Friday, January 15, 2010

Kedutaan asing bantu atasi pendatang

KUALA LUMPUR: Semua kedutaan asing yang rakyatnya bekerja di Malaysia sedia memberi kerjasama kepada kerajaan bagi mengatasi masalah warga mereka yang menjadi pendatang tanpa izin dan mahu tindakan undang-undang dikenakan secara saksama, terutama terhadap majikan yang menggaji mereka.

Menteri Kaunselor di Kedutaan Indonesia (Penerangan, Sosial dan Budaya), Widyarka Ryananta, menyambut baik operasi besar-besaran yang dijalankan Jabatan Imigresen bagi menangkap dan mengusir mereka mulai 15 Februari ini.

"Kita menghormati keputusan Malaysia, namun mengharapkan majikan turut dikenakan tindakan mengikut kerana masalah ini tidak berpunca daripada satu pihak saja," katanya.

Selasa lalu, Datuk Seri Najib Razak, berkata 39,046 rakyat India tidak dapat dikesan daripada rekod Jabatan Imigresen selepas visa pelancong mereka tamat tempoh, menyebabkan jabatan itu kurang minat mengeluarkan visa waktu ketibaan (VOA) kepada rakyat India kerana kemudahan itu disalah guna, terutama dari Chennai.

Kata Perdana Menteri, kerajaan sedia menimbang memperkenalkan semula skim VOA itu bagi mereka yang datang dari bandar raya seperti Bangalore, Mumbai dan Delhi tetapi bukan dari Chennai.

Jurucakap Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia, berkata 39,046 pelancong India yang 'hilang' itu mungkin berada di mana saja dan mustahil semuanya dikesan.
Katanya, statistik suruhanjaya tinggi terbabit menunjukkan kira-kira 150,000 warga negaranya kini bekerja di Malaysia secara sah.

Jurucakap Kedutaan China berkata, pihaknya menghormati hak Malaysia mengambil tindakan terhadap pendatang haram dan akan memantau serta memberi bantuan dalam kejadian membabitkan rakyatnya.

Kedutaan Bangladesh di sini enggan mengulas lanjut keputusan menangkap dan mengusir pendatang mulai 15 Februari ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia, Samsudin Bardan, berkata larangan dikeluarkan kepada anggotanya jangan menggaji pekerja asing yang memiliki visa lupus tempoh. - Berita Harian

Tempoh sah laku VOA mungkin disingkatkan - KDN

PUTRAJAYA 15 Jan. – Kerajaan mungkin memendekkan tempoh sah laku visa ketibaan (VOA) pelancong kepada beberapa hari sahaja berbanding sebulan sebelum ini, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Mahmood Adam berkata, rancangan itu adalah salah satu langkah bagi memastikan kemudahan tersebut tidak terus disalahgunakan oleh sebahagian pelancong dari negara-negara tertentu.

"Langkah itu adalah antara cadangan yang dikemukakan pada mesyuarat antara KDN dengan wakil dari pelbagai kementerian di sini hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, semua pihak yang terbabit dalam perbincangan itu akan mengadakan satu lagi mesyuarat sebelum hasil dan syor mengenai soal VOA, pekerja asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Selasa depan.

Mahmood berkata, cadangan memendekkan tempoh sah laku VOA itu juga dikatakan bersesuaian dengan tujuan melancong yang tidak memerlukan tempoh yang terlalu lama.

Kerajaan memperkenalkan kemudahan VOA pada sempena Tahun Melawat Malaysia 2006. - Utusan

Tawaran kerja di restoran mamak

KUALA LUMPUR 14 Jan. - Jabatan Imigresen mendedahkan penawaran kerja khususnya di restoran mamak dikenal pasti menjadi faktor utama menyumbang puluhan ribu warganegara India 'hilang' di negara ini.

Ini terbukti apabila hampir setiap operasi yang dijalankan oleh jabatan itu di seluruh negara akan menemui pendatang asing tanpa izin (PATI) di kalangan warganegara India di restoran-restoran mamak.


Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman ketika mendedahkan perkara itu berkata, daripada lapan pekerja warganegara India di restoran mamak, tiga daripadanya tidak memiliki pas kerja yang sah.

"Tindakan majikan mengambil pekerja warga asing tanpa pas kerja sah 'diselitkan' dalam kumpulan pekerja yang memiliki pas kerja sah, dilihat sebagai satu trend yang serius.

"Selagi ada penawaran kerja untuk warga asing dengan cara yang tidak sah ini, masalah warga asing 'hilang' sukar dibendung," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan kerajaan akan mengkaji semula empat aspek utama iaitu prosedur kemasukan, mekanisme pemantauan dan penyediaan sistem maklumat, strategi penguatkuasaan serta semakan perundangan bagi mengelak berulangnya kebanjiran PATI.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa bimbang apabila sejumlah 39,046 warganegara India dilaporkan 'hilang' di Malaysia selepas visa pelancongan mereka tamat tempoh.

Ekoran itu, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) meminta semua pihak supaya tidak mengaitkan persatuan itu dengan isu 39,046 warganegara India 'hilang' di Malaysia selepas visa pelancongan mereka tamat tempoh.

Menurut Abdul Rahman, isu utama yang sedang ditangani oleh pihak Imigresen adalah kebanyakan warga asing masuk ke negara ini melalui visa waktu ketibaan (VOA) didapati tinggal lebih dari tempoh dibenarkan.

"Kita menyedari terdapat kecenderungan majikan menawarkan kerja kepada golongan ini (warganegara India), oleh itu kita sedang mengambil tindakan sewajarnya.

"Ini termasuk mengadakan operasi dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan yang menggaji mereka ini," katanya.

Menurutnya, empat warga asing yang disenaraikan sebagai paling ramai tinggal lebih masa di negara ini adalah India diikuti Pakistan, Bangladesh dan China.

Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia untuk membantu Imigresen dalam operasi-operasi memburu PATI warganegara India yang dijalankan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, pihaknya sentiasa membantu jika diperlukan untuk bersama-sama membendung masalah tersebut.

"Dalam penguatkuasaan, kita juga menjalankan pelbagai serbuan dan menangkap warga asing tanpa dokumen sebelum menyerahkan kepada Imigresen," ujarnya. - Utusan

Identiti sebenar Dinda terbongkar




KUALA LUMPUR 14 Jan. - Tanda tanya tentang latar belakang seorang amah yang didakwa membakar rumah dan melarikan barang milik majikannya di Kuala Terengganu, 6 Januari lalu, terbongkar apabila gadis itu pernah dilaporkan hilang di negaranya.

Perkara itu didedahkan oleh Kaunselor (Maklumat dan Perhubungan Awam) Kedutaan Republik Indonesia di Malaysia, Widyarka Ryananta.

Menurut Widyarka, gadis berusia 14 tahun yang berasal dari Palembang, Sumatera Selatan itu dilaporkan hilang dari rumahnya di daerah itu pada Mei lalu, sebelum dikesan memasuki negara ini beberapa bulan kemudian.

Tambahnya, nama sebenar gadis itu ialah Fiona Maya Paksi (gambar), 14, dan bukannya Dinda Kiara Tiara Eriagus, 22, seperti di dalam pasport miliknya.

"Fiona dilahirkan pada 16 Jun 1996. Sebelum ini kehilangan Fiona telah dilaporkan kepada polis Indonesia.

"Kami dapati dia (Fiona) masuk dan bekerja di negara ini dengan menggunakan maklumat palsu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, Dinda (Fiona) bertindak membakar rumah majikannya sebelum melarikan diri bersama wang tunai lebih RM500 dan dua buah komputer dalam satu kejadian di Taman Murni Indah, Telaga Daing dekat sini pagi ini.

Menurut Widyarka, pihaknya tidak menolak kemungkinan gadis itu menjadi mangsa sindiket penyeludupan dan memperdagangkan manusia.

Pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut kerana sehingga kini belum dapat berjumpa dengan gadis itu.

"Pada masa ini, dia ditempatkan di sekolah pemulihan akhlak, Tunas Bakti Perempuan, Marang, Terengganu.

"Kami akan meminta kerjasama daripada pihak berkuasa negara ini untuk menyiasat perkara tersebut," kata beliau.

Dinda (Fiona) yang didakwa di Mahkamah Majistret Terengganu semalam, dituduh mencuri dua buah komputer riba, sebuah modem jalur lebar, satu unit tetikus dan sebuah beg milik majikannya, Mazli Mohamad di Taman Murni Indah, Seberang Takir, Kuala Terengganu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di antara pukul 10 dan 10.30 pagi, 6 Januari lalu dan didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda. - Utusan

Ganja: Dua buruh Indonesia dipenjara 10 tahun, 10 sebatan


PUASARUDDIN Pasaribu dan Azhari Jamal di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 14 Jan. - Dua buruh kontrak warga Indonesia dihukum penjara 10 tahun dan sebatan 10 kali oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 941 gram kanabis dua tahun lalu.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki memerintahkan hukuman penjara terhadap Puasaruddin Pasaribu dan Azhari Jamal yang keduanya berusia 36 tahun, berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap pada 9 Jun 2008.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, walaupun keadilan terbaik perlu disertai belas kasihan, masyarakat terlebih dahulu dilindungi daripada jenayah penyalahgunaan dadah.

Katanya, gejala penyalahgunaan dadah yang sukar dibendung bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi di seluruh dunia termasuk di Indonesia.

Puasaruddin dan Azhari yang sebelum ini didakwa mengedar kanabis berkenaan menukar pengakuan kepada bersalah selepas ditawarkan pertuduhan pilihan.

Mengikut pertuduhan pilihan, kedua-duanya yang berasal dari Tanjung Balai dan Batu Bara, Sumatera didakwa memiliki 941 gram kanabis di Stesen Bas, Jalan Persiaran, Raja Muda, Pelabuhan Klang di sini pada pukul 6.15 petang, 9 Jun 2008.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan minimum 10 kali.

Mengikut fakta kes, Puasaruddin dilihat berada di tepi tandas awam berhadapan stesen bas dalam keadaan mencurigakan sebelum menyerahkan beg sandang berwarna kuning kepada Azhari.

Hasil pemeriksaan selepas kedua-duanya ditahan, polis mendapati beg itu mengandungi satu ketulan mampat daun-daun kering yang disahkan sebagai ganja.

Puasaruddin diwakili peguam Ghazali Taib manakala Azhari diwakili peguam Suzanawati Ismail. - Utusan

Gaji minimum diumum Mac ini

PUTRAJAYA 14 Jan. - Perintah peraturan gaji minimum untuk beberapa kategori pekerjaan termasuk pengawal keselamatan, pembantu klinik, pekerja am kebun serta pekerja sektor hidangan dan hotel akan diwartakan tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, serentak dengan itu, penetapan gaji minimum untuk pengawal keselamatan serta pekerja sektor hospitaliti dan hotel akan diumumkan dalam tempoh dua bulan lagi.

Menurutnya, gaji minimum untuk pekerja sektor elektronik dan tekstil pula akan diumumkan dalam tempoh enam hingga lapan bulan lagi.

"Saya telah bersedia untuk umumkan (gaji minimum) bagi pengawal keselamatan dan pekerja sektor hidangan dan hotel dalam masa terdekat.

"Gaji pengawal keselamatan di pasaran sekarang adalah amat rendah iaitu sekitar RM350 hingga RM400, justeru kita perlu ubah keadaan ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan pelancaran logo 1KSM di sini hari ini.

Subramaniam berkata, pelaksanaan gaji minimum perlu melibatkan perundingan dengan pelbagai pihak dan agensi untuk mengelakkan kesan negatif yang mungkin timbul.

"Pelaksanaan gaji minimum di negara lain menggunakan pendekatan berbeza iaitu secara nasional, wilayah atau mengikut sektor.

"Kita perlu mengkaji kaedah yang sesuai untuk memastikan pekerja tidak menerima kesan negatif selepas gaji minimum dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kementeriannya telah menyediakan draf peraturan kerja separa masa untuk memastikan pekerja-pekerja kategori itu dilindungi dan menikmati faedah.

"Peraturan ini digubal untuk memastikan lebih ramai rakyat bekerja secara sambilan dan secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bercadang menubuhkan tabung khas untuk membantu pekerja yang diberhentikan.

"Perkeso juga akan mengukuhkan program pemulihan prestasi ke atas pekerja yang cedera dalam kemalangan supaya mereka dapat kembali bertugas.

"Program pemulihan ini melibatkan pegawai yang memiliki kepakaran dalam psikologi, kerja sosial dan fisioterapi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata, pusat-pusat kaunseling akan diwujudkan di pejabat Perkeso terpilih, pusat beli-belah dan perhentian bas untuk memberi bantuan.

"Pegawai-pegawai yang ditugaskan di pusat-pusat kaunseling ini akan membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan sesuai serta menggunakan kemudahan portal Jobs Malaysia," katanya. - Utusan

Tindakan tegas ke atas majikan guna PATI

PUTRAJAYA 14 Jan. - Tindakan tegas perlu diambil ke atas majikan bagi mengelakkan negara ini dibanjiri pendatang tanpa izin.


Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, mereka yang mengambil pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai pekerja perlu diberi hukuman setimpal untuk memastikan masalah itu diselesaikan.

"Dengan mengambil tindakan yang tegas, majikan tidak akan berani mengambil pekerja tanpa izin.
"Dengan itu, pendatang yang gagal mencari peluang pekerjaan dengan sendirinya akan pulang ke negara asal masing-masing," katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Sumber Manusia di sini hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendedahkan sejumlah 39,046 warganegara India dilaporkan 'hilang' di Malaysia selepas visa pelancongan mereka tamat tempoh.

Ditanya kenapa ramai pendatang tanpa izin memasuki Malaysia melalui Chennai, Subramaniam berkata, keadaan itu berlaku kerana terdapat ramai penduduk Tamil di situ.

"Penduduk Chennai bertutur dalam bahasa Tamil dan bahasa ini juga digunakan di Malaysia," katanya.
Beliau berkata, India pada masa sama perlu memainkan peranan dengan mengambil tindakan tegas ke atas ejen-ejen yang menipu pekerja dengan menawarkan jawatan tinggi kepada mereka yang mahu ke Malaysia.

"Pekerja-pekerja dari India telah ditawarkan dengan jawatan pengurus di kilang tetapi berakhir dengan bekerja di restoran.

"Saya pernah berbincang dengan rakan sejawat saya dari India dan beliau bersetuju untuk mengambil tindakan ke atas ejen yang menipu pekerja untuk bekerja di Malaysia," katanya. - Utusan

Jawatankuasa Kabinet bincang masalah pekerja asing 19 Januari

KUALA LUMPUR 14 Jan. - Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing akan bermesyuarat pada 19 Januari ini bagi membincangkan secara terperinci masalah berhubung pekerja asing tanpa izin dan pelajar asing yang menyalahgunakan pas pelajar.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Mahmood Adam berkata, jawatankuasa itu yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan meneliti segala kelemahan yang dieksploitasi oleh pendatang asing untuk tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan atau bagi menjalankan kegiatan haram, katanya dalam satu perbincangan dengan para editor kanan media di sini hari ini.

Mahmood berkata, kerajaan menyedari mengenai isu itu dan akan mengambil pendekatan bersepadu dan holistik kepada masalah itu termasuk mengetatkan prosedur kemasukan.

Sebagai contoh, beliau berkata, kerajaan perlu meneliti semula program visa sebaik ketibaan, yang bermatlamat untuk menarik lebih ramai pelancong asing, memandangkan banyak pelawat telah menyalahgunakan keistimewaan itu.

Beliau juga berkata, kebiasaannya para pelajar asing yang ditaja oleh kerajaan masing-masing untuk melanjutkan pengajian di Malaysia tidak menimbulkan masalah.

"Kebiasaannya, yang bermasalah adalah mereka yang datang (dari negara-negara tertentu) atas perbelanjaan sendiri untuk belajar di kolej swasta," katanya.

Para pelajar asing ini kerap kali ditahan kerana menjual dadah dan menipu orang ramai terutama dalam memalsukan mata wang.

Mengenai usaha untuk mengurangkan jenayah jalanan di 50 'kawasan panas' di seluruh negara, Mahmood berkata, sebanyak 5,205 pegawai penguatkuasa telah ditempatkan sejak akhir tahun lepas sebagai sebahagian daripada inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Mereka terdiri daripada 3,000 anggota dari Pasukan Gerakan Am, pasukan para militari Polis Diraja Malaysia, 1,720 dari Rela dan 485 dari Jabatan Pertahanan Awam.

Mahmood mendedahkan bahawa bilangan anggota penguat kuasa jenayah akan ditambah apabila kira-kira 10 peratus pasukan polis tambahan dalam syarikat berkaitan kerajaan akan dipinjamkan untuk rondaan jalanan 'di kawasan panas'.

''Bilangan anggota dalam Polis Simpanan Sukarelawan juga akan ditingkatkan melalui latihan sambil kerja sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengembangkan bilangan sukarelawan dalam menangani jenayah jalanan,'' katanya.

Katanya, walaupun lebih banyak sukarelawan seperti itu diperlukan, pihak berkuasa akan terus mengetatkan pengambilan di peringkat akhir dengan memeriksa latar belakang calon.

Sebagai tambahan, beliau berkata, Jabatan Pertahanan Awam akan mengembangkan program kadet untuk pelajar tingkatan empat dan lima dengan satu pandangan bahawa para pelajar ini akan terus berkhidmat dengan jabatan itu selepas meninggalkan bangku sekolah.

Mahmood berkata, kerajaan berharap semangat sukarelawan di kalangan rakyat Malaysia ke arah membantu mengurangkan jenayah akan mula meningkat kerana ia 'bukan tugas polis sahaja'. - Utusan

KDN kaji semula pemberian VOA

KUALA LUMPUR 14 Jan. – Pengeluaran visa ketibaan (VOA) kepada pelancong dari negara yang dikesan paling banyak menyalahgunakan kemudahan itu seperti India, China dan benua Afrika mungkin dihentikan.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Mahmood Adam berkata, kajian terperinci mengenainya sedang dibuat dengan mengambil kira kepentingan faktor pelancongan dan keselamatan negara.

Katanya, ketika ini pemberian VOA kepada beberapa negara terutama yang terlibat dengan konflik dalaman serta miskin seperti Pakistan, Bangladesh dan Sri Lanka telah pun dihentikan.

‘‘Kerajaan sedang mengkaji kemudahan VOA yang pada asalnya diwujudkan untuk menjana industri pelancongan tetapi malangnya disalahgunakan oleh sebahagian pelancong,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri mendedahkan mengenai 39,046 warganegara India yang ‘hilang’ di Malaysia selepas visa pelancongan mereka tamat tempoh dan perkara itu merupakan isu yang membimbangkan negara.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mereka tidak dapat dikesan daripada rekod Jabatan Imigresen seperti anggaran yang dibuat pada Jun lalu.

Sehubungan itu, pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa supaya dihentikan terus VOA kerana lebih banyak mendatangkan keburukan.

Menurut mereka, Malaysia tidak wajar berbangga dengan peningkatan pelancong tetapi pada masa sama beban jenayah yang dicetuskan oleh golongan itu terus meningkat dan mengancam negara.
VOA diperkenalkan pada 2006 sempena Tahun Melawat Malaysia.

Sehingga akhir 2008, iaitu selepas kira-kira dua tahun diperkenalkan, kerajaan mendapati hampir 30 peratus daripada 251,908 visa yang dikeluarkan telah disalahgunakan.

Ia membabitkan lebih 70,000 pelancong yang kebanyakannya berasal dari negara-negara berkonflik dan miskin.

Mereka menjadikan Malaysia sebagai destinasi untuk mencari pekerjaan atau transit sebelum ke negara lain terutamanya Australia dan New Zealand.

Warganegara India, Pakistan, Bangladesh, China dan Sri Lanka adalah antara yang dikenal pasti paling ramai menyalahgunakan visa tersebut.

Tambah Mahmood, selain menumpukan pada kepentingan industri pelancongan, kajian itu juga tidak akan sesekali berkompromi dengan tahap keselamatan negara.

‘‘Kita mahu pastikan hanya pelancong berkualiti sahaja memasuki negara ini dan mengelak mereka yang bakal membawa impak buruk.

‘‘Memang diakui hanya negara kita sahaja yang memberikan VOA kepada pelancong semasa tiba di pintu masuk,” katanya. - Utusan

Jawatankuasa khas pantau prosedur kemasukan warga asing

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri akan menubuhkan Jawatankuasa Induk Penambahbaikan Pengurusan dan Pemantauan Warga Asing (JIPP Warga Asing) bagi mengkaji semula semua aspek membabitkan prosedur kemasukan warga asing ke negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata jawatankuasa itu akan meneliti prosedur kemasukan warga asing sedia ada termasuk visa, pas dan permit serta memastikan mekanisme itu tidak disalah guna hingga menjejaskan keselamatan negara.

"Kementerian sedang mengkaji semula kemudahan transit tanpa visa, memperketatkan kemasukan masuk, meningkatkan ciri-ciri keselamatan pengeluaran visa, mengurangkan tempoh sah visa tanpa rujukan dan mewujudkan kerjasama dua hala dengan negara jiran yang dikenal pasti menjadi pintu masuk alternatif ke negara ini.

"Selain itu, kementerian juga akan memantapkan lagi aspek penguatkuasaan termasuk menggunakan kaedah terkini bagi memantau pergerakan warga asing dalam negara selepas tempoh sesuatu visa atau permit tamat tempoh sah laku," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa itu susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin bahawa seramai 39,046 rakyat India ‘hilang’ di Malaysia selepas visa pelancongan mereka tamat tempoh.

Sehubungan itu, Hishammuddin meminta semua pihak termasuk majikan yang menggaji pekerja asing supaya mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan sepanjang tempoh pekerja terbabit bekerja di negara ini.

"Majikan yang menggaji pekerja asing mesti membantu kerajaan memastikan pekerja yang sudah tamat tempoh visa atau permit meninggalkan negara ini.

"Kita tidak boleh terus memenuhi tuntutan majikan untuk membenarkan pengambilan pekerja asing tanpa memastikan tidak berlaku lambakan pekerja asing yang sudah tamat tempoh permit kerja untuk terus berada di dalam negara," katanya. - Berita Harian

Amah mengaku curi komputer majikan


PEMBANTU rumah dari Palembang keluar dari Mahkamah

KUALA TERENGGANU: Pembantu rumah warga Indonesia, 14, mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan mencuri barangan berharga majikannya minggu lalu termasuk komputer riba dan telefon mudah alih.

Pembantu rumah dari Palembang itu mengaku bersalah di depan Majistret Wan Nor Aklima Wan Salleh selepas tuduhan dibacakan.

Majistret menetapkan 27 Januari ini untuk jatuh hukuman dan memerintahkan pendakwa mendapatkan laporan akhlak tertuduh sebelum hukuman diputuskan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin sebelum tarikh keputusan kes walaupun dibantah pendakwa.

Bagaimanapun, tertuduh gagal membayar wang jaminan itu dan dia dibawa ke Sekolah Tunas Bakti Perempuan, Marang.

Pembantu rumah itu dituduh mencuri dua komputer riba, sebuah modem jalur lebar, satu unit tetikus dan beg milik majikannya, Mazli Mohamad di Taman Murni Indah, Seberang Takir, Kuala Terengganu, antara jam 10 hingga 10.30 pagi pada 6 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Farah Yasmin memberitahu media pemeriksaan pergigian mengesahkan pembantu rumah itu berusia 14 tahun dan bukan 22 seperti yang dinyatakan dalam pasportnya. - Berita Harian

Pendatang digempur: Jabatan Imigresen lancar operasi besar-besaran tangkap, usir mulai 15 Februari

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen akan melancarkan operasi besar-besaran di seluruh negara mulai 15 Februari ini bagi menangkap dan mengusir pendatang asing tanpa izin (Pati), termasuk yang tinggal melebihi tempoh di negara ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, berkata operasi itu akan ditumpukan kepada sektor barisan hadapan seperti bidang perkhidmatan.

Pati yang ditahan boleh dikompaun RM30 bagi setiap hari tinggal melebihi tempoh atau maksimum RM3,000, manakala yang memasuki Malaysia tanpa dokumen boleh juga dikenakan sebat.

Abdul Rahman berkata, majikan yang didapati melindungi Pati pula akan didakwa mengikut Akta Anti Memperdagangkan Orang 2007, selain Akta Imigresen 1959/63.

"Apabila menggajikan Pati, ia menimbulkan risiko eksploitasi, keberhutangan dan perhambaan oleh

majikan. Peluang majikan menindas adalah besar dan ini semua adalah memperdagangkan orang," katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mendedahkan 39,046 rakyat India 'hilang' di Malaysia selepas visa pelancongan mereka tamat tempoh.

Abdul Rahman berkata, dalam pertemuannya dengan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Azmi, pada Disember lalu, agensi penguat kuasa itu diminta memohon kepada mahkamah supaya mengenakan hukuman berat ke atas pesalah terbabit.

Mengikut Akta Imigresen, majikan yang didapati bersalah menggajikan Pati boleh dikompaun maksimum RM5,000 bagi seorang pekerja, manakala yang melindungi golongan itu pula boleh dikenakan sebat selain kompaun.

Abdul Rahman bagaimanapun berkata, bermula sekarang hingga 14 Februari, jabatan itu akan melaksanakan 'tempoh pendidikan' bagi memberi peluang semua PATI dan majikan terbabit menyerah diri.
Beliau berkata, walaupun tiada operasi pengampunan dilaksanakan, majikan dan Pati yang menyerah diri sebelum 15 Februari mungkin diberi pertimbangan untuk mendapat hukuman yang lebih ringan sama ada oleh jabatan atau mahkamah.

Sementara itu, jurucakap Pejabat Kedutaan Tinggi India di Malaysia pula berkata, pihaknya bersedia menghantar pulang rakyatnya yang ditahan Jabatan Imigresen dalam operasi itu.

"Kita sehingga kini masih tidak pasti sama ada rakyat India yang dikatakan 'hilang' itu masih berada dalam negara atau sudah ke negara lain. Bagaimanapun, kita akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Imigresen," katanya. - Berita Harian

Monday, January 11, 2010

Imigresen Terengganu Tahan 46 PATI Dalam Ops Kutip

KUALA TERENGGANU, 11 Jan (Bernama) -- Bahagian Penguatkuasa Imigresen Terengganu Isnin menahan 46 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Ops Kutip di dua projek perumahan di bandar ini kerana pelbagai kesalahan.

Pengarah Imigresen negeri Mahasan Mustapa berkata mereka terdiri daripada warganegara Indonesia iaitu seramai 30 orang, Bangladesh (14) dan Pakistan (dua) orang.

"Dua orang warga Malaysia yang dipercayai pelindung kepada warga asing itu juga turut ditahan dalam operasi itu," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata operasi selama kira-kira tiga jam itu merupakan yang pertama dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasa Imigresen Terengganu pada tahun baru ini.

Seramai 50 pekerja asing diperiksa pada operasi pertama di tapak projek pembinaan Kompleks Puspanita di Jalan Batas Baru.

Bagaimanapun, katanya seramai 17 orang daripada pekerja itu iaitu tujuh warganegara Indonesia dan sembilan rakyat Bangladesh ditahan kerana didapati melakukan beberapa kesalahan terutama tinggal lebih masa.

Dalam operasi kedua di tapak projek perumahan di Jalan Sultan Ismail, pihaknya menahan 30 daripada 80 pekerja yang diperiksa kerana tidak mempunyai dokumen, tinggal lebih masa dan salah guna pas lawatan sosial untuk bekerja.

Mahasan berkata kesemua PATI yang berumur antara 20 dan 50 tahun itu dihantar ke Pusat Tahanan Imigresen Ajil, Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, beliau berkata sepanjang tahun lalu, pihaknya menahan 1,295 PATI kebanyakannya terdiri daripada warganegara Indonesia, Thailand, Myanmar, Bangladesh, Kemboja, Vietnam, Pakistan dan Nepal kerana pelbagai kesalahan imigresen. -- BERNAMA

Saki-baki penyamun kedai emas diburu

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu yakin dapat menahan beberapa lagi suspek warga asing disyaki terbabit dalam beberapa kes kecurian kedai emas di negeri ini selepas tertangkapnya tiga suspek, Khamis lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata ketiga-tiga suspek terbabit berasal dari Mexico, Sepanyol dan Guatemala dipercayai memasuki negara ini sejak beberapa bulan lalu.

"Semua suspek terbabit kini direman empat hari dan kita akan mendapatkan perintah mahkamah esok (hari ini) untuk melanjutkan tempoh reman mereka kepada beberapa hari lagi bagi membantu siasatan.

"Kami percaya mereka bukan saja terbabit dalam beberapa kes kecurian di kedai emas di bandar raya ini terutama yang membabitkan kerugian hampir RM1 juta pada 9 Disember tahun lalu, malah di negeri lain berdasarkan modus operandi sama digunakan," katanya.

Difahamkan, polis kini giat memburu beberapa lagi rakan suspek yang melarikan diri ketika mereka ditahan di belakang sebuah bangunan di bandar raya ini minggu lalu. - Harian Metro

3 penjenayah rakyat Indonesia ditembak

IPOH: Polis menembak mati tiga lelaki rakyat Indonesia yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah dan samun di negeri ini, Kedah, Selangor dan Johor selepas berbalas tembak di Taman Farmasi, Seri Iskandar kira-kira 55km dari sini semalam.

Bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini, beliau berkata insiden itu bermula selepas polis menerma maklumat mengenai empat lelaki yang mencurigakan berlegar menaiki kereta di taman berkenaan.

Pasukan polis yang menaiki dua kereta peronda mengarah suspek berhenti tetapi mereka bertindak merempuh kenderaan polis sebelum terbabas.

"Seorang daripada penjenayah terbabit keluar dari kereta dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis manakala dua lagi bersenjatakan parang cuba menyerang polis," katanya. - Harian Metro

Sunday, January 10, 2010

Wanita warga asing kena serbu bertempiaran

SERI MANJUNG: Sekumpulan wanita warga asing berpakaian seksi yang asyik melayan pasangan masing-masing bertempiaran lari dan meredah semak-samun dalam kawasan gelap selepas diserbu sepasukan anggota Pejabat Imigresen Lumut (IPL), di sini, malam kelmarin.
Bagaimanapun, mereka yang menyorok dalam semak di kawasan kelapa sawit berkenaan akhirnya dicekup anggota Imigresen kira-kira 15 minit kemudian.

Operasi bermula kira-kira jam 6.30 petang dan berakhir 11.30 malam di dua premis berasingan di Jalan Simpang 2 dan Kampung Selamat, Sitiawan. Seramai 11 wanita warga asing berumur antara 18 hingga 44 tahun ditahan kerana disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Ketua Imigresen Lumut, Zaidi Dali berkata, operasi 'Ops Sayang' yang diketuainya sendiri bersama 10 anggota itu dijalankan bagi mengesan kes salah guna pas lawatan sosial oleh warga asing.

Beliau berkata, semua wanita itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan akan ditahan selama 14 hari untuk tindakan selanjutnya.

"Siasatan awal mendapati dua wanita warga China yang ditahan di lokasi pertama memegang pas lawatan sosial jangka panjang dan dia juga mendakwa menjadi isteri kepada dua lelaki tempatan.

"Bagaimanapun, siasatan terperinci akan dijalankan untuk mengenal pasti sama ada perkahwinan itu benar-benar wujud atau sebaliknya," katanya yang ditemui selepas operasi berkenaan, kelmarin.

Katanya, tindakan pembatalan pas lawatan sosial jangka panjang akan dibuat sekiranya pihaknya mendapati perkahwinan itu tidak wujud kerana sebelum ini kes sama pernah berlaku apabila ada wanita warga asing berkahwin dengan warga tempatan semata-mata mendapatkan pas lawatan sosial jangka panjang.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada orang awam di atas penyaluran maklumat mengenai kehadiran pendatang asing yang menyalahgunakan pas sehingga berjaya membawa kepada penangkapan mereka yang terbabit. - Harian Metro

Polis cari warga Vietnam

MELAKA: Polis kontinjen negeri giat mengesan rakan pekerja medan selera warga Vietnam yang mati ditikam di rumah sewanya di Jalan Seri Mangga 2, Pokok Mangga dekat sini, pagi Rabu lalu yang melarikan diri sejurus kejadian dan dipercayai masih bersembunyi di negeri ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, lelaki berusia lewat 20-an itu dipercayai dapat membantu siasatan kes berkenaan.

Menurutnya, hasil siasatan awal, suspek dikesan menumpang di rumah sewa mangsa, Hoang Nguc Lu, 28, dan seorang lagi rakannya, Hong Van Toi, 22, pada hari kejadian.

“Suspek terbabit tidak bekerja di medan selera berkenaan dan menumpang di rumah mangsa pada hari kejadian. “Kita percaya berlaku perkelahian antara suspek dan mangsa sebelum dia ditikam di perut dan bahu menggunakan senjata,” katanya. - Harian Metro

Tiga warga asing rompak pemborong emas RM1j ditahan

KUALA TERENGGANU 9 Jan. - Selepas sebulan rompakan kedai emas yang membabitkan kerugian hampir RM1 juta di Pasar Besar Kedai Payang, polis yakin dapat menyelesaikan kes itu berikutan penangkapan tiga suspek kelmarin.

Ketiga-tiga suspek yang ditahan itu terdiri daripada dua lelaki masing-masing warga Sepanyol dan Mexico serta seorang wanita dari Guatemala.

Mereka yang berusia 30-an itu ditangkap berasingan di sekitar bandar ini kira-kira pukul 12.30 tengah hari hasil maklumat orang ramai.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, ketiga-tiga suspek itu kini ditahan reman empat hari bermula semalam.

Beliau memberitahu, pihaknya sedang menyiasat termasuk mengenal pasti kemungkinan mereka bergerak dalam satu sindiket antarabangsa yang berkepakaran melakukan jenayah.

"Polis yakin mereka terbabit dalam kumpulan sindiket antarabangsa yang mempunyai kepakaran melakukan jenayah dan kita sedang cari maklumat lain dalam membongkar kegiatan mereka sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelantikan Pangkat Kehormat dan Pelancaran Kor Suksis Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) di Kampus Kusza di sini hari ini.

Pada 9 Disember lalu, seorang pemborong barangan kemas dari Kuala Lumpur kerugian hampir RM1 juta apabila barangan kemas yang ditinggalkan di sebuah kedai emas di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini dirompak sekumpulan lima orang.

Rompakan tersebut ketika itu dipercayai dilakukan oleh warga Arab atau 'Geng Arab'.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 2 petang, selepas mangsa meninggalkan tiga beg berisi barangan kemas di dalam peti besi di sebuah kedai emas berhadapan Pasar Besar Kedai Payang.

Mohd. Shukri berkata, pihaknya juga sedang meneliti bagaimana tiga suspek itu memasuki negara ini selain tujuan mereka berada di negara ini.

"Kami masih siasat bagaimana mereka masuk, berapa lama mereka berada di negara ini dan tujuan mereka. Polis harap dapat menemui semula barangan kemas yang dicuri dalam masa terdekat," ujarnya. - Utusan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...