Wednesday, August 18, 2010

Isu Pendatang Tanpa Izin Tidak Mudah Untuk Diselesaikan - Musa Aman

KOTA KINABALU 18 Ogos - Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata isu pendatang tanpa izin di Sabah tidak mudah untuk diselesaikan kerana ianya memerlukan kerjasama negara asal pendatang.

Gambar hiasan

Justeru katanya, adalah tidak wajar untuk menggambarkan kerajaan negeri seolah-olah tidak serius dalam menangani isu tersebut khususnya dalam penghantaran balik pendatang tanpa izin terbabit.

"Kita tak boleh letak mereka dalam bot dan hantar mereka balik tanpa persetujuan daripada pihak berkenaan atau pihak kerajaan Filipina atau Indonesia.

"Saya ingin terangkan di sini, bahawa Indonesia kita tidak ada masalah kerana selain mempunyai konsulat sendiri, mereka juga memberi kerjasama sebaik boleh untuk memastikan warganegara mereka yang ditahan dapat mereka ambil balik semula, tapi berbeza dengan kerajaan Filipina," katanya.

Mengulas lanjut, Musa yang ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet negeri, di sini Rabu berkata sehingga kini belum ada maklum balas berhubung permintaan Sabah agar Filipina menubuhkan konsulatnya di negeri itu.

Katanya, kerajaan telah berbelanja jutaan ringgit untuk menghantar balik pendatang tanpa izin ke negara masing-masing dan pada masa yang sama harus memastikan hak asasi pendatang tidak terabai selain mengelakkan konfrontasi dengan negara jiran.

"Kita terima hakikat bahawa di Sabah kita perlukan pekerja. Dan bagi Filipina kita juga tahu mereka ini datang dari selatan Filipina yang dilanda pelbagai masalah besar.

"Bagaimanapun kita mahu mereka datang ke sini secara sah," katanya.

Beliau juga menegur sesetengah parti komponen Barisan Nasional (BN) yang kerap kali mengeluarkan kenyataan menyalahkan parti komponen lain di atas masalah yang dihadapi Sabah.

"Saya minta kepada rakan-rakan dalam BN, dalam membuat kenyataan kita mesti sama-sama bertanggungjawab, jangan seolah-olah Umno tidak ambil berat, rakan-rakan parti BN saja yang ambil berat, kerana kita adalah kerajaan BN bukan kerajaan Umno," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...