Saturday, January 9, 2010

Samun: Lima lelaki Vietnam diberkas


IBRAHIM Mohd. Aris menunjukkan pistol kejutan elektrik yang dirampas daripada lima rakyat Vietnam di Batu Pahat, semalam.

BATU PAHAT 8 Jan. – Polis memberkas lima lelaki warga Vietnam kerana disyaki terbabit dalam kes samun 20 rakan senegara mereka di sebuah asrama pekerja kilang di Taman Nira, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd. Aris berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 23 dan 32 tahun.

Katanya, pemeriksaan mendapati dua daripadanya memiliki dokumen perjalanan yang sah manakala tiga lagi dipercayai memasuki negara ini secara haram.

Menurutnya, tiga daripada mereka pula diberkas Rabu lalu dalam satu serbuan di sebuah rumah di Parit Imam di sini, kira-kira pukul 1 pagi.

“Beberapa alat untuk merompak termasuk sepucuk pistol renjatan elektrik, sebilah pisau bersarung, sebuah mesin canai, sebatang kuku kambing, sebuah tukul, tiga batang pemutar skru dan dua playar ditemui daripada mereka,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, dua lagi lelaki terbabit diberkas selepas menjalani kawad cam yang dilakukan polis pada Khamis lalu.

Menurut beliau, semua suspek masih ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah hingga 11 Januari ini.

Sebelum ini, menurutnya, sekumpulan lima lelaki bersenjatakan pisau dan parang telah menyerbu masuk sebuah asrama pekerja wanita warga vietnam di Taman Nira, di sini, pada 9 November lalu, kira-kira pukul 11 malam. - Utusan

Polis tahan 11 warga Afrika

AMPANG 8 Jan. - Lelaki warga Afrika atau lebih dikenali sebagai 'awang hitam' semakin melampau! Mereka dikatakan mula mengganggu wanita-wanita tempatan di pusat beli-belah Ampang Point dan beberapa kawasan di sekitarnya.

Berikutan dua laporan polis yang diterima sejak 1 Januari lalu, polis hari ini melancarkan Ops Gagak dan telah menahan 11 suspek yang disyaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, polis menerima aduan daripada dua wanita yang merupakan suri rumah mendakwa mereka didatangi sekumpulan lelaki Afrika.

"Sekumpulan lelaki itu didakwa cuba menarik tangan dan 'beramah mesra' dengan mereka.
"Tindakan mereka itu menyebabkan mangsa tidak selesa dan ketakutan," katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi di sini hari ini.

Katanya, polis telah memeriksa 20 lelaki Afrika dan menahan 11 daripada mereka yang disyaki terlibat.

Menurut Abdul Jalil, kesemua mereka dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk siasatan lanjut.

"Polis akan meminta bantuan Jabatan Imigresen untuk memeriksa latar belakang dan rekod kemasukan awang-awang hitam ini," jelasnya.

Ujar Abdul Jalil, selain wanita, para pemilik premis perniagaan di situ turut melahirkan rasa kurang senang dengan kelibat lelaki Afrika tersebut kerana tindakan mereka menakut-nakutkan pelanggan, justeru menjejaskan perniagaan mereka. - Utusan

Lesen besar UNHCR


KAWASAN sekitar Pasar Borong Selayang merupakan tempat paling popular bagi warga Myanmar menjalankan aktiviti perniagaan secara haram.

SELAYANG 8 Jan. – Tahu yang mereka tidak akan dikenakan tindakan menyebabkan ramai pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) berniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur di sini.


Kad UNHCR yang mereka miliki adalah lesen besar untuk berniaga walaupun mereka tahu yang tindakan mereka itu salah di sisi undang-undang negara ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ab. Salim Mansor berkata, pihaknya sering menangkap pendatang tanpa izin kerana menjaja tetapi terpaksa dilepaskan kerana status mereka itu.

Menurutnya, pendatang tanpa izin memang tidak dibenarkan berniaga tetapi dalam masa yang sama, pihak berkuasa tidak boleh bertindak terhadap mereka yang memegang kad pelarian itu.

“Semua yang memegang status pelarian UNHCR akan ditahan dan Jabatan Imigresen akan melepaskan mereka selepas diperiksa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau ditemui selepas mengetuai operasi bersepadu membanteras warga asing di Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pasar Borong Lama Selayang di sini awal pagi semalam.

Namun, kata Ab. Salim berkata, untuk menyalahkan mereka seratus peratus juga tidak wajar kerana mereka perlu mencari wang untuk meneruskan kehidupan.

“Masalah utama kepada masalah itu ialah pelarian-pelarian yang datang ke Malaysia tidak dikumpulkan di satu tempat.

“Kedudukan mereka yang bertaburan ini telah menyukarkan kerja-kerja pemantauan dilakukan ke atas mereka termasuklah memberikan bantuan,” katanya.

Tambah Ab. Salim, pelarian itu pula terpaksa bekerja untuk mencari wang dan pilihan yang paling mudah ialah berniaga atau menjaja di pasar-pasar borong kerana perniagaan itu tidak memerlukan modal yang banyak.

Sementara itu, dalam operasi yang bermula sekitar pukul 4.30 pagi itu, pihaknya menahan 78 orang warga asing dan dibawa ke pejabat Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan DBKL untuk pemeriksaan lanjut.

Bagaimanapun, selepas pemeriksaan dan siasatan dilakukan oleh DBKL dan pihak Imigresen, hanya 10 orang warga negara asing yang terdiri daripada warga Myanmar dan Bangladesh akan diambil tindakan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan.

“Dalam operasi yang pertama untuk tahun baru ini, kami memang memberikan perhatian serius bagi membendung isu aktiviti warga asing di pasar-pasar borong.

“Malah penjaja warga asing terutamanya dari Myanmar sememangnya dalam pemerhatian pihak kami dan kami akan terus membendung masalah ini,” katanya.

Ini kerana, kata Ab. Salim, selain telah melakukan kesalahan menjaja, mereka juga sering terlibat dalam kejadian jenayah serta sering bergaduh sesama kaum mereka.

“Ini menimbulkan ancaman keselamatan di kawasan umum dan tumpuan orang ramai itu,” jelasnya.
Beliau berkata, dalam operasi itu, DBKL juga menyita barangan perniagaan salah seorang penjaja di Pasar Borong Kuala Lumpur kerana didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Operasi itu turut mendapat kerjasama daripada beberapa agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen dengan kekuatan anggota seramai 60 orang.

Difahamkan, DBKL akan mengadakan operasi seperti dari semasa ke semasa dengan Pasar Pudu, Chow Kit dan Jalan Petaling akan menjadi tumpuan utama.

Dalam pada itu, DBKL turut menangkap tujuh lelaki kerana melakukan kesalahan menjaga tempat letak kereta secara haram.

Mereka ditangkap di tiga lokasi berasingan iaitu di sekitar Bangsar, Changkat Tambi Dolah, Bukit Bintang dan Jalan Klang Lama. - Utusan

Tiga lelaki Indonesia dihukum penjara rompak stesen minyak

KUANTAN 8 Jan. - Baru dua hari memasuki negara ini tetapi sudah berani melakukan rompakan bersenjata.

Bagaimanapun, jenayah yang dilakukan itu mengundang padah apabila warga Indonesia tersebut, Yudi Basmi, 41, bersama dua rakan senegaranya masing-masing dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan sebatan 10 kali oleh Mahkamah Seksyen di sini hari ini.

Yudi bersama Azman Apendi, 25, dan Heri Hassan, 26, dijatuhi hukuman tersebut selepas mereka mengaku bersalah melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan senjata di stesen minyak tempat Azman bekerja.

Ketiga-tiga mereka bersama seorang lagi perompak yang masih bebas mengaku melakukan rompakan berkumpulan di premis tersebut di Taman Tas di sini kira-kira pukul 3 pagi, 28 Disember tahun lalu.

Dakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan.

Hakim Siti Aminah Ghazali memerintahkan hukuman penjara berkuatkuasa mulai dari tarikh tangkapan.

Mengikut fakta kes, seorang pekerja stesen minyak itu, Mohd. Fazli Shamsudin yang sedang tidur di dalam premis berkenaan telah didatangi tiga lelaki dengan salah seorang daripada mereka adalah pekerja stesen itu.

Leher mangsa kemudian diletakkan parang sebelum kaki dan tangannya diikat.
Kejadian itu menyebabkan pemilik stesen minyak berkenaan mengalami kerugian kira-kira RM4,700 sebelum ketiga-tiga tertuduh ditangkap di kawasan berhampiran oleh orang ramai.

Sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman hari ini, ketiga-tiga lelaki itu menitiskan air mata ketika diberi peluang mengemukakan rayuan.

"Saya baru dua hari datang ke sini (Malaysia) untuk mencari rezeki yang halal tetapi telah terpedaya dengan rakan saya. Saya mohon mahkamah ringankan hukuman saya kerana mempunyai tiga anak di Indonesia," rayu Yudi.

Azman dan Heri turut memohon diringankan hukuman kerana mempunyai tanggungan iaitu isteri, anak dan ibu yang sedang uzur. Mereka juga mendakwa terpaksa menjual tanah untuk mendapatkan wang bagi membiayai perjalanan ke negara ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Amalina Zainal Mokhtar pula memohon hukuman setimpal dijatuhkan kerana kesalahan mereka amat serius dan jenayah tersebut semakin berleluasa dilakukan oleh warga asing pada masa kini. - Utusan

Isu pembekuan amah Indonesia selesai Mac

KUALA LUMPUR: Isu pembekuan penghantaran pembantu rumah Indonesia ke Malaysia dijangka selesai selewat-lewatnya Mac depan apabila kedua-dua kerajaan memeterai memorandum persefahaman (MoU) baru, dengan kira-kira 4,000 warga negara itu sudah berdaftar dengan agensi dan sedia untuk berkhidmat serta-merta selepas memorandum di dimetrai.

Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa), Alwi Bavutty, berkata antara 3,000 hingga 4,000 pembantu rumah berdaftar itu yang kebanyakannya dari Jawa Tengah dan Jawa Timur, menanti dan berharap keputusan pembekuan penghantaran mereka ke Malaysia sejak pertengahan tahun lalu, ditarik balik.

Beliau berkata, masalah berkenaan diharap selesai secepat mungkin, terutama berikutan sebahagian agensi di Malaysia sudah membayar ratusan ribu ringgit kepada agensi di Indonesia untuk penghantaran pembantu rumah.

Pada Jun tahun lalu, Jakarta mengeluarkan arahan pembekuan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia berikutan banyak aduan mengenai pembantu rumah didera oleh majikan.

Alwi mendakwa, pembekuan penghantaran itu secara tidak langsung mencetuskan gejala pembantu rumah Indonesia dibawa masuk ke Malaysia tanpa mengikut prosedur yang sah didalangi oleh agensi haram.

Menurutnya, pelbagai masalah susulan timbul selepas itu terutama pihak majikan terpaksa berdepan dengan isu negatif pembantu rumah yang tidak diberi latihan yang cukup, termasuk kes kecurian dan penderaan anak majikan. - Berita Harian

Friday, January 8, 2010

Rumah orang tua diduduki pendatang


Rumah Orang Tua Islam Tidak Berwaris Kampung Chikus, Sungai Manik, Perak yang didakwa didiami pendatang tanpa izin.

TELUK INTAN 7 Jan. - Sebuah rumah yang sepatutnya menempatkan warga emas tidak berwaris dekat sini, didakwa telah diduduki oleh pendatang asing.

Keadaan itu menimbulkan persoalan di kalangan penduduk setempat berkaitan status dan kedudukan sebenar rumah terbabit.

Lebih membimbangkan, bilangan pendatang asing yang tinggal di rumah berkenaan dilihat semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Difahamkan, Rumah Orang Tua Islam Tidak Berwaris Kampung Chikus, Sungai Manik itu, dibina pada tahun 1990.

Tinjauan Utusan Malaysia ke rumah itu mendapati keadaannya agak uzur selain persekitarannya juga kelihatan tidak terurus.

Menurut Ketua Kampung, Abdul Aziz Mat, rumah wakaf tersebut tidak sepatutnya diduduki oleh warga asing.

''Saya berharap pihak yang bertanggungjawab dapat menyelesaikan segera perkara ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang penduduk, Mohamad Farit, 55, berkata, dia pelik bagaimana rumah yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan kepada orang tua termasuk ibu-ibu tunggal yang tidak berwaris kini dimonopoli oleh warga asing.

''Perkara ini tidak wajar berlaku kerana pekerja asing sepatutnya mempunyai rumah yang disediakan oleh majikan mereka. Mengapa rumah orang tua ini yang menjadi sasaran," katanya dalam nada kesal.

Seorang lagi penduduk, Zainol Abu Seman, 41, memberitahu, dia dimaklumkan bahawa rumah tersebut telah disewa oleh pekerja-pekerja asing terbabit.

''Saya tidak setuju sama sekali rumah orang tua itu disewa kepada pekerja warga asing kerana masih ada seorang ibu tunggal yang menginap di situ.

''Jika dibiarkan kerana dibimbangi ia boleh mendatangkan perkara-perkara yang tidak baik," tegasnya. - Utusan

Amah Bawah 21 Tahun Dilarang Bekerja Di Malaysia

PETALING JAYA: Pembantu rumah warga Indonesia berusia 21 tahun ke bawah yang didapati bekerja di negara ini adalah menyalahi undang-undang Imigresen Malaysia dan Peraturan Kementerian Tenaga Buruh Indonesia.

Pembantu rumah warga Indonesia (kiri) ditahan anggota polis selepas disyaki membakar rumah majikannya sebelum melarikan diri bersama wang tunai lebih RM500 dan dua buah komputer di Taman Murni Indah, Telaga Daing dekat Kuala Terengganu, kelmarin. Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi, pembantu rumah yang baru berusia 14 tahun dan berasal dari Palembang itu dipercayai membakar bilik tidur anak majikannya dan bahagian dapur rumah tersebut sebelum melarikan diri melalui pintu belakang. -Foto BERNAMA

Pengarah Lembaga Pengkajian Masalah Sosial Pekerja Indonesia di Malaysia, Khairuddin Harahap menegaskan, sesiapa yang membawa pembantu rumah warga Indonesia bawah umur 21 tahun boleh dikategorikan sebagai jenayah memperdagangkan manusia.

Sambil merujuk kepada kes pembantu berusia 14 tahun yang didapati bekerja di Kuala Terengganu kelmarin, beliau berkata, syarat utama borang permohonan pembantu rumah jelas menyatakan seseorang pembantu rumah itu harus berumur 21 tahun dan ke atas.

"Kalau tidak, permohonan itu tidak akan diluluskan. Pembantu rumah itu tidak boleh keluar negara (Indonesia).

"Mereka boleh ditangkap oleh polis Indonesia dan Malaysia," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau mengulas kejadian seorang pembantu rumah warga Indonesia berusia 14 tahun yang ditahan kerana membakar rumah majikannya di Taman Murni Indah, Telaga Daing di Seberang Takir, Kuala Terengganu kelmarin.

Pembantu rumah itu dikatakan bertindak demikian akibat tidak berpuas hati dimarahi majikannya.
Polis sedang menyiasat umur sebenar pembantu rumah berkenaan kerana pasportnya mencatatkan dia dilahirkan pada tahun 1987 dan berasal dari Medan sedangkan majikannya mendakwa umur gadis berkenaan baru mencecah 14 tahun.

Suspek ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan. Kes tersebut masih disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api dan Seksyen 381 kanun yang sama kerana mencuri harta majikan.

Ditanya sama ada terdapat banyak pembantu rumah bawah umur bekerja di negara ini, Khairuddin menolak andaian tersebut.

Malah beliau menyifatkan insiden terbaru sebagai kes terpencil dan mengesyaki pembantu rumah terbabit tidak dibawa masuk oleh agen-agen rasmi.

"Agensi-agensi pembantu rumah warga Indonesia sedia maklum tentang peraturan pembantu rumah wajib berumur sekurang-kurangnya 21 tahun.

"Kerajaan Indonesia mengenakan cagaran sebanyak 1 juta Rupiah (RM300,000) terhadap agensi-agensi yang membekalkan pembantu rumah warga Indonesia ke negara ini," jelas beliau yang juga Pengarah Kajian Sosiologi Indonesia di negara ini.

Jelasnya, agensi-agensi itu tahu wang cagaran akan dirampas sementara lesen ditarik balik jika membekalkan pembantu rumah bawah umur.

Beliau menambah terdapat kira-kira 250,000 pembantu rumah warga Indonesia di negara ini. - Mstar online

Mekanisma Pengurusan Pekerja Penting Dalam Isu Pekerja Indonesia Di Malaysia

JAKARTA, 8 Jan (Bernama) -- Menteri Luar Indonesia Dr Marty Natalegawa berkata perkara paling penting yang perlu ditekankan dalam isu berhubung pekerja Indonesia di Malaysia kini banyak merujuk kepada mekanisma pengurusannya.

"Kami sedang bekerjasama dengan kerajaan Malaysia kearah menampilkan satu memorandum persefahaman (MoU) yang berkaitan dengan tanggungjawab dan hak-hak pekerja Indonesia, serta 'mind set' dari perspektif kami yang banyak merujuk kepada hasil menang-menang yang boleh membawa manfaat bersama," katanya.

Beliau berkata pekerja Indonesia memberikan sumbangan penting kepada Malaysia serta pembangunan ekonomi, dan pada masa yang sama Malaysia menjadi negara sumber pendapatan bagi mereka.

"Jadi perlu ada satu perubahan paradigma yang lebih menampilkan suasana menang-menang dan bersifat kurang konfrontasi, dan saya kira kami sedang berusaha ke arah itu. Mudah-mudahan MoU ini akan dapat dihasilkan dengan segera.

"Kedua-dua belah pihak memiliki kepentingan bersama menampilkan mekanisma tepat supaya apa jua halangan yang dihadapi sebelum ini dapat diketepikan nanti apabila mekanisma tepat dapat dihasilkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan persidangan media tahunan di pejabat kementerian di sini pada Jumaat.

Indonesia menghentikan penghantaran pekerja ke Malaysia, terutama kalangan pekerja di sektor informal sejak Jun lepas ekoran beberapa insiden yang melibatkan kes penganiayaan pekerja wanita di Malaysia.

Marty berkata pegawai dari kedua-dua negara sedang membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan upah minimum dan cuti para pekerja, hak-hak mereka untuk membawa surat-surat pengenalan dan tanggungjawab pada negara tuan rumah untuk memaklumkan Kedutaan Besar Indonesia sekiranya seseorang rakyat Indonesia menghadapi sebarang kesulitan.

Terdahulu dalam taklimatnya Marty berkata tahun ini Indonesia akan terus memberi penekanan terhadap diplomasi pelbagai halanya dan akan menyokong peranan yang dimainkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam menangani krisis global, dan pada masa yang sama menggesa kearah pembaharuan.

"Dasar luar kami akan terus meletakkan Indonesia sebagai sebahagian daripada penyelesaian kepada pelbagai cabaran global," kata beliau dan menambah ini antara lain juga bermakna negara akan terus menyokong secara konsisten, kepentingan Palestin serta proses perdamaian yang bertujuan mewujudkan sebuah negara Palestin yang bebas merdeka. -- BERNAMA

Marah punca amah bakar rumah

KUALA TERENGGANU 7 Jan. – Siasatan polis terhadap pembantu rumah warga asing yang membakar rumah majikannya di Taman Murni Indah, Telaga Daim, Seberang Takir, di sini semalam, mendapati suspek berbuat demikian kerana tidak berpuas hati setelah dimarahi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fauzi Abduri berkata, suspek kemudian membakar beberapa helai cadar dan selimut dalam bilik tidur sebelum melarikan diri.

Katanya, berikutan itu, suspek, Dinda Kiara Tiara Eiragus, dari Medan, Indonesia direman selama empat hari untuk membantu siasatan kes tersebut.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat dan Seksyen 381 kerana mencuri harta majikan,” katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi semalam, Dinda membakar bilik tidur anak majikannya dan bahagian dapur sebelum melarikan diri melalui pintu belakang. - Utusan

Serah laporan bedah siasat Mantik, 13 Jan.

SHAH ALAM 7 Jan. – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan pihak pendakwaan dalam kes bunuh pembantu rumah warga Indonesia, Mantik Hani untuk menyerahkan laporan bedah siasat wanita itu kepada peguam bela selewat-lewatnya pada 13 Januari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd. Yazid Mustafa menetapkan tarikh tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abdul Ghani memaklumkan pihaknya masih belum menerima laporan bedah siasat dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Kes penjual air tebu, A. Murugan, 36, yang didakwa membunuh Mantik disebut hari ini untuk membolehkan pihak pendakwaan menyerahkan dokumen tertentu termasuk laporan bedah siasat kepada peguam tertuduh, V. Rajehgopal.

Ia diperlukan oleh pihak pembelaan untuk membolehkan mereka membuat persediaan sebelum perbicaraan berjalan selama dua minggu bermula 18 Januari ini.


Murugan yang berniaga di pasar malam didakwa membunuh Mantik, 36, di rumah No. 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang. - Utusan

Susulan kes amah bakar rumah majikan : Suami saya tidak dera

KUALA TERENGGANU: “Demi Allah, saya bersumpah suami tak pernah berbuat begitu (penderaan seksual) terhadapnya kerana kami menganggap dia seperti anak sendiri,” kata Intan Zuhaidah Abdul Wahab, 40, menafikan dakwaan sesetengah pihak mengaitkan tindakan pembantu rumahnya membakar rumah disebabkan berlaku penderaan seksual.

Suri rumah itu berkata, dia terkejut dengan desas-desus mengatakan suaminya melakukan penderaan seksual terhadap pembantu rumah dan tuduhan itu memalukan mereka sekeluarga.

“Saya yakin Allah sentiasa memihak kepada orang yang benar,” katanya. Difahamkan, tindakan suspek membakar rumah majikannya di Taman Murni Indah, Telaga Daing, Seberang Takir, kelmarin dan enggan pulang ke Indonesia dipercayai kerana mahu bekerja di salun kecantikan di Singapura serta giat mempelajari bahasa Inggeris dengan anak bongsu mangsa, Izzatul Zafarina, 13, sebagai persiapan ke republik itu.

“Setiap hari dia bertanya bila mahu hantar pulang ke Indonesia kerana merindui ibu angkatnya, tapi saya rasa dia sebenarnya berniat ke Singapura kerana setiap kali melihat iklan peluang kerja di negara itu, dia catatkan dalam buku,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Fauzi Abduri, berkata pembantu rumah itu kini direman empat hari di Balai Polis Kuala Terengganu.

“Kita masih menyiasat usia sebenar pembantu rumah itu dan akan mendapatkan bantuan doktor gigi bagi mengesahkan perkara itu kerana terdapat percanggahan apabila majikan memberitahu baru berusia 14 tahun sedangkan dalam pasport menyatakan dia lahir pada 1987,” katanya.

Sementara itu, wakil Kedutaan Indonesia, Widyarka Ryananta, berkata pihaknya sedang berusaha mendapat kebenaran polis Terengganu untuk bertemu suspek dan menjejaki ejen membawanya masuk ke negara ini.

“Kami percaya pada undang-undang Malaysia dan serahkan kes ini kepada pihak berkuasa negara ini. Bagaimanapun kami akan sediakan peguam untuknya,” katanya.

“Kedutaan Indonesia juga berharap perkara ini tidak berlarutan,” katanya ketika dihubungi, semalam. - Harian Metro

Sindiket Palsu Dokumen Tumpas

BUTTERWORTH, 7 Jan (Bernama) -- Satu sindiket yang menjual pasport antarabangsa dan lesen memandu palsu kepada warga asing di sini dengan harga antara RM30 hingga RM100 sekeping berjaya dtumpaskan oleh Jabatan Imigresen Pulau Pinang di sini hari Rabu.

Dalam dua serbuan berasingan, pegawai penguatkuasa Imigresen menahan sepasang kekasih dan seorang 'orang tengah' warga Myanmar serta merampas perisian komputer dan sejumlah pasport antarabangsa dan lesen memandu palsu.

Pengarah Imigresen Negeri Abdul Rahman Harun berkata pihaknya telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun dan kekasihnya, seorang warga China, berusia 43 tahun, di rumah sewa mereka di Bukit Mertajam, dekat sini, pada pukul 9.20 malam tadi.

"Lelaki tempatan itu dipercayai sebagai perancang utama sindiket itu yang beroperasi sejak tiga bulan lepas di sekitar Bukit Mertajam dan Pulau Pinang," katanya kepada pemberita.

Katanya tangkapan pasangan kekasih itu adalah susulan kepada penahanan seorang lelaki warga Myanmar, dipercayai 'orang tengah' sindiket itu, ketika memandu di Jalan Baru, Seberang Perai, dekat sini, pada pukul 8 malam tadi.

Abdul Rahman berkata hasil siasatan awal mendapati wanita China itu telah tinggal di negara ini melebihi tempoh ditetapkan iaitu sejak Julai 2008.

"Sindiket ini dipercayai mempunyai banyak rangkaian dan setiap perisian bagi memalsukan dokumen dijual menggunakan 'pen drive', harga berbeza mengikut negara pelanggan, anggaran dalam RM30 hingga RM100 satu dokumen," katanya.

Katanya siasatan awal mendapati lelaki tempatan dari Selangor itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan dia ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Katanya lelaki Myanmar itu ditahan mengikut Seksyen 63 Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 61A (c) Akta Pasport 1966 iaitu memiliki dokumen yang tidak sepatutnya. -- BERNAMA

PATI lagi


BAHAGIAN Keselamatan dan Penguatkuasaan DBKL melakukan operasi menangkap pekerja asing tanpa izin (PATI) di Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur, awal pagi 6 Januari 2010.

Thursday, January 7, 2010

Jawatankuasa Induk Penambahbaikan Pengurusan dan Pemantauan Warga Asing ditubuhkan - Menteri

PUTRAJAYA 6 Jan. - Kerajaan akan memantapkan kaedah pengurusan serta pemantauan ke atas semua warga asing bagi memastikan mereka tidak memberi ancaman kepada keselamatan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pemantauan tersebut penting bagi mengelakkan kebanjiran warga asing terutama pendatang tanpa izin.

Menurutnya, usaha itu akan dimasukkan dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian bagi tahun ini selain meneruskan langkah menyelesaikan kes tertunggak permohonan kewarganegaraan dan sijil kelahiran.

"Pemantauan tersebut akan meliputi semua kategori warga asing iaitu pelajar, ekspatriat, pekerja asing dan pendatang haram kerana tidak semua warga asing datang ke Malaysia untuk bekerja.

"Kita juga kena tengok di mana mereka berada dan status mereka, jika tidak sah maka perlu dihantar pulang ke negara asal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet bagi kementeriannya di sini hari ini.

Menurut beliau, usaha pemantauan warga asing itu melibatkan satu gerak kerja komprehensif membabitkan pelbagai agensi berkaitan.

"Sebagai langkah awal, kita menubuhkan Jawatankuasa Induk Penambahbaikan Pengurusan dan Pemantauan Warga Asing di peringkat kementerian yang dipengerusikan oleh menteri sendiri.

"Kita telah mengenal pasti empat aspek yang perlu diberikan penekanan iaitu prosedur kemasukan, mekanisme pemantauan, penguatkuasaan dan perundangan," katanya.

Jelasnya, pada 18 Januari ini beliau akan membentangkan perkara tersebut kepada Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin dan Pekerja Asing yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, pihak kementerian turut memberikan perhatian terhadap soal pencegahan jenayah terutama berkaitan jenayah jalanan yang telah ditetapkan sebagai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

"Dalam masa terdekat kita akan umumkan beberapa inisiatif berkaitan perkara itu bagi menunjukkan kita serius hendak melihat usaha berkenaan dilakukan secepat mungkin.

"Keselamatan tetap merupakan tugas utama kita. Selalunya kita buat senyap-senyap tetapi dalam landskap baru ini kita nak orang ramai tahu apa yang dilakukan polis untuk menjamin keselamatan negara," katanya. - Utusan

Wednesday, January 6, 2010

Lima Warga Iran Direman Bersabit Kes Dadah

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Lima lelaki warga Iran yang ditahan pada Jumaat lepas kerana dipercayai terlibat sebagai "kurier dadah" direman selama seminggu sehingga Ahad ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Zulhasnan Najib Baharudin berkata kelima-lima mereka yang berumur antara 23 dan 42 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan kes pengedaran dadah jenis syabu seberat 10kg yang bernilai RM2.5 juta.

"Sindiket ini yang menyeludup masuk dua buah bagasi berisi pakaian yang dicelup dengan syabu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan," katanya pada satu persidangan akhbar di pejabatnya di sini Rabu.

Beliau berkata pihaknya juga sedang menjalankan siasatan bagi mencari punca bagaimana sindiket itu dapat melepasi sistem pemeriksaan di lapangan terbang berkenaan.

Katanya selain taktik mencelup pakaian, sindiket itu turut menggunakan kaedah menyembunyikan dadah di bahagian bawah bagasi yang dijahit semula bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Semalam Bernama melaporkan, minggu lepas polis merampas dua bagasi berisi dua helai tuala, dua helai baju dan tiga helai seluar panjang yang dicelup dengan cecair syabu di hotel tempat penginapan kelima-lima suspek itu, di sekitar ibu negara.

Zulhasnan berkata sepanjang tahun lepas 35 sindiket edar dadah berjaya ditumpaskan di seluruh negara, dan 19 daripadanya membabitkan rakyat tempatan manakala selebihnya melibatkan kumpulan warga asing yang terdiri daripada rakyat Afrika, Iran, Taiwan, India, Pakistan dan China.

Sementara itu beliau berkata nilai rampasan dadah di seluruh negara sepanjang tahun lepas meningkat 48.9 peratus iaitu daripada rampasan bernilai RM260.87 juta pada tahun 2008 kepada RM388.37 juta tahun lepas.

Beliau berkata hasil risikan dan operasi yang dijalankan sepanjang tahun lepas, polis berjaya membanteras 11 makmal pemprosesan dadah berbanding 12 makmal pada 2008 dan sembilan pada 2007.

"Polis turut merampas 858.5kg serbuk Erimin 5, 434kg serbuk ecstacy, 33.36kg syabu dan 18.9kg kokain yang mana kesemua dadah ini bernilai RM141.69 juta dalam operasi bersepadu sepanjang tahun lepas," tambahnya.

Zulhasnan seterusnya berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman merancang untuk menempatkan anggotanya di tujuh negara yang dikenal pasti menjadi pusat pengedaran dadah bagi mengumpul maklumat dan menjalankan risikan dalam usaha menumpaskan sendiket pengedaran dadah antarabangsa.

Beliau berkata polis baru-baru ini menghantar cadangan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menempatkan anggotanya di Vietnam, Kemboja, Belanda, Peru, Hong Kong, Iran dan Loas dalam usaha memudahkan pihaknya mengumpul maklumat bagi mengenal pasti dalang sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

"Rancangan ini sejajar dalam usaha membanteras sindiket pengedaran dadah antarabangsa mulai tahun 2010. Selain itu dengan cara ini Malaysia boleh berkongsi maklumat dan bekerjasama dengan negara terbabit bagi membendung kegiatan pengedaran dadah daripada terus berleluasa," katanya. -- BERNAMA

Rakyat asing akan dipantau: Hishammuddin


PUTRAJAYA: Kerajaan akan menambahbaik dan memantapkan pengurusan serta pemantauan terhadap semua kategori rakyat asing di negara ini bagi mengenal pasti sama ada mereka memberi ancaman kepada negara atau tidak, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, kategori membabitkan pelajar, ekspatriat, pekerja asing dan pekerja tanpa izin itu perlu dikenalpasti bagi memastikan sama ada mereka berada di negara ini secara sah, telah tamat tempoh sah atau masuk ke negara ini secara haram.

Beliau berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada program pemutihan dan antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) beliau yang menjadi fokus dan keutamaan kementerian bagi tahun ini.

"Terdapat keperluan bagi kami untuk mengenalpasti jumlah sebenar rakyat asing kerana dari semasa ke semasa, kita dengar kes dan isu sama ada ia membabitkan penuntut, ekspatriat dan pekerja tanpa izin.

"Kita kena kenal pasti kategori bukan sahaja pekerja asing tetapi juga warga asing, perlu lihat di mana mereka berada, status mereka dan bagaimana untuk memastikan jika tidak sah, bagaimana mereka dihantar pulang," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet peringkat kementerian di sini, Hishammuddin berkata jika langkah itu tidak diambil, beliau bimbang keselamatan negara akan terjejas.

Hishammuddin berkata, beliau akan memberi taklimat kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 18 Januari ini berhubung perkara itu.

Ditanya sama ada langkah itu akan berakhir dengan penghantaran pulang beramai-ramai, beliau berkata: "Saya tidak rasa begitu. Jika ia masalah yang serius, kita dah dapat rasa sekarang.

"Apa yang kita ingin buat ialah melakukan pembaikan dan usaha awal sebelum ia menjadi masalah besar."

Sementara itu, Hishammuddin berkata keutamaan kementerian pada tahun ini ialah memenuhi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) kementerian khususnya jenayah dan jenayah jalanan.

Beliau berkata, kementerian berjaya memenuhi tiga KPI bagi tahun lepas iaitu menyelesaikan permohonan tertunggak untuk kewarganegaraan, permit masuk dan daftar lewat sijil kelahiran.

"Ia adalah satu perkembangan yang membanggakan apabila permohonan tertunggak itu adalah untuk tempoh 10 tahun, 1997 hingga 2006 dan melibatkan jumlah yang amat besar iaitu 32,927 permohonan kewarganegaraan, 16,812 permohonan permit masuk serta 93,360 permohonan sijil kelahiran.

"Usaha ini tidak akan terhenti setakat ini sahaja, dan kita telah menetapkan agar pada tahun ini permohonan tertunggak untuk tahun 2007 akan dapat diselesaikan," katanya. - Berita Harian

Pelacur sorok dalam peti sejuk


KUALA LUMPUR: Gara-gara terkejut dengan serbuan pihak berkuasa, seorang daripada 16 pelacur nekad bersembunyi dalam peti sejuk yang tidak digunakan di dalam sebuah bilik semata-mata untuk menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, tindakannya itu gagal mengaburi mata lapan anggota Cawangan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Kuala Lumpur yang diketuai Superintendan Razali Abu Samah kerana wanita terbabit dikesan selepas pemeriksaan menyeluruh.

Dalam serbuan jam 7.45 malam di Jalan Thambipilly, Brickfields di sini, semalam, pihak berkuasa mendapati kebanyakan pelacur warga tempatan berasal dari Sabah dan Sarawak.

Menurut Razali, kebanyakan wanita yang melacurkan diri mereka berusia 24 dan 34 tahun.

"Ketika serbuan, kebanyakan wanita terbabit bersembunyi dalam bilik masing-masing.

"Hanya seorang daripada mereka bersembunyi dalam peti sejuk yang tidak digunakan namun ditahan kerana kami melakukan pemeriksaan menyeluruh di dua premis yang sudah dikenal pasti," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa hampir satu jam melakukan pemeriksaan di kedua-dua premis terbabit bagi mengelakkan ada yang terlepas.

"Kami juga menahan tujuh lelaki dipercayai pelanggan yang sedang melanggan wanita terbabit. Kami akan menahan mereka untuk membantu siasatan," katanya.

Katanya, pihaknya akan meneruskan pengawasan di kawasan berkenaan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti pelacuran diminta melaporkan kepada pihak berkuasa dalam memastikan kegiatan tidak bermoral ini dapat ditangani sepenuhnya," katanya. - Harian Metro

Amah bakar rumah majikan ditahan

KUALA TERENGGANU: Polis menahan seorang amah warga Indonesia yang disyaki membakar rumah majikannya di Taman Murni Indah, Telaga Daing, Seberang Takir di sini pagi ini.

Pembantu rumah berkenaan ditahan jam 12 tengah hari tadi, kira-kira dua jam selepas melarikan diri sebaik sahaja dia memulakan kebakaran di rumah itu. - Harian Metro

Tuesday, January 5, 2010

Pekerja asing di KLIA perlu diperiksa: Maseu

KUALA LUMPUR: Kesatuan Pekerja-pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (Maseu) menggesa supaya pekerja asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Kompleks Kargo Mas turut diperiksa dalam usaha mempertingkatkan keselamatan.

Setiausaha Eksekutif Maseu, Mustafar Maarof, berkata keselamatan lapangan terbang di seluruh dunia telah dipertingkatkan berikutan rancangan pengeboman pesawat Amerika Syarikat yang dalam penerbangan ke Detroit yang dipatahkan baru-baru ini.

"KLIA dan Kompleks Kargo Mas adalah kawasan berisiko tinggi dan kawasan larangan yang dikategorikan sebagai tempat pengawasan ketat.

"Oleh itu, syarikat vendor mesti mempunyai latar belakang lengkap mengenai pekerja mereka terutama rekod jenayah mereka dari negara asal, dan mereka mesti menyediakan semua maklumat lengkap ini kepada polis dan Jabatan Imigresen sebelum mereka dibenarkan bekerja di tempat-tempat berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

Mustafar berkata, berdasarkan data tidak rasmi, dijangkakan 700 pekerja asing bekerja di KLIA dan 300 lagi di Kompleks Kargo Mas, dan mereka terlibat dalam memasukkan atau mengeluarkan sama ada bagasi penumpang atau kargo daripada pesawat.

Di Kompleks Kargo Mas, pekerja asing juga dibenarkan memandu trak forklif oleh syarikat vendor.
Mustafar berkata, kesatuan itu telah menggesa kerajaan untuk mengurangkan pekerja asing di KLIA sejak 2007.

"Maseu berpendapat kerja-kerja ini perlu diberikan kepada pekerja tempatan dengan gaji yang munasabah dan dengan faedah sampingan bagi menarik pekerja-pekerja tempatan dalam bidang ini," katanya. - Berita Harian

Gaji Pekerja Asing Dalam Perkhidmatan Barisan Hadapan Satu Kesalahan

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Imigresen Datuk Abdul Rahman Othman mengingatkan majikan bahawa menempatkan pekerja asing dalam perkhidmatan barisan hadapan merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan.

Beliau berkata perkara itu merupakan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, malah jabatan itu tidak pernah meluluskan sebarang permintaan untuk menggunakan pekerja asing dalam perkhidmatan barisan hadapan, kecuali untuk perkhidmatan keselamatan.

Sehubungan itu, katanya jabatan itu akan mendidik majikan mengenai penempatan pekerja asing dalam sektor perkhidmatan yang ditetapkan.

Proses pendidikan termasuk menyediakan risalah mengenai penempatan pekerja asing, mengadakan dialog dengan majikan dan mengadakan perjumpaan dengan mana-mana persatuan yang berkaitan, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata jabatan itu mensasarkan tempoh sebulan untuk memberikan pendidikan dan maklumat itu dan selepas itu, tindakan akan diambil terhadap mana-mana majikan yang masih berdegil.

Selain itu, Abdul Rahman berkata jabatan itu mengesan terdapat majikan yang cuba meraih keuntungan dengan mengelakkan levi yang lebih tinggi dengan menggajikan pekerja asing di sektor lain daripada permohonan asal.

"Kita jumpa banyak majikan yang menggajikan pekerja asing untuk sektor yang lebih murah levinya, contohnya seseorang itu dibawa masuk untuk bekerja sebagai pembantu rumah yang dikenakan levi sebanyak RM360 namun disuruh bekerja di kedai yang sepatutnya dikenakan levi sebanyak RM1,800.
"Ia akan menyebabkan kerugian kepada kerajaan," katanya. - Mstar online

GRO Vietnam tanpa coli ditahan


Sebahagian pegawai perhubungan pelanggan warga vietnam yang ditahan polis dalam serbuan di sebuah pusat karaoke di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, malam kelmarin.


KUALA LUMPUR 4 Jan. - Pegawai perhubungan pelanggan (GRO) wanita warga Vietnam tanpa coli.

Itulah 'tarikan' yang ditawarkan oleh pusat karaoke haram di dalam sebuah kompleks perniagaan di Jalan Ipoh di sini.

Lebih mengejutkan, pusat hiburan terbabit pernah diserbu oleh sepasukan polis Bukit Aman, 13 Disember lalu. Dalam serbuan itu seramai 41 GRO ditahan.

Namun kali ini, pusat itu bergerak lebih berani apabila beroperasi dengan GRO-GRO yang tidak memakai coli.

Bagaimanapun kegiatan pusat hiburan itu tidak bertahan lama apabila diserbu lagi sepasukan polis kira-kira pukul 8.30 malam tadi.

Dalam serbuan itu, seramai 31 GRO wanita warga Vietnam serta seorang pengurusnya berjaya ditahan.

Seramai 13 pelanggan turut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk tujuan dokumentasi.
Pengurus terbabit bakal berdepan dengan tindakan di bawah Akta Imigresen kerana membenarkan warga asing bekerja tanpa permit.

Kesemua mereka yang ditahan kemudiannya dibawa ke IPK Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut.
Operasi yang dijalankan Cawangan Anti Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7) IPK Kuala Lumpur itu tamat pukul 11.30 malam.

Pegawai Turusnya, Deputi Supritendan Razali Abu Samah ketika dihubungi mengesahkan operasi berkenaan. - Utusan

Monday, January 4, 2010

Bongkar aksi kejam amah



KUANTAN: Tindakan seorang majikan memasang perakam video tersembunyi di rumahnya selepas curiga melihat perubahan sikap dua anaknya yang murung dan sering menangis kelaparan ketika pulang dari bekerja, membongkar kekejaman orang gajinya, baru -baru ini.

Hasil rakaman itu, mendedahkan aksi orang gaji berkenaan yang mendodoi bayi itu menggunakan kaki, memukulnya dengan bantal, membiarkan anaknya menangis di atas lantai dan mendukung seperti mengangkat barang.

Lebih kejam pembantu rumah tidak berperikemanusiaan itu hanya memberikan botol susu kosong kepada bayi yang menangis kelaparan di atas lantai sedangkan dia bersenang-lenang di atas sofa menonton televisyen.

Tidak cukup perlakuan jelik itu, abang mangsa yang berusia dua tahun juga dibiarkan 'mengemis' dan merayu meminta makanan daripadanya yang ketika itu menjamu selera sambil menonton televisyen.

Namun, apabila ibu bapa mangsa pulang ke rumah selepas waktu kerja, pembantu rumah bertopengkan haiwan itu berpura-pura menjadi seorang penyayang seolah-olah dia menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.
Kandungan video 'lakonan' pembantu rumah dari Acheh, Indonesia berusia 23 tahun itu terhadap dua kanak-kanak berkenaan didedahkan seorang suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Salmiah, 32, yang hadir ke pejabat Harian Metro di sini, semalam.

Mendedahkan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu, Salmiah berkata kejadian itu berlaku di rumah adik perempuannya berusia 28 tahun di Bangi, Selangor pada 31 Disember lalu.

Katanya, ibu kanak-kanak berkenaan terdetik merakam rutin harian pembantu rumah terbabit selepas mendapati anak lelakinya berusia dua tahun sering murung dan menangis setiap petang sambil meminta makanan kepadanya ketika pulang ke rumah.

"Dia pelik apabila mendapati kelakuan anaknya itu berubah menjadi pendiam dan sugul seolah memendam sesuatu dan sering menangis meminta makanan ketika dia pulang dari tempat kerja pada sebelah petang," katanya.

Katanya, tidak cukup dengan itu, kanak-kanak berkenaan memberitahu yang pembantu rumah dikenali dengan panggilan Mai pernah menyepaknya beberapa kali.

"Tapi bila adik saya bertanya kepada pembantu rumah yang baru enam bulan diambil bekerja itu, dia menafikan perbuatan berkenaan dan memaklumkan menjaga kanak-kanak terbabit seperti anak sendiri," katanya.

Katanya, disebabkan rasa syak mendalam selepas kira-kira lima bulan keadaan itu berlarutan dia memasang kamera tersembunyi untuk mengintai rutin harian wanita terbabit.

"Alangkah terkejut apabila mendapati pembantu rumah itu melayan anaknya seperti haiwan dengan tidak memberi makan, membiarkan menangis di atas lantai, malah lebih mengejutkan apabila wanita terbabit mendodoikan bayi berusia empat bulan itu dengan kaki dan memukulnya menggunakan bantal ketika menidurkannya.

"Rakaman itu turut menunjukkan pembantu rumah terbabit asyik menonton televisyen seharian dengan terkangkang di atas sofa dan jika kanak-kanak berkenaan menangis dia akan memarahi mereka," katanya memaklumkan adiknya menggaji pembantu rumah itu RM450 sebulan.

Salmiah berkata, adiknya mengambil pembantu rumah terbabit dengan membayar RM4,500 daripada seorang ejen di bandar ini kira-kira enam bulan lalu.

"Namun, selepas menunjukkan rakaman berkenaan kepada pembantu rumah itu, dia mengaku melakukan kekejaman itu tanpa memberi alasan munasabah dan hanya mendiamkan diri," katanya.

Katanya, adiknya yang masih trauma dengan kejadian menimpa dua anaknya itu sudah menyerahkan pembantu rumah terbabit kepada ejennya yang berjanji memulangkan semua perbelanjaan dikeluarkan untuk mendapatkan wanita itu.

"Dia juga memaklumkan kepada saya akan menghantar kedua-dua anaknya itu membuat pemeriksaan doktor sebelum tindakan seterusnya diambil," katanya. - Harian Metro

Sunday, January 3, 2010

Baru ditinggalkan sejam, anak 11 bulan didera amah

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri terkejut apabila mendapati anak kedua mereka berusia 11 bulan yang ditinggalkan bersama pembantu rumah selama sejam mengalami lebam-lebam di bahagian pipi, dahi dan belakang bahagian selepas pulang dari bersarapan di restoran berhampiran rumah di Bandar Damansara dua hari lalu.

Berang dengan insiden itu, pasangan itu menuntut penjelasan daripada pembantu rumah warga Filipina berusia 31 tahun, yang menafikan melakukan perbuatan itu.

Tidak berpuashati dengan penjelasan yang diberikan, pasangan itu kemudian bertindak melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah mereka.




Berdasarkan rakaman CCTV, amah itu didapati mendera bayi dengan memukul tangan dan menolak muka dan badan bayi malang itu dinding dengan menggunakan tangannya.

Ibu bayi itu, seorang setiausaha di sebuah syarikat, dan suaminya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Petaling Jaya pada hari sama berhubung insiden itu.

Suspek kemudian diberkas di rumah mangsa, semalam.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mammah, berkata polis sedang dalam proses mendapatkan reman dan dijangka memperolehnya hari ini.

Suspek boleh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, katanya hari ini.

Suspek yang mempunyai dokumen sah, berkhidmat dengan pasangan itu sejak Oktober tahun lalu. - Berita Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...