Monday, August 2, 2010

Sembilan Tukang Urut Ditahan

SEREMBAN 1 Ogos - Seramai sembilan wanita warga asing yang bekerja sebagai tukang urut ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka dalam serbuan polis di sebuah pusat urut tradisional di Taman Datuk Raja Hanifah, Jalan Rasah di sini, petang semalam.

Wanita warga asing dipercayai tukang urut ditahan di Taman Dato' Raja Hanifah, Seremban, semalam. 

Kesemua mereka yang berusia antara 29 hingga 42 tahun ditahan dalam serbuan yang dijalankan anggota dan pegawai Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) negeri kira-kira pukul 3.10 petang.

Dalam serbuan itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 25 tahun yang dipercayai menguruskan pusat urut berkenaan turut ditahan.

Ketua Operasi D7 negeri, Cif Inspektor Raidah Abiddin berkata, serbuan ke atas premis itu dijalankan berdasarkan maklumat yang diterima daripada orang ramai serta risikan polis.

"Kesemua yang ditahan terdiri daripada lapan orang warga Thailand dan seorang dari China.

"Hasil pemeriksaan awal, kami mendapati premis ini mempunyai lesen perniagaan yang sah dan kesemua wanita ini mempunyai dokumen perjalanan yang sah, tetapi mereka telah menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja di pusat ini," katanya kepada pemberita selepas menjalankan serbuan di sini, petang semalam.

Menurutnya, kesemua wanita itu ditahan di bawah Seksyen 56 (1) (d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat kemasukan.

"Mereka kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban sebelum dikenakan tindakan lanjut," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...