Tuesday, August 10, 2010

MTUC Minta Kerajaan Kurangkan Kos Pengambilan Amah

PETALING JAYA 9 Ogos - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan kepada kerajaan agar membincangkan pengurangan kos pengambilan pembantu rumah dari Indonesia yang disifatkan terlalu tinggi.

Naib Presidennya A Balasubramaniam berkata sebelum Indonesia menggantung penghantaran pembantu rumahnya ke negara ini kos pengambilan adalah sekitar RM8,000 dan ianya ditanggung oleh amah terbabit.

"Keadaan itu berlaku apabilan majikan yang terpaksa membayar kos tinggi kepada ejen bertindak memotong gaji pembantu mereka menyebabkan ada yang bekerja tanpa gaji selama enam bulan," katanya kepada Bernama, di sini Isnin.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam yang dilapor berkata Malaysia tidak bersetuju dengan permintaan Indonesia yang menetapkan gaji minimum pembantu rumah mereka pada RM800.

Mengulas kadar gaji itu, Balasubramaniam berkata kajian menunjukkan kebanyakan majikan sanggup membayar gaji yang lebih tinggi kepada pembantu rumah mereka asalkan tidak perlu menanggung kos pengambilan yang keterlaluan.

Pada masa yang sama, beliau berkata kerajaan juga wajar mengambil langkah mengurangkan kebergantungan rakyat Malaysia terhadap pembantu rumah.

Ianya boleh dilakukan menerusi penubuhan lebih banyak pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...