Saturday, September 11, 2010

Imigresen KLIA Tahan 21 Warga Bangladesh Pada Malam Raya

PETALING JAYA: Kesibukan untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri tidak menjejaskan tugas Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) apabila seramai 21 warga Bangladesh ditahan dalam satu operasi pada malam menjelang 1 Syawal.

Operasi bersama Unit Penguatkuasaan KLIA itu dijalankan antara pukul 11 malam dan 2 pagi terhadap penerbangan dari Dhaka yang tiba di Terminal Syarikat Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang.

Pengarah Imigresen KLIA, Mohd Zulfikar Ahmad berkata, sebahagian mereka ditahan kerana didapati memiliki dua pasport sewaktu sekatan dijalankan.

“Mereka memasuki negara ini menggunakan pasport milik warga Bangladesh lain menerusi permit kerja sah namun mempunyai cop keluar negara palsu.

“Pasport mereka yang sebenar pula disimpan bagi mengaburi kegiatan itu kononnya mereka dilihat baru pulang dari bercuti,” katanya kepada mStar Online pada Sabtu.

Mohd Zulfikar berkata, operasi penguatkuasaan tersebut menunjukkan Imigresen KLIA tidak berkompromi dengan kawalan keselamatan negara meskipun pada sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut beliau, segelintir warga asing menggunakan waktu ini bagi cubaan untuk membolosi negara kerana menganggap urusan kemasukan akan dipermudahkan agar kaunter Imigresen dapat ditutup lebih awal sempena Hari Raya.

“Bagaimanapun, andaian itu ternyata meleset apabila kira-kira 160 kakitangan Imigresen KLIA komited menjalankan tugas semalam bagi memastikan pergerakan keluar masuk di pintu masuk negara terkawal,” ujarnya lagi.

Semua warga Bangladesh yang ditahan dalam operasi itu dikeluarkan notis penolakan masuk (NTL) bagi menghantar mereka pulang ke negara asal serta-merta.

Sebahagiannya turut ditempatkan di bilik tahanan sementara KLIA (Holding Lounge) bagi menunggu penerbangan balik berikutnya.

Mohd Zulfikar berkata, seramai 91 warga asing ditempatkan di Holding Lounge pada 1 Syawal, terdiri daripada 83 lelaki dan lapan wanita.

Berdasarkan rekod Imigresen KLIA, katanya, 48 warga asing dikenakan sekatan pada 1 Syawal atas kegagalan mematuhi syarat kemasukan.

“Daripada jumlah itu, 20 warga asing tiba di bangunan terminal utama KLIA manakala 28 lagi di LCCT yang tidak membenarkan mereka melepasi pintu masuk utama negara.

“Mereka adalah warganegara Bangladesh, India, China, Pakistan, Somalia dan Nigeria,” kata beliau. - mStar Online

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...