Afrika yang ditahan di Ampang Point.


Ini berikutan perlakuan biadab mereka mengganggu rakyat tempatan terutama ketika bergerak secara berkumpulan.

Tidak cukup dengan itu, kumpulan terbabit kini tidak lagi segan silu melakukan serangan seksual secara terbuka terhadap kepada wanita yang membeli-belah di kompleks perniagaan biarpun kawasan berkenaan lokasi tumpuan ramai.

Berikutan itu, satu operasi dinamakan ‘Ops Gagak Hitam’ digerakkan pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bagi membanteras gejala tidak bermoral itu.

Operasi yang dilakukan setiap hari bermula Jumaat minggu lalu, menampakkan hasilnya apabila kumpulan terbabit sudah mula mendisiplinkan diri berikutan bimbang dicekup pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata dalam operasi berkenaan pihaknya menahan hampir 20 warga Afrika yang melakukan pelbagai kesalahan.

“Malah, kami juga menyerbu satu kelab malam di Bandar Baru Ampang di sini, baru-baru ini dan memberkas dua pesalah dari kumpulan terbabit kerana mempunyai dokumen (perjalanan) meragukan,” katanya.

Menurutnya, perlakuan biadab warga Afrika yang berani melakukan gangguan seksual di kawasan ramai perlu diberi perhatian serius kerana jika dibiarkan ia mungkin menjadi lebih rumit.

“Tidak mustahil jika mereka melakukan perbuatan jenayah lebih buruk berikutan keberanian melakukan gangguan berkenaan walaupun di kawasan tumpuan ramai.

“Sikap terlalu mengalah dan baik sangka rakyat tempatan terhadap warga asing dimanipulasi kumpulan terbabit...senang cakap, bagi muka pijak kepala,” katanya.

Abdul Jalil berkata, pihaknya akan meneruskan operasi berkenaan sepanjang masa bagi meminimumkan kesalahan dilakukan kumpulan berkenaan.

“Kami berharap orang ramai memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dengan melaporkan perbuatan tidak bermoral kumpulan warga Afrika itu,” katanya. - Harian Metro

Utara: Lagi GRO sawit kena cekup

Oleh Zatul Iffah Zolkiply
bhnews@bharian.com.my


SEBAHAGIAN wanita warga asing yang ditahan ketika melayan pasangan di kedai makan di ladang sawit.

Wanita China salah guna pas lawatan goda lelaki tempatan

MANJUNG: 'GRO sawit' itulah gelaran diberikan kepada sekumpulan wanita dari China yang datang ke negara ini dan sanggup menjadi pelayan pelanggan walaupun di kedai kopi dalam ladang kelapa sawit di daerah ini.

Selepas tangkapan ke atas berbelas GRO sawit oleh pegawai Pejabat Imigresen Lumut (PIL) di kedai kopi dalam ladang tanaman itu di sini baru-baru ini, isteri kepada suami yang berpeleseran dengan wanita asing itu boleh menarik nafas lega kerana beranggapan suami mereka tidak lagi menghabiskan masa bersama wanita berkenaan.

Namun sangkaan meleset apabila kegiatan itu belum berakhir. Terbaru PIL sekali lagi membongkarkan kegiatan menyalahgunakan pas lawatan sosial di kalangan warga China apabila menahan 14 wanita negara terbabit dalam ‘Ops Sayang’ di sebuah kedai kopi di ladang sawit di Jalan Pekan Gurney, Sitiawan, Khamis lalu.

Malah, seorang daripada wanita itu yang pernah ditahan dua minggu lalu tidak serik dan mengulangi perbuatannya walaupun baru dua hari dibebaskan.

Semua wanita berusia antara 25 hingga 46 tahun itu ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan dua daripadanya memegang pas lawatan sosial jangka panjang mendakwa isteri kepada rakyat tempatan. 

ZAIDI menunjukkan dokumen milik wanita China yang ditahan.

Ketua Imigresen Lumut, Zaidi Dali, berkata ketika serbuan, semua wanita GRO sawit itu asyik melayan dan bermesra bersama pasangan masing-masing yang majoritinya sudah berumur.

“Apabila menyedari premis diserbu, semua mereka bertempiaran lari. Selain nekad merendah semak, wanita itu juga bijak mencari helah mengelak daripada dicekup termasuk berpura-pura pengsan dan histeria sebaik ditahan.

“Ada juga antara mereka cuba memberikan duit kepada anggota dengan harapan mereka dilepaskan. Bagaimanapun, semua taktik mereka tidak berhasil,” katanya.

Zaidi berkata, semakan awal mendapati, sebahagian wanita itu sering kali keluar masuk negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan ada antaranya pernah ditahan September tahun lalu tetapi memasuki semula negara ini tahun ini.
Beliau berkata, operasi yang diketuainya sendiri itu bermula jam 7 malam dengan kekuatan 30 pegawai dan anggota termasuk 18 dari Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Ipoh.

Katanya, serbuan dilakukan hasil maklumat awam selain intipan selama seminggu sebelum semua wanita ini ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Mereka akan ditahan selama 14 hari untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mengenai dakwaan dua wanita yang memegang pas lawatan sosial jangka panjang isteri kepada rakyat tempatan, Zaidi berkata siasatan akan dijalankan untuk mengenal pasti sama ada perkahwinan itu benar-benar wujud atau sebaliknya.

Katanya, tindakan pembatalan pas lawatan sosial jangka panjang akan dibuat jika pihaknya mendapati perkahwinan itu tidak wujud.

“Kes penipuan seperti itu pernah berlaku apabila ada wanita warga asing berkahwin dengan warga tempatan semata-mata untuk mendapatkan pas lawatan sosial jangka panjang,” katanya.

Sebelum ini, PIL pernah membuat tangkapan ke atas GRO sawit lain selepas menerima aduan beberapa isteri bahawa suami mereka tidak melekat di rumah angkara berfoya-foya dengan GRO berkenaan. - Berita Harian

Pekerja Bangladesh maut dalam letupan di kilang sawit

SETIU: Seorang pekerja warga Bangladesh terbunuh dalam satu letupan di Kilang Sawit Chalok, milik Felda, dekat sini hari ini.

Saksi Hariri Salahhuddin, 35, berkata dua lagi pekerja, seorang juga dari Bangladesh dan seorang dari Sabah, dipercayai cedera parah.

Letupan berlaku pada 1 tengah hari ketika kerja pengimpalan saluran gas dijalankan pekerja kontraktor yang dilantik oleh Felda.

Hariri yang sedang berada dalam sebuah lori, berkata beliau terdengar bunyi letupan yang kuat dan ternampak seorang terpelanting keluar dari kilang.

"Saya takut dan terus lari menyelamatkan diri," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini.

Mayat warga Bangladesh itu dihantar ke Hospital Setiu manakala dua yang cedera dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu.

Identiti semua mangsa belum diperoleh manakala polis setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan. - Berita Harian

Sunday, January 24, 2010

Polis serbu spa disyaki tawar khidmat seks

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Polis menyerbu sebuah pusat rawatan kecantikan dan spa di sebuah hotel di Jalan Alor di sini kerana disyaki menawarkan khidmat seks dan menahan enam pelacur warga asing.

Pegawai Turus Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) DSP Razali Abu Samah berkata lima pelacur dari China dan seorang warga Indonesia yang berumur antara 20 hingga 25 tahun ditahan di hotel itu dalam serbuan yang dilakukan pada pukul 9.30 malam ini.

"Empat daripada wanita itu ditahan di tempat letak kereta hotel itu ketika cuba melarikan diri manakala dua lagi di dalam bilik ketika sedang menunggu pelanggan di spa itu," katanya kepada pemberita selepas serbuan itu di sini.

Beliau berkata, kesemua mereka mempunyai pas lawatan sosial yang sah, tetapi telah disalahgunakan.

"Kita percaya spa berlesen itu ada menerima pelacur, perempuan pelayan yang dibawa dari luar, namun tiada bukti menyatakan mereka menjalankan kegiatan haram berkenaan malah tiada bahan bukti digunakan bagi perkhidmatan seks," katanya.

Kesemua wanita yang ditahan dibawa ke IPKKL mengikut Akta Imigresen dan seorang lelaki tempatan yang dipercayai pengurus spa itu diambil keterangan bagi membantu siasatan. - Utusan

Amah mati dihentak objek tumpul

Oleh Badrul Hizar Ab Jabar 
bhizar@bharian.com.my

SUSPEK kes kematian pembantu rumah Indonesia dibawa ke Mahkamah Majistret Melaka, semalam.

Bedah siasat temui kesan kecederaan di perut, dada

MELAKA: Laporan bedah siasat terhadap mayat seorang pembantu rumah warga Indonesia yang meninggal dunia Khamis lalu, mendapati kematiannya berpunca daripada kesan 'blunt trauma' atau kecederaan disebabkan oleh hentakan objek tumpul.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehudin Abd Rahman, berkata laporan bedah siasat diterima daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapati kesan kecederaan itu ditemui doktor pakar patologi pada perut dan dada mangsa.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan berhubung kes yang diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu selain enam individu turut ditahan bagi membantu siasatan.

"Mangsa dalam kejadian ini dikenali Nurul Aida berusia 31 tahun dan berasal dari Bogak, Indonesia, manakala siasatan awal mendapati, beliau masuk ke negara ini untuk bekerja sebagai pembantu rumah secara sah, namun pasportnya sudah tamat tempoh sejak tahun lalu.

"Polis juga sudah mendapat perintah tahanan reman terhadap enam individu berkenaan masing-masing tiga lelaki dan tiga wanita berusia 26 hingga 64 tahun pagi semalam," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Salehuddin berkata, semua suspek ditahan membabitkan majikan (suami isteri), dan anak lelaki mereka, ejen dan rakannya serta pemandu teksi yang juga kenalan majikan.

"Kita sedang menyiasat kes ini daripada pelbagai aspek sama ada mengenai kemungkinan mangsa didera dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, keenam-enam suspek berkenaan dibawa menaiki trak polis ke perkarangan Mahkamah Majistret di sini, kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, jiran mangsa, Azman Zainal Abidin, 58, ketika ditemui berkata, beliau terkejut dan tidak menyangka perkara itu berlaku kepada kenalan rapatnya yang dikenali sejak 30 tahun lalu.
Katanya, sebelum ini beliau dan rakan yang lain saling menziarahi ke rumah kenalannya itu dan hubungan mereka juga adalah baik.

"Saya tidak pernah melihat atau mendengar mengenai sebarang kejadian pembantu rumah rakan saya itu didera," katanya.

"Setahu saya, pasangan suami isteri ini berniaga kedai runcit di pusat bandar manakala isterinya pengusaha kantin di Kolej Manipal. Anak lelaki mereka pula sedang bercuti dari belajar di luar negara," katanya.

Dalam kejadian Khamis lalu, pembantu rumah berkenaan yang bekerja di rumah majikannya di Jalan Mawar 6, Taman Peringgit Jaya dekat sini, mati dipercayai didera ketika dibawa ejen pembantu rumah itu ke HKL untuk mendapatkan rawatan. - Berita Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...