Friday, August 6, 2010

Flat Koloni Warga Asing

CHERAS: Sikap tamak pemilik rumah menyewakan rumah mereka kepada pendatang asing tanpa izin untuk mendapatkan sewa tinggi menyebabkan Flat Sri Penara, Bandar Sri Permaisuri, di sini menjadi koloni terbaru warga asing. Ini terbukti apabila seramai 41 warga asing dan dua warga tempatan dipercayai menyewa rumah mereka kepada pendatang terbabit ditahan dalam Ops Sapu, awal pagi semalam.

Dalam ops bermula kira-kira jam 12 tengah malam itu, anggota penguat kuasa Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) disertai 40 orang terpaksa memecah beberapa pintu rumah pendatang terbabit yang enggan memberi kerjasama dengan mengurung diri dalam rumah serta bilik.

Hasilnya, seramai tujuh lelaki dan 20 wanita warga Indonesia, seorang lelaki warga Bangladesh serta 10 lelaki warga India diberkas.

Ketua Unit Operasi Imigresen Malaysia WPKL, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan berkata, dua warga tempatan yang berusia 35 dan 50 tahun dipercayai menjadi pelindung kepada warga asing terbabit turut ditahan.

“Semua warga asing berusia 20 hingga 50 tahun itu ditahan kerana tiada dokumen pengenalan diri dan sebahagiannya mempunyai pas lawatan kerja sementara tetapi sudah tamat tempoh,” katanya ketika ditemui selepas operasi itu.

Menurutnya, serbuan itu dilakukan hasil maklumat orang awam dan risikan pihaknya mendapati ramai warga asing tinggal di flat berkenaan.

Difahamkan, ada antara warga Indonesia ditahan didapati menyewa bilik daripada pemilik warga tempatan manakala warga India dan Bangladesh pula tinggal dalam kelompok yang ramai dengan kadar sewa serendah RM300 hingga RM400 sebulan.

Mohamed Yusoff berkata, dua warga tempatan itu dipercayai menjadi dalang menyediakan tempat tinggal kepada warga asing dan menyifatkan tindakan itu mengkhianati negara. - Harian Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...