Saturday, August 7, 2010

Dua Lelaki Warga Asing Ditahan Bersama Ganja Mampat Bernilai RM80,000

SHAH ALAM 6 Ogos - Polis Selangor merampas 30.9kg ketulan ganja mampat bernilai kira-kira RM80,000 yang disorok di dalam but sebuah kereta di Jalan Damansara Utama, Petaling Jaya, Khamis.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata polis turut menahan dua lelaki warga Indonesia berusia 29 dan 31 tahun, di dalam kereta itu yang didapati dalam keadaan mencurigakan pada pukul 12.15 tengah malam.

"Siasatan awal mendapati bekalan dadah tersebut datang dari arah utara Semenanjung dan pihak kami sudahpun mengenal pasti punca bekalan itu dan sedang mengambil tindakan susulan.

"Kami percaya suspek aktif sejak sebulan lalu mengedar ganja di sekitar Lembah Klang. Mengikut rekod pasport, suspek keluar masuk Malaysia sejak dua tahun lepas," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini Jumaat.

Khalid berkata seorang daripada suspek dipercayai memiliki pasport palsu dan polis sedang berhubung dengan kedutaan Indonesia di sini bagi mendapat pengesahan, manakala suspek berusia 29 didapati positif dadah jenis ganja.

Kedua-dua lelaki itu ditahan reman sehingga 15 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...