Thursday, August 19, 2010

Timbang Semula Cadangan Tidak Benar Pekerja Asing Bawa Tanggungan

SANDAKAN 19 Ogos - Kerajaan diminta menimbang semula cadangan pekerja asing khususnya warga Indonesia di Sabah tidak dibenarkan membawa tanggungan.

Anggota Dewan Undangan Negeri Elopura Au Kam Wah berkata langkah itu dibimbangi akan menjejaskan sektor perladangan kelapa sawit di negeri ini yang banyak bergantung kepada pekerja asing.

Katanya sekiranya cadangan itu diteruskan, kemungkinan masalah kekurangan tenaga kerja pekerja asing di sektor itu yang dihadapi sejak dua tahun lepas akan bertambah kritikal.

"Kita bimbang ia akan menyebabkan pekerja asing pulang ke negara asal mereka dan situasi ini akan menyebabkan masalah kekurangan pekerja dalam sektor itu," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Pada Rabu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pekerja asing khususnya warga Indonesia di Sabah tidak dibenarkan membawa tanggungan dan ia merupakan satu daripada 20 cadangan yang dikemukakan Makmal Khas Pengurusan Warga Asing di negeri ini.

Au bagaimanapun berkata beliau mengalu-alukan tindakan tegas ke atas pendatang tanpa izin yang menjadi ancaman terhadap keselamatan, kesihatan dan masalah sosial. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...