Tuesday, August 10, 2010

Perbincangan Mengenai Pembantu Rumah Indonesia Masih Diteruskan

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Perbincangan untuk memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia mengenai pembantu rumah akan diteruskan walaupun Malaysia menolak permintaan berhubung penetapan gaji minimum RM800 bagi pembantu rumah Indonesia.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam berkata perbincangan itu akan diadakan secepat mungkin bagi membolehkan pembekuan pembantu rumah Indonesia ditarik balik.

"Perbincangan masih diteruskan, saya sudah minta kedua-dua pihak supaya mengadakan perbincangan secepat mungkin dan menetapkan masa yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang Biro Pengajian Tinggi MIC kepada graduan Universiti Sains Malaysia (USM) T.Ramanathan, di sini pada Isnin.

Sabtu lepas media melaporkan Malaysia menolak permintaan Indonesia untuk menetapkan gaji minimum RM800 bagi pembantu rumah dari Indonesia kerana Malaysia sendiri tidak mempunyai struktur gaji minimum.

Subramaniam dilaporkan berkata bahawa perkara itu antara penyebab MoU antara Malaysia dan Indonesia mengenai pembantu rumah belum dapat dimuktamadkan.

Indonesia membekukan pembekalan pembantu rumah ke Malaysia pada Jun 2009, berikutan beberapa kes penderaan pembantu rumah selain ketiadaan faedah pekerjaan seperti gaji minimum bulanan dan cuti rehat mingguan.

Kuala Lumpur dan Jakarta menandatangani Surat Hasrat pada Jun lepas bagi memberi dimensi baru terhadap pengambilan pembantu rumah di Malaysia dan kedua-dua negara bersetuju terhadap terma-terma yang dikaji semula. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...