Monday, August 16, 2010

Empat Wanita Thailand Ditahan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Polis menahan 54 individu termasuk empat wanita warga Thailand dalam dua serbuan cegah jenayah dan pelacuran di daerah Serdang dekat sini awal pagi semalam.

Kesemua mereka berusia antara 25 hingga 30 tahun ditahan dalam serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pada pukul 1 pagi.

Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah pusat hiburan di Bandar Puchong 14.

"Dalam serbuan itu, sebanyak 50 pengunjung pusat hiburan itu ditahan. Lima daripada mereka positif mengambil dadah hasil ujian saringan air kencing.

"Kesemua lima yang ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya 1983," katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, serbuan kedua dilakukan di sebuah rumah urut yang berselindung di sebalik pusat refleksologi di Bandar Puteri.

Menurutnya, pusat urut refleksologi itu menawarkan harga serendah RM120 sejam untuk khidmat urutan badan termasuk khidmat urutan seks.

"Empat wanita warga Thailand yang mempunyai pas lawatan sosial telah ditahan kerana dipercayai melakukan khidmat urutan seks.

"Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat kemasukan," katanya.

Abd. Razak menambah, pemilik premis yang turut ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 55B akta yang sama kerana menggaji dan melindungi warga asing bekerja tanpa permit. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...