Saturday, January 23, 2010

Imigresen Tahan 14 Wanita Warga China Bekerja Sebagai GRO Di Sitiawan

IPOH, 23 Jan (Bernama) -- Empat belas wanita warga China termasuk seorang yang baru sahaja dibebaskan kerana menyalahguna pas lawatan, ditahan Jabatan Imigresen di sebuah kedai makan berhampiran ladang kelapa sawit di Sitiawan, kira-kira 80km dari sini dalam "Ops Sayang" pada Jumaat.

Ketua Imigresen Lumut, Zaidi Dali berkata kesemua mereka dipercayai menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai pelayan pelanggan di kedai itu yang juga menjadi tempat hiburan lelaki berhidung belang.

"Operasi dibuat berdasar maklumat orang ramai dan intipan pihak kami selama seminggu.

"Ketika serbuan dibuat kira-kira pukul 7 malam, kesemua wanita itu asyik melayan pelanggan sebelum bertempiaran lari apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Sabtu.

Beliau berkata kesemua mereka kini ditahan selama 14 hari mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 untuk tindakan lanjut. -- BERNAMA

Sektor Perladangan Diarah Sedia Perumahan Lebih Selesa Menjelang 2015

ROMPIN, 23 Jan (Bernama) -- Para majikan di sektor perladangan dikehendaki menyediakan perumahan lebih selesa kepada para pekerja sebagai usaha mewujudkan komuniti ladang moden menjelang tahun 2015.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Senator Datuk Maznah Mazlan berkata pekerja sektor itu perlu diberikan tempat tinggal yang mempunyai kemudahan asas dan sosial seperti dewan, pusat asuhan kanak-kanak sebagai memenuhi kebajikan mereka.

Beliau berkata pada masa ini, majikan tidak begitu mengambil berat mengenai kawasan penempatan pekerja sehingga menyebabkan sektor itu kurang diminati rakyat tempatan.

"Sekarang ini masih ada yang tinggal di rumah kongsi, tiada kemudahan elektrik dan mendapat bekalan air tidak bersih," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Selendang di sini, pada Sabtu.

Dalam perkembangan lain, Maznah berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mewujudkan jawatankuasa teknikal bagi mengkaji cadangan kementerian untuk mengiktiraf beberapa skim perjawatan dan skala gaji dalam 55 bidang kemahiran yang menggunapakai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Beliau berkata pengiktirafan itu penting dalam usaha kementerian melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang teknikal dan vokasional untuk keperluan sektor kerajaan dan swasta. -- BERNAMA

Enam ditahan berhubung kes mayat amah dalam bonet

KUALA LUMPUR: Polis menahan enam orang, termasuk ejen pembantu rumah, majikan, rakan majikan dan pemandu teksi bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pembantu rumah warga Indonesia yang mayatnya dibawa dalam bonet kereta dari Melaka ke sini, dua hari lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, berkata mereka ditahan secara berasingan di beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan Melaka.

"Mereka berumur dalam lingkungan 20-an dan 50-an," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya polis mendapatkan perintah reman terhadap mereka untuk membantu siasatan mengenai punca kematian pembantu rumah itu.

Awal pagi semalam, dua wanita ditahan selepas membuat laporan polis di pondok polis Hospital Kuala Lumpur (HKL) berhubung kematian itu.

Pembantu rumah berusia 30-an itu dipercayai meninggal dunia kerana sakit tenat di rumah majikannya di Melaka Tengah.
Difahamkan majikan simati sering mengadu kepada agensi pekerja asing berhubung masalah kesihatan pembantu rumah itu tetapi tiada tindakan diambil oleh agensi itu.

Dua wanita yang ditahan itu adalah seorang petugas agensi pekerja asing dan seorang jururawat sebuah hospital swasta yang bergegas ke rumah berkenaan sejurus dimaklumkan oleh majikan mengenai kematian itu.

Menurut polis, akibat panik mereka kemudian dipercayai memasukkan mayat pembantu rumah itu ke dalam bonet kereta dan membawanya ke HKL pada jam 6 petang Khamis.

Setelah menghantar mayat ke Jabatan Forensik HKL, mereka ke sebuah kedai keranda di Jalan Pahang bagi mendapatkan khidmat penghantaran pulang jenazah ke Indonesia.
Bagaimanapun, agensi pengambilan pekerja asing itu tidak dapat menguruskan masalah itu kerana kedua-dua wanita tidak membawa sebarang dokumen yang diperlukan.

Mereka kemudiannya pergi ke Pejabat Kedutaan Indonesia pada jam 8.30 malam dan dinasihatkan supaya membuat laporan polis yang kemudiannya disahkan oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman dan kes diserahkan kepada polis Melaka. - Berita Harian

Polis rampas lembing tiga mata di rumah tertuduh

SHAH ALAM 22 Jan. - Sebatang lembing besi bermata tiga bengkok adalah antara barang yang ditemui dan dirampas dari rumah seorang penjual air tebu, A. Murugan yang dibicarakan atas tuduhan membunuh pembantu rumah warga Indonesia, Mantik Hani.


Cif Inspektor Azman Tubin, 34, yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, lembing besi yang juga dikenali sebagai 'salem' itu ditemui di atas rak berhampiran peralatan sembahyang agama Hindu dalam sebuah bilik.

''Sepanjang pengetahuan saya, lembing mata tiga itu adalah satu senjata berbahaya dan bukan peralatan untuk upacara sembahyang bagi penganut agama Hindu,'' katanya.

Pegawai risikan dan operasi, Cawangan Pencegahan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang itu berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd, Dusuki Mokhtar semasa sesi pemeriksaan utama.

Menurut Azman yang merupakan saksi pendakwa ke-15, sebatang penyapu bengkok, seberkas penyapu lidi dan satu getah paip pula ditemui di dapur rumah tersebut.

Beliau bersama tujuh lagi pegawai dan anggota polis yang membuat pemeriksaan ke rumah Murugan pada 26 Oktober 2009 turut menjumpai dua batang kayu berbentuk bulat dan sebatang rotan di luar pagar hadapan rumah tertuduh.

Jelasnya, beliau turut hadir dalam pemeriksaan di rumah tertuduh bagi membantu pegawai penyiasat, Inspektor Mohd. Azan Radzali untuk mendapatkan bukti-bukti yang boleh dikaitkan dengan kecederaan dialami Mantik.

''Murugan yang ketika itu suspek dalam kes tersebut turut hadir untuk menyaksikan pasukan polis membuat pemeriksaan dan rampasan barang-barang kes di rumahnya.

''Pada hari tersebut juga saya dimaklumkan mangsa telah meninggal dunia. Semua barangan itu dirampas kerana Inspektor Azan memberitahu kecederaan yang dialami mangsa adalah disebabkan objek tumpul,'' ujar beliau.

Menurut Azman, kesemua butiran barang yang dirampas dicatat dalam borang geledah dan salinannya diserahkan kepada Murugan untuk ditandatangan.

Katanya lagi, kesemua barangan itu disimpan oleh beliau sebelum diserahkan kepada pemangku Asisten Supritendan (ASP) Ahmad Tarmudi yang kemudiannya mengambil alih siasatan kes itu daripada Mohd. Azan.

Murugan, 35, didakwa membunuh Mantik, 36, di rumahnya di No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang dekat sini antara 18 dan 20 Oktober tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Mantik yang berasal dari Surabaya meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang pada 26 Oktober tahun lalu setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd. Yazid Mustafa bersambung Isnin ini. - Utusan

Imigresen buru warga India 'hilang'

PUTRAJAYA 22 Jan. - Operasi besar-besaran membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) dan memburu kira-kira 40,000 warganegara India yang 'hilang' di negara ini akan dijalankan pada 15 Februari ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, operasi mencari PATI dan memburu warga India yang telah tamat tempoh visa itu bakal dijalankan pihak Imigresen tanpa melibatkan pihak berkuasa lain.

"Kita akan bermesyuarat peringkat akhir berhubung perkara ini pada 1 Februari ini.

"Kita lakukan sendirian dan tidak melibatkan pihak berkuasa lain," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau ditanya perkembangan kes 39,046 warganegara India yang 'hilang' di Malaysia selepas visa pelancongan mereka tamat tempoh dan tidak dapat dikesan daripada rekod Jabatan Imigresen seperti anggaran dibuat pada Jun lalu.

Menurut Abdul Rahman, operasi menggempur PATI akan difokuskan di tempat-tempat kerja yang menjadi tumpuan warga asing termasuk restoran-restoran dan gerai makan.

Jelasnya, majikan yang didapati menggaji atau melindungi PATI akan turut ditahan dalam operasi terbabit.

"Tindakan tegas menanti majikan yang didapati masih menggaji dan melindungi PATI di negara ini.
"Majikan yang gagal mematuhi amaran itu bakal berdepan dengan tindakan tegas mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007," katanya.

Ditanya kemungkinan 40,000 warganegara India yang 'hilang' tersebut terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah berikutan pendedahan pihak Kastam bahawa rata-rata individu yang terlibat memegang pasport dari Chennai, India, beliau enggan mengulas lanjut.

"Saya tidak tahu sama ada mereka terlibat atau tidak. Jika pihak kastam kata begitu, mungkin ada antara mereka terlibat kita tidak tahu," katanya.

Warganegara India terutama dari Chennai juga didapati paling banyak menyalahgunakan visa waktu ketibaan (VOA) sehingga mendorong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan bahawa Malaysia tidak bersedia menimbang memperkenalkan semula skim visa itu bagi mereka yang datang dari bandar tersebut. - Utusan

Empat ‘call girl’ gagal lolos

KUALA LUMPUR: Cubaan empat wanita warga asing dipercayai 'call girl' melarikan diri sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa yang melakukan serbuan tidak berhasil apabila ditahan di kawasan tempat letak kereta berdekatan sebuah hotel di sekitar Jalan Alor di sini, malam tadi.

Difahamkan, serbuan hasil maklumat dan risikan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) di spa sebuah hotel di kawasan berkenaan, kira-kira jam 9.30 malam.

Hasil pemeriksaan, polis mendapati dua wanita warga asing dalam spa berkenaan dipercayai sedang menunggu pelanggan manakala empat bertempiaran lari dan cuba meloloskan diri.

Tindakan nekad keempat-empat wanita berkenaan bagaimanapun tidak berhasil apabila diberkas polis ketika melalui kawasan tempat letak kereta dan semua mereka berusia 20 dan 25 tahun dibawa ke IPKKL untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Turus D7 IPKKL, Deputi Superintendan Razali Abu Samah, berkata siasatan awal pihaknya mendapati wanita warga asing berkenaan masing-masing lima warga China dan seorang warga Indonesia menjalankan kegiatan 'call girl' dan pelacuran di spa terbabit. - Harian Metro

Awang hitam pulang kuliah galas ganja

KUALA LUMPUR: Dengan lagak seperti pelajar baru pulang kuliah, seorang 'Awang Hitam' pada mulanya selamba lalu di hadapan pondok polis di Villa Taman Tasik di sini, sambil membawa beg sandang.

Bagaimanapun, selepas menyedari dirinya diperhatikan, Awang Hitam warga Zambia itu mula menggelabah menyebabkan anggota polis yang memerhatikan gerak-gerinya melakukan pemeriksaan sebelum menemui satu ketulan daun kering mampat dipercayai dadah jenis ganja dengan anggaran 1,000 gram dalam beg sandang dibawanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, polis turut menemui dua lagi ketulan kecil dibungkus rapi juga dipercayai ganja disembunyikan dalam stoking dipakai suspek.

Timbalan Ketua Polis Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah berkata, hasil soal siasat dilakukan terhadap suspek, polis menyerbu sebuah rumah di kondominium Tasik Bayu dan menahan dua lagi suspek iaitu lelaki warga Afrika dan wanita warga Indonesia.

"Pemeriksaan dalam rumah suspek berusia 30-an itu, polis menemui beberapa lagi ketulan dibungkus rapi dipercayai dadah jenis sama seberat kira-kira 50 gram, berat anggaran keseluruhan dadah dirampas daripada ketiga-tiga suspek adalah 1.5 kilogram.

"Dua lelaki terbabit mengaku memasuki negara ini menggunakan pas pelajar dan berdaftar dengan sebuah Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di ibu kota, bagaimanapun didapati sudah tamat pengajian beberapa tahun lalu," katanya.
Menurutnya, pasport milik kedua-dua suspek juga sudah tamat tempoh, manakala wanita warga Indonesia dipercayai teman wanita seorang daripada suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. - Harian Metro

Friday, January 22, 2010

PATI: Contohi sikap rakyat Singapura

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Rakyat negara ini tidak boleh mengambil mudah isu kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini termasuklah mengambil rakyat asing itu bekerja dengan mereka.

Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa), Mohd. Jamil Mohd. Hassan berkata, mereka sepatutnya bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membendung kemasukan PATI.

"Seharusnya perlu ada kerjasama antara orang awam dan pihak berkuasa bagi membendung kemasukan PATI. Jika kita lihat warganegara India sahaja, jumlahnya kini hampir 40,000 dan ini memerlukan tanggungjawab bersama antara rakyat dan pihak berkuasa.

"Di Singapura, jika orang awam mengetahui kemasukan PATI ke negara itu, mereka akan segera melaporkannya kepada pihak berkuasa," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, jika kerjasama itu dapat dilakukan sudah pasti lebih ramai PATI dapat dikesan oleh pihak berkuasa sekali gus membendung kemasukan mereka.

Kelmarin, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, pihaknya tetap akan menggerakkan jentera penggempur bulan depan untuk memburu PATI termasuk lebih 30,000 warganegara India yang bekerja secara haram di negara ini.

Mohd. Jamil berkata, PATI yang terdapat di negara ini berada di merata tempat.

"Macam-macam kerja yang mereka lakukan seperti cuci kereta, tukang gunting, buruh kasar dan ada antara mereka yang tidak bekerja," katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu pihak berkuasa meningkatkan penguatkuasaan membendung kemasukan PATI kerana ada antaranya yang melakukan kegiatan jenayah seperti merompak, meragut dan mengganggu ketenteraman awam.

Sementara itu, Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, PATI terutamanya warganegara India yang berada di negara ini sanggup melakukan apa sahaja kerja untuk menyara kehidupan mereka.

"Ada antara mereka bekerja dan ada yang tidak dan hanya berlegar-legar di negara ini," katanya. - Utusan

India serahkan kepada Malaysia tangani warganya 'hilang'

NEW DELHI 21 Jan. - India menyerahkan kepada Malaysia untuk mengambil tindakan susulan terhadap warganegaranya yang tinggal melebihi tempoh visa ditetapkan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.


Perdana Menteri berkata, isu itu tidak dibangkitkan secara spesifik dalam pertemuan dengan pemimpin negara itu tetapi India memahami sekiranya Malaysia mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.

"Mereka (India) menunjukkan minat yang sangat tinggi untuk bekerjasama dengan lebih meluas (dalam industri pelancongan) terutama melibatkan pelancong-pelancong tulen," katanya pada sidang akhbar di sini malam tadi.

Sebelum ini, Perdana Menteri dalam temu bual dengan wartawan India di Kuala Lumpur melahirkan kebimbangan terhadap 'kehilangan' hampir 40,000 warganegara India di Malaysia selepas visa pelancongan mereka tamat tempoh.

Jabatan Imigresen gagal mengesan mereka sama ada telah pulang ke negara asal atau bekerja di restoran-restoran India di Malaysia atas faktor ekonomi.

Perdana Menteri berkata, jumlah pelancong India ke Malaysia kini mencecah lebih 600,000 orang dan akan terus menjadi pasaran berpotensi besar dalam industri tersebut.

Katanya, Malaysia dan India juga sedang membincangkan satu memorandum persefahaman (MoU) berhubung pelancongan dan bersetuju supaya masalah visa dikaji semula secara lebih mendalam serta menyeluruh bagi mengelakkan kekangan kepada pelancong-pelancong tulen melawat Malaysia.

"Apa yang penting ialah membuat penapisan rapi dan cepat bagi menentukan lebih ramai pelancong India melawat negara kita.

"Ini kerana masyarakat kelas pertengahan di India kini menjangkau 250 juta orang yang merupakan satu pasaran amat berpotensi besar," katanya.

MoU yang sedang dibincangkan juga diharap dapat mengemas kini kaedah pelawat dari India dan pada masa yang sama mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat. - Utusan

Thursday, January 21, 2010

Buat Aduan SPRM Selepas Tidak Puas Hati Tawaran Harga - Saksi


KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Seorang saksi dalam perbicaraan rasuah bekas Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Wahid Md Don memberitahu Mahkamah Sesyen Khamis bahawa beliau telah diminta untuk membayar imbuhan RM87,500 kepada seorang ejen untuk mempercepatkan kelulusan visa bagi 250 pekerja Bangladesh.

Mohamad Hasnan Hassan, 41, perunding sebuah syarikat pekerja asing, menjelaskan beliau telah bertemu dengan seorang ejen pekerja asing, Buruganudeen Mohamed Ismail, 50, yang mendakwa boleh membantunya meluluskan visa dengan segera menerusi kuasa yang ada pada Ketua Pengarah Imigresen.

Saksi pihak pendakwaan itu berkata beliau yang tidak berpuas hati dengan tawaran itu kemudian membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 3 Julai, 2008.

Mohamad Hasnan berkata demikian ketika memberikan keterangan sebagai saksi ke-18 pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes Wahid, 57, yang didakwa menerima rasuah RM60,000 daripada ahli perniagaan Datuk Low Chang Hian sebagai bayaran upah bagi mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh, pada 19 Ogos 2008.

Wahid yang diwakili peguam bela, Datuk V. Sithambaran didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, Off Jalan Duta, pada pukul 10.15 malam 10 Julai, 2008.

Dalam prosiding hari ini, Mohamad Hasnan berkata selepas beberapa hari aduan itu dibuat, SPRM telah mengaturkan pertemuan antara Buruganudeen dengannnya di sebuah restoran di Taman Sri Gombak untuk membuktikan Buruganudeen melakukan kesalahan rasuah.

"Saya telah menyediakan bank draf berjumlah RM87,500 untuk 250 pekerja Bangladesh. SPRM turut menyediakan wang tunai RM1,750 bagi pertambahan lima lagi pekerja asing.

"Atas nasihat SPRM saya diminta mengeluarkan kemeja yang saya pakai bagi memberi isyarat bahawa bank draf dan wang berkenaan sudah diserahkan kepada Buruganudeen," katanya.

Mohamad Hasnan memberitahu mahkamah bahawa Buruganudeen menerima bank draf dan wang tunai berkenaan tetapi beliau tidak pasti sama ada Buruganudeen ditahan atau sebaliknya selepas membuat penyerahan itu.

Wahid didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosbiahanin Arifin bersambung 26 Jan ini. -- BERNAMA

Amah lari malam selepas tiga bulan


KRUBONG - Niat murni seorang suami membantu isteri yang sarat mengandung dengan mengambil khidmat pembantu rumah lebur apabila pembantu terbabit, warga Indonesia berasal dari Acheh, tiba-tiba lenyap dari rumah setelah berkhidmat tidak sampai tiga bulan.

Suami terbabit, Mohd Affindy Abdullah, 37, dari Taman Krubung Perdana berkata, kejadian disedari kira-kira jam 6 pagi sewaktu bangun tidur.

“Pada mulanya saya tidak syak sesuatu kerana ingatkan dia menjemur pakaian di luar rumah. Apabila saya memanggil, tiada suara menyahut menyebabkan saya memeriksa biliknya.

“Saya terkejut bila mendapati pakaian dalam almari dikosongkan kecuali pasport miliknya yang kini berada dalam simpanan saya,” katanya ketika menghubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Mohd Affindy berkata, berikutan kejadian, dia membuat satu laporan polis mengenai kehilangan pembantu rumah terbabit yang dikenali sebagai Rosmanidar.

Beliau berkata, dia tidak menyangka pengalaman pertama menggunakan khidmat pembantu rumah warga asing berdepan masalah sedemikian.

“Hasrat saya menggunakan khidmat pembantu rumah bagi membantu urusan penjagaan tiga anak yang bersekolah selain isteri, Che Rohana Abdul Bahid, 30, yang bakal melahirkan anak keempat kami pada bila-bila masa sahaja.

“Selalunya saya terbaca di akhbar tentang pembantu rumah lari daripada majikan, tetapi hari ini saya pula yang mengalaminya. Saya benar-benar tidak menyangka,” katanya.

Paling dikesali menurut Mohd Affindy, ejen yang menguruskan kemasukan pembantu rumah berkenaan mengambil sikap lepas tangan meskipun beberapa kali cuba dihubungi.

“Saya mendapatkan pembantu rumah berusia lingkungan 30an daripada seorang ejen bergerak yang beroperasi di Pulau Pinang setelah diperkenalkan adik ipar dengan bayaran RM5,500.

“Saya yakin sebab kebanyakan rakannya menggunakan khidmat ejen yang sama dan percaya tiada sebarang masalah timbul. Tetapi tidak sangka jadi begini,” katanya.

Menurutnya, setelah kejadian itu, dia sendiri cuba menghubungi ejen di Indonesia yang berpusat di Medan tetapi gagal mendapat kerjasama.

“Pada mulanya ejen di Medan berjanji menyiasat hal berkenaan, tetapi apabila menghubungi mereka kali kedua, sampai sekarang panggilan saya tidak dijawab.

“Nasib sama diterima apabila saya cuba menghubungi ejen di Pulau Pinang. Mereka juga tidak menjawab panggilan saya” katanya.

Mohd Affindy berkata, dia mengesyaki wujud pakatan antara ejen di Indonesia dan Malaysia untuk mendapatkan keuntungan dengan cara mudah.

“Nak kesal pun tak berguna, kerana kejadian dah berlaku, tetapi sekurang-kurangnya peristiwa ini menjadi iktibar kepada semua supaya lebih berhati-hati apabila mendapatkan khidmat pembantu rumah asing.

“Kalau boleh dapatkan khidmat daripada agensi yang mempunyai alamat tetap supaya senang dihubungi apabila ada sebarang masalah,” katanya. - Sinar Harian

Muntik Kena Pukul Dengan Besi Dan Batang Penyapu, Kata Pegawai Penyiasat

SHAH ALAM: Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa pembantu rumah warganegara Indonesia, Muntik Bani memberitahu beliau bahawa dia telah dipukul di kaki dan tangan oleh majikan lelakinya menggunakan besi dan batang penyapu.

Inspektor Mohd Azan Radzali, 30, dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang yang merupakan pegawai penyiasat kes itu berkata Muntik memberitahu beliau perkara itu semasa beliau melawat mangsa yang menerima rawatan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, sehari selepas dia ditemui di dalam tandas rumah majikannya pada 20 Oktober tahun lepas.

"Bila saya nampak keadaan betis kaki kanannya di tengah-tengah ada lubang, saya tanya mangsa siapa buat dan dia kata dia kena pukul 'bapak' dengan besi dan bila saya tanya kenapa tangan kanannya sampai terlipat ke belakang, dia jawab dia kena pukul dengan 'bapak' guna batang penyapu.

"Saya juga tanya berapa lama dia dikurung dalam bilik air dan dia jawab dua hari, dua malam. Saya seterusnya tanya macam mana kamu boleh berada dalam bilik air itu dia kata 'bapak' angkat dia letak dalam bilik air.

Saya juga tanya majikan perempuan ada pukul atau tidak dan dia jawab kakak (majikan perempuan )tidak pukul," katanya semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar pada hari keempat perbicaraan kes A. Murugan, 35, yang didakwa membunuh Muntik, 40.

Tertuduh, penjual air tebu, didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, antara 18 dan 20 Oktober tahun lepas dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - mStar online

Wednesday, January 20, 2010

Muntik Berubah Sikap Kerana Lelaki, Kata Bekas Majikan


SHAH ALAM, 20 Jan (Bernama) -- Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa pembantu rumah warga Indonesia, Muntik Bani adalah seorang yang baik ketika mula bekerja tetapi berubah sikap selepas beberapa kali dilihat berbual dengan seorang lelaki.

Perunding hartanah, Puah Hooi Sueew, 53, yang merupakan bekas majikan Muntik berkata perubahan itu disedari beberapa bulan sebelum pembantu rumah itu melarikan diri dari rumah beliau di Taman Sentosa, Klang, pada 17 Sept tahun lepas.

"Ketika mula bekerja dengan saya pada 2005, Muntik seorang yang baik dan cepat belajar, tetapi beberapa bulan sebelum September tahun lepas, saya ada beberapa kali ternampak Muntik keluar ke halaman rumah saya dan bercakap dengan seorang lelaki tetapi saya tidak dapat mengecam lelaki itu dan tidak pernah melihatnya di Taman Sentosa (Klang).

"Sejak itu, Muntik berubah menjadi sangat nakal dan dia mula tidak mahu ikut arahan saya dan bila kita tegur dia lawan balik. Pada 17 Sept tahun lepas sebaik saya pulang dari kerja saya dapati Muntik sudah lari dari rumah saya dan dia juga bawa sekali barang-barangnya. Selepas gagal menemui Muntik saya terus membuat laporan polis," katanya semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar pada hari ketiga perbicaraan kes A. Murugan, 35, yang didakwa membunuh Muntik, 40.

Tertuduh, penjual air tebu, didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, antara 18 dan 20 Okt tahun lepas dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Muntik, yang berasal dari Surabaya, meninggal dunia di HTAR pada 26 Okt lepas setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Ditanya Mohd Dusuki sama ada beliau ada bertanyakan Muntik siapa lelaki itu, Puah berkata beliau tidak bertanya kerana memberi kebebasan kepada Muntik untuk berbual dengan sesiapa sahaja.

"Sepanjang Muntik bekerja dengan kamu antara 2005 sehingga 2009 sebelum dia melarikan diri, adakah kamu atau ibu kamu pernah memukul atau mencederakannya?" soal Mohd Dusuki.

"Saya tidak pernah sama sekali. Ibu saya pula sangat uzur, bagaimana dia nak cederakan Muntik? Ibu saya berumur 81 tahun dan menghidap banyak penyakit seperti sakit tulang belakang, kencing manis dan jantung dan dia juga tidak boleh berjalan jauh," jawab Puah.

Menceritakan mengenai keadaan diri Muntik semasa pertama kali datang ke rumahnya, Puah berkata pembantu rumah itu kelihatan kurus dan rambutnya tidak bermaya tetapi selepas bekerja dengan beliau kira-kira empat tahun, mangsa kelihatan semakin sihat dan beratnya juga bertambah.

"Kali terakhir saya lihat Muntik, rambutnya berada pada paras bahu. Sebelum ini Muntik pernah beritahu saya dia mempunyai rambut yang panjang tetapi agen pembantu rumah suruh dia potong rambut. Muntik juga beritahu dia nak simpan rambut panjang sebelum balik ke Indonesia Januari 2010," katanya.

Ditanya Mohd Dusuki sama ada beliau mempunyai pengetahuan bahawa polis menemui kesan darah milik Muntik pada tilam yang dirampas dari rumahnya, Puah berkata beliau tidak mengetahuinya dan berpendapat kesan darah itu mungkin berpunca daripada tangan Muntik yang terluka ketika bekerja di dapur.

Puah seterusnya tidak bersetuju dengan cadangan peguam V.Rajehgopal yang mewakili tertuduh bahawa segala penafiannya hanya semata-mata untuk mengelakkan diri beliau daripada didakwa.

Saksi itu juga menafikan beliau ada memukul Muntik menggunakan besi, rotan dan penyapu pada bulan Ramadhan lepas setelah pembantu rumah itu enggan membuat kerja kerana letih berpuasa dan menafikan bahawa Muntik mempunyai bisul di kakinya semasa dia melarikan diri dari rumah beliau.

Terdahulu, pegawai yang bertugas di bahagian pekerja asing, Jabatan Imigresen Putrajaya, Siti Fazlina Mohd Sani, 25, memberitahu mahkamah bahawa pas lawatan kerja sementara yang dipohon oleh majikan Muntik bagi pihak pembantu rumah itu sepatutnya tamat pada 14 Jan lepas, bagaimanapun pas itu terbatal selepas Muntik melarikan diri dari rumah majikannya pada 17 Sept tahun lepas.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa bersambung pada Khamis. -- BERNAMA

Imigresen tetap gempur PATI

PUTRAJAYA 19 Jan. – Jabatan Imigresen tetap akan menggerakkan jentera penggempurnya bulan depan untuk memburu mana-mana pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk lebih 30,000 warganegara India yang bekerja secara haram di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Rahman Othman menegaskan, syor Pemuda MIC supaya kerajaan memberikan pengampunan kepada puluhan ribu warganegara India yang telah ‘hilang’ serta menyarankan mereka diserapkan ke sektor tempatan adalah suatu kenyataan ‘yang tidak patut diluahkan’.


“Keputusan yang diambil oleh Imigresen pada Februari nanti tidak akan diubah, mana boleh begitu, kalau kita ‘beri muka’ kepada (PATI) warganegara India, bagaimana pula dengan (PATI) warganegara China dan Indonesia?,”' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas kolum Bisik-Bisik Awang Selamat dalam akhbar ini yang menyuarakan rasa hairan apabila Ketua Pemuda MIC, T. Mohan mencadangkan 40,000 warganegara India yang ‘hilang’ di Malaysia diampunkan serta diserapkan dalam sistem pekerjaan.

Awang Selamat menarik perhatian bahawa India kini mempunyai seramai 1.2 bilion penduduk dan jika cadangan MIC itu diterima, ia akan menjadi daya tarikan kepada warganegara India untuk datang, hilang dan kemudian diputihkan oleh kerajaan.

Rabu lalu, Abdul Rahman memberi amaran bahawa tindakan tegas menanti majikan yang didapati masih menggaji dan melindungi PATI di negara ini.


Majikan yang gagal mematuhi amaran itu bakal berdepan dengan tindakan tegas mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007. - Utusan

Tuesday, January 19, 2010

Ibu Tunggal Diperintah Bela Diri Cederakan Pembantu Rumah






KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini Selasa memerintahkan seorang ibu tunggal membela diri bagi tuduhan menyebabkan kecederan teruk terhadap seorang pembantu rumah warga Indonesia dengan menggunakan air panas dan gunting tahun lepas.

Hakim S. M. Komathy Suppiah berkata pihak pendakwaaan telah berjaya membuktikan wujudnya kes prima facie terhadap Hau Yuan Tyng.

Hau, 44, bekas ejen hartanah, menghadapi dua pertuduhan menyebabkan kecederaan teruk dan satu pertuduhan mengakibatkan kecederaan terhadap Siti Hajar Sadli, 34, di Lanai Kiara Condominium, Jalan Kiara 3, Mont Kiara antara Februari dan Jun 2009.

Terdahulu, dalam hujahnya, timbalan pendakwa raya Mohd Hafiz Mohd Yusoff berkata keterangan yang diberi oleh Siti Hajar tentang kecederaan yang dialaminya, tidak bercanggah dengan keterangan Dr Margaret Loew Poh Gaik dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Mohd Hafiz berkata Dr Loew mendapati kecederaan yang dialami tubuh mangsa akibat disimbah dengan air panas dan kesan melecur pada lengannya adalah masih baru.

"Dr Loew mendapati di dahinya (Siti Hajar) terdapat keruping yang baru saja terbentuk akibat terkena benda panas serta tidak dicuci atau dirawat," kata Mohd Hafiz.

Beliau berkata pemeriksaan sinar-X yang diminta dibuat oleh Dr Syamsul Rizal Abu Amin juga mengesahkan bahawa tulang hidung Siti telah patah, mungkin kerana dihentak dengan benda tumpul dan pada pendapat beliau, mungkin sejenis benda keras yang berbentuk bulat di hujungnya.

"Siti mengalami kecederaan pada kedua-dua pahanya setelah tertuduh menggunakan gunting untuk mencederakannya apabila dia (tertuduh) tidak berpuas hati dengan cara mangsa mengurutnya," kata beliau.

Dalam hujahnya pula, peguam M. Manoharan yang mewakili Hau, berkata walaupun pelbagai barang kes seperti pisau, kerusi, gunting dan tukul dikemukakan kepada mahkamah, tetapi pihak pendakwaan gagal menunjukkan objek yang didakwa digunakan bagi mencederakan pembantu rumah berkenaan.

Kata beliau, dalam keterangannya, Siti Hajar berkata gunting yang dimaksudkan adalah daripada jenis yang lazim digunakan bagi memotong pokok, tetapi benda itu tidak dikemukakan, manakala tukul yang didakwa digunakan bagi memukulnya pula, berbeza dengan yang dikemukakan kepada mahkamah.

Selain itu, kata Manoharan, mangsa juga tidak melaporkan sendiri kepada polis dakwaan bahawa dia telah didera, tetapi dibuat oleh seorang kakitangan Kedutaan Indonesia.



"Kegagalan mangsa melakonkan semula bagaimana dia melarikan diri dari unit kondominium berkenaan apabila diminta berbuat demikian oleh pegawai penyiasat, juga menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan apabila wanita itu mendakwa dia melarikan diri setelah memecahkan jeriji dengan menggunakan tukul.

"Malah, semasa pemeriksan balas utama, pegawai penyiasat Insp Zulkefly Zainuddin bersetuju bahawa adalah mustahil bagi seseorang yang mempunyai saiz tubuh seperti Siti Hajar boleh meloloskan diri melalui jeriji berkenaan," kata Manoharan.

Hau, yang bertindak sebagai saksi pertama pihak pendakwaan pada perbicaraan ini, memberitahu mahkamah bahawa dia menggajikan Siti, terutama untuk menjaga anak lelakinya berusia 11 tahun, yang mengalami penyakit autistik.

Katanya sejak diambil bekerja pada Jun 2006, Siti Hajar menemani anaknya itu ke sekolah khas di Jalan Klang Lama dari 1.30 petang hingga 4.30 petang pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat.

Perbicaraan di hadapan hakim Komathy akan disambung pada 9 Feb. -- BERNAMA

Muntik mengadu sakit seluruh badan: Saksi


SHAH ALAM: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa pembantu rumah warganegara Indonesia, Muntik Bani mengadu sakit di keseluruhan badan ketika ditemui di atas lantai tandas rumah majikannya, Oktober tahun lalu.

Penolong Pegawai Perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Muhamad Sahid Abdul Karim, berkata wanita itu yang ditemui terbaring dalam kedudukan terlentang dengan dua kakinya terlipat ke belakang badan juga memberitahu bahawa dia dipukul.

"Wanita itu ketika saya lihat berada dalam keadaan sedar, boleh jawab apa yang saya tanya, boleh angkat tangan tetapi tidak dapat gerakkan kaki kerana terlipat dan ketika saya tanya berulang kali siapa yang memukulnya, mangsa cakap dia takut untuk beritahu," katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar pada hari kedua perbicaraan kes A Murugan, 35, yang didakwa membunuh Muntik, 40.

Tertuduh, penjual air tebu, didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di No 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang antara 18 dan 20 Oktober lalu dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Muntik, yang berasal dari Surabaya, meninggal dunia di HTAR pada 26 Oktober lalu selepas gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan. - Berita Harian

Pindaan Akta Kerja, Peningkatan PAKK Kurangkan Pekerja Asing

SHAH ALAM: Pindaan kepada peraturan dalam Akta Kerja 1955 dan peningkatan jumlah Pusat Asuhan Kanak-kanak (PAKK) di sektor swasta mampu meningkatkan tenaga kerja tempatan dan mengurangkan kebergantungan ekonomi negara kepada tenaga kerja asing.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata kementeriannya kini dalam proses meminda peraturan di bawah Akta Kerja 1955 sejak tahun lepas dan berharap ia akan dapat dibentangkan di Parlimen dalam tahun ini.

Pada masa ini terdapat lebih 6.5 juta tenaga pekerja berumur antara 15 hingga 64 tahun yang berpotensi untuk diserapkan bagi pasaran tenaga kerja yang terdiri daripada wanita, golongan pelajar termasuk di Institusi Pengajian Tinggi, pesara dan orang kurang upaya.

Pindaan peraturan dalam akta itu akan memberi peluang kepada golongan ini bekerja mengikut kesesuaian masa dan bidang mereka sama ada mengikut shif atau separa waktu selain daripada mendapat perlindungan hak daripada segi upah, kebajikan dan cuti rehat, katanya kepada pemberita semasa lawatan kerjanya ke Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) Proton Holdings Bhd di Seksyen 23 di sini hari ini.

Beliau juga berharap lebih ramai lagi majikan daripada sektor swasta yang menyediakan kemudahan PAKK kepada para pekerja mereka supaya lebih ramai lagi tenaga kerja wanita yang tidak dapat menyumbang kepada ekonomi negara pada masa ini kerana keperluan menjaga anak dan rumah tangga mereka dapat berbuat demikian.

Sejak kerajaan memperkenalkan garis panduan bagi penyediaan PAKK di sektor swasta dan industri pada 1992, terdapat 93 buah PAKK didaftarkan dengan kementerian di seluruh negara tetapi kini jumlahnya telah susut kepada hanya 16 buah sahaja, katanya.

Maznah berkata penyediaan PAKK oleh para majikan akan memudahkan kaum wanita bekerja kerana mereka akan dapat bekerja dengan tekun kerana mengetahui anak-anak mereka terjaga dan tambahan pula jika pusat jagaan itu berhampiran pejabat mereka, ini akan memudahkan para ibu menjenguk atau menyusukan anak-anak mereka pada waktu rehat.

"Kita melihat kepada mengoptimumkan tenaga wanita pada masa ini. Kita dapati tenaga wanita dalam pekerjaan lebih 46 peratus jadi di situ kita dapati jika kita dapat tingkatkan tenaga kerja wanita dalam pekerjaan, kita boleh dapat lebih satu juta wanita yang boleh memasuki pasaran pekerjaan," katanya.

Beliau berkata Kementerian Sumber Manusia bertanggungjawab bagi menyelia PAKK yang ditubuhkan oleh pihak swasta termasuk di kawasan perindustrian.

Selain itu, kementerian itu juga menyelia 602 PAKK di kawasan perladangan yang menikmati bantuan permainan kanak-kanak berasaskan pendidikan daripada kementerian. - mStar online

Majikan ambil PATI akan didakwa

SRI AMAN 18 Jan. - Para peniaga atau majikan di bandar ini diingatkan agar tidak mengambil pekerja asing yang memasuki negara ini secara haram.

Ketua Imigresen Bahagian Sri Aman, Asani Ladjani berkata, majikan yang mengambil pekerja asing tanpa permit kerja sah boleh didakwa di bawah Akta Imigresen dan Peraturan Imigresen 1993.

Sehubungan itu katanya, majikan mesti menyelidik kesahihan dokumen pekerja asing walaupun menggunakan ejen untuk memastikan prosesnya dilakukan secara sah atau sebaliknya.

"Kadangkala majikan menerima pekerja asing yang dibawa oleh ejen tanpa memeriksa lebih lanjut sama ada mereka mempunyai permit kerja atau tidak.

"Permit kerja mempunyai pelbagai jenis kategori dan majikan perlu tahu mengenainya. Mereka boleh menghubungi kami untuk mendapat kesahihan mengenai perkara berkaitan pekerja asing,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Naziran iaitu lawatan sambil nasihat ke premis-premis dalam bandar Sri Aman di sini kelmarin.

Asani berkata, sehingga kini pihaknya masih belum membuat sebarang tangkapan ke atas mana-mana majikan yang melindungi atau mengambil pekerja asing secara haram di sini.

Katanya, menerusi program tersebut pihaknya memberi amaran dan nasihat kepada semua majikan supaya mengelak daripada mengambil pekerja asing atau bakal berdepan dengan tindakan tegas.

"Kita sentiasa melakukan operasi pemeriksaan menerusi program seumpama ini bagi memastikan tiada majikan di bahagian ini melanggar Akta Imigresen berhubung perkara ini," ujarnya.

Program Naziran di sekitar bandar Sri Aman melibatkan 20 kakitangan Pejabat Imigresen Bahagian Sri Aman termasuk dari daerah Lubok Antu dan Batu Lintang. - Utusan

Melaka sudah mula gempur PATI

MELAKA 18 Jan. - Jabatan Imigresen mula mengerakkan operasi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negeri ini dalam usaha menangani masalah kebanjiran golongan tersebut.

Pengarah Imigresen Melaka, Mohd. Fauzi Abdullah berkata, pemantauan terhadap golongan PATI mula dilakukan di kawasan yang dikenal pasti menjadi tumpuan pendatang asing itu bekerja.

Menurutnya, pemantauan dijalankan secara menyeluruh termasuk di semua kawasan luar bandar yang kedudukannya agak terpencil dan jauh dari pusat bandar.

"Kita sudah mula mengerakkan operasi pemeriksaan PATI di beberapa tempat termasuk tindakan pemantauan terhadap golongan ini bagi menangani isu kebanjiran pendatang asing," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan penguatkuasaan yang dijalankan oleh jabatan itu dalam menangani isu kebanjiran PATI di negara ini.

Selain itu, menurutnya, tindakan pemeriksaan terhadap PATI turut bertumpu di kalangan rakyat India yang dikatakan terlibat dengan kegiatan salah guna visa seperti didedahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Pada masa yang sama, kata Mohd. Fauzi, pihaknya memberi amaran akan mengambil tindakan tegas ke atas majikan yang menggajikan PATI.

"Buat masa ini, tindakan lebih tertumpu kepada pemeriksaan dan pemantauan di kawasan yang dikenal pasti sasaran PATI," kata beliau.

Tegas beliau, mana-mana pihak yang didapati mengambil PATI sebagai pekerja akan dikenakan hukuman setimpal bagi memastikan masalah tersebut diselesaikan sepenuhnya pada masa depan. - Utusan

'Lubang tikus' PATI ditutup

SEREMBAN 18 Jan. - Semua pintu masuk yang boleh menjadi tempat pendaratan dan pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negeri ini akan dikawal dengan rapi oleh pihak berkuasa keselamatan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, semua lokasi itu yang lebih dikenali sebagai 'lubang tikus' akan diletakkan kawalan ketat termasuk laluan sempadan antara negeri.

''Pemantauan PATI menjadi agenda utama Mesyuarat Keselamatan Negeri dan kerajaan negeri akan bertindak seiring dengan agenda negara untuk menghalang kemasukan mereka ke negara ini," katanya pada sidang akhbar di Hotel Royale Bintang di sini hari ini.

Beliau memberitahu, beberapa lokasi telah pun dikenal pasti pihak berkuasa keselamatan terutamanya di kawasan ladang yang sebelum ini menjadi 'syurga' kepada PATI.

''Semasa harga kelapa sawit dan getah meningkat naik, golongan PATI mengambil kesempatan mencari perlindungan dan bekerja memungut hasil pertanian.

''Kebanyakan mereka bekerja di kawasan Felda yang pemiliknya sudah berusia dan tidak mampu bekerja lagi," katanya.

Selepas itu, kata Mohamad, golongan PATI kembali duduk di kawasan pinggir hutan dan ada juga yang mendiami kawasan sempadan seperti Negeri Sembilan-Pahang dan Negeri Sembilan-Johor.

''Sekarang dengan harga kelapa sawit meningkat, begitu juga getah, golongan PATI ini sudah mula kembali ke kawasan ladang untuk mencari pekerjaan," katanya.

Sehubungan itu, Mohamad menegaskan, pihak keselamatan seperti polis, imigresen, Rela, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sebagainya akan menghalang kemasukan mereka ke negeri ini.

''Jika kita tidak sekat kedatangan mereka, akan timbul masalah sosial dalam negeri.

''Ini akan menyebabkan rakyat berasa tidak selamat," ujarnya.

Sehubungan itu Mohamad juga meminta orang ramai memberi maklumat kepada pihak keselamatan dalam negeri ini jika mempunyai maklumat berhubung pergerakan PATI. - Utusan

Pelancong, perompak, penipu dan pelacur


DARI Mexico, Guatemala dan Sepanyol, merompak di Terengganu. Sebanyak 39,046 pelancong India lesap, tidak tahu di mana mereka berada. Sebanyak 75,645 yang lain dari pelbagai negara menyalahgunakan visa pelancong. Ini cerita fantastik yang tak masuk akal, tetapi benar terjadi di negara kita.

Menteri Pelancongan, Datuk Dr. Ng Yen Yen dalam sidang akhbar pada 12 Januari 2010 mengumumkan: "Malaysia menduduki tempat kedua selepas Korea Selatan, dalam senarai negara yang melebihi sasaran kemasukan pelancong, tahun lalu."

Senarai ini dikeluarkan oleh Pertubuhan Pelancongan Sedunia Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO). Begitulah hebatnya negara kita menarik pelancong! Dapat nombor dua dalam dunia!


Yen Yen menjelaskan, sasaran 19 juta pelancong dicapai pada bulan Oktober dan dijangka mencecah 23.65 juta pada akhir tahun 2009, walaupun industri pelancongan dunia agak muram dan dijangka menurun. Maka beliau bangga kerana peningkatan itu menunjukkan kementerian melepasi Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Apakah tarikan yang begitu hebat sekali membawa pelancong ke negara kita? Jawabnya kerana kita makmur dan 'semua boleh'. Namun bagi saya, angka ini tidak boleh dianggap suatu kejayaan. Ini kerana sebenarnya ramai yang masuk dengan visa pelancong tetapi mereka bukanlah benar-benar mahu melancong, sebaliknya penipu dan penjenayah? Kita tidak seharusnya tertipu oleh angka yang hebat-hebat, meskipun pelancongan dikatakan the country's second largest foreign exchange earner.


Menurut laporan akhbar pada 13 Januari 2010, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan dengan berkata: "Sebanyak 39,046 orang pelancong dari India yang telah tamat tempoh visa, telah 'lesap' dari rekod Jabatan Imigresen. Mereka mungkin pulang ke India atau masih berada di sini, mungkin sedang bekerja di restoran India. Kita tidak tahu di mana mereka berada."

Najib juga menjelaskan, "Antara September 2008 dan September 2009, seramai 75,645 daripada 248,939 warga asing yang diberi visa waktu ketibaan ( VOA ) telah menyalahgunakan visa mereka."

Pelancong penipu ini adalah dari India, Pakistan, Bangladesh, China, Sri Lanka, Myanmar, Nepal, Afghanistan, Bhutan dan Taiwan. Sebenarnya dari awal lagi mereka bukan datang untuk melancong. Pelancong biasanya menyediakan visa sebelum berangkat. Kalau hendak melancong, kita tidak mahu berbaris lama dan membuang masa menghadapi masalah di lapangan terbang.

Keputusan kita memberikan VOA sangatlah tidak bijaksana. Ia dibuat tanpa kajian teliti. Kita terlalu hendakkan ramai pelancong dan tukaran wang asing, sehingga tidak sedar masalah yang akan timbul.


Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman sendiri mengaku, visa yang diberikan kepada kebanyakan pelancong, menyumbang kepada pelbagai masalah seperti pelacuran dan pendatang tanpa izin (PATI)". Lagi pun orang yang meminta VOA biasanya pendatang miskin yang mencari jalan mudah untuk masuk ke negara ini.

Angka-angka yang didedahkan oleh Perdana Menteri ini yang keseluruhannya berjumlah 114,691 orang amat mengejutkan. Dan sudah pasti jumlah 'pelancong' yang datang untuk bekerja secara haram, menjadi penipu, perompak, pencuri dan pelacur jauh lebih ramai bertaburan di merata negeri sampai ke pekan-pekan kecil.

Pendedahan Perdana Menteri ini cepat sekali mendapat respons daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), khususnya Imigresen. Abdul Rahman menghebahkan amaran yang sangat tegas dan keras kepada majikan yang 'menggaji dan melindungi PATI'. Katanya hukuman penjara yang lebih lama dan denda yang lebih tinggi akan dikenakan menurut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.


Kepada para majikan termasuk syarikat multinasional, mereka diberikan tempoh sehingga 15 Februari ini untuk mematuhi arahan tersebut. Kata Abdul Rahman lagi: "Kita akan buru PATI dan warganegara India yang hilang itu di mana-mana sahaja termasuk dalam sektor perkhidmatan."

Betulkah Datuk? Mereka sebenarnya boleh menyelinap ke dalam masyarakat kaum masing-masing.
Rakyat dan akhbar telah lama meluahkan perasaan marah, risau dan benci kepada pendatang yang semakin terlalu ramai dan bermaharajalela di tempat-tempat rehat di sekitar ibu kota. Mereka berniaga dan bekerja secara haram di mana-mana saja. Mereka datang dari seluruh dunia, termasuk dari negara-negara yang sama sekali tidak kita jangka, malah ramai yang tidak tahu di manakah duduknya negara itu. Benarkah ada 'pelancong' dari Guatemala dan Bhutan?

Akhir tahun lalu, setelah beberapa minggu Utusan Malaysia menyiarkan berita dan kemarahan orang ramai mengenai pendatang 'Awang Hitam', barulah ada kenyataan pihak Imigresen akan mengambil tindakan pada awal tahun 2010. Akan tetapi selepas berita itu, kita tidak langsung mendengar berita hasil tindakan tersebut. Maka kita berasa ragu, apakah amaran keras Ketua Pengarah Imigresen kali ini, betul-betul akan ada tindakan atau hanya untuk respons kepada kenyataan Perdana Menteri dan melegakan kemarahan rakyat sahaja. Tindakan terhadap PATI telah banyak kali diumumkan. Tetapi PATI dan pelancong penipu terus bertambah ratusan ribu.

Pelancong biasanya datang dari negara yang rakyatnya hidup senang, bukan dari negara yang rakyatnya hidup menderita, tiada pekerjaan dan tiada cukup makanan. Wajah dan tingkah laku mereka menunjukkan mereka datang untuk mencari wang, bukan membelanjakan wang. Apakah sesudah bertahun-tahun 'pelancong' ini menimbulkan pelbagai masalah dan jenayah, kita masih tidak sedar atau sengaja menutup mata atau kerana ada orang kita yang dapat faedah untuk diri sendiri? Tindakan kita hanya 'hangat-hangat tahi ayam' dan jadi bahan sindiran serta ketawa 'Malaysia Boleh!'

Sementara itu, pada 9 Januari 2010, polis menangkap tiga perompak barang kemas RM900,000 di Kuala Terengganu. Mereka datang dari Sepanyol, Mexico dan Guatemala. Tiga bulan sebelum kejadian itu, tiga lelaki dan seorang wanita iaitu warga asing mencuri tiga beg barang kemas di Kuala Terengganu juga. Hati kecil saya bertanya, "Orang dari Mexico dan Guatemala? Datang merompak di Terengganu?" Sama sekali tak masuk akal, tetapi ia betul berlaku.

Setiap hari di Pejabat Imigresen Putrajaya dan Damansara, tidak pernah kurang daripada 500 orang asing berbaris dan sesak berdiri untuk menguruskan pasport dan visa. Saya berasa aneh dan tertanya-tanya apakah begini juga keadaan di negara-negara lain, termasuk di Korea Selatan yang paling ramai didatangi pelancong?

Banyak berita yang menunjukkan semakin ramai pendatang asing yang masuk-keluar dan bekerja di negara kita ini secara haram. Pihak polis dan agensi rahsia kita tentulah sudah tahu akan adanya sindiket-sindiket yang mengeluarkan bermacam jenis surat, paspot dan visa kepada siapa-siapa saja, dari negara mana saja, untuk keluar-masuk, bekerja dan bergerak bebas di negara kita. Sindiket-sindiket ini nampaknya boleh beroperasi dengan senang hati tanpa gangguan di bandar-bandar besar termasuk di Kuala Lumpur. - Utusan

Monday, January 18, 2010

Muntik ditemui terbaring dalam tandas dengan tangan terikat


SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa pembantu rumah warga Indonesia, Muntik Bani, ditemui di atas lantai tandas rumah majikannya dalam keadaan terbaring, tangan berikat dan kepalanya botak.

Yeni Marianti Sudirman, 30, warganegara Indonesia, berkata beliau menemui Muntik dalam keadaan itu selepas anak lelaki majikan mangsa yang berumur kira-kira tiga tahun menunjukkan ke arah pintu tandas sambil berkata "akak, akak".

"Pintu tandas itu dikunci dari luar menggunakan selak dan selepas saya buka pintu, saya nampak orang itu (Muntik) seperti sedang tidur, tangan diikat dan kepalanya botak.

"Saya nampak dia dari bahagian atas badan sahaja sebab saya tidak buka habis pintu tandas itu kerana saya takut. Masa itu saya tidak cam sama ada dia lelaki atau perempuan," katanya semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abdul Ghani, pada hari pertama perbicaraan kes A Murugan, 35, yang didakwa membunuh Muntik, 40.

Tertuduh, penjual air tebu, didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di No 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Oktober lalu dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Saksi ketiga pendakwaan itu yang juga jiran Murugan berkata, beliau terus meminta diri daripada isteri tertuduh untuk pulang ke rumahnya dengan memberi alasan bahawa beliau takut suaminya akan marah. 

"Tiba di rumah, saya telefon suami saya tetapi dia suruh tunggu dia pulang. Saya kemudian terjumpa kad perniagaan peguam Gerard Lazarus dan terus hubungi beliau kira-kira jam 3 tetapi dia tidak jawab. Gerard kemudian hubungi saya semula pada jam 5 dan saya maklumkan mengenai kejadian itu kepada beliau.

"Masa itu saya tidak berani hubungi balai polis sebab saya kosong (tiada pasport)," katanya.

Terdahulu, ketika ditanya Idham bagaimana beliau boleh berada di rumah Murugan, Yeni berkata isteri tertuduh sebelum itu telah menjemput beliau ke rumahnya untuk menikmati kuih raya sempena sambutan Deepavali.

Saksi itu berkata, semasa berada di dapur, beliau telah meminta kebenaran daripada isteri tertuduh untuk menggunakan tandasnya dan isteri tertuduh kemudian memaklumkan bahawa hanya satu bilik air boleh digunakan manakala tandas di sebelahnya tidak boleh digunakan kerana rosak.
"Saya ada tanya pada kakak (isteri tertuduh) mana bibik dan dia jawab bibik sudah enam hari dihantar balik ke Indonesia," katanya.

Gerard pula berkata pada hari kejadian (20 Okt 2009) ketika beliau menghubungi Yeni semula, suara wanita itu (Yeni) kedengaran dalam ketakutan ketika memberitahu bahawa dia menemui seorang wanita di dalam tandas sebuah rumah dan ketika ditanya sama ada wanita itu masih bernyawa atau sebaliknya, Yeni memberitahu bahawa dia tidak tahu.

Saksi kedua pendakwaan itu berkata, beliau dan seorang pelajarnya kemudian menemui Yeni di sebuah kedai di Taman Sentosa dan wanita itu kemudian menunjukkan kepada beliau rumah tertuduh.

"Saya kemudian terus buat laporan polis di pondok polis Taman Sentosa dan meminta supaya pelajar saya tunjukkan kepada polis rumah tertuduh sebelum pulang semula ke pejabat saya.

"Tidak lama kemudian pegawai penyiasat Inspektor Mohd Azan Radzali hubungi saya dan minta saya hadir di balai polis untuk rakam keterangan berikutan polis telah menemui seorang wanita di dalam tandas rumahitu," katanya semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar.

Gerard, 41, berkata selepas selesai merakam keterangan, beliau pergi ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, untuk melawat Muntik yang dirawat di wad kecemasan dan wanita itu dilihat berada dalam keadaan yang teruk kerana terdapat kecederaan di wajahnya, kepalanya dibotakkan dan terdapat luka besar di kaki kanan selain banyak kecederaan lain di seluruh anggota badannya.

"Ketika saya berdiri di sebelah katilnya, Muntik mengangkat tangan kanannya dan pegang tangan saya serta cium tangan saya dan ucapkan terima kasih kepada saya. Saya kemudian tanya dia siapa buat dan dia jawab tuan yang buat," katanya.

Gerard berkata, kira-kira jam 11.30 malam pada hari kejadian (20 Oktober), seorang lelaki bernama Murugan telah menghubungi beliau memaklumkan bahawa isterinya telah ditangkap polis kerana didakwa mengurung pembantu rumah mereka di dalam tandas dan meminta nasihat beliau mengenai cara untuk membebaskan isterinya.

Saksi itu berkata, melalui perbualan telefon itu, beliau dapat mengenali Murugan kerana pernah mewakili tertuduh dalam satu kes gaduh dua tahun lalu di mana tertuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan itu.

Gerard berkata, melalui perbualan telefon itu juga, beliau akhirnya mendapat tahu bahawa Murugan ialah majikan Muntik dan tertuduh memberitahu bahawa dia telah memukul Muntik kerana wanita itu telah memukul anaknya.

"Saya kemudian menasihati Murugan supaya menyerah diri kepada polis serta memberi jaminan bahawa dia hanya akan didakwa kerana menyebabkan kecederaan terhadap Muntik. Murugan kemudian setuju berjumpa dengan saya pada 21 Oktober 2009 di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang.

"Di sana Murugan yang datang bersama ibu dan anaknya sekali lagi memaklumkan bahawa dia yang mencederakan pembantu rumahnya dan bukan isterinya. Saya kemudian serahkan dia kepada polis," katanya.

Kepada soalan Mohd Dusuki bagaimana beliau mengenali Yeni, Gerard berkata beliau pernah mengupah Yeni untuk membersihkan rumahnya selepas mengadakan majlis sambutan hari lahirnya.

Turut memberi keterangan pada perbicaraan hari ini ialah anggota polis pertama yang tiba di tempat kejadian iaitu Koperal Yusoff Ahmad yang bertugas dipondok polis Taman Sentosa.

Dalam keterangannya, Yusoff berkata selepas mendapat maklumat bahawa ada orang dipukul atau disorokkan di dalam tandas sebuah rumah, beliau serta empat anggotanya telah pergi ke rumah tertuduh dan ketika tiba di sana, beliau ternampak seorang wanita dan anak lelakinya berada di halaman rumah.

"Selepas saya maklumkan yang saya ingin periksa di dalam rumah, wanita itu benarkan kami masuk dan kami kemudian terus pergi ke dapur.

"Pada masa itu saya terhidu bau seperti nanah semakin kuat dan ketika sampai di tandas yang tertutup, saya cuba buka tetapi tersangkut sebab ada objek yang menghalangnya. Selepas saya buka pintu perlahan-lahan saya temui mangsa terbaring dalam keadaanseparuh bogel hingga ke paras dada.

"Kepala mangsa menghadap ke arah mangkuk tandas dan dua kakinya terlipat kebadan. Saya ternampak separuh payu dara dan kemaluannya. Selepas itu saya minta dia tutup kemaluannya dan kemudian bila saya tanya dia "neng" ke, mangsa macam tersenyum seperti mengiakan bahawa dia warganegara Indonesia.

"Keadaan dia tidak bermaya dan ada terdapat bau busuk seperti bau kudis dan nanah," katanya.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa bersambung esok. - Berita Harian

Dua Mat Afrika kebas RM40,000

AMPANG: Dua warga Afrika melarikan hampir RM40,000 wang tunai milik seorang ahli perniagaan selepas memperdaya mangsa untuk melabur dalam satu skim perniagaan di Ampang Point di sini, Ahad lalu.

“Mangsa mengeluarkan wang sebelum dia dan isteri dibawa dua lelaki terbabit ke satu lokasi berhampiran Ampang Point bagi bertemu dengan dua lelaki Afrika terbabit kerana didakwa lebih mengetahui selok-belok perniagaan itu.

“Sebaik tiba di lokasi, dua lelaki tempatan itu tidak membenarkan isteri mangsa turun dari kereta kerana mendakwa pertemuan dengan lelaki Afrika berkenaan hanya sekejap saja,” katanya.

Menurutnya, mangsa dibawa bertemu dua lelaki Afrika itu dalam sebuah kereta lain.

“Mangsa diminta menunjukkan wang yang mahu dilaburkan itu kepada dua lelaki Afrika terbabit.

“Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa menyerahkan wang itu kepada dua lelaki Afrika itusebelum mereka keluar dan melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang ketika itu di tempat duduk belakang bersama dua lelaki tempatan tergamam dan mengejar lelaki Afrika terbabit.

“Bagaimanapun, dua lelaki Afrika terbabit dilihat menaiki sebuah Toyota Vios hitam dipercayai milik rakan lelaki itu yang sedia menunggu sebelum memecut laju.

“Mangsa cuba mengejar, namun tersalah memasuki jalan mati,” katanya. - Harian Metro

MPSJ, MAIS serbu pusat urut

SUBANG JAYA 17 Jan. - Berselindung di sebalik khidmat urutan refleksologi dan kesihatan, empat buah premis bijak mengabui mata pihak berkuasa apabila sebenarnya menjalankan urut tubuh dan teman sosial.

Namun kegiatan mereka terbongkar apabila diserbu polis dengan kerjasama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Hasilnya seramai 11 individu termasuk tiga wanita tempatan dan enam wanita warganegara China ditahan dalam empat serbuan di sekitar Bandar Puteri, Puchong, di sini pada pukul 9 malam tadi.

Menurut Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md. Ikhsan, siasatan mendapati kesemua premis itu telah menyalahgunakan lesen perniagaan yang diluluskan oleh MPSJ.

"Premis itu sepatutnya memberi perkhidmatan refleksologi dan kesihatan tetapi menjalankan perkhidmatan urut seluruh tubuh dan teman sosial.

"Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 18 hingga 25 tahun termasuk dua pelanggan lelaki yang sedang diurut.

"Kami menyita semua premis itu. Salah sebuah premis pernah disita sebelum ini tetapi masih menjalankan perniagaan yang berlainan," katanya di sini semalam.

Tambah Adnan, pihaknya tidak teragak-agak akan membatalkan lesen perniagaan kepada premis yang dilihat masih berdegil dan melanggar syarat.

Jelas beliau, pihaknya akan terus menjalankan serbuan dan penguatkuasaan terhadap premis-premis seumpama itu. - Utusan

Sunday, January 17, 2010

Polis Marin tahan 26 pelarian Myanmar

PELABUHAN KLANG: Polis Marin Selangor menahan 26 pelarian Myanmar yang dipercayai cuba mendapatkan suaka politik di negara ini dalam satu operasi di Bagan Hailam, dekat Pulau Ketam, di sini, malam tadi.


Pegawai Pemerintah Polis Marin Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Norzaid Muhammad Said, berkata kesemua pelarian itu ditemui kira-kira jam 6.30 petang semalam, dalam sebuah feri penumpang yang dalam perjalanan dari Sungai Lima, Pulau Ketam ke Pelabuhan Klang.

Katanya, daripada jumlah itu, 21 orang adalah pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) manakala bakinya tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

"Kad UNHCR yang dimiliki oleh pendatang asing ini dikeluarkan oleh negara jiran dan bukannya Malaysia. Oleh itu, mengikut lunas undang-undang, mereka tidak sepatutnya mendapatkan suaka politik di negara ini," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa kesemua pelarian Myanmar itu telah ditahan di negara jiran sebelum dibawa lari ke negara ini oleh sindiket dengan menggunakan bot pom-pom.

Norzaid berkata, siasatan awal juga mendapati kesemua warga Myanmar itu, berumur antara 17 dan 56 tahun itu, berada selama dua hari di Pulau Ketam.
"Ini juga kes pertama membabitkan warga Myanmar melarikan diri ke bahagian selatan negara kerana biasanya mereka suka melarikan diri ke bahagian utara negara seperti Pulau Pinang dan Langkawi," katanya.

Katanya, kesemua warga Myanmar itu kini ditahan di Balai Polis Pelabuhan Klang sebelum dikenakan tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1963. - Berita Harian

Polis cari warga Vietnam

MELAKA: Polis kontinjen negeri giat mengesan rakan pekerja medan selera warga Vietnam yang mati ditikam di rumah sewanya di Jalan Seri Mangga 2, Pokok Mangga dekat sini, pagi Rabu lalu yang melarikan diri sejurus kejadian dan dipercayai masih bersembunyi di negeri ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, lelaki berusia lewat 20-an itu dipercayai dapat membantu siasatan kes berkenaan.

Menurutnya, hasil siasatan awal, suspek dikesan menumpang di rumah sewa mangsa, Hoang Nguc Lu, 28, dan seorang lagi rakannya, Hong Van Toi, 22, pada hari kejadian.

“Suspek terbabit tidak bekerja di medan selera berkenaan dan menumpang di rumah mangsa pada hari kejadian. “Kita percaya berlaku perkelahian antara suspek dan mangsa sebelum dia ditikam di perut dan bahu menggunakan senjata,” katanya. - Harian Metro

Wanita warga asing kena serbu bertempiaran

SERI MANJUNG: Sekumpulan wanita warga asing berpakaian seksi yang asyik melayan pasangan masing-masing bertempiaran lari dan meredah semak-samun dalam kawasan gelap selepas diserbu sepasukan anggota Pejabat Imigresen Lumut (IPL), di sini, malam kelmarin.
Bagaimanapun, mereka yang menyorok dalam semak di kawasan kelapa sawit berkenaan akhirnya dicekup anggota Imigresen kira-kira 15 minit kemudian.

Operasi bermula kira-kira jam 6.30 petang dan berakhir 11.30 malam di dua premis berasingan di Jalan Simpang 2 dan Kampung Selamat, Sitiawan. Seramai 11 wanita warga asing berumur antara 18 hingga 44 tahun ditahan kerana disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Ketua Imigresen Lumut, Zaidi Dali berkata, operasi 'Ops Sayang' yang diketuainya sendiri bersama 10 anggota itu dijalankan bagi mengesan kes salah guna pas lawatan sosial oleh warga asing.

Beliau berkata, semua wanita itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan akan ditahan selama 14 hari untuk tindakan selanjutnya.

"Siasatan awal mendapati dua wanita warga China yang ditahan di lokasi pertama memegang pas lawatan sosial jangka panjang dan dia juga mendakwa menjadi isteri kepada dua lelaki tempatan.

"Bagaimanapun, siasatan terperinci akan dijalankan untuk mengenal pasti sama ada perkahwinan itu benar-benar wujud atau sebaliknya," katanya yang ditemui selepas operasi berkenaan, kelmarin.

Katanya, tindakan pembatalan pas lawatan sosial jangka panjang akan dibuat sekiranya pihaknya mendapati perkahwinan itu tidak wujud kerana sebelum ini kes sama pernah berlaku apabila ada wanita warga asing berkahwin dengan warga tempatan semata-mata mendapatkan pas lawatan sosial jangka panjang.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam di atas penyaluran maklumat mengenai kehadiran pendatang asing yang menyalahgunakan pas sehingga berjaya membawa kepada penangkapan mereka yang terbabit. - Harian Metro

Laluan rahsia GRO

SEREMBAN: Di sebalik beroperasi seperti biasa, seorang pengusaha sebuah pusat hiburan di sini dikesan menggunakan dua unit rahsia bersebelahan, sebagai tempat persembunyian wanita warga asing dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO).
Sepasukan polis dan pegawai dari Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Bukit Aman yang mengadakan serbuan terhadap pusat hiburan di Pusat Perdagangan Oakland, Seremban 2, di sini, awal pagi kelmarin bukan saja berjaya menemui laluan rahsia berkenaan, malah menahan 21 wanita warga asing yang bersembunyi dalam premis kosong itu.

Dalam operasi khas bermula kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, pihak polis terpaksa bergelut dengan penjaga pusat hiburan terbabit yang cuba meloloskan diri.

Pemangku Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Asisten Komisioner Sanusi Sidek, berkata berdasarkan maklumat, pusat hiburan berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti tidak bermoral, termasuk menggunakan khidmat wanita warga asing.

“Berdasarkan pemantauan dan risikan, kami berjaya menemui beberapa laluan rahsia ke tempat persembunyian mereka. Kami juga terpaksa memecah dinding dan hasilnya didapati dua premis bersebelahan pusat hiburan itu dijadikan pejabat dan satu lagi dibiarkan dijadikan lokasi persembunyian GRO itu sekiranya diserbu pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Sanusi berkata, 21 wanita asing itu ditahan bagi proses dokumentasi. Daripada jumlah itu, 13 warga China, Vietnam (tujuh) dan seorang wanita warga Kemboja yang semuanya berusia lingkungan 18 hingga 30 tahun.

Beliau berkata, operasi kali ini dilakukan berdasarkan pemantauan dan maklumat orang awam, terutama daripda masyarakat setempat yang mendakwa perniagaan berkenaan mengganggu ketenteraman mereka selain mencurigakan dari segi kehadiran ramai wanita warga asing.

“Ada di antara mereka cuba berikan beberapa alasan yang tidak munasabah, termasuk hanya datang untuk berhibur dan bukan bekerja sedangkan jelas nama mereka tertera pada kad perakam waktu yang disediakan pihak pengurusan pusat hiburan berkenaan. “Selain penahanan wanita warga asing berkenaan, kami memeriksa rekod kira-kira 30 pelanggan berikutan ada antaranya dikesan dalam keadaan khayal dan perlu melalui saringan ujian air kencing,” katanya.

Tiga pelanggan yang diperiksa mempunyai rekod jenayah lampau manakala satu lagi antara orang paling dikehendaki polis dan kini ditahan bagi siasatan lanjut.

Beliau turut mengingatkan mana-mana pengusaha pusat hiburan supaya jangan melakukan kegiatan menyalahi undang-undang kerana lambat laun ia pasti terbongkar pihak berkuasa. - Harian Metro

Pekerja restoran Kopitiam ditahan

PUCHONG: Seorang pekerja restoran Kopitiam warga Indonesia hanya mampu menggaru kepala apabila gagal mengemukakan dokumen atau pas pekerja ketika diminta oleh anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Selangor.
Operasi itu turut membabitkan tiga lagi restoran kopitiam berikutan dipercayai mengambil pekerja asing tanpa dokumen sah.

Timbalan Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa, Johari Supardi, berkata pihaknya melancarkan operasi selepas mendapat maklumat daripada orang awam mendakwa restoran terbabit menggaji pekerja asing diragui statusnya.

“Dalam operasi selama sejam bermula 12 tengah hari seramai 30 pekerja asing, kebanyakannya bekerja sebagai pelayan pelanggan, diperiksa hasilnya 12 daripada mereka ditahan untuk siasatan lanjut atas berbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.

“Ada juga di kalangan mereka bekerja sebagai tukang masak. Mereka yang ditahan dibawa ke depoh imigresen di KLIA sebelum didakwa mengikut Akta Imigresen 1959/63 pindaan 2002 kerana bekerja tanpa permit sah,” katanya. - Harian Metro

Buruh binaan ditemui mati perut terburai, dikelar

PUCHONG: Seorang lelaki warga Indonesia dipercayai buruh binaan ditemui mati dalam keadaan ngeri dengan perut terburai dan leher dikelar dalam kejadian di kawasan perumahan Skyville yang sedang dalam pembinaan di Jalan Kasawari, di sini, malam kelmarin.

Mayat mangsa berusia lingkungan 30-an dijumpai dalam keadaan terlentang kira-kira jam 11 malam di luar sebuah rumah oleh pengawal keselamatan yang membuat rondaan di kawasan perumahan terbabit.

Timbalan Ketua Polis Subang Jaya, Superintendan Abdul Aziz Abdul Majid, berkata mangsa yang berpakaian lengkap dan dipercayai bekerja di tapak projek itu dikelar dengan objek tajam di leher dan perutnya sehingga terburai.

“Siasatan awal tidak menemui kesan pergelutan di tempat mayat ditemui. Polis juga tidak menjumpai dokumen pengenalan diri mangsa dan senjata di sekitar lokasi kejadian, kecuali jam tangan dan telefon bimbit dipercayai milik lelaki itu," katanya di sini semalam.

Aziz berkata, polis masih menyiasat punca pembunuhan itu tetapi menolak kaitannya dengan jenayah samun. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pihak polis. - Berita Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...