Tuesday, August 17, 2010

PATI: Nilai, Mantin dipantau

SEREMBAN 16 Ogos – Kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) akan terus dibanteras di negeri ini khususnya di kawasan sasaran iaitu di Nilai dan Mantin dekat sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kawasan terbabit merupakan tempat tumpuan warga asing yang bekerja dalam pelbagai sektor mahupun untuk belajar.

‘‘Kerajaan akan memantau pergerakan PATI di negeri ini dan tidak mahu mereka menjadikan kawasan Nilai dan Mantin sebagai ‘lubuk kehidupan’. Kita akan banteras mereka yang memasuki negara ini secara tidak sah serta tinggal lebih masa,” katanya di sini hari ini.

Mohamad memberitahu, Jabatan Imigresen negeri sentiasa menjalankan penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran PATI dan pada tahun lalu sebanyak 129 operasi dilakukan di dua kawasan itu.

‘‘Di Mantin sebanyak 23 operasi dilakukan, tujuh lagi di Lenggeng dan paling banyak ialah di Nilai iaitu sebanyak 99 operasi penguatkuasaan,” katanya.

Tambahnya, dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 37 operasi dijalankan oleh Jabatan Imigresen negeri dengan lima operasi di Mantin, satu di Lenggeng dan 31 lagi di Nilai.

‘‘Hasil operasi berkenaan, Jabatan Imigresen negeri menahan 505 orang PATI pada tahun lalu. Dari Januari hingga Jun tahun lalu sahaja seramai 104 orang PATI berjaya ditahan,” tegasnya.

Mohamad menjelaskan, seramai 152 orang daripada PATI yang ditahan pada tahun lalu telah dihukum penjara manakala 134 orang lagi telah diusir manakala baki 115 orang yang ditahan dan diperiksa telah dibebaskan kerana mereka mempunyai dokumen.

Pada tahun ini pula seramai 104 orang PATI telah ditahan di mana 19 orang telah diusir, 40 orang lagi dipenjara dan selebihnya iaitu 45 orang dibebaskan.

‘‘Kerajaan memandang serius kemasukan PATI ke negeri ini dan kawalan sempadan akan terus diperketatkan selain mengenal pasti ‘laluan tikus’ yang digunakan mereka.

‘‘Kita akan memastikan laluan darat yang digunakan oleh PATI ini disekat dan berharap orang ramai dapat menyalurkan maklumat segera supaya aktiviti pencerobohan dapat dibanteras,” katanya.

Dalam perkembangan lain Mohamad memberitahu, untuk menuju ke arah bandar selamat, kerajaan melakukan pelbagai pendekatan terutama sekali membanteras kegiatan jenayah di negeri ini.

Katanya, ini termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan ‘panas’, pemasangan lampu selain penglibatan serius anggota polis, pihak berkuasa tempatan, pertubuhan bukan kerajaan, parti politik dan sebagainya dalam sebarang aktiviti pencegahan jenayah.

‘‘Pihak berkuasa akan mengadakan rondaan berterusan selain meningkatkan lagi peranan Rukun Tetangga melalui Skim Rondaan Sukarela (SRS),” katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...