Wednesday, August 25, 2010

Depoh Sesak

WARGA asing yang ditahan di Depoh Belantik, Kedah terpaksa bersesak berikutan bangunan yang tidak pernah dinaik taraf sejak 1970-an.

Imigresen dedah 10 pusat tahanan daif di seluruh negara


PUTRAJAYA: Daif dan sesak. Itulah keadaan 10 depoh tahanan Imigresen di seluruh negara hingga menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan pusat berkenaan yang mewarisi bangunan tinggalan pangkalan Unit Kawalan Kawasan (UKK) sejak awal 1970-an.

Depoh berkenaan bukan saja tidak dilengkapi lampu limpah untuk kawalan pada waktu malam serta kamera litar tertutup (CCTV), malah sistem pendawaian elektriknya sudah lama dan ada yang rosak, pagarnya pula tidak pernah diganti sejak 1970-an sebaliknya hanya diperbaiki mengikut keperluan atau kerosakan, manakala tiang sesetengah menara kawalan berkarat dan reput. Kuarters kakitangannya juga amat menyedihkan serta tiada kemudahan.

Keadaan itu berlaku di depoh tahanan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang; Belantek, Kedah; Lenggeng, Negeri Sembilan; Machap Umboo, Melaka; Tanah Merah, Kelantan; Semuja, Sarawak; Kemayan, Pahang; Langkap, Perak; Juru, Pulau Pinang dan Pekan Nenas, Johor.

Pendedahan itu dibuat Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, semalam, menyusul beberapa kejadian membabitkan tahanan warga asing melarikan diri dari depoh Imigresen.

Terbaru, 20 tahanan warga Afghanistan melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen KLIA, kira-kira jam 3 pagi 2 Ogos lalu selepas memotong jeriji dua pintu halangan sebelum menyusup keluar. Sebelum ini, pada 27 Mac lalu, 16 warga Afghanistan dan empat Myanmar yang ditahan di depoh yang sama turut melarikan diri.

Abdul Rahman berkata, Imigresen mempunyai 13 depoh tahanan dengan di Semenyih, Negeri Sembilan sedang dalam pembaikan dan dijangka siap pada Disember ini, manakala Bekenu dan Ajil adalah bangunan baru serta memiliki kemudahan tahanan dan tempat tinggal kakitangan yang lebih baik.

Beliau berkata, 10 depoh yang uzur itu menempatkan kira-kira 7,000 tahanan warga asing dengan sesetengahnya mengalami kesesakan, seperti di Lenggeng yang menempatkan antara 1,400 hingga 1,600 tahanan sepanjang masa berbanding kapasitinya 1,200 tahanan.

Malah, depoh itu turut menempatkan banduan dagang, iaitu pesalah yang selesai menjalani hukuman jenayah dan menunggu untuk dihantar pulang, selain yang menunggu ditahan reman atau untuk siasatan sebelum dibawa ke mahkamah serta warga asing yang melanggar peraturan Imigresen.

Daripada jumlah tahanan itu, sekitar 4,000 adalah kategori banduan dagang dan kumpulan menunggu ditahan reman - kumpulan yang dianggap berisiko tinggi melarikan diri.

Abdul Rahman berkata, setiap depoh mempunyai 120 petugas yang mana setiap syif memerlukan 20 kakitangan untuk berkawal.

Mereka menghadapi tugas berat sama ada dari segi keselamatan tahanan serta diri sendiri apabila terpaksa bergantung kepada keadaan infrastruktur yang uzur, katanya.

Bagaimanapun, katanya, keadaan itu tidak menjejaskan piawaian minimum Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dalam mengendalikan tahanan termasuk berkaitan "penahanan selamat" iaitu tahanan tidak boleh mencederakan diri sendiri.

Beliau berkata, Imigresen memerlukan sekitar RM100 juta bagi meningkatkan taraf infrastruktur di semua depoh terbabit.

Katanya, kira-kira RM10 juta diperlukan bagi setiap depoh untuk meningkatkan tahap infrastrukturnya, jumlah yang dilihat wajar kerana pendapatan daripada Imigresen berjumlah sekitar RM3 bilion setahun.

"Akibat infrastruktur yang tidak sempurna, kita juga terpaksa mengehadkan pergerakan tahanan menyebabkan aktiviti pengisian kepada mereka terlalu berkurangan kerana kita tidak mahu mengambil risiko dan ini menyebabkan tekanan kepada tahanan terus bertambah," katanya.

Pengisian kepada tahanan termasuk kegiatan sosial serta kawasan lapang untuk mereka ambil angin, tetapi ia memerlukan infrastruktur keselamatan yang baik terutama pagar dan menara kawalan.

Abdul Rahman berkata, jika ada yang menganggap pusat tahanan warga asing tidak perlu terlalu baik, mereka juga perlu memikirkan risiko kakitangan Imigresen yang bertugas di setiap depoh berkenaan.

Mengenai Depoh Tahanan KLIA, Abdul Rahman berkata, bangunan itu sepatutnya menempatkan warga asing yang transit sementara menunggu pesawat, tetapi bertukar menjadi pusat tahanan kekal selepas Depoh Semenyih ditutup.

Sehingga 31 Mac lalu, Depoh KLIA mempunyai 542 tahanan termasuk mangsa pemerdagangan orang yang diberi perlindungan di blok khas di situ. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...