Monday, October 4, 2010

PAGAR MAKAN PADI : 7 Lagi Ditahan SPRM

Kakitangan imigresen ditangkap ketika lakukan transaksi wang tunai RM26,000 di Port Dickson

KUALA LUMPUR: Tujuh lagi kakitangan imigresen ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk dua pegawainya ketika melakukan transaksi wang tunai sebanyak RM26,000 dengan sindiket membawa keluar masuk pendatang asing tanpa izin, di Jeti Port Dickson.

Dengan penahanan terbaru itu, jumlah keseluruhan kakitangan imigresen yang ditahan setakat ini ialah lapan orang, termasuk enam di Jeti Penumpang Pulau Ketam, Pelabuhan Klang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah membabitkan sindiket berkenaan.

Daripada jumlah itu, lima anggota jabatan berkenaan yang bertugas di Jeti Penumpang Pulau Ketam, ditahan semalam, manakala seorang ditahan Jumaat lalu kerana disyaki menerima rasuah dan bersubahat dengan sindiket yang menjalankan kegiatan sama.

Sumber memberitahu Berita Harian, semua anggota yang berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan suruhanjaya berkenaan antara jam 3 petang hingga 6 petang di jeti berkenaan serta di sekitar Klang, berikutan siasatan dan intipan lebih setahun SPRM.

Selain itu, dua lagi berusia dalam lingkungan 40 dan 50-an yang ditahan SPRM dengan wang transaksi itu adalah mereka yang bertanggungjawab menyelia operasi di Jeti Port Dickson, Negeri Sembilan.

Kedua-duanya ditahan di sekitar Seremban antara jam 6 petang hingga 9 malam, Rabu lalu bersama seorang individu lain yang bertindak sebagai ‘runner’ untuk transaksi membabitkan sindiket menggunakan jeti yang mengendalikan perjalanan feri ke Dumai tiga kali seminggu.

Sumber itu berkata, pegawai terbabit disyaki mengenakan bayaran RM80 bagi setiap pendatang asing tanpa izin yang keluar masuk dan dipercayai mendapat bayaran mencecah RM20,000 seminggu.

“Siasatan mendapati suspek menugaskan anggota menaiki feri dan melepaskan pendatang yang tidak mempunyai dokumen lengkap turun sedangkan mengikut prosedur, mereka tidak boleh memberi kebenaran mendarat kepada pendatang terbabit.

“SPRM akan membongkar kegiatan rasuah di jeti berkenaan termasuk menyiasat semua anggota. Setakat ini kita sudah merekodkan kenyataan beberapa orang yang mengaku menerima bayaran untuk ‘menutup mulut’,” katanya.

Sumber itu berkata, tempoh reman ketiga-tiga suspek yang tamat hari ini akan disambung bagi melengkapkan siasatan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Hishamuddin Hashim, yang mengesahkan perkara itu ketika dihubungi berkata, beliau akan bertemu Ketua Pengarah Imigresen untuk berbincang mengenai tindakan selanjutnya.

Difahamkan, SPRM akan mencadangkan anggota yang terbabit dalam kegiatan itu dikenakan tindakan tatatertib dan seluruh pasukan imigresen di Jeti Port Dickson dirombak.

Jumaat lalu, SPRM menahan seorang anggota imigresen dan tujuh individu lain bersama wang tunai RM100,000 disyaki rasuah yang diterima daripada pendatang asing di Jeti Penumpang Pulau Ketam, dan beberapa lokasi lain di sekitar Klang. - Berita Harian

2 comments:

  1. undang2 yg ketat serta hukuman yg lebih berat perlu digubal bagi memberi pengajaran kepada 'pengkhianat negara'. membiarkan pintu negara dibolosi untuk kepentingan sendiri dengan mengabaikan amanah yg diserahkan kpd mereka, adalah sesuatu yg sukar diterima rakyat.
    gunakan ISA atau gubal undang2 sehingga membolehkan semua kekayaan mereka dirampas/dibekukan. bukan membalas atau melepas geram tetapi lebih kepada memberi 'amaran keras' agar tidak berlaku lagi kes2 rasuah, pecah amanah ataupun salahguna kuasa oleh mereka yg diamanahkan.
    Perlu ada langkah pencegahan dan tindakan utk menukarkan kesemua Pegawai Imigresen di semua pintu keluar/masuk negara merupakan tindakan tepat.
    Tahniah kepada SPRM dan waspadalah mereka yg masih tidak berlaku jujur dan amanah.

    ReplyDelete
  2. banyak lagi kegiatan rasuah dipintu masuk laut dan udara dinegeri Johor maklumat lanjut hubungi mohdrazuanm@yahoo.com

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...