Monday, August 2, 2010

Mangsa Korban Tiada Dokumen

Orang ramai melihat keadaan kereta Chevrolet yang terbabas mengakibatkan tiga mangsa terkorban di Lebuh Raya Persekutuan, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Malang bagi sekumpulan lima warga asing dari Asia Barat apabila kereta Chevrolet yang mereka naiki terbabas melanggar tiang papan tanda mengakibatkan tiga terkorban di Lebuh Raya Persekutuan berhampiran susur keluar Jalan Klang Lama di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 3.55 pagi itu, dua mangsa termasuk seorang wanita dipercayai warga Iran mati di tempat kejadian akibat cedera parah di beberapa bahagian badan.

Seorang lagi mangsa wanita mati sejam kemudian selepas dibawa menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini.

Sehingga petang semalam, tiga mangsa yang terkorban belum diketahui identiti masing-masing kerana polis tidak menemui apa-apa dokumen pengenalan diri pada mangsa-mangsa itu.

Difahamkan, kesemua mereka yang berusia awal 20-an itu merupakan pelajar di sebuah kolej di Damansara di sini.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, sebelum tragedi itu, kereta yang dipandu lelaki asing itu dalam perjalanan dari pusat bandar menghala ke Petaling Jaya.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kereta itu yang dipercayai dipandu laju terbabas ke kanan jalan dan melanggar papan tanda.

"Akibat rempuhan kuat itu, kereta berwarna biru tersebut remuk teruk menyebabkan dua penumpang belakang dan seorang lelaki yang berada di tempat duduk hadapan maut," kata beliau ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selepas kemalangan itu, menurut beliau, dua lagi penumpang lelaki termasuk pemandu kereta tersebut yang cedera ringan menghilangkan diri. - KOSMO

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...